Anda di halaman 1dari 4

Definisi etika

Perkataan etika berasal daripada bahasa inggeris ethic. Perkataan ethic itu pula diambil
dari bahasa Greek, ethos yang membawa maksud sikap dan adat yang menentukan tingkah laku
sesuatu golongan. Menurut Richard T. Garner (1986) etika terbahagi kepada dua:

i. Normatic iaitu panduan dan peraturan yang berkaitan dengan tingkah laku yang baik dan
jahat.
ii. Mataethic pula dibahagikan kepada dua iaitu analitic dan critical. Analitic berfungsi
menganalisis semua peraturan yang berkaitan tingkah laku baik dan jahat manakala
critical pula berfungsi untuk mengkritik terhadap apa-apa yang telah dianalisis.
Tujuannya ialah untuk memperkukuhkan lagi etika.

Shaw (1991) mendakwa “ethic” atau etika adalah berasal dari perkataan Greek (ethos)
yang membawa maksud perangai, keperibadian atau adat. Etika dari segi bahasanya pula
merujuk kepada satu sistem perlakuan yang bermoral (Longman, 1987).

Sementara itu, Kamus Oxford (1983) juga mendefinisikan etika sebagai satu sistem yang
merangkumi prinsip-prinsip moral dan undang-undang yang boleh dikendalikan. Kedua-dua
kamus di atas merujuk etika sebagai satu sistem yang mengawal perlakuan bermoral dalam
sesebuah masyarakat.

Selain itu, Solomon (1984) mengembangkan lagi konsep etika dengan merujuk kepada
dua perkara asas iaitu perangai individu termasuk apa yang dimaksudkan sebagai “seorang yang
baik” dan peraturan sosial yang mengawal serta menghadkan tingkahlaku manusia terutama
sekali tentang peraturan muktamad yang menjelaskan perkara yang baik dan buruk yang
bergelar moral.

Manakala sarjana pengurusan lain seperti Stoner dan Freeman (1995) melihat etika dari
sudut bidang ilmu dengan mendefinisikannya sebagai satu pengajian mengenai hak serta siapa
yang akan mendapat faedah atau bencana dari sesuatu tindakan. Pandangan ini merujuk sebagai
satu pengajian bagaimana keputusan yang diambil memberi kesan ke atas orang lain. Ia juga
mengkaji hak dan tanggungjawab individu dan peraturan moral yang dilaksanakan oleh
masyarakat dalam membuat keputusan serta hubungan semulajadi antara manusia.
Pada masa yang sama, Hellreigel dan Slocum (1992) telah menguatkan lagi konsep ini
berdasarkan hujah yang menyokong. Mereka merujuk kepada etika sebagai sekumpulan
peraturan atau satu set undan-undang yang mentafsirkan atau mendifinisikan suatu perlakuan
yang betul atau salah. Ia juga menentukan bagaimana sesuatu isu ditafsirkan atau ditangani dan
menentukan prinsip-prinsip moral yang bersesuaian yang boleh dilaksanakan dalam sesuatu
situasi.
Etika dan Nilai

Nilai didefinisikan oleh Mohd Tap dan Zakaria (1991) sebagai kepercayaan dan
keyakinan seseorang terhadap seseorang yang lain atau institusi yang mematuhi peraturan,
pilihan dan nilai utama masyarakat.

Sesetengah sarjana pengurusan beranggapan bahawa nilai itu merupakan sains


pengurusan yang dianggap sama dengan bidang lain mengikut keadaan, masa dan tempat.
Mereka beranggpan bahawa pengurusan tidak semestinya berteraskan nilai. Contohnya ialah
penyelesaian sesuatu masalah pengurusan adalah sama sahaja di mana-mana dan bila-bila masa
sekalipun jika masalah itu serupa. Bukti yang diketengahkan ialah pengajaran ilmu pengurusan
di amerika syarikat yang menggunakan kajian kes.

Pendapat tersebut kurang tepat kerana disebabkan nilai merupakan asas pembentukan
sikap, tanggapan, motivasi, personaliti, kemajuan dan pembangunan sesuatu bangsa amnya dan
organisasi khasnya. Nilai juga merupakan tanggpan asas terhadap dunia dan perjalanan hidup
seseorang. Nilai itu mengandungi maksud yang tersurat dan tersirat yang wajib dilaksanakan
sebagai pilihan untuk mencapai matlamat pengurusan organisasi.

Selanjutnya, sikap yang ditunjukkan oleh seseorang merupakan lambang kepada nilai
pegangan seseorang sama ada posotif atau negatif. Sikap individu merupakan pegangan nilai
individu tersebut. Sikap menjelaskan perlakuan, tingkah laku, idea, keutamaan, responsif, reaksi,
pencapaian, diam diri, bekerjasama, komunikasi non-verbal dan sebagainya. Persekitaran
mempengaruhi sikap individu dan kumpulan. Kesukaan dan kehendak seseorang dan kumpulan
mempengaruhi perlakuan dan amalan individu yang akhirnya menjadi nilai bersama jika diterima
oleh majoriti kumpulan atau masyarakat tersebut.

Etika dan nilai mempunyai hubungan yang erat dan padu. Nilai lebih bersifat sikap,
keyakinan dan pegangan manakala etika pula lebih bersifat batas ketentuan kebaikan dan
keburukan. Apabila seseorang itu berkeyakinan tentang kepentingan ketentuan atau batas yang
menentukan kebaikan dan keburukan maka ia memerlukan etika. Jika sejak awal lagi seseorang
itu beranggapan bahawa ketentuan batas kebaikan dan keburukan dalam tingkah laku itu tidak
perlu, maka dengan sendirinya ia tidak mementingkan etika. Dalam pengurusan nilai dan etika
adalah sama penting waluppun nilai itu dating lebih awal dari etika.
Rujukan

Mustafa Haji Daud (2001), Etika Pengurusan, Kuala Lumpur, Utusan Publication & Distributors
Sdn Bhd.

Abd. Razak Omar dan Nor Zanah jamari (2001), Etika Perniagaan Dalam Sistem Tripartite
Malaysia, kuala Lumpur, Yayasan Nurul Yaqeen.

Mohd Tap Bin Salleh dan Zakaria Bin Ahmad (1991), Nilai dan Etika Dalam Perkhidmatan
Awam, Kuala Lumpur, Intan. h. 20.

Richard T. Garner (1986), Ethics, The Encyclopedia America, Connecticut: Grolier


Incorporated. Vol: 10. h. 610.

Hellriegal, D., dan Slocum, Jr. J.W. (1992), Management, 6th edition, addison Wesley Publishing
Company, New York.

Shaw, S.P. (1991), Business Ethics, Wadsworth Publishing Co. Belmot, California.

Solomon, R.C. (1984), Morality and The Good Life, McGraw-Hill, New York.

Stoner, J.A.F., Freeman, R.E. dan Gilbert, D.K. (1995), Management, 6th Edition, Prentice Hall,
New Jersey.

Oxford (1983), Oxford Advanced Learner’s Dictionary, Oxford Universiti Press.

Longman (1987), Dictionary Of Contemporary English.

Anda mungkin juga menyukai