Anda di halaman 1dari 5

AJUK : Pendemokrasian Pendidikan di Malaysia

1.Pengenalan
Pendidikan adalah salah satu institusi yang sangat penting untuk kemajuan masyarakat dan
pembangunan insan yang menganggotainya. Melalui pendidikan, kita boleh mewariskan serta
mengembangkan nilai dan ilmu serta memajukan teknologi dan peradaban dari generasi ke
generasi. Begitu juga, melalui pendidikan  kita boleh menambah kemahiran serta kebolehan
insan,  memperbaiki kedudukan sosio-ekonominya, dan mempertajam fikiran yang kritikal serta
kritis, dan mempertingkatkan nilai akhlak.  Pendidikan adalah merupakan satu kekuatan nasional
yang boleh menjamin masa depan rakyat dan juga kecemerlangan negara. 

 Hussein Haji Ahmad (1993) telah menyenaraikan beberapa fungsi umum pendidikan iaitu
seperti sebagai penyalur budaya dan ilmu, penyalur kemahiran dan ketrampilan, penyalur
kepercayaan dan sistem, persediaan untuk alam pekerjaan, pengawasan belia, remaja dan kanak-
kanak,  dan perhubungan rakan sebaya.  Beliau juga membuat kesimpulan bahawa peranan
sistem pendidikan sehingga akhir tahun 1980-an bermotif tiga perkara utama.  Pertamanya
pendidikan untuk menyediakan tenaga kerja negara.  Keduanya pendidikan sebagai asas
perpaduan kaum.  Ketiganya pendidikan adalah untuk pembinaan disiplin di kalangan rakyat
berbilang kaum.

 Negara sudah merdeka selama 44 tahun.  Negara telah mengalami banyak perubahan dalam
sistem pendidikan. Bermula dari Penyata Pelajaran Razak (1956), ordinan pelajaran 1957,
Laporan Abdul Rahman Talib (1960), akta Pelajaran (1961) dan laporan Kabinet (1979). 
Hasilnya berlaku perkembangan dalam sistem pendidikan negara. Perkembangan yang berlaku
dalam sistem pendidikan berjalan secara terancang dan teratur. Banyak kemudahan–kemudahan
pendidikan telah dibangunkan dan pendemokrasian pendidikan telah menjadi satu dari dasar
sistem pendidikan di Malaysia. 
 

2. Definisi Pendemokrasian Pendidikan 


 Mengikut Kamus Dewan pendemokrasian bermakna peluang, tindakan atau proses manakala
pendidikan  bermaksud mendidik dengan ilmu pengetahuan.  Pendemokrasian pendidikan
bermaksud memberi peluang-peluang yang sama untuk semua kanak-kanak mendapatkan
pendidikan. Pendemokrasian pendidikan itu ditegakkan atas beberapa prinsip antaranya setiap
orang adalah berhak ke atas pendidikan.  Pendidikan haruslah boleh dipelajari secara bebas,
tanpa sebarang sekatan-sekatan yang tertentu atau setidak-tidaknya pada peringkat asas dan
peringkat dasar. Salah satu aspek pendemokrasian pendidikan di Malaysia ialah memberikan
peluang seluasnya kepada pelajar untuk mendapat pendidikan tanpa mengira kelas sosial, kaum
dan juga gender. Pendemokrasian pendidikan merupakan salah satu strategi untuk mencapai misi
pendidikan negara, telah mendedahkan masyarakat Malaysia kepada peluang yang luas bagi
memperolehi pendidikan pada semua peringkat. Di Malaysia, pendemokrasian pendidikan tidak
berlaku  semasa zaman penjajahan. Anggota-anggota masyarakat tidak mempunyai peluang yang
sama apabila sekolah–sekolah dibezakan mengikut kaum, kelas atau status, kurikulum dan
lokaliti.  Yuran yang dikenakan pada ketika itu juga menyulitkan lagi penduduk miskin.  Oleh itu
orang-orang miskin atau sebahagian besar penduduk Malaysia pada ketika itu telah dinafikan hak
untuk mendapatkan pendidikan.
3.Pendemokrasian Pendidikan di Malaysia
Pendidikan Rendah
 Selepas kemerdekaan kerajaan secara beransur-ansur telah mendemokrasikan pendidikan di
Malaysia.   Kerajaan telah menyediakan peluang-peluang yang sama untuk semua orang
mendapatkan pendidikan. Ordinan Pelajaran 1957 misalnya, telah mencadangkan agar semua
kanak-kanak  menerima pelajaran dalam tempoh sekurang-kurangnya enam tahun.  Sungguhpun
begitu ianya tidak memberikan implikasi yang besar kerana pelajarnya masih lagi dikenakan
bayaran yuran bagi mereka untuk mendapatkan pendidikan. 

 Akta Pelajaran 1961 yang berdasarkan Laporan Rahman  Talib semakin merealisasikan 
pendemokrasian pendidikan.  Pendidikan percuma  telah diberikan kepada semua kanak-kanak 
mulai tahun 1962.  Ini diikuti dengan had umur belajar percuma hingga ke 15 tahun  dan
penamatan syarat lulus peperiksaan untuk memasuki  sekolah menengah.  Baru-baru ini satu 
peraturan baru terkandung dalam Akta Pendidikan (Pindaan) 2002 yang memberi kuasa kepada
menteri untuk menetapkan pendidikan rendah sebagai pendidikan wajib.  Setiap ibu bapa
warganegara Malaysia yang tinggal di negara ini wajib memastikan anak mereka yang mencapai
umur enam tahun pada hari pertama bulan Januari didaftarkan sebagai murid sekolah rendah. 
Mereka yang melanggar peruntukan tersebut boleh didenda RM5000. Semuanya ini adalah
sebagai langkah memastikan setiap warganegara berhak mendapat peluang pendidikan yang
sewajarnya.
 

4.Pendidikan Menengah
 Seterusnya,  peluang untuk semua kanak-kanak untuk mendapatkan pendidikan  telah diberikan
kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira kelas sosial, etnik,dan gender sekurang-kurang 
sekurang-kurangnya hingga ke tingkatan tiga.  Mulai 1999, peluang bagi semua  pelajar untuk
memasuki tingkatan empat telah diperluaskan.  Mereka yang hanya lulus satu mata pelajaran
sahaja layak untuk naik ke tingkatan empat. Ini bagi memastikan setiap rakyat berpeluang
mendapat pendidikan sehingga ke tingkatan lima. Walaupun kerajaan mempunyai beberapa
sebab berbuat demikian yang antaranya remaja yang gagal akan menganggur dan menimbulkan
masalah yang lain kepada negara tetapi dari sudut lain kerajaan merasakan adalah tidak memadai
ilmu yang diterima oleh pelajar berkenaan bagi menghadapi cabaran dunia yang akan datang.
Bagi pelajar yang tidak berminat lagi dalam akademik mereka boleh meneruskan persekolahan
mereka di dalam bidang vokasional di tingkatan 4.
 

5.Sekolah Berasrama
 . Selain dari itu bentuk bantuan-bantuan pendidikan lain diberikan oleh kerajaan bagi membuka
peluang kepada mereka untuk mendapat hak pendidikan.  Salah satu  bentuk bantuan ialah
dengan penubuhan   sekolah-sekolah  berasrama yang memudahkan pelajar mendapatkan
pendidikan tanpa perlu berulang-alik dari rumah ke sekolah setiap hari yang sudah tentu
memerlukan kos yang banyak.   Selain dari itu, pembinaan sekolah-sekolah berasrama penuh
juga telah banyak dibina bagi tujuan membuka peluang pendidikan . Pada masa ini terdapat
puluhan buah sekolah berasrama penuh di bawah kelolaan langsung Kementerian Pendidikan
Malaysia. Kesemua sekolah-sekolah yang berasrama penuh ini bertujuan memberikan bantuan
kepada pelajar untuk mendapatkan peluang pendidikan. 
6.Sekolah Bestari
Sekolah Bestari adalah salah satu ‘flagship’ dalam Koridor Raya Multimedia.  Projek ini telah
mendapat perhatian seluruh masyarakat kerana ia merupakan satu usaha menjadikan bidang
pendidikan lebih maju dan berdaya saing.   Sekolah Bestari akan membawa kepada
pendemokrasian pendidikan sepenuhnya.  Sekolah ini bukan hanya untuk mereka yang pintar
tetapi merupakan cara bestari bagi menjamin setiap pelajar lemah atau kuat , kaya atau miskin
mencapai potensi sepenuhnya dalam cara yang paling sesuai mengikut kadar dan gaya
pembelajaran yang berlainan. Sekolah Bestari akan mendorong murid mengamalkan akses
kendiri dan terarah kendiri, serta mengikut kadar pembelajaran sendiri.

7.Pendidikan Khas
Di samping pembangunan sekolah-sekolah berasrama, sekolah-sekolah harian rendah dan
menengah banyak dibina di bandar-bandar ataupun di desa-desa.  Kerajaan juga tidak menafikan
peluang bagi golongan istimewa ataupun kanak-kanak cacat untuk mendapat hak atau peluang
untuk mendapatkan pendidikan. Untuk tujuan tersebut kerajaan telah membangunkan sekolah-
sekolah khas bagi memenuhi keperluan golongan tersebut mendapatkan pendidikan.
 

8.Bantuan dan Peruntukan


 Pelajar-pelajar yang miskin dan kurang berkemampuan  yang kebanyakkannya datang dari luar
bandar yang latar belakang ekonomi keluarganya rendah telah diberikan biasiswa kecil  atau
bantuan kewangan bagi menampung urusan persekolahan mereka.  Selain dari itu, skim bantuan
buku teks juga diberikan kepada pelajar yang pendapatan ibubapanya rendah. Pada masa ini
syarat bagi mendapatkan hak untuk mendapat skim bantuan  teks adalah bagi ibubapa atau
penjaga yang berpendapatan kurang dari Rm2000.00 sebulan dan syarat ini dikaji dan diubah
mengikut kesesuaian atau keadaan ekonomi semasa.Kerajaan juga mengambil usaha
memperbaiki keadaan murid-murid  terutamanya diluar bandar dengan menyediakan progran-
program kesihatan, pemakanan ( Rancangan Makanan Tambahan ) dan lain-lain skim yang
bertujuan supaya kanak-kanak berpeluang belajar dalam keadaan yang selesa.  Kemudahan–
kemudahan yang disediakan ini tidak hanya tertumpu kepada masyarakat desa tetapi layanan
yang sama diberikan kepada pelajar-pelajar miskin di bandar.  Selain dari itu pihak kerajaan juga
menekan kepada mutu pendidikan bagi menjamin kelancaran pendemokrasian pendidikan di
Malaysia. Setiap tahun peruntukan yang besar dikeluarkan bagi membaiki, membaikpulih,
menaik taraf sekolah atau bilik-bilik darjah serta menyediakan kelengkapan dan kemudahan
pembelajaran . 
Di bawah Rancangan Malaysia kelapan (RMK-8) Kementerian Pendidikan meluluskan 1,497
projek sekolah rendah dan menengah diseluruh negara dengan peruntukan RM6.2 billion.
Daripada jumlah tersebut sebanyak 977 projek sekolah rendah termasuk pembinaan 198 sekolah
baru, manakala 420 lagi projek sekolah menengah membabitkan pembinaan 160 sekolah baru. 
 

9.Tenaga Pengajar terlatih


Kekurangan guru-guru  terlatih diluar Bandar telah diatasi dengan memperkembangkan sistem
latihan perguruan.  Latihan perguruan telah dinaik tarafkan kepada peringkat diploma dan
tempoh kursusnya selama tiga tahun.  Pengeluaran guru yang mencukupi telah menjamin proses
pendemokrasian pendidikan berjalan dengan lancar.  Setiap sekolah akan mendapat guru yang
terdiri dari pelbagai opsyen yang akan memenuhi pemintaan atau keperluan pelajar dalam mata
pelajaran yang tertentu walaupun sekolah tersebut terletak diluar bandar atau kawasan
pendalaman. Maktab-maktab ini bukan sahaja mengeluarkan guru-guru biasa, malahan
menyediakan guru-guru pendidikan khas bagi mengisi keperluan sekolah-sekolah pendidikan
khas.  Sehingga kini terdapat lebih tiga puluh buah maktab yang bertanggung jawab melatih
guru-guru pelatih bagi menenuhi kehendak pendidikan di Malaysia. 

 Bagi guru berijazah, mereka dilatih di universiti-universiti awam bagi mengajar di sekolah-
sekolah menengah.  Di samping itu terdapat pula program Kursus Perguruan Lepasan Ijazah bagi
melatih graduan-graduan  yang bukan dari bidang perguruan untuk menjadi guru bagi menjamin
bekalan  guru yang mencukupi bagi memenuhi keperluan pendidikan untuk memastikan
kelangsungan pendidikan di Malaysia.  Seterusnya  sebuah Universiti pendidikan iaitu Universiti
Pendidikan Sultan Idris telah dinaikan statusnya dari status asalnya Institut  Pendidikan sultan
Idris khusus  untuk perkembangan bidang latihan keguruan. Dengan perlaksanaan akta
Pendidikan 1996, berkemungkinan besar pada masa akan datang guru-guru berijazah akan
menerima latihan terus di maktab-maktab perguruan bagi menjamin guru-guru yang mencukupi
disekolah-sekolah.
 

10.Pendidikan Tinggi
Dibidang–bidang pengajian tinggi, peluang-peluang pendidikan telah dibuka dengan luas selepas
kemerdekaan dengan penubuhan unniversiti-universiti .  Institusi-institusi pengajian tinggi yang
awal ialah Universiti Malaya di Kuala Lumpur (1961), disusuli oleh Institut Teknologi Mara
(1967), Universiti Sains Malaysia (1969), Universiti Kebangsaan Malaysia (1970), Universiti
Pertanian Malaysia(1971)  dan Universiti Teknologi Malaysia (1975). Pada masa ini terdapat
lebih banyak universiti awam yang telah dibina termasuklah Universiti Utara Malaysia,
Universiti Malaysia Sarawak, Universiti Malaysia Sabah dan Universiti Pendidikan Sultan Idris
.  Universiti –universiti awam tempatan telah menampung lulusan-lulusan sekolah terutamanya
daripada aliran Melayu.  Malahan mulai tahun 1983 semua institusi yang terdapat dalam negara
telah menggunakan sepenuhnya Bahasa Malaysia sebagai  bahasa penghantar .  Pelajar-pelajar
yang berkelayakan mendapat tempat telah diberikan bantuan berbentuk pinjaman kewangan dan
berbentuk biasiswa.
 Penwujudan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan pengembangan skop penawaran
pinjamannya meliputi pelajar-pelajar di institut tinggi awam dan institut tinggi swasta merupakan
usaha yang sesuai bagi menggalakkan lagi pendemokrasian pendidikan hingga ke peringkat
tinggi.  Selain itu, ribuan pelajar yang mendapat kelulusan yang cemerlang dalam peperiksaan
Sijil Pelajaran Malaysia dihantar terus belajar di luar negara seperti United Kingdom, Amerika
Syarikat, Kanada, Australia ,New Zealand ,Jepun dan Timur tengah atas tajaan kerajaan melalui
Mara, JPA atau ditaja oleh kerajaan negeri pelajar terbabit.
 

11.Dasar Liberalisasi Pendidikan


Pada tahun-tahun 1990an kerajaan Malaysia telah menjalankan dasar liberalisasi pendidikan . 
Ianya telah membawa perubahan besar dalam pendidikan tinggi di Malaysia. Pada dekad ini
beberapa perubahan telah dilakukan . Usaha telah giat dilakukan untuk memperkembangkan dan
memajukan sistem pendidikan  negara. 
Melalui akta-akta pendidikan tinggi 1996 telah memungkinkan perkembangan institusi-instutisi
pendidikan tinggi  yang mana kebenaran telah diberikan kepada pihak-pihak yang berkelayakan
bagi menubuhkan institusi-institusi pengajian tinggi. Dalam tahun 1999 sahaja, tiga kolej
universiti atau universiti penuh diwujudkan iaitu Kolej Universiti Islam Malaysia(Kuim),
Universiti Teknologi Mara (UiTM),  Kolej Universiti Sains dan Teknologi
Malaysia(KUSTEM).  Disamping itu kebenaran juga telah diberikan kepada pihak yang
berkelayakan untuk menubuhkan pusat pengajian tinggi swasta yang antaranya seperti Universiti
Teknologi Petronas, Universiti Multimedia, Universiti Tenaga Nasional, Universiti Tun Abdul
Razak (Unitar) dan yang terbaru Universiti Tunku Abdul Rahman . Ini satu perkembangan yang
baik dalam usaha kita menyemarakan ilmu pengetahuan  dan mendemokrasikan pendidikan
tinggi
Kerajaan juga mengalakkan program pengajian berkembar dengan institusi-institusi luar negara
bagi kolej-kolej swasta.  Terdapat juga universiti-universiti tempatan yang menjalankan program
pendidikan jarak jauh dan francais . Sebilangan universiti awam sudah mencapai enrolmen
melebihi 20,000 pelajar sepenuh masa manakala dengan penubuhan intitusi pendidikan tinggi
swasta telah mempunyai enrolmen melebihi 200,000. Sesungguhnya semua ini adalah
merupakan usaha mendemokrasikan dan membuka peluang-peluang pendidikan untuk rakyat .
 

12.Cadangan dan Penilaian


Kerajaan melalui Kementerian Pendidikan perlu memantau sekolah luar bandar dan pendalaman
dari masa ke semasa bagi menjamin pendemokrasian Pendidikan di Malaysia berjalan dengan
lancar. Kemudahan pendidikan diantara kawasan maju dan mundur seharusnya tiada jurang yang
ketara.  Ini merujuk terutamanya kepada mutu persekitaran sekolah, alat kelengkapan dan guru di
kawasan-kawasan kampung, ladang-ladang, setinggan, pendalaman( Orang Asli) dan
seterusnya. 
Pembelaan dan bantuan yang sewajarnya perlu diberikan kepada pelajar-pelajar yang terpinggir
dari sistem pendidikan akibat dari kemiskinan.  Ini akan menjamin mereka supaya dapat bersaing
dalam satu sistem pendididkan yang adil pada dirinya dan masyarakatnya.  Setiap aduan dan
rungutan yang menyentuh mengenai pendidikan dari peringkat rendah hingga pengajian tinggi
haruslah diambil berat dan langkah-langkah tertentu harus diambil untuk menanginya pada
semua peringkat supaya kita pada akhirnya mempunyai satu sistem pendidikan yang cukup sihat
dari semua segi.   Usaha yang berterusan bagi memajukan pendidikan perlu diberi perhatian bagi
meningkatkan mutu pendidikan supaya kita semua dapat berbangga bahawa kita telah dapat
mengamalkan pendemokrasian pendidikan dalam ertikata yang sebenarnya.

13.Penutup
Sehingga kini pendemokrasian pendidikan dalam konteks negara kita Malaysia, agak berjaya dan
sesungguhnya memberikan peluang yang luas kepada rakyat Malaysia untuk memperolehi
pendidikan pada peringkat rendah sehingga peringkat tinggi.  Seiring dengan pendemokrasian
pendidikan juga adalah diharapkan ianya dapat memenuhi agenda kerajaan untuk menstruktur
semula masyarakat dan membasmi kemiskinan dengan menggunakan pendidikan sebagai
pengerak utama dan seterusnya dapat melahirkan warganegara yang dapat menyumbang ke arah
usaha memajukan negara selaras dengan hasrat Wawasan 2020. 

Anda mungkin juga menyukai