Anda di halaman 1dari 4

PERANAN IBU BAPA DALAM USAHA MEMUPUK AMALAN GAYA

HIDUP SIHAT
Amalan gaya hidup sihat adalah cara hidup yang boleh mengurangkan risiko penyakit jantung pada masa
hadapan. Namun demikian, ribuan rakyat Malaysia mempunyai berat badan berlebihan, tidak aktif dan terlalu
banyak menghisap rokok. Ribuan rakyat Malaysia mengamalkan cara hidup yang tidak sihat sejak kecil lagi
seperti menggemari makanan yang mengandungi kolesterol, tidak melakukan senaman dan makan secara
berlebihan. Oleh itu, untuk mengurangkan risiko obesiti serta penyakit berbahaya seperti sakit jantung, darah
tinggi, kencing manis dan sebagainya, rakyat Malaysia perlulah mengamalkan gaya hidup sihat. Secara
umumnya, tanggungjawab ini sudah semestinya jatuh pada bahu ibu bapa yang melahirkan anak-anak serta
menjaga mereka sejak kecil lagi. Persoalannya, apakah peranan ibu bapa dan keluarga untuk memupuk amalan
gaya hidup sihat dalam kalangan anak-anak mereka?
Peranan utama ibu bapa dalam memupuk amalan gaya hidup sihat dalam kalangan anak-anak mereka
adalah dengan memastikan anak-anak mengamalkan pemakanan yang seimbang. Pemakanan yang seimbang
adalah pemakanan yang mengandungi ketujuh-tujuh kelas makanan dalam kadar yang bersesuaian iaitu
karbohidrat, protein, vitamin, mineral, lemak, air serta serat. Ibu bapa perlulah sentiasa menghidangkan
makanan yang berzat serta bernutrisi kepada anak-anak. Selain itu, ibu bapa juga digalakkan untuk makan di
rumah kerana makanan di luar, khususnya gerai-gerai makanan di sepanjang jalan yang makanannya biasa
digoreng dengan penuh minyak. Jika tabiat yang baik ditanam dalam diri anak-anak, sudah pasti anak-anak
akan tahu menjaga pemakanan mereka apabila dewasa kelak. Ibu bapa juga perlu mengurangkan pengambilan
minuman berkarbonat oleh anak-anak kerana minuman sebegini tidak memberikan apa-apa kebaikan dan
mengandungi kandungan gula yang berlebihan. Anak-anak perlulah diajar untuk minum air kosong atau jus
buah-buahan yang asli. Jelasnya, ibu bapa perlulah memastikan anak-anak mengamalkan pemakanan seimbang
dalam memupuk amalan gaya hidup sihat.
Selain itu, ibu bapa juga boleh melakukan aktiviti bersenam dan beriadah bersama anak-anak. Perbuatan
ini bukan sahaja akan menyihatkan badan, malah hubungan antara ibu bapa dengan anak-anak akan menjadi
lebih erat. Aktiviti bersenam mampu mengekalkan gaya hidup sihat kerana peluh-peluh yang keluar sewaktu
melakukan senaman akan keluar bersama-sama toksin badan. Kesannya, anak-anak mampu membina tahap
imunisasi yang tinggi terhadap serangan penyakit. Aktiviti senaman perlulah dilakukan sekurang-kurannya 20
minit sehari dan tiga kali seminggu. Antara aktiviti yang boleh dilakukan ialah senamrobik, berjoging,
berbasikal, berenang serta mendaki bukit. Disebabkan ramai golongan ibu bapa yang bekerja, senaman ini boleh

dilakukan pada awal pagi ataupun pada waktu petang selepas ibu bapa pulang dari kerja. Apabila seseorang itu
bersenam dan beriadah, mereka dapat meningkatkan kesihatan diri dari aspek fizikal dan mental bak kata
pepatah, badan cergas otak cerdas. Tegasnya, ibu bapa perlulah melakukan aktiviti senaman dan riadah bersama
anak-anak supaya amalan gaya hidup sihat dapat dipupuk.
Di samping itu, ibu bapa juga perlulah membawa anak-anak membuat pemeriksaan kesihatan secara
berkala untuk memupuk amalan gaya hidup sihat. Ibu bapa digalakkan untuk membawa anak-anak menjalani
pemeriksaan kesihatan sekurang-kurangnya enam bulan sekali ataupun dua kali setahun. Pemeriksaan kesihatan
adalah penting kerana mampu mengesan sesuatu penyakit ketika masih di peringkat awal dan memudahkan
pesakit menjalani rawatan dengan teknologi moden kini. Bak kata pepatah, mencegah lebih baik daripada
mengubati. Dengan ini, ibu bapa dapat mengenali tubuh badan anak-anak mereka dengan lebih baik dan mampu
menentukan pilihan yang terbaik untuk anak-anak mereka. Jika ibu bapa mendapati anak-anak mereka tidak
sihat, ibu bapa perlulah segala membawa mereka berjumpa dengan doktor untuk mendapat ubat serta
pengesahan tentang penyakit yang dihidapi. Bukan itu sahaja, ibu bapa perlulah memastikan anak-anak
mematuhi nasihat doktor dan mengambil ubat pada masa yang ditetapkan. Jelasnya, pemeriksaan kesihatan
secara berkala oleh anak-anak akan memupuk amalan gaya hidup sihat.
Ibu bapa juga perlu mengajar dan melatih anak-anak mereka mengutamakan kebersihan diri pada setiap
masa bagi memastikan mereka terhindar daripada sebarang penyakit. Keperluan asas seperti menggosok gigi,
mandi, berpakaian bersih, waktu tidur dan rehat yang cukup juga perlu dijadikan amalan hidup seharian. Bagi
mengelakkan jangkitan kuman atau penyakit, mereka juga perlulah mengamalkan budaya mendisiplinkan diri
dengan asas-asas kebersihan seperti mencuci tangan dengan bersih sebelum makan, menutup makanan dengan
baik agar tidak dihinggapi lalat mahupun memilih gerai atau tempat makan yang bersih semasa menjamu
selera. Sikap sambil lewa ibu bapa dalam menitik beratkan aspek berkenaan mungkin boleh membawa padah.
Justeru, amalan sebegini harus dilentur sejak dari rebung dalam diri anak-anak agar dapat membentuk gaya
hidup yang sihat apabila mereka dewasa kelak.
Pada masa yang sama, selain mengutamakan kesihatan diri dan makanan, ibu bapa juga seyogia
mendidik ahli keluarga mereka agar menjaga kebersihan persekitaran mereka. Persekitaran yang bersih perlu
dijadikan amalan dan gaya hidup agar kita terhindar daripada sebarang penyakit. Umpamanya, ibu bapa
menggalakkan anak-anak mengadakan gotong-royong di rumah setiap hujung minggu untuk membersihkan
kawasan rumah bersama ahli keluarga. Ibu bapa juga boleh membawa anak-anak menyertai kegiatan gotong
royong di taman perumahan dengan membersihkan sampah-sarap atau memastikan kawasan persekitaran
mereka sentiasa bersih. Amalan seperti ini dapat mengelakkan pembiakan agen-agen pembawa penyakit seperti

nyamuk, lipas, lalat dan sebagainya. Tempat-tempat pembiakan nyamuk di dalam atau di luar rumah seperti
pelapik pasu bunga ataupun tempat takungan air mestilah kerap dibersihkan ataupun ditukar. Dengan cara
demikian, ibu bapa dapat melatih gaya hidup yang positif dalam diri anak-anak mereka sekali gus akan dapat
menjauhkan diri mereka daripada pelbagai penyakit.
Gaya hidup yang sihat juga melibatkan aspek psikologi dan sosial seseorang itu. Mereka yang lebih
terbuka dan bersedia untuk berkongsi masalah dengan orang lain didapati lebih bermakna kehidupannya
berbanding dengan individu yang suka bersendirian atau menyimpan masalah mereka. Sikap berkawan dan
menghabiskan masa bersama-sama mereka menjadikan keperluan psikologi manusia dipenuhi dengan efektif.
Ibu bapa digalakkan menjalin hubungan komunikasi yang mesra bersama-sama anak-anak atau jiran tetangga.
Hubungan baik yang berkekalan biasanya dapat melahirkan satu bentuk kehidupan yang ceria dan
menggembirakan. Sesungguhnya, aspek psikologi dan sosial manusia perlu dipenuhi bagi memperoleh gaya
hidup yang sihat ini Peranan ibu bapa mengamalkan cara berkomunikasi berkesan dengan ahli keluarga, rakanrakan dan jiran tetangga serta mengamalkan ibadat mengikut agama masing-masing akan memberi impak
psikologi yang positif.
Pada masa yang sama sikap atau mentaliti positif penting untuk dimiliki oleh seseorang itu bagi
menangani tekanan kehidupan dalam era moden ini. Pemikiran yang positif menjadikan seseorang itu mampu
menyelesaikan pelbagai kemelut yang melanda kehidupannya dengan baik tanpa tertekan. Kehidupan zaman
moden yang penuh cabaran terutama tekanan di pejabat, kekangan di tempat kerja memerlukan satu persepsi
positif daripada ahli masyarakat kita. Para ibu bapa perlu bijak menghadapi tekanan hidup, mereka mungkin
boleh mendapatkan bantuan daripada pakar motivasi ataupun rakan-taulan di sekeliling mereka. Hal ini perlu
kerana tekanan yang dialami boleh menjuruskan ibu bapa pada perlakuan negatif seperti mendera, menagih
dadah atau melakukan sesuatu perkara di luar jangkaan. Jadi, semakin positif minda ibu bapa itu maka semakin
tinggilah gaya hidup sihat yang mampu dicapai oleh dirinya dan keluarga kelak. Penguasaan diri yang baik dan
pesanan yang sering merangsang anak-anak ke arah positif menangani cabaran merupakan asuhan yang amat
dicontohi oleh anak-anak sehingga mereka dewasa.
Tambahan pula, untuk memupuk amalan gaya hidup sihat dalam anak-anak, ibu bapa perlulah membawa
mereka menziarahi orang sakit sama ada saudara-mara, jiran tetangga ataupun rakan-rakan. Hari ini kita sihat,
tetapi bagaimana pula dengan hari esok? Jika ibu bapa sering melawat orang yang sedang sakit, nescaya anakanak mereka juga akan berbuat demikian kerana bagaimana acuan begitulah kuihnya. Anak-anak tidak
seharusnya merasakan bahawa perbuatan sebegini hanya membuang masa dan merugikan diri kerana ianya
sesuatu amalan yang mulia. Apabila kita menziarahi orang yang sakit, secara tidak langsung kehadiran kita

dapat melahirkan perasaan gembira kepada pesakit dan memberi kekuatan kepada diri pesakit itu untuk
melawan kesakitan yang ditanggung. Perbuatan menziarahi orang yang sakit akan sedikit sebanyak melahirkan
rasa simpati terhadap nasib orang lain dan pada masa yang sama anak-anak akan bersyukur atas kurniaan
sebuah badan yang sihat. Kehadiran kita menunjukkan bahawa kita, khususnya anak-anak, mengambil berat
tentang diri pesakit dan dapat mengurangkan perasaan sedih pesakit walaupun pepatah menyatakan bahawa
berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Tegasnya, amalan menziarahi orang yang sakit oleh ibu
bapa dan anak-anak mampu menanamkan amalan gaya hidup yang sihat.
Akhir sekali, bagi menjalani amalan gaya hidup sihat, ibu bapa perlu memastikan agar anak-anak
mendapat rehat dan tidur yang secukupnya. Tubuh badan anak-anak juga perlu direhatkan dengan kadar yang
diperlukan untuk mengecas semula organ-organ dalam badan mereka. Bagi anak-anak yang telah mencapai usia
remaja, mereka memerlukan sekurang-kurangnya lapan jam sehari untuk tidur dengan selesa. Namun, ramai
anak-anak muda pada masa ini yang lebih suka tidur selepas tengah malam walaupun keesokan merupakan hari
persekolahan. Kesannya, mereka tidak akan berasa cergas dan badan akan lesu dan tidak bermaya. Malahan,
pelajaran anak-anak juga diganggu dan lama-kelamaan prestasi mereka dalam peperiksaan semakin merosot.
Salah satu langkah yang boleh diambil oleh ibu bapa adalah menetapkan satu masa yang spesifik untuk anakanak masuk tidur dan mestilah dipatuhi dengan sepenuhnya. Tegasnya, untuk memupuk amalan gaya hidup
sihat, ibu bapa perlu memastikan anak-anak mendapat rehat yang secukupnya.
Jika mendaki menuju ke puncaknya, jika berbicara menuju ke noktahnya. Kemelut yang bersangkut isu
peranan ibu bapa telah dikupas dengan mendalam. Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan
bahawa ibu bapa memainkan peranan yang besar untuk memupuk amalan gaya hidup sihat dalam kalangan
anak-anak. Amalan ini adalah penting untuk dilaksanakan agar kesihatan rakyat dalam negara ini sentiasa dalam
keadaan yang baik. Oleh itu, langkah-langkah di atas perlulah diamalkan oleh anak-anak yang menjadi
pemimpin generasi akan datang bak kata pepatah pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Semua rakyat
Malaysia haruslah mengamalkan gaya hidup sihat supaya penyakit seperti kencing manis, obesiti, darah tinggi,
sakit jantung dan sebagainya dapat dikurangkan dalam jangka masa yang panjang ini. Dengan kata lain, segala
kelemahan perlu ditangani sebelum padi di sawah menjadi lalang, sebelum ayam di reban disambar
helang. Jelasnya, jika hal-hal yang dinyatakan di atas itu kita laksanakan, sudah pasti kita memiliki ciri-ciri
manusia yang berjaya bak kata pepatah hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih.

Anda mungkin juga menyukai