Anda di halaman 1dari 3

ISRAK MIKRAJ - Roh dan Jasad

IMAM Nawawi seorang tokoh perundangan dalam Islam, menyatakan dalam


kitabnya Syarah Muslim: Perkara sebenar yang telah disepakati sama ada oleh ulama
fiqh (fuqaha), ulama ahli hadith (muhaddithin) dan ulama ilmu kalam atau ilmu
tauhid (mutakallimin), begitu juga para sahabat (atsar) dan para ulama dahulu dan
mutakhirin, bahawa Nabi Muhammad S.A.W telah diisrak dan dimikrajkan oleh Allah
SWT dengan roh dan jasadnya sekali. Begitu juga Al Imam Ibnu Hajar mempunyai
pendapat yang sama dalam perkara tersebut.

Menurut Imam Nawawi, tiada alasan untuk menolak hakikat Israk Mikraj Nabi S.A.W
dengan roh dan jasadnya sekali, kerana peristiwa Israk dan Mikraj agung itu bukan
atas usaha ikhtiar Nabi s.a.w sendiri, sebaliknya Nabi s.a.w menghebahkan kepada
orang ramai bahawa baginda telah diisrak dan dimikrajkan oleh Allah SWT bersama
malaikat Jibril. Kenderaan yang disediakan oleh Allah SWT bernama buraq iaitu
kenderaan yang dicipta dari cahaya. Buraq kenderaan khusus untuk suatu
pengembaraan Nabi s.a.w dalam perisitiwa bersejarah diisrak dan dimikrajkan ke
langit. Ini bermakna bahawa Israk Mikraj adalah suatu peristiwa di luar kemampuan
Nabi s.a.w untuk melakukannya, sebaliknya ia dikehendaki oleh Allah SWT berlaku
ke atas diri Nabi s.a.w dengan dibantu oleh malaikat Jibril.

Allah SWT melalui firmanNya dalam ayat pertama surah Al Isra', menjelaskan
tentang peristiwa Israk memulakan dengan kalimah Subhana "Maha Suci Allah."
Ertinya, Allah SWT itu Maha Suci dari segala sifat kekurangan dan kelemahan.
Sekalipun peristiwa Isra Mikraj itu perkara luar biasa(ajaib) di sisi akal manusia,
tetapi bagi Allah SWT Yang Maha Suci dari sifat kelemahan, maka Dia boleh
melakukan apa jua perkara pelik menjadi perkara biasa dan tiada yang mustahil
bagiNya.

Kalaulah peristiwa Israk Mikraj itu sekadar Nabi s.a.w bermimpi pergi ke Baitul
Muqaddis dan juga mimpi naik ke langit, maka kaum musyrikin Makkah tidak akan
marah dan mempersenda Nabi s.a.w, kerana mimpi adalah perkara biasa bagi semua
orang. Bukan Nabi Muhammad sahaja yang boleh bermimpi naik ke langit, bahkan
orang yang bukan taraf nabi pun boleh bermimpi serupa itu juga.

Apabila kafir Quraisy menentang habis-habisan dan berusaha mati-matian


menyangkal peristiwa Israk Mikraj yang berlaku kepada roh dan juga jasad Nabi
Muhammad s.a.w ini bererti dengan sendirinya mereka mengakui bahawa Nabi
diisrak dan dimikrajkan dengan roh dan jasadnya sekali. Bukannya bermimpi pergi
ke langit, kerana mimpi bukanlah suatu yang luar biasa dan tidak menyebabkan
orang bersengketa kerana mimpi bukan isu yang patut dipertikaikan.

Sekiranya Nabi Muhammad s.a.w itu sekadar mimpi naik ke langit sahaja, maka
tidak ada mustahaknya orang-orang kafir Quraisy cabar Nabi untuk membuktikan
kebenaran ceritanya dengan menerangkan rupa bentuk masjid Al-Aqsa serta jumlah
pintu, tiang dan perkara-perkara yang berkaitan dengan masjid tersebut. Jika hanya
dengan bermimpi, tidak mungkin Nabi s.a.w mampu menjawab semua soalan kaum
musyrikin yang mengkehendaki Nabi Muhammad menjawab dengan lengkap
keadaan rupabentuk masjid Al-Aqsa itu.

Pertanyaan kaum musyrikin mengenai keadaan rupabentuk masjid Al- Aqsa dengan
tujuan untuk memerangkap, kerana mereka yakin seratus peratus bahawa Nabi
s.a.w tidak pernah menjejakkan kaki ke Baitul Muqaddis. Sebaliknya apabila semua
pertanyaan telah dijawab dengan betul, maka kaum musyrikin menjadi panik dan
kebingungan. Mereka tahu bahawa Muhammad s.a.w sebelum peristiwa yang
menggemparkan itu, sememangnya tidak pernah pergi ke Baitul Muqaddis, tetapi
mereka hairan bagaimana Nabi boleh menjawab semua pertanyaan berhubung
masjid Al-Aqsa itu.

Mereka telah hilang punca, kecuali mereka terpaksa membuat tuduhan bahawa Nabi
adalah seorang ahli sihir, bagi mereka hanya ahli sihir sahaja yang boleh berbuat
demikian.

Sememangnya tiada dalam ingatan Nabi s.a.w tentang rupabentuk masjid Al-Aqsa,
kerana Nabi s.a.w sekadar dibawa singgah sebentar oleh Jibril untuk menunaikan
solat dua rakaat. Setelah selesai solat, Nabi s.a.w telah dihidangkan dua bejana yang
mengandungi dua jenis minuman, satu bejana mengandungi susu dan satu bejana
lagi mengandungi arak. Setelah itu, Nabi s.a.w mengambil bejana yang
mengandungi susu, dan tindakan Nabi memilih bejana mengandungi susu mendapat
sanjungan dari Jibril kerana menepati fitrah manusia. Sesi minuman itu dalam masa
yang singkat, selepas itu Nabi s.a.w naik ke langit bersama Jibril dengan kenderaan
Buraq.

Tidak terfikir oleh Nabi s.a.w untuk melihat persekitaran masjid Al-Aqsa, jauh sekali
hendak mengingat jumlah pintu dan jumlah tiang serta lain-lain perkara yang
berhubung masjid Al-Aqsa. Bagaimanapun Allah SWT tidak membiarkan Nabi dan
RasulNya terperangkap dalam percaturan jahat puak musyrikin Makkah yang cuba
hendak memalukannya. Ketika Nabi Muhammad agak termangu dengan pertanyaan
puak musyrikin, Allah SWT datangkan Masjid Al-Aqsa ke hadapan Nabi s.a.w yang
sedang berdiri pada HIjir Ismail. Justeru itu Nabi dapat melihat masjid Al-Aqsa
dengan jelas, sehingga begitu mudah Nabi menjawab semua pertanyaan puak
musyrikin dengan tepat.

Kejadian Israk Mikraj yang berlaku kepada Nabi s.a.w sememangnya suatu peristiwa
yang sukar untuk difahami oleh akal dan fikiran manusia secara biasa. Persoalannya
bagaimana Nabi naik ke langit dengan kenderaan Buraq yang terdedah kepada
persekitaran angkasa lepas, ia boleh membahayakan fizikal manusia biasa. Nabi
menempuhnya tanpa sebarang persiapan untuk maksud tersebut, sebaliknya Nabi
s.a.w diarah oleh Tuhan secara mendadak untuk misi Israk dan Mikraj ke langit yang
ditemani oleh malaikat Jibril.

Bayangkanlah, ketika manusia mencipta kapal terbang untuk pengangkutan udara,


mereka terpaksa mengkaji bertahun-tahun untuk membolehkan manusia berada
dalam pesawat udara pada kadar ketinggian tertentu dan masa yang agak lama.
Bukan saja keselamatan pesawat tetapi juga keselamatan penumpang menjadi
keutamaan.

Tetapi Nabi s.a.w ke langit yang tertinggi iaitu ke Sidratul Muntaha dengan tidak ada
kawalan fizikal, suatu tempat yang malaikat Jibril pun tidak boleh sampai padanya.
Allah SWT izinkan RasulNya Muhammad s.a.w menjejakkan kaki ke tempat yang
amat tinggi itu tanpa pakaian keselamatan (menurut istilah sekarang), sekadar
pakaian biasa yang ada pada tubuh Nabi ketika itu.
Dengan kelajuan seperti kilat menyambar, kenderaan Buraq terdedah kepada
persekitaran angkasa lepas yang tidak mampu dilalui oleh manusia biasa. Tetapi Nabi
s.a.w selamat pergi dalam peristiwa Israk Mikraj itu, dan selamat pulang setelah
meredah angkasa raya hanya dalam masa satu malam sahaja. Nabi s.a.w telah
menjejakkan kaki ke bumi Makkah menjelang subuh.

Keadaan luar biasa itu sebenarnya adalah mukjizat Allah yang dikurniakan kepada
Nabi Muhammad s.a.w, mukjizat itulah yang amat sulit untuk difahami. Peristiwa
Israk Mikraj yang amat menakjubkan, mendorong golongan kafir musyrikin Makkah
semakin hebat mempersenda Nabi s.a.w setelah gagal untuk menafikan peristiwa
tersebut.

Anda mungkin juga menyukai