Anda di halaman 1dari 20

GLOBALISASI DAN TEKNOLOGI MAKLUMAT DAN

KOMUNIKASI (ICT): IMPAK SOSIAL KEPADA


MASYARAKAT MALAYSIA

Ismahalil Ishak

1.0 PENGENALAN

Globalisasi merupakan suatu proses di peringkat global yang meliputi pelbagai dimensi seperti
aspek ekonomi, politik, budaya dan ideologi (Mittelman 1996; Waters 1995). Proses ini telah
berlaku dengan kadar masa yang pantas telah mencetuskan satu bentuk revolusi yang membawa
kepada perubahan ke atas kehidupan masyarakat dunia amnya dan masyarakat di negara ini
khususnya. Menurut Ishak Shari (2000) globalisasi dijadikan satu konsep penting yang dapat
membantu kita memahami transformasi masyarakat dunia dengan menarik perhatian kita kepada
perubahan asas yang meliputi aspek ekonomi, politik, ideologi serta budaya dan globalisasi ini
juga merupakan satu konsep yang bersifat pelbagai atau plural kerana globalisasi mempunyai
dimensinya yang tersendiri di mana ia merangkumi aspek-aspek ekonomi, politik, budaya,
sosialisasi dan ideologi.

Globalisasi dianggap sebagai proses yang meletakkan dunia di bawah satu unit yang
sama tanpa dibatasi oleh sempadan dan kedudukan geografi sesebuah negara. Dunia tidak lagi
mempunyai sempadan. Ledakan maklumat menerusi perantaraan media komunikasi seperti
internet, satelit, media elektronik, dan teknologi siber, khususnya teknologi komputer telah
menjadikan ruang udara dan langit sesebuah negara terbuka luas. Dalam konteks kehidupan
manusia, globalisasi meliputi bidang politik, sosial, dan ekonomi dan secara tidak langsung
membawa kesan kepada masyarakat seperti perpindahan nilai, terutamanya cara berfikir dan
gaya bertindak. Menurut Harshita Aini Haroon (2004)globalisasi adalah satu ideologi ekonomi
namun, dalam konteks kefahaman yang lebih luas, takrifan globalisasi menerjah ke pelbagai
aspek kehidupan seharian manusia dan memberi kesan kepada bukan saja sistem. Sebelum era
globalisasi, dunia ini seluas saujana mata memandang dan dipagari dengan sempadan-sempadan,

1
kini fenomena globalisasi telah menjadikan ruang di dunia semakin mengecil. Semuanya ini
berpunca dari kemajuan teknologi komputer dan ledakan teknologi maklumat menerusi teknologi
internet, satelit, media elektronik, dan teknologi siber. Globalisasi juga membawa maksud
fenomena yang menjadikan dunia kelihatan mengecil dari segi perhubungan manusia disebabkan
kepantasan perkembangan teknologi maklumat. Manusia mudah mendapat maklumat dan sukar
menapis unsur negatif yang meresap dalam hati dan minda.

Sudah pasti apabila membincangkan berkenaan sesuatu proses yang berlaku, terdapat satu
pemangkin yang dapat mempercepat mahupun melambatkan sesuatu proses itu. Ledakan
teknologi yang berlaku di sepanjang peradaban manusia terutama teknologi maklumat
merupakan pemangkin utama kepada globalisasi. Perkembangan penggunaan teknologi di
seluruh dunia telah mewujudkan satu bentuk revolusi maklumat di mana Alvin Toffler (1990)
dalam bukunya, Power Shift menyatakan bahawa zaman pertanian dan zaman perindustrian yang
berlanjutan selama tempoh beberapa kurun yang lalu akan berakhir dan digantikan dengan era
alaf baru iaitu zaman ledakan maklumat yang berkembang daripada pembangunan teknologi
komunikasi. Sementara itu, Bell (1979), berpandangan maklumat merupakan faktor terpenting
dalam masyarakat pascaindustri. Pada zaman ini berlaku perubahan dalam sistem ekonomi
daripada menghasilkan barangan kepada masyarakat berdasarkan maklumat (information based
society). Beliau berpandangan akan berlaku satu bentuk ledakan teknologi intelektual yang baru
berdasarkan komputer dan masyarakat akan mudah berurusan dalam perkembangan teknologi
ini. Justeru, perkembangan teknologi informasi dan komunikasi (ICT) yang berlaku mempunyai
perkaitan yang signifikan dengan globalisasi. Perkembangan ini telah membawa perubahan yang
besar kepada masyarakat dunia amnya dan Malaysia khususnya memandangkan negara kita
merupaka sebuah negara yang pesat membangun dan mengambil kesempatan di atas globalisasi
yang berlaku.

ICT yang menjadikan sesebuah masyarakat itu lebih maju kehadapan di dalam era
globalisasi telah menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang semakin pantas mencapai
kemodenan. Walau bagaimanapun, kemajuan ICT dilihat banyak menimbulkan isu dan memberi
cabaran kepada masyarakat Malaysia. Oleh yang demikian, kertas kerja ini akan
membincangkan isu dan cabaran yang dihadapi dalam masyarakat Malaysia di dalam

2
menelusuri era revolusi maklumat kesan daripada globalisasi. Fokus utama akan
diberikan kepada impak kepada masyarakat daripada aspek sosial sungguhpun impak
ICT turut memberi impak kepada sektor kesihatan, pendidikan dan keselamatan. Di
peringkat awal perbincangan, kertas kerja ini turut akan membincangkan definisi konsep
globalisasi serta membincangkan mengenai perkembangan ICT di Malaysia.

2.0 DEFINISI KONSEP

2.1 Globalisasi

Globalisasi secara amnya merupakan satu proses yang menstrukturkan dunia di bawah satu unit
yang sama tanpa dibatasi oleh faktor persempadanan dan geografi sesebuah negara. Daripada
aspek definisi, globalisasi boleh ditafsirkan daripada pelbagai perspektif seperti ekonomi, sosial,
budaya mahupun politik. Namun, definisi globalisasi daripada perspektif sosiologi, globalisasi
merupakan satu proses peningkatan jaringan dan saling bergantungan antara satu masyarakat
dengan satu masyarakat yang lain (Andersen&Taylor 2013). Macionis dan Plummer (2008) pula
menyatakan bahawa globalisasi dapat didefinisikan dalam pelbagai bentuk yang mana inti pati
kepada istilah ini adalah peningkatan perhubungan dan jaringan masyarakat. Masyarakat dalam
konteks globalisasi boleh dilihat dalam ruang lingkup yang lebih luas termasuklah negara dan
bangsa. Menerusi globalisasi, negara-negara di dunia ini tidak lagi dilihat sebagai sebuah entiti
yang berasingan malahan negara-negara ini saling berhubungan dalam melaksanakan aktiviti-
aktiviti seperti kegiatan ekonomi yang mana lama-kelamaan negara-negara tersebut saling
bergantung antara satu sama lain.

Menurut Abdul Rahman Embong (2000), globalisasi terdapat dilihat daripada beberapa
aspek iaitu; pertama, globalisasi sebagai proses; kedua, globalisasi sebagai keadaan ekonomi-
politik dan budaya yang lahir daripada proses itu dan; ketiga, globalisasi sebagai ideologi.
Daripada aspek globalisasi sebagai proses, ia merupakan transisi daripada pelbagai proses yang
membolehkan sesebuah negara melangkaui sempadan negara lain. Proses ini melibatkan proses
transnasional dan struktur domestik yang kukuh yang mendorong ekonomi dan politik menjadi
jentera utama kepada proses globalisasi. Faktor ekonomi dilihat sebagai peneraju utama di dalam

3
proses ini. Pengaturan pengeluaran, pertukaran, agihan dan kepenggunaan yang bergantungan
kepada sistem pasaran merupakan aspek ekonomi dalam proses globalisasi. Daripada aspek
politik, demokrasi dan hak asasi manusia menjadi tunjang kepada proses globalisasi yang mana
ia merupakan prinsip yang bersifat sejagat yang perlu diterima oleh semua pihak manakala
daripada aspek budaya berlakunya evolusi kepenggunaan Amerika Syarikat ke seluruh pelosok
dunia yang dikenali sebagai McDonaldisation of society yang membawa arus perubahan ke
dalam kehidupan dan pemikiran agar budaya ini menjadi nilai dan norma dalam kehidupan
masyarakat di seluruh dunia. Aspek ideologi pula dilihat sebagai satu set kepercayaan atau
pegangan yang dianggap benar oleh seseorang atau kumpulan dan dipertahankan dan seterusnya
dipropagandakan ke seluruh pelosok dunia dan harus diterima oleh orang lain. Ia berfungsi untuk
meyakini manusia bahawa mereka akan berhadapan dengan keadaan tanpa alternatif di mana
mereka perlu bergantung pada kuasa pasaran di samping liberalisasi, penswastaan mahupun
individualisme.

2.2 Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT)

Secara amnya, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) adalah salah satu bentuk teknologi
digital yang semakin berkembang dan digunakan secara meluas dewasa ini diserata dunia.
Menurut The Linked Word (2011) ICT merupakan satu terma yang merujuk kepada semua alat
komunikasi atau aplikasi termasuklah radio, televisyen, telefon cellular, komputer dan peranti
rangkaian dan software, sistem satelit, termasuk juga pelbagai perkhidmatan dan aplikasi yang
berkaitan dengannya seperti video conferencing. Penggunaan terma ini adalah interchangeable
atau turut merujuk kepada teknologi digital dan teknologi maklumat (IT) kerana konsep-konsep
ini merujuk kepada satu asas yang sama iaitu teknologi yang diaplikasikan kepada
perkembangan maklumat dan komunikasi. Teknologi maklumat pula merupakan suatu kaedah
yang digunakan untuk memindah, menyebar dan memaparkan maklumat. Maklumat tersebut
wujud dalam pelbagai bentuk sama ada bentuk fizikal, contohnya kertas dan buku, bentuk suara,
paparan visual dan pergerakan. Perkembangan teknologi maklumat di dalam mencapai suatu
tahap di mana ia mula menampakkan pengaruh tertentu didalam kehidupan manusia. Pada
asalnya, teknologi ini wujud sebagai satu perantaraan untuk mengedarkan pelbagai jenis
maklumat untuk tujuan yang berlainan, contohnya pengiklanan , pemberitahuan, telekomunikasi

4
dan sebagainya. Teknologi juga merupakan medium yang digunakan dengan bantuan sains
untuk mencapai taraf hidup yang lebih tinggi. Justeru itu, kemajuan yang dicapai oleh sesebuah
negara adalah hasil gabungan ilmu sains dan media teknologi yang jitu kerana ia memiliki
hubungkait yang amat besar dalam kehidupan msyarakat hari ini.

Schramm (1988) menekankan bahawa setiap perkembangan utma dalam komunikasi


manusia telah bermula dari suatu perkembangan baru yang penting dalam teknologi komunikasi.
Beliau menegaskan perkembangan ini sebagai satu revolusi komunikasi yang merupakan
sebahagian daripada rangkaian perubahan yang bersinambungan dalam sejarah kehidupan
manusia. Sememangnya masyarakat ketika ini sedang mengalami pembaharuan. Dissayanake
(1983), sebelum Schram juga pernah menyatakan pembaharuan ini diertikan sebagai revolusi
komunikasi yang memungkinkan berlakunya ledakan teknologi komunikasi yang pelbagai
seperti satelit, kamputer, radio bertahap tinggi dan sebagainya. Perkembangan ini akan menjurus
kepada ledakan sumber maklumat dan komunikasi yang meluas.

Masyarakat kini sedang mengalami arus perubahan dan kini muncul sebagi satu
kelompok masyarakat yang baru, yang dikenali sebagai masyarakat bermaklumat. Masyarakat
kini kian menjadi matang dalam dunia maklumat. Perkembangan kelompok tersebut dikenali
dengan pelbagai nama atau panggilan contohnya, George Lichteim menyebut zaman mereka
sebagai zaman post-bourgeois, Ralph Dahrendorf member istilah post-capitalism, Kenneth
Boulding mengenali mereka sebagai post-civilized, Amitai Etzioni menyatakan post-modern,
Herman Kahn menggunakan sebutan post-economic dan pelbagai lagi. Namun, ahli sosiologi
Harvard, Daniel Bell menggunakan istilah yang agak tepat iaitu masyarakat post-industrial. Bell
(1979), berpandangan maklumat merupakan faktor terpenting dalam masyarakat pascaindustri.
Pada zaman ini berlaku perubahan dalam system ekonomi daripada menghasilkan barangan
kepada masyarakat yang berdasarkan maklumat (information based society). Pada Pandangan
Bell akan berlaku satu teknologi intelektual yang baru berdasarkan komputer dan masyarakat
akan mudah berurusan dalam perkembangan tekonologi ini.

5
3.0 PERKEMBANGAN ICT DI MALAYSIA

Selepas Malaysia mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, pelbagai usaha telah diambil
untuk membangunkan negara berasaskan acuan sendiri dan diterajui oleh bangsa Malaysia
sendiri. Sudah pasti, di dalam menelurusi proses pembangunan daripada era pasca kemerdekaan
sehingga kini, terdapat pelbagai pendekatan yang telah diambil bagi merealisasikan setiap
perancangan yang telah dilakukan. Kemodenan yang dikecapi kini telah banyak dipengaruhi oleh
perkembangan ICT yang berlaku bermula daripada aplikasi teknologi maklumat untuk
keperluaan pekerjaan sehinggalah kepada peranan teknologi maklumat ke dalam kehidupan
seharian.

Kepentingan Malaysia dalam mengaplikasikan ICT di dalam pembangunan negara adalah


didorong oleh peranan Malaysia sebagai sebuah negara yang membangun dengan berpaksikan
sektor ekonomi menerusi perdagangan bebas bersama negara serantau seperti ASEAN dan juga
kuasa-kuasa besar ekonomi dunia seperti Amerika Syarikat, Jepun dan China (Taufiq Hail 2012).
Dengan adanya perhubungan yang menggunakan teknologi maklumat, secara tidak langsung
urusan perniagaan misalnya dapat dilakukan dengan kadar segera dan juga kos yang amat
rendah.

Perkembangan pesat di dalam bidang ICT di Malaysia turut menjadi pemangkin kepada
transformasi ekonomi yang dapat menggerakkan pembangunan negara ke arah menuju sebuah
negara maju yang berpendapatan tinggi. Menurut Habibah Lehar (2008), ICT telah diterima
pakai dalam kerangka pembangunan Malaysia sebagai alat atau jentera yang mampu mendokong
pertumbuhan ekonomi Malaysia dan seterusnya berkeupayaan untuk meningkatkan kualiti dan
taraf hidup penduduk Malaysia. Sebagai langkah proaktif, pada tahun 2008, kerajaan telah
menubuhkan National Information Technology Council (NITC). Majlis ini berperanan untuk
mengkordinasikan semua perancangan ICT sama ada di peringkat kerajaan mahupun swasta di
samping bertindak sebagai badan pemantau, penilai dan menjadi peneraju utama di dalam
membangun dan merangka Pelan Teknologi Maklumat Kebangsaan. Perancangan yang
dilaksanakan turut mengambil kira segala pelaksanaan yang berkaitan dengan teknologi
maklumat yang telah digunapakai oleh kerajaan Malaysia semenjak tahun 1970an lagi. Di

6
samping itu, majlis ini turut bertindak di dalam merangka, membangun dan melaksanakan
program-program utama yang bermatlamat untuk mentransformasikan masyarakat Malaysia ke
arah knowledge based society (KMMM 2014).

Jika diimbau perkembangan ICT di Malaysia, pelaksanaan secara berskala besar sudah
mula dilaksanakan seawal era 80an menerusi Rancangan Malaysia Ke Lima (RMK 5) daripada
tahun 1986-1990 (Unit Perancang Ekonomi 2012). Di sepanjang tempoh tersebut, Kerajaan
Malaysia telah mula memberikan keutamaan kepada bidang ICT terutama menyediakan
infrastruktur di kawasan bandar yang menjadi fokus kepada sektor ekonomi dan seterusnya ke
kawasan luar bandar. Dengan berkembangnya infrastruktur ini, penubuhan syarikat-syarikat
yang berasaskan ICT yang melibatkan hardware dan software sudah mula bertapak dan secara
tidak langsung, peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan dan kemasukan tenaga-tenaga
mahir daripada luar semakin bertambah.

Dalam hasrat untuk merealisasikan segala perancangan yang dijana, infrastruktur secara
fizikal diperlukan sebagai landasan bagi memacu setiap perancangan tersebut. Pada tahun 1996,
mantan Perdana Menteri Malaysia Ke Lima iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad telah melancarkan
Multimedia Super Corridor (MSC) seluas 15 kilometer lebar dan 50 kilometer panjang iaitu
bermula daripada Menara Berkembar KLCC di Kuala Lumpur sehinggalah ke Lapangan
Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang. Pelaksanaan ini adalah berdasarkan amalan
terbaik (best practices) yang telah dilakukan oleh Amerika Syarikat yang dikenali sebagai
Silicon Valley. Selain daripada menjadi landasan fizikal kepada pembangunan ICT di Malaysia,
MSC turut berperanan mentransformasikan Malaysia ke arah pembangunan ekonomi berasaskan
pengetahuan (knowledge-based economy) menjelang tahun 2020 (Habibah Lehar 2008).
Terdapat tiga fasa utama pembangunan MSC iaitu fasa pertama (1996-2003) yang memfokuskan
kepada merancangan dan menubuhkan MSC; fasa kedua (2004-2010) iaitu menghubungkan
MSC dengan bandar cyber seperti Cyberjaya dan fasa ketiga (2010-2020) iaitu
mentransformasikan masyarakat Malaysia ke arah masyarakat berpengatahuan. Di sepanjang
tempoh pembangunan dan pelaksanaan sehingga kini, beberapa inisiatif telah berjaya dihasilkan
seperti pelaksanaan Mykad, telemedicine dan e-government.

7
Langkah untuk mengarusperdanakan ICT ke segenap pelusuk negara diteruskan dengan lebih
rencam di Rancangan Malaysia KeLapan (RMK-8) yang bermula pada tahun 2001. Usaha terus
diperhebat dalam menyediakan landasan yang lebih kukuh bagi membolehkan negara beralih ke
arah ekonomi berasaskan pengetahuan. Tumpuan diberikan kepada usaha menggalakkan ICT
sebagai pemacu strategik bagi menyokong dan menyumbang secara langsung kepada
pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan kualiti hidup penduduk. Pelaburan yang besar telah
dibuat untuk menyedia infrastruktur komunikasi bagi meningkatkan kebolehcapaian serta
menambah baik institusi dan persekitaran kawal selia yang berkaitan. Penekanan yang lebih
diberikan kepada usaha meningkatkan tahap penggunaan ICT dalam pelbagai sector ekonomi,
antara kawasan bandar dengan luar bandar serta di kalangan pelbagai lapisan masyarakat
(Unit Perancang Ekonomi 2012). Inisiatif yang diambil ini diteruskan pada Rancangan Malaysia
Ke Sembilan (RMK 9) yang bermula pada tahun 2006. Perkembangan persekitaran global yang
lebih terbuka telah memberi kesan besar kepada usaha meningkatkan pasaran global Malaysia.
Memandangkan ICT merupakan antara penentu utama dalam proses pembangunan negara,
langkah proaktif telah diambil oleh pihak kerajaan menerusi meningkatkan prasarana yang lebih
lengkap dan canggih untuk mengarusperdanakan akses kepada perkhidmatan dan kemudahan
ICT yang lebih menyeluruh.

5.0 IMPAK ICT TERHADAP MASYARAKAT MALAYSIA

Perkembangan ICT di Malaysia merupakan satu bentuk transformasi teknologi yang


banyak membawa kepada perubahan gaya hidup. Kini, masyarakat dunia dirasakan semakin
sempit kerana apa yang berlaku dapat diketahui oleh setiap pelusuk dunia dalam beberapa saat
sahaja. Masyarakat Malaysia juga turut tidak ketinggalan di dalam merasai ledakan
perkembangan teknologi maklumat ini. Menurut Castell dan Cordoso (2005), dunia kini sedang
menelusuri proses transformasi struktur yang telah bermula lebih daripada dua dekad dahulu dan
masyarakat seharusnya membentuk teknologi dan bukan sebaliknya. Berdasarkan pandangan
ini,sudah pasti ICT telah dan boleh memberikan impak yang positif kepada masyarakat terutama
dalam meningkatkan kualiti hidup di dalam dunia yang semakin mencabar kini. Walau
bagaimanapun, di sebalik sumbangan ICT yang secara idealnya memberi kesenangan kepada
manusia, terdapat juga kesan negatif kepada manusia jika tidak digunakan dengan sebaiknya.

8
5.1 Masyarakat Rangkaian (Network Society)

Impak positif daripada perkembangan ICT di Malaysia dapat dilihat menerusi kewujudan
masyarakat rangkaian yang berlaku kepada masyarakat Malaysia. Menurut Jones (2003),
revolusi maklumat yang berlaku di era moden ini merupakan faktor utama yang mendorong
kepada berkembangnya masyarakat rangkaian ini. Revolusi ini telah merubah kaedah manusia
berkomunikasi daripada aspek masa dan ruang yang mana kedua-dua konsep ini adalah inti pati
utama di dalam globalisasi. Jones (2003) turut berpandangan bahawa revolusi yang berlaku telah
merubah pengurusan kapitalisme terutamanya daripada aspek kewangan yang mana majoriti
aktiviti kewangan kini adalah bersifat global dan dikendalikan secara elektronik. Seterusnya,
revolusi ini turut memberi kesan kepada masyarakat menerusi penggunaan teknologi maklumat
dalam kehidupan seharian yang banyak membantu dan memudahkan urusan seharian manusia.
Perubahan yang berlaku ini menurut Castell (2000) merupakan satu bentuk trasformasi ke atas
masyarakat kontemporari di seluruh dunia dan ia dikenali sebagai masyarakat rangkaian.

Struktur sosial di dalam masyarakat rangkaian adalah berasaskan kepada rangkaian yang
dioperasikan oleh ICT (Castell & Cardoso 2005). Rangkaian-rangkaian ini dioperasikan oleh
microelectronics dan rangkaian komputer digital yang menghasilkan, memproses dan
menyebarkan maklumat berasaskan maklumat yang dikumpul melalui perkongsian pengetahuan
di dalam rangkaian. Rangkaian berfungsi sebagai struktur formal di dalam dunia
(Monge&Contractor 2003). Ia juga merupakan satu bentuk sistem yang menghubungkan antara
satu struktur dengan struktur yang lain seperti rangkaian yang berasaskan ekonomi seperti
perniagaan atas talian dan struktur yang berasaskan sosial seperti Facebook.

ICT telah menjadi pemangkin untuk membuatkan proses globalisasi bertambah pantas.
Internet dan kemajuan teknologi komunikasi yang lain telah melahirkan dunia maya untuk
manusia terus berinteraksi di samping dunia nyata. Masyarakat rangkaian turut dimanisfestasikan
menerusi transformasi interaksi sosial dalam kehidupan seharian (Castell dan Cordoso 2005).
Dalam konteks interaksi sosial, akibat dari kemajuan ICT ini telah mewujudkan satu bentuk
komunikasi yang baru iaitu di panggil Media Sosial. Sosial media adalah suatu media untuk
interaksi sosial, sebagai superset melampaui komunikasi sosial. Yang dimana diaktifkan dengan

9
teknik komunikasi ubiquitously diakses dan terukur, media sosial secara substansial mengubah
cara komunikasi antara organisasi, masyarakat, serta individu. Laman jaringan sosial digunakan
dengan meluas oleh pelbagai kumpulan pengguna seperti ahli akademik, ahli politik, organisasi
korporat, agensi kerajaan, pelajar, dan sebagainya untuk pelbagai tujuan seperti perniagaan,
pengajaran dan pembelajaran, ideologi politik, komunikasi, perhubungan awam dan alat
periklanan. Jenis sosial media yang popular digunakan adalah seperti blog, facebook,e-mail,
tweeter, sms dan sebagainya. Pada waktu ini seseorang yang sedang berada di Antartika
misalnya mampu berkomunikasi secara real time (bersemuka) dengan seorang di Kuala Lumpur
melalui perisian Skype yang juga merupakan salah satu jenis sosial media.

5.2 Perubahan Sistem Ekonomi dalam Masyarakat

Kehidupan yang serba moden kini banyak dipengaruhi oleh peranan sistem ekonomi Malaysia
yang efisien di mana ia membolehkan masyarakat menikmati pembangunan dan kekayaan yang
dijana. Dengan peranan ICT, sistem ekonomi turut mengalami perubahan di mana peluang
pekerjaan banyak dibuka dan secara tidak langsung membuka dapat menintkatkan taraf hidup
masyarakat Malaysia.

Internet adalah salah satu cabang di dalam teknologi maklumat yang bertindak sebagai
pemangkin kepada sistem ekonomi berasaskan pengetahuan atau dikenali sebagai K-Ekonomi.
K-Ekonomi adalah satu sistem di mana penghasilan dan pengeksploitasian pengetahuan sebagai
satu bahagian yang paling dominan bagi menjana kekayaan (Abdulai 2001). Secara dasarnya,
sistem ekonomi ini mempunyai dua prinsip asas iaitu pengetahuan dan ICT. Pengetahuan dalam
konteks K-Ekonomi adalah merujuk kepada pengetahuan dan keupayaan menggunakan kreativiti
untuk mencipta nilai baru dan kekayaan di mana kekayaan diukur menerusi hasil daripada
aplikasi kreatif daripada pengetahuan seseorang (Tengku Azzman Shariffadeen 2001) manakala
ICT bertindak sebagai asas dan pemboleh ubah utama kepada K-Ekonomi (Manimaran 2002).

Aplikasi K-Ekonomi turut memberi kesan kepada kedudukan dan nilai pengetahuan
dalam masyarakat, sifat produk yang digunakan oleh masyarakat dan penghasilan pekerja
berpengetahuan. Dahulu, dalam sistem ekonomi yang berasaskan pertanian, kekayaan diukur

10
menerusi tanah dan hasil yang dijana oleh tanah tersebut. Oleh itu, semakin banyak dan luas
tanah yang dimiliki semakin banyak hasil yang dikeluarkan dan semakin kaya seseorang itu.
Sebaliknya, dalam ekonomi berasaskan pengetahuan, asas-asas ekonomi dahulu telah diubahsuai
dengan penambahan elemen iaitu pengetahuan. Kekayaan dalam zaman ini tidak lagi diukur
dengan luas tanah atau kuantiti, tetapi ia diukur oleh satu nilai baru iaitu pengetahuan yang dapat
diaplikasikan. Dalam pertanian yang bercirikan K-Ekonomi sebagai contoh, pengetahuan boleh
membantu seseorang petani agar dapat melaksanakan sesuatu kerja dengan lebih efektif
menerusi penggunaan bahan-bahan tanaman yang bermutu, memperbaiki kaedah penanaman dan
meluaskan saluran pemasaran hasil-hasil pertanian. Seterusnya K-Ekonomi mampu untuk
menghasilkan pekerja berpengetahuan. Masyarakat dalam sistem K-Ekonomi merupakan sebuah
masyarakat yang sentiasa aktif dengan aktiviti pengetahuan dan pembelajaran. Di dalam
persekitaran masyarakat yang aktif dengan pengetahuan dan pembelajaran, pengetahuan baru
dan aplikasi pengetahuan adalah asas kepada pembangunan ekonomi yang baik dan seterusnya
dapat memberi impak kepada aktiviti sosial di dalam masyarakat (Abdulai 2001).

5.3 ICT dan Aktiviti Perancangan Pembangunan Negara

Aktiviti perancangan banyak melibatkan penggunaan tanah dan kajian tentng bagaimana
pelbagai jenis guna tanah berkait antara satu sama lain. Data-data yang mempunyai rujukan
ruang, bersama-sama dengan data sosio-ekonomi, seperti data-data banci penduduk dan
persekitaran dapat memberikan maklumat yang maklumat yang bermakna untuk jururancang dan
pengubal keputusan pembangunan. Keperluan kepada data dan maklumat ini memerlukan tempat
penyimpanan yang mudah dikenalpasti dan mudah diperolehi dalam tempoh yang singkat.
Dalam penyediaan rancangan ini, Bell (1979) pernah menyarankan bahawa perancangan yang
baik akan dapat dicapai melalui maklumat yang baik dan maklumat yang baik seharusnya datang
dari sistem maklumat yang mantap.

Pihak berkuasa tempatan (PBT) mempunyai tanggungjawab untuk melaksanakan


penyediaan infrastruktur yang berkesan, penyediaan perkhidmatan untuk pembangunan sumber
manusia, mempertingkatkan produktiviti dan menaik taraf kehidupan penduduk dan mengawal
perkhidmatan persendirian/swasta yang mempengaruhi kebajikan masyarakat dan kesihatan dan

11
keselamatan penduduk kawasan bandar, serta penyediaan perkhidmatan dan kemudahan asas
yang menyokong aktiviti yang produktif serta membolehkan projek persendirian beroperasi
secara efektif. PBT haruslah memastikan untuk mengekalkan keselesaan, kemudahan, menjaga
dan melindungi alam semula jadi serta kawasan pembangunan, dalam melaksanakan
pembangunan dengan menggunakan sumber-sumber semulajadi dan menghasilkan kesan yang
terhad atau secara global. Bagi mencapai pembangunan mampan pihak kerajaan harus
mempunyai pendekatan yang lebih efisen dimana mereka bertanggungjawab mengawal dan
memantau keadaan bandar, disamping perlu mengambil kira keperluan penduduk masa hadapan.

Dalam dunia global, kebanyakan fungsi pentadbiran di bandar mahupun di kawasan luar
bandar disediakan berdasarkan ICT yang mana fungsinya adalah untuk membantu bahagian
penyimpanan seperti data infrastruktur dan populasi, pengurusan data secara automatik seperti
bayaran upahdan , bayaran cukai dan pengurusan pembangunan, meningkatkan aliran maklumat
antara organisasi, memantau kemudahan pengangkutan terhadap taburan penduduk dan
perumahan dan meningkatkan capaian data melalui pembangunan web yang membolehkan
sebahagian masyarakat dimaklumkan mengenai isu perancangan dan pembangunan. Potensi
penggunaan ICT dalam pengurusan pentadbiran lebih mudah dan pantas.

Perubahan konsep dan penggunaan ICT amat berkait rapat dengan perubahan
kedudukannya dalam organisasi awam dan swasta. Di tahun 1960an, teknologi ini hanya
menumpukan pemprosesan data. Dalam tahun 1970an penekanannya berubah daripada data
kepada bentuk maklumat. Pendekatan pemprosesan data berpindah kepada Sistem Pengurusan
Maklumat (MIS) yang dihubungkaitkan dengan Sistem Maklumat Bandar (UIS), Sistem
Maklumat Geografi (GIS) dan Sistem Maklumat Tanah (LIS). Pada tahun 1980an MIS berubah
kepada pengetahuan yang dapat membantu pihak pentadbiran membuat keputusan dengan
menggunakan kebolehan pemodelan yang analitikal. Tahun 1990an melihat perkembangan
Sistem Keputusan Perancangan (PSS). PSS dijana dengan mengambilkira rekabentuk yang
menyeluruh, interaksi sosial dan keupayaan komunikasi antara individu dan perdebatan
komuniti.

12
Di Malaysia, penggunaan GIS di sekitar tahun 1990an telah meningkatkan rasionaliti
dalam proses menjana keputusan perancangan yang lebih baik dalam perancangan bandar dan
kawalan pembangunan bandar dan wilayah. Kejayaaan pelaksanaan GIS dalam perancangan dan
pemantauan pembangunan bandar dan wilayah kerana wujudnya penyediaan pangkalan data,
analisis ruang dan paparan data GIS untuk tujuan perancangan dan pembangunan spatial.
Keperluan kepada GIS adalah dengan adanya pembangunan pangkalan data, model analisis dan
pembangunan perkakasan, perisian dan sumber manusia (Ahris Yaakob 2004). Selaras dengan
globalisasi masa kini, aplikasi GIS telah digunakan dalam konsep pembangunan pasca Bandar
pintar melalui konsep Ubiquitous City (U-City). Konsep Pembangunan Ubiquitous City ini
merupakan konsep baru yang berasaskan teknologi di mana ianya menekankan aspek integrasi di
antara hubungan manusia dan komputer berbanding konsep tradisional bandar lama yang lebih
memberi fokus kepada seni gaya hidup masyarakat terdahulu. Melalui konsep ini, daya saing
bandar dapat dipertingkatkan dengan teknologi tinggi yang membawa pengurusan bandar ke arah
lebih cekap dan efisyen. Secara khususnya, konsep ini memberi penekanan kepada 4 aspek
penting iaitu keselesaan, kesihatan, keselamatan dan kebersihan. Setiap aspek ini menawarkan
pelbagai perkhidmatan mengikut kategori tersendiri dengan disokong oleh pembangunan
infrastruktur yang relevan.

Penggunaan teknologi maklumat juga memberi kesan yang signifikan kepada peranan
dan konsep keruangan dalam pembangunan. Ruang yang sebelum ini bertindak sebagai pemisah
yang menempatkan negara mengikut blok dan sistem ekonomi yang menghasilkan jurang yang
besar, semakin hilang pengaruhnya dan semakin mengecil. Sokongan daripada teknologi
maklumat membolehkan kumpulan negara membangun bangkit menyaingi negara-negara maju
manakala kumpulan negara miskin pula semakin aktif untuk membebaskan diri dari belenggu
kemiskinan. Henry Lefebvre di dalam penulisannya The production of space (1974) melihat
ruang sebagai satu komponen fizikal (alam sekitar), tanggapan (fikiran) dan sosial
(lanskap budaya) yang mempunyai nilai tersendiri yang saling bersaing dan saling berinteraksi di
antara satu sama lain yang perlu disatukan bagi tujuan pembentukan ruang di sesebuah kawasan.
Menjelang akhir abad ke-20 konsep ruang mengalami perubahan dengan kemunculan State
Mode of Production (SMP) yang mana memperlihatkan kesan daripada kemunculan sistem
ekonomi kapitalis yang didokong oleh globalisasi yang membuatkan semua negara (ruang) di

13
dunia berusaha untuk menguasai secara politik / ekonomi bagi memberi laluan kepada golongan
pemodal dan pelabur (kapitalis).

Kemunculan teknologi maklumat turut membawa kesan besar ke atas penggunaan ruang
di bandar. Permintaan ke atas ruang-ruang perniagaan di bandar semakin berkurang dengan
adanya kemudahan perniagaan atas talian yang mampu memberikan perkhidmatan yang lebih
berkesan dengan kos yang lebih menjimatkan. Saiz ruang yang diperlukan juga semakin
mengecil. Semua urusan dan transaksi dijalankan secara atas talian tanpa had dari segi masa,
ruang dan keadaan. Antara contoh perkhidmatan perniagaan atas talian termasuklah
e-commerce dan e-banking. Melalui kaedah ini, bayaran sewa untuk ruang perniagaan
dibandar dapat dibayar pada kadar yang minimum seterusnya mengurangkan kos pengeluaran.
Ianya juga disokong oleh sistem pasaran bebas ketika ini yang membenarkan sesiapa sahaja
untuk bersaing di dalam pasaran global.

5.4 ICT Turut Mempengaruhi Budaya

Globalisasi adalah suatu penyatuan masyarakat dunia dari segi gaya hidup, orientasi, dan budaya.
Ledakan budaya hasil daripada proses globalisasi telah mewujudkan perubahan yang drastik
dalam pemikiran, amalan, cara hidup, hasil karya, akal budi, kelakuan,penciptaan, kebendaan,
kehidupan, dan banyak lagi dalam kalangan masyarakat.Globalisasi bukan sahaja membawa
pembaharuan dalam bidang perolehan maklumat dan pengetahuan melalui ICT akan tetapi telah
menjadi medan untuk pihak Barat mengeksport keluar budaya hidup mereka seperti budaya
hedonisme, sekularisme dan religious-pluralisme yang bukan merupakan budaya kita. Dari segi
bahasa, era ICT telah menjadikan bahasa Inggeris berkembang secara pesat dan di gunakan
secara global dalam urusan seharian baik di peringkat global dan lokal.Ini kerana bagi
mengendalikan urusan-urusan melibatkan ICT, ianya banyak dikendalikan dalam penggunaan
bahasa Inggeris. Fenomena ini melanda masyarakat di peringkat global terutama berikutan
dengan pesatnya pembangunan teknologi ICT. Gelombang budaya popular yang berkembang
secara global itu didapati memainkan peranan yang semakin penting bukan sahaja dari segi
pengaruh budaya, malahan turut berperanan dalam membawa pembangunan ekonomi, teknologi
dan seterusnya dalam menyalurkan ideologi negara-negara maju ke paras global. Menerusi ICT,

14
unsur-unsur budaya itu dihasilkan untuk diminati dan dihayati secara bersama, dan dengan ini
menyatakan penerimaan atau pengesahan masyarakat untuk dikongsi bersama.Majoriti penduduk
atau anggota-anggota masyarakat itu terdiri daripada golongan muda, termasuk golongan remaja.
Sesuatu unsur budaya itu selalunya merupakan fenomenoa popular di kalangan golongan itu, dan
ini selalu dirujuk sebagai budaya muda mudi. Biasanya pengusaha budaya popular itu
menumpukan sasaran penawaran bahan-bahan budaya itu kepada golongan muda mudi itu.

Walau bagaimanapun budaya popular berkembang dan tersebar secara meluas meliputi
semua golongan dan kelompok sosial, tidak terbatas di kalangan kelompok itu.Budaya massa itu
selalu dirujuk sebagai unsur-unsur budaya yang disalurkan melalui media massa, seperti media
cetak dan media elektronik. Tetapi budaya massa itu, yang tersebar meluas melalui media
popular turut diminati ramai dan menjadi sebahagian daripada budaya popular. Walau
bagaimanapun, tidak dapat dinafikan lagi, peranan media massa itu amat penting dalam membina
fenomenon budaya popular. Malahan, teknologi media massa itu mendorongkan kepesatan
perkembangan budaya popular. Budaya popular sebagai fenomena budaya memainkan peranan
penting dalam menggalakkan dinamiknya budaya itu, dan seterusnya mempengaruhi kedudukan
peradaban sesuatu masyarakat itu. Terdapat anggapan sesetengah pihak yang memandang rendah
dan mengaitkan penyebaran bahan-bahan budaya popular itu dengan peningkatan masalah sosial
terutama di kalangan remaja. Selain itu, terdapat pula anggapan yang mengaitkan budaya popular
dengan rendahnya penghayatan nilai-nilai seni dalam masyarakat.Fenomena budaya popular itu
berbagai-bagai, adakala berasaskan kepada keperluan asas.

Dalam masyarakat moden kini kita dapati keperluan-keperluan asas itu juga semakin
bertambah bergantung kepada kemajuan yang dicapai oleh masyarakat. Misalnya, pakaian
sebagai keperluan asas, orang ramai mendapatkan pakaian umumnya kurang menitikberatkan
lagi tentang keperluan asas sebagaimana konsep yang terbina masa lalu. Tetapi kini orang
berusaha mendapatkan pakaian yang lebih menekankan kepada fesyen, mutu dan kecantikan.
Unsur-unsur fesyen dan jenama selalu menjadi pertimbangan utama. Kepentingan seperti ini
lebih menekankan kepada keperluan sosial. Keperluan individu tidak dapat dipisahkan daripada
pengaruh keperluan sosial. Dalam keadaan ini, budaya popular yang terbina adalah berasaskan
kepada citarasa golongan majoriti yang mempengaruhi individu. Kedua-dua pihak iaitu individu

15
dan masyarakat saling mempengaruhi. Individu sebagai anggota masyarakat adakala dapat
memainkan peranan mempengaruhi citarasa anggota-anggota kelompok dan seterusnya
masyarakat.Generasi muda khasnya kerapkali memandang rendah terhadap warisan budaya
rakyat berbanding dengan budaya popular moden.. Warisan tradisi itu dianggap mempunyai
nilai-nilai yang rendah dan kurang fungsi dalam masyarakat moden. Sebaliknya penghasilan seni
popular terutama dari negara-negara maju diberikan nilai tinggi. Nilai-nilai sosial demikian
dipengaruhi oleh budaya barat melalui media massa serta teknologi ICT ini telah dapat diterima
secara meluas oleh penduduk negara ini. Berasaskan kepada nilai-nilai sosial seperti ini, hasil-
hasil lokalkurang mendapat perhatian ramai. Pandangan demikian mempengaruhi nilai-nilai
sosial penduduk tempatan secara meluas. Barang-barang yang diimport dari negara-negara maju,
terutama dari barat sentiasa diberi nilai tinggi. Berikutan dengan ini maka barang-barang yang
diimport selalu berharga lebih tinggi berbanding dengan barang-barang tempatan.

Sesebuah Negara perlu mengambil kira dan mengkaji agar kebanjiran akses ini dapat
memajukan pemikiran rakyat, bukannya sebaliknya. Selain itu juga, kebanjiran akses ini
memerlukan pemantauan agar segala transformasi yang berlakudalam aspek budaya berjalan
seperti yang dirancang. Perubahan kepadakebudayaan di juga dikhuatiri melapisi kebudayaan-
kebudayaan warisan,mengakibatkan generasi yang seterusnya tidak dapat merasai keindahan
budaya warisan.

5.5 Pendidikan

Sistem pendidikan akan terus berkembang maju dengan adanya internet. Pendidikan jarak jauh
dapat dilaksanakan dengan berkesan sama ada di dalam atau di luar negeri. Pendidikan bertaraf
dunia dapat diwujudkan di Malaysia dalam era globalisasi. Pendedahan pelbagai maklumat
kepada rakyat Malaysia seperti bidang perubatan yang dapat memberikan maklumat berkenaan
makanan berkhasiat dan senaman yang betul. Ilmu-ilmu ini menjadikan rakyat Malaysia berilmu
pengetahuan yang luas. Globalisasi juga telah mendatangkan ledakan maklumat yang telah
membawa kepada beberapa bentuk pemikiran Barat yang bercanggah dengan pegangan Islam
yang dianuti oleh majoriti penduduk Malaysia. Sebagai contoh idea-idea post-modernisme,

16
deconstructionalisme dan sebagainya, yang menular masuk melalui dasar langit terbuka
(Mohd. Yusuf Hassan 2002).

Era teknologi siber juga telah berubah pendekatan pembelajaran yang mana pembelajaran
secara tidak formal ini sedikit demi sedikit akan mengubah peranan pengajar seperti guru,
pensyarah dan sebagainya. Teknik-teknik pengajaran dan pembelajaran yang bersifat 'Iangit
terbuka' melalui perisian multimedia, internet, e-mel, audio-video, tele conferencing dan
sebagainya. Para pendidik masa kini perlu menguasai sekurang-kurangnya dalam kemahiran
generik iaitu seperti kemahiran pemudahcaraan, kemahiran berfikir secara kritis, kreatif dan
reflektif, kemahiran belajar, kemahiran mentaksirkan dan menilai dan kemahiran infotek. Dalam
era siber, kurikulum yang menekankan kepada penguasaan kemahiran-kemahiran generik atau
bolehguna seperti kemahiran berkomunikasi secara berkesan, kemahiran bergaul danbekerja
dengan orang lain dan secara berkumpulan, kemahiran berfikir, kemahiran mengikut arahan,
kemahiran menggunakan teknologi, kemahiran memahami budaya seperti ICbudaya kerja di
sesuatu tempat adalah perlu. Ia penting kerana apabila para pelajar memasuki alam pekerjaan ia
dapat membantu mereka menjadi tenaga kerja yang mahir, cekap serta yang paling utama adalah
pekerja yang berpengetahuan dan bermaklumat.

6.0 KESIMPULAN

Kesimpulannya, tidak dapat dinafikan bahawa ICT merupakan pemangkin utama di dalam
globalisasi. Perkembangan ICT secara tidak lansung banyak mempengaruhi kehidupan
masyarakat Malaysia masa kini. Ia merupakan satu perkara yang tidak dapat dielakkan
memandangkan negara kita amat memerlukan ICT sebagai salah satu asas kepada pembangunan
negara. Pengaruh ICT dalam kehidupan telah menjadi sebahagian daripada kehidupan moden
kini yang akan terus meningkat penggunaan dan pengaruhnya dari masa ke semasa. Pengaruh ini
dalam masyarakat telah melampaui segenap aspek kehidupan iaitu bermula daripada pengaruh
ICT kepada sistem ekonomi sehinggalah kepada pengaruhnya terhadap budaya dan nilai dalam
masyarakat.

17
ICT telah menjadi pemangkin kepada perubahan dalam sistem ekonomi global. Sistem ekonomi
yang dikenali sebagai K-Ekonomi telah menjadi sistem yang tidak dapat dielakkan kini. Terdapat
perubahan ketara terutamanya berkaitan jurang digital dan kedudukan nilai pengetahuan dalam
komuniti memandangkan tidak semua lapisan masyarakat mampu untuk mendapatkan
perkhidmatan internet misalnya kerana kos yang tinggi dan akses kepada isyarat yang terhad
terutama mereka yang tinggal di luar bandar.

Seharusnya, masyarakat mengambil kesempatan di atas sumbangan positif yang dapat dijana
daripada pembangunan ICT yang dilakukan. Kenyataan oleh Castell (2005) iaitu society shapes
technology according to the needs, values and interests of people who use the technology perlu
menjadi asas kepada penggunaan ICT yang lebih efektif. Pihak berkuasa juga perlu lebih proaktif
di dalam menyediakan prosedur dan peraturan bagi memantau perkembangan teknologi
maklumat agar masyarakat tidak bebas untuk menyalahgunakan kemudahan yang disediakan.

18
RUJUKAN

Abdul Rahman Embong. 2000. Wacana Globalisasi. Dlm. Norani Othman & Sumit K.
Mandal (pnyt.). Malaysia Menangani Globalisasi Peserta Atau Mangsa, hlm. 46-70.
Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.

Abdulai, D. N. 2001. Malaysia and the K-Economy: Challenges, Solutions and the Road
Ahead. Selagor: Pelanduk Paublication.

Ahris Yaakob. 2004. Sistem Maklumat Perancangan Bandar Dan Wilayah : Kronologi
Pembangunan Dan Penggunaannya Jurnal Alam Bina 1(6).

Andersen, M. L. & Taylor, H. F. 2013. The Essentials Sociology. United States of America:
Wadsworth.

Bell, D. 1979. The Social Framework of the Information Society. Dlm. Forrester, T. (pnyt.).
The Microelectronics Revolution, hlm. United States of America: Blackwell.

Castells, M. 2000. The Rise of the Network Society. Oxford: Blackwell.

Castells, M. & Cardoso, G. 2005. The Network Society: From Knowledge to Policy.
Washington, USA: Center for Transatlantic Relations.

Dissanayake, W. 1983. Communication in the Cultural Traditions of India. Media


Development 30(1): 28-30.

Habibah Lehar. 2008. The Malaysian Economy: Past and Present. Universiti Teknologi
MARA Shah Alam: University Publication Cetre (UPENA).

Harshita Aini Haroon. 2004. Globalisasi Bahasa: Antara Realiti Dan Imaginasi. Dlm. Mohd
Azizuddin Mohd Sani (pnyt.). Globalisasi Dalam Perspektif, Isu Dan Cabaran, hlm.
Selangor: IBS Buku SdnBhd.

Jones, P. 2003. Introducing Social Theory. United Kingdom: Polity Press.

Kementerian Komunikasi Dan Multimedia Malaysia. 2014. Introduction to the National


Information Technology Council (Nitc) of Malaysia.
http://nitc.kkmm.gov.my/index.php/the-national-it-council [20 Disember].

Lefebvre, H. 1974. The Production of Space. Dlm. The Linked World. 2011. Research
Report: How Ict Is Transforming Societies, Cultures, and Economies.
www.conferenceboard.org [November].

19
Macionis, J. & Plummer, K. 2008. Sociology: A Global Introduction. London: Pearson
Prentice Hall.
Manimaran, G. 2002. Pendidikan Sepanjang Hayat Kunci K-Ekonomi. Utusan Malaysia, 12
September 2002.

Mittelman, J. H. 1996. Globalization: Critical Reflections. Boulder, Co: LynneRienner.

Mohd. Yusuf Hassan. 2002. Paradigma Pemikiran Dalam Epistimologi Melayu. Dlm. Asmah
Haji Omar (pnyt.). The Genius of Malay Civilisation.Tanjung Malim, Perak: Universiti
Pendidikan Sultan Idris.
Monge, P. R. & Contractor, N. 2003. Theories of Communication Networks. New York:
Oxford University Press.

Schramm, W. 1988. The Story of Human Communication: Cave Painting to Microchip. New
York: Harpercollins College.

Taufiq Hail. 2012. Ict Development in Malaysian: Ict Infrastructure & Services.
http://www.academia.edu/9400459/ICT_in_MALASIA [12 November].

Tengku Azzman Shariffadeen. 2001. Get Set for the K-Economy. The Star, 25 April 2001.

The Linked World. 2011. Research Report: How Ict Is Transforming Societies, Cultures, and
Economies. www.conferenceboard.org [November].

Toffler, A. 1990. Powershift. New York: Bantam Books.

Unit Perancang Ekonomi. 2012. Rancangan Malaysia Ke Sepuluh.


www.epu.gov.my:http://www.epu.gov.my/html/themes/epu/html/rm9/english/Chapter5.p
df

Waters, M. 1995. Globalization. London & New York: Routledge.

20

Anda mungkin juga menyukai