Anda di halaman 1dari 1

Johor Bahru: Walaupun baru berusia belasan tahun, dua beradik iaitu Amiruddin Muhammad,

18, dan kakaknya, Siti Nur Izzah Muhammad, 19, bergelar mutawwif dan mutawwifah selepas
mendapat pengiktirafan di Majlis Pensijilan Mutawwif Johor Corporation (Jcorp) di Pesada
Johor, di sini, semalam.

Amiruddin yang menuntut di Akademi Ulumuddin Sheikh Daud Al-Fathoni di Cheras berkata,
kemampuan bertutur dalam bahasa Arab memberikan kelebihan kepada dirinya untuk
menjalankan tugas sebagai mutawwif.

Katanya, membawa jemaah umrah atau haji ke Tanah Suci Makkah untuk melakukan ibadat
adalah pekerjaan yang murni dan mulia.

“Saya bersyukur mendapat gelaran mutawwif kerana dapat membawa jemaah umrah dan haji
pada usia muda walaupun berdepan cabaran dalam membantu mereka yang lebih berusia.

“Selain membantu mereka melakukan ibadat umrah atau haji, tugasan mutawwif juga membantu
keperluan jemaah di sana termasuk menyediakan keperluan perhubungan, membeli barangan dan
sebagainya.

“Alhamdulillah, saya mempunyai kelebihan bertutur dalam bahasa Arab dan saya berharap akan
dapat melaksanakan tanggungjawab ini sepenuhnya seperti yang dipelajari mengikut al-Quran
dan Sunah Rasulullah S.A.W,” katanya yang pernah belajar di institusi pengajian di Yaman
dalam bidang al-Quran dan Sunah selama sembilan bulan sebelum pulang ke Malaysia akibat
peperangan.

Sementara itu, Siti Nur Izzah berkata, usia muda tidak menjadi penghalang baginya untuk
menjadi mutawwifah kerana mempunyai pengalaman praktikal mengendalikan jemaah umrah.

Katanya, niat mahu menjadi mutawwifah hanya satu iaitu menolong jemaah melakukan ibadat,
selain menjaga ibadat sendiri di Tanah Suci.

“Ketika menjalani latihan amali, saya dan rakan membawa 40 jemaah umrah yang turut dipantau
pelajar senior dan saya gunakan pengalaman itu untuk terus menolong jemaah yang memerlukan
bukan saja dari sudut hukum hakam serta syarat sah umrah dan haji, malah keperluan lain juga.

“Alhamdulillah, bagi seorang wanita untuk ke Tanah Suci memerlukan mahram dan saya
beruntung kerana adik saya turut sama menjadi mutawwif kelak,” kata anak kedua daripada
enam beradik yang mengambil Diploma Pengurusan Haji Umrah di Kolej Baitulmal Putrajaya
itu.

Dalam Program Pensijilan Mutawwif Jcorp 2016, 63 mutawwif baru menerima sijil yang
disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Wakaf An-Nur Corporation Berhad, Jamaludin Md
Ali.

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/111432#sthash.dNFVmyEJ.dpuf


http://www.hmetro.com.my/node/111432

Anda mungkin juga menyukai