Anda di halaman 1dari 2

Soalan:

Kemalangan di jalan raya menyebabkan ahli keluarga kehilangan anggota


yang tersayang. Tulis satu karangan tentang usaha-usaha yang perlu
diambil untuk menangani masalah ini .

Contoh Karangan Pelajar :


“Pemandu tertidur mengakibatkan lorinya melanggar sebuah kereta.”
“Pembonceng motosikal meninggal dunia akibat kecuaian penunggang.”
“Pelanggar peraturan jalan raya mesti dikenakan hukuman yang lebih
berat.”

Sejak akhir-akhir ini, tajuk-tajuk berita seperti di atas sering dipaparkan


dalam media massa sama ada media cetak atau media elektronik.
Fenomena ini kian kritikal dan menggusarkan fikiran masyarakat. Peratus
kes kemalangan ini terus meningkat dari setahun ke setahun, terutamanya
pada musim perayaan. Senario yang menggemparkan ini tidak boleh dibiar
berterusan dan mesti ditangani dengan secepat mungkin. Apakah usaha-
usaha yang patut diimplementasikan bagi menyelesaikan masalah yang
merunsingkan dan mengacau-bilaukan minda masyarakat ini?

Kemalangan jalan raya tidak harus dipandang enteng,


Mesti dibanteras ke akar umbi,
Kudrat semua pihak mesti digembleng,
Azam janganlah berbelah bagi.

Pada pendapat saya, kerajaan memainkan peranan penting dalam usaha


penyelesaian ini. Kerajaan mesti menguatkuasakan undang-undang.
Hukuman berat mesti dikenakan terhadap sesiapa yang berani melanggar
peraturan di jalan raya. Bak kata peribahasa, "setinggi-tinggi terbangnya
bangau, akhirnya pasti jatuh ke tanah". Tamsilnya, saya mencadangkan
agar pesalah laku trafik haruslah didenda sekurang-kurangnya RM500
atau dipenjarakan selama enam bulan. Dengan ini, pengguna jalan raya
tidak akan berani memperlekeh amaran kerajaan lagi.

Selain itu, kerajaan mesti memperketat tahap kelulusan ujian yang


dijalankan untuk menguji pemandu kenderaan. Oleh sebab itu, usaha
kerajaan mestilah berlandaskan peribahasa di mana ada kemahuan, di situ
ada jalan. Lesen-lesen tidak harus diberikan kepada para pemandu dengan
mudah. Rentetan itu, kerajaan mesti sentiasa membiayai ongkos untuk
mengadakan pelbagai kempen kesedaran. Kempen-kempen ini haruslah
diadakan dengan objektif menyedarkan para pengguna jalan raya tentang
kepentingan mematuhi peraturan jalan raya. Inisiatif ini mampu
membantumeminimumkan kemalangan di jalan raya yang terus berlaku.

Seterusnya, polis trafik mestlah menjalankan tugas dengan dedikasi.


Mereka mesti menjalankan tugas masing-masing dan memberkas golongan
yang melanggar undang-undang di jalan raya. Saman mesti sentiasa
dikeluarkan untuk memberi amaran kepada si pelanggar peraturan jalan
raya. Kelengkapan polis trafik mestilah sempurna. Di samping itu, polis
trafik yang amanah amat diperlukan. Mereka tidak harus menerima rasuah
sebaliknya mesti bersikap adil dan saksama. Sikap berdiri di atas
pagar mestilah dipraktikkan oleh anggota polis trafik. Implikasinya, polis-
polis trafik juga turut memainkan peranan yang agak penting.

Lain daripada itu, segenap lapisan masyarakat mesti melaksanakan


tanggungjawab masing-masing. Jika didapati ada pengguna jalan raya telah
melanggar undang-undang seperti mengadakan perlumbaan haram dan
sebagainya, kita mesti segera membuat laporan kepada pihak berkuasa.
Dengan bekerjasama bagai aur dengan tebing antara polis dan masyarakat,
kemalangan dapat dikurangkan.

Kata orang tua-tua, “malang tidak berbau”. Pengguna jalan raya sendiri
mesti memahami maksud bidalan ini. Pengguna jalan raya mesti sentiasa
memerhatikan papan-papan tanda di tepi jalan. Papan tanda yang
disediakan oleh kerajaan bertujuan memastikan keselamatan para
pengguna di jalan raya. Keselamatan para pengguna jalan raya pasti dapat
dijamin jika arahan telah dipatuhi. Akhir sekali, pemandu kenderaan mesti
sentiasa memusatkan perhatian semasa memandu. Mereka tidak harus
memandu sambil membuat perkara lain seperti menggunakan telefon,
bergosip dengan orang lain dan sebagainya.

Kesimpulannya, kemalangan yang di jalan raya berlaku tidak diimpikan


oleh setiap orang. Bak kata pepatah, “pandu cermat jiwa selamat”.
Pengguna-pengguna jalan raya mestilah mengimplementasikan kewajipan
masing-masing. Dengan ini, barulah keselamatan setiap pengguna dapat
dijamin. Usaha-usaha kolektif yang telah saya cadangkan mestilah
dilaksanakan dengan segera. Ingat, “hendak seribu daya, tak hendak seribu
dalih!”

Anda mungkin juga menyukai