Anda di halaman 1dari 3

ISU-ISU DAN CABARAN PENDIDIKAN SWASTA

Terdapat beberapa isu yang wujud dari pendidikan swasta di negara ini. Isu yang wujud ini
memberikan cabaran kepada kerajaan supaya masalah ini dapat di atasi dengan baik . Di antara isu
dan cabaran yang wujud ialah :

1. Menggadai Maruah Pendidikan Tinggi


Isu ini lebih menjuruskan kepada kewujudan IPTS yang menawarkan ijazah berkembar
dengan IPTS asing. Akibat keghairahan untuk mendapatkan kelulusan yang diiktiraf dan
kononya mengikuti piawaian antarabangsa, kerajaan terlalu banyak memberi kelonggaran
kepada IPTS ini dan menyebabkan kerajaan hilang kawalan ke atas mereka. Dari sudut
akademik, kelonggaran yang diperoleh IPTS seperti ini memberi kebebasan kepada mereka
mencorak kurikulum sendiri dan membelakangkan kepentingan nasional. Ini boleh
diibaratkan seperti memberi kemerdekaan kita terbang ke seberang laut.

Selain boleh juga dianggap sebagai satu penjajahan semula di dalam bentuk akademik,
IPTS ini dalam masa yang sama mengabaikan peranannya sebagai pusat penyebaran ilmu
dan melahirkan insan yang berguna. Ini kerana IPTS ini melihat pendidikan hanya sebagai
satu usaha komersial yang menguntungkan dan melahirkan tenaga mahir dan pakar semata-
mata.

2. Kedudukan Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Ilmu Tergugat.


Umumnya kita mengetahui bahasa Inggeris merupakan bahasa utama di IPTS sedangkan
bahasa Melayu yang diletakkan taraf sebagai bahasa Kebangsaan berada di kelas kedua
sahaja. Ini adalah disebabkan ketidaktegasan kerajaan sendiri dalam mendaulatkan imej
Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu.

Ketidaktegasan kerajaan ini dapat dilihat di dalam Akta IPTS iaitu teradapat Seksyen
41(3)a, yang membenarkan pihak IPTS memohon kepada Kementerian Pendidikan
pengecualian penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam proses
pengajaran dan pembelajarannya. Manakala Seksyen 41(3)b pula, membenarkan bahasa
Arab bagi pengajian Agama Islam. Persoalannya di sini, mengapakah perlu diberi
pengecualian ? Apakah bahasa Melayu itu sendiri tidak mampu menjadi wahana dan
wacana kepada perkembangan dunia keilmuan di IPTS?

Pengunaan Bahasa Inggeris yang meluas ini bukan sahaja bertentangan dengan Dasar
Bahasa Kebangsaan dan membataskan jangkauan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu,
tetapi juga memberi kesan kepada pelajar.

Lazimnya pelajar yang menguasai bahasa Inggeris ialah pelajar dari taraf sosio ekonomi
yang tinggi. Penggunaan Bahasa Inggeris di IPTS akan mewujudkan jurang persaingan
yang besar di antara pelajar yang mempunyai taraf sosio ekonomi yang berbeza. Akhirnya
pelajar akan selalu didoktrinasikan dengan kepentingan penguasaan bahasa Inggeris
berbanding dengan bahasa Melayu.

3. Semangat Patriotisme Kehilangan Arah

Institut Pendidikan Tinggi Swasta, Kolej Swasta, Sekolah Swasta dan sebagainya tidak
mementingkan pendidikan sejarah dan kewarganegaraan. Ini amat bertentangan dengan
agenda pendidikan nasional negara. Sedangkan sejarah merupakan subjek teras untuk
peringkat sekolah. Di Institut Pendidikan Tinggi Awam dan sekolah-sekolah kerajaan pula
melihat kepentingan mata pelajaran ini dalam konteks yang nasional dan mewajibkan
semua pelajar mengambil subjek ini di peringkat SPM dan mata pelajaran Tamadun Islam
di peringkat pengajian tinggi yang turut memaparkan pergerakan sejarah sesuatu bangsa.

Walau bagaimanapun situasi ini berbeza di IPTS. Mereka tidak melihat subjek ini dari
perspektif nasional. Oleh itu tiada subjek ini ditawarkan di mana-mana IPTS mahupun kolej
swasta, sedangkan subjek seperti sejarah dan kewarganegaraan adalah sangat penting bagi
menanam sifat cintakan bangsa dan setia kepada negara. IPTS juga tidak mementingkan
subjek agama dan moral kerana menganggap subjek-subjek seperti ini tidak mempunyai
‘market value’.

4. Kurikulum IPTS gagal dimantau


Mengikut seksyen 38 Akta IPTS dan memenuhi prasyarat Seksyen 39 Akta IPTS , setiap
kurikulum yang hendak ditawarkan mesti mendapat kelulusan dari Menteri Pelajaran.
Isunya ialah sejauh manakah pihak Jabatan Pendidikan Swasta yang
dipertanggungjawabkan berjaya memantau samada sukatan kurikulum, tenaga pengajar,
kemudahan prasarana dan lain-lain yang disediakan oleh IPTS, kolej-kolej mahupun
sekolah-sekolah swasta ? Kita sering mendengar masalah ini dibangkitkan di media massa.
Realitinya, kurikulum di IPTS atau di Kolej Swasta tidak mencapai standard piawaian yang
ditetapkan. Wujud juga kepelbagaian kurikulum di peringkat sekolah-sekolah swasta. Jika
dilihat secara terperinci, pendidikan di peringkat pra sekolah atau tadika swasta turut
mempunyai kurikulum yang tidak seragam. Oleh itu persoalannya disini, bagaimanakah
agenda pendidikan nasioanl akan dicapai jika tidak wujud keseragaman dalam kurikulum
ini?

Selain itu dalam aspek kurikulum juga telah berlaku pengasingan yang jelas antara subjek
kemanusiaan seperti sejarah, sastera, bahasa dan lain-lain dengan pengajian ilmu
ekonomi, sains dan teknologi dan sebagainya. Kolej swasta dan IPTS luar lebih berminat
menawarkan subjek aliran kedua. Ini selari dengan tuntutan pasaran kerja ketika ini. Jelas
pengasingan ini akan menjadikan subjek ini terus dipinggirkan dan akan hilang arahnya di
masa hadapan. Pelajar-pelajar tidak lagi mempunyai ruang untuk mengasuh minda berkarya
dan sebagainya. Sedangkan subjek kemanusiaan ini juga mempunyai signifikannya yang
tersendiri dalam membentuk peribadi dan pemikiran pelajar.

Umumnya Kementerian Pelajaran terlalu bergantung kepada undang-undang dalam


memantau IPTS mahupun kolej atau sekolah swasta ini. Tetapi berdasarkan realiti semasa,
undang-undang tidak semestinya bersifat mencegah dan mengawal dan terdapat banyak
undang-undang yang diwujudkan gagal dimanfaatkan.

5. Kedudukan Pelajar Bumiputera Terpinggir


Jika dilihat jumlah pelajar bumiputera di IPTS mahu pun kolej swasta amat minima. Mereka
tiada kemampuan dari segi kewangan. Kadar yuran yang terlalu tinggi menyebabkan
mereka lebih tertumpu kepada IPTA. Umumnya kemasukan ke IPTS dan kolej-kolej Swasta
ini bergantung kepada kemampuan kewangan pelajar tersebut

Keadaan ini menyebabkan IPTS akan dilihat sebagai industri yang tidak menguntungkan
khalayak terbanyak. Dan jika keadaan ini dibiarkan berterusan akan wujud satu identifikasi
bahawa IPTS hanya untuk bukan bumiputera dan IPTA hanya untuk bumiputera
6. Tergugatnya Kebudayaan Kebangsaan

Pendidikan swasta mengenepikan dan tidak memberi penekanan elemen budaya kebangsaan
dalam kurikulum mereka. Yang pasti pendidikan swasta lebih menjurus ke arah melahirkan
individu yang lebih materialistik dan individualisitik. Keadaan ini menjadi lebih teruk
dengan penggunaan Bahasa Inggeris di IPTS yang bukan sahaja menafikan Bahasa Melayu
sebagai bahasa ilmu tetapi juga bahasa perpaduan rakyat Malaysia.

RUMUSAN
Secara umumnya pendidikan swasta memainkan peranan yang penting dalam perkembangan dan
kemajuan pendidikan di negara ini. Walau bagaimanapun pendidkan swasta perlu diberi perspektif
baru di mana ia perlu memainkan peranan yang lebih besar dan menyeluruh selaras dengan tuntutan
dan keperluan negara. Perkara ini bukan sahaja melibatkan peranannya dalam menyediakan tenaga
kerja yang cekap, mahir dan professional, tetapi juga dari segi memberi peluang yang sama rata
kepada rakyat Malaysia mendapat akses dan ekuiti dalam pendidikan, menyumbang kepada proses
integrasi nasional dan juga menyumbang dalam pembinaan modal insan selaras dengan falsafah
pendidikan negara.

RUJUKAN

http://www.geocities.com/ishamnurul/tugisu.doc

http://e-kaunseling.umt.edu.my/komuniti/modules.php?name=News&file=print&sid=470

http://www.moe.gov.my

Anda mungkin juga menyukai