Anda di halaman 1dari 9

Konsep wacana

Wacana merupakan suatu bahagian atau unit yang paling tinggi yang melampaui
sebaris ayat yang lengkap. Oleh yang demikian, wacana dapat dijelmakan dalam
pelbagai bentuk sehinggalah meliputi peristiwa bahasa. Menurut Kamus Dewan (2007),
wacana membawa maksud keseluruhan tutur kata yang merupakan suatu kesatuan,
ucapan, pertuturan serta percakapan. Manakala menurut pendapat Harimurthi (1982)
pula, wacana merupakan unit bahasa yang melebihi batas ayat. Sementara itu, Raminah
Haji Sabran (1985) dalam bukunya yang bertajuk Kajian Bahasa untuk Pelatih Maktab
Perguruan, mendefinisikan wacana adalah unit bahasa yang melebihi batas ayat, kerana
itu ia boleh terdiri daripada ayat, sejumlah ayat, ceraian, bab, buku, dialog, siri buku dan
sebagainya yang di dalamnya memperlihatkan hubungan-hubungan dan perkembangan
fikiran yang berturutan. Menurut beliau lagi, wacana merupakan kesatuan bahasa yang
lengkap. Di dalam tatabahasa, wacana ini diletakkan di tahap paling atas atau tertinggi
mengikut hierarki.

Sejumlah ayat tertentu hanya membawa satu tumpuan makna sahaja. Manakala
tumpuan makna pula akan membentuk satu fokus pemikiran yang mana di dalam
tatabahasa ianya disebut sebagai wacana. Selain itu, wacana juga boleh disebut sebagai
rentetan, tautan dan hubungan antara sistem bahasa yang tersusun sehingga menjadi satu
bentuk ayat, perenggan, karangan, sebuah novel, sebuah majalah, buku seminar, bengkel,
forum dan sebagainya.
Wacana berasal daripada perkataan Jawa iaitu wocono atau woco yang
membawa maksud baca. Terdapat dua jenis wacana di dalam unit bahasa iaitu wacana
lisan dan wacana tulisan. Wacana lisan dihasilkan atau dituturkan secara lisan dan
melibatkan komunikasi secara langsung antara penutur dengan pendengar seperti aktiviti
perbualan harian, temu ramah, ceramah, ucapan, khutbah dan sebagainya. Wacana jenis
ini melibatkan ekspresi wajah, nada suara, gerak badan dan sebagainya dalam
menyampaikan sesuatu maksud. Manakala wacana tulisan pula berkisar kepada tulisan
dan melibatkan hubungan antara penulis dengan pembaca. Komunikasi yang berlaku
dalam wacana tulisan ini adalah secara tidak langsung . Contoh wacana tulisan adalah
seperti tulisan rencana, akhbar, majalah, novel dan lain-lain lagi.
Teori Wacana
Teori Sanat Md. Nasir
Menurut Sanat Md Nasir (1998:122-124) berpendapat bahawa, teori-teori bahasa
wacana sebelum ini tidak mempunyai asas yang kukuh kerana ketidakmampuan teori-
teori ini melihat hubungan makhluk dengan Penciptanya (Khaliqnya). Bagi memenuhi
keperluan tersebut, wujud sebuah teori yang lebih ampuh dengan asas-asas yang kukuh
iaitu :
Teori Atqakum.
Teori ini menggabungkan kepadaan deskripsi dan eksplonatori dengan keadaan
kepadaan atqakum. penggunaan bahasa tetapi turut melibatkan pengkaji bahasa dan
sesiapa juga yang terlibat dengan aktiviti kebahasaan. Dalam Teori Atqakum, mempunyai
konsep alamma memperlihatkan perlunya bahasa berfungsi untuk mengajarkan, iaitu
oleh Allah kepada manusia. Perkara ini amat berkaitan dengan fitrah manusia yang
bersifat lemah dan jahil. Teori ini mempunyai unit tatabahasanya iaitu satu konsep yang
lebih menyeluruh yang dikenali sebagai Wacana Plus Plus. Dengan kesinambungan ini,
dapat dilihat sauatu yang terbaik yang juga dikenali sebagai Tatabahasa Wacana Plus
Plus. Hirarki dalam unit tatabahasa wacana plus plus boleh dilihat dalam konteks yang
paling luas, bermula dengan sesuatu yang tidak diketahui, fonem, kata, frasa, klausa, ayat,
wacana dan berakhir dengan wacana plus plus, yang termasuk hal-hal yang tidak
terjangkau oleh fikiran manusia. Pada peringkat ini, tatabahasa wacana plus plus dilihat
sebagai unit tatabahasa yang terbesar kerana mencakupi perkara-perkara ghaibi.
Tatabahasa wacana plus plus menggabungkan bahasa pertuturan (literal) dengan bahasa
hati untuk menghasilkan kesan yang lebih luas dan mendalam. Rasulullah SAW dijadikan
sebagai model dan ikutan yang terbaik.
Selain itu juga, tatabahasa wacana plus plus bukan sahaja membincangkan unit-
unit tatabahasa, malah mencakupi persoalan asal-usul bahasa (Allamahullbayan).
Pendokong tatabahasa wacana plus plus membincangkan perkara asal usul bahasa
berpandukan sumber aqli dan naqli.
Menurut Beaugrande dan Dressler (1986:17) : If we assume that structures are
always the outcome of intentional operations, then even single sentences must evolve
through election rather than being derived from abstract rules alone.
Berdasarkan petikan dapat difahami bahawa dalam sesebuah wacana ayat-ayat
yang digunakan dianggap telah terpilih secara sedar dari jumlah pilihan yang disediakan.
Tujuan wacana juga adalah untuk menggambarkan bagaimana struktur wacana disusun
dengan memperhatikan penempatan dan peranan unsur-unsur yang didapati pada tiap-tiap
bentuk lahir ayat seperti mofem, kata, frasa, klausa. Wacana juga berfungsi untuk
menyatakan suatu fikiran oleh seseorang penutur. Penyataan fikiran dapat disampaikan
melalui struktur dan sistem yang bersangkutan dengan cara penyampaiannya.
Menurut Beaugrande dan Dressler (1981:4) menjelaskan bahawa runtutan ialah
cara komponen dunia teks iaitu konfigurasi konsep dan hubungan yang mendasari teks
permukaan dapat diakses bersama dan berkaitan. Hal ini dikaji melalui dua konsep iaitu
primer (pusat kawalan) dan sekunder (mengakses dan memproses).

Runtutan.

Runtutan sering juga disebut sebagai koherensi. Sanat Md Nasir dalam Mohd
Rashid Md Idris (2004) pula mendefinisikan runtutan sebagai susunan fikiran ayat secara
logik atau kualiti kefahaman tentang sesuatu. Secara kesimpulannya, runtutan dapat
difahami sebagai kaitan sesuatu ujaran secara logik bagi memberi kefahaman kepada
pembaca. Menurut Sanat Md. Nasir dalam Mohd Rashid Md Idris (2004), terdapat
beberapa tahap runtutan. Pertama adalah tahap tujuan. Tahap tujuan melihat kedalaman
pemahaman penulis atau penutur tentang sesuatu teks yang ditulis. Tahap kedua pula
melihat sejauh mana tahap penerimaan pendengar atau pembaca tentang sesuatu teks.
Tahap ketiga pula melihat ketepatan tanggapan pembaca terhadap sesuatu maklumat
dalam teks. Tahap yang terakhir melihat kerelevanan sesuatu teks berdasarkan situasi
ujaran. Tahap-tahap runtutan hanya dapat dicapai melalui penggunaan perkataan atau
kebijaksanaan pengarang dalam mengaitkan sesuatu perkara melalui penggunaan
runtutan. Struktur tema. Sanat Md Nasir dalam Mohd Rashid Md Idris (2004)
menyatakan struktur tema sebagai sesuatu yang mencirikan klausa sebagai amanat.
Klausa dalam struktur tema terbahagi kepada tema dan rema. Tema boleh difahami sebagi
fokus utama penceritaan. Selain itu, tema dapat difahami sebagai subjek yang diterangkan
sedangkan rema adalah predikat yang menerangkan subjek. Hal ini boleh difahami
melalui contoh di bawah:
i. Abu suka makan kek.
Ayat di atas menunjukkan penggunaa tema dan rema. Tema dapat dilihat melalui
perkataan Abu kerana berfungsi sebagai subjek yang diterangkan sedangkan suka makan
kek pula merupakan rema kerana berfungsi menerangkan predikat.

Berdasarkan perbincangan yang dibuat berdasarkan model teori dan ciri wacana
ini terdapat dua tokoh bahasa yang bergiat aktif dalam bidang kajian wacana. Sanat Md.
Nasir mengemukakan Teori Atqakum, konsep tautan dan konsep struktur tema.
Beaugrande Dressler memperkenalkan konsep runtutan dan ciri pengguguran atau elipsis.

Ciri-ciri Wacana

Tautan.
Tautan leksikal dapat dibahagikan kepada empat iaitu tautan leksikal repitisi
(pengulangan), hiponim, kolokasi, dan ekuivalensi. Repitisi atau pengulangan adalah kata
yang sering kali diulang yang terdiri daripada 'kata isi' (content word ). Pengulangan
dilakukan terhadap perkataan-perkataan yang penting. Perkataan penting ini boleh
dikenali dengan melihat fungsinya sebagai unsur yang tidak boleh ditinggalkan.
Sekiranya ditinggalkan, ayat tersebut menjadi tidak bermakna. Terdapat beberapa jenis
pengulangan berdasarkan model pindaan Sanat Md Nasir. Unsur pengulangan kata boleh
dilihat melalui ayat di bawah :
i. Jejaka itu telah berjaya menyelamatkan seorang puteri daripada lemas.
ii. Jejaka itu akhirnya mendapat balasan setimpal apabila diberi ganjaran lumayan.
Melalui petikan di atas, terdapat pengulangan perkataan jejaka sebanyak dua kali.
Apabila subjek jejaka dalam ayat 2 digugurkan, ayat tersebut menjadi tidak gramatis
kerana ketiadaan subjek. Sanat Md Nasir pula membahagikan konjungsi kepada
hubungan berlawanan, hubungan keluarga serta hubungan sebab dan akibat. Pertama
adalah hubungan kekeluargaan menggunakan kata yang mempunyai hubungan
superordinat dan ordinat. Hubungan seterusnya adalah hubungan masa menggunakan
penanda-penanda wacana yang berkaitan dengan masa. Seterusnya adalah hubungan
berlawanan boleh dilihat melalui entiti atau keadaan yang berlawanan. Pengguguran atau
elipsis menurut Beaugrande dan Dressler dalam Mohd Rashid Md Idris (2004:10) adalah
salah satu pengulangan struktur linguistik dan unsur yang sama tetapi menghilangkan
sebahagian daripada ujarannya. Elipsis boleh dibahagikan kepada tiga. Pertama, adalah
elipis kata nama. Elipsis ini selalunya mengugurkan kata nama. Sebagai contohnya boleh
dilihat dalam contoh di bawah :
i. Surani dan Dayana membeli-belah di Mid Valley. Mike dan Nike pula sebaliknya.
Contoh di atas menunjukkan pengguguran kata nama Surani dan Dayana dalam ayat
kedua. Sebenarnya selepas perkataan sebaliknya wujud perkataan Surani dan Dayana.
Kedua adalah elipsis kata kerja. Elipsis kata kerja selalunya akan menggugurkan kata
kerja. Misalnya di bawah
i. Malik dan Jemat memancing ikan di sungai. Mereka telah meminjam dua joran
pancing daripada Ah Tong. Pada minggu lalu saya telah meminjam satu.
Petikan di atas menunjukkan pengguguran kata kerja dalam ayat kedua. Perkataan
yang digugurkan adalah perbuatan meminjam joran. Oleh sebab meminjam adalah kata
kerja yang menjadi inti ayat, perkataan tersebut tidak dapat digugurkan kerana akan
menyebabkan ketidakgramatisan ayat. Perkataan yang digugurkan adalah joran yang
mewakili perbuatan subjek. Seterusnya adalah elipsis klausal. Pengguguran ini berlaku
apabila menggugurkan klausal. Sebagai contohnya, lihat ayat di bawah :
i. Kamu semua sudah makan nasi ayam dekat dapur? Belum - bukan? Kalau belum -
silalah.
Petikan di atas menunjukkan pengguguran klausal pada tanda sempang. Tanda
sempang pertama dan kedua sepatutnya diisi oleh klausal makan nasi ayam tetapi telah
digugurkan. Pengguguran ini perlu memenuhi syarat. Tanpa klausal, ayat masih boleh
difahami oleh pembaca. Jika tidak difahami ayat tersebut tidak menepati ciri tautan
klausa.
Fungsi dan Tujuan Wacana

Penanda wacana ialah perkataan atau rangkaian perkataan yang berfungsi untuk
menghubungkan sesuatu idea, hujah dan pandangan seseorang semasa menulis atau
berucap dan ia amat penting dalam sesuatu teks kerana penanda wacana dapat
mewujudkan pertautan serta kesinambungan antara sebahagian teks dengan yang lain
sehingga terbentuk kesatuan. Dalam lain perkataan, penanda wacana ini digunakan untuk:
i) menyambung ayat dengan ayat;
ii) melahirkan ayat-ayat dan perenggan yang berkesinambungan, gramatis dan
bermakna.
iii) menghubungkan perenggan dengan perenggan yang lain

Raminah Hj Sabran (1985) melalui bukunya Kajian Bahasa untuk Pelatih Maktab
Perguruan telah membincangkan tentang fungsi penanda wacana dengan meluas sebagai
panduan kepada bakal-bakal guru yang akan mendidik anak bangsa seluruh negara. Nik
Safiah Karim (2009) di dalam Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga ada menyebut tentang
fungsi penanda wacana ini. Pendapat beliau turut dikongsi bersama oleh Samsu Yaakob
(2009) di dalam bukunya yang berjudul Senarai Semak Sistem Ejaan dan Tatabahasa
Bahasa Melayu. Menurut mereka ini, di dalam bahasa Melayu, terdapat lima jenis utama
penandaan wacana seperti:
i) Penanda penghubung
ii) Penanda rujukan
iii) Penanda penggantian
iv) Penanda leksikal dan
iv) Penanda elipsis atau pengguguran.

Bagi meningkatkan mutu penulisan di kalangan pelajar, mereka seharusnya tahu


menggunakan wacana yang sesuai dan pelajar juga perlulah tahu akan fungsi wacana
yang digunakan. Terdapat empat fungsi utama di dalam penanda wacana iaitu:
a). Penghubung tambahan
b). Penghubung tentangan atau sebaliknya
c). Penghubung musabab atau sebab; dan
d). Penghubung tempoh masa atau ketika.

2.1 Menunjukkan maksud penghubung tambah

Menurut Kamus Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, penghubung tambahan


merupakan penghubung yang memberikan maklumat tambahan kepada sesuatu
perkara yang telah diperkatakan sebelumnya. Antara penanda wacana yang
terdapat di dalam jenis ini ialah seperti dan, lalu, malahan, tambahan pula, lebih-
lebih lagi, di samping itu dan lain-lain lagi. Contoh ayat yang boleh dibina adalah
seperti
i. Tugas sebagai seorang guru di kawasan pedalaman benar-benar mencabar dan memberi
pengalaman baru kepadanya kerana sebelum ini dia merupakan seorang anak orang
berada yang tinggal di bandar besar. Malahan dia juga berpeluang beramah-mesra dengan
penduduk-penduduk termasuklah petani dan penternak dalam mengenali mereka dengan
lebih rapat lagi.
ii. Pendidik haruslah berusaha membimbing pelajarnya melakukan
pelbagai aktiviti kokurikulum secara teori mahupun praktikal. Di samping itu, isi
pelajaran yang hendak disampaikan mestilah menarik minat pelajar
iii. Menunjukkan maksud sebaliknya atau penghubung tentangan.

Menurut Nik Safiah Karim (2009), penghubung tentangan ialah penghubung yang
menunjukkan pertentangan maklumat antara suatu yang baru diperkatakan dengan yang
sebelumnya dalam wacana yang sama. Antara penanda wacana yang sering dan boleh
digunakan oleh pelajar dalam menulis karangan ialah seperti tetapi, sebaliknya, namun,
namun begitu, walau bagaimanapun dan lain-lain lagii
2.3 Menunjukkan maksud sebab atau penghubung musabab.

Pelajar juga boleh menggunakan wacana yang sesuai bagi menunjukkan sebab
berlakunya sesuatu perkara atau peristiwa. Apabila penanda wacana ini digunakan, jalan
cerita akan menjadi lebih gramatis dan menarik dan menunjukkan kematangan pelajar
dalam memilih kata-kata yang sesuai di dalam penulisan. Antara penanda wacana
menunjukkan sebab ini ialah seperti kerana, oleh sebab itu, oleh itu, oleh hal demikian,
dengan itu, maka itu dan lain-lain lagi. Pendapat di atas telah disokong oleh Siti Hajar
binti Abd Aziz dalam bukunya Bahasa Melayu II terbitan Oxford Fajar (2009). Contoh
ayat yang dapat ditunjukkan dalam bahagian ini adalah seperti di bawah
i. Kejadian pecah rumah sering berlaku di kawasan taman perumahan di
pinggir bandar. Sikap penduduk yang tidak memberikan kerjasama dan
tidak mempunyai semangat kejiranan menjadikan masalah ini sukar
dibendung. Oleh hal demikian, pihak berkuasa telah mengarahkan ahli
Rukun Tetangga menjalankan kerja-kerja rondaan dengan lebih kerap.

2.4 Menunjukkan maksud ketika atau penghubung tempoh.

Mengikut Raihana Hamdan, Aina Rosli, Amin Nur Aiman dan Salina Hussin
(2007), dalam buku Bahasa Melayu UPSR Teks dan Rujukan Lengkap turut mengatakan
bahawa fungsi wacana adalah merujuk kepada maksud ketika atau penghubung tempoh
iaitu penghubung yang menunjukkan urutan masa atau siri berlakunya sesuatu peristiwa
atau kejadian. Antara penanda wacana yang terdapat di dalam jenis ini ialah seperti
pertama, seterusnya, kemudian, selanjutnya, selepas itu, maka dan akhirnya.

Selain daripada yang telah dinyatakan di atas, penanda wacana yang terdapat di
dalam bahasa Melayu ialah seperti penanda permulaan karangan, penanda memulakan isi
baharu, penanda huraian isi karangan, penanda memberi contoh, penanda menutup isi,
penanda menulis dua huraian dalam satu ayat, penanda memulakan perenggan penutup,
penanda menerangkan huraian atau pendapat yang berbeza dan penanda memulakan atau
memasukkan peribahasa.

Setelah diteliti kesemua fungsi wacana yang telah dinyatakan di atas, jelaslah
kepada kita bahawa fungsi-fungsi wacana ini sebenarkan mempunyai makna yang
berbeza antara satu wacana dengan wacana yang lain mengikut kategori yang telah
ditetapkan.

Anda mungkin juga menyukai