Anda di halaman 1dari 51

0 Comments

MEMBENTUK KELUARGA BAHAGIA DEMI KESEJAHTERAAN REMAJA

admin on April 1st, 2016

Oleh Noraziah Mohd Amin

LIRIK lagu berjudul, Keluarga Bahagia dendangan kumpulan nasyid, Saujana yang
antara lainnya berbunyi, Ketika insan lain berbahagia bersama keluarga. Namun
kita masih meniti titian rapuh perhubungan menyampaikan mesej betapa
hubungan kekeluargaan yang lemah dapat mewujudkan rasa tidak bahagia dalam
diri individu. Namun begitu, adakah kita sedar tentang erti sebenar keluarga
bahagia yang diimpikan oleh setiap insan? Adakah tindakan yang dapat kita lakukan
untuk merealisasikan impian ini?

Menurut Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), istilah


keluarga didefinisikan sebagai, sebuah unit asas sosial yang membekalkan
sumber manusia untuk pembangunan serta menjamin kesinambungan insan
sebagai generasi akan datang.

LPPKN merupakan sebuah organisasi yang sentiasa membantu masyarakat


mewujudkan suasana yang harmoni dan bahagia dalam setiap keluarga di Malaysia
melalui kempen dan program termasuklah program Utamakan Keluarga: Semakin
Hari Semakin Sayang yang telah dilancarkan oleh Perdana Menteri Malaysia ke-4,
Dato Seri Dr. Mahathir Mohamed pada 31 Julai 2002. LPPKN menyarankan 10
prinsip yang dapat diamalkan dalam usaha untuk mengutamakan keluarga iaitu
kasih sayang, ceria bersama keluarga, komunikasi, efektif, nilai kekeluargaan,
keibubapaan cemerlang, keseimbangan kerjaya dan keluarga, keselamatan dan
kesihatan, ekonomi keluarga, pendidikan dan kemahiran dan dasar mesra keluarga.
Hal ini menunjukkan bahawa pihak kerajaan peka akan pentingnya institusi
kekeluargaan dalam membantu pembangunan negara kerana rakyat yang
cemerlang dilahirkan dalam keluarga yang harmoni dan sejahtera.

***
(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa April 2016)

Posted in: Fokus0 Comments

HILANGNYA PEGANGAN HIDUP BERKELUARGA

admin on April 1st, 2016

SIRI keganasan terhadap kanak-kanak di negara kita dewasa ini seolah-olah tiada
penyudahnya. Isu keganasan terhadap ibu bapa juga semakin bertambah
bilangannya setiap hari. Belum lagi kita membuka pekung di dada, sebanyak mana
kes suami memukul isteri yang akhirnya membawa perceraian dan robohnya
institusi kekeluargaan. Hampir setiap hari ada sahaja berita ataupun laporan
berkaitan isu ini, baik di media cetak mahupun di media elektronik.

Di manakah rasa kasih sayang dan tanggungjawab mereka terhadap darah daging
mereka sendiri? Apakah punca yang menyumbang kepada masalah sosial sebegini
dalam masyarakat kita dan ke manakah hilangnya nilai kasih sayang dalam
masyarakat kita? Punca sebenarnya adalah hilangnya nilai kemanusiaan dalam hati
manusia. Sistem kekeluargaan dalam masyarakat kita nampaknya semakin goyah
dan sedang menuju ke tahap yang cukup berbahaya. Masalah sosial ini jelas
mencerminkan tahap dan kedudukan sebenar institusi kekeluargaan di negara kita
yang begitu rapuh dan pincang. Kejadian sebegini membawa kita kepada beberapa
persoalan penting yang perlu dirungkai dan ditangani dengan segera. Jika terus
leka, dikhuatiri budaya ini akan menghancurkan terus nilai kemanusiaan dalam
masyarakat kita suatu hari kelak.

Pada masa yang sama, masyarakat juga dilihat dewasa ini lebih mementingkan
kebendaan yang menyebabkan kita semakin lalai dan melupakan nilai kasih sayang
yang selama ini menjadi tunjang dan tulang belakang sebuah keluarga. Perasaan
sayang, cinta, ambil berat dan saling hormat-menghormati semakin terhakis. Itulah
harga yang terpaksa kita bayar untuk menikmati kemajuan dan pembangunan yang
dimiliki sekarang. Apakah kita boleh berbangga dengan kemajuan sebegini?
Anggota keluarga merupakan orang yang paling penting dalam hidup. Sesebuah
keluarga biasanya terdiri daripada bapa, ibu dan anak yang dinamakan keluarga
asas. Selain keluarga asas, terdapat juga anggota keluarga kembangan yang terdiri
daripada datuk, nenek, bapa saudara, sepupu, dan anggota keluarga lain.
Hubungan sebuah keluarga akan lebih kukuh dan mesra apabila anggota keluarga
saling memahami antara satu sama lain.

Kasih sayang memainkan pengaruh besar dalam kehidupan dan menjadi


sebahagian daripada keperluan psikologi manusia. Perasaan ini merupakan satu
cetusan emosi terhadap sesuatu atau seseorang. Kasih sayang melibatkan suasana,
sikap dan harapan seseorang terhadap seseorang atau sesuatu yang lain. Kasih
sayang dapat dilahirkan melalui tingkah laku, perhatian, pengorbanan dan
persefahaman.

Kasih sayang akan kekal dalam diri individu jika dicurahkan atas dasar
penghormatan kerana tanpa penghormatan akan wujud ketidakseimbangan dan
ketidakselesaan dalam perhubungan termasuklah akan berlaku konflik dan
ketegangan. Ikatan kasih sayang akan bertambah kuat jika terdapat terdapat
persamaan nilai yang dipegang kerana semakin serupa nilai hidup seseorang itu
maka semakin mudah dan kuat sesuatu jalinan perhubungan yang akhirnya wujud
kebahagiaan dan kemesraan dalam sesebuah institusi kekeluargaan.

Salah satu faktor yang mempengaruhi perkembangan dan pembangunan sahsiah


belia ialah institusi keluarga. Institusi keluarga memainkan peranan penting dalam
setiap perkembangan anak dari kecil hingga dewasa. Rumah yang mesra dan
harmoni menggalakkan perkembangan sahsiah yang sihat. Kasih sayang, layanan,
asuhan dan perhatian yang diberikan ibu bapa secara langsung membantu proses
perkembangan sahsiah yang positif.

Haziah Che Husin

Posted in: Nota Editor0 Comments

KULIT BUKU KULIT MANUSIA


admin on April 1st, 2016

Oleh Nor Azida Ishak

Sebuah buku kecil bersaiz poket yang lusuh, dengan lebarnya tidak melebihi
panjang tapak tangan seorang lelaki dewasa adalah antara bahan aneh yang
tersimpan dalam koleksi perubatan antik di Surgeons Hall Museum, Edinburgh,
Scotland. Buku ini berwarna coklat kehitaman, mempunyai tekstur kulit yang kasar
dan menggerutu, serta tulisan keemasan yang semakin pudar ditelan zaman. Jika
dipandang dari jauh, kelihatan seperti sebuah buku lapuk yang biasa. Namun jika
dilihat dengan lebih dekat, tertera secara samar-samar ayat yang menjadikan buku
kecil ini sangat istimewa, iaitu BURKES SKIN POCKET BOOK (Buku Poket Kulit
Burke) dan EXECUTED 28 JAN 1829 (Dijatuhkan Hukuman Bunuh 28 Jan 1829).

Latar belakang sejarah kulit buku kecil ini sebenarnya mengagumkan. Kulit buku ini
diperbuat daripada kulit seorang pembunuh bernama William Burke. Burke dan
rakan penjahatnya William Hare, dalam masa 10 bulan antara tahun 1827 dan
1828, bertindak menculik dan membunuh 16 mangsa bagi tujuan menjual tubuh
mayat itu kepada seorang ahli anatomi bernama Dr Robert Knox.

Sebelum tahun 1832, bilangan kadaver (mayat manusia yang diawet untuk kajian
bedah dan subjek anatomi) sangat sukar diperoleh di sekolah-sekolah perubatan
Britain. Keadaan semakin mencabar apabila subjek sains perubatan menjadi
semakin popular pada masa itu. Kebiasaannya, mayat diperoleh dengan mengambil
tubuh para penjenayah yang sudah dijatuhkan hukuman mati, tetapi kaedah ini
sudah tidak mampu lagi menampung bilangan permintaan yang terlalu tinggi.
Burke dan Hare mengambil jalan mudah dengan membunuh sebanyak mungkin
mangsa bagi mendapatkan wang daripada Dr Robert Knox. Mereka akhirnya berjaya
ditangkap selepas salah seorang penumpang rumah tumpangan yang diduduki
mangsa ke-16, Mary Docherty melaporkan terlihat mayat Docherty di bawah katil.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa April 2016)


Posted in: Misteri Dalam Sains0 Comments

TIPIS NILAI KASIH SAYANG

admin on April 1st, 2016

Oleh Noor Azam bin Abdul Rahman

Keluarga adalah segala-galanya. Keluarga merupakan perkara pertama yang


saya fikirkan. Tanpa keluarga, siapalah kita? Itulah ungkapan yang biasa kita
dengar jika berbincang tentang isu keluarga. Banyak anggota masyarakat yang
sedar tentang kepentingan keluarga dalam kehidupan masing-masing. Seseorang
yang normal pastinya akan sentiasa menyedari kepentingan keluarga sebagai
elemen terpenting yang mempengaruhi kejayaan ataupun kegagalan seseorang.

Walau bagaimanapun, isu keluarga pada masa ini seolah-olah bertentangan dengan
prinsip serta fitrah manusia yang normal. Biarpun masyarakat sedar tentang
kepentingan keluarga dalam diri mereka, masih lagi wujud isu kekeluargaan yang
menyentuh jiwa yang berlaku dalam masyarakat. Dewasa ini, masih berlaku kes
yang melibatkan keruntuhan nilai kekeluargaan sehingga berlaku perceraian dalam
kalangan ibu bapa muda. Kelihatannya masalah sosial dalam kalangan remaja
berpunca daripada masalah pada peringkat unit kecil dalam masyarakat, iaitu
keluarga.

Isu tipisnya kasih sayang kepada keluarga yang berlaku dalam masyarakat kini
telah memberikan kesan yang tidak baik terhadap persediaan negara untuk muncul
sebagai negara maju yang hebat teknologinya dan pada masa yang sama, masih
mampu mengekalkan keharmonian dalam keluarga. Harapan yang tinggi ini, yang
telah digariskan sebagai matlamat utama dalam Wawasan 2020, tidak akan berjaya
jika isu tentang kesejahteraan keluarga tidak ditangani dengan sebaik-baiknya oleh
semua pihak.

Jika dilihat perangkaan jumlah perceraian yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan
Islam Malaysia (JAKIM) dalam tempoh beberapa tahun belakangan ini, didapati
berlaku pertambahan yang ketara. Pada tahun 2004, sebagai contohnya, jumlah
perceraian bagi pasangan Islam melibatkan 24 207 pasangan. Jumlah ini bertambah
kepada 56 760 pasangan pada tahun 2012. Berdasarkan perangkaan tersebut,
pasangan yang bercerai pada setiap tahun bertambah dengan jumlah yang besar.
Laporan yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM)
pula menunjukkan bahawa pertambahan jumlah kes perceraian ini meningkat
sebanyak 2.3 kali ganda sejak tahun 2004 sehingga tahun 2014.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa April 2016)

Posted in: Fokus0 Comments

DARI KUALA LIPIS KE KUALA LUMPUR

admin on April 1st, 2016

Oleh Fauzan Zain

HATINYA terpikat untuk melanjutkan interaksi dengan pemanggil di gagang. Intonasi


suara yang lembut dan tenang menyenangkan hatinya. Dia bangkit dari kerusinya
dan beralih menuju ke sebatang pohon untuk meneruskan talian tanpa gangguan.
Banir yang timbul di atas permukaan tanah mengalas punggungnya. Salam dijawab.
Dia berharap panggilan ini tidak membawa khabar buruk.

Dia sekadar ketawa kecil tatkala mendengarnya. Bahunya terhenjut-henjut sedikit.


Ekor matanya menjeling rakan di bawah dewan terbuka. Seketika talian diam. Dia
tidak ingin berkata apa-apa lagi selain terus menerima dan mengesahkan kehadiran
pada tarikh sekian. Tidak mengapa, dia sanggup untuk melakukan apa-apa sahaja
untuk hadir walaupun hari-hari depan mungkin menghalang, fikirnya.

Tubuhnya disandarkan pada batang pohon. Telefon bimbitnya diseluk kembali ke


dalam poket. Kuah merah sardin yang tadinya melekat lembap di jemarinya tampak
mengering. Aromanya menusuk seperti baru keluar dari tin. Semakin banyak pula
yang beratur untuk membasuh pinggan dan cawan pada paip yang sebatang itu.
Terpaksalah dia menunggu giliran panjang untuk mencuci tangan dan pinggan
miliknya.
Dia keliru dan bagai tidak mahu meraikan perasaan gembira dengan khabar
kejayaannya. Dalam hati, dia mempersoalkan cara karyanya itu dapat diangkat
sebagai penerima hadiah. Dia teringat kembali proses penulisannya. Segalanya
bermula daripada idea yang tidak seberapa dan biasa-biasa sahaja menurut
pandangannya. Sewaktu menaip patah-patah perkataan itu, dia hanya berkain
sarung dan tidak berbaju di bilik tidur.

Wajah manis rakan perempuan yang pernah ditemuinya tahun lalu di sebuah
bengkel penulisan selama seminggu menjengah lagi. Setiap butir kata yang
didengarnya masih basah dalam ingatan. Lewat malam itu, dia berjaya
menoktahkan titik akhir sebuah cerpen. Cerpen pertama yang ditulisnya di bangku
sekolah. Tidak pernah memikat guru bahasa Melayunya apalagi untuk memperoleh
A. Dengan rasa malu yang dibuang jauh-jauh, cerpen itu disuakan kepadanya
dengan kedua-dua mata terpejam.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa April 2016)

Posted in: Cerpen daripada Siswa0 Comments

CENDAWAN SISIR

admin on April 1st, 2016

Oleh Hashim Latif

DEMI ibu yang disayangi dan pelajaran yang mesti diteruskan, Hilman meneruskan
hasratnya untuk ke Bukit Tiga Beradik. Dia hendak mencari cendawan sisir. Biarpun
harga cendawan itu ketika ini tidaklah semahal harga barangan yang lain, dia tetap
mencarinya. Dia hendak menjual cendawan tradisional itu dipasar pagi, berdekatan
dengan Sungai Kuala Jambu.

Hasil jualan itu akan digunakan untuk mengubati sakit ibu. Ibu cedera ketika turun
daripada teres selepas memunggah susu getah. Kaki ibu tiba-tiba sahaja terpijak
tunggul senduduk yang tajam. Ibu tidak tahu macam mana kejadian itu oleh terjadi.
Seingat ibu, kawasan itu tidak ada tunggul. Jalan itu sudah biasa dilalui oleh ibu.
Sebagai akibatnya, kaki ibu bengkak dan bernanah. Hilman telah membawa ibu ke
klinik kesihatan. Alhamdulillah, nampaknya sudah ada perubahan di kaki ibu. Untuk
sehari dua ini, Hilmanlah yang mencari sumber pendapatan untuk menyara insan
yang berhati mulia itu. Kata Ustaz Dasuki, memuliakan ibu bapa menyamai pahala
haji dan umrah. Memuliakan ibu bapa juga menghasilkan kenikmatan syurga.
Allahuakbar. Hilman mengidamkan semua itu.

Biarlah hari ini dia bersusah demi ibu yang melahirkannya. Dia tahu, kesusahan dan
kepayahan itu akan berakhir juga pada suatu hari nanti. Ketika ibu sedang
bertarung dengan kesakitan, biarlah dia yang mencari sedikit rezeki. Ayah sudah
lama pergi selepas cedera teruk saat bertarung dengan Pak Belang di hutan Bukit
Kecupu. Semua itu ujian. Hilman tahu. Ujian itu sering kali berlaku terhadap apa-apa
yang disayangi. Allah memberinya seutas ujian dan dia mesti melepasi ujian itu
dengan apa-apa cara sekalipun demi ibu dan dirinya.

Engkau nak cari cendawan sisir di situ? Ada kebimbangan dalam diri Aqim.

Kenapa? Hilman merenung ke muka Aqim.

Ngah Muin kata di kawasan itu ada ular tedung selar besar! Aqim meyampaikan
apa-apa yang didengarinya.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa April 2016)


Posted in: Cerpen untuk Siswa0 Comments

PEMBELAJARAN KOMSAS DAN DUNIA KESUSASTERAAN NEGARA

admin on April 1st, 2016

Oleh Salleh Hashim

AKRONIM KOMSAS itu sendiri hampir sahaja membuat kita terlupa tentang maksud
asal istilah tersebut. KOMSAS ialah akronim untuk Komponen Sastera yang
diajarkan sebagai sebahagian daripada sukatan pelajaran mata pelajaran Bahasa
Melayu di Malaysia. KOMSAS diperkenalkan pada tahun 1999. Kementerian
Pendidikan Malaysia (KPM) telah menetapkan teks yang wajib dipelajari dan diuji
dalam peperiksaan awam.

Pelaksanaan KOMSAS di sekolah dijalankan secara berperingkat-peringkat mulai


Mac tahun 2000 bagi murid tingkatan satu dan empat, tahun 2001 bagi tingkatan
dua dan lima, serta tahun 2002 bagi tingkatan lima. Dengan terlaksananya dasar
ini, maka semua murid daripada tingkatan satu hingga tingkatan lima telah
mendapat pendedahan asas mengenai sastera Melayu. Mulai 2015, teks KOMSAS
sedia ada telah ditukar kepada teks yang baharu bermula dengan tingkatansatu
dan empat, 2016 tingkatan dua dan lima, dan 2017 tingkatan tiga.

Setelah 17 tahun pelaksanaan KOMSAS, jelas kepada kita bahawa teks yang dipilih
bagi kesemua genre merangkumi atau mencakupi pelbagai tema. Tema tersebut
tentunya membawa kesan positif terhadap perkembangan mata pelajaran Bahasa
Melayu itu sendiri, juga kepada remaja dan pelajar yang terlibat. Bahasa Melayu kini
tidak terhad kepada penulisan karangan, tatabahasa dan pemahaman sahaja.
Bahasa Melayu turut diperkukuh dengan aspek kesusasteraan yang dengan
sendirinya mengangkatnya menjadi semakin mantap.

Kehadiran KOMSAS juga telah berjaya mengukuhkan dan meningkatkan minat


membaca dalam kalangan remaja. Membaca dan mata pelajaran bahasa ibarat
irama dan lagu yang tidak dapat dipisahkan. Pelajar sekurang-kurangnya dapat
menikmati keseronokan dunia pembacaan apabila mereka menghayati pelbagai
karya daripada pelbagai golongan penulis dari seluruh pelosok tanah air. Kasut
Kelopak Jantung, Istana Menanti, dan Di Hadapan Pulau merupakan beberapa judul
karya yang pasti menggamit minat membaca dalam kalangan remaja di sekolah.
Selain itu, KOMSAS ternyata dapat menarik minat pelajar mengenal, menghayati,
dan menghargai karya sastera bagi mengukuhkan kemahiran mendengar dan
bertutur, membaca, dan menulis mereka.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa April 2016)

Posted in: Isu Semasa0 Comments

MENAJAMKAN MATA PENA

admin on April 1st, 2016

Oleh Mahaya Mohd. Yassin

Puisi yang terpilih untuk bulan ini menyerlahkan kepelbagaian pengalaman yang
dihimpun sepanjang kehidupan. Pengalaman tersebut mematangkan penulis
sehingga menampakkan gaya dan cara yang mantap untuk menangani ujian dan
dugaan yang melanda.

Dari segi isi, setiap puisi berjaya memetik kisah yang relevan untuk dijadikan iktibar
untuk diri dan khalayak pembaca.

Penggunaan kata, ungkapan, dan ayat terasa puitis serta menampakkan hasil yang
berkualiti.

Sajak Langkah Perjuangan, walaupun pendek tetapi padat dan menarik. Penulis
dengan bijaksana mengungkapkan pelbagai halangan yang telah ditempuh, namun
masih tidak berputus asa untuk meneruskan perjuangan.
Baris pertama rangkap tiga, Siapalah aku lelaki kerdil? sedikit mengganggu emosi
pembaca. Hal ini sedemikian kerana penulis mengaku kekerdilannya dirinya
sedangkan pembaca telah mengiktiraf kegigihannya untuk meneruskan perjuangan.

Baris ini akan lebih berfungsi apabila ayat tersebut ditukar menjadi, Akulah lelaki
bersemangat .

Sajak Masih Adakah Ruang pula menitipkan hal kegagalan meneruskan ikatan
persahabatan. Namun, dengan semangat waja, penulis ini juga tetap yakin akan
hasratnya untuk memperbaiki persahabatan tersebut.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa April 2016)

Posted in: Ulasan Puisi0 Comments

PETUA MERANCANG KEJAYAAN

admin on April 1st, 2016

Oleh Osman Afan

KEJAYAAN mempunyai definisi yang berbeza bagi setiap orang. Ada orang yang
mendefinisikan kejayaan sebagai hidup yang mempunyai harta yang melimpah-
ruah. Ada yang mendefinisikan kejayaan dengan hidup yang sihat dan keluarga
yang bahagia. Ada orang yang mendefinisikan kejayaan sebagai kebolehan untuk
menjatuhkan atau menggagalkan orang lain.

Namun begitu, sebagai pelajar, kejayaan selalunya didefinisikan sebagai mendapat


keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan. Adakah sesuai kita gunakan ukuran
sebegini sebagai definisi kejayaan? Katakan anda mahu berjaya dan kejayaan bagi
anda ialah mendapat keputusan peperiksaan yang cemerlang.
Setelah anda mendefinisikan maksud kecemerlangan buat diri, akan timbul soalan
yang sangat besar dalam minda anda. Bagaimanakah anda boleh mengecap
kejayaan tersebut?

Terdapat tiga langkah yang boleh diambil untuk mencapai kejayaan. Langkah
pertama ialah and aperlu tahu akan apa-apa yang dimaksudkan dengan kejayaan.
Berapa banyak pelajar yang gagal mencapai kejayaan kerana tidak pernah berfikir
dengan jelasnya maksud kejayaan buat mereka?

Berita baik untuk anda ialah anda sudahpun melakukan langkah pertama pada awal
artikel ini. Kejayaan buat anda yang ingin kita bincangkan di sini ialah mendapat
keputusan peperiksaan yang cemerlang. Jelas, bukan? Jika anda mahu lebih jelas,
tulis di atas kertas keputusan bagi setiap subjek yang anda inginkan. Tulis gred
dengan markahnya sekali.

Langkah kedua perlu dilakukan ialah membuat senarai dua perkara. Perkara
pertama ialah senarai aktiviti yang perlu and alakukan untuk mendapat keputusan
peperiksaan yang cemerlang. Senaraikan sebanyak mungkin tentang perkara ini.
Jika boleh, senaraikan antara 20 hingga 40 perkara yang boleh anda lakukan
sekarang agar anda mendapat keputusan peperiksaan yang cemerlang. Hal ini akan
memberi anda gambaran dan panduan ke arah mencapai matlamat untuk
mendapat keputusan yang cemerlang.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa April 2016)

Posted in: Motivasi Diri0 Comments

UNIVERSITI YANG BOLEH DIBAWA KE MANA-MANA


admin on April 1st, 2016

Oleh Kamal Sujak

MINAT terhadap fesyen dan telefon pintar menjadi keterujaan kepada para remaja.
Oleh itu, ketahuilah bahawa membaca itu merupakan gaya hidup yang perlu ada
jika anda ingin berjaya dan berilmu dalam segala bidang yang anda minati.
Membaca mampu mewujudkan nilai tambah terhadap minat individu kerana setiap
perkara di dunia ini mempunyai sumber maklumat khusus atau buku yang
diterbitkan mengenainya.

Istilah gaya hidup pada asalnya dicipta oleh ahli psikologi Austria, Alfred Adler, pada
tahun 1929. Pengertiannya yang lebih luas, sebagaimana yang difahami pada hari
ini, mula digunakan sejak tahun 1961. Tingkah laku dan amalan gaya hidup
merupakan campuran tabiat, cara lazim membuat sesuatu, serta tindakan
berdasarkan logik. Gaya hidup biasanya membayangkan sikap, nilai, dan
pandangan dunia seseorang. Oleh itu, gaya hidup ialah cara untuk memupuk
konsep kendiri serta mencipta simbol kebudayaan yang menggemakan identiti
peribadi. Namun begitu, bukan semua aspek gaya hidup bersifat sukarela
sepenuhnya. Sistem sosial dan teknikal di sekeliling boleh menyekat pilihan gaya
hidup serta simbol yang dapat digunakan untuk menonjolkan gaya hidup kepada
orang lain dan diri sendiri.

Bayangkanlah jika kita mampu memperuntukkan hanya 30 minit untuk membaca


setiap hari dan apakah yang akan kita peroleh dengan pelaburan masa itu untuk
tempoh setahun? Sudah pasti banyak sekali perkara baharu yang akan kita pelajari
dan memberikan manfaat untuk kehidupan kita.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa April 2016)


Posted in: Remaja Cemerlang

CHICAGO LOKASI POPULAR FILEM HOLLYWOOD

admin on March 1st, 2016

Oleh Nisah Haron

PELUANG ke negara Amerika Syarikat bukanlah terbuka kepada semua. Setakat ini,
pelancong dari Malaysia memerlukan visa yang mesti dimohon daripada Kedutaan
Amerika Syarikat. Hanya mereka yang mempunyai urusan rasmi, atau mereka yang
diluluskan oleh pihak kedutaan sahaja yang memasuki negara ini. Lantas, peluang
ke Amerika Syarikat melalui Chicago sebagai pintu masuk merupakan impian yang
menjadi realiti.

Chicago antara bandar raya yang kerap dipaparkan melalui filem dan siri televisyen.
Pada hakikatnya, kita sendiri banyak mengenali budaya dan tempat di Amerika
Syarikat melalui media seperti itu. Nama Chicago tentu sahaja sinonim dengan siri
termasuklah Chicago Hope dan deretan filem yang menggunakan Chicago sebagai
latar My Best Friends Wedding, The Untouchables, When Harry Met Sally, Public
Enemies, dan Home Alone (sekadar menyebut beberapa filem).

Karya filem dan sastera menjadi tarikan kepada penulis apabila peluang untuk
menjejakkan kaki di tempat ini menjadi kenyataan. Bermula dari pintu masuk di
Lapangan Terbang Antarabangsa O Hare, pengunjung terpukau dengan sistem
yang ada, walaupun lapangan terbang ini antara yang terbesar dan tersibuk di
dunia.

Selepas peristiwa 11 September 2001, pelbagai kisah dimomokkan kepada


pengunjung Muslim yang datang ke negara ini. Ada yang benar, ada sebahagiannya
diseparuhbenarkan. Bagi penulis, laluan ini dipermudah. Berbekalkan dokumen
yang lengkap dan menjawab soalan daripada pegawai imigresen dengan tenang
dan tegas, penulis dibenarkan masuk ke Amerika Syarikat melalui pintu masuk
Chicago ini tanpa soal jawab yang panjang.

***
(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Mac 2016)

Posted in: Khas0 Comments

RUMAH UNTUK DERMOCHELYS

admin on March 1st, 2016

Oleh Muzaf Ahmad

SEKIRANYA tiada yang mahu bersahabat dengannya, dia rela bersahabat dengan
ikan, ketam, penyu, sotong dan udang. Dia membesar sebagai budak kampung di
pinggir laut. Kehidupannya dengan laut tidak dapat dipisahkan. Dia suka akan
kedamaian dan ketenangan kehidupan di situ. Pasir pantai yang memutih, air laut
yang jernih dengan debur ombak yang sering memanggil mesra, juga bayu yang
bertiupan.

Menginjak usia remaja, dia mendapat tawaran untuk mengambil jurusan


kejuruteraan dan perubatan. Namun begitu, dia memilih untuk melanjutkan
pelajaran di Akademi Laut Malaysia. Dia bercita-cita tinggi mahu berkhidmat
dengan laut dan hidupan di dalamnya. Kini, dia bergelar kelasi.

Tidak banyak orang yang berminat untuk bekerja sebagai kelasi. Mereka
menganggap pekerjaan tersebut membosankan dan tidak mendatangkan sebarang
pulangan. Mereka tidak sanggup bekerja di tengah laut. Pada hakikatnya, bekerja di
atas kapal dan berlayar selama berminggu-minggu menuntut kesabaran yang cukup
tinggi.

Johari sememangnya merupakan calon yang benar-benar layak. Dia tidak pernah
mabuk laut ketika berlayar. Mungkin minatnya yang begitu mendalam serta
kehidupannya di pinggir laut sejak kecil menjadi rahsianya.
Johari tidak mengharapkan bahawa dengan jawatannya sebagai kelasi, dia dihargai
masyarakat setempat. Dia hanya mahu mengajak masyarakat sama-sama
menghargai nikmat keindahan alam sekitar yang dikurniakan oleh Tuhan.

Lamunannya meretak, lalu pecah. Tiba-tiba angin bertiup kuat dan ombak
meninggi. Bot sederhana besar yang dipandunya terumbang-ambing sedikit.
Seketika kemudian, laut tenang kembali. Beberapa ekor ikan lumba-lumba yang
bermain keriangan menarik perhatiannya.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Mac 2016)

Posted in: Cerpen untuk Siswa0 Comments

ANTARA KATA TRANSITIF DENGAN TAK TRANSITIF

admin on March 1st, 2016

Oleh Muhammed Salehudin Aman, Munsyi Dewan

DALAM bahasa Melayu terdapat dua jenis kata kerja, iaitu kata kerja transitif dan
kata kerja tak transitif. Yang dikatakan kata kerja transitif ialah kata kerja yang
memerlukan objek atau penyambut hadir selepasnya. Misalnya, kata kerja menulis.
Kata kerja ini mesti diikuti oleh objek, misalnya surat. Ayat Kakak sedang menulis,
misalnya, salah dalam bahasa Melayu. Ayat yang betul ialah Kakak sedang menulis
surat.
Kata kerja tak transitif ialah kata kerja yang tidak memerlukan objek sesudahnya,
misalnya kata kerja duduk, terbang, dan naik. Contoh dalam ayat:

1. Burung helang itu terbang.

2. Murid tadika sedang duduk.

3. Para pelajar semua naik.

Ayat ini boleh diperluas, iaitu dengan memasukkan frasa sendi nama yang berfungsi
sebagai unsur keterangan.

Misalnya, ke awan yang mengikuti kata kerja tak transitif terbang dalam ayat 4, di
atas kerusi yang mengikuti kata kerja tak transitif duduk dalam ayat 5, dan ke
tingkat satu bangunan sekolah dalam ayat 6.

4. Burung helang itu terbang ke awan.

5. Murid tadika sedang duduk di atas kerusi.

6. Para pelajar semua naik ke tingkat satu bangunan sekolah.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Mac 2016)


Posted in: Cintai Bahasa Kita0 Comments

KENDERAAN TANPA PEMANDU

admin on March 1st, 2016

Oleh Nor Azida Ishak

ADAKAH anda dapat membayangkan lalu lintas yang lancar dan serba moden pada
masa akan datang? Pada ketika itu, kesemua kenderaan tidak lagi memerlukan
pemandu.

Di Michigan, Amerika Syarikat, terdapat sebuah bandar kecil yang dibina bagi
mempraktikkan teknologi kenderaan tanpa pemandu, sekali gus mendekatkan
impian fiksyen sains ke arah realisasi. Bandar yang diberi nama MCity ini telah
direka oleh para jurutera dan penyelidik robotik di Universiti Michigan dan
disimulasikan daripada keadaan bandar Detroit sebenar yang hanya terletak
beberapa puluh kilometer dari situ. Michigan menjadi tempat paling sesuai untuk uji
kaji ini kerana bandar ini mempunyai 375 buah pusat penyelidikan tentang
automotif dan menjadi pusat tumpuan bagi tenaga pakar dalam bidang ini,
termasuklah jurutera industri dan mekanikal yang paling mahir di Amerika Syarikat.

MCity merupakan sebuah kawasan yang menggunakan kawalan persekitaran dan


direka khusus untuk menguji teknologi rangkaian kenderaan. Rangkaian
perhubungan ini disambung dengan peranti dan dikawal secara automatik. Hal
sebegini bakal memberikan pencerahan tentang potensi menggunakan teknologi
kenderaan tanpa pemandu secara realistik.

Peter Sweatmen, pengarah Mobolity Transformation Center di Universiti Michigan,


memberitahu bahawa transformasi kepada kenderaan yang dapat berhubungan
secara sistem rangkaian dan memiliki teknologi automasi akan melahirkan kebaikan
dari segi keselamatan, kecekapan dan penjimatan tenaga. Teknologi ini akan
membuka ruang untuk kemajuan mobiliti aabad ke-21 kerana sistem pelaksanaan
tugas yang menggunakan mesin secara automatik pada keseluruhannya
membolehkan pelbagai tugas dan proses kerja dilakukan dengan mudahnya serta
tidak memerlukan tenaga manusia.
***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Mac 2016)

Posted in: Misteri Dalam Sains0 Comments

BAGAI ENAU DALAM BELUKAR, MELEPASKAN PUCUK MASING-MASING

admin on March 1st, 2016

ADA lakaran suram yang menyelubungi masyarakat kita pada masa kini, bahawa
semangat kejiranan dalam diri semakin terhakis. Semangat bagai aur dengan
tebing ini dilihat semakin pudar. Sebagai akibatnya, kes jenayah semakin
bertambah setiap hari. Jika dahulu penjenayah gerun melihat semangat waja
tetangga menjaga kediaman secara bersama-sama, kini tidak lagi selepas
persatuan penduduk berkubur kerana masing-masing mula renggang dan sibuk
menguruskan kehidupan peribadi. Aktiviti yang berkaitan dengan kejiranan juga
semakin berkurangan.

Hal ini berlaku kerana masyarakat kini lebih mengutamakan sikap keakuan dan
enggan mempedulikan perkara yang berlaku di luar rumah yang tiada kaitan
dengan mereka. Aktiviti kemasyarakatan seperti menjayakan majlis kenduri
misalnya, semakin dilupakan. Adat resam ini turut pupus selari dengan peredaran
masa. Amalan bekerjasama untuk menjayakan majlis kenduri telah diambil alih oleh
orang perseorangan ataupun restoran dan hotel melalui tempahan yang diterima.
Keadaan ini telah menutup peluang anggota masyarakat untuk menyumbang
tenaga secara bersama-sama sedangkan aktiviti seperti itulah yang memberikan
kesempatan kepada mereka untuk bertemu dan menjalinkan kemesraan.
Masyarakat semakin hari semakin sibuk dengan urusan harian masing-masing.
Hubungan kemasyarakatan yang renggang ini ada kaitannya dengan sikap
masyarakat hari ini yang lebih cenderung untuk hidup bersendirian tanpa gangguan
orang lain. Terdapat tanggapan bahawa kemewahan yang dikecap sudah memadai
bagi mereka untuk menjalani kehidupan tanpa perlu bergantung pada orang lain.

Semua orang yang tinggal berdekatan hingga 40 buah rumah dari setiap penjuru,
mereka itulah yang dikatakan sebagai jiran. Bagi menjamin keharmonian awam,
sikap menghormati dan berbuat baik kepada jiran tetangga merupakan amalan
yang mulia, malah dituntut oleh setiap agama dan perlu diterapkan seawal usia.

Orang tua-tua pernah berkata, jiran tetangga yang baik seumpama adik-beradik.
Ketika kita berada dalam kesusahan, terutamanya ketika ditimpa kemalangan,
merekalah orang pertama yang akan datang menghulurkan bantuan sebelum
ketibaan adik-beradik atau saudara-mara. Tambahan pula, jarang-jarang benar
kedapatan adik-beradik duduk berjiran seperti di kampung.

Melalui muafakat dan hubungan yang erat, pasti keharmonian yang nebjadi teras
dalam perpaduan kaum akan tercapai. Rakyat yang bersahsiah terpuji melahirkan
modal insan berminda kelas pertama yang dapat memacu negara ke arah
kegemilangan di puncak jagat. Sesungguhnya, perpaduan tidak akan dicapai tanpa
semangat kejiranan. Sekiranya semua kaum di negara kita menanam nilai
menghormati jiran semenjak kecil lagi, sudah pasti negara aman dan peristiwa pahit
13 Mei 1969 tidak akan berbuah dua kali. Soal kejiranan memang tidak boleh
dipandang mudah. Semangat kejiranan amat penting untuk menjamin bukan sahaja
perpaduan, malah keselamatan negara.

Haziah Che Husin

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Mac 2016)

Posted in: Nota Editor0 Comments

GODAAN INDONESIA DI JAKARTA


admin on March 1st, 2016

Oleh Pamella Lanyau

IMPIAN untuk berkunjung ke Jakarta sudah lama penulis pasangkan di dada dan
minda. Cuma sehingga awal Disember lalu, barulah rencana tersebut menjadi
nyata.

Walau kedudukan geografinya sangat dekat dengan Malaysia dan hanya dipisahkan
oleh lautan, penulis terlebih dahulu memilih untuk mengikut arus destinasi pilihan
kebanyakan anak muda, iaitu ke Bali dan kemudiannya ke Yogyakarta untuk
memenuhi impian menatap kehebatan seni bina penganut agama Buddha dan
kesan rakus letupan Gunung Merapi. Penulis juga dibayangi perkongsian rakan
dan bacaan dalam internet tentang betapa mereka yang telah melawat Jakarta itu
kurang gemar akan pengalaman perjalanan mereka di sini.

Namun begitu, penulis nekad, kerana terlalu asyik dengan iklan Wonderful
Indonesia belakangan ini, penulis sudah tidak dapat menidakkan kemahuan yang
membara untuk berkelana di metropolitan bawah pimpinan Pak Joko Widodo,
Presiden Indonesia berkarisma. Majalah Fortune yang beribu pejabat di Amerika
Syarikat menyenaraikan beliau sebagai seorang daripada 50 orang Pemimpin
Ulung Dunia pada tahun 2014. Memang berkesan teknik mereka mempromosikan
keunikan Jakarta. Sesuatu yang tidak sia-sia langsung, apatah lagi tiket
penerbangan dari Kuala Lumpur, penulis usaikan beberapa hari sebelum bertolak,
manakala tempat tinggal penulis diuruskan pada malam sebelumnya.

Sehingga tiba di ibu negara Indonesia itu, penulis tidak mempunyai banyak masa
untuk membaca tulisan tentangnya. Penulis datang tanpa meletakkan sebarang
harapan dan dengan minda terbuka. Namun begitu, penulis sudah mempunyai satu
senarai panjang tentang jenis makanan yang ingin dicuba di sana.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Mac 2016)


Posted in: Rakaman Pengembara0 Comments

IKTIBAR DARIPADA KEJADIAN SEPUTAR

admin on March 1st, 2016

Oleh Mahaya Mohd. Yassin

APABILA diamat-amati, kehidupan merupakan perjuangan. Manusia berjuang untuk


memperoleh kejayaan di dunia dan akhirat. Perjuangan pula ada pasang surutnya,
bak laut yang ada ketikanya bergelora, ada ketikanya hanya berombak kecil.

Perjuangan penulis muda pada bulan ini adalah untuk menimba ilham daripada
lambang alam. Oleh itu laut, cakerawala, langit, banjir, serta manusia dan mimpinya
dijadikan citra untuk iktibar. Kecaknaan ini mempamerkan kematangan penulis
dalam menyaring bahan yang terbaik kepada pembaca.

Sajak Air Laut Biru membangkitkan semangat berdaya juang yang tinggi. Bagi
penulis, laut biru itulah yang mendewasakan dirinya menjadi insan yang tabah.
Bentuk sajak akan menjadi lebih kemas selaras dengan temanya yang mantap,
andainya ayat yang digunakan lebih ringkas dan mudah. Belajar dan berlatihlah
mengungkapkan sesuatu dengan ayat yang padat dan puitis. Contoh:

aku dibesarkan untuk mengenal erti kehidupan

tempat permainan bermula dari kecil hingga dewasa

tempat bermain badai, berhujan dan berpanas

setiap hari

di laut biru ini tenang dan damai jiwa bertapak


menjadi:

membesar mengenal erti kehidupan

bermain badai, berpanas, berhujan

setiap hari;

di jiwa bertapak damai dan tenang.

Dari segi bentuk, seperti sajak pertama, sajak Aku dan Cakerawala masih dapat
dipuitiskan sehingga menjadi padat. Sajak ini mengungkapkan kekerdilan manusia
apabila dibandingkan dengan kuasa Pencipta Yang Agung. Namun begitu, penulis
sedar bahawa bermula daripada membina impian untuk menguasai ilmu tentang
alam cakerawala, dia yakin cita-citanya akan berhasil suatu hari nanti.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Mac 2016)

Posted in: Ulasan Puisi0 Comments

TARIAN SEBAGAI MEDIUM PERKEMBANGAN REMAJA

admin on March 1st, 2016

Oleh Shasha Shakierah


KEGIATAN kesenian dan kebudayaan memainkan peranan penting dalam
mewujudkan perpaduan dan sosialisasi di Malaysia. Persefahaman budaya ini
menjadikan rakyat Malaysia saling menerima dengan hati yang terbuka dan tidak
menimbulkan konflik. Hal ini menjadikan Malaysia sebagai negara yang memiliki
keunikan tersendiri. Kepelbagaian agama, bangsa, seni, dan budaya yang
diamalkan dalam kehidupan harian masyarakat Malaysia tidak menjadi halangan
pada hubungan sesama kaum di negara ini. Sejak dahulu lagi, amalan budaya
tradisional di Malaysia amat dikagumi oleh dunia luar.

Aspek kesenian dan kebudayaan amat berkaitan rapat dengan identiti, ideologi, dan
amalan harian sesuatu kelompok masyarakat. Hal sebegini perlu dikekalkan demi
kesinambungan tamadun. Pelibatan masyrakat dalam aktiviti kesenian dan
kebudayaan, misalnya, dapat memberikan impak yang positif kepada pembangunan
negara. Modal insan yang berkualiti amat penting dalam meningkatkan produktiviti
negara. Sejajar dengan itu, pelbagai pihak telah menggembleng tenaga untuk
memastikan warisan seni dan budaya tradisional di Malaysia terus diwarisi generasi
demi generasi. Kesedaran terhadap kepentingan seni dan budaya tradisional perlu
dipupuk kepada setiap golongan masyarakat agar tidak lagi dipandang enteng.

Bagi merealisasikan impian ini, golongan remaja memainkan peranan yang besar
dalam kegiatan kesenian dan kebudayaan, terutamanya bidang tari. Bidang ini
bukan sahaja mendatangkan keuntungan kepada negara, malah membantu
perkembangan remaja pada hari ini. Perkembangan akademik semata-mata tidak
dapat menjamin perkembangan remaja. Remaja perlu memiliki kecergasan fizikal
dan mental dalam menempuh kehidupan yang begitu mencabar. Remaja perlu
dibimbing untuk menggerakkan mereka ke arah diri yang positif dan memiliki jati
diri yang mantap. Aktiviti tarian dapat dijadikan sebagai medium untuk melahirkan
modal insan kelas pertama.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Mac 2016)


Posted in: Isu Semasa0 Comments

MUAFAKAT MELAHIRKAN MASYARAKAT HARMONI

admin on March 1st, 2016

Oleh Md Nizar Parman

BENARKAH nilai kejiranan dalam kalangan masyarakat hari ini semakin luntur
sehingga mereka tidak peduli langsung tentang apa-apa yang berlaku di sekeliling
mereka? Memang kedengaran aneh apabila mendengar kisah jiran yang tidak
mengenali jiran yang tinggal di sebelah rumahnya, namun itulah realiti yang
berlaku di sesetengah kawasan kediaman atau taman perumahan.

Dalam konteks ini, jiran dapat didefinisikan sebagai orang lain yang tinggal
berhampiran dengan kita di sesebuah kawasan kediaman, termasuklah taman
perumahan, kampung dan pangsapuri. Oleh yang demikian, sebagai ahli komuniti di
kawasan kediaman tersebut, sudah sewajarnya kita pupuk nilai kejiranan yang
positif. Dengan cara ini, hubungan antara ahli komuniti dapat dijalinkan dan
memudahkan proses penyatupaduan masyarakat.

Sebelum kita berhijrah ke kawasan kediaman yang baharu, kita perlu bersedia
untuk berhadapan dengan lapisan mayarakat yang berlainan agama dan
kepercayaan, cara hidup, taraf sosioekonomi, dan latar belakang pendidikannya.
Oleh itu, sebelum membeli atau membina rumah di sesebuah kawasan kediaman,
kita perlu memikirkan perkara ini semasak-masaknya dan bersedia untuk
menghadapi kerenah orang di sekeliling kita.

Agama Islam sendiri memberikan panduan yang jelas tentang tatacara hidup
berjiran. Dalam konteks ini, sebagai ahli masyarakat, kita perlulah memelihara
hubungan yang baik serta menghormati jiran kita. Hubungan yang erat dan akrab
dengan masyarakat sekeliling pastinya akan memberikan kesan yang positif dalam
usaha untuk melahirkan masyarakat Malaysia yang rukun dan damai. Perkara ini
disebut dalam firman Allah melalui Surah al-Nisa, ayat ke-36 yang bermaksud,
Dan, hendaklah kamu berbuat baik dengan kedua-dua ibu bapa, kaum kerabat,
anak-anak yatim, orang-orang miskin, jiran tetangga yang dekat, jiran tetangga
yang jauh, orang musafir yang terlantar dan juga hamba yang kamu miliki.
***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Mac 2016)

Posted in: Fokus0 Comments

MASALAH DOA TIDAK DIMAKBULKAN

admin on March 1st, 2016

Oleh Osman Afan

PADA keluaran kali ini, penulis ingin berkongsi dengan pembaca berkenaan dengan
doa. Kita akan berdoa pada setiap hari. Kadang-kadang kita berasa seolah-olah doa
itu tidak dimakbulkan. Adakah pernah timbul rasa kecewa dan putus asa kerana
apa-apa yang didoakan tidak pernah muncul dalam kehidupan?

Persoalannya, adakah doa itu benar-benar tidak dimakbulkan? Atau ada atau tidak
kemungkinan bahawa doa itu sebenarnya telah dimakbulkan, tetapi kita langsung
tidak menyedarinya? Mari kita fikirkan bersama-sama.

Beberapa tahun yang lalu, semasa penulis masih belajar, iaitu pada peringkat
Sarjana Pendidikan, Kaunseling dan Bimbingan di Universiti Islam Antarabangsa
Malaysia, seorang pensyarah mengajar penulis tentang satu perkara menarik
berkenaan dengan doa. Menurut pensyarah ini, apabila kita berdoa, ada ketikanya
doa kita itu dimakbulkan tanpa kita sedari.

Sebagai contoh, katakan kita berdoa untuk dikurniai akal yang bijak dan kebolehan
berfikir yang sangat cemerlang. Apabila kita berdoa untuk perkara ini, adakah tiba-
tiba sahaja otak menjadi bijak dan kita menjadi sangat hebat semasa berfikir?
Sudah tentu tidak, bukan?

Menurut pensyarah ini lagi, apabila kita berdoa untuk dikurniai akal yang bijak, apa-
apa yang berlaku ialah kita akan dihadapkan dengan masalah dan cabaran. Tanpa
kita faham akan sebabnya, kita mula berhadapan dengan masalah dan cabaran
yang tidak pernah dihadapi selama ini. Sebagai akibatnya, untuk membebaskan diri
daripada masalah dan cabaran itu, kita perlu berfikir dan berusaha dengan
bijaknya. Jika kita tidak mengarahkan otak bekerja untuk berfikir, sudah tentu kita
tidak akan berjaya melepaskan diri daripada belenggu masalah.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Mac 2016)

Menyemarakkan Bidang Kesenian Tanah Air

admin on February 17th, 2016

Oleh Samat Buang

SENI merupakan sesuatu yang bersifat abstrak, dapat dipandang, didengar dan
disentuh oleh jiwa, tetapi tidak dapat dinyatakan melalui kata-kata dan bahasa.
Malaysia tersohor dengan kepelbagaian seni dan budaya masyarakat majmuk.

Kekayaan aspek kesenian negara kita merupakan aset penting dalam


mempromosikan Malaysia ke mata dunia. Secara umum, seni termasuklah tarian,
muzik, drama, rentak dan irama, seni visual, dan fotografi. Penghayatan terhadap
seni, budaya dan warisan sentiasa diberi penekanan sebagai sebahagian daripada
agenda pembangunan negara. Dalam tempoh Rancangan Malaysia ke-11, pelbagai
program kebudayaan, kesenian dan warisan dilaksanakan bagi meningkatkan minat
orang ramai terhadap seni dan budaya negara. Dengan kata lain, usaha
menyemarakkan seni dan budaya negara perlu digiatkan bagi mengekalkan
warisan seni turun-temurun, sekali gus menjadi daya tarikan pelancong ke negara
kita.
Tarian dapat didefinisikan sebagai satu seni tari pergerakan badan, kaki dan tangan
mengikut rentak muzik yang dimainkan dan dipersembahkan oleh setiap kaum
mahupun etnik daripada asal usul mereka dengan tujuan tersendiri. Seni tari juga
merupakan gerakan terangkai berirama sebagai ungkapan jiwa atau ekspresi
manusia dan dalamnya terdapat unsur keindahan yang menggabungkan
pergerakan badan, irama, dan penghayatan. Tarian rakyat merujuk kepada sesuatu
seni tari yang telah diamalkan selama beberapa keturunan di sesuatu tempat oleh
orang kebanyakan.

Setiap negeri mempunyai keseniannya tersendiri. Sebagai contoh, tarian zapin yang
cukup sinonim dengan negeri Johor sentiasa diberi keutamaan oleh kerajaan negeri
bagi memastikan seni tersebut terus kekal untuk tatapan generasi muda hingga
kini. Bagi memastikan hasrat itu tercapai, kerajaan negeri memperuntukkan RM2
juta setahun bagi program pembangunan tarian zapin untuk memperkasakan seni
yang menjadi identiti negeri ini.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Februari 2016)

Posted in: Isu Semasa0 Comments

Dinamisme Sejarah-Memerlukan Sentuhan Perubahan Pemikiran

admin on February 16th, 2016

Oleh Mohd Amirul Akhbar Mohd Zulkifli

MENELUSURI aspek persejarahan adalah sesuatu yang menguja lagi mencabar


sifatnya. Hal ini disebabkan sejarah bukan hanya memaparkan tarikh, fakta, bukti
serta dokumentasi masa silam semata-mata. Perkara yang lebih utama ialah
sejarah memberikan persediaan kepada manusia bagi menghadapi segala
kemungkinan masa kini dan masa akan datang. Sejarah didasari oleh penemuan
bahan artifak, manuskrip serta keupayaan menjawab persoalan persejarahan yang
menjadi tanda tanya kepada banyak pihak. Keupayaan mempersembahkan sejarah
menerusi komunikasi yang efektif sifatnya, menyimpan serta menguruskan bahan
persejarahan serta daya interpretasi, mampu membawa kelompok masyarakat dan
institusi yang bernaung dalam sesebuah negara ke satu tahap yang lebih tinggi.
Aspek yang dimaksudkan itu melibatkan ilmu pengetahuan dan konservasi warisan
negara.

Persepsi umum yang melihat sejarah sebagai tidak sesuai dalam dunia moden dan
tidak lebih sebagai mata pelajaran pelengkap dalam sistem pelajaran merupakan
satu pandangan pesimistik. Nilai yang dibawa oleh sejarah itu sebenarnya lebih
besar dan tidak ternilai. Khususnya dalam peradaban manusia masa kini dan akan
datang. Kehidupan manusia itu sebenarnya merupakan satu sejarah yang memiliki
kronologinya, iaitu sejak saat kelahiran sehinggalah kepada saat kematian. Jika
kelompok manusia dihimpunkan, akan mewujudkan ketamadunan yang menjadi
petunjuk kepada kemajuan masa lampau. Hal ini dapat membantu manusia dalam
memahami perubahan kehidupan. Ketamadunan yang ditinggalkan dalam bentuk
komunikasi dan penulisan primitif, tulang belulang, reka bentuk bangunan dan arca,
serta lukisan dan bahan tinggalan lain, kini menghuni muzium, perpustakaan, galeri
dan arkib di seluruh dunia. Sistem ini membentuk kontur persejarahan dunia yang
tidak mungkin dirungkai penjelasan serta interpretasinya dalam satu tempoh waktu
yang singkat.

Proses perancangan, penyelidikan, pencarian, pengumpulan dan pengelasan bahan-


bahan persejarahan dan interpretasi terhadapnya sendiri bakal memakan masa.
Apatah lagi jika membabitkan peristiwa penting yang melakari sejarah perdaban
dunia selama beberapa abad. Umpamanya peristiwa yang menyaksikan permulaan
kepada sejarah peradaban manusia menerusi pengetahuan terhadap bidnag
pertanian yang dikatakan bermula sejak 10,000 SM. Selari dengan itu juga,
menyaksikan perkembangan tamadun manusia yang rata-ratanya berkembang
berhampiran dengan sumber air, iaitu melibatkan Nil, Tigris, Euphrates dan Indus.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Februari 2016)

Posted in: Isu Semasa0 Comments

Pengenalan Kapal Wap dan Pas Haji Semasa


admin on February 15th, 2016

Oleh Fauziah Abdullah, Arkib Negara Malaysia

SEMASA era pemerintahan kolonial British, kita dapat melihat bahawa usaha yang
aktif telah digerakkan oleh British untuk membantu orang-orang Melayu pada masa
dahulu untuk mengerjakan haji dengan lebih selesa. Usaha ini merupakan kesan
daripada kecaman dan rungutan orang-orang Melayu dan juga pegawai British di
Jeddah yang telah memaksa British bertindak bagi menjaga kewibawaan British.

British juga berusaha untuk memperkenalkan pelbagai undang-undang bagi


memberi keselesaan kepada orang Melayu ketika menunaikan haji berikutan
keadaan orang Melayu yang terpaksa berdepan dengan masalah seperti
kemudahan kapal dan juga kesukaran ketika dalam perjalanan untuk mengerjakan
haji.

Pengenalan kapal wap kepada orang Melayu untuk kemudahan mengerjakan haji
pada tahun 1860 dianggap langkah yang baik untuk memastikan tempoh pelayaran
haji ke Mekah mengambil masa yang lebih singkat berbanding menggunakan kapal
layar pada tahun-tahun sebelumnya. Penggunaan kapal wap dapat memendekkan
masa iaitu hanya tiga hingga empat minggu sahaja untuk belayar menuju ke Mekah
berbanding dengan kapal layar yang mengambil masa tiga hingga empat bulan.
Kemudahan ini telah mendapat sambutan yang baik dalam kalangan orang Melayu
untuk menunaikan haji.

Masalah masih timbul walaupun penggunaan kapal wap dijadikan pengangkutan


utama. Sekitar tahun 1860 hingga 1909 memperlihatkan penumpang kapal wap ini
masih lagi berasak dan penuh di dalam kapal. Keselesaan dan juga bekalan
makanan yang tidak mencukupi, selain tahap kesihatan penumpang juga menjadi
masalah bagi penumpang kapal haji. Keadaan ini telah mendorong pihak British
untuk campur tangan dalam hal urusan haji orang Melayu. Isu kematian yang ramai
dan juga sikap tamak pengurus kapal yang membawa penumpang melebihi had
yang dibenarkan telah diberi perhatian serius oleh pentadbiran British untuk
menyelesaikan masalah yang dihadapi dalam membantu memudahkan orang
Melayu mengerjakan haji dengan lebih selesa.
Antara isu yang hangat diperkatakan ialah kes kematian jemaah haji seramai 83
orang dalam sebuah pelayaran kapal yang membawa seramai 520 orang bakal haji.
Tindakan yang tegas tidak diambil oleh pihak berkuasa untuk menghukum pihak
yang bersalah pada masa itu. Hal ini telah mendorong British membincangkan isu
ini melalui surat-surat yang dihantar dari Singapura ke Benggal pada tahun 1849
untuk membincangkan soal ini.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Februari 2016)

Posted in: Arkib Negara0 Comments

VAPE: Ancaman Baharu Negara

admin on February 15th, 2016

Oleh Nusaibah Kaab

VAPE! Satu lagi budaya baharu yang semakin digilai rakyat Malaysia khususnya
golongan remaja. Fenomena ini semakin hari semakin rancak diperkatakan kerana
kebiasaannya hanya kaum Adam sahaja yang menghisapnya, tetapi kali ini kaum
Hawa turut terpalit dengan permasalahan ini.

Mengapakah penulis mengatakan fenomena ini sebagai masalah? Hal ini dikatakan
demikian kerana, Vape atau Personal Vaporizers atau E-Cig sama sahaja bahananya
seperti rokok, shisha atau ganja. Jika diamati dengan teliti, vape ini hanya popular
dan dikenali di tanah air sahaja. Malah dikatakan vape yang kebanyakan diimport
dari negara Tembok Besar ini tidak langsung mendapat tempat oleh penduduknya.

Persoalannya mengapakah hal ini boleh berlaku? Mengapakah berlakunya


pertembungan kata putus daripada Kementerian Kesihatan Malaysia yang
melabelkan vape sejenis rokok elektronik yang sama bahayanya dengan rokok biasa
manakala Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan
Malaysia bersetuju vape dikomersialkan?
Pada awal Disember yang lalu, sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan
Iskandar telah bertitah dengan mengharamkan penjualan vape di semua daerah
taklukannya. Hal ini merupakan satu langkah yang cukup baik. Pihak istana melihat
kesan budaya vape ini mampu merosakkan akhlak, sahsiah dan kehidupan
masyarakat khususnya remaja. Jika dilihat dari segi statistik, menunjukkan jumlah
perokok dan penggemar vape merupakan mereka yang berada dalam kelompok
remaja iaitu daripada usia 15 tahun hingga 25 tahun.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Februari 2016)

Posted in: Remaja Cemerlang0 Comments

Kalendar Merah dan Si Penenun Cinta

admin on February 15th, 2016

Oleh Mohd Helmi Ahmad

TIBA tahun monyet nanti, aku datang melamar engkau. Jangan pula masa itu
engkau menolak atau lari. Mengenangkan kata-kata Goh Leng itu ada berasa
lucunya. Lelaki Cina kacukan Bidayuh, Sarawak itu selalu menyakatku. Jadi kata-
katanya itu kuanggapkan sekadar gurauannya sahaja. Memang dalam kalendar
Qamari Cina terbahagi kepada kitaran 12 tahun dan dinamakan sempena nama
haiwan, antaranya tikus, lembu, harimau, arnab, naga, ular, kuda, kambing,
monyet, ayam, anjing dan khinzir. Lelaki yang pelat berbahasa Melayu itu sungguh
yakin akan melamarku sebagai isterinya.

Namun, peristiwa itu sudah lama berlalu. Maafkan aku, Goh Leng, aku bukannya
sengaja menghilangkan diri apatah lagi menjauhkan diri daripada engkau, tetapi
aku terpaksa lakukannya demi kebaikan kedua-dua belah pihak. Kita tidak mungkin
dapat disatukan. Perbezaannya melebihi persamaan yang bakal menyisih
persengketaan antara kita.

Kenapa engkau bawa balik perempuan Melayu ni? Aku yang baru sahaja hendak
melabuhkan punggung di sofa, tersentak. Kata-kata daripada papa Goh Leng itu
tercampak ke ruang tamu. Mataku mengiringi pergerakan turun papa Goh Leng dari
tangga yang menghubungkan tingkat atas dan bawah. Tangga kayu itu nampak
antik.

Saya nak memperkenalkan kepada papa dan mama. Perempuan yang berkaca
mata tebal itu mengiringi papa Goh Leng. Jadi, mama yang dirujuk oleh Goh Leng
itu barangkali perempuan itu. Lantas aku berkira-kira hendak bangun menuju ke
arah mama Goh Leng untuk bersalaman. Bukankah budaya Melayu itu selalu
berjabat salam untuk mengeratkan silaturahim?

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Februari 2016)

Posted in: Cerpen untuk Siswa0 Comments

Manusia Cyborg

admin on February 15th, 2016

Oleh Nor Azida Ishak

BAGAIMANAKAH rasanya menjadi manusia cyborg pertama dunia? Inilah yang


dialami oleh Profesor Kevin Warwick, seorang saintis British yang pakar dalam
bidang sibernetik, yakni kajian berkaitan dengan kawalan dan komunikasi pada
sistem elektronik yang kompleks, serta pada sistem saraf dan otak, khususnya
manusia. Saintis dari University of Reading di Britain ini sangat berminat dengan
dunia robotik sehingga menetapkan azam untuk meletakkan dirinya sebagai
manusia cyborg pertama dunia.
Pada tahun 1998, Profesor Warwick menjalankan fasa pertama untuk menjadikan
dirinya robot melalui sebuah eksperimen yang dinamakan Project Cyborg. Dia
menanam sebuah cip pemancar yang mempunyai frekuensi radio ke dalam kulit
tangannya. Cip tanpa wayar itu mengandungi transponder, iaitu alat yang berupaya
menerima isyarat dan memancarkannya semula pada frekuensi berbeza.
Menariknya, Profesor Warwick boleh menggunakan cip itu untuk membuka pintu,
menyalakan lampu, menghidupkan sistem pemanas serta tugas lain yang
berasaskan peranti komputer.

Bagi mengaplikasikan ciptaannya itu, Profesor Warwick menetapkan komputer di


bangunan pejabatnya untuk mengumpul maklumat dan melakukan tugas yang
diarahkan. Dengan itu, sebaik-baik sahaja dia menghampiri bangunan pejabatnya,
komputer akan mengesan kehadirannya dan menghantar arahan. Maka, secara
automatik pintu akan terbuka, lampu akan menyala, sistem pemanas atau
penyaman udara akan terpasang, dan sistem pembesar suara akan mengumumkan
selamat datang kepadanya.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Februari 2016)

Posted in: Misteri Dalam Sains0 Comments

REMAJA DAN KARYA PICISAN

admin on February 2nd, 2016

Oleh Zuridah Hanim Md. Akhir

KAU yang Demam Aku yang Panas, Suamiku Gangster Idaman, Suamiku Mr Four Flat
dan Kekasihmu bukan Kekasihku. Tajuk novel sebegini berkemungkinan akan
diterbitkan tidak lama lagi. Hal ini bukanlah sesuatu yang luar biasa, malah sudah
sinonim dalam kehidupan kita hari ini. Lambakan novel cinta dalam pasaran telah
berjaya menumbuhkan bibit kegilaan terhadap dunia buku.
Apakah yang dimaksudkan dengan karya picisan? Picisan bermaksud sesuatu yang
tidak berharga dan rendah mutunya. Dalam konteks perbincangan ini, bahan
picisan bolehlah ditakrifkan sebagai bahan bacaan yang rendah mutunya, tidak
memberikan sebarang faedah, tidak bersifat keilmuan dan lebih bertujuan untuk
memberikan hiburan semata-mata.

Perkembangan karya picisan di negara kita jelas memperlihatkan suntikan terhadap


fantasi sosial yang lebih mementingkan unsur materialisme berbanding dengan nilai
kemanusiaan dan kemasyarakatan yang biasa diangkat oleh karya penulis besar.
Penulis besar berjuang menerusi pena dengan mengangkat tema kemasyarakatan
yang hebat supaya khalayak pembacanya dapat berfikir, berbicara sehingga ada
karya ini berjaya mencetuskan anjakan pemikiran yang cukup hebat dalam
kalangan remaja.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Februari 2016)

Posted in: Fokus0 Comments

KEGILAAN YANG MENGHANCURKAN

admin on February 2nd, 2016

TIADA salahnya sesebuah karya picisan dihasilkan. Yang kurang manisnya hanya
jika hasil pembacaan karya tersebut memberikan impak kurang baik buat generasi
muda. Karya picisan kini dilihat mempunyai lebih banyak khalayak berbanding
dengan karya lain. Kegilaan kepada karya picisan ini dilihat melalui pencapaian
jualan tertinggi semasa pada setiap kali pesta buku diadakan. Ditambah pula
dengan fenomena kecenderungan pengkarya filem dan drama menghasilkan karya
adaptasi daripada karya popular, hal ini telah mencetuskan kegilaan yang luar
biasa, terutamanya kepada golongan remaja.
Karya persuratan, karya sastera, dan karya picisan sudah diterima kewujudannya
oleh sasterawan, sarjana, dan pengkritik sastera hari ini. Pernah juga penulis karya
picisan diangkat sebagai sasterawan setelah menghasilkan karya serius.

Hal yang berlaku dalam usaha menulis dan menerbitkan karya popular ini ialah
ketandusan idea bernas yang mendorong pembaca untuk berfikir. Berlandaskan
kepercayaan, pembaca tidak perlu dibebankan dengan idea yang berat dan
mengutamakan karya yang dapat menarik minat membaca daripada memberikan
idea yang membebankan pembaca sehingga lupus minat untuk membaca. Maka,
dari situlah penulis mula bercerita, bukan lagi mengarang.

Persoalannya, adakah kegilaan ini menjadi pengukur kepada momentum gerakan


minat membaca dalam kalangan remaja? Adakah wajar kegilaan ini diangkat
sebagai gerakan yang positif sedangkan bahan bacaan yang menjadi pilihan boleh
dikategorikan sebagai karya yang mampu mencetuskan krisis intelektual yang
kronik kepada golongan muda hari ini?

Dalam konteks ini, biarpun terdapat pandangan yang menyatakan karya picisan
bersifat ringan dan hiburan mampu mengatasi kelesuan budaya membaca dalam
kalangan remaja, namun pembacaan karya picisan secara berterusan bukanlah
perkembangan yang sihat. Hal ini dikatakan demikian kerana karya picisan hanya
sekadar berkisar kepada kisah percintaan lelaki kacak, gadis cantik, kehidupan
keluarga ternama, dan pelbagai aspek material lagi yang ternyata sekadar mampu
membawa remaja ke alam fantasi yang penuh dengan keseronokan. Tema dan
persoalan yang diangkat pula merupakan tema mudah yang pastinya tidak
mencabar minda. Plot cerita, yang jelas memaparkan corak kehidupan yang mewah
dan penuh kesenangan, akan memberikan racun kepada pemikiran para remaja hari
ini, seolah-olah segalanya mudah dan indah, sedangkan para remaja sepatutnya
membuat persiapan mental dan fizikal kerana banyak cabaran yang akan ditempuhi
apabila usia menginjak ke alam dewasa.

Sesebuah karya yang baik akan menjadi wadah pendidikan apabila wujudnya
komunikasi yang baik antara pengarang dengan pembacanya. Hasil karya sastera
bersifat bentuk. Sebagai bentuk, maka selayaknya karya tersebut memiliki
keteraturan dan pola serta berfungsi sebagai alat penghibur yang bermanfaat
kepada pembaca. Ketaasuban dalam mempromosikan karya picisan dalam pelbagai
bentuk media, secara tidak langsung, telah mengubah landskap pemikiran
masyarakat dalam menilai mutu sesebuah hasil karya sastera. Semua pihak perlu
saling bertanggungjawab untuk memilih bahan bacaan yang bermutu tinggi kepada
generasi remaja hari ini kerana bahan bacaan tersebut mampu memberikan nilai
tambah kepada pembentukan peribadi mereka. Pilihan kita hari ini akan
menentukan wajah budaya generasi akan datang.

Haziah Che Husin

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Februari 2016)

Posted in: Nota Editor0 Comments

Diari Dian

admin on February 2nd, 2016

Oleh Nur Izzati Che Ramli

TIDAK, aku tak mahu turun! bentak anak kecil itu. Dia sememangnya berkeras
untuk tidak turun dari pohon berembang tu. Entah mengapa anak sekecil itu berani
berbuat sedemikian, sememangnya menimbulkan kemusykilan orang kampung.

Berdekatan pohon itu juga sudah tibanya pembalak yang sudah lama menunggu
untuk mula menebang kawasan paya bakau itu. Namun begitu, semuanya
tergendala dek anak kecil itu tetap berdegil untuk tidak turun dan membantah agar
pohon itu tidak ditebang. Katanya pokok ibunya maka tidak seharusnya ditebang.
Astagfirullah, semua ini tidak akan terjadi jika Azhar tidak menjumpai diari Dian,
bisik Cikgu Suria kepada dirinya. Guru kelas Azhar seolah-olah mati akal untuk
membawa turun anak kecil itu dari atas pokok berembang yang cukup besar untuk
menampung anak kecil itu.

Tidak lama selepas itu, datuk Azhar sendiri yang datang setelah berita itu
disampaikan oleh penduduk kampung. Lelaki yang berusia lewat 60-an itu kelihatan
begitu cemas mendengar satu-satunya cucu kesayangannya menggegarkan orang
kampung dengan memprotes di atas pokok. Cikgu Suria yang menyedari kehadiran
ayah kepada arwah Dian, terus mendapatkannya. Cikgu Suria menyatakan bahawa
dialah yang sebenarnya yang memberitahu Azhar tentang lokasi pohon yang
menjadi tempat tinggal malaikat kecil. Terkesima hati tua Tok Su, sememangnya
cucunya itu merindui arwah ibunya dan rumah malaikat kecil itu menjadi sesuatu
yang sentimental buatnya. Tok Su terdiam mengenang kembali sebelum semua ini
terjadi.

Di perkarangan rumahnya, Tok Su duduk menghadap kanvas putih, dengan tenang


dia mengangkat tangannya yang memegang berus leper dan ditekankan ke atas
permukaan kain putih itu mencalitkan warna untuk membentuk suatu lakaran.
Dipilihnya warna terang termasuklah hijau dan kuning untuk memberi cahaya
kepada lukisannya.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Februari 2016)

Posted in: Cerpen daripada Siswa0 Comments

Masih Segar di Relung Ingatan

admin on February 2nd, 2016

Oleh Muzaf Ahmad


Penulis mula berkenalan dengan majalah Dewan Siswa sejak tahun 2007. Pada
ketika itu, penulis hanyalah seorang pembaca. Majalah Dewan Siswa banyak
diletakkan di perpustakaan sekolah. Di situlah minat untuk terus membaca majalah
Dewan Siswa berputik. Malah, majalah Dewan Siswa juga mudah didapati di
beberapa buah kedai di sekitar daerah tempat tinggal penulis. Penulis akan
membeli hampir setiap keluaran majalah ini.

Sekian lama, penulis hanya menjadi pembaca yang menikmati artikel dan karya-
karya yang disiarkan setiap keluaran. Lama-kelamaan, timbul hasrat untuk
menyumbangkan hasil penulisan penulis di majalah Dewan Siswa. Hal ini bermula
dengan niat penulis untuk cuba menghantar karya di majalah Dewan Siswa.

Masih segar di relung ingatan, puisi pertama penulis berjudul Penjaja di Kerinduan,
merupakan sebuah puisi yang ditulis ketika penulis berusia 16 tahun. Penulis begitu
teruja apabila puisi ini disiarkan di ruangan Puisi Daripada Siswa dalam majalah
Dewan Siswa. Puisi tersebut sebenarnya bertemakan perasaan duka seorang ibu
yang kehilangan anaknya kerana diculik. Namun, puisi tersebut begitu sukar
difahami kerana terdapat banyak kelemahan di dalamnya. Sejujurnya, setelah
hampir lebih tujuh tahun menulis, penulis boleh tergelak sendiri apabila membaca
semula karya pertama ini. Memang tidak dapat dinafikan, itulah kali pertama
penulis mula menulis dan menghantarnya ke penerbitan bercetak.

Ketika itu, ruangan Puisi Daripada Siswa dikelolakan oleh Faisal Tehrani, seorang
penulis yang tidak asing lagi dalam kesusasteraan tanah air. Beliau akan mengulas
dan memberi komen untuk setiap puisi yang disiarkan. Penulis masih mengingati
komen yang dititipkan oleh beliau dalam kolum itu. Kritikan beliau terhadap puisi
tersebut membuatkan penulis tersedar bahawa puisi sebenarnya bukanlah medan
kata-kata untuk penulis meluahkan perasaannya. Puisi yang baik ialah puisi yang
menyampaikan amanat dan membawa satu gagasan pemikiran yang besar untuk
manfaat pembaca.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Februari 2016)

Posted in: Isu Semasa, Khas


APA-APA, MANA-MANA, SIAPA-SIAPA

admin on January 6th, 2016

Oleh Munsi Dewan

APA, mana dan siapa ialah tiga kata ganti nama diri tanya (selepas ini kata tanya)
bahasa Melayu. Apa merujuk benda atau perkara, mana merujuk benda atau orang,
dan siapa merujuk orang. Kekadang ketiga-tiga perkataan ini boleh mengalami
proses penggandaan untuk membawa maksud sesuatu rujukan. Apa menjadi apa-
apa, mana menjadi mana-mana dan siapa menjadi siapa-siapa(sesiapa).

Semua kata tanya yang digandakan itu mempunyai satu persamaan antara
sesamanya. Kata tanya yang digandakan itu membawa erti bahawa dalam kalangan
objek yang dirujukkan oleh pengucap, tidak ada satu yang dikhususkan. Apabila
objek yang dirujuk itu bukan benda atau orang, maka apa-apalah yang digunakan.
Sebagai contoh, kita memberikan pilihan yang seluas-luasnya apabila kita berkata:

1. Ambillah apa-apa yang kamu suka.

2. Apa-apa sahaja yang melintas di hadapannya akan musnah.

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Januari 2016)

Posted in: Cintai Bahasa Kita0 Comments

KAMUS DEWAN Kendong Kendung

admin on January 6th, 2016


Oleh Munsyi Dewan

KENDONG dan kendung, dua perkataan yang hampir sebunyi (homofon). Perbezaan
bunyi kedua-duanya terletak pada kelainan huruf vokal yang menjadi penanda
sebutan suku kata akhir tertutup perkataan yang berkenaan, iaitu perbezaan bunyi
vokal u dengan vokal o, serta e taling dengan e pepet. Suku kata pertama
dan kedua perkataan kendong ditandai oleh vokal e taling dan vokal o,
manakala perkataan kendung pula bunyi suku katanya ditandai oleh huruf vokal e
pepet dan vokal u.

Menurut sistem keselarasan vokal bahasa Melayu, jika huruf vokal dalam suku kata
praakhir sesuatu perkataan itu vokal e taling, maka keselarasan vokal yang harus
terjadi ialah vokal dalam suku kata akhirnya iaitu vokal o. Contohnya perkataan
bengkok, lencong, serong, tekong, kelong, kelentong, telempong dan sebagainya.

Sebaliknya, jika suku kata praakhir sesuatu perkataan ditandai oleh vokal e pepet,
maka huruf vokal dalam suku kata akhirnya ialah vokal u. Contohnya bendung,
kendung, kembung, rentung, pekung, telekung dan seumpamanya.

Kedua-duanya (kendong dan kendung) juga daripada golongan kata yang berbeza,
iaitu perkataan kendong daripada golongan kata kerja manakala perkataan kendung
daripada golongan kata nama.

Apakah maksud kendong dan kendung? Kendong bererti membawa barang dengan
dibungkus di dalam kain sarung atau sapu tangan. Kata nama kendung ialah nama
sejenis pokok yang nama saintifiknya dikenal sebagai symplocos laurina. Kulit
batang pokok ini sungguh baik digunakan untuk menguatkan warna merah pada
kain supaya tahan lama warnanya.

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Januari 2016)


Posted in: Cintai Bahasa Kita0 Comments

Membenih Pemikiran Mengimbangi Perasaan

admin on January 6th, 2016

Oleh Mahaya Mohd. Yassin

Alhamdulillah, seorang daripada penulis muda yang kreatif dan beriltizam tinggi
baru-baru ini mencipta sejarah sastera tanah air. Muzaf Ahmad yang sering
berkarya di sini, terpilih sebagai seorang daripada lima orang pemenang utama
Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2014. Kumpulan puisi beliau Jaulah Sampai
Syurga memperoleh RM10,000.00.

Sesungguhnya, kejayaan ini berupaya menggugah kreativiti serta mencabar


semangat berdaya saing penulis muda yang lain.

Sajak-sajak untuk bulan pertama 2016 ini menampilkan mutu dan kreativiti yang
memberangsangkan. Penulis bijak menyaring episod yang dekat dengan diri
mereka, namun terbaik untuk menitipkan manfaat kepada pembaca.

Pengalaman peribadi diolah dalam puisi yang seni memang menggelodak perasaan,
namun tetap berimbang.

Sajak Dari Kota ke Desa mentafsirkan kehidupan ini kian penuh dengan
kerakusan. Di kota hingga ke desa manusia mementingkan keduniaan.

Kesimpulannya, penulis menitipkan fikiran waras agar kita tidak berputus harap
malah tetap optimis. Katanya;
Berdoalah agar tumbuh subur

benih-benih kesedaran

biar rendang membuahi telunjuk

santapan akhir zaman.

(Rencana dipetik daripada majalah Dewan Siswa Januari 2016)

Posted in: Ulasan Puisi0 Comments

Dalam Persaingan Ini

admin on January 6th, 2016

Oleh Aladin Mohamad

Dalam persaingan ini

pasti ada yang kecundang.

Yang mecundang
mestilah teruskan perjuangan

kemenangan pasti menjelang

masa-masa mendatang.

(Puisi ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Januari 2016)

Posted in: Puisi Khas0 Comments

Kertas Putih

admin on January 6th, 2016

Oleh Azril Yusof

Tika mata pena itu mula rapuh,

sutera dewangga mula bercorak,

simbahan dusta mula tempias.

Pena bulat,
pena runcing.

Tika kesungguhan dicantas dipintas,

kadang kekhusyukan ditampar disergah,

lalu ketabahan dinodai dipersendakan,

namun jiwa tetap utuh menyalut raga.

***

(Puisi ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Januari 2016)

Posted in: Puisi Khas0 Comments

Hargai Masa

admin on January 6th, 2016

Oleh Pena Mutiara

Cintai masa semasa belajar,

baru cita-cita dapat dikejar.


Manfaatkan masa ketika bekerja,

nanti berkat duit belanja.

Hargai masa semasa sihat,

sebelum sakit hendaklah ingat.

Manfaatkan masa sebelum susah,

banyakkan usaha dan amalan ibadah.

Hargai masa ketika senang,

gigih bekerja pagi petang.

***

(Puisi ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Januari 2016)

Posted in: Puisi Khas0 Comments

SEKOLAH SATU ALIRAN HARMONIKAN KAUM

admin on January 6th, 2016

Oleh Noor Azam Abdul Rahman


Menyatukan ahli masyarakat dari pelbagai kaum agar mampu mempunyai nilai,
cara hidup, budi dan rasa cinta pada negara yang sama adalah satu tugas yang
mencabar. Sebagai sebuah negara yang didiami oleh ahli masyarakat dari pelbagai
kaum, agama dan keturunan seperti Malaysia, amat memerlukan satu formula
hebat dan berkesan untuk melahirkan satu kumpulan ahli masyarakat yang
mempunyai rasa cinta yang tinggi kepada negara. Pihak yang berwajib seperti
kerajaan dan ahli masyarakat keseluruhannya perlu mempunyai satu rangka dasar
yang jelas bagi merealisasikan hasrat menyatukan masyarakat pelbagai kaum di
Malaysia.

Salah satu cadangan yang sering diutarakan oleh pelbagai pihak adalah dengan
mewujudkan sekolah satu aliran. Institusi pendidikan seperti sekolah dilihat sebagai
salah satu tempat yang berkesan bagi semua pihak untuk memupuk nilai
patriotisme kepada para pelajar. Para pelajar dari peringkat usia muda mampu
diberi tunjuk ajar yang baik tentang nilai hidup kebersamaan dalam sebuah negara
majmuk.

Ahli akademik seperti Prof. Dato Dr. Teo Kok Seong dari Universiti Kebangsaan
Malaysia misalnya merupakan salah seorang yang sering mencadangkan melalui
tulisannya di surat khabar dan majalah berkaitan kepentingan sekolah satu aliran.
Beliau tanpa jemu berkali-kali mencadangkan agar sistem pendidikan di Malaysia
diseragamkan dalam erti kata yang sebenar. Iaitu satu konsep pendidikan yang
menggunakan bahasa pengantar, bahan pengajaran, sukatan mata pelajaran dan
teknik pengajaran yang sama di semua sekolah di Malaysia. Konsep sekolah satu
aliran perlu diterapkan kepada semua sekolah peringkat rendah dan menengah di
Malaysia.

Satu-satunya tempat yang berupaya menerapkan pelbagai nilai positif kepada


kumpulan sasaran ini ialah sekolah. Pada usia yang muda, pelajar akan lebih
memahami nilai terbaik yang perlu ada dalam sanubari masing-masing terutama
berkaitan perbezaan nilai yang terdapat dalam masyarakat pelbagai kaum di
Malaysia.

Selaras dengan matlamat asas pendidikan di Malaysia yang dinyatakan melalui


Falsafah Pendidikan Kebangsaan bahawa sistem pendidikan di Malaysia
bermatlamat untuk melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan,
berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai
kesejahteraan diri, serta memberikan sumbangan terhadap keharmonian dan
kemakmuran masyarakat dan negara. Hal ini jelas menunjukkan bahawa sistem
pendidikan kita telah mempunyai hal tuju yang betul dalam proses pembentukan
masyarakat yang bersatu padu dan hidup secara harmoni. Perlaksanaan sistem
ppendidikan yang diguna pakai sejak awal kemerdekaan hingga kini telah berjaya
membentuk masyarakat Malaysia yang bersatu padu.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Januari 2016)

Posted in: Fokus0 Comments

Kawah Ijen-Gunung Berapi Biru

admin on January 6th, 2016

Oleh Nor Azida Ishak

Di perbatasan antara Kabupaten Banyuwangi dan Kabupaten Bondowoso di Pulau


Jawa Timur Indonesia, terdapat sebuah gunung berapi aktif yang sangat unik iaitu
Gunung Ijen. Gunung ini berketinggian 2,443 meter dan pernah meletus beberapa
kali, kali terakhir pada tahun 1999. Salah satu fenomena alam yang paling terkenal
di Gunung Ijen ialah kawah yang terletak di puncaknya. Kawah ini diberi nama
Kawah Ijen, mempunyai kedalaman danau 200 meter dan merupakan danau
terbesar di Pulau Jawa.

Kawah Ijen juga dikenali sebagai tempat takungan air terbesar di dunia yang
mengandungi asid hidroklorik. Asid hidroklorik ini terhasil daripada tindak balas gas
hidrogen klorida yang datang dari gunung berapi itu bersama-sama molekul air di
dalam danau ini. Kandungan asid hidroklorik menjadikan air Kawah Ijen itu
berwarna hijau firus dan mempunyai kepekatan asid hidroklorik yang sangat tinggi,
iaitu pada pH menghampiri 0.

Kawah Ijen mempunyai keistimewaannya tersendiri kerana berlakunya fenomena


api biru pada waktu malam setiap hari. Cahaya biru ini dapat dilihat mengalir keluar
dari Gunung Ijen, sehingga ramai yang membuat tanggapan bahawa cahaya ini
datangnya daripada lahar (lumpur panas yang mengalir keluar) dari gunung itu.
Namun anggapan ini tidak benar kerana lahar atau leburan batuan dari Gunung Ijen
tidak berbeza warnanya dengan lahar dari gunung berapi lain. Kesemua lahar akan
mempunyai kandungan mineral yang berbeza, tetapi warnanya tetap merah terang
atau jingga dalam keadaan lebur, dan ini juga berlaku terhadap Gunung Ijen.

Saintis mendapati bahawa fenomena api biru itu terhasil akibat pembakarangas
sulfur di sekitar Kawah Ijen. Cahaya biru di kawasan gunung berapi sangat sukar
untuk berlaku, tetapi fenomena ini berlaku di Kawah Ijen disebabkan kuantiti gas
sulfur yang luar biasa banyaknya. Kehadiran molekul oksigen dalam udara berserta
dengan cucuhan api dari lahar panas itu, membuatkan sulfur ini membakar dengan
sempurna untuk menghasilkan api berwarna biru.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Januari 2016)

Posted in: Misteri Dalam Sains0 Comments

Perangi Sikap Individualistik

admin on January 6th, 2016

Oleh Farah Alia Suraya Azman

Proses mendidik sikap manusia dengan moral yang baik bermula dari kanak-kanak
lagi. Pendidikan yang seimbang antara dunia dan akhirat iaitu pengisian rohani,
jasmani, emosi dan intelek. Seluruh tindak-tanduk mereka pasti memberi impak,
sama ada positif atau negatif terhadap kehidupan manusia lainnya.

Bagaimanapun, untuk menjadi insan yang bertanggungjawab kepada masyarakat


dan negaranya kian terhakis akibat sikap individualistik dan kebendaan banyak
peristiwa besar melanda negara boleh dijadikan iktibar. Kerakusan sebahagian kita
terlalu mengejar harta, pangkat dan kedudukan menyebabkan nilai-nilai
kemanusiaan sudah tidak bererti malah kebobrokan iman telah melanda umat Islam
pada masa kini.

Tragedi melanda negara contohnya tragedi banjir lumpur yang melanda tanah
tinggi Cameron Highlands. Peneroka-peneroka haram sesuka hati meneroka tanah
untuk pertanian tanpa mengambil kira faktor keselamatan penghuni di sekitarnya.
Tragedi ini berlaku kerana pihak penguat kuasa tidak bertugas malah bersekongkol
asalkan mendapat keuntungan lumayan. Hal ini telah memusnahkan pasak-pasak
bumi yang selama ini menjadi benteng penduduk daripada sebarang bencana.
Sikap individualistik jelas tergambar hingga mengorbankan nyawa manusia lain
selain merugikan masa depan generasi akan datang.

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Januari 2016)

Posted in: Cetusan Pendapat0 Comments

Kemaslahatan Internet

admin on January 6th, 2016

Oleh Khalida Khalid

Umum mengetahui kemudahan internet meraih sambutan hangat daripada


masyarakat di seantero dunia. Kenyataan ini diperkukuh lagi apabila terdapat 42
juta pengguna internet di Asia dan angka itu dijangka terus meningkat, malahan
kemudahan tersebut dianggap antara penemuan paling agung dalam abad ini.
Dalam pada itu, kemaraan dunia teknologi internet ini telah meninggalkan impak
yang major kepada masyarakat sejagat tidak kira dari sudut pandangan negatif
mahupun positif. Kelazimannya, generasi Y yang mempunyai mentaliti yang masih
mentah itu sayogianya mengambil impak bersudut positif sahaja. Tetapi sejauh
manakah penggunaan prasarana ini memberi manfaat kepada penggunanya? Tepuk
dada tanya selera.
Internet merupakan faktor perdana untuk mewujudkan masyarakat berilmu. Selain
itu, penggunaan internet yang pantas dan cepat juga menjadikan prasarana ini
pilihan masyarakt untuk menjengah maklumat terkini secara global dengan
menggunakan hujung jari sahaja. Hal ini demikian mendorong masyarakat
menggunakan internet secara tunjang utama bagi mengintensifkan inisiatif untuk
mempromosikan perniagaan mereka. Melalui internet ungkapan bagaikan kata di
bawah tempurung tidak lagi relevan digunakan sebagai alasan bagi
menggambarkan masyarakat yang kurang berilmu. Jelaslah internet merupakan
faktor perdana untuk mewujudkan masyarakat berilmu, seperti ungkapan Plato
yang berbunyi arah bermulanya pendidikan seseorang akan menjadi penentu
masa hadapannya.

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Januari 2016)

Posted in: Cetusan Pendapat

Anda mungkin juga menyukai