Anda di halaman 1dari 4

Hukum takbir, ziarah dan berhibur pada Hari Raya

Oleh: DR. ABDUL HAYEI BIN ABDUL SUKOR (Akademi Pengajian Islam)
SOALAN: Pada Hari Raya, sama ada Hari Raya Haji atau Hari Raya Puasa, selain makan minum
yang agak mewah, umat Islam sejak malam raya biasanya bertakbir beramai-ramai di masjid dan
ada juga kumpulan yang bertakbir dari rumah ke rumah. Pada esok harinya pula, mereka ke
masjid kerana menunaikan solat raya. Selepas itu mereka menziarah keluarga, sanak-saudara dan
kenalan rapat. Ada juga yang terus ke kubur untuk bertahlil dan berdoa kepada arwah yang telah
meninggal dunia.

Saya agak keliru kerana ada sesetengah guru agama menyatakan sebahagian program Hari Raya
itu hanya adat dan budaya semata-mata. Bolehkah tuan beri sedikit penjelasan berhubung adat
dan ibadat pada Hari Raya dari perspektif Islam. Terima kasih atas penjelasan tuan. - MUSLIM,
Hulu Langat, Selangor.

JAWAPAN: Sebelum menjawab soalan saudara, terlebih dahulu saya ucapkan Selamat Hari
Raya Aidilfitri kepada semua pembaca dan peminat setia ruangan 1,001 Kemusykilan ini.
Semoga kita diberi Allah kesihatan dan kebahagiaan yang berterusan. Bagi menjawab soalan
tentang penghayatan Hari Raya antara adat dan ibadat, izinkan saya menjelaskan terlebih dahulu
erti adat dan ibadat serta perbezaan antara kedua-duanya dari perspektif Islam.

Kamus Dewan 1984 mentakrifkan adat sebagai peraturan yang diamalkan turun-temurun dalam
sesebuah masyarakat, sehingga merupakan hukum dan peraturan yang harus dipatuhi. Ibadat pula
ditakrifkan sebagai bakti seseorang manusia kepada Tuhan. Takrif ini seolah-olah menyatakan,
sumber ibadat ialah Ilahi (Tuhan) sedangkan sumber adat pula ialah wirathi (turun-temurun).

Memang setiap ibadat hendaklah dirujuk kepada al-Quran dan hadis untuk mendapatkan
pengesahan daripadanya terlebih dahulu. Manusia - walau betapa cemerlang tahap akademiknya
dan mempunyai kemampuan ijtihad yang luar biasa - tidak berhak sama sekali beribadat dalam
Islam hanya secara ikut dan patuh.

Adat adalah ciptaan manusia yang diwarisi turun- temurun. Sesuatu bangsa mempunyai adat dan
budayanya sendiri, kadangkala adat menjadi kepercayaan yang sukar dikikis, sekalipun telah
melalui zaman yang begitu lama. Tidak hairan jika pepatah ada mengatakan, biar mati anak
jangan mati adat. Orang Arab jahiliah pula ada mengatakan, tanam anak perempuan hidup-hidup
antara adat yang sangat dimuliakan.

Merujuk kepada penghayatan Hari Raya dalam masyarakat Islam seperti di Malaysia, kita tidak
menafikan ada unsur-unsur yang berupa ibadat dan ada yang berupa adat. Kita disuruh
melakukan sebanyak mungkin ibadat, terutama pada pagi Hari Raya puasa, seperti
memperbanyakkan takbir, berhubung silaturahim, menikmati sedikit makan minum pada awal
pagi sebelum ke masjid, bersuka ria dan sebagainya.

Di samping itu, ada adat yang kita tidak dilarang melakukannya kerana tidak bercanggah dengan
prinsip-prinsip Islam seperti memakai pakaian baru, membakar lemang, memasak ketupat dan
menyediakan pelbagai kuih-muih dan juadah istimewa. Ada juga tradisi yang tidak digalakkan
dalam Islam seperti membakar mercun yang dibimbangi memudaratkan nyawa dan harta benda.
Memasang pelita di keliling rumah bercanggah dalam Islam jika ada kepercayaan supaya
malaikat datang membawa rahmat kepada tuan punya rumah. Padahal perbuatan memasang pelita
sekeliling rumah itu lebih menyerupai Majusi.

Antara adat yang disunatkan ialah bertakbir sama ada bersendirian atau beramai-ramai di masjid
atau di rumah. Jika Hari Raya Aidilfitri, waktu takbir bermula daripada terbenamnya matahari
pada hari akhir Ramadan hingga selesai solat raya. Hari Raya Aidiladha pula disunatkan
bertakbir pada petang hari Arafah atau 9 Zulhijah dan pada hari-hari Tasyriq, iaitu hari 10, 11, 12
dan 13 Zulhijah. Adapun takbir dari rumah ke rumah pada malam raya, kemungkinan amalan itu
hanya adat setempat. Baik buruknya dilihat pada bagaimana dan apa tujuan takbir bergerak dari
rumah ke rumah itu dikerjakan.

Saya berpendapat, takbir dari rumah ke rumah ini tidak perlu dikekalkan. Selain ia hanya adat, ia
memerlukan masa yang begitu lama untuk bergerak dari rumah ke rumah. Bukankah masjid atau
surau merupakan tempat ibadat yang boleh disertai oleh semua orang. Saya percaya takbir dari
rumah ke rumah adalah adat yang tiada kena-mengena dengan agama kita.

Pada prinsipnya, takbir Hari Raya dituntut adalah kerana ia menunjukkan kemenangan. Kita telah
menang dalam perjuangan menentang nafsu makan dan minum selama satu bulan, mengunci
nafsu seks pada siang hari, mengawal nafsu yang sukakan hiburan yang tidak berfaedah dan
sebagainya.

Demikian juga dengan Hari Raya Haji, kita bertakbir kerana menang dalam melaksanakan ibadat
haji. Kalaupun tidak kita sendiri yang mengerjakannya, mungkin ada saudara-mara kita yang
menang dalam menunaikan fardu itu. Kita menumpang gembira atas kemenangan mereka.
Justeru, kita bertakbir Allahu Akbar sebanyak mungkin pada hari-hari tertentu.

Jika takbir menandakan pencapaian kemenangan dalam perjuangan kita, saya kira ucapan takbir
perlu dibacakan dengan penuh semangat dan dengan suara yang agak tinggi, sesuai dengan
kemenangan yang kita capai. Sebagaimana kita nyanyikan lagu-lagu patriotik pada hari
kebangsaan atau ulang tahun kemerdekaan.

Saya fikir takbir raya seperti yang selalu kita baca beramai-ramai di masjid pada pagi Hari Raya
itu kurang sesuai kerana ia dibaca dengan nada suara yang sayu, penuh kesedihan dan
kekhusyukan, kadang-kala air mata menitis dengan tidak disedari. Mungkin nadanya sesuai
dengan hari-hari kematian.

Ada beberapa tempat kita disuruh bertakbir, semuanya menunjukkan kemenangan dan pernyataan
semangat. Takbir itu diucapkan dengan nada yang lebih agresif dan berani. Misalnya, ketika
menyembelih haiwan korban tatkala pisau mengena leher haiwan bagi menyatakan secara
simbolik bahawa sembelihan itu bukan kerana memuja syaitan yang memang sukakan dirinya
dipuja dengan darah, tetapi korban kerana Allah Yang Maha Besar dan Maha Agung.

Ketika memulakan solat kita bertakbir sebagai menyatakan bahawa syaitan tiada tempat dalam
ibadat ini. Syaitan tidak dipuja tetapi dihina. Allahu Akbar, dengannya kita mulakan solat dan
setiap gerak-geri kita di dalam solat, sentiasa berulang perkataan ini. Syaitan memang terasa hina
apabila perkataan ini disebutkan, sesuai dengan peringatan al-Quran dalam surah Yusuf, ayat 5
yang bermaksud: Sesungguhnya syaitan adalah musuh ketat kepada manusia.
Ketika menyeru orang supaya mendirikan solat lima waktu dan ketika menyambut kedatangan
bayi baru lahir dan juga ketika berlaku kebakaran, kita disuruh bertakbir seperti lafaz azan,
dengan suara yang jelas dan terang. Tujuannya ialah supaya syaitan jin dan syaitan manusia tahu
bahawa Allah Maha Besar. Selain Allah, semua yang lain adalah kecil dan akan binasa juga
akhirnya.

Saya kurang pasti dari mana takbir dari rumah ke rumah seperti yang saudara sebutkan itu. Pada
anggapan saya, takbir itu hanya rekaan yang tidak berasas kepada mana-mana hadis yang sahih.
Bagaimanapun, ia telah menjadi adat yang begitu kukuh tertanam dalam masyarakat kita
sehingga sukar dihapuskan.

Program ziarah sanak-saudara, kenalan rapat dan keluarga pada Hari Raya sangat baik dan
digalakkan. Malah dalam hadis-hadis sahih dikatakan amalan ini membawa keberkatan dalam
hidup dan memanjangkan umur. Dalam sebuah hadis riwayat Bukhari dan lain-lain, rasulullah
s.a.w. menyatakan: Sesiapa mahukan rezekinya bertambah, usianya dipanjangkan, hendaklah ia
menghubungi rahimnya.

Suatu fenomena yang kurang disenangi ialah amalan ziarah berpilih. Kawan-kawan ternama dan
berpangkat diletakkan dalam senarai utama, sedangkan kenalan yang rendah dan tidak
berpangkat langsung terabai. Amalan ini sangat tidak disukai Islam yang mahu umatnya hidup
sama rata dan sama rasa. Islam menuntut kita hidup berkenal-kenalan antara satu sama lain.

Fenomena mengadakan rumah terbuka juga antara program Hari Raya yang selalu dihayati oleh
warga kota dan golongan yang berada. Sepatutnya rumah terbuka tidak akan mengehadkan
kepada orang tertentu yang diistilahkan dengan panggilan VIP sahaja, manakala orang biasa,
sekalipun tinggal di sebelah rumah tetap juga terpinggir, kerana rumah terbuka tidak terbuka
kepada mereka.

Hari Raya adalah hari bersuka ria. Nabi s.a.w. mengharuskan beberapa jenis hiburan dimainkan
seperti nyanyian yang tidak disertai muzik Barat, pantun dan jenis-jenis permainan ringan.
Sebuah hadis menyatakan, ketika Abu Bakar kebetulan masuk ke rumah puterinya Aisyah yang
juga isteri Nabi s.a.w. kelihatan seorang penyanyi wanita sedang menyanyi. Penyanyi itu
mungkin untuk menghibur Aisyah lalu disergah Abu Bakar, kerana menurutnya, nyanyian tidak
sesuai dengan seorang isteri nabi dan dinyanyikan dalam rumahnya. Apabila perkara itu sampai
ke pengetahuan nabi, baginda menasihati Abu Bakar supaya membiarkan sahaja nyanyian
diperdengarkan kerana hari itu adalah Hari Raya.

Sehubungan itu saya agak kurang setuju dengan adat ziarah kubur pada Hari Raya seperti yang
saudara sebutkan sekalipun ia menjadi amalan ramai masyarakat Islam, terutama di Malaysia.
Hari Raya adalah hari kita bergembira dan bersuka ria. Kubur sebenarnya bukan tempat
bergembira, tetapi tempat mengingati mati, malah matlamat ziarah kubur itu sendiri hendaklah
bertujuan mendapatkan pengajaran yang melembutkan hati dengan mengingati akhirat.

Dalam sebuah hadis riwayat Muslim daripada Abu Hurairah menyatakan: Baginda Rasulullah
s.a.w. menziarahi kubur ibunya, lalu menangis dan sahabat-sahabat turut menangis. Baginda
memberitahu mereka: Aku memohon izin kepada Tuhanku untuk beristighfar kepada ibuku,
tetapi tidak diizinkan. Aku hanya diizin menziarahi kuburnya sahaja. Ziarahlah kubur, kerana ia
mengingatkan mati.
Ulama menjelaskan, tiada waktu yang tertentu bagi ziarah kubur. Ia boleh diziarahi pada bila-bila
masa sahaja. Sesetengah ulama memilih hari-hari Khamis dan Jumaat sebagai afdal bagi tujuan
ziarah, kerana pada hari ini dikatakan hubungan roh dengan jasad orang mati, lebih dekat dan
erat. Justeru tiada masa tertentu bagi ziarah, kubur, maka tidak dilarang menziarahinya pada Hari
Raya. Tetapi hendaknya ziarah kubur itu tidak mengeruhkan suasana gembira dan menyebabkan
riang Hari Raya menjadi dukacita.

Anda mungkin juga menyukai