Anda di halaman 1dari 5

PERANAN MEDIA MASSA DALAM MEMPERKASAKAN BAHASA DAN BUDAYA

MELAYU DALAM KONTEKS NEGARA BANGS


A-Haris Fadilah Ahmad[
Abstrak
Peranan media massa dalam membangunkan negara dan jati diri bangsa Melayu
sememangnya tidak dapat dinafikan lagi. Ia boleh dilihat sejak era sebelum
kemerdekaan lagi di mana semangat nasionalisme ditiup oleh media massa khasnya
akhbar berbahasa Melayu untuk membangkitkan semangat menentang penjajah.
Bermula dari era tersebut media massa memainkan peranannya yang terbaik dalam
membantu kerajaan untuk membangunkan negara ini di atas fungsinya sebagai
pemerhati, penghubung, pentafsir dan penghibur. Sehubungan itu, kertas kerja ini
adalah untuk menjelaskan peranan media massa di negara ini dalam usaha
memartabatkan budaya dan bahasa Melayu. Di samping itu, kertas kerja ini juga
akan membincangkan masalah penggunaan bahasa termasuk kesalahan
tatabahasa dalam kalangan pengamal media yang membantutkan usaha kerajaan
memantapkan penggunaan bahasa Melayu menerusi saluran berkenaan. Dalam
usaha merealisasikan impian agar bahasa Melayu mencapai taraf sebagai bahasa
maju dan mantap pada persada antarabangsa serta cabaran era globalisasi, maka
pihak pengamal media seharusnya bertanggungjawab dalam kerangka
memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa dunia setanding dengan bahasa
Inggeris. Selain daripada itu, kita juga seharusnya memanfaatkan kecanggihan
teknologi maklumat untuk memantapkan penggunaan bahasa Melayu bagi
pembentukan jati diri orang Melayu sehingga boleh bertahan sepanjang zaman..
PENGENALAN
Penubuhan akhbar Utusan Melayu (UM) oleh pemimpin-pemimpin Melayu pada era
sebelum kemerdekaan khas untuk menjadi penghubung, pentafsir dan pemerhati di
antara golongan nasionalis dengan rakyat. Ketika rakyat menghadapi saat-saat
genting itu, UM ini juga memaparkan cerita ringan seperti ulasan filem dan pelakon
sebagai hiburan untuk menenangkan rakyat. Setelah mencapai kemerdekaan,
zaman mula berubah dan penekanan kerajaan di bawah Perdana Menteri, Tunku
Abdul Rahman Putra Al-Haj, iaitu untuk membangunkan negara ini. Di sini peranan
media massa seperti UM sekali lagi diperlukan. Agenda-agenda pembangunan
disalurkan melalui media massa bagi memastikan rakyat mendapat maklumat yang
jelas. Media digerakkan sepenuhnya umpamanya Radio Televisyen Malaysia (RTM)
menubuhkan Bahagian Pembangunan dan Pertanian pada tahun 1948, khususnya
untuk mewujudkan kesedaran kepada rakyat tentang pembangunan. Ketika negara
sedang rancak membangun, secara tiba-tiba ia terhenti seketika apabila tercetusnya
peristiwa 13 Mei 1969 yang membabitkan rusuhan kaum. Senario itu menyebabkan
rakyat hidup dalam keadaan yang tegang dan memerlukan kerajaan bertindak
dengan segera. Peranan media sekali lagi diperlukan untuk memberikan tafsiran
dasar kerajaan kepada rakyat selepas Perdana Menteri ketika Tun Abdul Razak
Hussein memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) untuk mengurangkan jurang
antara kaum bagi mengelakkan berlakunya pertumpahan darah berulang semula.
Selepas peristiwa 13 Mei 1969, kerajaan Perikatan yang kemudiannya menjadi
kerajaan Barisan Nasional (BN) telah melaksanakan Dasar Bahasa Kebangsaan
(DBK) dan Dasar Pendidikan Kebangsaan (DPK). Ketegasan ini telah
mendorongkan pihak swasta mematuhi DBK dan DPK. Pada tahun 1971 kerajaan
telah mengadakan Kongres Kebudayaan Kebangsaan. Salah satu konsep
kebudayaan kebangsaan ialah:
``Kebudayaan Kebangsaan Malaysia haruslah berasaskan kebudayaan asli rakyat
rantau ini
Kebudayaan asli rakyat rantau ini semestinya meliputi bahasa Melayu. Selain
daripada soal bahasa, pendidikan dan kebudayaan. Kebanyakan rakyat Malaysia
juga telah menerima Dasar Ekonomi Baru (DEB) dengan harapan ia akan
menyumbang ke arah perpaduan kebangsaan. Pada tahun 1970-an telah terbayang
kemungkinan munculnya bangsa Malaysia. Bahasa Melayu sebagai asas
pembinaan negara telah memainkan peranannya. Dalam pada itu juga sejajar
dengan Dasar Pendidikan Negara, peranan media massa juga dituntut membantu
kerajaan untuk melaksanakan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa
pengantar di sekolah kebangsaan. Hal ini kerana bahan bacaan, iaitu akhbar dan
majalah menjadi penting sebagai bahan rujukan pengetahuan dalam kalangan
pelajar. Apatah lagi, peranan media massa juga amat penting menggunakan bahasa
Melayu sebagai wadah mewujudkan perpaduan dalam kalangan pelbagai kaum di
negara ini. Sejak daripada itu peranan media menjadi semakin penting dalam
pembangunan negara bagi menyampaikan maklumat dan menyedarkan rakyat
supaya bekerjasama dengan kerajaan. Oleh yang demikian, hubungan di antara
media dan kerajaan di negara ini amat rapat maka tidak hairan jika kita melihat
akhbar terkenal di negara ini seperti Utusan Malaysia, Berita Harian dan The Star di
sebaliknya dikuasai oleh parti pemerintah. Biarpun dimiliki oleh parti seperti UMNO
dan MCA, media cetak masih bebas untuk menjalankan fungsinya sebagai
pemerhati dalam setiap agenda pembangunan yang dilakukan. Misalnya, pada
tahun 2009, Utusan Malaysia antara media yang menyuntik sikap kesedaran
pembaca agar mendesak kerajaan supaya menghapuskan penggunaan bahasa
Inggeris dalam pengajaran Sains dan Matematik. Dengan kata lain, peranan akhbar
perdana itu untuk mengangkatkan kembali martabat bahasa Melayu sebagai bahasa
pengantar di sekolah. Utusan Melayu (UM) terus melaporkan tindakan pemikir
Melayu dan golongan penulis agar kerajaan menamatkan program Pengajaran dan
Pembelajaran Sains Matematik berasaskan bahasa Inggeris (PPSMI). Laporan
berbentuk desakan dan cadangan pemikir berkenaan berhasil menyedarkan kuasa
politik untuk menamatkan PPSMI pada tahun 2012. Justeru itu, dalam kehidupan
masyarakat yang sentiasa mengejar arus pembangunan, media massa memainkan
peranan yang cukup penting untuk merealisasikan impian masyarakat ke arah
kehidupan yang lebih moden dan sejajar dengan Wawasan 2020. Media massa
dikatakan mampu mendidik rakyat serta mampu menentukan arah kehidupan
masyarakat Malaysia. Sebagaimana yang telah diketahui, media massa merupakan
penyebar saluran maklumat yang utama di Malaysia. Kepentingannya sebagai
saluran maklumat yang unggul terbukti dengan wujudnya Teknologi Maklumat dan
Komunikasi (ICT). Internet digunakan dengan meluas kerana kebolehannya
memberikan maklumat yang cepat dan padat walaupun maklumat itu belum lagi
dipastikan kesahihannya. Selain itu, maklumat juga dapat diperoleh menerusi
cabang-cabang media massa yang lain seperti televisyen, radio, akhbar, majalah
dan sebagainya. Bertitik tolak dari situlah, media massa mampu meningkatkan taraf
sosial seseorang individu melalui penerimaan maklumat terkini dan penggunaan
peralatan moden dan terkini. Justeru itu, media massa dapat menentukan arah
kehidupan masyarakat ke tahap yang lebih tinggi dan pemodenan negara dapat
dilaksanakan. Justeru, kajian ini akan membincangkan peranan dan fungsi media
melaksanakan penggunaan bahasa Melayu sebagai memenuhi hasrat kerajaan
untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai lingua franca di negara ini dalam
konteks negara bangsa dalam cabaran era globalisasi. Sehubungan itu, kajian ini
akan membincangkan kesalahan penggunaan bahasa dalam kalangan pengamal
media perdana di negara ini yang menyebabkan adanya wujud perbezaan
penggunaan perkataan dan ayat-ayat sehingga menimbulkan kecelaruan pembaca.
Hal ini menimbulkan kesan terhadap penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan
pembaca khususnya pelajar. Perbincangan ini juga akan melihat kesan-kesan
kepada khalayak pembaca yang menggunakan bahasa Melayu dalam pertuturan
harian dan pembelajaran di sekolah. Kajian ini juga akan memusatkan saranan
kepada pengamal media untuk mengembalikan penggunaan bahasa Melayu di
landasan yang betul menerusi pelbagai genre penulisan agar boleh dimanfaatkan
oleh pembaca. Akhir sekali, kajian ini juga akan menjuruskan kepada peranan kuasa
politik dan dasar kerajaan termasuk swasta kembali menguatkuasakan peraturan
dan pelaksanaan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan untuk mengukuhkan
jati diri bangsa Melayu. Dalam kajian ini, beberapa pembatasan dibuat iaitu
kelemahan penggunaan tatabahasa dalam kalangan pengamal media massa di
negara ini dan kesannya terhadap orang ramai serta implikasi terhadap
pembentukan negara bangsa. Fokus utama kajian ini ialah menjelaskan fungsi
media massa dan konsep negara bangsa. Di samping itu, kajian ini turut
menjelaskan langkah atau cadangan bagaimana bahasa Melayu boleh dimantapkan
oleh pengamal media dalam kerangka merealisasikan pembentukan negara bangsa
Malaysia.

Anda mungkin juga menyukai