Anda di halaman 1dari 20

KARANGAN FAKTA

"CARA-CARA MENGHORMATI GURU"

Soalan:
Guru seumpama ibu bapa kepada murid-murid semasa berada di sekolah. Oleh yang
demikian guru perlu dihormati.Tulis sebuah karangan bertajuk. Cara-cara
menghormati guru.

Semasa kita berada di sekolah, gurulah yang menjaga dan mendidik kita. Guru
seumpama ibu bapa kepada kita sepanjang masa kita berada di sekolah. Kerana peranan
yang sebegini besar maka guru amat perlu dihormati sepanjang masa.

Pelbagai cara boleh kita lakukan untuk menghormati guru. Salah satu caranya
adalah dengan mengucapkan salam ketika kita bertemu dengan guru. Seorang guru
akan merasa senang hati apabila murid-murid mengucapkan salam dan mendoakan
kesejahteraanya.

Seterusnya, sikap tekun belajar dan mendengar dengan teliti setiap ajaran guru
ketika berada di dalam kelas juga merupakan satu cara untuk menghormati guru. Guru
akan berasa bahagia dan dihargai apabila kita mendengar dengan teliti ketika mereka
mengajar. Guru kita pasti akan mengajar kita dengan penuh kesungguhan.

Selain itu, kita juga boleh menghormati guru dengan cara bersikap sopan santun
dan berbudi bahasa ketika bercakap dan bertanyakan soalan kepada guru. Murid yang
berbudi bahasa dan bersopan santun juga akan lebih disayangi oleh guru. Sekiranya
kita bersikap biadap ketika bercakap dan bertanyakan soalan kepada guru, sudah pasti
akan membuatkan guru berasa terhina dan tidak dihormati. Oleh yang demikian kita
hendaklah menjaga kelakuan kita ketika bercakap dengan guru.

Di samping itu, jika kita melakukan kesilapan atau terlupa menyiapkan tugasan
yang diberi oleh guru, kita hedaklah memohon maaf. Sebagaimana di rumah, sekiranya
kita tersilap maka kita meminta maaf daripada ibu bapa kita. Demikian juga ketika
berada di sekolah. Murid yang meminta maaf dan mengakui kesilapan yang dilakukan
akan membuatkan guru berasa senang hati dan berasa lebih dihargai dan dihormati.

Kesimpulannya, banyak cara yang boleh kita lakukan untuk menghormati guru.
Oleh yang demikian kita hendaklah sentiasa menghormati guru-guru kita kerana
mereka telah menjalankan tanggungjawab mereka mendidik kita.

KARANGAN RAMALAN UPSR/ICU 2017


KARANGAN CERITA
"PENGALAMAN BERCUTI DI KAMPUNG"

Soalan:
Pada cuti sekolah yang lalu, kamu telah bercuti di kampung datuk dan nenek kamu.
Ceritakan pengalaman kamu sepanjang berada di sana.

Pada cuti sekolah yang lalu, saya telah berpeluang pulang ke kampung datuk dan nenek
saya yang terletak di Pasir Puteh, Kelantan. Saya bertolak ke sana pada awal pagi
dengan menaiki bas dari Kota Bharu. Datuk menunggu saya di stesen bas Pasir Puteh.

Setibanya di rumah datuk, nenek sedang menunggu dengan hidangan makan


tengahari. Saya makan dengan berselera sekali kerana terlalu lapar, tambahan pula
masakan ikan haruan dan puyu yang nenek sediakan amat menyelerakan.

Setelah berehat dan bersolat Zohor, datuk mengajak saya ke sungai yang
terletak tidak jauh dari rumahnya untuk memancing dan melihat lukah yang
ditahannya. Saya sangat seronok kerana inilah aktiviti yang amat saya tunggu-tunggu.
Datuk mengajar saya teknik memancing ikan di sungai. Saya bersorak kegembiraan
apabila dapat memancing seekor ikan sebarau yang agak besar. Datuk hanya tersenyum
melihat gelagat saya.

Pada sebelah petang pula, datuk mengajak saya ke sawahnya. Sawah datuk
sangat luas. Di sini, saya berpeluang melihat beberapa orang petani bekerja di sawah
mereka. Ada yang sedang merumput, membaja dan membaiki batas-batas sawah. Datuk
mengatakan bahawa padi-padi tersebut akan dituai pada bulan hadapan. Saya berasa
agak kecewa kerana tidak berpeluang melihat kerja-kerja menuai padi.

Keesokan harinya, beberapa orang sepupu saya mengajak saya ke hutan untuk
mencari buluh. Mereka bercadang untuk membuat wau. Saya berasa sangat teruja
kerana ini adalah peluang keemasan kepada saya untuk belajar membuat wau. Sepupu-
sepupu saya mengajar saya menebang buluh, membelah, dan meraut buluh untuk dibuat
wau. Setelah seharian bertungkus-lumus, saya berjaya membuat sebuah wau kucing
yang sederhana besarnya. Wau-wau yang kami buat akan kami terbangkan di padang
berhampiran rumah datuk.

Setelah seminggu berada di rumah datuk dan nenek, ayah dan ibupun datang
menjemput saya pulang kerana cuti akan berakhir tidak beberapa lama lagi. Walaupun
agak keberatan untuk meninggalkan kampung datuk dan nenek, tetapi saya berasa
amat gembira kerana mendapat pelbagai pengalaman menarik pada cuti kali ini.

KARANGAN RAMALAN UPSR/ICU 2017


KARANGAN PERBINCANGAN
"CARA-CARA UNTUK MENGATASI STRES"

Soalan:
Stres amat berbahaya kepada kita jika tidak ditangani dengan betul.
Bincangkan cara-cara untuk mengatasi stres.

Stres atau tekanan ialah gangguan emosi dari segi pemikiran dan fizikal kita. Hal ini
berlaku apabila kita merasa terbeban terhadap sesuatu perkara. Stres yang
keterlaluan amat berbahaya kerana ia memudaratkan kesihatan mental dan fizikal kita.
Oleh sebab itu kita perlu mengatasinya dengan betul.

Antara cara mengatasi stres ialah dengan bangun awal setiap hari. Apabila kita
bangun awal untuk ke sekolah kita tidak akan terburu-buru atau tergopoh-gapah untuk
bersiap dan menguruskan diri. Sekiranya kita bangun lewat, kita akan merasa tertekan
untuk bersiap-siap ke sekolah kerana bimbang terlambat atau ketinggalan bas.

Selain itu, kita perlu belajar dan tidur di dalam bilik yang selesa dan kemas.
Sekiranya bilik kita berselerak ia akan menyebabkan kita merasa tertekan dan tidak
selesa untuk belajar. Kita juga tidak mendapat tidur yang cukup dan berkualiti.
Sekiranya tidur kita tidak mencukupi maka kita akan mudah merasa letih dan tertekan.

Di samping itu kita boleh mengatasi stres dengan membuat persediaan awal
untuk menghadapi peperiksaan. Kita akan merasa risau dan bimbang sekiranya lewat
membuat persediaan untuk menghadapi sesuatu peperiksaan. Kebimbangan sebegini
akan menyebabkan stres atau tekanan.

Kita juga boleh mengatasi stres dengan berkongsi atau menceritakan masalah
yang dihadapi kepada ibu bapa kita. Jika kita memendamkan masalah yang dihadapi,
lama-kelamaan ia akan menyebabkan kita merasa tertekan atau stres. Dalam hal ini,
Ibu bapa kita sudah pasti mempunyai banyak pengalaman untuk membantu kita
mengatasi sesuatu masalah.

Kesimpulannya, kita perlu mengatasi stres atau tekanan yang dihadapi dengan
cara yang betul agar tidak memudaratkan kesihatan kita.

KARANGAN RAMALAN UPSR/ICU 2017


KARANGAN LAPORAN
LAPORAN LAWATAN SAMBIL BELAJAR

Soalan:
Persatuan Bahasa Melayu sekolah kamu telah mengadakan satu lawatan sambil belajar
ke sebuah kilang membuat kain batik. Sebagai setiausaha Persatuan Bahasa Melayu,
kamu dikehendaki menulis sebuah laporan tentang lawatan tersebut.
Tulis laporan itu selengkapnya.

Laporan Lawatan Sambil Belajar Ke Kilang Batik

Pada 3 Jun 2017 yang lalu, Persatuan Bahasa Melayu Sekolah Kebangsaan Jalan
Bintang telah mengadakan satu lawatan sambil belajar ke Kilang Batik Piasau Jaya yang
terletak di Kawasan Perindustrian Piasau.

Tujuan utama lawatan tersebut adalah untuk menambahkan pengetahuan ahli-


ahli persatuan cara-cara membuat kain batik. Selain itu, lawatan ini juga bertujuan
untuk memberi pendedahan kepada ahli-ahli persatuan tentang kepentingan
perusahaan batik kepada ekonomi penduduk setempat.

Lawatan yang disertai oleh tiga puluh orang ahli persatuan dengan diiringi oleh
tiga orang guru ini telah bertolak dari sekolah dengan sebuah bas. Kami bertolak pada
pukul 10.00 pagi dan tiba di kilang batik tersebut pada pukul 10.30 pagi.

Setibanya di sana, kami telah diberi taklimat oleh pengurus kilang tersebut.
Dalam taklimatnya, pengurus kilang iaitu Encik Osman Ahmad mengucapkan terima
kasih atas kesudian kami melawat ke kilang batiknya. Setelah selesai taklimat kami
diiringi oleh dua orang penyelia kilang tersebut untuk melihat cara-cara memproses
kain batik.

Kami sangat terpesona melihat kemahiran para pekerja mencanting dan melukis
batik. Corak-corak batik yang dihasilkan sangat menarik dan bermutu tinggi. Ahli-ahli
persatuan juga mendapat pengetahuan baru apabila diberi peluang mencanting dan
mewarna batik.

KARANGAN RAMALAN UPSR/ICU 2017


Sebelum pulang, Pihak kilang batik telah memberikan cederamata berupa sehelai
kain batik yang dilukis khas untuk Persatuan Bahasa Melayu Sekolah Kebangsaan Jalan
Bintang. Kami amat gembira menerima cenderahati tersebut.

Laporan disediakan oleh, 10 JUN 2017.

Amar
(AMAR MUHAIMIN)
Setiausaha,
Persatuan Bahasa Melayu,
Sekolah Kebangsaan Jalan Bintang, Miri.

KARANGAN RAMALAN UPSR/ICU 2017


KARANGAN UCAPAN
UCAPAN HARI GURU"

Soalan:
Sebagai ketua murid kamu diminta menyampaikan ucapan sempena sambutan hari guru
di sekolah kamu. Tulis ucapan kamu itu selengkapnya.

Yang Dihormati Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berusaha Tuan Guru Besar Sekolah
Kebangsaan Pengkalan Chepa, guru-guru dan rakan-rakan. Terlebih dahulu saya
mengucapkan terima kasih atas kepercayaan semua memberikan saya ruang dan
peluang untuk berucap sempena sambutan Hari Guru peringkat sekolah kita.

Hadirin yang dimuliakan,


Tanggal 16 Mei setiap tahun para guru di seluruh negara merayakan satu
sambutan khas. Sambutan ini bertujuan menghargai dan memartabatkan jasa para
guru. Hal ini demikian kerana guru adalah insan-insan yang telah diamanahkan
menaburkan jasa dan bakti mereka untuk mendidik kita. Tanpa guru, siapalah kita pada
hari ini.

Jasa dan bakti para guru tidak terbalas oleh kita. Mereka sanggup berkorban
masa , tenaga dan kadangkala wang ringgit untuk mencurahkan ilmu kepada kita. Setiap
pengorbanan yang mereka lakukan tidak mengharapkan sebarang balasan. Para guru
akan berasa gembira apabila melihat kita mencapai kejayaan. Kejayaan yang kita
peroleh adalah kebahagiaan kepada mereka.

Rakan-rakan yang dikasihi,


Sebagai murid kita sepatutnya menanamkan rasa hormat kepada semua guru.
Sikap merendah diri dan bercakap secara sopan- santun setiap kali berhadapan dengan
guru-guru perlu sentiasa diamalkan. Amalan sebegini amatlah digalakkan dalam agama
dan budaya kita. Murid yang mengamalkan sikap sebegini juga akan mendapat
keberkatan dan kejayaan dalam hidupnya.

Selain itu, kita juga perlulah sentiasa menumpukan perhatian setiap kali guru
mengajar dan memberi nasihat. Setiap patah perkataan yang diluahkan oleh guru-guru
kita sudah tentu bertujuan untuk memberi ilmu dan panduan yang berguna kepada kita.
Percayalah rakan-rakan, murid yang sentiasa menumpukan perhatian ketika guru
mengajar akan mencapai kejayaan dalam pelajarannya.

KARANGAN RAMALAN UPSR/ICU 2017


Pada hari yang mulia ini saya perhatikan ramai antara kita yang membawa
pelbagai hadiah untuk diberikan kepada guru-guru sebagai tanda penghargaan
terhadap jasa mereka. Hal ini sangat baik kita amalkan walaupun kita sedia mengetahui
bahawa para guru tidak mengharapkan sebarang hadiah daripada kita. Tetapi sebagai
murid kita juga ingin menghargai jasa dan sumbangan para guru kita.

Sekian, terima kasih.

KARANGAN RAMALAN UPSR/ICU 2017


KARANGAN SURAT KIRIMAN RASMI

Soalan:
Persatuan Bahasa Melayu sekolah kamu akan menganjurkan pertandingan syarahan
antara kelas. Sebagai setiausaha persatuan, kamu ditugaskan menulis sepucuk surat
kepada guru besar untuk meminta kebenaran menggunakan dewan dan peralatan untuk
pertandingan tersebut.
Tulis surat tersebut selengkapnya.

Persatuan Bahasa Melayu,


Sekolah Kebangsaan Jalan Bintang,
98000 Miri,
Sarawak.

Guru Besar,
Sekolah Kebangsaan Jalan Bintang,
98000 Miri,
Sarawak. 29 MAC 2017.

Tuan,

Memohon Kebenaran Menggunakan Dewan dan Peralatan

Merujuk kepada perkara di atas, Persatuan Bahasa Melayu Sekolah Kebangsaan


Pengkalan Chepa akan menganjurkan satu pertandingan syarahan antara kelas. Oleh
yang demikian, pihak persatuan ingin memohon kebenaran untuk menggunakan dewan
sekolah dan peralatan yang berkaitan.

2. Berikut adalah butiran pertandingan tersebut:


Tarikh : 5 April 2017
Masa : 8.00 hingga 10.30 pagi
Tempat : Dewan Sekolah
Bilangan Murid : 60 orang
Bilangan guru : 4 orang

3. Tujuan pertandingan ini diadakan adalah untuk mencungkil bakat murid-murid


dalam menyampaikan syarahan di samping mencari peserta yang berkebolehan untuk
mewakili sekolah dalam pertandingan syarahan peringkat daerah pada bulan Mei akan
datang.

KARANGAN RAMALAN UPSR/ICU 2017


4. Kami berjanji akan menggunakan dewan dan peralatan sebaik mungkin. Kami juga
akan membersihkan dewan dan mengemas peralatan selepas digunakan.

5. Besarlah harapan kami agar permohonan kami ini mendapat perhatian yang
sewajarnya daripada pihak tuan. Pertimbangan dan perhatian pihak tuan, kami dahului
dengan ucapan terima kasih.

Sekian, terima kasih.

Yang benar,

Nurhusnina
(NURHUSNINA BT ZAIDI)
Setiausaha,
Persatuan Bahasa Melayu,
Sekolah Kebangsaan Jalan Bintang, Miri.

KARANGAN RAMALAN UPSR/ICU 2017


KARANGAN BERFORMAT
"FAEDAH AMALAN BERJIMAT CERMAT"

Soalan:
Tulis sebuah karangan tentang faedah amalan berjimat cermat ini.

Berjimat cermat membawa maksud berhemat atau berhati-hati dalam penggunaan


wang, elektrik, air ataupun lain-lain keperluan seharian kita. Amalan berjimat cermat
merupakan satu amalan yang terpuji dan membawa pelbagai faedah kepada kita.

Antara faedah amalan ini ialah kita dapat mengurangkan perbelanjaan harian
kita. Sekiranya kita berjimat cermat sudah tentu perbelanjaan harian kita sekeluarga
dapat dikurangkan dan kita mempunyai lebihan wang. Lebihan wang ini boleh kita
simpan untuk keperluan pada masa kecemasan.

Seterusnya, amalan berjimat cermat dapat memupuk sikap berdikari dalam diri
setiap orang. Hal ini demikian kerana orang yang mengamalkan sikap berjimat cermat
sudah pasti akan berusaha melakukan sendiri atau menyelesaikan sendiri sesuatu
perkara atau masalah tanpa mengupah orang lain. Keadaan ini bukan sahaja
menjimatkan wang tetapi juga menambahkan pengalaman.

Selain itu, amalan berjimat jugaboleh membantu negara menjimatkan sumber.


Sebagai contoh, sekiranya kita berjimat cermat dalam penggunaan elektrik, air, dan
petrol sudah pasti sumber terpenting kehidupan kita ini akan dapat dijimatkan. Secara
tidak langsung kita membantu mengurangkan perbelanjaan negara.

Di samping itu, melalui amalan yang mulia ini juga kita dapat menambahkan wang
simpanan kita. Wang simpanan sangat penting dalam kehidupan kita. Orang yang
mempunyai simpanan akan terjamin masa depannya. Wang simpanan juga amat
diperlukan sekiranya berlaku sesuatu musibah kepada kita atau orang-orang terdekat
dengan kita.

Kesimpulannya, amalan berjimat cermat perlu menjadi amalan setiap orang.


Amalan yang mulia ini jika diamalkan membawa seribu kebaikan.

KARANGAN RAMALAN UPSR/ICU 2017


KARANGAN SYARAHAN
"FAEDAH AMALAN GOTONG-ROYONG"

Soalan:
Kamu telah mewakili kelas kamu dalam pertandingan syarahan antara kelas. Tajuk
syarahan yang akan kamu sampaikan ialah "Aktiviti Gotong-royong Banyak Faedahnya".
Tulis syarahan kamu itu selengkapnya.

Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berusaha Tuan Guru Besar Sekolah
Kebangsaan Pengkalan Chepa, guru-guru penolong kanan, barisan hakim yang arif lagi
bijaksana, guru-guru dan rakan-rakan. Pada pagi yang ceria ini, izinkan saya
menyampaikan syarahan bertajuk "Aktiviti Gotong-royong Banyak Faedahnya".

Hadirin yang dihormati,


Menurut Kamus Dewan edisi kedua, bergotong-royong membawa maksud sama-
sama mengerjakan sesuatu, atau saling membantu ketika membuat sesuatu. Daripada
huraian Kamus Dewan ini, fahamlah kita bahawa aktiviti gotong-royong adalah
membuat sesuatu pekerjaan atau perkara secara bersama-sama.

Masyarakat kita pada zaman dahulu banyak melakukan amalan bergotong-royong


ini. Semua kegiatan yang melibatkan kepentingan ramai akan dilakukan secara secara
gotong-royong. Hal ini demikian kerana amalan ini banyak faedahnya.

Melalui aktiviti gotong-royong ini, sesuatu pekerjaan dapat disiapkan dengan


cepat. Sesuatu pekerjaan yang sukar ataupun berat dapat diselesaikan dengan lebih
cepat apabila banyak tenaga dan buah fikiran dapat digembelengkan untuk
menyelesaikannya. Hal ini sepertimana dijelaskan oleh peribahasa "bukit sama didaki,
lurah sama dituruni".

Warga dewan yang dikasihi,


Di samping itu, aktiviti gotong-royong juga boleh mengeratkan hubungan dalam
kalangan masyarakat setempat. Kita tahu, pada hari ini masyarakat kita amat sibuk
dengan pelbagai urusan harian. Keadaan ini menyebabkan kebanyakan orang tidak
berkesempatan untuk saling mengenali antara satu sama lain. Sekiranya diadakan
aktiviti gotong-royong seperti membersihkan kawasan tanah perkuburan atau masjid,
maka masyarakat setempat berpeluang mengenali dan bertanya khabar antara satu
sama lain. Jadi, aktiviti gotong-royong ini sudah pasti dapat mengeratkan hubungan
dalam kalangan masyarakat.

KARANGAN RAMALAN UPSR/ICU 2017


Selain itu, dengan bergotong-royong juga wang dapat dijimatkan. Amalan
bergotong-royong ini adalah aktiviti sukarela yang tidak diberi sebarang upah berupa
wang ringgit. Oleh yang demikian, kos untuk menyelesaikan sesuatu pekerjaan adalah
lebih murah. Sebagai contoh amalan bergotong-royong semasa kenduri-kendara. Tuan
rumah hanya mengeluarkan belanja untuk membeli alatan dan bahan mentah sahaja.
kerja-kerja memasak dan mendirikan khemah dilakukan secara bergotong-royong oleh
jiran-jiran sekampung. keadaan ini sudah tentu menjimatkan wang.

Hadirin-hadirat yang dikasihi,


Sebagai kesimpulannya, amalan gotong-royong ini adalah amalan warisan nenek-
moyang kita. Oleh yang demikian, setiap orang berperanan mempertahankannya kerana
ia membawa banyak kebaikan kepada kita. hal ini diungkapkan oleh nenek- moyang kita
melalui peribahasa yang terkenal iaitu "berat sama dipikul ringan sama dijinjing".
Sekian, terima kasih.

KARANGAN RAMALAN UPSR/ICU 2017


Karangan Catatan
"Catatan sambutan hari guru di sekolah"

Soalan:

Baru-baru ini sekolah kamu telah mengadakan sambutan Hari Guru peringkat sekolah.
Tulis catatan kamu sepanjang sambutan tersebut.

Isnin, 16 Mei 2016

8.00 pagi

Semua guru dan murid berhimpun di Dewan Gemilang Sekolah Kebangsaan Pengkalan
Chepa. Pada pagi ini semua guru memakai baju batik bertemakan warna merah.
Sebelum acara sambutan hari guru bermula, Cikgu Mazlan selaku pengerusi majlis pada
hari itu sibuk mencuba pembesar suara.

8.15 pagi

Semua murid dan guru berdiri tegak. Kami sama-sama menyanyikan Lagu Negaraku,
Lagu Selamat Sultan dan Lagu Sekolahku Berjaya. Setelah selesai menyanyikan lagu-
lagu tersebut, semua murid dan guru dibenarkan duduk.

Kemudian, Cikgu Mazlan yang mempengerusikan majlis meminta semua guru berdiri di
atas pentas untuk menyanyikan lagu Kami Guru Malaysia dan diikuti dengan bacaan
ikrar.

8.45 pagi

Ketua Murid tampil ke depan untuk menyampaikan ucapan. Dalam ucapannya Ketua
Murid mengucapkan terima kasih atas jasa dan pengorbanan para guru. Dia juga
mendoakan kesejahteraan guru-guru.

9.00 pagi

Guru Besar dipersilakan menyampaikan ucapan dan membaca perutusan Menteri


Pendidikan. Semua guru dan murid memberi tumpuan dan mendengar dengan teliti.
Setelah itu Guru Besar merasmikan sambutan Hari Guru peringkat sekolah 2016.

KARANGAN RAMALAN UPSR/ICU 2017


9.30 pagi

Acara sukan yang melibatkan guru-guru dan murid-murid diadakan di padang sekolah.
Guru lelaki bermain bola sepak dan lumba lari dalam guni manakala guru-guru
perempuan pula bermain bola jaring serta berjalan dengan terompah gergasi. Kami
sangat terhibur melihat telatah para guru.

11.00 pagi

Selepas rehat murid-murid dan guru-guru berkumpul semula di Dewan Gemilang. Acara
seterusnya ialah persembahan murid-murid. Ramai murid yang mengambil bahagian
dalam pelbagai acara seperti nyanyian, deklamasi sajak, lakonan dan lawak jenaka.
Suasana dewan agak gamat dengan gelak
ketawa kami melihat aksi-aksi lucu rakan-rakan yang membuat persembahan.

12.00 tengah hari

Seterusnya diadakan pula acara pemberian hadiah oleh murid-murid kepada guru-guru.
Inilah kemuncak acara sambutan hari guru pada tahun ini. Murid-murid berebut-rebut
memberikan hadiah kepada guru- guru. Pelbagai barangan yang terbungkus rapi
dijadikan hadiah oleh murid-murid untuk para guru

1.00 tengah hari

Semua acara sambutan hari telah berakhir. Kami semua dibenarkan pulang setelah
mengemas semula dewan dan peralatan yang telah digunakan. Hari ini saya berasa
sangat seronok kerana berpeluang merayakan sambutan Hari Guru peringkat sekolah.

KARANGAN RAMALAN UPSR/ICU 2017


Karangan Surat
"Surat Kepada Sahabat"
Soalan:

Kamu menerima sepucuk surat daripada sahabat pena kamu yang bertanyakan tentang
permainan-permainan tradisional yang popular di Malaysia.

Balas surat sahabat kamu itu selengkapnya.

No 19,
Jalan Bendahara 2,
Taman Bendahara,
16100 Pengkalan Chepa,
Kelantan.

28 April 2016

Menemui sahabatku Abdul Rahman yang berada di Palembang, Indonesia. Doa saya
semoga saudara dan keluarga berada dalam keadaan sihat sejahtera selalu. Surat
saudara yang bertarikh 4 April 2016 telah saya terima pada awal minggu yang lalu.
Terima kasih saya ucapkan atas ingatan saudara terhadap saya.

Saudara,

Dalam surat tersebut saudara ada bertanyakan tentang permainan tradisional


masyarakat di Malaysia. Sebenarnya, terdapat banyak pemainan tradisional yang
popular di Malaysia. Antaranya ialah wau, gasing, dan congkak. Di sini saya akan
menceritakan serba sedikit kepada saudara tentang permainan wau dan gasing.

Permainan wau semangnya amat popular dalam kalangan masyarakat kampung


terutamanya di negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung Malaysia seperti Kelantan
dan Terengganu. Pemainan ini selalunya dimainkan pada waktu petang dan ketika
keadaan berangin kuat. Antara wau yang terkenal ialah wau bulan, wau daun, wau
kucing dan wau burung.

Permainan wau memerlukan kawasan tanah lapang yang agak luas seperti sawah
padi, padang bola, atau tepi pantai. Dalam permainan ini, dua orang pemain diperlukan
iaitu seorang bertindak untuk memegang wau manakala seorang lagi sebagai juru ajung

KARANGAN RAMALAN UPSR/ICU 2017


iaitu akan menerbangkan wau ke udara. Wau akan diterbangkan dari arah bertentangan
dengan tiupan angin. Permainan ini amat popular dalam kalangan kanak-kanak dan juga
orang dewasa lelaki. Kadangkala diadakan juga pertandingan wau antara penduduk
kampung.

Selain wau, permainan gasing juga amat terkenal. Menurut catatan sejarah,
permainan ini telah terkenal semenjak zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi. Banyak
jenis gasing yang terkenal di Malaysia antaranya ialah gasing jantung, gasing uri dan
gasing berembang. Kerja-kerja membuat gasing ini memerlukan kepakaran khas.
Biasanya gasing tradisional diperbuat daripada kayu seperti kayu merbau, leban, jambu
batu , dan kayu asam jawa. Pada masa kini, terdapat juga gasing yang dibuat daripada
plastik. Gasing sebegini popular dalam kalangan kanak-kanak.

Untuk bermain gasing kita memerlukan gasing dan juga seutas tali yang kukuh.
Tali terlebih dahulu dililit pada jambul gasing. Kemudian gasing tersebut dilemparkan
ke tanah sambil menarik tali tersebut ke arah kita.

Terdapat dua jenis permainan gasing yang popular iaitu gasing pangkah dan
gasing uri. Gasing pangkah memerlukan kita memangkah gasing lawan yang sedang
berpusing. Manakala permainan gasing uri pula menguji selama mana sesebuah gasing
itu dapat berpusing.

Saudara,

Bersama surat ini saya ada sertakan beberapa keping gambar tentang
permainan wau dan gasing. Saya berharap agar saudara mendapat sedikit sebanyak
gambaran akan permainan tradisional yang ada di Malaysia. Pada pendapat saya, di
tempat saudarapun ada permainan tradisional yang tersendiri. Jika saudara sudi,
bolehlah saudara menceritakannnya kepada saya.

Sekian dahulu warkah saya pada kali ini. Sampai kita ketemu lagi dalam warkah
yang lain pula. Sampaikan salam saya kepada kedua-dua orang tua saudara.

Sahabatmu yang jauh,


azlan

KARANGAN RAMALAN UPSR/ICU 2017


Karangan Ceramah
" Pentingnya Menjaga Kesihatan Diri"

Sekolah kamu mengadakan minggu kesedaran kesihatan peringkat sekolah. Sempena


dengan minggu tersebut, kamu dikehendakki menyampaikan sebuah ceramah yang
bertajuk" Pentingnya Menjaga Kesihatan Diri".

Tulis ceramah kamu itu selengkapnya.

Terima kasih diucapkan kepada Tuan pengerusi Majlis, Yang Berusaha Guru Besar,
guru-guru, dan rakan sekalian. Bersempena dengan minggu kesedaran kesihatan ini,
saya akan menyampaikan sebuah ceramah yang bertajuk "Pentingnya menjaga
kesihatan diri.

Aspek penjagaan kesihatan diri yang paling asas ialah menjaga kebersihan diri
sendiri. Kita perlu memastikan rambut, gigi, dan tubuh badan kita sentiasa dalam
keadaan bersih. Tubuh badan yang tidak bersih sudah pasti mudah dihinggapi pelbagai
penyakit seperti penyakit kulit, kepala berkutu dan gigi serta gusi bermasalah.

Tangan yang tidak bersih juga menyebabkan kita mudah mengalami keracunan
makanan. Sekiranya tangan kita kotor, makanan yang kita pegang akan berkuman.
Kuman ini akan masuk ke dalam perut kita apabila kita memakan makanan tersebut.
Akibatnya, kita akan mengalami sakit perut dan cirit-birit yang boleh membawa maut.

Selain itu, kita juga perlu memakan makanan yang seimbang. Dalam hal ini, kita
boleh menjadikan piramid makanan sebagai panduan. Makanan yang seimbang
membantu kita mendapatkan zat, vitamin, dan lain-lain keperluan badan kita agar
mencukupi. Pemakanan yang terkawal juga dapat mengelakkan kita menjadi obersiti.

Hadirin yang dikasihi,

Bersenam dan bersukan juga amat penting kita amalkan. Melalui bersenam, kita
dapat meningkatkan daya tahan kardiovaskular. aktiviti berjoging dan senaman
berbentuk larian dapat menguatkan jantung. Jantung yang kuat dan sihat amat penting
kepada setiap orang.

KARANGAN RAMALAN UPSR/ICU 2017


Akhir sekali, aspek kesihatan mental juga amat penting diberikan perhatian. Hal
ini demikian kerana kesihatan mental mempengaruhi mutu kehidupan seseorang. Setiap
daripada kita perlu mengelakkan tekanan dan kemurungan. Tekanan yang berlebihan
akan mengundang pelbagai penyakit berbahaya yang lain seperti tekanan darah tinggi,
sakit jantung dan kemurungan.

Oleh yang demikian, amatlah penting kepada setiap orang untuk menjaga
kesihatan diri. Sesungguhnya, orang yang prihatin terhadap kesihatan dirinya akan
menikmati hidup yang berkualiti.

Sekian, terima kasih.

KARANGAN RAMALAN UPSR/ICU 2017


Karangan syarahan
"Kepentingan menguasai komputer Dan Internet"

Soalan:

Kamu telah mewakili kelas dalam pertandingan syarahan sempena kempen minggu celik
IT peringkat sekolah. Tajuk syarahan kamu ialah "Kepentingan menguasai komputer
Dan Internet"

Tulis syarahan kamu itu selengkapnya.

Yang Di Hormati Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berusaha Tuan Guru Besar Sekolah
Kebangsaan Pengkalan Chepa, Encik Hamzah Hassan, Barisan panel hakim yang arif lagi
bijaksana, guru-guru dan rakan sekalian. Assalamualaikum dan selamat sejahtera saya
ucapkan. Pada pagi yang ceria ini saya akan menyampaikan sebuah syarahan yang
bertajuk "Kepentingan Menguasai Komputer Dan Internet".

Sidang hadirin sekalian,

Komputer adalah sejenis alat elektronik yang boleh menerima data, memproses
data, menyimpan data serta menghasilkan maklumat. Manakala internet pula ialah satu
rangkaian komputer yang menghubungkan berjuta-juta komputer di seluruh dunia
untuk berkongsi sumber dan maklumat, berkomunikasi dan saling berhubungan antara
satu sama lain.

Daripada definisi ini, kita dapat memahami bahawa komputer dan internet
sangat penting untuk kita kuasai. Dengan menguasai komputer kita dapat
menyelesaikan sesuatu tugasan dengan cepat, tepat dan kemas. Pelbagai aplikasi yang
datang bersama komputer dapat membantu kita membuat pelbagai tugasan. Contohnya,
kita dapat mengira, dan menyediakan data yang tepat dan kemas dalam masa yang
singkat menggunakan aplikasi hamparan elektronik seperti Microsoft Office Excel.

Selain itu, dengan penguasaan teknologi ini juga kita dapat berhubung dengan
orang lain di seluruh dunia dengan lebih cepat. Kita dapat menyampaikan berita dan
berbincang tentang sesuatu isu dengan pantas. Dalam hal ini aplikasi media sosial
seperti "Facebook, dan Whatsapp", sangat berguna kepada kita. Murid-murid juga
dapat menggunakan laman-laman sosial ini untuk berbincang dan menyelesaikan sesuatu
tugasan berkaitan pelajaran.

KARANGAN RAMALAN UPSR/ICU 2017


Hadirin yang dihormati,

Pelbagai urusan harian juga dapat kita selesaikan dengan cepat dan mudah
sekiranya kita menguasai kemahiran komputer dan internet. Perbankan elektronik, dan
perniagaan dalam talian adalah antara contohnya. Melalui perbankan elektronik, kita
dapat memindahkan wang ke dalam akaun orang lain seperti keluarga dan rakan-rakan
kita dengan cepat tanpa perlu pergi ke bank. Kita juga dapat menjual dan membeli
sesuatu barangan dalam talian. Hal ini sudah tentu menjimatkan masa dan tenaga kita.

Warga dewan yang dikasihi,

Kesimpulannya, pelbagai manfaat dapat kita peroleh jika menguasai komputer


dan internet. Kemajuan teknologi maklumat amat penting untuk kita kuasai sekiranya
ingin maju dan bersaing pada zaman yang serba moden dan bergerak pantas ini.

Sekian, terima kasih.

KARANGAN RAMALAN UPSR/ICU 2017

Anda mungkin juga menyukai