Anda di halaman 1dari 14

TANGGUNGJAWAB MAJIKAN BERHUBUNGAN KESELAMATAN DAN KESIHATAN DI

TEMPAT KERJA DI BAWAH SYARIAH/PERUNDANGAN ISLAM


Oleh: Sheikh Ahmad Afiq bin Sheikh Yahaya
Pengenalan
Islam adalah agama yang syumul dan mencakupi seluruh aspek kehidupan manusia
merangkumi hubungan manusia dengan Al-Khaliq(Pencipta), manusia sesama manusia,
individu dan masyarakat, pekerja dan majikan, rakyat dan pemimpin dan sebagainya.
Setiap bentuk perhubungan dalam sistem Islam melibatkan dua dimensi iaitu tidak terlepas
dari hubungannya dengan Allah dengan makhluk sama ada secara langsung mahupun tidak
langsung. Maksudnya, setiap hubungan manusia dengan manusia adalah termasuk dan dikira
sebagai sebahagian ibadat yang telah diperintahkan oleh Allah dan akan mendapatkan
ganjaran secara langsung atau tidak langsung dari-Nya. (Wan Ali Wan Jusoh et al. )

Manusia berfungsi sebagai khalifah Allah. Istilah khalifah membawa maksud manusia
bertugas sebagai pengurus dan pengelola berbagai urusan kehidupan baik pada peringkat
individu, keluarga, organisasi, masyarakat atau Negara. Oleh itu, sebagai khalifah Allah,
manusia bertanggungjawab untuk mengurus tadbir kehidupannya agar sistem hidup berada
dalam keadaan teratur dan mempunyai struktur yang menjamin kestabilan dan
kefungsiannya. Prinsip asas yang diajar oleh Islam untuk menjamin kestabilan, keselamatan,
kesihatan dan seterusnya kefungsian sama ada bagi manusia iaitu pekerja atau makhluk lain
adalah perlakuan dan tindakan manusia hendaklah berteraskan prinsip keadilan, kebenaran
dan terarah menuju kepada Pencipta Allah s.w.t.. Andai kata berada diluar ruang ini boleh
menyebabkan manusia tersasar daripada jalan yang benar, jalan yang lurus jalan yang
menjanjikan perolehan nikmat dan selamat seperti maksud firman Allah dalam surah AlFatihah ayat 6 hingga 7. (Khalijah Mohd Salleh et al.) Pengaruh mengurus dan mentadbir
secara Islam ini akan melahirkan sebuah organisasi pekerjaan yang bertata tertib dan
berperadaban tinggi.

Pekerjaan Menurut Islam


Islam menggalakkan umatnya bekerja dan berusaha maka keseluruhan tindakan dan amalan
manusia yang melibatkan pekerjaan harian untuk mencari rezeki termasuk di dalam
pengertian ibadat. Pekerjaan dan tugasan tersebut dilaksanakan dengan tekun, jujur dan
ikhlas semata-mata kerana ianya satu yang dituntut oleh Allah dan Rasulullah s.a.w. . Di
antara kriteria yang perlu menjadikan sesuatu kerja itu termasuk dalam ibadat ialah:
1) Pekerjaan tersebut mestilah halal dan bertepatan dengan syara.
2) Pekerjaan tersebut dikerjakan dengan niat yang ikhlas bagi mencari keredhaan Allah
3) Pekerjaan tersebut dilaksanakan dengan tekun, cekap dan professional serta penuh ihsan.
4) Dalam pekerjaan tersebut mestilah mengambilkira prinsip-prinsip syara seperti adil,
amanah, bertanggungjawab, syura dalam membuat keputusan dan seterusnya.
Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud :
Mencari sara hidup yang halal adalah satu kewajipan di samping kewajipan-kewajipan yang
difardhukan. (Riwayat Al-Tabrani dan Al-Baihaqi)
Sabda Rasulullah s.a.w. lagi:

Allah sukakan hamba-Nya yang bekerja (secara professional). Barang siapa yang bertungkus
lumus mencari sara hidup keluarganya maka ia seperti seorang mujahid pada jalan Allah.
(Riwayat Imam Ahmad)
Menurut Abdul Ghani Shamsuddin et al 1989, Islam sangat mengutamakan kerja yang
professional dan dilaksanakan dengan penuh tekun atau disebut sebagai itqan iaitu tekun,
cermat, teliti dan kemas. Contoh yang terbaik boleh dilihat pada kehidupan peribadi
Rasulullah sendiri dalam semua hal sama ada dalam urusan ibadat, bernegara, mengurus
tadbir, mengurus keluarga, dan sebagainya. Diriwayatkan oleh Al-Bukhari bahawa Rasulullah
memunggah pasir untuk menjadikan kubu-kubu sehingga tertutup kulit perut baginda, bahkan
baginda sanggup mengikat perut dan diselit dengan batu-batu untuk menahan lapar dalam
masa peperangan Khandak. (Said Ramadhan Al-Buthi et al.)
Tafsiran Majikan dan Pekerja dalam Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994
Majikan ertinya majikan langsung atau majikan utama atau kedua-duanya. Majikan langsung
berhubungan dengan pekerja yang diambil khidmat oleh atau melaluinya, ertinya seseorang
yang telah mengakuijanji untuk melaksanakan, di tempat kerja di mana majikan utama
menjalankan perdagangan, perniagaan, profesion, vokasion, pekerjaan atau pencariannya di
bawah pengawasan majikan utama atau ejennya, kesemua atau mana-mana bahagian apaapa kerja yang biasanya menjadi sebahagian daripada kerja perdagangan, perniagaan,
profesion, vokasion, pekerjaan atau pencarian itu dan termasuklah seseorang yang olehnya
perkhidmatan seseorang pekerja yang telah membuat kontrak perkhidmatan dengannya
dipinjamkan atau disewakan untuk sementara kepada majikan utama. Majikan utama ertinya
pemunya suatu industri atau orang yang dengannya seseorang pekerja telah membuat
kontrak perkhidmatan dan termasuklah:
1) Pengurus, ejen atau orang yang bertanggungjawab bagi pembayaran gaji atau upah
kepada seseorang pekerja
2) Penghuni sesuatu tempat kerja
3) Wakil di sisi undang-undang pemunya atau penghuni yang telah meninggal dunia
4) Mana-mana kerajaan di Malaysia, jabatan mana-mana kerajaan itu, pihak berkuasa
tempatan atau badan berkanun.

Pekerja ertinya seseorang yang diambil kerja yang diberi gaji di bawah kontrak perkhidmatan
mengenai atau yang yang berkaitan dengan kerja suatu industri yang baginya Akta ini
terpakai dan :
a) yang diambil kerja secara langsung oleh majikan utama mengenai apa-apa kerja industri
itu, atau yang bersampingan dengan atau sebagai permulaan bagi atau yang berkaitan
dengan kerja industri itu, sama ada kerja itu dilakukan oleh pekerja itu di tempat kerja atau di
tempat lain.
b) yang diambil kerja oleh atau melalui seseorang majikan langsung di tempat kerja industry
itu atau di bawah pengawasan majikan utama atau ejennya mengenai kerja yang biasanya
menjadi sebahagian daripada kerja industri itu, atau yang menjadi permulaan bagi kerja yang
dijalankan dalam atau bersampingan dengan maksud industri itu
c) yang perkhidmatannya dipinjamkan atau disewakan sementara kepada majikan utama oleh
orang yang dengannya orang yang perkhidmatannya dipinjamkan atau disewakan itu telah
memasuki suatu kontrak perkhidmatan.

Hubungan Pekerja dengan Majikan


Prinsip am berkenaan hubungan antara kedua-dua pihak ini adalah seorang majikan
bertanggungjawab secara vikarius ke atas perbuatan pekerjanya yang terbit daripada
pekerjaannya, sama ada perbuatan itu diarahkan oleh majikannya atau tidak. Ini ditegaskan
oleh Lord Reid dalam kes Staveley Iron and Chemical Co. lwn. Jones Ltd., dimana dia berkata,
Adalah menjadi satu peraturan undang-undang bahawa seorang majikan bertanggungjawab
terhadap kerugian yang dialami oleh pihak ketiga akibat dari perbuatan atau kecuaian
pekerjanya yang terbit daripada pekerjaannnya, walaupun dia(majikan) tidak melakukan
kesalahan tersebut. Ini bermakna bahawa supaya majkan bertanggungjawab, perbuatan
ataupun kecuaian pekerja itu mestilah terbit daripada pekerjaannya.
Kewajipan Majikan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994
Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 memperuntukkan tentang kewajipan
majikan, orang yang bekerja sendiri dan pekerja. Kewajipan Majikan ini dinyatakan dalam
seksyen 15,16, 17 atau 18 . Kegagalan untuk mematuhi akta ini boleh membawa kepada
hukuman penjara selama dua tahun atau denda RM20 000.00 atau kedua-duanya sekali.
Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 memperuntukkan bahawa
adalah menjadi kewajipan setiap majiakan dan setiap orang yang bekerja sendiri untuk
memastikan setakat yang boleh dipraktikkan, keselamatan , kesihatan dan kebajikan pekerjapekerjanya di tempat kerja. Menurut Kamal Halili, kewajipan majikan termasuk:
1) Pengadaan dan penyengaraan loji dan sistem kerja setakat yang boleh dipraktikkan,
selamat dan tanpa risiko kepada kesihatan.
2) Pembuatan perkiraan bagi menjamin, setakat yang boleh dipraktikkan, keselamatan dan
ketiadaan risiko kepada kesihatan dengan penggunaan atau pengendalian, penanganan,
penyimpanan dan pengangkutan loji dan bahan
3) Pengadaan maklumat, arahan, latihan dan penyeliaan sebagaimana yang perlu untuk
memastikan, setakat yang boleh dipraktikkan, keselamatan dan kesihatan pekerjanya yang
sedang bekerja
4) Setakat yang boleh dipraktikkan, berkenaan dengan mana-mana tempat kerja di bawah
kawalan majikan atau orang yang bekerja sendiri, penyenggaraannya dalam keadaan yang
selamat dan tanpa risiko kepada kesihatan dan pengadaan dan penyenggaraan cara masuk
ke dalamnya dan keluar darinya yang selamat tanpa risiko sedemikian
5) Pengadaan dan penyenggaraan persekitaran pekerjaan bagi pekerja-pekerja yang setakat
yang boleh dipraktikkan, selamat, tanpa risiko kepada kesihatan, dan memadai berkenaan
dengan kemudahan bagi kebajikan mereka yang sedang bekerja.
Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 juga telah menggariskan bahawa majikan
perlu menyediakan satu dasar am secara bertulis berkenaan keselamatan dan kesihatan di
tempat kerja. Dasar am yang telah dibentuk itu, perlu disemak dan dikaji semula dari semasa
ke semasa.

Apakah yang dimaksudkan dengan setakat yang boleh praktik? Majikan tidak dikehendaki
mengambil langkah yang luar biasa ketika menjalankan kewajipannya seperti yang diperlukan
dalam Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994. Ertinya boleh dipraktikkan
berdasarkan akta dengan mengambil kira:

1) Teruknya bahaya atau risiko


2) Keadaan pengetahuan mengenai bahaya atau risiko itu dan apa-apa cara untuk
menghapuskan atau mengurangkan bahaya risiko itu
3) Ada tidaknya dan kesesuaian cara untuk menghapuskan atau mengurangkan bahaya atau
risiko itu
4) Kos untuk menghapuskan atau mengurangkan bahaya risiko itu
Sabda Rasulullah s.a.w
Sebaik usaha ialah usaha seorang pengusaha apabila ia bersifat jujur dan nasihatmenasihati
Pekerjaan Menurut Konsep Islam
Kerja menurut konsep Islam adalah segala yang dilakukan oleh manusia yang meliputi kerja
untuk dunia dan kerja untuk akhirat. Kerja untuk dunia terbahagi kepada dua iaitu bercorak
aqli (mental) atau bercorak jasmani adalah dipandang penting dan mulia di sisi Islam asal
sahaja dibolehkan oleh syarak. Islam mewajibkan kerja ke atas seluruh umatnya tanpa
mengira darjat, keturunan atau warna kulit, kerana seluruh umat manusia adalah sama di sisi
Allah, melainkan ketaqwaannya. Masyarakat Islam adalah sama-sama bertanggungjawab dan
bekerjasama melalui kerja masing-masing. Berdasarkan kebolehan dan kelayakan bidang
masing-masing kerana segala kerja mereka adalah bersumberkan iman dan bertujuan untuk
melaksanakan amal soleh. Kerja adalah asas penilaian manusia dan tanggungjawab yang
diberikan kepadanya sebagai khalifah Allah untuk memakmurkan bumi ini sekaligus beribadat
kepada Allah. Kerja juga merupakan cara yang tabii untuk manusia mencari nafkah bagi
menyara hidup dan keluarga melalui berbagai sektor pekerjaan dan perusahaan yang sedia
terbuka peluangnya dengan persediaan dan kemudahan alam yang Allah sediakan di atas
muka bumi ini.
Sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud:
Tidaklah ada makanan seseorang itu yang lebih baik daripada apa yang dimakannya dari
hasil usaha tangannya sendiri (Riwayat Bukhari)
Islam menjadikan kerja sebagai tuntutan fardhu atas semua umatnya selaras dengan dasar
persamaan yang diisytiharkan oleh Islam bagi menghapuskan sistem membeza-bezakan
manusia mengikut darjat atau kasta dan warna kulit.
Firman Allah:
Wahai sekalian manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada lelaki dan
perempuan dan Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan berpuak-puak supaya kamu
berkenal-kenalan. Sesungguhnya orang yang termulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang
yang taqwa. (Surah Al Hujurat, ayat 13)
Firman Allah lagi:
Dan katakanlah wahai Muhammad, beramallah kamu akan segala apa yang diperintahkan,
maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu
kerjakan. (Surah At Taubah, ayat 105)
Islam juga meningkatkan tuntutan kerja itu hingga ke tahap kewajipan agama. Oleh itu, tahap
iman sentiasa dikaitkan oleh Al-Quran dengan amal soleh atau perbuatan baik. Ini bererti
Islam itu adalah akidah yang mesti diamalkan dan amalan yang mesti berakidah secara tidak
terpisah.

Islam Menjamin Keselamatan dan Kesihatan Pekerja.


Sabda Rasulullah s.a.w.
Tidak boleh membuat bahaya kepada diri sendiri, dan tidak boleh membahayakan orang
lain (Riwayat Muslim)
Di bawah Tort, tuntutan adalah berdasarkan kecuaian majiakan. Untuk membuktikan kecuaian
majikan pekerja bekenaan mesti membuktikan bahawa
a) Mempunyai tugas/kewajipan berhati-hati
b) Dia telah memecah tugas/kewajipan tersebut
c) Pekerja mengalami kecederaan/kematian akibat daripada kegagalan menunaikan
tugas/kewajipan tersebut.
Remedi yang biasa dituntut oleh pekerja ialah ganti rugi. Ganti rugi akan dikurangkan jika
pekerja didapati menyumbang kepada kecederaan yang dialami, iaitu pekerja juga sedikit
sebanyak bertanggungjawab terhadap bencana tersebut.
Firman Allah:
Pada hari ini Kami tutup mulut mereka, dan Kami berbicara dengan tangan mereka dan
menjadi saksi kaki mereka, tentang apa-apa yang telah mereka kerjakan
Terdapat dua prinsip asas dalam Al-Quran dan Hadith berkenaan majikan dan juga pekerja
(master servant). Majikan perlu membayar penuh upah atas perkhidmatan yang diberikan
manakala pekerja perlu bekerja dengan ikhlas dan amanah.
Sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud:
Upah kerja mesti dibayar kepadanya(pekerja) sebelum peluh dibadannya kering
Sabda Rasulullah s.a.w lagi bermaksud:
Adalah menjadi tanggungjawab tuan(majikan), memberikan kerja kepada pekerjanya, apa
yang mudah dibuat olehnya. Mereka tidak sepatutnya diberikan kerja yang menyebabkan
kesihatan mereka terjejas) (Riwayat Ibnu Majah)
Islam bukan sahaja memelihara hak seorang pekerja tetapi juga majikan. Telah ditetapkan
dalam Islam supaya perlunya nilai-nilai seperti bertanggungjawab, jujur dan kemuliaan dalam
menjalankan setiap tugasan atau pekerjaan.
Majikan ialah orang yang mengambil satu atau lebih pekerja untuk bekerja dengannya.
Pekerja seseorang yang mengusahakan sesuatu kerana mencari nafkah, orang yang
memegang sesuatu jawatan dalam perkhidmatan awam atau swasta, lazimnya untuk
mendapatkan bayaran atau memperoleh pendapatan.
Secara umumnya, hubungan majikan pekerja dalam syariat Islam terikat dalam acuan yang
disebut sebagai hablun minan nas (hubungan interpersonal) yang mesti dijaga oleh keduadua pihak. Kesempurnaan hubungan manusia dengan manusia ini hanya akan tercapai
setelah manusia sempurna hubungannya dengan Allah (hablun min Allah). Dan begitu juga
sebaliknya, tidak akan sempurna hubungan manusia dengan Khaliqnya melainkan sempurna
hubungan manusia sesama manusia.
Dari kaca mata Islam, majikan dan pekerja umpama satu anggota dalam ikatan persaudaraan,
yang mampu memadamkan perasaan prejudis dan mengelakkan pekerja diperah keringat

untuk kepentingan sendiri.


Kata Nabi Syuib a.s. kepada Nabi Musa a.s. dalam firman Allah:
Aku tidak hendak memberati kamu. Dan kamu dengan izin Allah akan mendapati ku
termasuk orang-orang yang baik (Surah Al-Qasas, ayat 27)
Ini bermakna, Islam amat menekankan supaya setiap muslim tidak mengkesampingkan
prinsip-prinsip kemanusiaan, keadilan dan kesaksamaan seperti maksud berikut:
1) Majikan tidak harus membebani pekerja dengan sesuatu beban kerja yang memang tidak
mampu dilaksanakan oleh pekerja tersebut.
2) Majikan seharusnya sentiasa mengutamakan kebajikan kepada pekerja
3) Ganjaran dan dorongan perlu diberikan kepada pekerja setimpal dengan kerja yang
dilakukan.
Menurut Maulana Manazir Ahsan Gilani, salah seorang ulama abad ke-20 telah membuat
beberapa peraturan berhubungan dengan undang-undang pekerjaan dalam Islam.
1) Majikan dan pekerja mestilah menganggap mereka sebagai bersaudara. Persaudaraan
Islam ini mestilah wujud pada setiap tahap.
2) Majikan dan pekerja adalah taraf setaraf sekurang-kurangnya dalam keperluan asasi.
Pekerja patut memperolehi apa yang dimakan oleh majikan dan pakaian seperti yang dipakai
majikan.
3) Masa dan tempoh kerja mestilah dalam batas kemampuan manusia.
4) Sekiranya jenis pekerjaan itu sukar dilakukan oleh pekerja, ini tidaklah bermakna pekerjaan
itu mesti ditinggalkan atau pekerja dipaksa melakukan persetujuan bersama dan pekerja
hendaklah diberikan semua bentuk pertolongan dan bantuan.

Tanggungjawab Majikan dan Pekerja


Sabda Rasulullah s.a.w maksudnya:
Setiap kamu adalah pemimpin, setiap pemimpin akan dipertanggungjawabkan kepada
jagaannya, seorang pemimpin yang menjaga manusia, ia bertanggungjawab terhadap
rakyatnya, seorang lelaki bertanggungjawab di atas keluarganya, seorang wanita adalah
penjaga di rumah suaminya dan ia bertanggunjawab atas jagaannya. Seorang khadam
penjaga harta-benda tuannya dan ia bertanggungjawab atas jagaannya. Setiap kamu adalah
pemimpin(penjaga) dan setiap kamu akan ditanya tentang jagaan yang berada
dibawahnya.(Riwayat Bukhari, Muslim dan banyak lagi)
Menurut Hakim Mohd Said hubungan majikan dan pekerja Islam telah menggariskan beberapa
prinsip yang perlu dipatuhi iaitu:
1) Majikan dan pekerja melakukan akad (kontrak). Layanan yang baik kepada pekerja dan
pekerja bertanggungjawab melakukan kerja dengan penuh dedikasi.
2) Majikan hendakalah memenuhi kewajipan dari aspek kewangan serta menjaga kebajikan
pekerja manakala pekerja mestilah memenuhi tanggungjawabnya dengan cara bekerja
bersungguh-sungguh.
Firman Allah:
Sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil bekerja ialah orang yang kuat lagi
amanah (Surah Al-Qasas,ayat 26)

Pekerja Menurut Undang-undang Tort Islam


Menurut perundangan Islam, para fuqaha telah membahagikan pekerja kepada dua kategori
iaitu:
1) Ajir khass (ejen peribadi atau pekerja eksklusif)
2) Ajir mushtarak (kontraktor bebas)
Menurut Abdul Basir Mohamad, ajir khass bermakna seorang yang bekerja dengan orang lain
pada masa tertentu, atau seorang yang diambil untuk bekerja kepada orang yang punya
(majikan) dan dibayar gaji berdasarkan kepada tempoh masa dia berkhidmat.Contohnya,
pegawai kerajaan atau pegawai swasta yang berkhidmat sepanjang tempoh perkhidmatan.
Manakal ajir mushtarak ialah orang yang dilantik tidak terikat dengan syarat bekerja untuk
majikan tersebut, tetapi upah yang dibayar apabila tugas selesai dilaksanakan. Contohnya,
seperti kontraktor binaan yang bekerja sehingga selesai projek yang diberikan.
Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja Melalui Budaya Kerja Kolektif
Bagi mencapai matlamat kesihatan dan kesihatan di tempat kerja, majikan mahupun pekerja
mestilah bersama-sama berusaha mewujudkan suasana dan budaya kerja yang baik seperti
yang disarankan oleh Al-Quran dan Sunnah. Contohnya:
1) Mujahadah. Semangat dan keazaman yang tinggi atau nekad dalam melaksanakan kerja
bagi melepasi sasaran kerja.
2) Muraqabah. Penelitian dan perhatian bersungguh-sungguh dalam melaksanakan tugas
supaya tidak berlawanan dengan syariat selari .
3) Muhasabah. Penilaian yang dibuat terhadap pekerjaan yang dilaksanakan dari sudu
pencapaian dan kekurangan yang dikenalpasti.
4) Jamaah. Majikan dan pekerja berusaha menghidupkan semangat budaya kerja secara
kolektif untuk kepentingan organisasi iaitu dengan berganding bahu dalam menjalankan
pekerjaan untuk menambahbaik keselamatan dan kesihatan ditempat kerja.
5) Ukhwah. Setiap anggota organisasi perlu diletakkan sebagai bersaudara supaya setiap
orang daripadanya merasakan tanggungjawab di antara satu sama lain dalam melaksanakan
tugas untuk ingat-mengingati dalam perihal keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.
Pekerja bekerja dengan ikhlas dan penuh tanggungjawab bagi menjayakan perusahaan yang
dilakukan dan majikan pla mempunyai rasa kasih dan menghormati pekerja sebagai saudara
yang membantunya dan menuai hasil bagi menampung hidupnya.
6) Taawun. Bantu-membantu dalam melaksanakan tugas organisasi demi mencapai kejayaan.
Sifat negatif dan mengabaikan aspek keselamatan dan kesihatan perlu dielakkan bagi
mengelakkan semua anggota daripada menyumbang kepada kerugian organisasi.
Tort Dalam Al-Quran dan Sunnah
Sabda Rasulullah s.a.w. dalam khutbah wida:
Sesungguhnya darah kamu, harta benda kau dan kehormatan kamu adalah haram
dicerobohi sesama kamu sepertimana haramnya kepada kamu (melakukan pencerobohan)
pada hari ini, dalam bulan ini dan dalam negeri ini.
Dalam hadith yang lain pula :
Tiada kemudaratan dan tidak dimudaratkan.
Berdasarkan hadith yang dinyatakan , undang-undang Islam sangat perihatin mengawal,
melindungi dan menjaga harta benda, serta kehormatan manusia daripada dicerobohi.

Konsep Tanggungan Dalam Undang-undang Tort Islam


Tanggungan
Dalam bahasa Arab tanggungan diistilahkan sebagai daman. Dari sudut bahasa, daman
bererti tanggungan dan tanggungjawab. Dari sudut bahasa, daman bererti tanggungan atau
tanggungjawab. Istilah daman ini diserasikan dengan dengan perkataan liabiliti yang memberi
erti tanggungjawab,tanggungan atau kewajipan.
Menurut Abdul Basir Mohamad daman bermaksud kewajipan (iltizam/obligation). Pengertian
ini telah digunakan bagi maksud yang lebih luas, iaitu sinonim dengan al-haq al-shakhsi (hak
persendirian), taghrim (denda), mujib (tanggungjawab), dayn (hutang), daman(ganti rugi) dan
sebagainya.
Para Fuqaha berpendapat daman dari sudut bahasa boleh dibahagikan kepada aspek jaminan
iaitu kafalah dan ganti rugi iaitu gharamah.

Tanggungan Tegas (al-masuliyyah al shakhsiyyah)


Dalam syariat Islam, seseorang itu bertanggungan terhadap sebarang perbuatan atau
tindakan atau tingkah lakunya, sebarang perbuatan atau peninggalan yang melibatkan
dirinya dan tidak ditanggung orang lain. Ibadat sembahyang itu adalah suatu tuntutan
kewajipan ke atas individu dan andai kata seseorang itu mengabaikan sembahyang maka dia
yang bertanggungan secara tegas atas keingkaran tidak mengerjakannya. Begitu juga dalam
kesalahan tort, maka dialah yang bertanggungan secara tegas, sama ada dikenakan hukuman
qisas, diyat atau tazir mengikut jenis kesalahan yang telah dilakukannya.
Asas Tanggungan Tegas
Firman Allah:
Dan ketahuilah seseorang pemikul tidak memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa
usahanya sahaja). (Surah Al-Anam ayat 164)
Setiap orang bertanggungjawab terhadap sebarang perkara yang dilakukan dan seseorang itu
tidak bertanggungjawab terhadap perbuatan lain.(Al-Maududi) Seseorang tidak boleh
menafikan tanggungan atau tidak boleh berdalih terhadap tanggungan yang dibebankan ke
atasnya setelah terbukti bahawa dia dengan sengaja telah melakukan perbuatan yang
didakwa itu.
Firman Allah:
Sesungguhnya jalan (untuk menyalahkan) hanyalah terhadap orang yang melakukan
kezaliman kepada manusia dan bermaharajalelas di muka bumi dengan tiada sebarang alasan
yang benar. Mereka itulah orang-orang yang beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
(Surah Al-Syura, ayat 42)
(Tiap-tiap balasan berdasarkan kaedah): Sesiapa yang mengerjakan amal salih, maka
faedahnya akan terpulang kepada dirinya sendiri; dan sesiapa yang berbuat kejahatan, maka
bahayanya akan menimpa dirinya sendiri; kemudian kamu akan dikembalikan kepada Tuhan
kamu. (Surah Al-Jathiyah, ayat 15)
Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan
yang diusahakannya. (Surah Al-Baqarah, ayat 286)
Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat

amalnya). Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam
surat amalnya). (Surah Al-Zalzalah, ayat 7 hingga 8)
Islam telah menegaskan bahawa seseorang itu tidak bertanggungan terhadap tindakan tort
orang lain, melainkan tindakan tort yang dilakukan oleh dirinya sahaja. Terdapat hadith-hadith
yang menyokong dan menegaskan kewujudan prinsip tanggungan tegas ini.
Sabda Rasulullah bermaksud:
Engkau tidak akan melakukan kesalahan ke atasnya dan dia tidak akan melakukan kesalahn
ke atas engkau.
Sabda Rasulullah s.a.w. lagi bermaksud:
Bapa tidak melakukan kesalahan ke atas anaknya dan anaknya tidak melakukan kesalahan
ke atas bapanya.
Dalam undang-undang tort Inggeris, tanggungan pihak defendan dalam undang-undang tort
Islam berasaskan prinsip kesalahan atau kesilapan. Pihak defendan bertanggungan kerana
telah melakukan kecuaian secara sengaja atau tidak sengaja. Semua fuqaha mazhab beretuju
bahawa seseorang itu tidak bertanggungan terhadap sesuatu kecederaan atau kerosakan
yang disebabkan olehnya, melainkan ada unsur kecuaian (tafrit) atau pencerobohan (taaddi)
pada pihaknya.
Bagi menentukan sama ada seseorang yang didakwa itu bersalah atau tidak, elemen niat
terlebih dahulu perlu ditentukan. Seperti mana yang dinyatakan dalam hadith berikut:
" Dari Amirul Mukminin Umar Al-Khattab r.a katanya : " Aku mendengar Rasulullah SAW
bersabda : - ' Hanya amalan-amalan itu adalah ( bergantung ) kepada niat, dan hanya bagi
setiap manusia itu apa ( balasan ) yang diniatkannya. Maka barangsiapa yang berhijrah
kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya itu adalah kepada Allah dan RasulNya. Dan
barangsiapa yang berhijrah kerana dunia yang ingin ia memperolehinya atau kerana seorang
perempuan yang ingin ia menikahinya, maka hijrahnya itu adalah atas apa yang ia berhijrah
kerananya. (Riwayat Al-Bukhari)
Namun begitu, terdapat pengecualian bagi prinsip umum hal tersebut. Ini dapat dijelaaskan
melalui kes-kes yang mana pihak defendan dibebankan dengan tanggungan tegas terhadap
kemudharatan yang berlaku secara tidak sengaja, yang tidak tertakluk kepada perlunya
wujud elemen niat salah ataupun kecuaian.
Penjelasan tanggungan tegas daripada para fuqaha:
1) Sekiranya seseorang itu menggunakan haknya, dia telah melakukan suatu perbuatan yang
mendatangkan risiko bahaya kepada orang lain atau kepada harta bendanya, dia akan
bertanggungan terhadap sebarang kerosakan dan kecederaan yang berlaku. Seseorang iu
wajib memastikan keselamatan orang lain sekalipun ketika menggunakan haknya sendiri.
Contohnya, seseorang yang membawa muatan pasir melalui jalan raya. Sekiranya pasir
tersebut jatuh ke atas pengguna jalan raya yang lain boleh menyebabkan kecederaan, pihak
yang membawa pasir tersebut bertanggungan terhadap kecederaan tersebut.
2) Untuk tindakan berbahaya, pihak pelaku akan bertanggungan terhadap kemudaratan yang
mungkin terjadi.
3) Sekiranya seseorang itu merosakkan sesuatu barang kepunyaan orang lain sama da secara
sengaja atau tidak sama ada kerosakan itu berlaku ketika barang itu dalam amanahnya

kepadanya untuk menjaganya, pihak yang merosakkannya bertanggungan.


4) Sekiranya seseorang menenggelamkan orang lain atau menyebabkan sekumpulan orang
mati kelemasan dengan membuka pintu empangan air atau dengan membiarkan api
kebakaran merebak atau dengan meruntuhkan sesebuah bangunan dan semua tindakan itu
telah mengakibatkan kehilangan nyawa orang ramai, pihak yang melakukan tindakan
sedemikian bertanggungan atas tindakannya itu.
5) Jika seseorang tergelincir lalu terjatuh ke atas harta benda milk orang lain dan
menyebabkan harta benda itu mengalami kerosakan, dia bertanggungan terhadap kerosakan
itu.
6) Jika seseorang merosakkan harta benda orang lain disebabkan tersalah anggapan dengan
mempercayai bahawa harta benda itu kepunyaannya, dia tetap bertanggungan terhadap
kerosakan tersebut.
7) Sekiranya seseorang membawa masuk sesuatu benda secara sah ke atas tanah
kepunyaannya, seperti longgokan batu atau sejumlah air, atau dia menggali lubang di situ
yang secara semulajadinya boleh menyebabkan jirannya mengalami kemudaratan atau jika
benda-benda iu terlepas masuk ke atas tanah jirannya, maka dia bertanggungan terhadap
sebarang kerosakan yang berlaku disebabkan keadaan-keadaan sedemikian.
8) Ibn Qudamah melaporkan:
Ajir mushtarak(kontraktor bebas) bertanggungan terhadap kerosakan yang disebabkan
tindakannya, dan pengangkut barangan bertanggungan terhadap barang yang terjatuh
daripada pegangannya. Pemandu unta bertanggungan terhadap sebarang kerosakan yang
disebabkan oleh unta yang dipandunya itu atau dengan sebab tali ikatan barang di atas
belakang unta itu terputus.
Syarat-syarat Liabiliti dalam Kes Liabiliti Vikarius
1. Mesti terdapat kontrak (aqad) di antara majikan dan pekerja. Ini merujuk kepada definisi
yang telah digariskan oleh Ibn Qudamah seperti yang telah dinyatakan sebelum ini.
Seseorang yang membuat perjanjian kontrak ke atas dirinya pada masa tertentu, dan
majikan yang layak untuk memperoleh manfaat darinya untuk tempoh masa tersebut.
Dalam undang-undang Inggeris, kontrak terbahagi kepada dua jenis iaitu:
1) Kontrak Perkhidmatan
2) Kontrak Untuk Perkhidmatan

Lord Denning berkata, Adalah mudah untuk mengenalpasti satu kontrak perkhidmatan tetapi
adalah sukar untuk membezakan kontrak perkhidmatan dan kontrak untuk perkhidmatan.
Kapten sebuah kapal, seorang pemandu dan wartawan bekerja di bawah sebuah kontrak
perkhidmatan tetapi pemandu sebuah kapal, pemandu teksi dan penyumbang artikel kepada
mana-mana surata khabar semua bekerja di bawah kontrak untuk perkhidmatan. Elemen
yang umum yang terdapat dalam semua situasi ini adalah di bawah kontrak perkhidmatan,
pihak yang berkenaan bekerja sebagai sebahagian daripada organisasi dan kerjanya
merupakan bahagian penting daripada organisasi tersebut. Manakala, di bawah kontrak untuk
perkhidmatan, walaupun kerja itu dibuat untuk organisasi tersebut tetapi ia adalah kerja
sampingan sahaja.
Dalam kes Ready Mixed Concrete Ltd lwn. Minister of Pensions dan National Insurance,

mahkamah memutuskan bahawa terdapat 3 syarat yang mesti dipatuhi bagi mewujudkan
satu kontrak perkhidmatan iaitu:
1) Pekerja bersetuju menyediakan perkhidmatan dan kemahirannya kepada majikan sebagai
balasan kepada apa-apa bayaran yang diterima.
2) Pekerja bersetuju secara nyata ataupun tersirat bahawa dalam melaksanakan tugasnya
terdapat sedikit elemen kawalan yang munasabah oleh majikannya,
3) Lain-lain syarat dalam kontrak mestilah konsisten dengan status kontrak itu sebagai
kontrak perkhidmatan.
Jika salah satu syarat ini tidak ada maka kontrak yang wujud ialah kontrak untuk
perkhidmatan.
2. Perilaku salah atau perilaku tort disebabkan tindakan pekerja.
Kita perlu mengetahui bahawa tindakan kecuaian yang dilakukan oleh pekerja boleh berlaku
dalam 2 situasi. Pertama, tindakan kecuain boleh berlaku disebabkan pekerja bekerja dalam
kawasan milik majikan dibawah kontrak di antara mereka, dan yang kedua, pekerja bekerja
dalam kawasan milik pihak ketiga dengan kontrak diantara pekerja dan dan majikannya.
Dalam situasi kontrak perkhidmatan tersebut, sekiranya pekerja menerima kerosakan
hartabenda orang lain atau melibatkan kecederaan seseorang dalam waktu bekerja tanpa
terdapatnya taaddi(pencerobohan) atau kecuaian, pekerja tersebut tidak menanggung liabiliti
tetapi majikan terpaksa menanggung liabiliti vikarius. Liabiliti vikarius bermaksud seseorang
yang bertanggunjawab ke atas kesalahan yang dibuat oleh orang lain walaupun orang it
bukan salah satu pihak yang melakukan torts itu ataupun tidak langsung melakukan
perbuatan tersebut.
Dalam kes Ricketts lwn Thomas Tilling Ltd. (1915) 1 K.B. 644, plaintif telah menerima
kecederaan daripada bas yang dipandu oleh konduktor bas dengan kebenaran pemandu bas.
Konduktor bas tersebut telah memandu bas tersebut ke satu hujung jalan untuk memusing
kedudukan bas. Akibat daripada tindakan tersebut telah merosakkan kaki lima dan
menyebabkan kecederaan kepada plaintif. Mahkamah telah memutuskan bahawa defendan
bertanggungjawab ke atas kecederaan yang dialami oleh plaintif atas sebab kecuaian
pemandu bas membenarkan orang yang tidak kompeten atau tidak layak untuk memandu
bas tersebut.
Dalam kes Century Insurance Co lwn. Northern Ireland Road Transport Board (1942) A.C. 509,
tindakan tort yang melibatkan lori tangki petrol yang meletup hingga menyebabkan garaj dan
rumah berdekatan musnah. Majikan bertanggungjawab secara vikarius dan menanggung
liabiliti atas kerosakan yang diterima dalam tempoh khidmat pemandu lori tangki tersebut.
Adalah dipastikan bahawa tiada percanggahan berkenaan tindakan salah atau tort pekerja
sama ada dalam Syariah Islam mahupun undang-undang Inggeris.

3. Terdapatnya kecederaan (darar) kepada pihak ketiga semasa melakukan pekerjaan .


Menurut Wahbah Al-Zuhaili,
Majikan bertanggungjawab bagi setiap kerja yang dilakukan oleh pekerja bila terdapatnya
kontrak (aqad ijarah), dan kecederaan (darar) terhasil akibat daripada kerja yang dilakukan di
mana, alatan yang digunakan, tempat kerja dan kaedah kerja yang dilakukan adalah
mengikut amalan kerja normal harian, atau majikan mengarahkan sesuatu yang dilampaui
daripada skop kerja, jika dua hukum ini tidak dapat dibuktikan, maka majikan tidak
menanggung liabiliti.

Majikan hanya bertanggungjawab terhadap kerosakan yang disebabkan oleh tindakan pekerja
yang mana tindakan tersebut di dalam tempoh khidmat pekerja tersebut.
Para fuqaha bersetuju melalui manuskrip Al-Hidayah bahawa:
Ajir khass tidak menanggung liabiliti terhadap kerosakan yang berlaku semasa keharirannya
(fi yadih) (tanpa ada tindakan penyumbang) dan dia tidak menanggung liabiliti diatas
kerosakan yang berlaku akibat daripada tindakannya sendiri (min amalih)
Al-Babarti telah menghuraikan maksud kerosakan yang berlaku akibat daripada tindakannya
sendiri(min amalih) melalui contoh yang dibawakan seperti kes yang melibatkan peralatan
kerja rosak semasa tempoh pekerja bertugas (fi amalih) . Fuqaha kontemporori bersetuju
dengan syarat liabiliti vikarius melibatkan majikan dan pekerja. Ibn Abidin menghuraikan
tentang bi amalih dengan mengatakan bahawa kerja yang dibenarkan untuk diselesaikan
dan sekiranya pekerja melakukan sesuatu diluar skop ke tindakan yang terbit daripada
pekerjaan , pekerja itu sendiri akan menanggung liabiliti kerana dikira sebagai melakukan
sesuatu diluar bidang pekerjaan.
Contohnya, sekiranya seorang ajir khass menyalakan lampu atas mematuhi arahan
majikannya, dan lampu tersebut jatuh dan membasahkan kain tenunan (thiyab al-qisarah),
liabiliti bukan pada pekerja tersebut, majikan menanggung liabiliti vikarius kerana
menyalakan lampu itu satu tugas dibenarkan(bi idhnih) seorang penenun, tetapi sekiranya
lampu itu jatuh dan membasahi kain selain kain fuller, liabiliti adalah atas ajir khass kerana
terdapat aktiviti ultra vires tanpa wujudnya sebarang kebenaran. Ini adalah diluar tindakan
yang terbit daripada pekerjaan
Dalam undang-undang Inggeris, majikan tidak menanggung liabiliti atas tindakan tort yang
dilakukan oleh pekerja melainkan ianya tindakan yang terbit daripada pekerjaan. Liabiliti
ditanggung majikan secara mutlak dan tegas, sama ada terdapatnya elemen kecuaian diatas
kecuaian pekerjanya ataupun bagi pihaknya.
Kedua-dua undang-undang Syariah dan Inggeris bersetuju bahawa majikan hanya
menanggung liabiliti untuk tort yang dilakukan oleh pekerja melainkan ianya tindakan yang
terbit daripada pekerjaan. Sekiranya diluar bidang tugas, majikan akan terlepas daripada
liabiliti. Cuma, yang membezakan kedua undang-undang Syariah dan Inggeris ini ialah konsep
berkaitan within the course of employment( tindakan yang terbit daripada pekerjaan).
Terdapat juga perbezaan konsep berkenaan kecuaian (negligence). Dalam Islam, sekiranya
kecuaian daripada pihak pekerja, majikan tidak akan menanggung liabiliti vikarius. Ini
merupakan elemen yang penting dalam Islam.Walaupun ianya dalam tindakan yang terbit
daripada pekerjaan, tetapi dilaksanakan dengan cuai, majikan bebas daripada liabiliti.
Mahkamah akan melihat elemen ini secara berasingan sebelum membuat keputusan dalam
kes berkaitan.
Sebaliknya dalam undang-undang tort Inggeris, elemen kecuaian bukanlah satu elemen
penting bila keadaan tindakan yang terbit daripada pekerjaan wujud. Walaupun terdapat
elemen kecuaian pihak pekerja, mahkamah hanya akan melihat kecuaian tersebut adalah
tindakan yang terbit daripada pekerjaan atau tidak. Liabiliti akan ditanggung oleh majikan
walaupun pekerja melakukan kerjanya secara cuai. Elemen tindakan yang terbit daripada
pekerjaan ini lebih diutamakan berbanding elemen kecuai dalam undang-undang Inggeris.
4. Tindakan tort yang dilakukan pekerja untuk manfaat majikan
Dalam undang-undang Syariah menggunakan prinsip liabiliti vikarius, majikan yang menerima
manfaat daripada pekerjanya menanggung liabiliti vikarius sekiranya pekerja membuat

tindakan yang terbit daripada pekerjaan. Contohnya, sekiranya majikan mengarahkan pekerja
untuk menggali telaga, dan ada orang yang terjatuh ke dalam telaga tersebut, maka liabiliti
ditanggung oleh majikan. Ini kerana, kerja tersebut dilakukan atas untuk manfaat dan arahan
majikan tersebut.
Terdapat persetujuan pandangan kedua-dua undang-undang Islam dan Inggeris dalam
membincangkan maksud manfaat daripada kerja yang dilakukan pekerja untuk majikan.
Kedua-dua undang-undang bersetuju bahawa pekerja mesti bekerja atau melakukan
pekerjaan. Walaubagaimanapun, terdapat sedikit perbezaan secara terperinci yang mana
Islam tidak menggariskan tanggungjawab vikarius liabiliti sekiranya pekerja melakukan
tindakan dengan cuai walaupun dia melakukan pekerjaan untuk manfaat majikannya.
Manakala, dalam undang-undang Inggeris pula, elemen kecuaian tidak diutamakan untuk
pekerja yang melakukan tindakan untuk manfaat majikannya dalam tindakan yang terbit
daripada pekerjaan.
5. Kerja yang dilakukan oleh pekerja mematuhi undang-undang
Dalam Islam, adalah menjadi satu keutamaan pekerja melakukan kerja yang diberikan oleh
majikan mematuhi undang-undang (mashru). Sekiranya melibatkan harta benda orang lain,
arahan majikan tersebut boleh diabaikan oleh pekerja kerana undang-undang Islam tidak
membenarkan satu kerja dibuat yang melibatkan harta benda orang lain melainkan dengan
persetujuan orang itu.
Sekiranya seseorang mengarahkan orang lain untuk memegang harta benda orang lain
secara tidak sah, orang yang memegang harta benda itu menanggung liabiliti kerana arahan
orang pertama dianggap tidak wujud. Dalam apa-apa situasi pun arahan wujud, liabiliti tidak
ditanggung oleh pemberi arahan.
Dalam kes tertentu, pekerja menanggung liabiliti sekiranya pekerja tersebut melibatkan
kerosakan harta benda pihak ketiga melalui arahan majikan, pekerja tersebut layak untuk
membuat permohonan gantirugi daripada majikan sekiranya dia tidak tahu bahawa tindakan
itu tidak mematuhi undang-undang. Contohnya, sekiranya majikan mengarahkan pekerja
menggali telaga dalam sebuah tanah yang dimiliki oleh orang lain, pekerja tersebut
menganggap bahawa ianya kepunyaan majikannya, maka majikannya itu bertanggungjawab
terhadap tindakan pekerjanya.
Sekiranya pekerja menyedari bahawa tindakan majikan itu melanggar undang-undang, liabiliti
akan ditanggung oleh pekerja bukan majikan. Contohnya, majikan mengarahkan pekerja
menggali telaga di jalanraya dan majikan menyedari keadaan tersebut melanggar undangundang, pekerja tersebut menanggung liabiliti sekiranya berlaku kerosakan. Secara
ringkasnya, dapatlah diketahui bahawa undang-undang Islam ini mengutamakan mahkamah
untuk melihat kes ini secara menyeluruh sebelum keputusan dibuat.

Kesimpulan
Al-Quran merupakan sumber rujukan utama undang-undang Islam. Sunnah Rasulullah s.a.w.
merupakan rujukan kedua terpenting selepas Al-Quran manakala ijmak ulama pula menjadi
sumber rujukan ketiga dan seterusnya qias merupakan sumber rujukan keempat. Undangundang Islam bermatlamat untuk mewujudkan keharmonian dan keselesaan kehidupan,
manakala dalam konteks pekerjaan, Islam sangat mengutamakan konsep bekerja dengan
selamat dan sihat malah semestinya tidak bertentangan dengan syara.

Firman Allah bermaksud:


dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan.
Perbaikilah segala usaha dan perbuatan kamu kerana sesungguhnya Allah mengasihi
orang yang berusaha supaya baik amalannya (Surah Al-Baqarah, ayat 195)
Islam juga menetapkan tanggungjawab bersama majikan dan pekerja untuk mengelakkan
kemudaratan sedaya mungkin. Budaya keselamatan dan tuntutan berhati perlu diamalkan di
tempat kerja bagi wujudkan suasana tempat kerja yang selamat dan sihat.
Sabda Rasulullah s.a.w maksudnya:
Setiap kamu adalah pemimpin, setiap pemimpin akan dipertanggungjawabkan kepada
jagaannya, seorang pemimpin yang menjaga manusia, ia bertanggungjawab terhadap
rakyatnya, seorang lelaki bertanggungjawab di atas keluarganya, seorang wanita adalah
penjaga di rumah suaminya dan ia bertanggunjawab atas jagaannya. Seorang khadam
penjaga harta-benda tuannya dan ia bertanggungjawab atas jagaannya. Setiap kamu adalah
pemimpin(penjaga) dan setiap kamu akan ditanya tentang jagaan yang berada
dibawahnya.(Riwayat Bukhari, Muslim dan banyak lagi)

Rujukan
1) Abdul Basir Mohamad.1999.. Undang-undang Tort Islam
2) Abdul Basir Mohamad. Vicarious Liability: A Study On Employer and Employee in The
Islamic And English Law of Tort
3) Abdul Basir Mohamad.2000. Strict Liability in The Islamic Law of Tort
4) Wan Ali Wan Jusoh.Hubungan Majikan dan Pekerja dari Perspektif Islam
5) Rahim Dino Mahar. 2005.Dignity of Labour in Islam
6) Hj Ahmad Hj Awang.1988. Konsep Bekerja Menurut Pandangan Islam.Sinaran Islam.
7) Mustafa Abdul Rahman. Hadith 40 (Terjemahan dan Syarahnya)
8) Said Ramadhan Al-Buthi. Sirah Nabawiyyah
9) Khairul Azhar Idris. Akauntabiliti Menurut Perspektif Islam
10) Khalijah Mohd Salleh. 2009. Sains Tauhidik: Model, Ciri-ciri, Kegiatan dan Amalan. Seminar
Pendidikan Sains dan Teknologi Maklumat (STeM09) Kongres Pengajaran dan Pembelajaran
UKM 2009
Posted by Ahmad mahir danial at 12:18 PTG
Kategori Undang-undang Tort Islam

Anda mungkin juga menyukai