Anda di halaman 1dari 41

BAB 2

TAMADUN ISLAM

OBJEKTIF BAB

Selepas mengikuti bab ini, anda seharusnya boleh:


1. Mendefinisikan tamadun Islam.
2. Menjelaskan tamadun Islam sebagai sebuah tamadun yang berasaskan tauhid.
3. Mengkaji proses pembentukan tamadun Islam yang bersumberkan wahyu.
4. Menganalisis ciri-ciri keistimewaan tamadun Islam dan sumbangannya terhadap
tamadun dunia.

2.1 PENGENALAN

Dalam bab ini pelajar akan didedahkan tentang tamadun Islam dan beberapa aspek
penting yang menjadi asas kepada ketamadunan Islam itu sendiri. Sebelum ini pelajar
didedahkan berkaitan ilmu ketamadunan termasuk istilah ketamadunan, prinsip-prinsip
asas, persamaan dan juga perbezaan tamadun. Dalam bab ini, pelajar akan dibawa
menelusuri tamadun Islam yang merupakan tamadun yang berasaskan tauhid. Tamadun
Islam tidak sebagaimana tamadun-tamadun yang lain telah terbentuk melalui satu proses
yang unik bermula di tanah yang gersang (padang pasir) dan berkembang mewarnai
landskap padang pasir yang tandus dengan terbinanya sebuah negara yang mampu
melahirkan bukan sahaja pembangunan material malah pembangunan spiritual yang
hebat. Anda akan mendapati landskap tamadun Islam terbina berasaskan wahyu Ilahi.
Oleh yang demikian, mengenali tamadun Islam secara lebih dekat itu penting bagi
memahami proses pembentukan, ciri-ciri istimewa dan sumbangannya terhadap tamadun
yang lain.

2.2 Pengertian Asas Islam

Islam ialah nama kepada risalah Ilahi yang dibawa oleh semua nabi dan rasul sejak Nabi
Adam a.s. sehinggalah kepada Nabi Muhammad SAW (rasul yang terakhir). Perkataan
Islam ini tidak dikaitkan dengan nama individu dan tempat tertentu seperti agama Buddha
yang diambil daripada nama pendirinya iaitu Gautama Buddha, Masihi yang dikaitkan
dengan Isa al-Masih a.s., Zarathustra daripada nama pelopornya Zarathustra dan Yahudi
pula diambil daripada nama suatu kabilah yang terkenal dengan nama Yahuza. Nama
Islam sebenarnya menunjukkan suatu sifat yang terkandung dalam makna perkataan
Islam itu sendiri. Islam menjanjikan kesejahteraan dan keselamatan kepada
penganutnya. Sabda Nabi SAW yang bermaksud:

20
Masuklah kamu ke dalam agama Islam nescaya kamu selamat.

(Riwayat Ibn Majah)

Satu perkara yang jelas dan nyata daripada nama ini ialah tidak ada seorang manusia pun
yang boleh mendakwa bahawa merekalah penciptanya. Sesiapapun tidak akan diiktiraf
jika memilih selain daripada Islam sebagai anutan dan pegangan. Firman Allah SWT
dalam surah Ali-Imran ayat 85 yang bermaksud:

Sesiapa yang memilih selain daripada Islam sebagai ikutan maka segala
amalannya tidak akan diterima dan di akhirat kelak akan tergolong dalam
kalangan orang yang rugi.

Begitu juga, tidak ada mana-mana bangsa yang boleh mengakui bahawa Islam itu adalah
hak mereka kerana Islam diturunkan untuk seluruh penghuni dunia sejak dahulu hingga
sekarang. Sabda Nabi SAW yang bermaksud:

Tidak ada perbezaan antara orang Arab dan bukan Arab (Ajam) melainkan
melalui jalan takwa.
(Riwayat al-Tabrani)

Perkataan Islam dari sudut bahasa ialah tunduk, menyerah, sejahtera dan patuh. Dari
sudut istilah pula membawa makna taat kepada Allah SWT dengan sepenuh hati tanpa
sebarang keraguan serta tunduk dan patuh kepada segala perintah-Nya tanpa
membantah. Untuk memahami Islam secara mendalam seseorang yang menganut Islam
mestilah mempunyai kepercayaan dan keyakinan yang jitu lahir dan batin. Manifestasi
daripada pengertian ini ialah Islam diturunkan untuk membawa manusia ke arah satu
kesatuan akidah, iaitu meletakkan kepercayaan dan perhambaan hanya kepada Allah
SWT yang Maha Esa tanpa sebarang keraguan. Firman Allah SWT dalam surah Ali-
Imran ayat 19 yang bermaksud:

Sesungguhnya agama (yang diredai) di sisi Allah ialah Islam.

Islam juga merupakan peraturan hidup yang lengkap lagi sempurna bagi membina
sistem kehidupan manusia dan isi alam seluruhnya. Namun, kitab-kitab ajaran Islam
yang diturunkan kepada nabi-nabi dan rasul-rasul terdahulu telah dipesongkan oleh
pengikut-pengikut mereka. Oleh yang demikian, kehidupan manusia selepas 500 tahun
sesudah Nabi Isa a.s. telah beransur-ansur jauh dan menyimpang daripada ajaran yang
benar. Perhambaan kepada Allah yang Maha Esa telah bertukar kepada perhambaan
kepada manusia, berhala, api dan sebagainya. Sifat kemanusiaan telah berubah menjadi
sifat kebinatangan. Golongan yang kuat lagi berkuasa menindas yang lemah, manakala
yang kaya menindas yang miskin. Allah SWT menggambarkan kesesatan manusia
ketika itu melalui firman-Nya dalam surah al-Ankabut ayat 61-65 yang bermaksud:

Dan sesungguhnya jika kamu (wahai Muhammad) tanyakan kepada


mereka (orang musyrik) itu: Siapakah yang menjadikan langit dan bumi

21
dan memudahkan matahari dan bulan (untuk faedah makhluk-
makhluknya)? Sudah tentu mereka akan menjawab: Allah...Dan
sesungguhnya jika kamu (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka
(orang musyrik) itu: Siapakah yang menurunkan air dari langit, lalu ia
hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya?
Sudah tentu mereka akan menjawab: Allah...Dalam pada itu apabila
mereka naik bahtera (lalu menemui sesuatu bahaya di laut), mereka
memohon pertolongan kepada Allah dengan doa tulus ikhlas kepada-Nya.
Kemudian setelah Allah menyelamatkan mereka (naik) ke darat, mereka
berlaku syirik kepada-Nya.

Ketika manusia berada dalam kesesatan dan zaman jahiliah inilah Allah SWT telah
mengutuskan Nabi Muhammad SAW untuk meletakkan semula kemuliaan Islam sebagai
agama yang tertinggi daripada agama-agama lain. Baginda SAW juga diutuskan untuk
menegakkan keadilan dan meninggikan sifat-sifat kemanusiaan yang sudah rosak.
Baginda berjaya menyedarkan mereka daripada terus hanyut dalam arus jahiliah. Mereka
diberi kesedaran bahawa kekayaan dan kekuasaan itu hanya milik Allah SWT. Mereka
disuruh meninggalkan fahaman syirik dan penyembahan berhala. Baginda menjelaskan
tidak ada Tuhan yang selayaknya disembah melainkan Allah SWT. Tidak cukup dengan
orang Musyrikin Mekah, baginda juga berdakwah kepada Ahli Kitab yang suka
mengubah dan menukarkan isi kandungan kitab agar tidak menyekutukan Allah SWT
(Ali Ahmad al-Jarjawi:2009). Perkara ini dirakamkan dalam al-Quran surah Ali-Imran
ayat 64 yang bermaksud:

Katakanlah wahai Muhammad;Wahai Ahli Kitab, marilah kepada satu


kalimah yang bersamaan antara kami dengan kamu iaitu kita semua tidak
menyembah melainkan Allah dan kita juga tidak menyekutukannya dengan
sesuatupun di dunia ini.

Dengan usaha dan perjuangan Rasulullah SAW yang berterusan selama 23 tahun ini,
maka akhirnya Islam itu sempurna untuk memenuhi keperluan manusia pada setiap
tempat dan masa sehingga ke hari kiamat. Hal ini jelas disebutkan melalui firman-Nya
dalam surah al-Maidah ayat 3 yang bermaksud:

Hari ini Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah
cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redhakan Islam itu
menjadi agama untuk kamu.

Walaupun terdapat kritikan, celaan, cacian, propaganda serta pelbagai tohmahan yang
dilemparkan terhadap Nabi Muhammad SAW sepanjang masa, terutamanya daripada
mereka yang memusuhi Islam, masih ada ahli fikir Barat atau orientalis yang tidak
sempit dan buta mata hatinya mahu menyelami Islam dan menjiwainya dengan memuji
Nabi Muhammad SAW. Mereka mengkaji sejarah umat yang dihidupkan melalui
tuntutan wahyu Ilahi itu seperti Thomas Carlyle yang mengaku bahawa Nabi Muhammad
SAW itu bukan orang biasa dan al-Quran itu bukan suatu hasil kesusasteraan belaka.

22
Malahan, seorang sarjana berketurunan Aglo-French iaitu Denis Saurat turut
memperakuinya dengan menulis di dalam bukunya History of Religion bahawa agama
yang diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW itu mempunyai kelengkapan yang cukup
untuk terus bertahan dalam zaman moden ini. Menurut beliau prinsip-prinsipnya yang
dikemukakan adalah mudah dan munasabah. Nabi Muhammad SAW juga turut diakui
oleh profesor sejarah Amerika, Richard Fletcher (2007) dalam karyanya The Cross and
the Crescent bahawa Islam yang dibawa oleh baginda berjaya membawa pengaruh yang
jauh lebih besar berbanding kerajaan Romawi yang telah lama wujud sebelum
kemunculan agama suci itu. Seterusnya sarjana Perancis, Monsieur John Serou (2006)
pula dalam bukunya History of Muhammad menyatakan bila bertambah penyelidikan
manusia tentang perjalanan hidup Nabi Nuhammad SAW, nescaya orang akan
mengetahui dan dapat memecahkan persoalan yang menjadi sebab beberapa juta hamba
Allah SWT memeluk agama Islam pada masa yang telah lalu dan pada masa sekarang.
Ini menunjukkan bahawa agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW adalah agama
wahyu dan bukan hasil daripada ciptaannya. Firman Allah Taala dalam surah al-Najm
ayat 3-4 yang bermaksud:

Muhammad tidak bercakap mengikut hawa nafsunya tetapi beliau


bercakap di atas apa yang diwahyukan kepadanya.

SOALAN DALAM TEKS 2.1

1. Tamadun Islam lahir berasaskan wahyu.


BETUL/SALAH

2. Berikut adalah benar berkaitan tamadun Islam KECUALI


A. lahir di Madinah.
B. melalui proses 23 tahun.
C. berkembang di Madinah.
D. Madinah sabagai pusat pentadbiran Islam.

Semak jawapan anda di akhir bab ini.

2.3 PANDANGAN SEMESTA TAMADUN ISLAM

Ruang lingkup pandangan semesta tamadun Islam perlu dilihat kepada beberapa konsep
yang membentuk tamadun Islam itu sendiri. Semuanya terkandung dalam ajaran al-

23
Quran. Justeru, beberapa konsep yang disebutkan melalui al-Quran boleh dijadikan inti
pati perbincangan, antaranya ialah:

2.3.1 Konsep Ketuhanan

Kepercayaan kepada Tuhan yang tunggal iaitu Allah SWT menjadi asas kepada
pembinaan tamadun Islam. Ia terkandung dalam satu konsep tersendiri dan harus
difahami bahawa mentauhidkan Allah SWT dengan pengetahuan yang sebenarnya
hendaklah merangkumi tiga perkara iaitu, tawhid uluhiyyah, tawhid rubbubiyyah dan
asma wa al-sifat.

1. Tawhid Uluhiyyah

Mentauhidkan diri hanya kepada Allah SWT dengan penuh ikhlas dengan menghadirkan
perasaan mahabbah kepada-Nya (kasih), khauf kepadanya (takut), raja (mengharap),
tawakkal, raqbah (hampir) dan rahbah (takut) hanya kepada-Nya. Pengabdian yang
terbina berdasarkan keikhlasan yang merangkumi zahir dan batin kerana Allah Taala.

2. Tawhid Rubbubiyyah

Mentauhidkan Allah SWT kepada penciptaan alam, mengurus, mentadbir, memiliki,


memelihara, menghidup, mematikan dan segala perkara. Tauhid ini turut diperakui oleh
orang musyrikin tetapi mereka tidak menyerahkan diri sepenuhnya kepada Allah SWT
kerana kepercayaan mereka disertai dengan unsur-unsur syirik (menyekutukan) kepada-
Nya. Firman Allah SWT di dalam Surah Yunus ayat 106 yang bermaksud:

Dan sebahagian besar dari mereka tidak beriman kepada Allah, melainkan
dalam keadaan mempersekutukan Allah dengan yang lainya.

3. Asma wa al-sifat

Mentauhidkan Allah SWT dengan percaya dan mengakui segala nama dan sifat-Nya
secara ijmal (ringkas) dan tafsil (panjang lebar) menurut apa yang termaktub dalam al-
Quran dan hadis Nabi SAW. Bagi Allah SWT, nama-nama yang paling baik dengan
segala sifat kesempurnaan dan Maha Suci Allah daripada segala sifat kekurangan. Tauhid
ini juga diperakui oleh orang musyrik, tetapi mereka mengingkari nama dan sifat Allah
SWT dengan maknanya yang hakiki bahkan meletakkan sifat yang tidak layak bagi-Nya.
Mereka berkata:

Kita tidak mengenali nama al-Rahman (pemurah) melainkan Rahman di


Yamamah sahaja.

Justeru, di dalam al-Quran dengan jelas menerangkan bahawa Allah SWT sahajalah
Tuhan yang layak disembah dan Dia adalah pencipta, penguasa dan pemilik mutlak
kepada alam ini termasuk diri manusia itu sendiri. Firman Allah SWT dalam surah al-
Maidah ayat17 yang bermaksud:

24
Bagi Allah jualah kuasa pemerintahan langit dan bumi, dan segala yang ada di
antara keduanya.

Ternyata, konsep kekuasaan dalam Islam adalah lebih jelas, mudah dan meyakinkan jika
dibandingkan dengan konsep kekuasaan ciptaan manusia yang agak kabur serta
mengelirukan. Ini dapat dibuktikan apabila wujudnya pelbagai aliran pemikiran yang
berbeza dalam menentukan jenis, had dan di mana letaknya kekuasaan itu.

Menurut Syed Muhammad Naquib al-Attas (1972), tauhid mengemukakan suatu


antologi, kosmologi dan psikologi tersendiri dalam satu konsep agung yang diistilahkan
sebagai Keesaan Wujud atau Wahdat al-Wujud. Konsep ini berdiri tegak atas dasar-dasar
yang terdapat dalam al-Quran dan memenuhi setiap ruang, kaedah dan kehidupan orang
Islam. Oleh itu, aspek ketuhanan dalam tamadun Islam tidaklah boleh sewenang-
wenangnya disamakan dengan aspek ketuhanan yang terdapat dalam agama lain. Konsep
kepercayaan, ketundukan dan kepatuhan kepada Allah SWT adalah dalam lingkungan
menurut segala perintah-Nya dan meninggalkan larangan-Nya. Firman Allah SWT dalam
Surah al-Bayyinah ayat 5 yang bermaksud:

Pada hal mereka tidak diperintah melainkan supaya menyembah Allah


dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya, lagi tetap teguh di atas tauhid;
dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. Dan
yang demikian itulah agama yang benar.

2.3.2 Konsep Kemanusiaan

Manusia dari perspektif Islam ialah makhluk mukallaf iaitu makhluk yang diletakkan
tanggungjawab atau kewajipan tertentu. Manusia diangkat sebagai khalifah atau
pemegang amanah yang tidak mempunyai kuasa mutlak dalam menguruskan alam ini.
Oleh itu, dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai khalifah, manusia mestilah
mengikut ketetapan hukum-hukum Allah SWT dan prinsip-prinsip yang menjadi asas
hukum tersebut. Sebenarnya manusia dinilai perbuatan mereka dengan lima nilaian
hukum yang menjadi panduan dalam melaksanakan kewajipan mereka sebagai hamba
Allah SWT. Mereka diikat dengan hukum wajib setiap hari dengan melakukan suruhan
dan perintah-Nya, hukum haram terhadap perkara yang melibatkan larangan-Nya,
hukum makruh yang menyebabkan kelemahan diri terpampang dan mungkin
membantutkan kesempurnaan hidup, hukum sunat agar kesempurnaan hidup terserlah,
seterusnya hukum harus agar dapat membuat pilihan terhadap perkara yang diingini
ataupun tidak. Justeru, mana-mana pelanggaran terhadap hukum-hukum Allah SWT
akan meletakkan diri manusia itu dalam kebinasaan serta mendapat balasan daripada-
Nya. Firman Allah SWT dalam Surah al-Maidah ayat 45 yang bermaksud:

Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan
oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.

25
Kemampuan manusia memenuhi keperluan fizikal atau maddi seperti makan, minum
dan sebagainya tidak boleh dilihat sebagai sesuatu yang sudah mencapai tahap
kesempurnaan hakikat kemanusiaannya. Di sana ada kewajipan dan tanggungjawab lain
yang perlu diberi perhatian untuk meletakkan manusia itu sebagai memenuhi hakikat
kemanusiaannya iaitu aspek rohani. Ini dijelaskan melalui firman Allah SWT dalam
surah al-Ahzab ayat 72 yang bermaksud:

Sesungguhnya Kami (Allah) telah mengemukakan amanat-amanat (tugas-


tugas) kepada tujuh petala langit, bumi dan gunung-ganang, maka
semuanya enggan untuk memikul amanat itu dan mereka akan khuatir akan
mengkhianatinya dan dipikullah amanat itu oleh manusia, sesungguhnya
manusia itu amat zalim dan amat jahil.

Ayat ini dengan sendirinya menjelaskan bahawa amanat atau tanggungjawab yang
diletakkan oleh Allah SWT amat besar, luas dan berat untuk dipikul oleh manusia.
Tanggungjawab itu meliputi hubungan manusia dengan Allah SWT, hubungan sesama
manusia (termasuk di dalamnya tanggungjawab terhadap diri sendiri, keluarga,
masyarakat dan negara) dan hubungan dengan alam semesta.

Manusia adalah sebuah keluarga tunggal daripada Allah SWT dan tidak ada ganjaran
untuk perbezaan ini kecuali keimanan dan ketakwaan. Perbezaan warna kulit, bangsa,
budaya, pangkat, keturunan, negara dan daerah hanyalah ilusi yang kabur dan jika konsep
perbezaan ini dipegang, ia akan menjadi ancaman terbesar terhadap tamadun manusia di
muka bumi ini. Allah SWT berfirman dalam surah al-Hujurat ayat13 yang bermaksud:

Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menjadikan kamu dari lelaki


dan perempuan dan Kami telah jadikan kamu beberapa bangsa dan puak
supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi
Allah ialah yang paling bertakwa di antara kamu.

Di sini jelaslah bahawa konsep manusia dan kemanusiaan dalam tamadun Islam dibina
atas asas yang kukuh iaitu takwa kepada Allah SWT. Sehubungan itu, Islam menyifatkan
mana-mana tamadun yang berlawanan dengan pandangan semesta di atas sebagai
tamadun yang sakit dan tergolong dalam lingkungan tamadun jahiliah yang membawa
kepada kerosakan. Allah SWT menjelaskan perkara ini melalui firman-Nya dalam Surah
al-Hajj ayat 45-46 yang bermaksud:

Maka bukan sedikit negeri-negeri yang Kami binasakan dengan sebab


kezaliman penduduknya, lalu runtuh ranaplah bangunan-bangunannya; dan
bukan sedikit pula telaga yang telah terbiar, istana yang tersergam (telah
kosong, ditinggalkan). Oleh itu, bukankah ada baiknya mereka mengembara
di muka bumi supaya-dengan melihat kesan-kesan yang tersebut - mereka
menjadi orang-orang yang ada hati yang dengannya mereka dapat
memahami, atau ada telinga yang dengannya mereka dapat mendengar?
(Tetapi kalaulah mereka mengembara pun tidak juga berguna) Kerana

26
keadaan yang sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta
itu ialah mata hati yang ada di dalam dada.

2.3.3 Konsep Alam

Pengertian alam sangat luas dan tidak terhad hanya kepada alam sekitar semata-mata,
tetapi merangkumi alam nyata dan alam ghaib sama ada yang dapat dilihat dan disentuh
oleh manusia atau sebaliknya. Bahkan pengertian alam itu juga merangkumi diri
manusia itu sendiri. Secara mudahnya, pengertian alam itu adalah merujuk kepada
segala ciptaan Allah SWT sama ada yang boleh dilihat atau tidak dan bersifat baharu.
Manusia berhadapan dengan beberapa alam sepanjang kehidupan mereka, sama ada
alam rahim, alam dunia, alam roh, alam barzakh dan alam akhirat. Tugas mereka adalah
menghidupkan alam dunia mengikut acuan yang dikehendaki Allah SWT sebagai
khalifah tidak lebih daripada itu. Kemahuan dan kehendak manusia memikul
tanggungjawab sebagai khalifah telah menyebabkan mereka diperintah untuk
memelihara alam ini agar penduduknya hidup dalam keadaan rukun dan damai. Firman
Allah Taala dalam surah al-Ahzab ayat 72 yang bermaksud:

Sesungguhnya kami bentangkan amanah kepada langit, bumi dan gunung-


ganang tetapi mereka enggan menerima bahkan gementar untuk
menerimanya sebaliknya manusia sanggup menerima amanah tersebut
sedangkan mereka itu adalah orang yang zalim lagi jahil.

Tamadun Islam melihat alam sebagai pentas untuk manusia hidup dan mengkaji serta
mendalamkan pemikiran mereka bagi mencapai kemuncak keimanan dan keyakinan
kepada penciptanya iaitu Allah SWT. Alam sebagai perantara untuk sampai ke alam
abadi iaitu akhirat yang menjanjikan syurga bagi mereka yang taat perintah-Nya dan
neraka bagi mereka yang engkar. Selain itu, penciptaan alam ini juga adalah untuk
diambil manfaatnya oleh manusia dengan rasa penuh tanggungjawab demi kemaslahatan
dan kepentingan hidup mereka. Firman Allah SWT dalam surah al-Mulk ayat 3-4 yang
bermaksud:

Dialah yang telah mengaturkan kejadian tujuh petala langit yang


berlapis-lapis; engkau tidak dapat melihat pada ciptaan Allah Yang Maha
Pemurah itu sebarang keadaan yang tidak seimbang dan tidak
munasabah; (jika engkau ragu-ragu) maka ulangilah pandanganmu
dapatkah engkau melihat sebarang kecacatan? Kemudian ulangilah
pandanganmu berkali-kali, nescaya pandanganmu itu akan berbalik
kepadamu dengan hampa (daripada melihat sebarang kecacatan), sedang
dia pula berkeadaan lemah lesu (kerana habis tenaga dengan sia-sia).

Hubungan manusia dengan alam ini perlu disandarkan kepada peraturan-peraturan yang
telah ditetapkan oleh Allah SWT. Manusia hanya perlu melaksanakan sistem dan
peraturan tersebut untuk membina dan memperkembangkan tamadun mereka. Allah
SWT yang menjadikan seluruh alam termasuk manusia mempunyai peraturannya yang
tersendiri. Peraturan itu untuk kebaikan manusia juga akhirnya. Jika mereka menurut

27
peraturan-Nya, mereka yang akan selamat. Sebaliknya, jika mereka yang enggan
menurut peraturan-Nya, mereka akan menerima kerugian di dunia dan akhirat.

SOALAN DALAM TEKS 2.2

1. Beza antara konsep ketuhanan orang kafir dan konsep ketuhanan


orang Islam adalah Uluhiyyah (Tuhan yang satu).

BETUL/SALAH

Semak jawapan anda di akhir bab ini.

2.4 KONSEP TAMADUN ISLAM

Kelahiran tamadun Islam tidak berlaku melalui proses-proses yang lazim dilalui oleh
tamadun-tamadun lain. Ia tidak berlaku melalui faktor tekanan atau ancaman dalaman
dan luaran, proses asimilasi, pengaruh alam sekitar atau sebagainya, tetapi tamadun
Islam dibina atas prinsip-prinsipnya yang luhur serta merangkumi matlamat yang jelas.
Ia menekankan kepada pencapaian hidup manusia di dunia dan kesejahteraan hidup di
akhirat. Sehubungan itu, perbincangan konsep tamadun Islam perlu keluar daripada
penekanan kepada istilah-istilah yang digunakan oleh para sarjana seperti lazimnya.
Pada prinsipnya konsep tamadun Islam adalah merangkumi aspek-aspek berikut dan
tidak boleh dipisahkan daripada tasawwur kehidupan seseorang Muslim. Ia merupakan
hubungan yang berkisar kepada tiga tuntutan yang mesti dilalui oleh seseorang insan
yang bernama manusia.

2.4.1 Hubungan Manusia dengan Allah SWT

Tamadun Islam tidak boleh sama sekali dipisahkan daripada pengabdian diri kepada
Allah SWT. Dalam usaha manusia membina dan memperkembangkan tamadun, mereka
tidak boleh membatalkan perjanjian dengan-Nya yang telah diikat melalui akidah,
syariah dan akhlak. Matlamat untuk mencapai keredaan Allah SWT merupakan
matlamat akhir manusia membina tamadun. Bukan kerana nama, pangkat dan takhta
menjadi matlamat dalam membina kehebatan tamadun Islam, namun atas dasar keredaan
Tuhan itulah yang dicari dan dituntut. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

Barang siapa yang mencari redha Allah sedangkan perbuatan yang


dilakukan itu dicemuh oleh manusia, Allah tetap redha kepadanya dan

28
manusia yang mencemuhnya pada peringkat awal tadi akan turut meredhai
perbuatannya (menyukainya).
(Riwayat Ibn Hibban)

Jalan yang menghubungkan manusia dengan Allah SWT ialah melalui ibadat yang
dilakukan dengan ikhlas dan mengikut prosedur yang ditetapkan oleh Allah SWT dan
rasul-Nya Nabi Muhammad SAW. Firman Allah SWT dalam surah al-Baiyyinah ayat 5
yang bermaksud:

Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah


dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya, lagi tetap teguh di atas tauhid
dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat dan yang
demikian itulah agama yang benar.

Apabila seseorang hamba mengetahui peranannya sebagai hamba Allah SWT maka
setiap perlakuannya terikat dengan ketentuan dan peraturan Tuhannya. Oleh yang
demikian, secara tidak langsung dia mengenali Allah SWT kerana dirinya sudah
dikenali. Hubungan ini merupakan hubungan paling tinggi dan mulia dalam kehidupan
manusia, mengatasi hubungan yang wujud antara manusia sesama manusia atau
makhluk lain. Ia adalah ikatan seseorang dengan Tuhannya dalam melaksanakan
tanggungjawab mereka sebagai hamba-Nya. Jika sekiranya setiap perlakuan mereka
tidak ada hubungan dengan Allah SWT maka mereka akan ditimpa kehinaan dalam
kehidupan mereka. Firman Allah SWT dalam surah Ali-Imran ayat 112 yang
bermaksud:

Mereka ditimpa kehinaan (dalam segala urusan) di mana sahaja mereka


berada, kecuali dengan adanya hubungan dengan Allah dan adanya
hubungan dengan manusia.

2.4.2 Hubungan Manusia Sesama Manusia

Manusia dijadikan Allah SWT dengan latar belakang yang berbeza dari segi bangsa,
keturunan, warna kulit dan sebagainya. Walau bagaimanapun, mereka semua adalah
daripada satu keturunan iaitu Adam a.s. Atas hakikat inilah pembentukan masyarakat
Islam adalah berdasarkan konsep kesatuan ummah. Ini menjadikan masyarakat Islam
sebagai sebuah masyarakat yang berbentuk sejagat, tidak bersifat perkauman, tidak
bersifat kebangsaan serta tidak terbatas dalam lingkungan sempadan geografi dan
politik. Bagi masyarakat Islam, hanya satu ukuran yang mendapat tempat di sisi Allah
SWT iaitu ketakwaan kepada-Nya di samping berbuat baik sesama manusia. Firman
Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat13 bermaksud:

Wahai umat manusia, sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari


lelaki dan perempuan dan kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa
dan bersuku (puak) supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra

29
antara satu sama lain. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah
ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu (bukan yang lebih
keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha mengetahui lagi
Maha mendalam pengetahuanNya.

Sebagai makhluk sosial, manusia amat memerlukan bantuan dan kerjasama manusia lain
untuk memenuhi keperluan hidup. Oleh itu, kepentingan untuk menjalinkan hubungan
sesama manusia tidak boleh dinafikan. Islam melihat keperluan hubungan sesama
manusia ini dengan menekankan kepentingan menjaga jamaah atau masyarakat
mengatasi kepentingan individu. Hubungan yang erat antara manusia dengan manusia
yang lain telah dipraktikkan oleh Nabi SAW dan para sahabatnya. Allah SWT
merakamkan perkara ini di dalam surah al-Hasyr ayat 28 yang bermaksud:

Dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih


daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan
dan sangat-sangat berhajat.

Justeru, daripada semangat yang ditunjukkan ini menggambarkan bahawa kehebatan


tamadun Islam adalah berasaskan kepada semangat kerjasama dan hubungan
kemanusiaan yang erat dalam kalangan mereka. Seseorang individu tidak akan mampu
untuk membina tamadun tanpa sokongan dan kerjasama daripada individu lain. Walau
bagaimanapun, perhubungan antara manusia ini mestilah mengikut aturan yang telah
ditentukan oleh Allah SWT untuk mengelakkan kezaliman, ketidakadilan, penindasan,
perseteruan yang boleh memusnahkan tamadun. Hubungan yang wujud dalam setiap
lapangan kehidupan sama ada yang bersifat peribadi mahupun kemasyarakatan
hendaklah berasaskan tolong-menolong dan hormat-menghormati. Firman Allah SWT
dalam surah al-Maidah ayat 2 yang bermaksud:

Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan


takwa, dan janganlah kamu tolong-menolong dalam berbuat dosa dan
permusuhan. Bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah sangat berat
siksa-Nya

2.4.3 Hubungan Manusia dengan Alam

Manusia juga adalah sebahagian daripada alam. Namun, kedudukan manusia adalah
lebih istimewa daripada alam lain. Manusia diberikan akal dan nafsu serta diangkat
menjadi khalifah oleh Allah SWT untuk dipertanggungjawabkan memelihara alam ini.
Sehubungan itu, Allah SWT telah memberikan panduan kepada manusia bagaimana
hubungan yang sepatutnya dengan alam itu berlaku. Firman Allah SWT dalam surah al-
Araf ayat 56 yang bermaksud:

Janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi setelah Allah menyediakan


segala yang membawa kebaikan padanya, dan berdoalah kepada-Nya

30
dengan perasaan bimbang (kalau-kalau tidak diterima). Sesungguhnya
rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang yang berbuat kebajikan.

Penciptaan alam termasuk diri manusia sendiri bukanlah berlaku secara sia-sia, tetapi
adalah untuk mendorong manusia mencari dan berfikir mengenai kekuasaan Allah SWT.
Pengiktirafan manusia terhadap penciptanya dan pencipta alam semesta akan
menjadikan manusia insaf dan sedar bahawa dirinya amat kerdil dan bukan pemilik
mutlak alam ini. Justeru, dalam usaha mencipta, mencari, membangun dan
menggunakan sumber-sumber yang ada dalam alam ini untuk pembinaan tamadun,
manusia sudah tentu akan melaksanakan sistem dan peraturan yang telah ditetapkan oleh
pencipta-Nya. Allah SWT memperingatkan manusia agar memahami bahawa setiap
kejadian ciptaannya tidaklah sia-sia berdasarkan firman-Nya dalam surah al-Mukminun
ayat115 yang bermaksud:

Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu
(dari tiada kepada ada) sia-sia sahaja dengan tiada sebarang hikmat pada
ciptaan itu? Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada
Kami?

Berasaskan kepada huraian di atas, nilai dan pengertian konsep tamadun Islam tidak
wajar dibatasi oleh unsur-unsur yang bersifat zahir semata-mata seperti mana yang
berlaku pada tamadun-tamadun lain. Konsep tamadun Islam mesti dilihat dalam konteks
yang lebih luas dan mendalam lagi, dan secara khusus memberi fokus kepada tasawur
Islam itu sendiri tentang penciptaan manusia, penciptaan alam, matlamat kehidupan,
hubungan yang berlaku antara makhluk dan khaliq dan sebagainya. Kehidupan menetap,
pencapaian sains dan teknologi, penciptaan bahasa dan tulisan, kewujudan kota, bandar,
kota metropolitan dan lain-lain simbol ketamadunan sebenarnya adalah natijah daripada
fitrah kehidupan manusia itu sendiri yang digerakkan oleh wahyu sebagai sumber ilmu
pengetahuan untuk membentuk sebuah kehidupan dan tamadun yang berjaya.

SOALAN DALAM TEKS 2.3

1. Konsep tamadun Islam berkisar kepada tiga hubungan yang


utama kepada seseorang insan KECUALI
A. hubungan dengan Allah.
B. hubungan dengan makhluk.
C. hubungan sesama manusia.
D. hubungan yang berteraskan maddiyah.

Semak jawapan anda di akhir bab ini.

31
2.5 SUMBER TAMADUN ISLAM

Tamadun Islam mempunyai sumber-sumbernya yang tersendiri dan sangat berbeza


dengan sumber-sumber dalam tamadun lain. Sumber tamadun Islam bersifat mutlak iaitu
tidak berubah, sesuai sepanjang masa dan keadaan sehinggalah ke hari kiamat. Selain
itu, ia turut menggambarkan bahawa tamadun ini berdiri di atas ketetapan dan kehendak
IIahi dan bukannya rekaan serta ciptaan manusia yang banyak kelemahannya. Sumber-
sumber tersebut diguna pakai bagi menyelasaikan permasalahan berkaitan dengan
kehidupan manusia. Terdapat lima sumber utama yang mendasari tamadun Islam iaitu:

2.5.1 Al-Quran

Al-Quran dari sudut bahasa bermaksud bacaan atau dalam bahasa Arab disebut Qiraah.
Firman Allah SWT dalam surah al-Qiyamah ayat 17 yang bermaksud:

Sesungguhnya Kamilah berkuasa mengumpulkan al-Quran itu dalam dadamu


dan menetapkan bacaannya pada lidahmu.

Al-Quran adalah sumber utama tamadun Islam dan merupakan wahyu yang mukjiz
(melemahkan) yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Rasululluh SAW melalui
perantaraan malaikat Jibril kemudian ditulis dalam mashaf, diriwayatkan secara
mutawatir dan menjadi ibadah kepada sesiapa yang membacanya (Subhi Soleh, 1977).
Ia merupakan mukjizat yang terbesar diturunkan kepada Rasulullah SAW dan
mengandungi prinsip-prinsip asas agama Islam dan ilmu pengetahuan untuk digunakan
oleh manusia bagi membangunkan tamadun. Ia meliputi ilmu kerohanian dan juga
kebendaan yang menjadi ramuan kepada kelahiran sesebuah tamadun seperti akidah,
syariah, akhlak, bahasa, persejarahan, pemikiran dan intelektual, ekonomi, politik, sosial
dan sebagainya. Isi kandungan yang terdapat di dalam al-Quran digambarkan secara
abstrak berkaitan ketauhidan, pertolongan, kekuasaan, perjanjian, ancaman, ibadah, jalan
yang diredai dan kisah umat terdahulu sama ada sebagai manusia yang baik mahupun
manusia yang derhaka kepada Allah SWT melalui firman-Nya dalam surah al-Fatihah
ayat 1-7 yang bermaksud:

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.


Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang Memelihara dan Mentadbirkan
sekelian alam. Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani, Yang
Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari akhirat). Engkaulah
sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah dan kepada Engkaulah sahaja kami
memohon pertolongan. Tunjukilah kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-
orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan)
orang-orang yang Engkau telah murkai dan bukan pula (jalan) orang-
orang yang sesat.

Sebagai sumber utama tamadun Islam, al-Quran menjadi pendorong dan penggalak
kepada manusia untuk menggunakan fikiran dan segala sumber yang ada bagi mencapai
kesejahteraan dan kejayaan dalam hidup. Ayat-ayat al-Quran yang membawa maksud

32
seperti apakah mereka tidak berfikir dan apakah mereka tidak berakal jelas
merupakan pencetus kepada manusia untuk menggunakan akal fikiran dalam mengatur
kehidupan. Namun demikian, segala kegiatan dan kemajuan yang dicipta dikehendaki
mengikuti lunas-lunas yang telah ditetapkan oleh syarak. Edward Gibbon (1794) seorang
ahli sejarah Inggeris turut mengakui bahawa:

Al-Quran itu adalah sebuah kitab agama, kitab kemajuan, kenegaraan,


persaudaraan dan perundangan. Al-Quran mengandungi isi yang lengkap,
daripada urusan ibadat, akidah, akhlak hingga pekerjaan sehari-hari dan
daripada urusan rohani hingga jasmani seterusnya. Ia juga menerangkan
segala pembalasan atas amalan manusia. Sebab itu amat besar perbezaan
al-Quran dengan Bible. Dalam Bible, tidak ada peraturan yang berhubung
keduniaan melainkan cerita untuk penyucian diri. Bible tidak boleh
menandingi al-Quran kerana al-Quran bukan saja menerangkan kaitan
amalan kegamaan, bahkan mengupas asas politik kenegaraan. Al-Quran
menjadi sumber undang-undang dasar memutuskan semua perkara yang
berhubung dengan material kejiwaan.

Ketamadunan manusia akan tempang dan goyah tanpa panduan daripada Ilahi. Ini
kerana kemajuan sesuatu tamadun itu tidak akan sempurna dan mencapai matlamat jika
manusia gagal menjadikan al-Quran sebagai panduan kepada kehidupan mereka. Oleh
yang demikian, penurunan al-Quran kepada manusia adalah penting dan sangat
diperlukan disebabkan kelemahan dan kedaifan mereka sendiri dalam mengatur
kehidupan.

Al-Quran diturunkan kepada umat manusia mempuyai tujuan dan matlamat yang
dikehendaki oleh Allah SWT. Antara matlamat dan tujuan tersebut adalah:

(i) Menyeru manusia kepada aqidah yang sahih dalam pembinaan tamadun
manusia.
(ii) Menyediakan peraturan dan undang-undang yang pelbagai bagi
menyelesaikan permasalahan kehidupan dan ketamadunan manusia.
(iii) Membebaskan pemikiran manusia agar bertamadun daripada terbelenggu
dengan pemikiran jahiliah dan dalam masa yang sama mengajak mereka
berfikir dan memerhati tentang kebesaran Ilahi.
(iv) Memimpin manusia agar menggunakan segala nikmat yang dijadikan
Allah di alam ini dan memanfaatkannya untuk kebaikan dan
kemaslahatan mereka (Ibrahim Musa, 1992).

2.5.2 Sunah

Sunah menurut bahasa mempunyai pelbagai maksud, antaranya ialah al-jabhah wa al-
jabibaiyn (dahi dan dua tepi dahi), al-wajh (muka), al-tariqah atau al-sirah (jalan atau
perjalanan), al-tabiah (tabiat), al-adah (kebiasaan) dan nama sejenis tamar Madinah (Ibn
Manzhur, t.t.). Al-Quran menjelaskan makna sunah dalam pelbagai maksud. Antaranya,
sunah sebagai hukum berdasarkan surah al-Ahzab ayat 38 yang bermaksud (Yang

33
demikian itu) adalah menurut peraturan hukum Allah yang tetap, yang juga berlaku
kepada Nabi-nabi yang terdahulu. Sunah dengan makna al-Adah berdasarkan surah al-
Fath ayat 23 yang bermaksud Sunnatullah" (peraturan Allah) yang telah berlaku
semenjak dahulu lagi. Manakala sunah dengan makna tariqah/sirah (jalan atau
perjalanan) berdasarkan surah al-Hijr ayat 13 yang bermaksud Mereka tidak percaya
kepada Al-Quran yang engkau bawa, sesungguhnya telah berlaku perjalanan (Sunnah)
orang-orang yang terdahulu (yang mendustakan Rasul-rasulnya).

Dari sudut istilah, sunah merujuk kepada setiap yang dinukilkan daripada Nabi
Muhammad SAW sama ada perkataan, perbuatan, pengakuan, sifat-sifat akhlak dan
kejadian, sirah perjalanan hidupnya sama ada sebelum atau sesudah dibangkitkan (al-
Zawi, 1959:516). Prinsip-prinsip asas kehidupan beragama dan pendekatan ilmu
pengetahuan yang bersifat umum yang terkandung di dalam al-Quran kemudian
dihuraikan serta diperincikan dalam sunah Rasulullah SAW. Kewibawaan sunah sebagai
sumber kedua tamadun Islam tidak boleh dinafikan kerana apa yang disampaikan dan
diamalkan oleh Rasulullah SAW juga merupakan sebahagian daripada wahyu Allah
SWT. Baginda sendiri meletakkan peranan sunah sebagai penyelamat kepada kehidupan
manusia melalui sabdanya yang bermaksud:

Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara jika sekiranya kamu berpegang
dengannya nescaya kamu akan selamat daripada kesesatan selama-
lamanya iaitu Kitab Allah dan Sunnahku.

Kesempurnaan tamadun Islam sebagai tamadun yang berasaskan wahyu Ilahi juga
adalah terletak kepada fungsi Rasulullah SAW sebagai pembawa risalah. Tanpa sunah
atau perjalanan hidup yang ditunjukkan oleh baginda, maka manusia akan terkapai-kapai
mencari kebenaran kerana tidak mampu memahami tuntutan al-Quran. Oleh yang
demikian, sunah berperanan menyediakan pakej yang menggambarkan segala peranan
dan tugas baginda. Firman Allah SWT dalam surah Ali-Imran ayat 164 yang bermaksud:

Sesungguhnya Allah telah mengurniakan (rahmat-Nya) kepada orang-


orang yang beriman, setelah Ia mengutuskan dalam kalangan mereka
seorang Rasul dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan mereka ayat-
ayat Allah (kandungan Al-Quran yang membuktikan keEsaan Allah dan
kekuasaanNya), dan membersihkan mereka (dari i'tiqad yang sesat), serta
mengajar mereka kitab Allah (Al-Quran) dan hikmah (pengetahuan yang
mendalam mengenai hukum-hukum Syariat). Dan sesungguhnya mereka
sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang
nyata.

Justeru, berpandukan sunah manusia akan dapat memahami dengan lebih jelas lagi
tentang sesuatu perkara untuk dilaksanakan dalam kehidupan mereka tanpa melanggar
prinsip yang ditetapkan oleh al-Quran. Oleh itu, sunah selain sebagai pelengkap kepada
al-Quran, ia juga merupakan sumber inspirasi umat Islam bagi membentuk, membangun
dan mengembangkan tamadun mereka. Tamadun Islam tidak boleh sama sekali
bertentangan dengan kedua-dua sumber ini iaitu al-Quran dan sunah. Pengabaian kepada

34
kedua-duanya akan menjadikan tamadun yang dibina itu hanya bersifat tamadun
kebendaan atau tamadun jahiliah. Segala kemajuan yang dizahirkan dalam bentuk
kebendaan dengan tidak mengambil kira aspek kerohanian dan moral adalah tamadun
jahiliah.

2.5.3 Ijtihad

Ijtihad merupakan salah satu kaedah dalam mencari hukum serta mengenal petunjuk dan
agama Allah SWT yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Ijtihad juga merupakan salah
satu bidang pemikiran dan penelitian dalam memahami ajaran agama Islam yang
diturunkan oleh Allah SWT dalam al-Quran. Allah SWT menciptakan syariat yang
bersifat umum dan meliputi segala bidang yang mampu memenuhi keperluan manusia
sepanjang zaman, setiap saat dan menurut perkembangan zaman. Melalui ijtihad, syariat
Islam mampu menghadapi pelbagai permasalahan baharu dan membimbing kemajuan
manusia dalam urusan hidup mereka ke jalan yang benar dan diredai Allah SWT tanpa
mengikut acuan yang lain.

Perkataan ijtihad menurut bahasa membawa maksud mencurahkan kesemua kemampuan


yang ada dalam segala perbuatan atau menanggung segala beban kesulitan seperti
contoh kata-kata ulamaDia bersungguh-sungguh mencurahkan segala tenaga untuk
mengangkat batu giling itu.

Manakala perkataan ijtihad menurut istilah ahli Usul Fiqh membawa maksud
mencurahkan segala kemampuan untuk mendapatkan hukum syarak yang bersifat amali
dengan cara istinbat (mengeluarkan hukum-hukum dengan cara-cara yang telah
ditetapkan) atau mencurah kesemua kemampuan untuk mencari hukum syarak yang
bersifat zhonni (kesamaran), sehingga merasakan dirinya tidak mampu lagi untuk
mencari tambahan kemampuannya itu.

Menurut imam Syafei, seorang yang bergelar mujtahid tidak boleh mengatakan aku
tidak tahu dalam sesuatu permasalahan hukum sebelum beliau berusaha bersungguh-
sungguh untuk meneliti dan mendapatkan hukum. Begitu juga seorang yang bergelar
mujtahid tidak boleh mengatakan aku tahu dalam sesuatu permasalahan hukum seraya
menyebut hukum yang diketahui itu sebelum beliau mencurahkan segala
kemampuannya dalam mendapatkan hukum itu.

Dalam tamadun manusia banyak perkembangan baharu berlaku. Sebahagian daripada


pembaharuan itu tidak jelas dari segi hukumnya kerana tidak terdapat secara nyata
dalam al-Quran dan sunah. Oleh itu, menjadi peranan ulama atau cendikiawan Muslim
untuk mengolah hukum terhadap perkara-perkara baharu berdasarkan keilmuan yang
mereka miliki dengan merujuk kepada sumber al-Quran dan sunah. Secara tidak
langsung ia memberi gambaran bahawa Islam sama sekali tidak melarang aktiviti-
aktiviti untuk membangunkan tamadun manusia asalkan selari dengan kehendak dan
tuntutannya. Justeru, umat Islam digalakkan untuk membuat kajian dan meneroka segala
bidang demi kepentingan kemajuan umat Islam khususnya dan dunia amnya dengan
menjadikan al-Quran dan sunah sebagai garis panduan. Ijtihad adalah sesuatu yang

35
amat dianjurkan dalam Islam. Terdapat dalil-dalil sama ada dalam al-Quran, sunah dan
ijmak yang menunjukkan bahawa ijtihad merupakan sesuatu yang disyariatkan dalam
Islam. Firman Allah SWT dalam surah al-Nisaayat 83 yang bermaksud:

Dan kalaulah mereka menyerahkannya kepada Rasul dan ulil amri


(ulamak dan para cendiakawan) di antara mereka, tentulah orang yang
ingin mengetahui kebenarannya akan dapat mengetahuinya dari mereka
(Rasul dan ulil amri).

Dalam ayat al-Quran yang lain, Allah SWT berfirman dalam surah al-Syura ayat 38 yang
bermaksud:

Dan sedangkan urusan mereka diputuskan melalui mesyuarat di antara


mereka.

Dalam hal ini, Nabi SAW turut bersabda yang bermaksud:

Apabila seseorang hakim itu berijtihad dan ijtihad itu benar, maka baginya dua
pahala tetapi apabila sesorang hakim itu berijtihad lalu salah di dalam ijtihadnya,
maka baginya satu pahala.
(Riwayat al-Bukhari)

Di dalam hadis yang lain, ketika Nabi SAW mengutuskan Muaaz ke Yaman, baginda
pernah bertanya kepada beliau yang bermaksud:

Bagaimanakah kamu akan memutuskan sesuatu permasalahan?, beliau


menjawab; dengan kitab Allah, lalu Rasulullah SAW bertanya lagi, jika
kamu tidak mendapatinya, beliau menjawab; dengan sunnah Rasulullah
SAW. Kalaulah kamu tidak mendapatinya di dalam al-Quran dan al-
Sunnah, maka dengan apakah kamu akan memutuskannya, beliau
menjawab; Aku akan berijtihad dengan pendapatku tanpa menyeleweng,
lalu Nabi SAW menyatakan segala puji bagi Allah yang telah memberi
pertolongan kepada utusannya dengan apa yang diredhai oleh Allah dan
Rasulnya
(Riwayat al-Tirmizi)

2.5.4 Al-Ijmak

Ijmak adalah perkara yang telah disepakati oleh para ulamak mazhab yang muktabar.
Mereka menyatakan ijmak adalah sesuatu yang telah dipraktikkan dan merupakan suatu
perkara yang benar.

36
2.5.5 Tamadun dan Budaya Lain

Tamadun Islam tidak pernah melarang umatnya berhubung dan berinteraksi dengan
tamadun lain. Sejarah telah membuktikan bahawa Nabi SAW sendiri telah mengadakan
hubungan malah pernah meminta pertolongan daripada seorang pembesar, (Raja Najasyi
seorang Kristian) ketika para sahabat berhijrah ke Habsyah (Ethopia) bagi mendapat
suaka politik akibat daripada penindasan kaumnya sendiri. Ini menggambarkan
hubungan dan interaksi yang berlaku antara dua tamadun yang berlainan pegangan dan
kepercayaan (al-Maududi, 1997). Dalam keadaan yang lain, Rasulullah SAW dan Abu
Bakar as-Siddiq pernah meminta bantuan kepakaran seorang lelaki daripada Bani al-
Daiyl sebagai juru pandu jalan sedangkan lelaki tersebut bukan Muslim. Ini
menunjukkan bahawa Islam tidak pernah prajudis terhadap budaya, malahan terhadap
bangsa dan agama yang lain selagi mereka menghormati dan bekerjasama dalam
melakukan kebaikan. Keadaan ini diharuskan dalam Islam selagi perhubungan tersebut
tidak bercanggah dengan kehendak Islam dan menggadai prinsip-prinsipnya (Ramadan
al-Bhuti, 1991). Kesempurnaan tamadun Islam diserikan lagi dengan wujudnya proses
pinjam-meminjam antara tamadun yang wujud.

Agama Islam tidak pernah meminggirkan tamadun lain bahkan Nabi SAW
menggalakkan para sahabat berdikari dan mempelajari apa yang ada dalam tamadun
lain. Sebagai contoh, baginda pernah menyuruh para sahabat mempelajari bahasa etnik
dan kebudayaan orang lain melalui sabdanya yang bermaksud:

Pelajarilah bahasa sesuatu kaum itu nescaya kamu terpelihara daripada


tipu daya.
(Riwayat Abu Daud)

Oleh yang demikian, tamadun Islam bersifat terbuka dalam menerima nilai-nilai dan
idea-idea daripada tamadun lain asalkan tidak bercanggah dengan ajaran Islam. Nilai
dan idea yang ada dalam tamadun lain itu diasimilasikan dengan tamadun Islam melalui
proses interaksi yang sihat. Firman Allah dalam surah al-Maidah ayat 6 yang
bermaksud:

Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung sesuatu kesusahan


(kepayahan), tetapi Dia berkehendak membersihkan (mensucikan) kamu
dan hendak menyempurnakan nikmatNya kepada kamu, supaya kamu
bersyukur.

Sebenarnya, Islam tidak pernah mengetepikan segala kebaikan yang boleh digunakan
dalam memajukan ketamadunan manusia. Malahan, ia turut memberi galakan dan
perangsang supaya berlumba-lumba melakukan kebaikan melalui firman-Nya dalam
surah al-Baqarah ayat 148 yang bermaksud:

Berlumba-lumbalah kamu dalam perkara kebajikan.

37
Namun, proses ini dilakukan dengan penuh waspada agar prinsip-prinsip dalam tamadun
Islam tidak tercemar. Sebagai contoh, sistem kementerian yang diperkenalkan oleh
Khalifah Umar al-Khattab semasa pemerintahannya adalah mencontohi sistem yang
pernah dipraktiskan oleh kerajaan Rom tetapi digarap semula untuk disesuaikan dengan
roh ajaran Islam. Begitu juga di peringkat awal orang Islam belum mengenali tulisan,
kebanyakan daripada ahli-ahli akademik dan saintis yang aktif dalam tamadun ini terdiri
daripada orang-orang Yahudi, Kristian dan Zorastrian serta mereka yang baru memeluk
Islam. Dalam bidang falsafah dan ilmu, tamadun Islam menerima sumbangan daripada
tamadun Yunani, manakala dari tamadun India pula diambil ilmu matematik dan
astronomi.

Kesediaan menerima ilmu-ilmu daripada tamadun asing ini secara tidak langsung telah
membantu memperkayakan lagi bidang keilmuan Islam. Walau bagaimanapun, tamadun
Islam pada dasarnya banyak dipengaruhi oleh tamadun Arab yang menekankan
kepentingan dalam perkembangan kebudayaannya. Tamadun Arab dipanggil tamadun
Islam apabila Islam berjaya menyatukan orang-orang Arab, Parsi, Turki dan suku-suku
bangsa lain. Agama Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW telah mengubah sistem
politik, ekonomi dan sosial masyarakat Tanah Arab.

SOALAN DALAM TEKS 2.4

1. Sumber tamadun Islam adalah berbentuk mutlak dan tidak


berubah serta sesuai sepanjang zaman.
BETUL / SALAH

2. Qias juga adalah termasuk dalam sumber tamadun.

BETUL / SALAH

Semak jawapan anda di akhir bab ini.

2.6 ASAS-ASAS TAMADUN ISLAM

Tamadun Islam terbina atas dasar akidah dan diikat dengan syariah dan akhlak. Ketiga-
tiga asas ini amat penting dan tidak boleh diabaikan sama sekali. Pengabaian terhadap
aspek-aspek ini akan menjadikan tamadun yang dibina itu jauh menyimpang daripada

38
konsep tamadun Islam yang sebenarnya. Ketiga-tiga asas ini saling lengkap-melengkapi
antara satu dengan yang lain. Perkaitan antara ketiga-tiga perkara itu menunjukkan
tamadun Islam adalah sebuah tamadun yang diatur dan disusun perjalanannya mengikut
ketetapan Tuhan Yang Maha Esa. Ia bermula daripada mengenal Tuhan (akidah), diikuti
pedoman hidup (syariah) dan dihiasi serta dimantapkan dengan kemuliaan budi pekerti
(akhlak).

2.6.1 Akidah

Konsep akidah atau tauhid boleh diertikan sebagai satu deklarasi yang tulus bahawa
Tuhan adalah satu tanpa sebarang sekutu, tiada saingan, tiada yang setara dan tiada
apapun jua yang sama dengannya (Zakaria Stapa, 1998). Akidah dalam Islam
merupakan kepercayaan atau keimanan kepada hakikat dan nilai-nilai mutlak, tetap serta
kukuh dalam jiwa setiap Muslim. Ia merupakan perjanjian yang diikat antara makhluk
dengan penciptanya iaitu Allah SWT. Pegangan akidah yang kuat dan kukuh akan dapat
membebaskan diri manusia daripada tunduk dan patuh kepada sesuatu yang bersifat
makhluk, sama ada dalam bentuk berjirim (benda), roh dan sebagainya.

Perkataan akidah dari sudut bahasa adalah berasal daripada kata kerja aqada yang
bererti simpul atau ikat. Perkataan ini juga dikaitkan dengan jual beli aqada al-bay
yang bererti ikatan kontrak jual beli, dan pernah juga digunakan untuk makna perjanjian
aqada al-ahd iaitu mengeratkan ikatan perjanjian.

Manakala pengertian dari sudut istilah seperti yang dinyatakan oleh Ibn Taimiyyah
bahawa akidah itu perkara yang dibenarkan oleh jiwa, hati akan menjadi tenang
kepadanya, beroleh keyakinan dalam kalangan ahlinya serta tidak bercampur dengan
sebarang keraguan. Pengertian ini membawa maksud bahawa apa yang dikatakan akidah
itu adalah suatu perkara yang berbeza dengan syariat. Akidah merupakan amalan hati,
manakala syariat adalah kewajipan yang mesti dilaksanakan dalam bentuk praktikal.
Imam al-Ghazali pula memberi pengertian akidah sebagai berpegang dan membenarkan
dalam hati secara yakin dan pasti tanpa sebarang keraguan dan syak.

Definisi ini membawa makna bahawa akidah itu mestilah bersumberkan dalil yang pasti
dan meyakinkan. Justeru, syarat kepada penerimaan akidah yang suci bukan hanya
terletak kepada kepercayaan semata-mata. Kepercayaan mestilah dikuti dengan
keyakinan yang jitu dalam hati sanubari dan dipraktikkan dengan anggota atau
pancaindera seperti suruhan melakukan solat difahami melalui kepercayaan terhadap
perintah Allah SWT (wajib melaksanakannya), diyakini bahawa perintah yang gagal
dilaksanakan akan dibalas dengan balasan yang buruk (neraka). Maka, hal-hal yang
membabitkan kepercayaan dan keyakinan tentang sesuatu perintah akan dihantar isyarat
ke dalam hati lalu disampaikan sesuatu perintah dan larangan itu (wajib, haram, harus,
sunat dan makruh) kepada anggota untuk dilaksanakan. Inilah fungsi akidah dalam
membimbing individu agar sentiasa berada dalam kerangka ketaatan dan kepatuhan
kepada perintah-Nya. Sebagai asas kepada pembinaan tamadun Islam, kesan akidah
terhadap pembangunan masyarakat akan melahirkan tamadun yang mantap dan bebas
daripada sebarang penyelewengan. Akidah dapat membentuk perasaan ukhuwwah,

39
perasaan sayang-menyayangi dan hormat-menghormati sesama umat Islam yang
akhirnya melahirkan sebuah masyarakat yang maju dan hidup dalam keadaan aman.

2.6.2 Syariah

Syariah dari sudut bahasa bermaksud jalan ataupun tempat laluan air di sungai.
Dinamakan syariah kerana tempat laluan air yang mudah tanpa sekatan. Perkataan
syariah juga mengandungi 20 makna, antaranya jalan yang lurus, manhaj, manhaj yang
lurus, agama, kebaikan, mazhab dan lain-lainnya.

Syariah dari sudut istilah pula membawa maksud agama, iaitu apa-apa yang ditetapkan
oleh Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya melalui utusannya (rasul-rasul) yang
disampaikan melalui panduan kitab-kitab yang jelas lagi terang bagi memberi petunjuk
kepada manusia tentang hubungan mereka dengan Allah SWT dan dengan makhluk
yang lain. Justeru, syariah bermakna agama secara keseluruhan yang mencakupi dasar
dan bahagian-bahagiannya (WikiSyariah, 2011). Firman Allah SWT dalam surah al-
Maidah ayat 48 yang bermaksud:

Untuk setiap umat di antara kamu, kami beri aturan, yakni syariah atau
jalan yang terang.

Secara umumnya syariah membawa maksud undang-undang, aturan-aturan dan


ketetapan-ketetapan Allah SWT yang diperuntukkan kepada manusia bagi mengatur
hubungan manusia dengan penciptanya iaitu Allah SWT, hubungan manusia sesama
manusia dan hubungan dengan alam untuk mencapai kesejahteraan, keamanan dan
kedamaian di dunia bagi menjamin kebahagiaan kehidupan yang abadi di akhirat kelak.
Allah SWT berfirman dalam surah al-Jathiyah ayat ke-18 yang bermaksud:

Kesudahannya Kami jadikan engkau (Wahai Muhammad dan utuskan


engkau) menjalankan satu syariat (yang cukup lengkap) dari hukum-hukum
ugama; maka turutlah syariat itu, dan janganlah engkau menurut hawa
nafsu orang-orang yang tidak mengetahui (perkara yang benar).

1. Keistimewaan Undang-Undang Syariah

Undang-undang syariah mempunyai keistimewaannya yang tersendiri, antaranya ialah:

(i) Bersifat sempurna bagi memenuhi keperluan manusia dalam semua


bidang kehidupan.
(ii) Lengkap dalam mengatur kehidupan manusia daripada perkara yang
sekecil-kecilnya sehinggalah kepada perkara yang paling besar bagi
menjaga kesejahteraan manusia.
(iii) Bersifat bersepadu kerana ia memiliki prinsip-prinsip perundangan yang
mengatur urusan keduniaan dan keagamaan, tanpa batasan antara satu
sama lain.

40
(iv) Bersifat universal kerana tidak tertakluk kepada batasan kaum, iklim
mahupun sempadan geografi.
(v) Matlamat pelaksanaan undang-undang syariah adalah untuk mendapatkan
keredaan Allah SWT.
(vi) Bersifat tetap dan tidak mengalami perubahan sehingga hari kiamat.

2. Maqasid Syariah (Tujuan Syariah)

Pada asasnya, tujuan pensyariatan adalah untuk memenuhi tiga tuntutan yang utama
dalam kehidupan manusia. Tuntutan pertama yang mesti dipenuhi disebut sebagai
dharuriyyat bermakna sesuatu yang mesti ditunaikan ataupun dilaksanakan seperti
berpakaian, tempat tinggal, makan, minum dan lain-lain. Perkara kedua yang mesti
dilaksanakan adalah hajiyyat iaitu untuk melengkapi keperluan hidup seperti memiliki
kenderaan, pakaian yang melebihi daripada satu pasang dan lain-lain. Perkara yang
terakhir pula dinamakan tahsiniyyat iaitu menyempurnakan kehidupan seperti barang
hiasan, wangi-wangian, taman bunga dan lain-lain. Ketiga-tiga perkara ini melengkapi
antara satu dengan yang lain. Secara tidak langsung ia menghapuskan sebarang
kemudharatan, kepayahan dan kecacatan hidup.

3. Manifestasi Syariah dalam Tamadun Islam

Manifestasi pelaksanaan syariah dalam tamadun Islam adalah untuk mengatur


kehidupan manusia atas asas makruf dan mengelak kemungkaran. Apa yang
dimaksudkan dengan makruf ialah segala nilai luhur dan sifat baik yang selalunya
diterima oleh naluri manusia sebagai baik. Sebaliknya, mungkar membawa makna
segala macam dosa dan kejahatan yang selalunya dikecam oleh naluri manusia sebagai
jahat. Secara prinsipnya, syariah adalah bertujuan untuk menyelamatkan dan memelihara
lima perkara yang menjadi asas kepada kehidupan manusia iaitu:

(i) Memelihara Agama

Agama Islam adalah teras kepada tamadun Islam. Oleh itu, ia perlu
dipertahankan oleh penganutnya. Islam adalah agama Allah SWT dan
merupakan nikmat yang paling besar bagi menyelamatkan manusia
daripada segala bencana. Keistimewaan Islam sebagai agama di sisi Allah
SWT telah disebutkan melalui firman-Nya dalam surah al-Maidah ayat
3 yang bermaksud:

Hari ini Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu,


dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku
telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.

Sehubungan itu, seorang yang telah memilih Islam, maka wajib ke atas
mereka untuk menunaikan tanggungjawab sebagai Muslim dan sekiranya
keluar daripada Islam maka mereka dikira murtad. Bagi menjamin supaya

41
iman dan agama ini terpelihara, maka Islam telah memperuntukkan
undang-undang dan bentuk hukuman yang sepatutnya bagi orang yang
keluar daripada agama Islam ataupun golongan yang murtad. Tuntutan
memelihara agama juga terkandung dalam suruhan dan larangannya.
Sebagai contoh, seseorang itu disuruh menunaikan kewajipan yang
difardukan kepadanya seperti solat, puasa, zakat dan lain-lain, begitu juga
diperintah meninggalkan segala perbuatan yang dilarang seperti
mempercayai benda tahyul dan khurafat.

(ii) Memelihara Nyawa

Hak untuk hidup telah dikurniakan oleh Allah SWT kepada manusia.
Tuntutan memelihara nyawa terkandung padanya suruhan dan larangan.
Bukan hanya larangan sahaja yang diperintahkan sebaliknya saranan juga
mestilah diambil perhatian. Sebagai contoh, seseorang itu disaran supaya
mengambil makanan dan minum agar tidak memudaratkan badan yang
akan bertanggungjawab memenuhi segala perintah Allah SWT. Oleh
yang demikian, kehilangan nyawa bererti manusia itu mati dan hilang
daripada aktiviti kehidupan. Oleh itu, nyawa tidak boleh dicabut dengan
sewenang-wenangnya atau tanpa hak. Mereka yang melanggar
peruntukan undang-undang syarak ini dianggap telah melakukan jenayah
dan dosa besar dan hukumannya adalah berat tetapi seimbang. Islam juga
melarang penganutnya daripada membunuh diri sendiri. Firman Allah
SWT dalam surah al-Baqarah ayat 178 yang bermaksud:

Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan kepada


kamu qisas berkenaan dengan orang yang dibunuh; wanita
dengan wanita dan barangsiapa yang mendapat kemaafan
daripada saudaranya, hendaklah pihak yang memaafkan
mengikuti dengan cara yang baik dan hendaklah pihak
yang diberi maaf membayar diat kepada yang memberi
maaf dengan cara yang baik pula. Yang demikian itu satu
keringanan daripada Tuhan kamu dan suatu rahmat.
Barang siapa yang melampaui batas sesudah itu, maka
baginya siksa yang sangat pedih.

(iii) Memelihara Akal

Tuntutan memelihara akal terkandung di dalamnya saranan dan larangan.


Saranan supaya mempelajari ilmu itu adalah satu keperluan hidup yang
akan membantu seseorang menjalani kehidupannya dengan baik dan
dalam masa yang sama setiap perilakunya dikawal oleh ilmu yang
berperanan memandunya ke arah kebenaran. Sabda Nabi SAW yang
bermaksud:

42
Jadikanlah kamu orang yang alim atau orang yang
belajar atau orang yang mendengar atau orang kasihkan
ilmu dan jangan kamu jadi orang yang kelima (tidak mahu
kesemua perkara yang disebut) nescaya kamu binasa.

(Riwayat al-Baihaqi)

Justeru, dengan ilmu membolehkan akal mempunyai fungsi yang tinggi


dalam kehidupan manusia. Selain daripada membezakan manusia daripada
makhluk lain, akal jugalah yang akan menentukan sama ada manusia itu
layak untuk diberi tanggungjawab atau sebaliknya. Melalui akal, manusia
boleh menentukan sama ada sesuatu itu baik atau buruk, berkualiti ataupun
rosak dan dengannya jugalah manusia boleh maju dan berkembang.
Justeru, Islam sangat mengambil berat tentang pemeliharaan akal fikiran
dan melarang manusia daripada melibatkan diri dalam perkara-perkara
yang boleh menggugat kewarasan serta menghilangkan fungsi akal seperti
mengambil minuman keras dan dadah. Manusia yang hilang fungsi akal
akan membawa kerosakan kepada masyarakat dan tamadun. Dalam hal ini
Allah SWT berfirman dalam surah al-Maidah ayat 90 yang bermaksud:

Wahai orang-orang yang beriman, bahawa sesungguhnya


arak, judi, pemujaan berhala dan tenung nasib adalah
semuanya keji daripada perbuatan syaitan. Oleh itu,
hendaklah kamu menjauhi supaya kamu berjaya.

Setiap wasilah yang boleh menjerumus manusia ke lembah kehinaan dan


kesesatan diberi jalan keluar oleh agama. Oleh yang demikian akal adalah
suatu anugerah yang mesti dipelihara dengan baik agar dapat menguasai
diri manusia ke arah keredaan Tuhan.

(iv) Memelihara Kehormatan dan Keturunan

Manusia diperintahkan oleh Allah SWT agar memelihara kehormatan


atau dikenali dalam bahasa arab sebagai muruah atau marwah. Sebagai
jalan penyelesaian kepada masalah sosial maka manusia diperintah
supaya berkahwin agar muruah mereka terpelihara. Sabda Nabi SAW
yang bermaksud:

Wahai pemuda sesiapa di kalangan kamu yang mampu


untuk berkahwin maka berkahwinlah, jika tidak mampu
hendaklah ia berpuasa, dengan demikian dapat memelihara
diri daripada melakukan perbuatan yang dilarang.

(Riwayat al-Bukhari)

43
Justeru, Allah SWT mencipta manusia dengan sebaik-baik kejadian dan
kehormatannya perlu dijaga dan dikawal. Kehormatan diri manusia seperti
maruah diri, kehormatan keturunan dikawal menerusi sistem perkahwinan.
Perkara-perkara negatif seperti berzina, seks bebas, hubungan luar tabii
dilarang keras oleh Islam bertujuan semata-mata untuk memelihara
kehormatan dan kemuliaan keturunan manusia. Firman Allah SWT dalam
surah al-Isra ayat 32 yang bermaksud:

Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu


adalah suatu perbuatan yang keji dan jalan yang membawa
kesrosakan.

Menghampiri perkara yang boleh membawa kepada zina pun tidak dibenarkan apatah
lagi terjebak dengannya. Keunikan agama Islam itu terserlah pada setiap suruhan dan
larangan, pasti ada altenatif yang disediakan agar manusia tidak terkapai-kapai mencari
jalan penyelesaiannya.

(v) Menjaga Harta Benda

Islam telah menetapkan dan memberikan garis panduan mengenai hak


untuk memiliki harta benda dan kewajipan untuk mempertahankannya.
Sesiapa yang melucutkan harta seseorang tanpa kebenaran seperti
mencuri, menyamun dan menipu akan dikenakan hukuman yang berat.
Oleh itu, Islam telah mengatur aktiviti-aktiviti ekonomi yang
berpandukan syariah di bawah bab muamalah. Dalam surah al-Baqarah
ayat 88 Allah SWT berfirman yang bermaksud:

Dan janganlah kamu mengambil harta orang-orang lain


dengan jalan yang salah, dan janganlah kamu memberi
rasuah kepada hakim-hakim kerana hendak mengambil
sebahagian daripada harta manusia dengan berbuat dosa,
pada hal kamu mengetahui salahnya.

Berdasarkan huraian di atas, dapatlah difahami bahawa syariah


merangkumi segala perintah Allah SWT dalam bentuk hukum atau
peraturan yang bersifat menyeluruh dan sangat luas bidangnya. la
merangkumi seluruh perintah dan ketentuan Allah SWT yang
diwahyukan sama ada yang ditegaskan di dalam al-Quran ataupun yang
berasaskan kepada sunah. Di dalamnya terdapat aspek-aspek i'tiqadiyyah
atau batiniyyah iaitu hal-hal yang berkaitan dengan akidah dan keimanan
di samping aspek 'amaliyyah iaitu hal-hal yang berkaitan dengan ibadat,
muamalat, munakahat dan jenayah, dan akhir sekali aspek akhlaqiyyah
yang membahaskan mengenai budi pekerti atau moral manusia sebagai
individu yang bermasyarakat dan bernegara.

44
2.6.3 Akhlak

Akhlak dalam Islam adalah pemangkin kepada peradaban ummah. Akhlak boleh
diibaratkan sebagai bunga yang cantik dan mekar, berputik daripada pohon yang subur
setelah dibajai dan dikawal dengan rapi. Oleh yang demikian, bagi menjamin keutuhan
dan kemantapan sahsiah manusia, Allah SWT menjadikan seorang manusia yang
sempurna tabiat dan akhlaknya iaitu Nabi Muhammad SAW agar dijadikan contoh dan
tauladan kepada manusia. Firman Allah SWT dalam surah al-Qalam ayat 4 yang
bermaksud:

Sesungguhnya engkau wahai Muhammad mempunyai akhlak yang mulia.

Justeru, akhlak dalam Islam bukan suatu teori kerana konsepnya tidak sama dengan
konsep etika yang dibawa oleh Barat. Akhlak dalam Islam ialah sikap rohaniah yang
memuliakan tingkah laku manusia terhadap Allah SWT ,diri sendiri dan makhluk lain
sesuai dengan suruhan dan larangan serta petunjuk al-Quran dan hadis. Allah SWT
mengutuskan seorang rasul bukan sekadar membawa risalah, malahan sebagai ikutan
dalam pergaulan harian dan juga sebagai penunjuk adab kepada manusia. Firman SWT
dalam surah al-Ahzab ayat 21 yang bermaksud:

Sesungguhnya bagi diri kamu terhadap Rasulullah S.A.W adalah ikutan yang
baik.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud:

Allah mengadabkan aku dengan sebaik-baik adab.

(Riwayat Ibn Ashakir)

Akhlak adalah perkataan Arab, iaitu kata jamak (plural) daripada perkataan al-khuluq
yang bermaksud budi pekerti, tingkah laku dan tabiat. Perkataan akhlak adalah kata
terbitan daripada khalkan atau khalkun, berasal daripada kata terbitan yang sama antara
khaliq dan makhluq. Khaliq (Allah) sudah tentu mengkehendaki makhluknya (manusia)
berperangai seperti acuan yang dikehendaki-Nya. Manusia tidak boleh lari daripada
acuan tersebut kerana itulah penilaian dan kemahuan-Nya. Oleh yang demikian, manusia
mestilah berperangai seperti yang dikehendaki Allah SWT tidak seperti fahaman Barat
yang membahagikan perangai manusia mengikut pengalaman dan penafsiran mereka
sendiri.

Imam al-Ghazali mendefinisikan akhlak sebagai sifat yang tertanam dalam jiwa
seseorang dan daripadanya terbentuk perbuatan dengan mudah tanpa memerlukan
pertimbangan fikiran terlebih dahulu. Apabila perbuatan yang baik dan terpuji menurut
akal dan syariah terbit daripada jiwa, maka ia dinamakan akhlak yang baik atau
mahmudah. Sabda Nabi SAW yang bermaksud:

Sesungguhnya orang yang aku paling kasih dan hampir kepadaku pada
hari Qiamat adalah mereka yang baik akhlaknya.
(Riwayat Tirmizi)

45
Sifat inilah yang menjadi asas perhubungan manusia dan menjamin keselamatan,
keamanan dan kebahagiaan hidup berkeluarga dan bermasyarakat. Sebaliknya, jika
sekiranya yang keluar itu perbuatan yang buruk, ia dinamakan akhlak yang buruk atau
mazmumah. Sabda Nabi SAW yang bermaksud:

Sesungguhnya orang yang aku paling benci dan jauh daripadaku pada hari
Qiamat adalah mereka sombong.
(Riwayat Tirmizi)

Sifat ini bercanggah dengan ajaran al-Quran dan sunah dan amat dibenci serta dikeji
dalam Islam. Antara akhlak atau sifat mazmumah ialah menyekutukan Allah SWT,
berbohong, dengki, khianat, bakhil dan sebagainya. Islam amat menitikberatkan
persoalan akhlak kerana ia merupakan antara ciri yang membezakan manusia dengan
haiwan. Manusia tanpa akhlak yang baik akan hilang taraf dan sifat kemanusiaannya.
Akhlak juga menjadi penghubung yang erat antara fenomena keislaman seseorang
dengan keimanannya. Seseorang yang memiliki ketinggian akhlak juga mempunyai
darjat keislaman dan keimanan yang tinggi. Banyak sudah tamadun yang runtuh dan
menjadi sejarah disebabkan oleh kepincangan dan kerosakan akhlak manusia. Oleh itu,
Islam menyusun dengan begitu rapi sistem dan kaedah akhlaknya. Perutusan Nabi
Muhammad SAW itu sendiri adalah simbol kepada kepentingan akhlak dalam Islam. Ini
dijelaskan melalui hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari yang bermaksud:

Sesungguhnya aku (Muhammad) diutuskan untuk menyempurnakan akhlak


yang mulia.

SOALAN DALAM TEKS 2.5

1. Susun urutan yang betul di bawah berkaitan lima tujuan dan


prinsip syariah.
A. Agama, jiwa, akal, keturunan dan harta.
B. Agama, akal, jiwa, keturunan dan harta.
C. Agama, jiwa, keturunan, akal dan harta.
D. Agama, akal, harta, jiwa dan keturunan.
2.
2. Berikut adalah akhlak mazmumah KECUALI
A. riak.
B. rojak.
C. rasis.
D. rakus.

Semak jawapan anda di akhir bab ini.

46
2.7 KEMUNCULAN, PERKEMBANGAN DAN KEMEROSOTAN
TAMADUN ISLAM

Islam bermula sebagai sebuah agama dengan penurunan wahyu pertama di Mekah pada
tahun 610 Masihi. Bermula dengan keunikannya yang tersendiri di mana Gua Hira
sebagai tempat permulaan dan ilmu itu dijadikan sebagai pedoman dalam mengharungi
kehidupan yang penuh mencabar. Itulah prasyarat yang dikehendaki Allah SWT
terhadap hambanya agar Islam itu tersebar ke seluruh dunia dengan ilmu yang menjadi
penyuluh jalan kehidupan. Seterusnya ia berkembang ke suatu tempat atas pilihan Allah
SWT iaitu Madinah. Bermula dari sini, wujud sebuah negara Islam dan bertamadun
selepas berlakunya peristiwa Hijrah sekitar tahun 622 Masihi. Kelahiran tamadun Islam
agak berbeza dengan kelahiran tamadun-tamadun lain. Kelahirannya atas kehendak Ilahi
walaupun pada pemikiran manusia mana mungkin negeri yang berbatu dan berbukit
boleh dimajukan dan menjadi pusat kepada pentadbiran sesebuah negara. Justeru, akal
dan kelemahan manusia tentang kehendak dan kemahuan Tuhan-Nya adalah terbatas.
Firman Allah SWT dalam surah Yasin ayat 82 yang bermaksud:

Sesungguhnya apabila setiap perintah Allah dalam mengendaki sesuatu


perkara maka Allah berkata jadilah ia.

Inilah keunikan tamadun Islam kerana ia lahir di tengah-tengah padang pasir yang
kering kontang sedangkan tamadun lain menjadikan sungai, muara dan teluk sebagai
kawasan kelahirannya. Manifetasi daripada perbezaan tempat kelahiran ini adalah untuk
menjelaskan bahawa persekitaran bukanlah faktor penting kepada kewujudan sesebuah
tamadun tetapi apa yang penting ialah faktor manusia itu sendiri. Oleh sebab itulah
Rasulullah SAW mengambil masa selama 10 tahun bagi membentuk personaliti Muslim
yang unggul sebagai persediaan untuk membina tamadun yang lebih besar. Personaliti
Muslim yang dibentuk ini akhirnya telah berjaya membina tamadun Islam selepas
berlakunya penghijrahan ke Madinah. Proses mendidik dan membentuk peribadi Muslim
berterusan sehinggalah kewafatan baginda Rasulullah SAW pada tahun 632 Masihi dan
kemudiannya diteruskan oleh para sahabat sehinggalah ke penghujung zaman Khulafa
al-Rasyidin iaitu pada tahun 660 Masihi.

Generasi sahabat yang dibentuk oleh Rasulullah SAW telah berjaya menyebarkan
pengaruh tamadun Islam ke seluruh Semenanjung Arab, Mesir, Syria, Iraq dan Teluk
Parsi. Saidina Umar al-Khattab pernah berpidato tentang kemuliaan Islam itu adalah
terletak kepada mereka yang berpegang kepadanya bukan bangsa yang menjadi
kebanggaan sesetengah kelompok manusia. Beliau berkata:

Kami adalah satu kaum yang Allah Taala mulia dengan Islam. Selagi kami
mencari kemuliaan dengan Islam maka kami akan dimuliakan oleh Allah
sebaliknya jika kami mencari kemuliaan selain daripada Islam kami akan
terus dihina.

47
Keadaan ini berterusan sehingga lahirnya kerajaan Bani Umayyah. Selepas kerajaan
Bani Umayyah mula mengambil alih teraju pemerintahan dan pentadbiran negara Islam
pada tahun 661 Masihi, pengaruh tamadun Islam telah disebarkan pula ke Afghanistan,
Transaxonia, Multan dan Armenia. Tamadun Islam juga telah sampai ke Andalusia
(Sepanyol) semasa di bawah pemerintahan kerajaan Bani Umaiyyah yang diasaskan oleh
Abdul Rahman al-Dakhil 1. Selama 736 tahun, Islam telah berjaya bertapak di bumi
Andalus sehinggalah pada tahun 1492 Masihi apabila Sultan Muhammad II telah
dilucutkan daripada takhtanya oleh tentera Kristian.

Kerajaan Abbasiyyah yang menguasai politik dan pemerintahan negara Islam pada tahun
750 Masihi dikatakan sebagai zaman kemuncak kegemilangan tamadun Islam apabila
pengaruhnya telah tersebar luas sehingga sampai ke seluruh Afrika Utara, Andalusia,
seluruh India Utara dan Anatolia (Turki). Ketika era pemerintahan kerajaan ini juga ilmu
pengetahuan, seni, teknologi dan pembangunan negara berkembang pesat di samping
lahirnya ilmuan-ilmuan Muslim yang terulung seperti Ibn Sina (980-1037 M) iaitu
seorang tokoh falsafah, sains dan perubatan, Ibn al-Haitham (965-1039M) tokoh fizik
dan matematik dan juga al-Ghazali (1058-1111 M) tokoh falsafah, tasawuf dan
sebagainya sehingga bidang-bidang yang dipelopori oleh umat Islam telah menjadi
printis kepada pembangunan tamadun di Barat. Contohnya, Cristopher Colombus yang
menemui benua Amerika ketika belayar ke sana telah menggunakan peta ciptaan al-
Sharif al-Idrisi yang merupakan seorang ahli geografi Islam.

Pada tahun 1258 Masihi, tentera-tentera Monggol di bawah kepimpinan Hulagu Khan
telah menakluki pusat pemerintahan kerajaan Abbasiyyah di Kota Baghdad. Kesan
daripada pencerobohan ini, banyak khazanah keilmuan tamadun Islam yang tersimpan
telah dimusnahkan. Baitul Hikmah yang menjadi pusat kegiatan intelektual pada zaman
itu tidak lagi dapat beroperasi dan berperanan seperti sebelumnya.

Sementara itu, Daulah Uthmaniah Turki yang diasaskan secara rasminya sekitar tahun
1300 Masihi telah mencapai kemuncaknya apabila Sultan Muhammad II al-Fatih
berjaya menguasai Constantinople pada tahun 1453. Kerajaan Uthmaniah berjaya
melebarkan empayar mereka dan juga pengaruh tamadun Islam sehingga ke Eropah
Timur iaitu Bosnia, Serbia, Croatia, Bulgaria, Austria, Hungry dan juga Macedonia.
Empayar mereka juga telah berkembang sehingga ke Timur Laut Mediterranean, pesisir
Laut Merah, pesisir Laut Hitam dan seluruh wilayah Afrika Utara serta Teluk Parsi.

Di India pula, Zahiruddin Babar telah mengalahkan Sultan Delhi di Panipat dan
menubuhkan kerajaan Mughal (Moghul) pada tahun 1526. Kerajaan tersebut bertahan
selama 332 tahun. Zaman kemuncaknya ialah pada kurun ke-17 Masihi apabila telah
menguasai seluruh benua kecil India. Kerajaan Moghul mengalami kemusnahan apabila
sultan Bahadur Shah Zafar iaitu pemerintah kerajaan tersebut yang terakhir telah
digulingkan oleh British pada tahun 1858. Kejatuhan kerajaan ini juga telah mengakhiri
1000 tahun pemerintahan Islam di India.

Pada akhir kurun ke-18, kerajaan Uthmaniah Turki mula menjadi lemah apabila sedikit
demi sedikit wilayahnya di Eropah Timur dan Utara Afrika terlepas kepada kuasa

48
Eropah ataupun kepada serpihan kerajaan Islam yang lain. Kerajaan Uthmaniah yang
berdiri teguh selama 637 tahun akhirnya runtuh apabila sultan terakhirnya iaitu Sultan
Abdul Hamid telah digulingkan oleh Kumpulan Belia Turki atau The Young Turks
pimpinan Jeneral Mustaffa Kamal yang kemudiannya dilantik sebagai Presiden Turki
seumur hidup. Dengan ini, berakhirlah sistem khalifah dalam Islam dan tamadun Islam
mula memasuki zaman kemerosotan dan kemalapan. Keadaan ini berterusan sehingga
kini apabila negara-negara Islam yang pernah dijajah oleh kuasa Barat masih lagi
terbelenggu dengan pengaruhnya walaupun sudah mencapai kemerdekaan.

SOALAN DALAM TEKS 2.6

1. Kemuncak kepada kejayaan Daulah Uthmaniah Turki terletak di


tangan Mustafa Kamal Atartuk.
BETUL/SALAH

Semak jawapan anda di akhir bab ini.

2.8 CIRI-CIRI KEISTIMEWAAN TAMADUN ISLAM

Apabila membincangkan ciri-ciri keistimewaan tamadun Islam, sudah pastinya ciri-ciri


tersebut tidak akan terpisah daripada ciri-ciri Islam itu sendiri. Ini kerana Islam adalah
agama yang mendasari kehidupan masyarakat Islam dalam membina sebuah
ketamadunan yang berbeza dengan tamadun-tamadun lain. Keistimewaan tamadun
Islam ini dapat dilihat daripada ciri-ciri berikut:

1. Rabbani

Tamadun Islam adalah berpaksikan kepada tauhid atau akidah Islam. Ia mempunyai
matlamat dan tujuan yang ditentukan oleh penciptanya sendiri iaitu Allah SWT. Oleh
itu, tamadun Islam sama sekali tidak boleh dipisahkan daripada aspek ketuhanan.
Hubungan manusia dengan Allah SWT merupakan matlamat terpenting dan terakhir
dalam sebuah kehidupan atau tamadun, mengatasi kepentingan hubungan dengan yang
lain seperti ibu bapa, keluarga, saudara, kaum, bangsa, negara, kebendaan dan
sebagainya. Atas sifat rabbani inilah juga tamadun Islam memiliki nilai-nilai kebaikan,
ketenangan, kedamaian yang membawa kepada keamanan dan keharmonian hidup. Bagi
mencapai dan mengekalkan tamadun yang bersifat rabbani ini, Allah SWT menetapkan
syariat yang mesti diikuti oleh manusia dan ia tidak akan berubah atau boleh dipinda

49
seperti undang-undang ciptaan manusia. Tidak ada yang tidak lengkap atau yang salah
dalam syariat. Allah SWT sahaja yang menentukan setiap kehidupan manusia dengan
izin-Nya. Firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 48 yang bermaksud:

Bagi tiap-tiap umat yang ada di antara kamu, Kami jadikan (tetapkan)
suatu Syariat dan jalan agama (yang wajib diikuti oleh masing-masing).

2. Sempurna, Menyeluruh dan Sejagat

Tamadun Islam merangkumi segala sudut atau aspek kehidupan manusia sama ada yang
berkaitan hubungan dengan Allah SWT, hubungan sesama manusia dan hubungan
dengan alam. Peraturan dan akhlak Islam wujud dalam semua keadaan, tempat dan
masa. Tujuannya adalah untuk menyempurnakan kehidupan manusia secara menyeluruh
tanpa keterbatasan sama ada Islam atau bukan Islam. Oleh itu, tamadun Islam boleh
ditemui di mana-mana pelosok dunia kerana sifat kesejagatannya itu tidak boleh dibatasi
oleh sempadan atau batasan geografi, politik, sosiobudaya, bangsa dan sebagainya. Nabi
SAW yang diutuskan adalah membawa rahmat ke seluruh alam. Kesempurnaan agama
Islam terletak kepada pengamalan dan penghayatan penganutnya serta tiada yang lain.
Saidina Umar pernah berkata:

Kami adalah satu kaum yang Allah Taala muliakan dengan Islam. Selagi
kami mencari kemuliaan dan kesempuranaan dengan Islam Allah akan
muliakan kami sebaliknya jika kami mencari kemuliaan dan kesempurnaan
selain Islam kami akan dihina.

3. Sesuai dengan Fitrah dan Akal Manusia

Tamadun Islam dalam segala perkara tidak bertentangan dengan akal manusia, bahkan
membantu akal manusia mencapai ketinggian dalam menemui matlamat kehidupan
sebenarnya. Islam meletakkan akal sebagai sesuatu yang sangat berharga kerana dapat
membezakan manusia daripada makhluk lain. Segala yang disyariatkan itu pada
hakikatnya sesuai dan menepati fitrah manusia kerana Allah SWT sajalah yang
mengetahui hakikat dan kejadian manusia. Oleh itu, tidak akan berlaku percanggahan
antara akal dengan wahyu sekiranya akal manusia itu tidak dikuasai oleh hawa nafsu dan
syaitan. Percanggahan hanya berlaku apabila akal manusia dikuasai nafsu dan syaitan
kerana dikala itu akal tidak akan mampu lagi melihat kebaikan yang terkandung dalam
wahyu.

Sebagai contoh, agama Islam sesuai dengan fitrah dan akal manusia kerana setiap
perintah sama ada suruhan dan larangan Allah SWT itu memberi kemudahan kepada
manusia itu sendiri. Suruhan supaya berwuduk adalah sesuai dengan fitrah manusia
kerana anggota wuduk hanya yang melibatkan bahagian luaran sahaja dan tidak
menyukarkan seseorang melakukannya dan dalam masa yang sama melibatkan anggota
yang digunakan seharian. Larangan supaya seseorang tidak boleh menyakiti hati orang
lain dan hukumnya adalah haram kerana larangan tersebut bertujuan menjauhi dan
menghalang manusia daripada bermusuhan sesama sendiri.

50
4. Tidak Membebankan

Segala aspek kehidupan dalam tamadun Islam sebenarnya adalah ditetapkan dan
ditentukan oleh pencipta manusia itu sendiri iaitu Allah SWT. Sehubungan itu, Allah
SWT tidak mensyariatkan sesuatu perintah yang di luar kemampuan manusia untuk
melaksanakannya. Allah SWT telah memberikan keringanan (rukhsah) kepada manusia
menunaikan tanggungjawabnya pada keadaan-keadaan tertentu. Tidak ada kesulitan
dalam Islam untuk difahami atas sebab kerumitannya kerana segalanya telah diterangkan
oleh al-Quran, hadis dan ijtihad. Sebagai contoh seseorang perempuan tidak wajib
menunaikan solat, yang asalnya merupakan tiang agama. Ini kerana, seseorang yang
didatangi haid sudah tentu tidak mampu menqadakan solat setiap masa kerana mereka
adalah golongan yang didatangi haid setiap bulan dan solat pula mesti dilakukan setiap
hari. Jika kemudahan ini tidak diberikan Allah SWT kepada kaum wanita nescaya
membebankan mereka.

5. Keseimbangan antara Rohani dan Jasmani

Tamadun Islam adalah sebuah tamadun yang menekankan aspek kesimbangan antara
pencapaian rohani dan jasmani. Insan yang dilahirkan dalam tamadun Islam mestilah
sihat tubuh badan dan dalam masa yang sama mempunyai sifat-sifat rohani yang baik
seperti rendah diri, kasih sayang, hormat-menghormati dan lain-lain agar keseimbangan
antara kedua-dua unsur itu tidak terencat dan tempang. Pepatah Arab ada menyebut
akal yang sihat berada pada tubuh badan yang sihat. Justeru, dengan adanya
keseimbangan ini maka insan yang dilahirkan dalam tamdun Islam sudah tentu
mempunyai kehebatan dan keunggulannya yang tersendiri seperti kaum Ansar dan
Muhajirin. Tidak ada yang sehebat mereka yang telah dilahirkan. Penekanan ini adalah
selaras dengan fitrah kejadian manusia itu sendiri yang diciptakan daripada kedua-dua
unsur tersebut. Sehubungan itu, matlamat pencapaian tamadun Islam adalah
merangkumi kehidupan dunia dan akhirat. Kerana itu jugalah tamadun Islam tidak
berubah dari sudut tujuan dan matlamat pembentukan tamadun manusia, tetapi bersifat
anjal terhadap proses atau cara pelaksanaannya tanpa mengorbankan prinsip asas Islam
itu sendiri.

6. Terbuka dan Toleransi

Faktor keterbukaan dan toleransi merupakan salah satu sifat tamadun Islam yang
membolehkannya mudah diterima oleh kebanyakan manusia. Keterbukaan dalam
konteks ini bermaksud tamadun Islam yang wujud tidak terbatas kepada sempadan
tertentu. Tamadun Islam dapat menerima malah menggalakkan penerusan unsur-unsur
yang terdapat pada tamadun-tamadun lain, selagi ia tidak bertentangan dengan syariat
Islam. Atas dasar keterbukaan ini, dapat dilihat pada hari ini betapa berwarna-warninya
tamadun Islam, sesuai dengan keadaan serta situasi setempat.

Tamadun Islam berkembang ke luar dari Semenanjung Tanah Arab dan dapat diterima
dengan mudah oleh masyarakat tempatan. Ini kerana, Islam menjamin hak-hak asasi

51
masyarakat tempatan, sama ada beragama Islam ataupun bukan Islam. Jaminan ini
dinyatakan oleh baginda sendiri dalam hadis yang bermaksud:

Sesiapa yang menyakiti hati orang Zimmi (non Muslim yang mahu kepada
kedamaian Islam) maka dia menyakiti hatiku.

Ini jelas menunjukkan keterbukaan dan toleransi yang ditunjukkan dalam tamadun Islam
tidak seperti tamadun lain. Contohnya, meskipun terdapat permusuhan antara orang
Yahudi dengan orang Islam pada masa itu, namun umat Islam di bawah kerajaan
Uthmaniah Turki masih menghulurkan simpati menyelamatkan orang-orang Yahudi
daripada pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan oleh Carl Mark di Jerman. Selain
itu, bagi masyarakat tempatan yang sudah menganut Islam, mereka masih boleh terus
mengamalkan budaya serta adat resam mereka selagi tidak bertentangan dengan batasan
syarak. Manakala bagi masyarakat bukan Islam, hak-hak kemanusiaan mereka terus
terpelihara, sama ada dari sudut kebebasan beragama, berbudaya, keselamatan dan
sebagainya. Melalui sifat toleransi tersebut, keharmonian serta keamanan dapat
dikekalkan dalam masyarakat setempat.

SOALAN DALAM TEKS 2.7

1. Tamadun Islam hanya sesuai pada zaman Nabi SAW dan para
sahabat.
BETUL/SALAH

2. Tamadun Islam bersifat terbuka kepada semua tamadun lain


asalkan tidak bercanggah dengan syariat.

BETUL/SALAH

3. Berikut adalah benar berkaitan tamadun Islam KECUALI


A. Seimbang
B. Sempurna
C. Semasa
D. Sedia

Semak jawapan anda di akhir bab ini.

52
2.9 SUMBANGAN TAMADUN ISLAM KEPADA PERADABAN DUNIA

Tamadun Islam telah mencetuskan perubahan yang amat besar dan menyeluruh kepada
kehidupan manusia tanpa mengira bangsa, keturunan, warna kulit dan sebagainya.

2.9.1 Kepercayaan Berasaskan Akidah

Islam telah mengubah sistem kepercayaan dan asas kebudayaan yang bersandarkan
kepada agama politiesme kepada agama tauhid atau monotiesme. Islam menjadikan
kepercayaan kepada Allah SWT sebagai kepercayaan yang bersifat mutlak sekali gus
membebaskan manusia daripada penyembahan berhala, animisme, tahyul dan
sebagainya. Pegangan kepada akidah yang benar ini juga merupakan asas kemakmuran
dan kebahagiaan hakiki yang dicapai oleh sesuatu tamadun yang diusahakan oleh
manusia, kerana ia menjamin kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Seorang sahabat Nabi
SAW yang bernama Rube bin Amir yang menjadi utusan untuk bertemu Maharaja Rom
pernah mengungkapkan kepercayaan yang berasaskan akidah kepada Maharaja Rom
dengan berkata:

Allah mengutuskan Rasul yang mengajar kami untuk mengeluarkan


manusia yang dikehendaki Allah daripada penghambaan kepada manusia
kepada penghambaan kepada Allah yang Esa.

2.9.2 Sosiobudaya

Kebudayaan primitif yang bersifat bersahaja dan sekadar cukup hidup telah bertukar
kepada kehidupan yang lebih maju dan moden. Ini berlaku apabila kehidupan nomad
telah bertukar kepada kehidupan menetap yang akhirnya membawa kepada kewujudan
bandar-bandar, kota metropolitan, sistem pentadbiran dan pengurusan yang tersusun rapi
serta keperluan asas yang lain. Manakala bani-bani, bangsa-bangsa, kaum-kaum yang
bertelagah dan berperang sesama sendiri telah disatukan dengan ikatan kesatuan akidah
dan umat Islam yang satu. Islam mengajar bahawa manusia adalah sama di sisi Allah
SWT berdasarkan firman-Nya dalam surah al-Hujurat ayat 13 yang bermaksud:

Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu


dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai
bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan
beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-
mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara
kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya
Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan
keadaan dan amalan kamu).

53
2.9.3 Ekonomi

Islam telah memperkenalkan sistem ekonomi yang dilaksanakan mengikut hukum dan
peraturan khusus yang berkaitan dengan aktiviti atau kegiatan manusia dari aspek
penggunaan sumber, pengagihan, pengeluaran, pertukaran dan sebagainya. Satu perkara
yang penting dalam kegiatan ekonomi ini ialah pengharaman riba dalam segala urusan
jual beli dan pertukaran barangan. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 275
yang bermaksud:

Allah Taala menghalalkan jual beli dan mengharmakan riba,

Perkara ini jelas menggambarkan sistem yang boleh merosakkan perpaduan masyarakat
disekat dalam Islam. Sebaliknya, perkembangan ilmu pengetahuan dan teknologi moden
yang menggantikan teknik-teknik tradisional dalam aktiviti ekonomi diberi galakan dan
diharuskan. Perubahan ini telah membawa manusia kepada kegiatan ekonomi dunia
yang lebih terbuka daripada sebelumnya yang terikat dengan corak ekonomi desa.

2.9.4 Politik

Fahaman politik sempit yang diasaskan kepada bangsa, puak, suku, warna kulit,
keturunan dan negara tidak diterima pakai oleh Islam. Ketegasan Nabi Muhammad
SAW jelas sekali menolak segala unsur dan fahaman kepuakan dan assabiyyah. Sabda
Nabi SAW yang bermaksud:

Bukanlah daripada kalangan kami (umat Muhammad) orang yang


menyeru kepada kepuakan.
(Riwayat Abu Daud)

Sebaliknya, tamadun Islam telah menyatupadukan bangsa dan wilayah yang terpisah ini
di bawah satu pemerintahan yang berbentuk khalifah. Al-Quran merupakan
perlembagaan bagi sistem politik Islam, pelaksanaan konsep syura dalam membuat
keputusan pemerintahan dan pentadbiran adalah diutamakan.

2.9.5 Ilmu Pengetahuan

Tamadun Islam sangat menekankan kepentingan ilmu pengetahuan dalam kehidupan.


Kedatangan Islam telah membawa satu revolusi pemikiran dan ilmu baharu yang
bersandarkan kepada wahyu. Corak fikiran animis, jumud dan tahyul telah digantikan
dengan pemikiran falsafah yang sistematik, rasional dan universal. Islam dengan
tegasnya membezakan orang yang berilmu dengan yang tidak berilmu. Orang yang
berilmu mendapat kedudukan yang tinggi di sisi Allah SWT berdasarkan firmannya
dalam surah al-Zumar ayat 9 yang bermaksud:

Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang


yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang-orang yang dapat

54
mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang
berakal sempurna.

SOALAN DALAM TEKS 2.8

1. Kepercayaan berasaskan akidah adalah sumbangan besar tamadun


Islam terhadap tamadun dunia.
BETUL/SALAH

Semak jawapan anda di akhir bab ini.

2.10 JIHAD DALAM ISLAM

Perkataan jihad dalam bahasa Arab yang diambil daripada perkataan jahada yang
bermaksud mencurahkan kemampuan atau disebut juga seruan kepada agama yang hak.
Menurut Hasan al-Banna, jihad adalah salah satu kewajipan terhadap Muslim yang
berlanjutan hingga ke hari kiamat. Tingkat terendahnya berupa penolakan hati atas
keburukan atau kemungkaran dan yang tertinggi adalah berperang pada jalan Allah
SWT. Oleh yang demikian, kalimah jihad secara umumnya bermaksud setiap usaha
yang memerlukan curahan tenaga dan kekuatan demi untuk mencapai matlamat dan cita-
cita mulia serta ideal untuk menegakkan kebenaran dan kebaikan demi untuk
memartabatkan Islam di bumi Allah SWT serta mengharapkan ganjaran dan keampunan
daripada-Nya.

Jihad satu konsep yang umum merangkumi segala aspek perjuangan menegakkan agama
Islam yang suci. Ia bermula daripada usaha menguasai diri sendiri sebagai Muslim yang
setia, membina keluarga Islam yang utuh sebagai asas kepada pembinaan masyarakat
Islam yang kukuh, melaksanakan ajaran dan segala peraturan Islam dalam kehidupan.
Jihad juga menekankan aspek mempertahankan kesucian Islam sama ada peringkat diri,
keluarga, masyarakat dan negara daripada ancaman musuh dari dalam dan luar. Secara
umumnya, jihad boleh dibahagikan kepada tiga jenis iaitu jihad nafsu, jihad ilmu dan
perdidikan serta jihad mempertahankan kesucian Islam.

2.10.1 Jihad Nafsu

Manusia dicipta daripada dua unsur iaitu jasmani dan rohani. Jin, iblis dan syaitan
adalah musuh asli dan abadi manusia yang pernah berlaku dalam sejarah kehidupan

55
manusia sebagaimana Adam a.s. dan Hawa pernah termakan pujukan syaitan kerana
memakan buah daripada pokok yang dilarang oleh Allah SWT sehingga mereka berdua
dikeluarkan dari syurga. Al-Quran menerangkan secara jelas dan terperinci perancangan
jahat dan tipu daya syaitan untuk menyesatkan manusia. Perang kemusnahan iblis dan
syaitan terhadap manusia bermatlamatkan merosakkan ketulenan akidah dan tauhid
terhadap Allah SWT, keikhlasan ibadah dan ubudiyyah serta kejernihan dan kesucian
akhlak Muslim. Oleh itu, jihad nafsu ialah segala usaha dan kesungguhan untuk
membersihkan jiwa daripada sifat-sifat yang rendah dan keji kepada sifat-sifat yang
mulia dan terpuji, daripada kegelapan dan kekotoran syirik kepada kejernihan dan sinar
tauhid serta membina keikhlasan hati nurani dalam beribadah kepada Allah SWT.

Segala keadaan dan situasi yang ada di sekeliling umat Islam sekarang menunjukkan
bahawa perjuangan atau jihad yang perlu dihadapi oleh umat Islam sejagat lebih
menyeluruh. Ia bermula daripada jihad agung (al-jihad al-akbar), iaitu menguasai diri
sendiri supaya berdisiplin penuh mengikut kaedah dan tatacara Islam sehingga kepada
membina semula kecemerlangan dan kegemilangan tamadun Islam. Tuntutan tersebut
merupakan tugas manusia sebagai khalifah yang bertanggungjawab memakmurkan bumi
dengan panduan dan ketetapan Tuhan. Firman Allah SWT dalam surah al-Hajj ayat 41
yang bermaksud:

Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan
memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta
memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang
dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar dan (ingatlah) bagi
Allah jualah kesudahan segala urusan.

2.10.2 Jihad Ilmu dan Pendidikan

Tuntutan jihad ilmu dan pendidikan diletakkan selari dengan jihad mempertahankan
agama berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al-Taubah ayat 122 yang
bermaksud:

Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya
(pergi berperang); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-
tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu
mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam agama dan
supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila
orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat
berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah).

Justeru, umat Islam harus melihat kepentingan menguasai ilmu dan teknologi sebagai
amat releven untuk mengangkat martabatnya. Globalisasi yang mendatangi kita kini
amat mencabar dan kesannya amat hebat. Umat Islam jangan bersikap terlalu mudah
(simplistic) terhadap perubahan dan kemajuan. Isu utamanya bagaimana kita menangani
dan mengurus perubahan. Ia memerlukan strategi yang tinggi kebijaksanaan yang hebat
supaya perubahan atas nama globalisasi tidak membelenggu kita dengan penjajahan

56
bentuk baharu. Umat Islam perlu mengarahkan maksud jihad kepada pembangunan ilmu
dan pendidikan, menghidupkan budaya penyelidikan dan penerokaan kepada bidang-
bidang baharu dalam dunia intelektual kini. Dalam masa yang sama, kita mampu
menampilkan keunggulan ilmu-ilmu dan proses pendidikan yang Islami supaya akhirnya
umat Islam mampu bangun dengan acuannya sendiri.

Al-Quran sering memaparkan tradisi membaca atau iqra bahkan ayat pertama yang
diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW menjelaskan konsep ini. Begitu juga konsep
ulul albab yang memberikan fokus kepentingan ilmu dan peranan para ilmuan dalam
membangunkan tamadun. Al-Quran memberikan keutamaan berfikir berasaskan
kekuatan akal dan menginsafi peristiwa-peristiwa dan musibah yang terjadi dan
keutamaan merenung, mengkaji dan menyelidik mengenai hakikat kejadian alam dan
hubungan dengan manusia berasaskan prinsip al-Quran.

2.10.3 Jihad Mempertahankan Kesucian Islam

Bagaimana pula pentafsiran Islam mengenai jihad mempertahankan Islam dan umatnya
daripada pencerobohan musuh-musuh Islam sebagaimana yang berlaku kepada umat
Islam di Palestin yang ditindas oleh rejim Yahudi. Isu Palestin adalah isu pencerobohan
zionis terhadap kesucian Islam di bumi Palestin dan masjid al-Aqsa yang dimuliakan
oleh Allah SWT. Rakyat Palestin telah mencuba pelbagai cara dalam usaha untuk
membebaskan bumi Palestin dan untuk mendapatkan semula hak mereka yang telah
dirampas oleh tentera zionis Yahudi. Antaranya, melalui perjanjian damai, persidangan,
perundingan serta mengikut pelan damai yang dianjurkan oleh Pertubuhan Bangsa-
Bangsa Bersatu (PBB). Begitu juga Amerika Syarikat yang menjadi sekutu Israel telah
menabur janji untuk memberikan kekuasaan dan sebuah negara Palestin yang merdeka
juga melalui jalan buntu.

Rakyat Palestin yang telah muak dengan janji-janji kosong ini telah bangkit memilih
jalan lain untuk merungkai permasalahan yang menimpa mereka dengan bangkit
menentang, berjuang menerusi jihad memerangi tentera Israel yang telah mencabuli hak-
hak mereka, membunuh, merampas tanah orang Islam menyeksa dan membunuh kanak-
kanak, memerangi kaum lelaki, menganiayai wanita melalui ugutan dan berbagai-bagai
penderaan yang dilakukan oleh tentera zionis tersebut.

Dalam situasi begini, jihad dalam erti kata memerangi musuh Islam adalah amat wajar
dan tidak boleh dipinggirkan dengan begitu sahaja terutama dalam konsep membina
kekuatan persenjataan dan ketenteraan yang maju dan canggih. Firman Allah SWT
dalam surah al-Anfal ayat 60 yang bermaksud:

Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh)


segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan
berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu
musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka
yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya dan apa

57
sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan
balasannya kepada kamu dan kamu tidak akan dianiaya.

2.11 KESIMPULAN

Tamadun Islam merupakan tamadun yang unik sama ada dari segi lokasi kelahirannya
atau perkembangannya. Melalui perjuangan Nabi Muhammad SAW dan sahabat-
sahabatnya selama 23 tahun, Islam dapat dikembangkan sebagai anutan sehingga kini di
seluruh dunia. Pengorbanan yang ditunjukkan adalah perjuangan suci dan unggul yang
tiada tolok bandingnya. Kesempurnaan Islam dan tamadunnya adalah kerana al-Quran
dan sunah dijadikan sebagai landasan hidup serta berpijak pada asas-asas yang kukuh
dan nyata. Kandungan tamadun itu sendiri terdiri daripada akidah, syariah dan akhlak
sebagai pemacu kepada kehidupan rohaniah dan jasmaniah. Selain itu, Islam juga
menerima ijtihad dan pembaharuan yang selari dengan perkembangan manusia dan
tamadun dunia berdasarkan keimanan kapada Allah SWT.

SOALAN DALAM TEKS 2.9

1. Musuh manusia yang asli adalah dalam kalangan iblis dan syaitan.

BETUL/SALAH

Semak jawapan anda di akhir bab ini.

58
SOALAN PENILAIAN KENDIRI

1. Apakah sumbangan tamadun Islam kepada peradaban dunia?


2. Ruang lingkup pandangan semesta tamadun Islam perlu dilihat kepada beberapa
konsep yang membentuk tamadun Islam itu sendiri. Bincangkan.
3. Bincangkan ciri-ciri keistimewaan tamadun Islam?

Semak jawapan anda di akhir modul kursus ini.

JAWAPAN SOALAN DALAM TEKS

SDT 2.1

1. Betul
2. A

SDT 2.2

1. Betul

SDT 2.3

1. D

SDT 2.4

1. Betul
2. Betul

SDT 2.5

1. A
2. B

SDT 2.6

1. Salah

59
SDT 2.7

1. Salah
2. Betul
3. D

SDT 2.8

1. Betul

SDT 2.9

1. Betul

60

Anda mungkin juga menyukai