Anda di halaman 1dari 2

SEJARAH SUKU KAUM KADAZAN-DUSUN DI SABAH

Kaum Kadazan-Dusun merupakan nama kaum bumiputera asli yang terbesar di Sabah.
Salah satu teori mengatakan kaum ini asalnya dari suku Bunun di Taiwan. Kaum etnik
Kadazan-Dusun ini menggunakan pelbagai bahasa dan dialek dengan pelbagai kebudayaan
dan adat resam tradisional. Terdapat 27 suku kaum di dalamnya. Antaranya ialah Dusun
Liwan, Dusun Tindal, Dusun Pahu, Dusun Lotud, Bagahak, Dusun Labuk, Dusun
Kimaragang, Tagahas, Tangara, Dusun, Rungus, Orang Sungai, Kuijau, Tambanuo, dan
sebagainya.
Pada mulanya Tun Fuad Stephens, Huguan Siou (Pemimpin Agung) pertama Kadazan,
mencadangkan istilah Kadazan digunakan bagi menyatukan 14 suku kaum yang berkongsi
kumpulan bahasa bagi memberikan mereka suara yang lebih besar. Ini dipersetujui oleh
ramai, tetapi sesetengah orang Dusun mahukan atonomi lebih besar, dengan itu istilah
Kadazan-Dusun dipilih sebagai tolak-ansur.
Kumpulan etnik yang terbesar adalah suku kaum Dusun yang merupakan satu pertiga dari
penduduk Sabah. Suku kaum Dusun yang tinggal di pantai barat seperti Penampang, Papar,
Tuaran, Kiulu, Tamparuli, Tenghilan, Kota Belud dan juga di lembah bukit di Ranau,
Tambunan, dan Keningau adalah petani tradisi yang menanam padi sawah dan huma.
Sesetengah dari mereka memburu serta menangkap ikan sungai. Mereka kebanyakan
bertempat di sekelilingi kawasan lembah pantai barat dan kawasan pendalaman.
Lazimnya masyarakat daripada subetnik yang disebut di atas adalah berasal (mendiami)
daripada kawasan-kawasan (daerah) tertentu umpamanya Kimaragang di daerah Kota
Marudu, Lotud di daerah Tuaran, Orang Sungai di daerah Kinabatangan, Sugut, Paitan dan
Pitas. Kebanyakan orang Kadazan-Dusun menganuti agama Kristian. Bagi Orang Sungai
yang tinggal di daerah Pitas, mereka menganut agama Islam manakala daerah-daerah lain
seperti Kinabatangan (Tongod) dan Paitan, Orang Sungai beragama Islam dan Kristian.
Masyarakat Lotud (Suang Lotud) turut mendiami kawasan Pantai Barat Selatan negeri
Sabah terutamanya Tuaran, Tamparuli, Telipok dan dan sedikit di Kota Belud (Tempasuk).
Mereka hidup secara kolektif dengan mendiami rumah panjang yang mengumpulkan
beberapa keluarga, iaitu antara 150 - 200 orang. Walau bagaimanapun, pada masa kini,
rumah panjang jarang dilihat dalam etnik ini. Kebanyakannya telah mengalami
pembangunan fizikal dan mental.
Istilah Kadazan-Dusun ini wujud dari hasil penggabungan etnik Kadazan dan Dusun serta
beberapa etnik kecil lain. Penggabungan ini adalah akibat pertelingkahan politik. Lagipun,

perbezaan antara kaum Kadazan dan Dusun tidaklah begitu berbeza dan kasar.Beza antara
bahasa Kadazan dan Dusun ialah seperti bahasa Malaysia dan bahasa Indonesia.

Anda mungkin juga menyukai