Anda di halaman 1dari 2

TEKS UCAPAN MAJLIS BERBUKA PUASA SKPKS 2010

Hadirin dan hadirat yang dihormati,


Hari ini genaplah hari yang ke-16 kita berpuasa di bulan Ramadhan alMubarak ini. Bagi orang-orang Islam yang beriman, bulan Ramadhan adalah
bulan yang dinanti-nantikan ketibaannya oleh setiap ummat Islam,
memandangkan ia bulan yang mulia dan memberi begitu banyak manfaat,
keistimewaan, faedah, fadhilat dan keberkatan bagi mereka yang tahu dan
menghayatinya. Seperti mana dalam:
1. Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud:
"Wahai orang-orang beriman ! Kamu diwajibkan berpuasa
sebagai mana yang diwajibkan atas orang-orang yang dahulu
daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.."
2. Sabda Rasulullah s.a.w maksudnya: Sesungguhnya dalam
syurga terdapat sebuah pintu yang dikenali dengan nama
Rayyan, di mana memasuki daripadanya orangorang yang
berpuasa pada hari kiamat dan yang lain tidak berhak.
Dikatakan mana orang yang berpuasa? Lantas mereka
bangun dan masuk melaluinya. Apabila selesai ditutup dan
tiada yang lain berhak memasukinya. (riwayat Ahmad, alBukhari
dan Muslim)
3. Sabda Rasulullah s.a.w lagi maksudnya: Siapa yang berpuasa
Ramadhan dengan penuh keimanan dan kesungguhan, nescaya
diampun baginya dosa yang terdahulu. (riwayat Ahmad, al
Bukhari dan Muslim)
4. Dan Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud:
Sesungguhnya telah datang kepadamu bulan Ramadhan bulan
yang diberkati, di mana Allah telah mengfardhukan ke atasmu
puasa. Dibuka padanya pintupintu syurga dan ditutup
padanya pintupintu neraka, ditambat padanya syaitan
syaitan. Padanya satu malam lebih baik daripada seribu
bulan, siapa yang dihalang kebaikannya sebenarnya dia telah
dihalang kebaikan yang banyak.(riwayat Ahmad dan An-Nasaie)
5. Dalam hadith yang lain, Rasulullah pernah bersabda maksudnya
Bagi orang yang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan;
kegembiraan semasa berbuka dan kegembiraan semasa
menemui Tuhannya(riwayat Bukhari dan Muslim)
Ramadhan yang dilalui ini banyak membawa keinsafan kepada diri
kita. Ia melatih kita untuk menjadi individu yang lebih bertimbang rasa. Di
samping itu, ia juga dapat melahirkan hati dan fikiran yang bersih. Rasa

lapar dan dahaga yang dilalui dalam menjalani ibadah puasa membantu kita
merasai pengalaman yang dilalui oleh golongan yang kurang bernasib baik.
Mereka terpaksa menanggung penderitaan menahan lapar dan dahaga
berhari-hari lamanya.
Kita menahan rasa lapar dan dahaga pada setiap kali berpuasa sahaja
terutamanya dalam menjalani puasa pada bulan Ramadhan. Tetapi ramai di
kalangan umat Islam di seluruh dunia seperti di Afghanistan, Palestin dan
negara-negara miskin yang lain mengalami rasa lapar dan dahaga sepanjang
masa. Ada di antara mereka yang hanya mampu berbuka puasa dengan
sekeping roti bersama air sejuk sahaja. Malah lebih dari itu, mereka juga
diancam dengan keganasan yang sedang berlaku.
Keadaan ini amatlah berlainan sekali dengan ibadah puasa yang dilalui
oleh umat Islam di negara kita. Umat islam di Malaysia menjalani ibadah
puasa dalam keadaan yang selesa dengan hidangan yang begitu banyak
serta meriah, terdapat banyak bazar Ramadhan yang menyediakan pelbagai
juadah serta tawaran berbuka puasa di hotel atau restoran.
Oleh itu, kita perlulah merasa amat bersyukur dengan nikmat yang
telah dikurniakan oleh Allah s.w.t kepada kita selama ini. Jika dibandingkan
dengan saudara seislam kita di Pakistan, mereka terpaksa berpuasa dalam
keadaan sangat dhaif kerana diuji dengan banjir buruk yang menimpa
mereka sejak sebelum Ramadhan hingga kini. Bersama-samalah kita
menjadikan Ramadhan ini sebagai bulan melatih diri menjadi seorang Islam
yang sentiasa membantu saudara seagama dengan penuh kasih sayang dan
bertanggungjawab.
Apabila kita menunaikan tanggungjawab kita sebagai seorang Islam
terhadap saudara seislam kita yang lain, terutamanya kepada mereka yang
amat memerlukan bantuan, Insyaalah umat Islam akan hidup dalam suasana
yang aman, harmoni dan dihormati.

Anda mungkin juga menyukai