Anda di halaman 1dari 9

LATIHAN DAN PEMBANGUNAN

BAB 6.0 : LATIHAN DAN PEMBANGUNAN 6.1 PENGENALAN

Tidak dapat dinafikan bahawa pekerja yang berkebolehan, berkemahiran dan terlatih adalah tonggak kejayaan bagi sesebuah organisasi moden. Ini kerana pekerja terlatih sudah tentu dapat melaksanakan tugas mereka dengan lebih baik dan berkesan. 6.2 DEFINISI LATIHAN, PEMBANGUNAN DAN PENDIDIKAN

Umumnya, istilah latihan seringkali membawa maksud usaha-usaha yang dilaksanakan oleh sesebuah organisasi bagi meningkatkan ilmu pengetahuan para pelatih supaya mereka boleh melakukan sesuatu tugas dengan baik. Namun begitu, definisi ini adalah terlalu luas dan ia boleh juga digunakan untuk mendefinisikan pendidikan dan pembangunan pekerja. Oleh itu, ramai pakar dalam bidang ini telah membezakan latihan daripada pembangunan dan juga pendidikan. Bagi sesebuah organisasi, latihan merupakan satu proses yang sistematik khusus untuk memberikan pengetahuan, kemahiran dan kebolehan (PKK) yang bersesuaian bagi sesuatu tugas atau pekerjaan. Ini bermakna latihan menjurus kepada sesuatu yang spesifik dan menumpu kepada prestasi masa yang terdekat. Latihan berbeza daripada pembangunan yang memfokuskan kepada jangka masa yang lebih panjang. Dalam pembangunan pekerja, usaha-usaha adalah lebih bertumpu untuk meluaskan PKK pekerja bagi menyediakan mereka untuk kerja-kerja dan jawatan yang bakal mereka pegang di masa akan datang dan pada masa yang sama akan meningkatkan kapasiti ereka dalam melaksanakan tugas mereka sekarang ini. Pendidikan adalah berbeza daripada latihan dan pembangunan dari segi jenis PKK yang dibentuk. Pendidikan merupakan satu proses mendapatkan PKK yang lebih umum yang ada kaitan dengan pekerjaan seseorang, tetapi tidak semestinya spesifik untuk pekerjaan tersebut. Apabila sesebuah program latihan dibentuk, sudah tentu program tersebut diharapkan dapat melahirkan pekerja yang lebih baik dan akhir sekali dapat meningkatkan hasil kepada organisasi. Oleh itu, program latihan yang baik memerlukan perancangan dan pembentukan yang teliti dan ini boleh dilakukan dengan pendekatan sistem. 6.3 PENDEKATAN SISTEM

Pendekatan sistem merupakan satu pendekatan yang teratur yang melibatkan input, proses, output dan maklum balas. Membentuk program latihan yang berkesan dengan menggunakan pendekatan sistem akan melibatkan empat fasa penting: 1. 2. 3. 4. Fasa menilai keperluan yang memberikan pelbagai jenis input kepada program latihan yanng dibentuk. Fasa mereka bentuk program yang mana merupakan suatu bentuk proses Fasa pelaksanaan iaitu output kepada fasa reka bentuk Fasa penilaian yang menjadi maklum balas tentang keberkesanan program yang telah dibentuk

dan dilaksanakan. Rajah 6.1 menunjukkan model pendekatan sistem bagi latihan.

6.3.1

Analisis Keperluan Latihan

Terdapat berbagai-bagai jenis latihan yang boleh diberikan kepada pekerja. Namun begitu ini tidak bermakna kesemua latihan tersebut perlu diberikan kepada semua pekerja. Oleh itu, pegawai sumber manusia sesebuah organisasi perlu tahu apakah jenis latihan yang diperlukan, di mana latihan diperlukan, siapa yang perlu menghadiri latihan dan apakah kaedah yang terbaik untuk menyampaikan latihan kepada pekerja. Analisis keperluan latihan (training need analysis) merupakan titik permulaan bagi merancang dan membentuk latihan yang berkesan melalui pendekatan sistem. Analisis keperluan latihan juga merupakan satu pendekatan sistematik untuk mengenalpasti keperluan latihan bagi pekerja tertentu. Terdapat tiga analisis yang perlu dilakukan iaitu analisis organisasi, analisis tugas dan analisis pekerja. 1. Analisis Organisasi Analisis organisasi merupakan usaha-usaha untuk melihat dan memahami persekitaran, strategi dan sumber-sumber organisasi bagi menentukan di jabatan atau bahagian mana latihan patut diutamakan. Ini adalah kerana apa-apa perubahan yang berlaku pada persekitaran atau sumber organisasi akan mewujudkan keperluan kepada latihan. Analisis organisasi perlu dilakukan bagi mengetahui faktorfaktor yang mempengaruhi sesebah organisasi dan kesannya terhadap kerja dan kemahiran pekerja.

2. Analisis Tugas Analisis tugas melibatkan usaha mengenalpasti aktiviti yang dilaksanakan dalam sesebuah pekerjaan serta PKK yang diperlukan bagi melaksanakan aktiviti tersebut. untuk tujuan ini, maklumat daripada deskripsi dan spesifikasi kerja adalah amat berguna dalam memberikan maklumat yang berkaitan. Maklumat tentang piawaian prestasi perlu juga didapati bagi menjadi rujukan apakah tahap prestasi yang dianggap terbaik untuk organisasi. Dengan maklumat daripada analisis prestasi ini bolehlah ditentukan jenis latihan yang diperlukan dalam sesebuah pekerjaan. Ringkasnya selepas menjalankan analisis tugas, akan diketahui sekiranya terdapat pekerjaan yang telah mengalami perubahan akibat perubahan teknologi dan sebagainya yang menjadikan mereka yang melakukan pekerjaan tersebut memerlukan kemahiran baru. 3. Analisis Pekerja Analisis individu atau pekerja pula adalah bertujuan untuk mengenalpasti pekerja yang memerlukan latihan serta jenis latihan yang diperlukan oleh setiap daripada mereka. Perkara pertama yang perlu dilakukan adalah menyemak rekod penilaian prestasi setiap pekerja. Walau bagaimanapun, maklumat penilaian prestasi seringkali memberitahu kepada kita prestasi siapa yang kurang memuaskan, tetapi tidak ada maklumat tentang sebab prestasi yang kurang baik. Maklumat ini adalah penting kerana tidak semua masalah prestasi boleh diselasaikan dengan latihan. 6.3.2 Rekabentuk Latihan

Rekabentuk latihan yang baik dapat memastikan berlakunya pemindahan latihan. Pemindahan latihan berlaku apabila segala apa yang dipelajari semasa sesi latihan seperti ilmu, kepakaran dan pengetahuan digunapakai di tempat kerja. Apabila ini berlaku, maka bolehlah dikatakan bahawa latihan yag dilaksanakan adalah berkesan. Terdapat tiga elemen yang penting dalam rekabentuk sesebuah program latihan iaitu: 1. Objektif latihan 2. Kesediaan dan motivasi pelatih 3. prinsip-prinsip pembelajaran Objektif Latihan Maklumat yang dikumpulkan dari analisis keperluan latihan dapat memberi gambaran yang jelas tentang PKK yang hendak disampaikan dalam satu-satu program latihan. Berpandukan maklumat dari analisis keperluan ini, objektif latihan bolehlah dibentuk. Objektif latihan merupakan kenyataankenyataan yang menerangkan tentang hasil yang ingi dicapai melalui sesuatu latihan. Ia menerangkan tentang kemahiran atau pengetahuan yang akan diterima oleh para pelatih ataupun sikap pelatih yang ingin diubah. Kesediaan dan motivasi Pelatih

Kesediaan para peserta untuk menerima pengetahuan baru adalah amat penting bagi memastikan sesuatu program latihan berjaya mencapai matlamatnya. Terdapat dua dimensi kesediaan pelatih. Dimensi pertama adalah pelatih mempunyai ciri-ciri peribadi (kebolehan, sikap, kepercayaan dan motivasi) yang diperlukan untuk mempelajari bahan-bahan yang diajar dalam latihan. Kedua, persekitaran pekerjaan yang menggalakkan pembelajaran dan tidak mengganggu prestasi. Kedua-dua dimensi ini perlu wujud bagi memastikan pekerja mempelajari apa yang sepatutnya mereka pelajari dan menggunakan pengetahuan baru mereka di tempat kerja. Motivasi untuk belajar tidak kurang juga pentingnya. Motivasi untuk bel;ajar bermaksud keinginan di kalangan pelatih untuk mempelajari bahan yang diajar semasa program latihan. Keinginan ini adalah penting kerana ia dapat memastikan bahawa pembelajaran dan perubahan akan berlaku di kalangan pelatih. Di antara beberapa perkara yang dapat meningkatkan motivasi pelatih adalah mereka mengetahui kelebihan latihan yang diberikan dan memahami mengapa mereka memerlukan latihan tersebut. Selain daripada itu, motivasi juga dapat ditingkatkan sekiranya dapat dipastikan bahawa pelatih mempunyai pengetahuan asas yang diperlukan bagi mempelajari bahan yang diajar adalam latihan. Prinsip-prinsip pembelajaran Prinsip pembelajaran merupakan cirri-ciri yang terdapat dalam program latihan yang boleh membantu palatih mempelajari bahan yang diajar dan akhir sekali memudahkan pemindahan latihan. Oleh itu, program latihan menggabungkan beberapa prinsip berikut dapat memastikan bahawa latihan adalah lebih berkesan. i.Penetapan Matlamat Sekiranya pelatih digalakkan menetapkan matlamat mereka sendiri sebelum sesi latihan bermula, ia akan meningkatkan tahap minat, usaha dan pemahaman mereka terhadap latihan. Ini adalah disebabkan matlamat yang ditetapkan sendiri adalah lebih bermakna kepada para pelatih dan mereka akan menjadi lebih komited terhadap matlamat tersebut. ii.Perbezaan Individu Setiap individu adalah berbeza dari yang lain. Maka dengan itu, dari segi pembelajaran setiap pelatih adalah berbeza dari segi kaedah dan kadar pembelajaran. Contohnya, ada sesetengah individu dapat belajar dengan baik dengan hanya mendengar apa yang diperkatakan oleh jurulatih, sesetengah individu pula hanya perlu membaca bahan latihan sekali sahaja dan sudah memahami isi kandungan bahan bacaan tersebut, namun ada pula yang membaca dua hingga tiga kali utuk memahami bahan bacaan yang sama. iii.Persembahan Bermakna Bahan yang hendak diajar kepada pelatih hendaklah disampaikan dalam bentuk yang bermakna kepada pelatih untuk meningkatkan pemahaman dan ingatan pelatih terhadapa apa yang dipelajari dalam latihan. Ringkasnya, bahan yang diajar akan lebih bermakna kepada para pelatih sekiranya mereka boleh mengaitkan diri mereka dengan pekerjaan mereka dengan apa yang disampaikan oleh jurulatih.

iv.Permodelan Dalam hidup ini, terdapat banyak perkara yang kita pelajari hanya dengan melihat. Ini menunjukkan belajar dengan melihat orang lain melakukan sesuatu atau permodelan merupakan satu kaedah pembelajaran yang boleh digunakan untuk latihan yang tertentu. Terdapat berbagai bentuk permodelan yang boleh digunakan seperti demonstrasi sebenar, pita video, ataupun gambar-gambar. Permodelan bukan sahaja boleh digunakan untuk menunjukkan cara melakukan sesuatu dengan baik, bahkan ia juga boleh digunakan untuk menunjukkan gelagat-gelagat yang tidak boleh dilakukan. Dalam keadaan begini, penjelasan perlu diberikan tentang gelagat yang tidak boleh dan perlu juga ditunjukkan gelagat yang lebih baik. v.Pengulangan dan Latihan Secara Aktif Kerja yang dilakukan berulangkali biasanya akan memahirkan individu melakukannya. Dengan itu, pelatih juga patut diberi peluang melakukan apa-apa yang diajar semasa sesi latihan. Contonhnya, pelatih yang diajar untuk menggunakan sesuatu mesin yang baru, perlu diberi peluang untuk berlatih menggunakannya dengan diperhatikan oleh jurulatih. vi.Tempoh Masa Pembelajaran Satu lagi faktor yang boleh mempengaruhi keberkesanan sesuatu latihan adalah jumlah masa yang diberikan untuk satu-satu sesi. Adakalanya tempoh pembelajaran yang pendek dan dijarakkan akan mempercepatkan pembejaran dan maklumat yang diberikan sukar dilupakan kerana mereka mempunyai lebih banyak masa untuk memahami setiap satu perkara yag diajar. Namun, adakalanya ia membuatkan peserta menjadi bosan kerana keberkesanan pembelajaran ini bergantung kepada jenis dan kerumitan kemahiran yang hendak disampaikan. vii.Maklumbalas Maklumbalas adalah sangat penting bagi memastikan para pelatih sentiasa terus bermotivasi untuk menjalani satu-satu program latihan. Oleh itu, setiap pelatih perlu diberitahu tentang kemajuan mereka dari segi produktiviti dan kualiti kerja. Kemajuan ini boleh ditentukan dengan ujian-ujian atau rekodrekod tertentu. 6.3.3 Perlaksanaan Program Latihan

Walaupun kita telah membincangkan tentang kepentingan analisis keperluan latihan dan reka bentuk latihan, satu perkara yang amat kritikal dalam perlaksanaan program latihan adalah kaedah latihan yang akan digunakan. Sememangnya terdapat pelbagai kaedah latihan, tetapi yang pentingnya di sini adalah memilih kaedah yang bersesuaian dengan PKK yang hendak dipelajari. Kaedah-kaedah latihan ini boleh dibahagikan kepada dua kategori utama iaitu kedah untuk pekerja pengurusan dan pekerja bukan pengurusan. a) Kaedah Latihan Untuk Pekerja Bukan Pengurusan

Latihan di Tempat Kerja

Ini merupakan satu kaedah latihan yang paling banyak digunakan oleh organisasi untuk melatih pekerja bukan pengurusan. Kaedah latihan di tempat kerja ini memberikan pekerja pengalaman secara langsung dengan tunjuk ajar daripada penyelia ataupun jurulatih. Selain daripada itu, pekerja juga berpeluang untuk melihat keadaan kerja yang sebenarnya serta membentuk hubungan yang baik dengan penyelia dan rakan sekerja yang lain.

Latihan Perantisan

Kaedah perantisan ini seringkali digunakan untuk melatih kemahiran dalam tred- tred yang tertentu seperti juruteknik, tukang kayu dan pendawai elektrik. Pelatih akan diberi tunjuk ajar dan juga pengalaman, di tempat kerja atau di luar tempat kerja, dari aspek praktikal dan teoritikal pekerjaan tersebut. Latihan Kerjasama dan Praktikum Latihan kerjasama merupakan satu program yang menggabugkan kaedah praktikal di tempat kerja dan kelas pengajian formal. Biasanya para pelatih adalah terdiri daripada pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi yang ditempatkan di organisasi tertentu untuk mendapatkan pengalaman bekerja sepenuh masa di organisasi tersebut. Inilah yang dinamakan praktikum. Namun, kadangkala terdapat organisasi yang melaburkan sejumlah wang yang besar dalam program pengajian tertentu dengan harapan program tersebut dapat melahirkan tenaga kerja yang mahir untuk organisasi tersebut. Kaedah Bilik Darjah Menggunakan bilik darjah iaitu dengan mengadakan ceramah atau syarahan juga merupakan datu lagi kaedah yang sering digunakan untuk menyampaikan bahanbahan pengajaran dalam latihan. Kelebihan kedah ini ia boleh mengendalikan bilangan pelatih yang ramai dengan menggunakan khidmat jurulatih yang sedikit bilangannya. Kaedah ini sangat sesuai untuk menyampaikan bahan-bahan berbentuk fakta, konsep prinsip serta teori. Kaedah Pengajaran Terprogram Satu kaedah pembelajaran kendiri yang membolehkan para pelatih belajar mengikut kelajuan mereka yang tersendiri adalah pengajaran terprogram. Namun ia memerlukan disiplin diri para pelatih untuk memastikan mereka memberikan respons yang dikehendaki. Kaedah Pandang Dengar (Audiovisual) Satu lagi kaedah yang baik untuk mengajar kemahiran dan prosedur kerja-kerja pengeluaran adalah dengan menggunakan kaedah pandang dengar. Dengan menggunakn pita video, langkahlangkah dalam penggunaan sesuatu mesin ataupun melaksanakan sesuatu tugas dapat ditunjukkan dengan jelas. Teknologi terkini pula yang menggunakan cakera video, tele persidangan dan televisyen interaktif telahmenjadi satu alat pengajaran yang lebih menarik. Kaedah Simulasi Kaedah simulasi digunakan apabila tidak praktikal ataupun merbahaya sekiranya pelatih dilatih dengan menggunakan peralatan yang sebenar. Contonya ketika hendak melatih menggunakan jentera berat ataupun mengendalikan peralatan berteknologi tinggi yang mahal harganya seperti kapalterbang. Maka

dengan itu, kaedah simulasi memberikan satu situasi yang hamper sama dengan peralatan yang hendak dipelajari. b) Kaedah Latihan Untuk Pembangunan Pengurusan

Pengalaman di tempat Kerja

Dalam kehidupan ini, banyak perkara yang kita belajar dari pengalaman yang kita lalui. Kita belajar melalui apa yang kita lihat, dengar, buat dan alami. Oleh itu, dengan memberi peluang kepada pelatih untuk belajar melaksanakan kerja dalam keadaan tertekan, serta membenarkan mereka belajar daripada kesilapan yang mereka lakukan merupakan satu teknik yang sangat berkesan dalam melatih kumpulan penguruan. Beberapa kaedah yang boleh diberikan untuk memberikan pengalaman di tempat kerja bagi kumpulan pengurusan. Diantaranya ialah pelatih boleh terlibat dengan perlaksanaan projek yang kecil, pusingan kerja, mesyuarat staf dan pembelajaran melalui tindakan. Seminar dan Persidangan Seminar dan persidangan adalah sangat berguna dalam menyampaikan maklumat tentang idea, dasar dan prosedur. Selain daripada itu, seminar dan persidangan juga sering dijadikan tempat untuk berbincang dan berdebat. Oleh sebab itu, sekiranya matlamat latihan adalah untuk mengubah sikap, seminar ataupun persidangan adalah kaedah yang paling sesuai.Ini kerana semasa menghadiri seminar atau persidangan, pekerja akan didedahkan dengan pelbagai idea baru dan mereka berpeluang untuk berbincang dan bertukar-tukar fikiran dengan peserta persidangan yang lain dan juuga membentangkan kertas kerja. Kajian Kes Kaedah kajian kes adalah sangat sesuai sekiranya latihan adalah wajar untuk mengajar pengurus menganalisis dan mensintesis fakta, serta untuk mengajar mereka kemahiran membuat keputusan berdasarkan pelbagai pembolehubah yang wujud. Ini adalah kerana semasa sesi kajian kes peserta latihan akan diberi satu masalah organisasi dalam bentuk bertulis dan mereka dikehendaki menyelesaikan masalah tersebut dengan menggunakan kaedah yang diajar dalam sesi latihan. Kaedah ini adalah agak mudah untuk dilaksanakan dalam situasi bilik darjah kerana tiada peralatan yang canggih diperlukan, melainkan perbincangan di kalangan peserta dan jurulatih berkaitan kes yang telah diberikan. Permainan Pengurusan Dalam permainan pengurusan, para peserta akan didedahkan dengan situasi yang memerlukan mereka membuat pelbagai keputusan untuk sesebuah organisasi hipotetikal. Kadang-kala, simulasi komputer digunakan untuk menunjukkan akibat dari keputusan yang dibuat. Ini menjadikan kaedah ini lebih menarik. Walaubagaimanapun, kaedah ini memerlukan tahap penglibatan yang tinggi di kalangan para peserta. Memainkan Peranan Memainkan peranan memerlukan peserta melakonkan gelagat dan sikap orang lain atau memainkan peranan yag diberikan. Latihan sebegini bertujuan untuk meningkatkan kebolehan seseorang dalam memahami orang lain dan bekerjasama dengan orang lain. Memainkan peranan juga boleh membantu para peserta membantu orang lain melihat sesuatu perkara dari perspektif yang berlainan.

Permodelan Gelagat

Teknik ini menggabungkan beberapa kaedah latihan yang berlainan. Ini adalah kerana pendekatan ini memerlukan suatu demonstrasi diadakan tentang gelagat yang diingini. Kemudian, pelatih diberi peluang untuk melakonkan semula gelagat tersebut dan akhir sekali maklum balas akan diberikan kepada pelatih. Oleh itu, kaedah ini melibatkan empat komponen yang penting iaitu bahan yang hendak dipelajari, model, lakonan semula dan maklumbalas serta pengukuhan. 6.3.4 Penilaian Keperluan

Menilai keberkesanan latihan adalah satu aspek latihan yang sangat penting. Namun begitu, kebanyakan organisasi kurang mengambil berat tentang aspek penilaian ini. Ini merupakan sesuatu yang merugikan kerana membentuk program latihan dan memberi latihan kepada pekerja melibatkan kos yang agak besar, bukan sahaja dari segi kewangan, bahkan dari segi masa dan lain-lain persediaan. Maka dengan itu, sudah tentu kita mahu memastikan bahawa wang yang dilaburkan ini memberikan pulangan yang positif kepada organisasi. Kriteria Penilaian Terdapat empat criteria yang biasanya digunakan untuk menilai latihan iaitu reaksi, pembelajaran, gelagat dan hasil. Keempat-empat criteria ini dipanggil model Kirkpatrick kerana criteria-kriteria ini mula diperkenalkan untuk menilai program latihan oleh Kirkpatrick pada tahun 1967 (Harris dan De Simone, 1994). Reaksi Menilai reaksi peserta merupakan satu bentuk penilaian yang paling mudah dan kerap dilakukan. Umumnya, menilai reaksi bermaksud mendapatkan pendapat peserta samada mereka suka atau tidak latihan yang diberikan. Penilaian ini dilakukan berdasarkan pendapat bahawa jika sekiranya peserta berpuas hati dengan latihan, mereka lebih berkemungkinan untuk menumpukan perhatian kepada prinsip-prinsip latihan dan menggunakan maklumat yag mereka perolehi dalam pekerjaan seharian mereka. Selain daripada kepuasan, peserta juga boleh memberikan maklum balas tentang isi kandungan latihan, kesesuaian teknik yang digunakan, keberkesanan jurulatih yang dipilih dan sebagainya. Malah mereka juga boleh menjadi sumber cadangan untuk menjadikan program latihan lebih baik dan berkesan. Pembelajaran Menilai setakat mana pelatih telah mempelajari bahan yang diajar ketika sesi latihan juga merupakan sesuatu yang penting. Ini boleh dilakukan dengan melaksanakan ujian ke atas para pelatih berkaitan latihan yang diberikan. Oleh itu, adalah lebih baik sekiranya pengetahuan dan kemahiran yang sedia ada pada para peserta diuji terlebih dahulu di awal sesi latihan. Ini adalah bertujuan untuk menjadi asas bagi menguji semula peserta di akhir sesi latihan bagi menentukan peningkatan pengetahuan dan kemahiran.

Gelagat Seringkali apabila seseorang pekerja balik daripada menjalani latihan, jarang sekali kita dapat melihat perubahan gelagat kerja mereka yang menunjukkan bahawa mereka mengaplikasikan apa yang mereka pelajari dalam pekerjaan mereka. Ini bukan bermakna latihan yang mereka jalani itu adalah tidak berguna, tetapi di atas beberapa sebab yang tertentu mereka tidak memindahkan pengetahuan dan kemahiran baru mereka di tempat kerja. Pemindahan latihan yang bermaksud pengaplikasian yang berkesan tentang apa yang dipelajari kepada keperluan pekerjaan, adalah sangat penting dalam melihat keberkesanan latihan. Hasil Akhir sekali, penilaian juga dilakukan dengan melihat kepada hasil organisasi seperti peningkatan produktiviti dan keuntungan, serta pengurangan ketidakpuasan hati pelanggan, kos dan bahan buangan,. Namun begitu, untuk menentukan samada hasil yang diterima ini adalah hasil daripada latihan ataupun tidak, bukanlah suatu yang mudah. Ini kerana adalah bagi satu-satu tahun operasi itu, organisasi biasanya melaburkan wang untuk pelbagai aktiviti yang dapat meningkatkan keuntungan dan mengurangkan kos. Walaupun begitu, ini tidak bermaksud mengukur hasil boleh diabaikan. Ini menunjukkan bahawa semua pelaburan yang dibuat oleh organisasi terhadap sumber manusia dan juga sumber-sumber lain, hendaklah dipastikan memberi pulangan yang baik kepada organisasi. 6.4 KESIMPULAN

Organisasi sekarang ini dilanda dengan pelbagai bentuk peubahan dari segi ekonomi, teknologi dan trend sosial. Ini telah menjadikan latihan sebagai satu perkara yang sangat penting bagi memastikan prestasi dan produktiviti pekerja yang tinggi. Bagi memastikan program latihan berkesan, adalah dicadangkan bahawa organisasi menggunakan pendekatan sistem yang mempunyai empat fasa iaiatu fasa keperluan latihan, fasa rekabentuk, fasa peleksanaan program latihan dan fasa penilaian program latihan. Program latihan yang berkesan sememangnya sesuatu yang diidamkan oleh semua majikan. Melalui pendekatan sistem ini, suatu program latihan yang terancang dapat dilaksanakan. Oleh yang demikian, semua pihak dalam organisasi perlu terlibat dalam membentuk program latihan supaya latihan yang disediakan betul-betul memenuhi keperluan organisasi dan akan memberi pulangan yang sepatutnya kepada organsiasi.