Anda di halaman 1dari 15

Masalah Pendidikan, 34, 2011

CABARAN GURU PROGRAM LINUS DALAM


PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN BAHASA
Abdul Jalil Othman
Normarini Norzan
Ghazali Darusalam
Saedah Siraj
Fakulti Pendidikan
Universiti Malaya
Kajian ini dilaksanakan untuk melihat hubungkait pelaksanaan
Program LINUS dengan cabaran guru LINUS dalam merealisasikan
penguasaan kemahiran asas literasi. Pengkaji ingin mengetahui
apakah hubungkait LINUS dengan cabaran yang dihadapi oleh
guru yang terlibat secara langsung di dalam program ini. Secara
ringkasnya objektif pengkaji menjalankan kajian ini adalah untuk
mengenal pasti masalah pengajaran dan pembelajaran yang
dihadapi oleh guru-guru LINUS dalam memastikan murid LINUS
berkeupayaan menguasai kemahiran asas membaca dan menulis
berdasarkan program LINUS yang dilaksanakan. Pengkaji turut
ingin mengenal pasti perbezaan pendekatan guru biasa yang
dipertanggungjawabkan melaksanakan Program LINUS dengan
guru pemulihan. Berdasarkan objektif kajian yang dinyatakan
dengan secara khusus, kajian ini adalah bertujuan untuk menjawab
dua soalan kajian iaitu Sejauhmanakah persepsi murid terhadap
pendekatan pengajaran dan pembelajaran guru LINUS biasa dan
guru pemulihan dari segi aktiviti pengajaran dan pembelajaran,
suasana pembelajaran dan motivasi guru dan kaedah pengajaran
dan pembelajaran guru dalam melaksanakan program LINUS?
dan Apakah terdapat hubungkait antara program LINUS dengan
peranan guru dalam pengajaran dan pembelajaran? Daripada
kajian yang dilakukan, didapati bahawa permasalahan yang wujud
dalam kemahiran literasi dapat diperbaiki dengan strategi dan
perancangan pengajaran dan pembelajaran yang berkualiti oleh
guru menjadi berkesan dan bermakna kepada murid berdasarkan
pelaksanaan program LINUS. Terdapat juga perhubungan yang
signifikan antara peranan guru LINUS biasa dan guru pemulihan
dalam melaksanakan pengajaran dan pembelajaran berdasarkan
program LINUS.
37

Masalah Pendidikan, 34, 2011

Pendidikan literasi Bahasa Melayu semakin dipandang sebagai satu mata


pelajaran yang amat penting di sekolah, selaras dengan strategi kerajaan
dalam NKRA Negara adalah untuk melahirkan generasi yang celik huruf dan
maju ke hadapan. Kementerian Pelajaran Malaysia telah mengambil inisiatif
dalam memberi pendidikan literasi sejak dari peringkat awal kanak-kanak.
Keupayaan manusia dalam menuntut ilmu bakal mengubah corak kehidupan
masyarakat (Mahzan Arshad, 2008). Kesinambungan daripada lonjakan
paradigma terhadap penguasaan keupayaan membaca dalam Bahasa Melayu
dapat membuka jalan dan peluang yang lebih luas kepada anak bangsa dalam
mendapatkan ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang di peringkat sekolah.
Justeru itu, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah mengambil
insiatif bijak dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan
dengan memastikan semua murid di Malaysia mendapat pendedahan awal
untuk menguasai kemahiran membaca dan menulis sejak dari peringkat awal
kanak-kanak lagi. Bermula dari Tahun 2010, bidang Keberhasilan Utama
Nasional (NKRA) telah menyasarkan bahawa semua murid berkeupayaan
untuk menguasai aras literasi dan numerasi kecuali berkeperluan khas selepas
tiga tahun mengikuti pendidikan rendah sebelum berakhir tahun 2012.
Program Literasi dan Numerasi (LINUS) diwujudkan untuk menangani
masalah murid yang berkeupayaan tetapi masih belum menguasai literasi
dan numerasi.
Program LINUS
Program LINUS yang telah dijalankan sejak tahun 2010 merupakan sebuah
program pendidikan di dalam bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA).
Ia telah memberi peluang yang lebih luas kepada murid-murid di sekolah
rendah yang agak ketinggalan dalam penguasaan 3M iaitu membaca, menulis
dan mengira. LINUS yang bermaksud Literacy and Numeracy Screening
merupakan sebuah program pemulihan yang direka bentuk untuk memastikan
murid yang mempunyai kesukaran untuk menguasai kemahiran asas literasi
dan numerasi dapat mencapai standard penguasaan kemahiran asas yang
kukuh pada tiga tahun awal persekolahan. Kajian ini hanya menumpukan
kepada kemahiran asas literasi iaitu keupayaan untuk membaca, menulis dan
memahami perkataan, ayat mudah dan sukar dalam Bahasa Melayu dan dapat
mengaplikasikan ilmu pengetahuan dalam pembelajaran dan komunikasi
harian.

38

Masalah Pendidikan, 34, 2011

Justeru itu, matlamat LINUS adalah untuk mengenal pasti masalah dan
memulihkan kelemahan murid pada peringkat lebih awal agar murid yang
tidak berupaya membaca dan menulis ini tidak ketinggalan dalam menguasai
pembelajaran secara keseluruhan. Menurut Mohd Zanal Dirin, Timbalan
Pengarah Kementerian Pelajaran Malaysia di dalam The Star halaman 17
pada 19 Oktober 2011, terdapat beberapa faktor biasa yang menyebabkan
murid ketinggalan dalam pembelajaran ialah latar belakang sosioekonomi,
status indigenous, lokasi geografi, sikap dan aspirasi. Oleh itu, guru sebagai
penggerak utama program ini harus mempunyai sikap dan aspirasi yang
cemerlang, bersemangat dan kredibiliti yang tinggi sepanjang pengajaran
dan pembelajaran.
Bahagian Pembangunan Kurikulum telah berusaha menghasilkan
Modul Guru dan Modul Murid. Di antara prinsip-prinsip modul pengajaran
dalam LINUS adalah ansur maju, didik hibur, pengulangan kosa kata, latihan
dari mudah ke susah, latihan interaktif dan belajar sambil bermain. Manakala
senarai kemahiran literasi yang perlu dikuasai oleh murid ialah membaca
dan menulis huruf, membaca suku kata, membina dan menulis suku kata,
membaca perkataan, membaca dan menulis perkataan, membaca rangkai kata,
membina dan menulis rangkai kata, membaca ayat, membina dan menulis
ayat tunggal.
Selain daripada itu, proses pengajaran dan pembelajaran bukanlah hanya
menumpukan kepada kemahiran atau teknik bacaan semata-mata. Murid harus
melalui pembelajaran yang lebih kukuh dalam keupayaan membaca (Mahzan
Arshad, 2008). Oleh itu, demi merealisasikan matlamat, pelbagai aspek
untuk memahami senario pembelajaran bacaan dalam Bahasa Melayu harus
dititikberatkan agar kanak-kanak yang lahir dari produk sistem pendidikan
Malaysia merupakan kanak-kanak yang celik bahasa dan seterusnya
menguasai ilmu lain secara optimum dan penuh kejayaan. Keupayaan murid
dalam proses pembelajaran melalui Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah
(KBSR) hendaklah dititikberatkan agar kemahiran yang dikuasai oleh murid
memberi impak yang besar kepada masa depan murid dalam menguasai ilmu
pengetahuan secara keseluruhan. Kepentingan untuk melihat akan keupayaan
murid dalam mewujudkan sesebuah kurikulum pendidikan literasi Bahasa
Melayu adalah perlu diberi keutamaan (Mahzan Arshad, 2008). Merujuk
kepada Rajah 1 masih ramai murid yang kurang berupaya di seluruh negeri di
Malaysia yang sangat memerlukan bimbingan daripada guru-guru di sekolah
agar mereka mendapat pendidikan yang sempurna dan bersesuaian dengan
tahap keupayaan murid secara individu.

39

Masalah Pendidikan, 34, 2011

Negeri
Sarawak
Perak
Sabah
Johor
Selangor
Kedah
Pahang
Kelantan
Terengganu
Pulau Pinang
Negeri Sembilan
Melaka
Kuala Lumpur
Jumlah

Bilangan
668
496
480
411
340
301
286
251
179
155
126
117
106
3916

Peratus
17.10%
12.70%
12.30%
10.50%
8.70%
7.70%
7.30%
6.40%
4.60%
4%
3.20%
3%
2.70%
100%

Rajah 1. Bilangan murid kurang upaya berdasarkan negeri.


Sumber: The Star (19 Oktober 2011)
Aspek Penilaian LINUS
Penilaian keupayaan penguasaan literasi murid dapat dinilai melalui tiga
ujian saringan yang dilaksanakan dalam setahun iaitu pada bulan Mac, Jun
dan September untuk melihat penguasaan literasi murid. Murid yang tidak
dapat menguasai kemahiran asas literasi akan dimasukkan ke dalam kelas
pemulihan jika mereka gagal menjalani ujian saringan kedua. Murid yang
masih di dalam proses pemulihan akan diasingkan kelas bagi mata pelajaran
bahasa bagi memastikan perhatian yang istimewa dapat diberikan oleh
guru-guru LINUS dan guru pemulihan berdasarkan kemampuan mereka.
Pengasingan murid LINUS ini bertujuan untuk memastikan murid dan guru
dapat menumpukan sepenuh perhatian dalam pengajaran dan pembelajaran
kemahiran asas literasi yang lebih padu dan penggunaan teknik yang lebih
berkesan berdasarkan modul LINUS dan keupayaan setiap murid. Bilangan
murid di dalam kelas pemulihan adalah lebih kecil jika dibandingkan dengan
bilangan murid dalam kelas aliran perdana; justeru itu, teknik dan pendekatan
pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan oleh guru LINUS dan
pemulihan diharapkan akan menjadi lebih pelbagai, menarik, menyeronokkan
dan berkesan. Murid yang masih belum dapat menguasai kemahiran asas
40

Masalah Pendidikan, 34, 2011

literasi selepas tahun ketiga tidak akan dibenarkan untuk menaiki kelas di
tahun 4.
Penilaian tahap penguasaan murid akan dilaksanakan oleh guru
dengan menggunakan soalan ujian saringan 1, 2 dan 3 yang dibekalkan oleh
Kementerian Pelajaran Malaysia. Soalan ujian lisan dan bertulis ini adalah
untuk menguji keupayaan asas literasi membaca dan menulis semua murid
Tahun 1. Terdapat 12 konstruk kemahiran Murid LINUS biasa akan diajar
oleh guru bahasa mereka manakala murid LINUS Tegar akan diajar oleh
guru pemulihan. Maka di sini pengkaji dapat melihat perbezaan pendekatan
pengajaran dan pembelajaran murid LINUS yang diajar di dalam kelas
biasa dan murid LINUS yang di ajar oleh guru pemulihan di bilik khas
pemulihan di setiap sekolah di seluruh negara. Pelaksanaan pengajaran yang
dilaksanakan akan menggunakan modul LINUS selepas saringan kedua.
Selain itu, ujian saringan bagi melihat pencapaian murid mempunyai had
tempoh masa dan dijalankan secara sistematik dan berulangan sehingga murid
benar-benar menguasai setiap kemahiran membaca dan menulis bagi menilai
keberkesanan pencapaian pengajaran dan pembelajaran murid-murid lemah.
Strategi dalam Pelaksanaan Program LINUS
Pelaksanaan Program LINUS telah menggunakan beberapa strategi yang telah
ditetapkan oleh Pembangunan Kurikulum Kementerian Pelajaran Malaysia.
Terdapat 6 strategi yang telah disenaraikan iaitu:

Membuat penyaringan murid (Tahun 1, 2 dan 3).

Perkembangan Bahan

Meningkatkan kemahiran pedagogi untuk guru

Program Kesedaran tentang LINUS untuk sekolah dan komuniti

Pemantauan, penyeliaan dan penilaian

Pengukuhan FasiLINUS (Pemilihan fasilitator yang
berpengalaman)
Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah melatih seramai 1100
guru pemulihan dan menyediakan bilik khas pemulihan yang lebih kondusif
berbanding dengan kelas biasa. Guru - guru turut diberikan latihan dan kursus
yang boleh meningkatkan kualiti guru. Nisbah guru pemulihan bagi setiap
sekolah adalah 1:15 murid. Guru akan dilatih secara profesional dengan
menggunakan modul dan bahan pengajaran dan pembelajaran mesra kanakkanak yang baru dan berkesan. Mahasiswa yang bakal menjadi guru di
Institut Perguruan di seluruh Malaysia yang masih dalam pengajian juga turut
diberi persediaan awal agar mereka lebih bersedia dan berkelayakan untuk
41

Masalah Pendidikan, 34, 2011

mengajar murid LINUS ini. Manakala fasiLINUS pula telah diwujudkan


untuk membimbing komuniti yang terlibat dalam melaksanakan program
LINUS di sekolah. Mereka telah ditugaskan untuk memberi bimbingan
kepada guru dan pihak pentadbir di sekolah. Antara peranan fasiLINUS ialah:

Memberi nasihat kepada guru pemulihan sedia ada

Membimbing dan mengetuai guru-guru

Memberi tunjuk ajar dan menjadi mentor dalam melaksanakan
program LINUS

Membina kapasiti guru pemulihan, guru lain dan pentadbir

Membantu sekolah menyediakan pelan tindakan pembetulan
Manakala hasil kajian yang dilakukan oleh Che Zanariah dan Fadzillah
Abd Rahman (2011) di dalam jurnal bertajuk Pelaksanaan Pengajaran dan
Pembelajaran Kemahiran Menulis di Sekolah Rendah telah mendapati guru
bersetuju bahawa mengajar kemahiran menulis merupakan tanggungjawab
guru yang mencabar. Dari segi pengaplikasian strategi pengajaran pula,
guru bersetuju bahawa mereka mengajarkan murid kemahiran penulisan
yang mudah kepada sukar. Strategi sebegini patut dilaksanakan kerana dapat
membantu memudahkan pemahaman murid terhadap kemahiran menulis yang
dipelajari. Dapatan kajian juga menunjukkan terdapat permasalahan dalam
pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu iaitu masalah pengetahuan dan
kemahiran guru serta masalah kelemahan murid dalam kemahiran menulis.
Cabaran Guru
Dalam usaha mempertingkat kemahiran bahasa murid-murid ini, guru
mempunyai peranan yang besar. Menurut Roselan (2003), kemahiran
berbahasa merupakan kemahiran asas yang amat penting dan perlu
ditekankan dalam proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah.
Guru sebagai pelaksana kurikulum perlu mengambil berat tentang objektif
kurikulum yang digubal bagi membolehkan hasrat kerajaan tercapai. Menurut
Yahya (2004), membaca merupakan proses interaksi antara teks dengan
imaginasi pembaca. Justeru, guru perlu mempelbagaikan teknik pengajaran
membaca agar dapat menjadikan pengajaran lebih bervariasi, menarik serta
dapat menimbulkan minat murid untuk belajar dengan lebih bersungguhsungguh. Walau bagaimanapun, masalah ini bukanlah penghalang kepada
guru dan sekolah serta dijadikan alasan untuk tidak membantu murid yang
bermasalah dalam pembelajaran. Pelbagai usaha serta bantuan daripada
kerajaan dan KPM seharusnya menjadi pemangkin serta dorongan bagi
guru dan sekolah agar terus berusaha membantu murid bermasalah dalam
42

Masalah Pendidikan, 34, 2011

pembelajaran. Hal ini dapat diperoleh melalui matlamat Misi Nasional dalam
tempoh 2006-2010, iaitu Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP)
tertumpu kepada projek membangunkan prasarana sekolah di luar bandar,
meningkatkan kadar kehadiran murid di sekolah dan mengurangkan kadar
keciciran, meningkatkan bilangan guru terlatih di sekolah luar bandar serta
mempertingkat sistem pengagihan bantuan kepada murid miskin dan murid
berkeperluan khas.
Pengajaran merupakan profesion yang memerlukan ilmu pengetahuan
dan latihan dalam pengetahuan psikologi kerana kerjaya sebagai guru
berhubungkait rapat dengan manusia. Keupayaan yang berbeza dalam
kalangan kanak-kanak menuntut guru-guru mendidik dan memotivasikan diri
dalam meningkatkan kemahiran pedagogi dalam pengajaran dan cuba untuk
memahami pelbagai sifat murid yang lemah dan cemerlang. Kepelbagaian
minat dan latar belakang murid akan memberi penanda aras kepada guru untuk
mengenal pasti keperluan dan keupayaan murid khasnya dalam menguasai
kemahiran membaca.
Oleh kerana itu, adalah sangat penting agar guru dapat mengenal
pasti pada peringkat awal dan mengambil langkah terbaik memperbaiki
ketidakupayaan membaca dalam kalangan murid ini. Guru harus peka dalam
mengenal pasti murid yang berada dalam kategori pendidikan khas. Ini
bermakna murid dalam golongan ini berkemungkinan menghadapi masalah
kesihatan dan pembelajaran seperti disleksia, hiperaktif dan sebagainya yang
menghalang mereka untuk menumpukan perhatian atau lebih kritikal lagi
mereka memang tidak berupaya mempelajari bacaan. Pelbagai tanggungjawab
yang sangat berat harus dipikul oleh guru dalam melaksanakan program
LINUS dan ini amat memberi tekanan dan boleh menjejaskan prestasi kerja
dan menurunkan motivasi diri jika tidak dapat mengawal emosi dan tekanan.
Justeru itu, sebagai guru literasi Bahasa Melayu, tanggungjawab yang
digalas sangat besar dalam memastikan murid yang dilahirkan ini berjaya
menjadi insan yang berguna apabila mereka sudah dewasa kelak. Kajian yang
dilaksanakan amat berkait rapat dengan peranan guru dalam melaksanakan
pengajaran dan pembelajaran yang berkesan untuk memastikan murid
menguasai kemahiran asas literasi kerana hasil dapatan di dalam The Star
halaman 17 pada 19 Oktober 2011 telah menunjukkan seramai 3,916 murid
yang bermasalah pembelajaran dalam Tahun 2 bagi Tahun 2011. Senario
ini menggambarkan betapa hebatnya cabaran yang terpaksa dihadapi oleh
guru dalam merealisasikan serta memastikan matlamat program LINUS
yang dilaksanakan oleh mereka tercapai dengan jayanya. Namun kita juga
harus sedar guru bukan sahaja dipertanggungjawabkan untuk mengajar
murid LINUS semata-mata. Mereka juga mempunyai tanggungjawab untuk
43

Masalah Pendidikan, 34, 2011

memastikan murid di aliran perdana turut diberi perhatian dan tidak terabai
kerana mereka juga memerlukan bimbingan oleh guru yang sesuai, kreatif,
berpengalaman dan mempunyai kegigihan yang tinggi. Di samping itu, guru
juga terpaksa menerima bebanan tugas sampingan di sekolah. Jika dilihat guru
LINUS di dalam kelas biasa agak sukar kerana mereka harus menyediakan
dua rancangan pengajaran dan memastikan murid LINUS diajar mengikut
tahap penguasaan masing-masing. Ini kerana murid di dalam kelas LINUS
biasa mempunyai tahap keupayaan membaca dan menulis yang berbeza-beza
berbanding di kelas pemulihan di mana muridnya dalam kalangan murid yang
agak lemah dan pengajaran yang dirancang agak mudah untuk dilaksanakan.
Di samping itu juga, bilangan murid di kelas pemulihan adalah lebih
kecil jika dibandingkan dengan bilangan murid dikelas LINUS biasa; ini
memudahkan guru memberi tumpuan dalam pengajaran dan pembelajaran.
Suasana di kelas pemulihan juga dilihat lebih kondusif dan selesa bagi murid
untuk menumpukan perhatian dalam pembelajaran bahasa. Kemudahan
bahan bantuan mengajar yang mudah diperoleh serta banyak disediakan di
bilik pemulihan juga turut membantu guru pemulihan dalam menjayakan
pengajaran dan pembelajaran dengan lebih cemerlang. Oleh hal yang
demikian dapat dinyatakan di sini bahawa sememangnya terdapat perbezaan
yang ketara dari pengajaran dan pembelajaran guru LINUS biasa dan
guru pemulihan. Cabaran yang lebih berat dan tekanan yang lebih hebat
dirasakan oleh guru LINUS biasa berbanding guru pemulihan kerana terpaksa
menyediakan pengajaran dan pembelajaran yang lebih pelbagai, terkawal dan
menepati tahap keupayaan setiap murid yang berbeza potensinya. Namun
tidak dinafikan guru pemulihan harus mengajar murid yang jauh lebih lemah
berbanding dengan guru LINUS biasa. Justeru itu, murid di kelas pemulihan
memerlukan lebih perhatian dan bimbingan untuk memastikan mereka dapat
menguasai kemhiran literasi seiring dengan murid yang lain.
Kesinambungan dengan itu, untuk memastikan matlamat program
LINUS ini tercapai, guru harus menanamkan prinsip seperti guru yang
baik adalah guru yang boleh membawa perbezaan, perubahan yang ketara
kepada seseorang tidak kira di tahap mana dan kepada siapa yang diberi
pengajaran dan didikan. Guru memainkan peranan yang sangat besar dalam
mempengaruhi orang-orang yang berjaya, memberi tunjuk ajar dan kesan
dalam kehidupan orang lain. Guru harus mempunyai daya usaha yang tinggi
dalam profesion pendidikan dan sentiasa meningkatkan kemampuan dan
kelebihan yang ada. Pihak Kementerian Pelajaran Malaysia telah mengambil
inisiatif yang baik dengan berusaha memberi keutamaan dan perhatian kepada
guru LINUS dengan memberi latihan dalam perkhidmatan kepada guru yang

44

Masalah Pendidikan, 34, 2011

berkualiti. Penerapan nilai-nilai profesionalisme yang tinggi adalah penting


untuk melahirkan guru yang terbaik.
Pengkaji telah melihat beberapa masalah yang telah timbul dalam
kalangan guru yang terlibat secara langsung dalam melaksanakan pengajaran
dan pembelajaran program LINUS; di antaranya ialah:

Tekanan yang dihadapi oleh guru LINUS dalam memastikan murid
dapat menguasai tahap penguasaan literasi yang ditetapkan di dalam
program LINUS.

Perbezaan latar belakang sosioekonomi, status indigenous, lokasi
geografi serta sikap dan aspirasi murid memberi cabaran kepada guru
untuk mengenal pasti pendekatan yang terbaik kerana murid LINUS
sering kurang minat, fokus dan keyakinan diri dalam mempelajari
kemahiran asas literasi dalam Bahasa Melayu seterusnya mengakibatkan
kelemahan dan ketidakupayaan membaca.

Perbezaan cabaran dan tekanan yang dihadapi oleh guru yang mengajar
murid LINUS biasa dan guru pemulihan yang mengajar murid LINUS
Tegar dari segi bilangan murid, suasana kelas, masa dan kemudahan
sedia ada dalam melaksanakan pengajaran dan pembelajaran.
Faktor tekanan yang dihadapi oleh guru sudah menjadi satu permasalahan
psikologi yang harus dapat dikawal oleh guru dalam memastikan mereka
dapat menjalankan tanggungjawab dengan lebih baik dan dapat mengawal
emosi mereka. Menurut kajian yang telah dijalankan oleh Najeemah Mohd
Yusof (2011) di dalam jurnal EDUCARE untuk pengajian pendidikan terdapat
perhubungan yang signifikan antara tekanan yang dihadapi oleh guru dengan
tekanan di tempat kerja. Menurut beliau, untuk mengendalikan tekanan guru
sikap dan personaliti seseorang akan menentukan kemampuan seseorang itu
mengatasi tekanan. Walau bagaimanapun, untuk menghadapi dan mengawal
tekanan tidak dapat diatasi secara berkesan jika guru tidak mengetahui faktor
yang menyebabkan masalah tekanan. Sebagai guru, mereka akan berhadapan
dengan tekanan dari pelajar yang ramai sepanjang hari. Antara penyebab
tekanan kepada guru ialah kejayaan diri sendiri, kurang emosi, bebanan
tugas yang melampau, hubungan rakan sekerja dan persekitaran tempat kerja.
Sebagai contoh, tekanan guru LINUS dalam memastikan murid mereka dapat
melepasi ujian saringan LINUS seterusnya mencapai kemahiran literasi secara
kekal. Mereka juga harus mahir dalam mengawal emosi sedih, gembira, dan
marah pada situasi yang tepat dan tidak berlebihan. Suasana di dalam kelas
turut memberi kesan kepada guru untuk menjalankan tugas dengan berjaya.

45

Masalah Pendidikan, 34, 2011

Pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang baik amat penting dalam


memastikan kejayaan penguasaan kemahiran literasi murid dalam pelajaran
bahasa. Ia juga turut memberi kesan kepada murid dalam meningkatkan
keupayaan membaca dan menulis jika guru dapat menggunakan
kemahiran pengajaran dan pembelajaran yang baik. Untuk menyokong dan
memperkukuhkan lagi kertas kerja ini, kajian yang telah dijalankan oleh
Abdul Rasid Jamian (2011) yang bertajuk Permasalahan Kemahiran Membaca
Dan Menulis Bahasa Melayu Murid-Murid Sekolah Rendah di Luar Bandar,
juga menunjukkan bahawa permasalahan yang wujud dalam kemahiran
membaca dapat diperbaiki dengan merancang aktiviti pengajaran yang
menarik dan kondusif oleh guru. Selain itu, suasana pembelajaran yang selesa
dan dorongan daripada guru dapat mewujudkan motivasi dan menanamkan
minat murid agar terus belajar. Hasil kajian ini mendapati bahawa latihan
bacaan tambahan dapat meningkatkan kemahiran bacaan murid dengan M =
3.70, SP = 0.53 dan kaedah latih tubi yang dijalankan dengan kerap dalam
bacaan dapat membantu sebutan serta kelancaran murid dalam bacaan M =
3.70, SP = 0.66. Murid-murid ini percaya bahawa penguasaan kemahiran
membaca yang baik dapat menjadikan aktiviti membaca di dalam kelas
sebagai suatu aktiviti yang amat menarik M =3.60, SP = 0.54. Selain itu,
faktor dorongan daripada guru, penggunaan bahan bantu mengajar (BBM)
yang bersesuaian dengan kebolehan dan penguasaan membaca murid dapat
menjadikan suasana aktiviti membaca lebih berkesan dan bermakna kepada
murid M = 3.54, SP = 0.72 (rujuk Jadual 1).
Jadual 1
Persepsi Murid Terhadap Pengajaran Guru Kemahiran Membaca
Bil
1
2
3
4
5

Pernyataan
Latihan bacaan tambahan
Kaedah latih tubi
Aktiviti pengajaran yang menarik
Dorongan guru dan situasi yang menarik
Penggunaan bahan bantu mengajar

Min
3.70
3.70
3.60
3.54
3.54

Sisihan piawai
0.53
0.66
0.54
0.72
0.72

Walau bagaimanapun, responden berpendapat bahawa permasalahan


dalam menguasai kemahiran menulis Bahasa Melayu dapat diperbaiki dengan
bantuan guru yang kreatif dan inovatif serta berusaha membina persekitaran
yang kondusif dan memberikan motivasi agar murid terus belajar. Dapatan
kajian menunjukkan bahawa responden lebih seronok jika guru kreatif
membina pelbagai aktiviti menulis yang menarik di dalam kelas M = 3.50, SP
= 0.68. dan responden boleh menulis dengan baik apabila guru menyediakan
46

Masalah Pendidikan, 34, 2011

latihan yang dapat memperbaiki kemahiran menulis amat berguna kepada


murid M = 3.50, SP = 0.82. Responden juga berpendapat bahawa mereka
akan lebih mudah menulis jika guru menyebut perkataan dengan M = 3.41,
SP = 0.89, manakala penggunaan bahan bantu mengajar yang bersesuaian
dengan aras kebolehan murid dapat merangsang dan menanam minat murid
agar terus belajar M = 3.24, SP = 0.90. (Rujuk Jadual 2).
Jadual 2
Persepsi Murid Terhadap Pengajaran Guru Kemahiran Menulis
Bil
1
2
3
4

Pernyataan
Pelbagai aktiviti menulis diadakan
Guru menyediakan latihan
Guru menyebut perkataan
Guru menggunakan bahan bantu
mengajar

Min (M)
3.50
3.50
3.41
3.24

Sisihan piawai (SP)


0.68
0.82
0.89
0.90

Secara keseluruhan, sebahagian besar responden yang bermasalah


kemahiran asas menulis berpunca daripada kelemahan menguasai kemahiran
asas, iaitu baca, tulis dan kira. Kelemahan tersebut menyebabkan murid
tidak berminat untuk terus belajar serta memperbaiki kelemahan kemahiran
walaupun mereka mempunyai potensi untuk berjaya setanding dengan
rakan-rakan mereka yang dianggap pintar cerdas dan berkebolehan. Walau
bagaimanapun, faktor guru yang kreatif dan iklim bilik darjah yang kondusif
dapat melahirkan suasana pembelajaran yang merangsangkan minat
murid. Selain itu, latihan yang bersesuaian dengan tahap kebolehan murid
menjadikan murid sentiasa bermotivasi, bercita-cita dan menyemai keinginan
untuk terus belajar sepanjang hayat.
Cadangan
Bagi meningkatkan prestasi pengajaran guru dan potensi pembelajaran murid
untuk meningkatkan kemahiran membaca dan menulis murid antaranya,
iaitu pengajaran asas kemahiran membaca dan menulis seharusnya diberikan
penekanan yang serius agar murid dapat menguasainya. Pengajaran Bahasa
Melayu seharusnya disampaikan dalam pendekatan yang lebih menarik dengan
kepelbagaian bahan bantu mengajar serta kaedah pengajaran yang menarik
dan mampu memperkembangkan lagi keupayaan kemahiran membaca dan
menulis murid. Kepelbagaian kaedah dapat membentuk murid tidak cepat
bosan dan penat semasa proses pembelajaran berlaku di dalam bilik darjah.
Selain itu, penggunaan bahan bantu mengajar yang menarik, bersesuaian
47

Masalah Pendidikan, 34, 2011

dengan tahap kebolehan perkembangan intelek murid semasa merencanakan


isi pelajaran dapat merangsangkan minat murid dan motivasi untuk terus
belajar. Bahan bantu mengajar hendaklah digunakan secara optimum dalam
pembelajaran agar menghasilkan pembelajaran bermakna dan meninggalkan
kesan positif dalam diri murid. Merujuk kepada Muhamad Hasan (2000),
penggunaan media adalah alternatif yang baik untuk memberi kemudahan
kepada guru dan murid untuk berkomunikasi. Perhubungan dua hala dapat
menarik minat murid untuk bertindak balas seterusnya mewujudkan suasana
pembelajaran yang lebih interaktif. Pihak pengurusan sekolah seharusnya
berusaha secara lebih seimbang untuk mencapai matlamat membantu muridmurid bermasalah pembelajaran dalam menguasai kemahiran membaca dan
menulis dengan mengadakan kelas pemulihan. Seminar serta kursus yang
bermanfaat seharusnya diberikan penekanan yang jelas kepada guru dengan
memberi maklumat dan input tentang keperluan khas murid-murid lemah
untuk menguasai kemahiran membaca dan menulis.
Persepsi guru tentang imej murid lemah yang memerlukan bantuan
pemulihan seharusnya positif dan mempunyai kesedaran bahawa mereka
seharusnya dilayan secara saksama dan berpotensi untuk berjaya sama
seperti rakan mereka yang lebih pantas dalam penguasaan pembelajaran.
Tambahan lagi, kesabaran serta ketekunan guru amatlah penting bagi
membentuk amalan membantu murid yang lembam untuk berjaya. Akhirnya,
KPM perlu mengadakan lebih banyak kursus khas kepada guru-guru yang
terlibat dalam permasalahan kemahiran membaca dan menulis. Selain itu,
penerbitan teks panduan guru pemulihan bertujuan memberikan input tentang
kaedah pengajaran yang bersesuaian dengan keperluan murid lembam bagi
meningkatkan kemahiran membaca dan menulis. Kajian ini mencadangkan
guru-guru perlu bersikap positif terhadap kemahiran membaca dan menulis
dan melaksanakan kedua-dua kemahiran dengan strategi yang lebih berkesan.
Selain itu, guru-guru juga patut berusaha mengatasi masalah-masalah yang
dihadapi dalam pengajaran dan pembelajaran kemahiran menulis melalui
pengajaran yang kreatif dan berkualiti agar penguasaan murid dalam
kemahiran tersebut dapat ditingkatkan. Guru juga perlu melaksanakan
kemahiran menulis berdasarkan sukatan pelajaran terkini.
Cara Mengatasi

Pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang tepat dan berkualiti oleh
guru-guru sangat membantu murid dalam meningkatkan keupayaan
membaca.

48

Masalah Pendidikan, 34, 2011

Semua pihak yang berkaitan dengan pendidikan literasi bacaan Bahasa


Melayu murid Tahun 1 harus menyedari perbezaan status ekonomi sosial
SES, gender, kepelbagaian kaum, bahasa ibunda dan juga pendapatan
memerlukan pendedahan kemahiran literasi bacaan yang berbeza bagi
setiap murid.
Berdasarkan Buku Panduan Am Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah
(KPM, 2003), bahawa setiap murid adalah berbeza antara satu sama
lain sama ada dari segi pengalaman, tingkah laku, amalan, bakat dan
kebolehan, oleh itu guru yang diamanahkan untuk mendidik harus
menyedari kelebihan dan kekurangan murid dari segi latar belakang
sosial dan kekuatan yang ada dalam diri murid untuk memastikan
program LINUS berjaya.
Penyediaan kemudahan bahan bantu mengajar yang menarik dan
pelbagai dari pelbagai sumber.

Kesimpulan
Kelemahan murid menguasai kemahiran membaca dan menulis menjejaskan
potensi serta motivasi dalam menguasai pelbagai kemahiran lain dalam
mata pelajaran Bahasa Melayu. Hasil dapatan kajian menunjukkan bahawa
kesemua responden bersetuju bahawa faktor kebolehan dan kreativiti guru
dapat mengubah persepsi serta kesedaran bahawa mereka juga mempunyai
potensi untuk berjaya dalam pembelajaran. Kerjasama yang melibatkan
pihak pengurusan sekolah diharapkan dapat membina iklim persekolahan
yang kondusif, dan persekitaran sekolah yang selamat dapat merangsang
murid bermotivasi untuk terus belajar. Selain itu, faktor guru yang
berketerampilan serta berkeupayaan menyerap kaedah, teknik dan aktiviti
serta menstrukturkan tahap pembelajaran supaya menjadi satu set binaan
pengajaran dan pembelajaran yang kreatif dan inovatif dapat memberikan
kesan positif dan bermakna. Faktor ini sememangnya dapat membina
pembelajaran yang menggalakkan hala tuju pengajaran yang hendak
dicapai oleh guru. Dalam usaha memantapkan pengajaran dan pembelajaran
Bahasa Melayu dewasa ini memang perlu diberi perhatian yang lebih serius.
Seluruh warga pendidik Bahasa Melayu mesti mempunyai komitmen
serta kekuatan untuk menghadapi cabaran dan seterusnya memanfaatkan
pengetahuan dan kemahiran pengajaran Bahasa Melayu sebaik mungkin.
Peningkatan profesionalisme guru Bahasa Melayu merupakan pemangkin
akauntabiliti bahasa dan bangsa Melayu. Kebanyakan guru-guru mempunyai
latar belakang dan sikap yang positif terhadap Bahasa Melayu, tetapi tidak
mempunyai kemahiran dalam penguasaan isi kandungan mata pelajaran ini.
49

Masalah Pendidikan, 34, 2011

Guru yang tidak mahir dalam kaedah pengajaran dan pembelajaran bahasa
tidak semestinya dapat memberikan komitmen yang tinggi semasa mengajar.
Komitmen yang tinggi perlu seiring dengan penguasaan pedagogi yang
cemerlang dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu.
Kesimpulannya, bagi mengatasi masalah ini, pengajaran dan
pembelajaran yang dilaksanakan oleh guru-guru bahasa harus mencapai
tahap kualiti profesion perguruan yang terbaik agar pendidikan pemulihan
boleh menjadi satu wadah yang dapat membantu meningkatkan potensi
murid-murid yang mengalami masalah dalam kemahiran membaca dan
menulis. Program pemulihan peringkat awal akan memberi kesan yang lebih
efektif dalam usaha memperkasakan pendidikan di negara kita. Kajian ini
jelas menunjukkan betapa pentingnya perancangan sebuah program yang
baik dan bersesuaian untuk meningkatkan prestasi pencapaian murid dalam
menguasai ilmu pengetahuan agar mereka yang keciciran dan lemah tidak
terus diabaikan. Kepentingan pihak yang terlibat dalam mendidik murid yang
masih muda di mana guru harus menyedari kepelbagaian status ekonomi sosial
(SES) murid memerlukan pendekatan pembelajaran yang juga berbeza bagi
setiap murid. Pengkaji turut melihat murid yang lemah dalam pelajaran dan
lambat memahami pembelajaran adalah murid yang tidak berupaya membaca.
Kajian ini juga cuba mencungkil dari sudut perbezaan status ekonomi sosial
dalam aspek jantina, kaum, bahasa ibunda dan pendapatan yang pelbagai
yang mungkin memberi kesan ataupun tidak memberi kepada penguasaan
kemahiran membaca murid pada peringkat awal asas membaca. Abdul Jalil
Othman, Mahzan Arshad, dan Chew Fong Peng (2009) telah membuktikan
kepentingan kepelbagaian kaum dan bahasa di Malaysia dalam meningkatkan
keupayaan membaca dan kefahaman membaca sesebuah bahan penulisan;
minat murid adalah berbeza dan mereka lebih cenderung untuk membaca
bahan penulisan yang terdiri daripada bahasa ibunda dan berlatarbelakangkan
kaum mereka sendiri berbanding membaca bahan penulisan daripada etnik
lain. Bermula dari awal lagi, masalah ini berlarutan sehinggalah mereka
dewasa. Keadaan ini tentulah mempengaruhi keupayaan untuk bersaing dan
berjaya dalam hidup. Bukan itu sahaja, ketidakupayaan membaca akan turut
mempengaruhi minat belajar.

50

Masalah Pendidikan, 34, 2011

Rujukan
Abdul Jalil Othman, Mahzan Arshad, & Chew Fong Peng. (2009). Reading
comprehension of multiethnic literature in a multiethnic classroom:
A case study of Malaysia. Universitas Muhammadiyah Purwokerto,
1(2), hlm. 119-128.
Abdul Rasid Jamian. (2011). Permasalahan kemahiran membaca dan menulis
Bahasa Melayu murid-murid sekolah rendah di luar bandar. Jurnal
Pendidikan Bahasa Melayu, 1.
Che Zanariah Che Hassan, & Fadzillah Abd Rahman. (2011, Mei).
Pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Kemahiran Menulis di
Sekolah Rendah. Jurnal Pendidikan Bahasa Melayu, 67.
Kementerian Pelajaran Malaysia. (2003). Kurikulum bersepadu sekolah
rendah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa & Pustaka.
Mahzan Arshad. (2008). Pendidikan Literasi Bahasa Melayu: Strategi
perancangan dan pelaksanaan. Kuala Lumpur: Utusan Publication &
Distributors.
Muhamad Hassan Abdul Rahman. (2000). Media pengajaran: Penghasilan
bahan pengajaran berkesan. Serdang: Penerbit Universiti Putra
Malaysia.
Najeemah Mohd Yusof. (2011). Prinsip kepimpinan di sekolah dan tahap
tekanan guru sekolah rendah di Malaysia. EDUCARE: International
Journal for Educational Studies, 4(1).
Roselan Baki. (2003). Pengajaran dan pembelajaran penulisan bahasa
Melayu. Shah Alam: Karisma.
Yahya Othman. (2004). Mengajar membaca: Teori dan aplikasi. Bentong:
PTS Publications & Distributors.

51

Anda mungkin juga menyukai