Anda di halaman 1dari 15

ISU ROKOK

Aktiviti 1 : Perbincangan kumpulan

Masa : 20-30 menit

Peralatan : Kertas majhong, marker pen

Objektif program :

Di akhir aktiviti ini pelajar akan dapat:-

- mendefinisikan pengertian masalah atau kegiatan merokok.


- menyatakan punca-punca dan kesan-kesan dari kegiatan tersebut.
- menerangkan langkah atau cara-cara mengatasi kegiatan merokok.

Nilai / rasional aktiviti :

- Menggalakkan peserta berkongsi idea melalui pengetahuan sedia ada


(konstruktivisme). Melalui perkongsian ini, maka ruang lingkup pemikiran peserta
akan lebih luas.

Langkah-langkah :-

1. Para pelajar dipecahkan kepada tiga kumpulan


2. Pegawai psikologi akan memberikan soalan perbincangan untuk setiap
kumpulan
3. Kumpulan yang pertama akan membincangkan mengenai kesan kegiatan
daripada kegiatan merokok. Manakala kumpulan kedua akan membincangkan
mengenai langkah-langkah mengatasi kegiatan merokok dan kumpulan ketiga
pula akan membincangkan tentang punca kegiatan merokok
4. Setiap kumpulan diberi masa selama 10-20 minit (bergantung kepada keadaan)
untuk membuat perbincangan dalam kumpulan mereka.
5. Setelah selesai, pegawai psikologi akan mengarahkan seorang wakil dari setiap
kumpulan untuk membentangkan hasil kerja perbincangan yang mereka telah
lakukan kepada kumpulan yang lain.
DEFINISI MEROKOK

Isu rokok dan merokok sebenarnya merupakan masalah global yang dihadapi oleh
masyarakat dunia sejak beberapa tahun yang lalu sehinggalah ke hari ini. Masalah
tabiat merokok ini merupakan satu perkara yang amat sukar untuk di atasi, walaupun
pelbagai peraturan dan undang-undang telah diperkenalkan bagi menyekat tabiat ini.
Ramai orang menyedari akan bahayanya merokok. Di kotak-kotak rokok pun telah
dibuat amaran dan ingatan betapa bahayanya merokok itu tetapi bilangan perokok
terus saja bertambah yang melibatkan berbagai-bagai lapisan masyarakat terutama
golongan remaja termasuklah pelajar.

Rokok diperbuat daripada sejenis daun tembakau yang mengandungi bahan nikotin, tar
(candu) dan karbon monoksida. Ketiga-tiga bahan ini amat merbahaya kepada
kesihatan tubuh badan. Kita dapat melihat orang merokok di merata tempat sama ada
di kampung, bandar dan sebagainya. Masyarakat atau perokok menjadikan kelakuan
merokok sebagai satu cara hidup mereka.
Bahan Toksik Dalam Asap Rokok

Terdapat beribu-ribu jenis bahan kimia beracun di dalam asap rokok. Di bawah hanya
beberapa bahan-bahan dan di mana ia kerap dijumpai.

Bahan kimia dalam rokok Sumber bahan kimia

Metanol Bahan Api

Nitrobenzena Gasolin

Karbon Monoksida Asap kereta

Butana Cecair pemetik api

Raksa Logam dalam jangka suhu

Vinil Klorida Bahan utama plastik

Toulena Pelarut industri

Ammonia Pencuci lantai

Arsenik Racun tikus

Kadmium Bahan utama bateri alkali

Stearik Bahan utama dalam lilin

Sianida Racun berbisa


KESAN DARIPADA KEGIATAN MEROKOK

Pelbagai pendapat membuktikan bahawa rokok itu membahayakan kesihatan manusia.


Setiap batang rokok yang dinyalakan akan mengeluarkan lebih 4 000 bahan kimia
beracun yang membahayakan dan boleh membawa maut. Di antara kandungan asap
rokok termasuklah bahan radioaktif (polonium-201) dan bahan-bahan yang digunakan
di dalam cat (acetone), pencuci lantai (ammonia), ubat gegat (naphthalene), racun
serangga (DDT), racun anai-anai (arsenic), gas beracun (hydrogen cyanide) yang
digunakan di kamar gas maut bagi pesalah yang menjalani hukuman mati, dan
banyak lagi. Walau bagaimanapun, racun paling penting atau yang paling merbahaya
adalah Tar, Nikotin dan Karbon Monoksida.

Tar mengandungi sekurang-kurangnya 43 bahan kimia yang diketahui menjadi


penyebab kanser (karsinogen). Nikotin pula seperti dadah heroin, amfetamin dan
kokain yang bertindak balas di dalam otak dan mempunyai kesan kepada sistem
mesolimbik yang menjadi punca utama penagihan. Sindrom ketagihan terhadap nikotin
yang ditunjukkan dengan gejala gian, tolerans dan tarikan, adalah mungkin lebih hebat
berbanding dadah. Seseorang yang kehabisan rokok kadangkala berkelakuan seperti
mengalami gangguan akal dan dalam keadaan yang amat tertekan sekali. Oleh itu
terlalu sukar untuk sesiapa yang ketagihan dengan merokok meninggalkan tabiat itu
untuk selamanya kecuali dengan ikhtiar yang serius dan kehendak Allah jua. Selain
memberi sifat ketagihan bahan nikotin turut menjadi punca utama risiko serangan
penyakit jantung, strok, urat saraf, mengecutkan saluran darah yang menyebabkan
tekanan tinggi darah, simptom kebas kaki, jari, migrain, sakit kepala, pedih ulu hati dan
kekejangan otot.

Karbon Monoksida pula adalah gas beracun yang biasanya dikeluarkan oleh ekzos
kenderaan. Gas ini menjejaskan bekalkan oksigen ke tisu-tisu hingga ia menjadi
terencat dan akhirnya boleh menyebabkan maut sekiranya paras karbon monoksida di
dalam badan melebihi 60%. Apabila racun rokok itu memasuki tubuh manusia ataupun
haiwan, ia akan membawa kerosakkan pada setiap organ disepanjang laluannya, iaitu
bermula dari hidung, mulut, tekak, saluran pernafasan, paru-paru, saluran
penghadaman, saluran darah, jantung, organ pembiakan, sehinggalah ke saluran
kencing dan pundi kencing, iaitu apabila sebahagian dari racun-racun itu dikeluarkan
dari badan. Oleh itu, karbon monoksida boleh mengakibatkan sakit jantung, barah paru-
paru, sakit tenggorok dan kembang paru-paru.

Racun rokok akan disaring dalam buah pinggang dan dihapuskan dari badan melalui air
kencing. Dalam proses ini pula, berlaku satu lagi keracunan hasil penguraian kimia
asap rokok yang turut merosakkan buah pinggang. Racun dalam air kencing juga
menyebabkan kerosakan pundi kencing. Racun akibat merokok juga mempunyai kesan
tindak balas terhadap ubat-ubatan yang ditelan. Secara umum diketahui merokok boleh
menjejaskan fungsi beberapa kumpulan enzim di hati dan ada kalanya ia boleh
memperhebatkan kesan sampingan sesuatu ubat itu. Merokok juga membolehkan
seseorang lelaki itu mati pucuk.

Asap rokok yang dihidu oleh perokok atau mereka yang berada di sekelilingnya juga
membahayakan kerana ia akan memasuki rongga mulut dan hidung melalui
kerongkong ke paru-paru. Kandungan asap rokok akan menyebabkan kerosakan tisu di
sepanjang perjalanan di ruang ini. Ia boleh menyebabkan pelbagai penyakit di mulut,
kerongkong, paru-paru dan barah. Asap akan melalui saluran pernafasan ke dalam
paru-paru dan merosakkan saluran bronkus, menyebabkan bronkitis, penyakit di
bahagian paru paru. Ia juga akan merosakkan pundi udara dalam paru-paru (alveoli)
dan menyebabkan penyakit emfisima. Asap rokok yang dihidu juga akan melalui
saluran penghadaman dan pencernaan dan ini boleh menyebabkan pelbagai penyakit
di bahagian esofagus, perut dan pankreas.

Kesan asap rokok terhadap ibu mengandung pula ialah seperti melahirkan bayi yang
kurang berat badan, melahirkan bayi yang tidak cukup bulan, ibu itu lebih terdedah
kepada kanser, mengurangkan kesuburan dan putus haid awal. Manakala kesannya
terhadap anak yang masih kecil ialah anak itu lebih mudah mendapat lelah, mendapat
jangkitan paru-paru, pertumbuhan paru-paru kanak-kanak terganggu dan mudah
menjadi perokok apabila dewasa kelak.

Harga rokok sekarang semakin mahal dan seseorang itu sanggup mengeluarkan wang
yang banyak hanya untuk membeli rokok yang tidak mendatangkan nilai. Ini bermakna
seseorang itu akan membazirkan wangnya seperti pelajar membelanjakan wang
perbelanjaan sekolah yang diberikan oleh ibu bapanya untuk membeli rokok,
sedangkan wang itu untuk perbelanjaannya membeli makanan di sekolah.

Merokok dikalangan wanita sebenarnya memberikan kesan yang teramat buruk


dikalangan wanita. Perokok wanita mempunyai kadar lebih tinggi untuk dijangkiti kanser
paru-paru, payu dara, barah rahim, servik dan kolon serta kadar kesuburan 30 peratus
lebih rendah berbanding wanita yang tidak merokok. Bagi wanita yang merokok pula
rook itu akan merosakkan kulit mereka yang halus bukan seperti yang mereka
harapkan iaitu mengurangkan berat badan mereka.

Bagi ibu mengandung yang merokok akan menyebabkan berat bayi kemungkinannya
tiga kali lebih rendah daripada bayi normal dan lebih tinggi risiko mendapat penyakit
serta kematian pada tahun pertama kehidupan. Kualiti susu badan juga berkurangan
jika bakal-bakal ibu itu mula merokok semasa bayi dalam kandungan. Selain itu, juga
boleh menyebabkan mereka keguguran.

Ukuran sebatang rokok yang dihisap ialah 0.5 cm dan jika 20 batang yang dihisap
sehari akan bersamaan panjang satu meter. Jika seorang perokok itu merokok lebih
banyak dan terlalu berat, semakin panjang batang rokok yang mereka ambil, maka
semakin pendek umur mereka akibat penyakit yang diundang. Berbanding dengan
mereka yang tidak merokok akan lebih panjang umur mereka.

Oleh itu, dari bahaya rokok atau bahan-bahan dalam rokok itu dapat meninggalkan
kesan yang buruk kepada pengamal tabiat merokok itu seperti yang dinyatakan di atas
pelbagai jenis penyakit yang boleh dihidapi oleh perokok. Antara jenis penyakit itu ialah
janutng, barah paru-paru, barah rahim, mati pucuk dan sebagainya. selain itu, rokok itu
juga membahayakan kepada ibu mengandung kerana bayi yang dilahirkan akan
mendapat lelah, berat badannya lebih rendah dari bayi yang normal dan
berkemungkinan mendapat penyakit, mati pada tahun pertama kehidupannya dan
sebagainya.
LANGKAH-LANGKAH MENGATASI MASALAH MEROKOK

Walaupun pelbagai penyakit atau bahaya rokok itu telah didedahkan kepada mereka
yang merokok atau masyarakat umum tetapi gambaran itu masih tidak cukup untuk
menakutkan seorang perokok untuk mengurangkan jauh sekali meninggalkan tabiat
berbahaya tersebut. Mereka tidak pernah takut dengan ancaman itu, malah langsung
tidak menghiraukan sebarang risiko yang akan mereka hadapi untuk jangka masa
panjang. Oleh yang demikian, pihak-pihak tertentu terpaksa berusaha lebih gigih untuk
mengurangkan atau mengelakkan masyarakat terutama golongan remaja termasuklah
pelajar supaya berhenti merokok.

Antara langkah-langkah yang telah dilaksanakan ialah:-

1. Kempen
Pelbagai kempen dijalankan untuk mengatasi masalah merokok baik oleh kerajaan
mahupun pihak persendirian. Misalnya, kerajaan telah mengadakan kempen anti
merokok melalui pelbagai cara seperti iklan-iklan yang ditayangkan di dalam
televisyen, radio, poster-poster mahupun ceramah yang sering diadakan di sekolah
mahupun di pejabat dan sebagainya.

2. Ceramah
Dalam ceramah mahupun iklan itu hendaklah dinyatakan tentang bahayanya
merokok, kesan merokok serta dinyatakan faedah orang yang tidak merokok atau
berhenti merokok seperti hidup lebih lama, dapat menghindari racun yang
terkandung dalam rokok, dapat melindungi diri, keluarga dan orang lain daripada
bahaya merokok, menjadi teladan yang baik kepada anak-anak, dapat
meningkatkan kecergasan serta memiliki tubuh yang sihat, meningkatkan deria rasa
dan bau, gigi lebih putih dan nafas lebih segar dan dapat mengelakkan budaya
membazir dengan menggunakan wang untuk membeli rokok kepada tujuan yang
lebih baik dan bermanfaat.
3. Kuat semangat dan berdisiplin
Seseorang itu mestilah kuat semangat dan mendisiplinkan diri untuk berhenti
merokok seperti tetapkan tarikh untuk berhenti merokok, yakinkan diri, buat nota
peringatan, katakan pada diri anda, Aku bukan perokok, tumpukan pada hari ini
jangan dulu fikirkan hari seterusnya, sentiasa berfikiran positif, dapatkan sokongan
daripada orang sekeliling seperti rakan sebaya, ibu bapa atau keluarga, lawan
keinginan atau perasaan untuk merokok dan gunakan Terapi atau rawatan yang
sesuai.

4. Berpuasa
Amalan berpuasa dari pandangan Islam ialah untuk mengawal nafsu dari melakukan
maksiat. Apabila berpuasa seseorang itu tidak dapat merokok sekurang-kurangnya
13 jam iaitu dari subuh hingga ke waktu maghrib. Walaupun masih berpelung untuk
merokok pada waktu malam jika selalu berpuasa, seseorang itu tidak hanya dapat
menghentikan tabiat merokok tetapi kita juga dapat beribadah ke jalan Allah.

5. Hadiah atau habuan


Seseorang itu hendaklah beri hadiah atau habuan kepada diri sendiri sekiranya dia
tidak lagi merokok. Ini untuk mendapatkan kepuasan hasil dari pemberhentiannya
merokok.

6. Bersukan atau aktiviti berfaedah


Selain itu, individu yang aktif bersukan selalunya menitik beratkan kesihatan tubuh
badan dan menghindari tabiat yang boleh merosakkan diri mereka seperti merokok.
Pilih aktiviti sukan yang sihat dan lakukan dengan berkumpulan untuk menambah
keseronokan dan motivasi diri. Oleh itu, perokok hendaklah melakukan aktiviti sukan
ini kerana ia dapat menghindarkan dirinya dari tabiat merokok.

7. Sertai program sukarela


Sertai program-program sukarela seperti di hospital dan persatuan kebajikan untuk
melupakan tabiat merokok ini sambil mengambil iktibar dan bersyukur dengan
kesihatan diri kita. Jika seseorang itu sibuk dengan aktiviti atau kerja yang
dilakukannya, dia akan lupa untuk menghisap rokok kerana tidak ada masa untuk
menghisap rokok. Bagi ibu yang mengandung pula hendaklah didedahkan kepada
iklan-iklan tentang pentingnya menjaga bayi yang dikandungnya dan dedahkan
perkara-perkara yang boleh memudaratkan keadaan bayinya mahupun kesiahtan
dirinya sendiri.

8. Pelajar dikenakan denda


Manakala, bagi pelajar di sekolah pula hendaklah dikenakan dendaan yang setimpal
kepada mereka yang didapati merokok seperti pelajar yang merokok itu akan
diadukan kepada pihak polis dan pihak polis akan mendenda mereka. Ini adalah
kerana pihak polis bekerjasama dengan pihak sekolah untuk menangani masalah
disiplin pelajar. Ibu bapa juga akan dipanggil untuk memberitahu perihal anak
mereka yang merokok. Pelajar yang merokok itu juga akan dirujuk kepada guru
kaunseling untuk menanyakan kenapa dia merokok.

9. Kuatkuasa undang-undang
Di negara Brunei Darussalam, kerajaan telah pun menetapkan undang-undang iaitu
tidak membenarkan sesiapa saja untuk merokok di kawasan-kawasan tertentu
seperti dalam panggung wayang, rumah sakit, sekolah, pejabat dan di kawasan
awam yang tertentu. Denda akan dikenakan kepada sesiapa saja yang melanggar
undang-undang tersebut. Penjual rokok di kedai juga tidak menjual rokok kepada
remaja yang berumur di bawah lapan belas tahun. Sesiapa yang didapati berumur di
bawah lapan belas tahun akan dikenakan denda yang setimpal. Pihak-pihak yang
berkenaan juga diharap akan dapat bekerjasama dalam membanteras tabiat
merokok ini, dengan tidak menjual kepada pembeli yang di bawah umur dan jangan
hanya memikirkan keuntungan saja.
PUNCA KEGIATAN MEROKOK

Kegiatan merokok ini sering berlaku kepada masyarakat yang tidak mengendahkan
tentang bahayanya merokok, bukan saja golongan lelaki malahan juga golongan wanita
juga ada yang sudah pandai berjinak-jinak dengan tabiat merokok ini. Terdapat
pelbagai punca atau faktor seseorang itu menghisap rokok antaranya,

1. Kurang ikatan kekeluargaan


Beberapa kajian telah dibuat dan mendapati bahawa peranan keluarga amat penting
dalam mendidik anak-anak mereka supaya tidak terjerumus dalam masalah sosial
yang sering berlaku pada anak remaja sekarang ini. Ikatan kekeluargaan yang ada
sekarang ini semakin berkurangan kerana ibu bapa tidak memberikan sepenuh
perhatian kepada anak mereka kerana mereka sering saja sibuk dengan pekerjaan
masing-masing. Hal ini menyebabkan anak-anak merasa bosan dan kurang kasih
sayang daripada ibu bapa sehingga anak-anak mereka menjadi penghisap rokok
kerana tidak seorang pun yang melarang perbuatannya itu.

2. Terlalu bebas
Punca seterusnya, tingkah laku anak-anak mereka, terutama yang telah mencapai
umur belasan tahun sekarang ini, seolah-olah di luar kekuasaan ibu bapa. Anak-
anak remaja terlalu diberi kebebasan oleh ibu bapa atau penjaga untuk melakukan
setiap aktiviti. Jadi anak tersebut melakukan sesuatu tanpa pengetahuan dan
larangan ibu bapa.

3. Ibu bapa menghisap rokok


Selain itu, ada ibu bapa yang menghisap rokok di depan anak-anak mereka. Ini
bukan saja menunjukkan contoh yang kurang baik, malah mengajar dan
menggalakkan anak-anak mereka supaya berbuat perbuatan yang sedemikian
kerana ibu bapa mereka juga melakukan hal yang sama.
4. Pergaulan dan pengaruh rakan-rakan
Pengaruh dan pergaulan dengan kawan-kawan yang merokok juga merupakan
faktor penggalak bagi remaja untuk menghisap rokok kerana jika mereka tidak
merokok, mereka akan disisihkan dan dianggap tidak berani.

5. Ingin mencuba dan berseronok


Mereka juga terdorong oleh perasaan ingin mencuba bagaimana rasanya rokok itu
kerana golongan remaja sinonim dengan sikap mereka yang ingin mencuba sesuatu
yang baru. Bagi remaja khususnya lelaki menganggap dengan merokok dapat
menunjukkan kedewasaan atau kematangan mereka sebab itulah mereka merasa
bangga apabila menghisap rokok. Ada juga remaja lelaki yang beranggapan mereka
merokok sekadar untuk berseronok saja tanpa memikirkan kesan buruk akibat tabiat
merokok. Manakala lelaki dewasa merokok kerana sifat ketagihan mereka sehingga
ada yang berpendapat rokok sahabat atau kekasih kedua mereka.

6. Rokok mudah diperolehi


Ada juga berpendapat rokok mudah dibeli disebabkan itu remaja mula dan
meneruskan tabiat merokok setiap hari dan juga rokok itu mudah diperolehi dari
rakan-rakan yang merokok.

7. Tertekan
Tabiat merokok ini juga berlaku apabila merasa tertekan dengan kerja dipejabat
atau sekolah, mengantuk dan apabila tiada keyakinan diri terhadap sesuatu perkara.

8. Pengaruh media massa dan golongan berpengaruh


Selain itu, pengaruh daripada media massa juga memainkan peranan yang penting
seperti disiarkan iklan orang merokok dan sebagainya kerana golongan remaja ini
mudah terikut-ikut dengan budaya yang diperlihatkan kepada mereka. Golongan
berpengaruh seperti ahli politik, artis, doktor dan termasuk pemimpin agama yang
merokok memberikan teladan yang negatif kepada masyarakat, ini menyebabkan
golongan remaja semakin rancak atau tanpa segan silu menghisap rokok di tempat-
tempat awam.
9. Galakan penjual rokok
Langkah penguatkuasaan oleh pihak kerajaan terhadap larangan menjual rokok
kepada remaja bawah 18 tahun adalah lemah atau gagal kerana penjual rokok
hanya ingin mengaut keuntungan dalam perniagaan, oleh itu akibat buruk dari
perbuatan remaja menghisap rokok tidak dihiraukan. Ini menunjukkan penjual
seolah-olah memberi galakan kepad perokok untuk merokok dengan lebih giat lagi.
Walaupun penjual tahu pembeli itu di bawah umur tetapi tetap juga dijual kepada
pembeli tersebut tanpa menghiraukan larangan kerajaan tentang larangan menjual
rokok kepada remaja bawah 18 tahun.

10. Memberontak atau marah


Ada juga remaja atau pelajar yang memberontak seperti marah atau tidak puas hati
terhadap guru dan sebagainya akan menghisap rokok kerana bagi mereka rokok itu
dapat menghilangkan tekanan.

11. Mengurangkan berat badan


Manakala, bagi golongan remaja wanita merokok dapat mengurangkan berat badan
bagi yang mementingkan penampilan mereka. Oleh yang demikian, mereka percaya
bahawa merokok dapat mengurangkan berat badan mereka. Hal ini disebabkan bagi
mereka merokok dapat mengawal selera makan jadi bentuk dan berat badan
mereka dapat dikekalkan. Selain itu, golongan wanita hari ini mahu
memperjuangkan persamaan taraf. Ini bermakna mereka mahu meletakkan diri
mereka setaraf dengan lelaki. Mereka percaya dengan merokok, taraf mereka sama
dengan golongan lelaki. Menjadi kebanggaan golongan wanita jika mereka dapat
melakukan apa saja yang dilakukan oleh lelaki. Walaupun golongan wanita ini tahu
perkara merokok itu merosakkan kesihatan atau tubuh badan mereka.
KESIMPULAN

Merokok merupakan satu kegiatan yang sukar untuk dibanteras. Walaupun bahaya
merokok amat ketara dan besar pengaruhnya terhdap masyarakat, dari segi kesihatan,
ekonomi dan sosial teapi merokok masih tetap menjadi satu amalan masyarakat yang
sukar untuk di atasi. Oleh itu, berbagai-bagai langkah atau cara telah dilakukan untuk
mengatasi masalah merokok ini. Semua pihak diharapkan memberikan kerjasama
untuk menjayakan langkah-langkah yang telah disediakan oleh pihak-pihak tertentu.

Anda mungkin juga menyukai