Anda di halaman 1dari 11

Kupasan Novel Tirani Tingkatan 5

Novel Tirani karya Beb Sabariah saya kupas dengan tajuk


"Menyingkap Rahsian Tirani dengan Kaca Mata Femenisme"
adalah juga tentang dilema seorang wanita dalam industri, iaitu
industri pelancongan di Sarawak, khususnya perusahaan
penginapan chalet dan homestay.
Inti cerita ialah obsesi Waheeda mahu menjadi seorang cantik dan
berhidung mancung kerana hidung asalnya pesek, dan obsesinya
untuk mencapai kemajuan atas nama dirinya dalam bidang
pelancongan sehingga mengabaikan batas-batas pergualan
sebagai isteri (mengikut Zahid suaminya).
Untuk menjadi cantik Waheeda yang kebetulan hidungnya digigit
monyet melakukan pembedahan rekonstruksi atau pembinaan
semula wajahnya dengan memasang hidung palsu
menjadikannya hidungnya mancung dan cantik. Dengan
kejayaannya menjadi cantik datang jugalah kejayaannya dalam
bidang perusahaannya apa lagi suaminya adalah anak seorang
rakan niaganya, Datuk Yaser.
Kedua-dua kejayaan Waheeda yang pada perkiraan lojika
manusiawi sudah boleh menghasilkan kejayaan besar sebenarnya
tidak menjadi kerana apa yang diperlehinya itu yang merosakkan
kehidupannya. Kecantikannya itu menyebabkan tugasnya
bertambah berat dan harapan orang terhadapnya melambung
tinggi sehingga tidak larat dia mengisinya.Kejayaannya berkahwin
dengan seorang peguam sarjana dari Amerika yang kebetulan
adalah anak Datuk Yaser juga gagal walaupun pada perkiraan
biasa wajar berjaya dan membahagiakan.
Bagaimanapun Beb Sabariah, seorang Ahli Jawatankuasa Pesaka,
ahli aktif KEPEZI dan seorang bekas peserta Kursus Asas
penulisan GPPS pada tahun 1998, harus diberi sekalung bunga
tanda kejayaan kerana dapat menghasilkan sebuah novel yang
indah dan rapat dan jitu jalinan plot dan isinya.
Dalam novel itu cinta Waheeda terhadap suaminya begitu
mendalam sehingga jatuh sakit jiwa setelah diceraikan oleh
suaminya, dan tekadnya untuk berjaya dan berdikari dalam

bidang pelancongan dengan menguruskan sebuah homestay di


Matang juga begitu mendalam sehingga berlaku pertembungan
amat tragis di antara kedua-duanya, apabila Zahid mencemburui
dan syak wasangka terhadap tingkah laku isterinya.
Tirani, novel pertama Beb Sabariah, seorang penulis dari Sarawak, yang memulakan
kerjaya penulisannya secara serius setelah berusia lebih 50 tahun, merupakan
sebuah novel yang mengandungi jalin anyam serat penceritaan yang menarik dan
mengupas persoalan mencabar dan amat relevan dengan perkembangan
sosiobudaya semasa, khususnya di Sarawak.
Seting novel ialah perkembangan industri pelancongan dan hospitaliti terutama
pelaksanaan konsep homestay atau kemudahan berambih di Matang, Kuching dan
chalet pergunungan di Cameron Highland di samping resort Flamingo de La Rossa di
Pulau Sentosa di Singapura. Seting sampingan ialah Pusat Perubatan Singapura
SMC dan rumah kediaman kawan watak utama di Singapura.
Dalam novel ini penulis menjalinkan plot ceritanya dengan kemas untuk
memaparkan satu konflik kehidupan seorang wanita yang gagal kehidupan
rumahtangganya dalam kejayaan perniagaannya, dan kecewa setelah memperoleh
apa yang dicita-citanya.
Kalau kebanyakan cerita menyusur perkembangan usaha dan tindak-tanduk
seseorang yang mencari kejayaan sehingga berjaya akhirnya, Tirani pula
mengisahkan kegagalan dan kekecewaan kerana kejayaan yang dicapainya.
Di dalam penceritaannya pengarang menghurai dan menjelaskan yang kejayaan
dan pencapaian cita-cita itu tidak semestinya klimaks bagi sesuatu perjuangan dan
betapa kehidupan itu lebih kompleks dari semata-mata pengisian cita-cita dan
hasrat. Di sinilah ciri kematangan cara penceritaan novelis ini dan memberi
kedalaman pada penceritaannya sehingga cukup menarik.

TAFSIRAN
Dalam makalah ini novel Tirani karya Beb Sabariah ini dikupas menggunakan teori
feminisme dengan keyakinan pendekatan itu akan menghasilkan satu tafsiran yang
cukup menarik terhadap permasalahan yang cuba digarapkan oleh pengarang
dalam novelnya.
Dengan memilih landasan itu sandaran ialah pendirian bahawa feminisme itu
himpunan teori sosial, gerakan politik, dan falsafah moral yang sebahagian
besarnya didorong oleh/atau berkenaan dengan pembebasan perempuan daripada

dominasi atau pengetepian oleh kaum lelaki, baik secara dasar sosial atau politik
atau tindakan peribadi.
Dalam teori feminisme tumpuannya terutamanya adalah terhadap kesamaan sosial,
politik dan ekonomi antara kedua-dua jantina, berdasarkan keyakinan bahawa
jantina tidak harus merupakan faktor penentu yang membentuk identiti sosial atau
hak-hak sosiopolitik dan ekonomi seseorang.
Apa yang harus kita fahami ialah feminisme bukan sudut pemahaman baru dan
bukan gejala zaman moden kerana Plato dalam teks terkenalnya Republik sudah
menegaskan supaya tidak disandarkan peranan sosial dan kekeluargaan
berdasarkan jantina. Selain itu dalam bidang kesusasteraan Greek purba terdapat
sebuah karya komedi, Lysisrata karya Aristophanes yang temanya ialah ideal-ideal
feminisme.
Di Barat moden karya terawal yang membicarakan ideal feminisme ialah A
Vindication of the Rights of Women karya Mary Wollstonecraft dalam tahun 1792.
Di Amerika fahaman feminisme lahir sebagai cabang gerakan membasmikan
perhambaan kulit hitam serta gerakan mahu mengharamkan minuman keras. Di
antara pencapaian awal gerakan ini ialah hak mengundi untuk wanita setelah dalam
Seneca Falls Convention pada tahun 1848 yang melahirkan manifesto yang
menuntut hal mutlak wanita ke atas hartanya dan hak bercerai daripada suaminya,
memelihara anak dan menamatkan diskriminasi dalam bidang pekerjaan dengan
taraf gaji sama dan hak untuk mengundi. Hak itu dicapai dengan pindaan ke-19
perlembagaan Amerika Syarikat yang memberi hak mengundi kepada wanita.
Fahaman ini terus menular ke seluruh dunia dengan khususnya menyerang apa
yang dianggapnya sebagai ketaksamaan sosial, politik, dan ekonomi antara keduadua jantina yang memihak kepada kaum lelaki sehingga menjejaskan kepentingan
kaum perempuan.
Para aktivis politik feminisme moden biasanya berkempen memperjuangkan hak
asasi manusia untuk kaum wanita yang merangkumi keutuhan badan serta
kebebasan hak pembiakan, termasuk hak pengguguran yang selamat dan sah di sisi
undang-undang, pencegahan hamil, mutu jagaan pranatal, perlindungan daripada
keganasan dalam perkongsian rumah tangga, penganiayaan seks, penganiayaan di
jalan raya, diskriminasi dan rogol, serta juga hak tempat kerja untuk cuti bersalin
dan gaji yang sama.
Banyak ahli gerakan feminisme pada hari ini menganggap feminisme sebagai suatu
gerakan akar umbi yang bertujuan untuk merentasi sempadan kelas sosial, bangsa,
kebudayaan dan agama.
Dalam bidang kesusasteraan pendekatan feminisme di barat menjadi satu
pendekatan yang cukup ketara terutama pada penghujung tahun 1970-an apabila

teori feminisme diperluaskan daripada awalnya hal ehwal linguistik dan


kesusasteraan. Bagaimana sejak pertengahan 70-an hingga awal 80-an telah wujud
perbalahan pendekatan dengan hujah bahawa perbezaan keturunan, kelas
kehidupan dan budaya menimbulkan perbezaan penting di kalangan wanita di
tempat dan pada zaman yang berbeza sehingga sesuatu ciri universal feminisme
tidak boleh dipegang. Dengan kata lain teori feminisme dalam sastera telah
berkembang dan bercambah melahirkan pelbagai cabang sehingga dicirikan oleh
perspektif global dan dipengaruhi oleh nilai-nilai tempatan.
Segolongan pengkiritik bidang sastera sejak awal lagi apabila menggunakan teori
ini selalunya mendekati karya dengan melihat pemaparan citra wanita dalam karya
diteliti, dan bagaimana kekuasaan ideologi lelaki diterapkan di dalam karya dikaji.
Golongan lain pula meneliti karya dihasilkan oleh penulis wanita dan mengkaji
bagaimana mereka menulis merantangi zaman dan usia serta tafsiran mereka
terhadap diri mereka dan realiti sekitaran mereka.
Dengan mengkaji Tirani makalah ini mampu menggunakan kedua-dua pendekatan
iaitu melihat bagaimana citra wanita dipaparkan dalam konteks kekuasaan lelaki
baik secara konfrantal atau paralel.
Makalah ini dapat juga meneliti sebuah hasil penulis wanita memaparkan persoalan
feminisme dalam suatu komuniti budaya pada suatu zaman.

MENDEKATI TIRANI
Dalam makalah ini Tirani karya Beb Sabariah dikupas menggunakan pendekatan
tradisional iaitu melihat bagaimana citra wanita dipaparkan, persoalan yang mereka
hadapi dalam mencari identiti dan kekuatan sebagai individu yang berdikari dan
berjayakah tidak usaha itu di dalam novel ini.
Dalam novel yang cukup tebal ini memang banyak kenyataan yang bersifat feminin
dan memang kenyataan atau fakta cerita itu cuba memperkukuhkan ideal
feminisme. Diyakini apabila pengarang menulis buku itu dia dengan sedar mahu
menerapkan unsur feminisme dan mahu memaparkan bagaimana ideal feminisme
ala barat kurang berjaya di sini dan apa-apa unsur yang menghalang penerapan
feminisme di Malaysia amnya dan di Sarawak khususnya sehingga wujud bentuk
feminisme setempat dan sezaman.
Dalam buku itu sendiri istilah feminisme disebut langsung seperti pada M17-18
apabila pengarang menulis Teruja kembali semangat feminisme mengimbau
ingatan pojok Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keluarga dan Hal Ehwal
Wanita, Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Sarawak, Datuk Sharifah Maznah.

Jelas benar sifat feminin mewarnai seluruh pandangan dalam novel dan itu juga
yang menjadi punca konflik. Misalnya pada muka 1 ada kenyataan berbunyi Topik
berkaitan kecantikan menarik perhatiannya. Dan topik inilah yang menjadi tulang
belakang cerita kecantikan. Pada muka 17 penulis menegaskan keyakinan diri
lebih membuat wanita berfungsi dengan cemerlang, gemilang dan terbilang dan ini
diterap di dalam perwatakan Waheeda sebagai watak utama.
Pada muka 18 watak utama, Waheeda menegaskan bahawa kejayaan masyarakat
sering dikaitkan dengan kecantikan wanita dan Waheeda yang mahu memenuhi
ideal itu sanggup menjalani pembedahan plastik mengubah wajah kerana mahu
mencapai kejayaan. Dan sesungguhnya dia mencapai kejayaan kerana dia cantik.
Malangnya kecantikan itu juga membawa padah buruk baginya.
Sebagai feminis penulis mengkritik masyarakat lelaki pada muka 17 kerana
kebanyakan lelaki mengutamakan wanita yang lebih kelihatan cantik daripada
kelihatan cerdik. Dia merumuskan bahawa lelaki memang lebih pandai melihat
daripada berfikir. Pendirian ini jelas menjadi dasar perkembangan plot novel ini
dengan menulis memperlihatkan betapa perangai lelaki tidak mahu berfikir secara
mendalam meruntuhkan segala kejayaan dicapai oleh heroin. Apabila lelaki yang
menjadi watak utama sudah mula menggunakan fikiran dan intelek dia mendapati
dirinya terpaksa tunduk kepada wanita yang pernah dihinanya.
Kenyataan pada muka 126 adalah satu kenyataan yang lansung feminin yang
dirasakan oleh pengarangnya sesuai dengan adab timur.
Wanita kini harus lebih berketerampilan. Wanita timur yang ingin berjaya tidak
semestinya hanya tahu menuntut hak sama rata antara gender seperti orang barat.
Dalam sektor perniagaan, lelaki dan wanita seharusnya bekerjasama sebagai rakan
kongsi, yang penting kita harus mempunyai kesedaran diri, bijak mengubah sikap,
bijak memimpin, menjana idea dan kreatif, bijak membangun organisasi dan harus
bersedia memindah kemahiran orang lain yang terbukti berkesan.
Kenyataan ini sesungguhnya diamalkan oleh watak utama dan pengamalan
kenyataan itu juga mengorbankan dirinya dan rumah tangganya dan kemudiannya
itu juga yang menyelamatkan dia daripada terus menderita jiwa kerana tindak balas
negatif daripada suaminya.
Sebagai bukti keyakinan penulis terhadap kenyataan itu Waheeda sebagai watak
utama dapat bangkit kembali dan menegaskan kebenarannya sehingga Zahid,
bekas suaminya melutut untuk kembali kepadanya satu takah kemenangan amat
besar walaupun agak terlambat bagi suatu idealisme.
Penulis menegaskan bahawa watak utama itu adalah seorang yang melalui
metamorfosis setelah menjalani pembedahan rekonstruksi wajah yang dibenarkan
oleh syarak kerana hidungnya yang menjadi lambang penderitaannya dan

penolakan orang terhadapnya dicakar monyet yang entah kenapa sekali itu sahaja
masuk ke pejabatnya di Tajau Emas.
Pembedahan rekonstruksi itu menjadikan Waheeda orang yang anggun penampilan,
meyakinkan, menarik dan ada keistimewaan tersendiri. Ini dilafazkan oleh Bazilah
sahabatnya dan ini adalah salah satu ciri feminin yang ideal.
Bagaimanapun kita dapat melihat pada muka 172 dan 173 betapa penghayatan
dan pengalaman semangat itu menimbulkan masalah peribadi kepada Waheeda
setelah menjadi Ratu Pelancongan kerana
rutin siang sudah cukup mendambakan komitmen yang tinggi sepanjang masa. Ini
ditambah pula kehadiran di sebelah malam yang begitu dituntut oleh pengurus
besar.
Hakikatnya sekalipun senang dengan citra barunya sebagai wanita cantik jiwanya
pula memberontak. Di lubuk hati Waheeda tercerna rasa kesian kepada dirinya.
Mana tidaknya rutin siang sudah begitu menghambat ditambah pula kerja
tambahan sebelah malam sehingga majlis merisik atau menghantar tekul dirinya,
dia tidak ada masa untuk amlbil peduli. Dia sedar dia melakukan kesalahan dan
memilih untuk mengikut hasratnya menjadi wanita kerjaya yang penuh komitmen
terhadap tugas tapi tarikan feminisme lebih kuat sebagai asas perjuangan dan
tuntutan daripada metamorfosisnya.
Konflik antara tuntutan hati peribadi dan tuntutan penghayatan feminisme
disimpulkan oleh penulis dengan berkata
Penangan seorang ratu rupa-rupanya lebih merumitkan daripada kehidupan biasa si
hidung pesek, si mata kuyu atau si mata sepet.
Penulis melalui kenyataan batin watak utama menegaskan bahawa masalah orang
biasa sekadar perasaan rendah diri yang boleh dinyahkan tanpa membuat
pengorbanan, penyisihan diri daripada keluarga tersayang. Di sinilah kunci konflik
dalam novel ini iaitu pengorbanan yang melampau demi idealisme diri, sehingga
jasad dan jiwa tersiksa.
Setelah kita membaca novel ini seolah-olah terkesan oleh kita Waheeda secara
sedar mendapati dirinya dilanda serba masalah kerana mahu jadi orang lain dan
mengamalkan ideologi yang asing daripada budaya bangsanya. Pengubahan
wajahnya telah mengubah keterampilannya dan mengubah nasib dirinya sehingga
memuncak bahagia tapi surut ke tahap tidak keruan atau depression yang hampir
sampai ke meroyan atau skizofrenia.
Mungkin juga sebagai pengajaran dan amaran dalam cerita ini Waheeda tidak
menyatakan kesalannya secara menghukum diri sendiri, sebaliknya menerima

seadanya nasib itu dengan berani melangkah terus ke seberang Laut China Selatan
dengan membuka bisnes di Cameron Highland.
Dan lebih menarik lagi melalui perkembangan ceritanya Beb Sabariah menghukum
lelaki yang tidak memahami perjuangan feminisme Waheeda dengan melibatkan
Zahid dalam kemalangan sehingga hilang kejantanannya. Bagaimanapun malang
sekali lagi bagi Waheeda yang masih baru berusia 45 tahun itu nampaknya terpaksa
menerima balik lelaki yang sudah tidak lelaki lagi sebagai suami pada akhir
ceritanya.

FEMINISME VS MALE CAUVINISME


Novel ini juga memperlihatkan titik konflik di antara Waheeda seorang pejuang
feminisme dalam hubungannya dengan lelaki. Ada sekurang-kurangnya enam lelaki
di luar lingkungan keluarga yang bertembung hidup dengan Waheeda dan daripada
itu timbul konflik secara disedari atau tidak.
Lelaki pertama yang menimbul masalah ialah Dr Zahari tunang Bazilah yang pada
akhir pertemuan semacam jatuh hati dengan Waheeda sehingga Bazilah menjadi
gelisah dalam diam dan Waheeda berpindah dari rumah kediaman Bazilah demi
menyelamatkan keadaan. Ini tidak mungkin berlaku sekiranya Waheeda masih
berhidung pesek.
Lelaki kedua yang menimbul konflik ialah Dr Rushdi atau Dr Averoes dari Sepanyol,
pakar rinoplasti yang membentuk semula hidungnya yang pesek jadi mancung.
Sudah ada tanda-tanda jatuh cinta kepadanya sehingga menimbul rasa cemburu
kepada Zahid sejak bertunang sehingga ketika pertemuan kemudiannya apabila
Waheeda mengandung si Izzati.
Lelaki ketiga ialah Halloway, CEO Flamingo de La Rossa , yang menuntut secara
berlebihan komitmen Waheeda terhadap kerja dan yang memperoleh pengesahan
akan kecantikan Waheeda melalui pertandingan Ratu Pelancongan Antarabangsa.
Hubungan profesional itu dicemburui oleh Zahid sejak belum apa-apa lagi sehingga
semasa Waheeda sudah menjadi isterinya.
Lelaki keempat ialah pelancong Dawood dari Dubai yang ditemuinya bersama
Waheeda di chalet dan membawa kepada kemuncak konflik rumah tangganya.
Rasanya Dawood sendiri tidak sedar dia menjadi punca perpecahan rumah tangga
orang.
Lelaki kelima yang wujud dalam kehidupan Waheeda dan menimbulkan konflik di
antara pegangan hidupnya dengan prinsip kekeluargaan ialah bapa mertuanya
Datuk Yasser yang ingin mencantumkan kedua-dua perniagaan keluarga: dia dan
besannya menjadi satu dan ini ditentang oleh Waheeda. Waheeda mahu kekal

dengan pendirian feministiknya, mahu menjadi insan yang bebas sekalipun dituduh
individualistik.
Pasti lelaki keenam yang menimbulkan masalah ialah Zahid suaminya, dan anak
Datuk Yasser yang memujanya dan mengatakan kepada Datuk Yasser bahawa
Waheeda itu hebat, anggun seperti seorang bintang, mewah dengan senyuman dan
memukau. Katanya Waheeda adalah lebih daripada First Lady of America,
sebaliknya wanita kerjaya, anggun dan nampak sempurna sekali.
Namun Zahid akhirnya menceraikan dan meninggalkan Waheeda kerana
keanggunan dan obessi atau kegilaan Waheeda terhadap kerjanya, yakni
pengamalan konsep feminisme, dan citra wanita yang awalnya dipujanya. Jelas
Waheeda berhadapan dengan dilema it is bed or board iaitu sama ada melayan
suami dan menjaga rumah tangga atau cergas dan cekap dalam perniagaan dan
urusan profesional.
Memang ada ramai lelaki lain yang ada kaitan dengan Waheeda tetapi mereka lebih
merupa pembantu penggerak cerita yang tidak menimbulkan konflik kepadanya. Ini
termasuklah ayahnya, Haji Fadhil, abangnya Ghazi, Lais dan Pak Cik Aziz yang
menjualkan chalet di Cameron Highland .

IKON FEMINISME
Lewat novelnya Beb Sabariah membentangkan ciri-ciri yang menjadi ikon insan
feminis. Pada muka 240 terhimpun banyak sekali pemerian insan feminis yang ideal
itu iaitu Waheeda. Di antaranya pengarang menulis yang Waheeda petah dan
ramah, sesuai dengan tugas di bidang perkhidmatan perhotelan. Waheeda disebut
oleh ibunya sebagai wanita berdikari, kuat berusaha berjaya dari segi ekonomi.
Menerusi bisik hati Waheeda selaku watak utama Beb Sabariah melukiskan ciri
insan feminis berjaya ialah cekal hati, berjuang supaya tidak menjadi mangsa orang
lain (lelaki?). Pada muka 265 Waheeda mengaku dia bukan semata-mata cantik
malah bijak. Dan ciri-ciri itu juga yang menjebaknya ke dalam kekecewaan dan
penderitaan batin sehingga terpaksa menjalani terapi jiwa.
Hakikat yang penting yang menampakkan jenis feminisme mahu diterapkan oleh
pengarang ialah apabila dinyatakan pada muka 310 bahawa Izzati sudah membesar
menjadi gadis sunti yang bijak dan amat berdikari.
Juga dikatakan yang Izzati mengikut jejak langkahnya menjadi wanita korporat,
wanita berjaya, wanita berdikari, wanita Melayu yang mempunyai jati diri. Itu cogan
perjuangan femenisme Beb Sabariah yang ditiupkan melalui novelnya.
NASIHAT

Beb Sabariah menyampaikan nasihat terhadap orang-orang seperti Waheeda


melalui kenyataan Dr Qamariah di Hospital Pusrawi Kita jangan sentiasa
mengangap diri kita baik kerana anggapan begitu adalah satu sifat ujub. Untuk
membanteras sifat ini, kenangkanlah diri kita yang mempunyai kelemahan. Lemah
sebagai insan biasa apatah lagi jika dibandingkan dengan kekuasaan Allah SWT
yang tidak terbatas.
Agak aneh juga yang isi kaunseling itu meresap ke dalam jiwanya Waheeda dan dia
tidak membantah kenyataan itu sedangkan secara semangat kenyataan itu agak
bertentangan dengan pendirian yang pernah dianutinya. Sebaliknya Waheeda
bertekad membuka lembaran baru dalam hidupnya. Dia kini lebih positif.
Nasihat daripada pengarang juga dipancarkan daripada syarahan kecil Ghazi (muka
303) janganlah kita jadi bodoh mengingati perkara lalu. Kebodohan tidak pernah
menyelesaikan sesuatu masalah. Bukalah lembaran hidup baru..
Kenyataan Ghazi juga agak bercanggah dengan keperibadian adiknya sehingga
adiknya membantah akan perkataan bodoh di dalam kenyataan itu. Bagaimanapun
ia menjadi pegangan baru kepada Waheeda dan menjadi azimat baginya membuka
sebuah perniagaan yang baru di Cameron Highland.

HUKUM KARMA
Ada unsur hukuman atas dua watak utama di dalam novel ini kerana kesalahan
tindakan mereka dalam hidup.
Waheeda dijatuhkan hukuman hidup tidak menentu kerana melakukan pembedahan
plastik walaupun alasannya dia melakukan rekonstruksi. Zahid yang dikatakan
berhati mulia akhirnya dikenakan hukuman berat menjadi tempang dan hilang
kejantanannya kerana cemburu melampau.
Setelah melalui hukuman itu nampaknya Waheeda tidak reda dan terus dengan
pendirian dan sikap lamanya sebagai wanita kerjaya yang berjaya tetapi Zahid yang
membawa diri ke Amerika datang merunduk minta maaf dan mahu kembali ke
pangkuan bekas isterinya.
Dengan kata lain pengarang mahu menegaskan yang tidak salah seseorang itu
memperbaiki dirinya termasuk melakukan rekonstruksi wajahnya dan terus bergiat
dalam bidang kerjayanya.

BEBERAPA PERSOALAN

Dalam memperkembangkan ceritanya Beb Sabariah membubuh pelbagai subplot


dan unsur penceritaan untuk menjadikan karyanya menarik. Namun dalam usaha
itu berlaku beberapa kejanggalan terutama dalam kenyataan-kenyataan mengenai
waktu dan zaman. Tidak dapat dipastikan apakah itu kesilapan teks asal atau
kelemahan penyunting sehingga berlaku kelonggaran dalam kenyataan waktu.
Dalam Tirani ada beberapa kenyataan mengenai waktu atau masa yang
menyelirukan dan memperlihatkan ketidak-telitian penulis dan editor.
Satu kesilapan yang cukup menyesak ialah apabila Socrates kurun ke-19 selepas
Masihi pada muka surat 114. Ini memang nyata salah kerana Socrates wujud pada
tahun 470 - 399 sebelum Masihi.
Pada muka surat 121 yang menyentuh zaman pula Iban dari Skrang menyerang
Bung Bratak kira-kira 2000 tahun dahulu dan seorang pemimpin Bidayuh, Penghulu
Kulow meminta bantuan Brookes. Dalam sejarah sebenarnya Brookes datang ke
Sarawak baru sekitar 200 tahun yang lalu.
Berdasarkan teks juga Waheeda bertolak ke Singapura semasa 7 Oktober 2004 iaitu
tarikh Jembatan Satok runtuh. Ini menjadi waktu berlakunya permulaan cerita.
Bagaimanapun untuk mewujudkan babak keinsafan Zahid maka pertemuan kembali
tiga beranak di Cameron Highland mengikut perkiraan ialah sekitar 2026 iaitu dua
puluh tahun selepas perkahwinan dalam Tahun 2005 dan kelahiran Izzati dalam
tahun 2006. Di sini penulis terperangkap sehingga terpaksa menceritakan sesuatu
yang futuristic tetapi dengan senario 2008-an lagi.
Satu hal yang menarik ialah semacam tidak ada pandangan, nasihat dan
campurtangan sewajarnya daripada kedua-dua keluarga yang terlibat terhadap
tindakan Zahid menceraikan isterinya. Tidak ada diceritakan oleh pengarang akan
hal itu. Kalau ini benar maka itu agak bercanggah dengan peranan keluarga dan
amalan biasa masyarakat serta jentera pentadbiran agama di negeri Sarawak
yangv tidak mudah meluluskan perceraian dan banyak babak kaunselingnya.
Pada akhir novelnya pengarang membayangkan ada kemungkinan mereka tamat
menjalani hukuman itu dan beroleh kebahagiaan.

SIAPA TIRANI?
Persoalan terbesar mungkin ialah siapa dia tirani dalam novel ini? Di sana sini
disebut yang kecantikan itu adalah tirani yang pendek hayatnya. Ini disebut oleh Dr
Rushdi sebagai nasihat kepada Waheeda sebelum melakukan rekonstruksi wajah
dan diulangnya semasa bercuti di Matang. Bagaimanapun kecantikan masih dimiliki
Waheeda sehingga lebih 20 tahun selepas kenyataan Dr Rushdi itu.

Kamus Dewan edisi ke empat memberi definisi bahawa tirani ialah corak
pemerintahan yang zalim oleh pemimpin yang menggunakan kekuasaan sesuka
hati. Kajian perwatakan dalam novel ini tidak menunjukkan wujud seorang insan
atau pemerintah sedemikian. Kalau adapun hanyalah Halloway dan Pengurus
Besar di Flamingo de La Rossa, yang peranannya terlalu kecil dalam novel ini.
Kalaulah Zahid hendak kita kaitkan dengan sifat tirani, agak kurang tepat kerana
Zahid punya alasan dan landasan yang cukup munasabah untuk bertindak
sebagaimana yang berlaku, walaupun kita mungkin tidak setuju.
Sehingga akhir pembacaan kita masih tercari-cari di mana tiraninya kerana
tindakan utama setiap watak bukan kerana penggunaan kuasa sesuka hati.

RUMUSAN
Di tinjau dari segi aplikasi teori feminisme, memang Beb Sabariah berjaya
menerapkan fahaman feminisme tetapi menjadi femininisme Islamis atau
feminisme pascakolonial.
Dengan kata lain Beb Sabariah cuba dan berjaya menerapkan konsep feminisme
sebagaimana dicetuskan oleh Barat dan menerapkan juga masalah pelaksanaan
feminisme di Malaysia khususnya dan di Timur amnya di mana nilai keluargaan atau
filial values masih kukuh.
Penerapan dilakukan oleh Beb Sabariah sesuai dengan fokus kritikan feminisme
semasa yang mengambil kira kedudukan wanita dalam masyarakat yang berbeza
dengan pertimbangan yang berbeza dari segi agama, kelas dan orientasi seksual
yang mengambil kira bahawa masalah dan matlamat perjuangan sekumpulan
wanita boleh berbeza dengan sekumpulan lain. Lantas persoalan dan paparan
dikemukakan oleh Beb Sabariah adalah masalah feminisme di Sarawak khasnya dan
Malaysia amnya.
Kesimpulannya sebagai sebuah karya, walaupun terdapat beberapa kelemahannya,
Tirani masih boleh dikira berjaya untuk mengenengahkan perutusan feminismenya.

Anda mungkin juga menyukai