Anda di halaman 1dari 6

Buku: Peradaban Islam di Asia Isu Sejarah, Pendidikan dan Sains Sosial

Editor: Nurul Wahidah Fauzi & Wan Nur Amirah

Penerbit USIM

ISBN: 978-967-440-337-9

Buku kompilasi yang bertajuk Peradaban Islam di Asia: Isu Sejarah, Pendidikan dan Sains Sosial ini
disusun oleh Dr Nurul Wahidah Fauzi dan Dr Wan Nur Amirah Wan. Mohd. Sabri dan mengandungi 14
artikel yang disumbangkan oleh 28 penulis.

Buku ini merupakan kumpulan makalah dalam bidang sejarah dan tamadun Islam merangkumi pelbagai
disiplin yang dikelompokkan kepada beberapa tema utama iaitu konsep tamadun menurut pandangan
ahli sejarawan dan cendekiawan, kegemilangan dan warisan peradaban Islam, berserta perbahasan
mengenai isu-isu semasa Tamadun Islam dalam peradaban dunia. Buku ini membahaskan ilmu
historiografi Islam dan konsep sejarah, disiplin dalam penulisan sejarah Islam dengan rentetan peristiwa
sejarah yang membabitkan ilmuwan dalam bidang sosial, matematik dan sains secara kolektif di
peringkat antarabangsa dan lokal.

Buku ini menelaah perihal ilmu peradaban Islam di Asia dengan perbahasan meliputi aspek sejarah,
pendidikan dan sains sosial. Umumnya buku ini dibahagikan kepada beberapa tema utama iaitu konsep
tamadun, kegemilangan dan warisan tamadun Islam dan budaya dan warisan peradaban silam dalam
Tamadun Melayu dan Tamadun Islam secara umumnya. Isi kandungan setiap bahagian telah
memperlihatkan dengan lebih konkrit akan perbahasan sekitar peradaban Islam yang bukan sahaja
memperlihatkan keindahan Islam, kebijaksanaan tokoh-tokoh Islam dan tokoh di Tanah Melayu dalam
memartabatkan sistem pendidikan Islam di Negara ini dan memahami moderniti dalam perkembangan
dalam kelangsungan tamadun kontemporari.

Bab terawal adalah berjudul Peradaban Islam di Asia: Martabat Wanita Dalam Bidang Sains dan
Pendidikan oleh Nurulwahidah Fauzi dan Siti Norbaya Mat Yacob membahaskan keterkaitan di antara
Islam, peradaban serta sumbangan wanita terhadap sejarah pembangunan sains dan pendidikan dalam
dunia Islam sejak kurun ke-14 yang lalu. Kupasan lanjut mengenai sejarah wanita dalam kelompok
bangsa yang berbeza-beza dan juga mengenai sumbangan wanita dalam membina peradaban Islam,
sekali gus mengangkat martabat dan kualiti hidup mereka dalam sistem Islam yang tertib dan teratur.

Kedatangan Islam ke Alam Melayu: Kesan dan Perubahan yang ditulis oleh Ahmad Nasir Mohd Yusoff
membicarakan mengenai teori kedatangan Islam di Alam Melayu yang menyentuh secara langsung masa
dan cara kedatangan Islam sampai ke Alam Melayu melalui negara-negara tertentu. Selain itu, teori
penyebaran Islam di Alam Melayu pula menyentuh tentang faktor yang mempercepatkan penyebaran
Islam di Alam Melayu dan golongan yang memberikan sumbangan dalam proses pengislaman
masyarakat di Alam Melayu. Penulis ini mengakhiri perbincangan dengan menyatakan tidak mustahil
bahawa Alam Melayu akan maju kehadapan sebagai sebuah kuasa yang boleh dibanggakan di alaf
baharu. Ia juga tentunya mampu bersaing dengan tamadun-tamadun lain, khususnya yang sedia ada
iaitu tamadun Eropah Barat.

Selain itu, ulasan mengenai kaedah penulisan sejarah menurut Islam juga telah dihuraikan oleh Ahmad
Faathin, Azmul Fahimi Kamaruzaman dan Ezad Azraai Jamsari dalam artikel mereka Konsep
Historiografi Islam. Artikel ini membahaskan mengenai disiplin dalam penulisan sejarah Islam dengan
rentetan peristiwa sejarah terhadap segala peristiwa silam mahupun sezaman. Skop dalam ilmu sejarah
dan historiografi itu amat luas seluas kehidupan manusia itu sendiri, kerana subjek utama kepada kajian
sejarah adalah kajian terhadap perbuatan dan tingkah laku manusia. Ia tidak terbatas kepada
perbahasan mengenai sesuatu bangsa atau generasi dalam sesuatu zaman tertentu, bahkan
merangkumi semua perkara yang berlaku dalam kehidupan manusia tanpa dilingkungi zaman. Skop ilmu
sejarah dan historiografi adalah bermula sejak penciptaan nabi Adam a.s bahkan sehingga awal
penciptaan makhluk lagi.

Perbincangan konsep al-'Umran telah dijalankan oleh beberapa penulis dan ulama, menangani dari
perspektif yang berbeza seperti sosial sains, politik, ekonomi, sejarah, falsafah dan sosiologi telah diulas
oleh Asyiqin Ab Halim dalam artikel beliau bertajuk The Construction of the Concept of Al-Umran by
Ibn Khaldn: A Historical Discourse Analysis. Objektif kajian ini, antara lain termasuklah bagi
mengembangkan dan memperluaskan lagi minda masyarakat Islam di rantau ini, khususnya dalam
bidang sains sosial Islam, di samping mendedahkan kepentingan `umran dalam bidang kehidupan
sebagai salah satu sumber ilmu agama dan budaya masyarakat Islam. Tujuan lain adalah untuk
memperlihatkan sumbangan Ibn Khaldun dalam bidang agama, sains sosial dan kemanusiaan, serta
menyuntik nilai budaya murni `umran dalam bidang akademik dan pendidikan di dunia Islam.

Sumbangan sarjana Islam pula telah dikupas dengan lebih mendalam dalam artikel The Position of
Algebra in Science of Faraid: The Role of Al-Khwarizmi in his book Al-Jabr wa al-Muqabalah oleh
Madiha Baharuddin. Al-Khawarizmi ialah seorang tokoh yang pertama kali memperkenalkan aljabar dan
hisab. Banyak lagi ilmu pengetahuan yang beliau pelajari dalam bidang matematika dan menghasilkan
konsep-konsep matematika yang begitu popular yang masih digunakan sehingga sekarang dalam kitab
beliau. Kajian ini mampu mengukuhkan kefahaman pembaca tentang sumbangan Al-Khawarizmi dalam
ilmu faraid dengan pengiraannya berdasarkan ilmu matematik, prinsip-prinsip ilmu faraid, dan
bagaimana formula matematik beliau mampu menyelesaikan isu-isu yang berkaitan dengan waris dan
harta pusaka.

Kupasan lanjut mengenai sumbangan al-Khawarizmi dalam dunia Islam telah diambil tanggunjawab oleh
penulisan Salmah Omar dengan tajuknya Sumbangan Sarjana Islam dalam Bidang Matematik. Artikel
ini, selain mengupas mengenai latar belakang al-Khawarizmi dan kerjaya semasa beliau bekerja di
bawah pemerintahan Khalifah al-Mamun, dan di Bayt al-Hikmah di Baghdad, turut mengupas mengenai
sumbangan Khawarizmi dalam ilmu geografi. Beliau tidak hanya menyemak pandangan Patolemy
mengenai geografi tetapi juga membetulkannya termasuk dalam melakar peta dunia. Al-Khawarizmi
ialah saintis pertama yang melakar peta dunia pada tahun 830M iaitu 10 tahun sebelum beliau
meninggal dunia. Hasil kerjanya yang lain turut meliputi kerja-kerja asal berkaitan dengan jam, alat yang
menunjukkan waktu dengan bayangan matahari serta kaji bintang. Hasil penemuannya dibukukan dan
beberapa bukunya telah diterjemahkan ke dalam bahasa Latin pada awal kurun ke-12. Buku Al-
Khawarizmi mengenai kira-kira, Kitab al-Jam'a wal-Tafreeq bil Hisab al-Hindi telah hilang di benua Arab
tetapi masih boleh diperoleh dalam buku yang diterjemahkan ke dalam bahasa Latin. Buku geografinya,
Kitab Surat-al-Ard bersama-sama peta lakarannya juga telah diterjemahkan. Selain itu, beliau turut
menulis kalendar Yahudi, Istikhraj Tarikh al-Yahud. Beliau juga menulis Kitab al-Tarikh dan buku
mengenai alat yang menunjukkan waktu dengan bayangan matahari dikenali Kitab al-Rukhmat.

Sumbangan tokoh ilmuwan Islam di Tanah Melayu pula dapat dilihat melalui pemikiran Tun Dr. Mahathir
Mohamad melalui artikel Pendidikan Era Globalisasi Menurut Pandangan Tun Dr. Mahathir Mohamad
oleh Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri dan Muniroh Abdul Rohman. Isu pendidikan melalui program
Perdana Discourse Series dibahaskan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad telah mengambil kira beberapa
keperluan utama iaitu belajar melalui sejarah lalu, sistem pendidikan agama di Malaysia, penyerapan
ilmu pengetahuan dalam kalangan masyarakat, kemahiran yang perlu dikuasai, semangat kesedaran,
slogan Malaysia Boleh, nilai-nilai murni dalam pendidikan, penyalahgunaan ilmu pengetahuan,
penyampaian nilai-nilai murni dan peranan guru agama.

Tokoh ulama di Alam Melayu yang turut dibincangkan adalah bertajuk Peranan dan Sumbangan Haji
Ismail dalam Memperkukuhkan Pendidikan Agama di Negeri Johor Darul Tazim oleh Abdul Kadir
Mohamad dan Kamaruzaman Yusoff. Haji Ismail ialah seorang tokoh yang tersohor di dunia Melayu pada
abad ke-20M dalam bidang pendidikan dengan memperlihatkan pelbagai usaha dan pembaharuan yang
dilakukan bagi mengukuhkan dan memajukan pendidikan Islam di Johor Darul Tazim khususnya
pendidikan aliran Arab. Antaranya dengan menerapkan pelbagai kaedah pengajaran dan pembelajaran
ketika menjadi guru di Madrasah dan Kuliah Al-Attas. Di samping itu, beliau telah meningkatkan mutu
pendidikan agama aliran Arab dengan memperkenalkan sukatan pelajaran yang holistik yang
menggabungkan pelajaran agama, Arab dan akademik di SAR, Kolej Islam Malaya dan Maahad Johor.
Dari segi kemajuan fizikal pendidikan Islam pula, Haji Ismail bersama-sama ulama lepasan Timur Tengah
yang lain telah menjadi perintis kepada kemajuan pendidikan agama dan Arab di peringkat pengajian
tinggi. Ini dilihat menerusi gagasan idea dan usaha mereka yang membawa kepada penubuhan Kolej
Islam Malaya dan Maahad Johor. Selain itu, beliau juga menggunakan medium penulisan bagi memupuk
kesedaran masyarakat tentang kepentingan pendidikan serta turut menyumbang idea bagi
meningkatkan mutu pendidikan Islam di negara ini.

Tokoh seterusnya dengan usaha menyebarluaskan ajaran agama Islam di Sabah diulas dalam artikel
bertajuk Tun Datu Mustapha Datu Harun dan Sumbangannya dalam Perkembangan Islam di Sabah
karya Abd Hakim Mohad dan Ros Aiza Mohd Mokhtar. Tokoh ini ialah seorang pemimpin yang
mempunyai semangat juang yang tinggi dalam mengangkat martabat agama Islam dengan berusaha
menubuhkan dua organisasi Islam yang dapat menjaga kebajikan umat Islam di Sabah. Tun juga terlibat
secara langsung dalam menjalankan dakwah Islam hingga ke pedalaman. Beliau secara peribadi telah
turun padang membantu para mubaligh menarik masyarakat peribumi di Sabah untuk menerima Islam
sebagai agama anutan mereka. Sehingga hari ini, nama Tun amat sinonim dengan program pengislaman
beramai-ramai.

Perbahasan mengenai Konsep Seni Dalam Islam oleh Nor Adina Abd Kadir dan Nang Naemah Nik
Dahlan yang memberi pengetahuan bahawa Islam telah dihidupkan dengan pelbagai bentuk seni yang
sesuai dengan kemajuan ilmu pengetahuannya antaranya ialah seni khat, seni bina, seni suara, lagu dan
irama, seni sastera, seni pembuatan dan sebagainya. Artikel ini secara tuntasnya mengupas lanjut
mengenai konsep seni dalam Islam, manfaat dan keindahan seni dalam al-Quran, peranan dan prinsip
seni, sekali gus mampu memberi tambahan idea kepada para pembaca akan kepentingan seni sebagai
salah satu elemen utama dalam pembentukan sesebuah tamadun itu sendiri.

Wacana Revisiting The Islamic Heritage of Environmental Wisdom: Vital Aspects on Harmony of Man
With Nature oleh Asmawati Muhamad dan Abdul Halim Syihabini membincangkan dengan tuntas karya
tafsir klasik dan kontemporari yang merumuskan bahawa al-Quran menggesa manusia untuk
memikirkan dunia semula jadi dan komponennya kerana mereka adalah ayat (tanda-tanda) bagi
manusia untuk mengetahui Pencipta alam semesta ini. Selain itu, ia memberikan kritikan kepada orang-
orang yang beriman kepada konsep politeisme, karut dan tidak percaya kepada Tuhan alam. Asas ajaran
al-Quran pada alam semula jadi berakar umbi daripada kepercayaan tauhid yang merangkumi
pandangan dunia yang holistik mengenai komponen alam sekitar dan alam semesta ciptaan Allah SWT,
kembali kepada-Nya, dan berpusat kepada-Nya.
Artikel Wan Roslina Wan Ismail bertajuk Adat-Istiadat dan Pantang Larang Budaya Bukan Material Yang
Terpancar dalam Karya Melayu Silam: Satu Tinjauan membicarakan adat istiadat dan pantang larang
dalam kalangan masyarakat Melayu yang merupakan suatu budaya bukan material yang menjadi
pegangan orang-orang Melayu sejak zaman berzaman. Beberapa adat isitadat dan pantang larang masih
lagi menjadi amalan masyarakat Melayu sehingga ke hari ini iaitu seperti tunduk hormat dan tidak
melintas di hadapan sultan dan pembesar-pembesar, serta tidak memakai pakaian berwarna kuning
kerana raja dianggap mulia dan wajar disembah malah dihormati. Namun begitu, ada juga adat istiadat
dan pantang larang itu telah termansuh akibat peredaran zaman, masa dan perubahan sistem hidup
masyarakat Melayu. Walaubagaimanapun, adat istiadat dan pantang larang masyarakat Melayu Melaka
masih tetap menjadi warisan budaya Melayu.

Perbincangan mengenai isu-isu semasa peradaban diulas dengan mendalam dalam artikel Peradaban
Melalui Pembangunan Kelestarian Insan Berterusan (PKIB): Analisis Konsep Wasatiyyah Menurut
Pandangan Tokoh Sarjana Islam oleh Sharifah Hayaati Syed Ismail al-Qudsy, Siti Arni Basir, Ilhaamie
Abd.Ghani Azmi, Sharifah Latifah al-Haddad, Syarifah Norulazan Syeikh Ahmad, Idris b. Nayan. Artikel ini
secara tuntasnya mengupas akan keutamaan peradaban sebagai suatu istilah dan elemen yang tinggi
dalam menunjukkan kepada suatu tahap pencapaian yang tinggi dalam sejarah pembangunan sahsiah
manusia. Artikel ini menyimpulkan bahawa keunggulan peradaban insan bergantung kepada keunggulan
nilai Islam yang diamalkan. Nilai wasatiyyah merupakan gambaran keunggulan nilai Islam yang telah
diterima secara sepakat oleh para tokoh sarjana Islam yang muktabar. Justeru, ciri-ciri yang telah
digariskan sebagai memenuhi maksud wasatiyyah amat wajar dan perlu dijadikan prinsip nilai dan
panduan dalam membina kelestarian insan. Manakala usaha pembangunan kelestarian insan pula
perlulah bersifat berterusan demi menghasilkan peradaban tinggi yang mampu mengembalikan
kegemilangan tamadun Islam.

Akhir sekali, penutup perbahasan buku ini dibicarakan oleh Siti Nor Baya Mat Yacob, Nasruddin Yunos,
Anita Ismail dan Latifah Abdul Latiff di dalam artikel mengenai Memahami Modeniti dalam
Kelangsungan Tamadun Kontemporari yang memperbahaskan akan susur galur sejarah idea modeniti
yang sangat berkait rapat dengan pemikiran falsafah Barat bermula pada abad ke-15M yang seterusnya
menentukan pandangan terhadap agama dan kehidupan, tentang alam semesta dan manusia, ilmu
pengetahuan dan nilai. Asasnya dikatakan bermula seawal zaman kebangkitan atau dikenali juga sebagai
zaman Renaissans lagi, tetapi idea tentang moden atau modeniti ini hanya benar-benar berkembang
sejajar dengan perkembangan ilmu pada abad ke-18M. Artikel ini membicarakan konsep modeniti dari
aspek sejarah, ciri-ciri modeniti, serta modeniti dan hubungannya dengan falsafah pemikiran moden dan
idea kemajuan dengan kesimpulan yang dibawa ialah cabaran yang lahir dalam perkembangan tamadun
kontemporari sekiranya tidak ditangani dengan baik tentu sekali akan mengugat penerusan tamadun
pada masa hadapan. Integrasi ilmu aqli dan naqli merupakan salah satu kekuatan sekiranya tamadun
Islam ingin kembali mendominasi pandangan dunia tentang kehidupan bertamadun secara menyeluruh.

Secara kesimpulannya, buku ini amatlah bernilai kerana peradaban Islam merupakan suatu tunggak dan
elemen utama dalam pembentukan umat yang cemerlang untuk memacu keseimbangan hidup manusia
dalam kehidupan dunia dan akhirat. Perbicaraan juga merangkumi konteks sejarah, pendidikan Islam
dan sains sosial dalam sentuhan mengenai warisan dan kebudayaan Islam di sekitar Asia.

Anda mungkin juga menyukai