Anda di halaman 1dari 5

KONSEP SILAT CEKAK

Pergerakan Silat Cekak adalah berdasarkan pergerakkan semula jadi manusia dan tidak
memerlukan pergerakan yang luar biasa.Pada asasnya konsep Silat Cekak adalah asalkan boleh
bergerak dua kaki dua tangan maka sesuai untuk belajar silat ini.

Silat Cekak berdiri lurus ketika menanti serangan serta tidak mempunyai tari menari di dalam
pergerakannya. Ini sesuai dengan konsep dan rupa bentuk Silat Cekak yang lebih
kepada mempertahankan diri.

Silat Cekak tidak mengelak ke kiri, ke kanan atau pun mengundur malah ia mara kehadapan
apabila menangkis serangan.

Silat Cekak juga tidak mengajar sistem dua senjata, yakni apabila musuh bersenjata, Silat Cekak
akan berlawan dengan tangan kosong serta berusaha untuk menewaskan musuh dengan
merampas senjata musuh

Silat Cekak tidak mengajar teknik menyepak sebaliknya mempunyai teknik untuk menangkis
serangan sekiranya diserang dengan mengunakan kaki.

Silat Cekak menekankan konsep berani kepada pengamalnya dan bukan sifat garang. Ini adalah
kerana sifat berani adalah sifat insan manakala garang adalah sifat haiwan.

CIRI-CIRI PEMBELAJARAN
Silat Cekak diajar secara berpakej dan berkumpulan dan selalunya memerlukan diantara 6 – 8
bulan untuk tamat dengan kelas sebanyak 2 atau 3 kali seminggu.

Mempunyai 4 kaedah Asas A B C D serta 21 (Dua Puluh Satu ) buah matapelajaran untuk
mempertahankan diri

Daripada Asas kaedah A, B, C dan D,pelatih akan dilatih keperingkat seterusnya iaitu peringkat
Buah Asas.

 Buah Asas – Kaedah-kaedah asas menangkis serangan dari hadapan.


 Buah Jatuh – Kesinambungan dari buah asas, iaitu menangkis serangan dan
menjatuhkan lawan.
 Buah Potong – Peringkat potong adalah peringkat dimana para pelatih akan diajar cara
untuk memotong buah – buah yang telah dipelajari pada peringkat jatuh. Pada peringkat
ini juga, para pelajar akan diajar 2 mata pelajaran untuk menangkis serangan pisau.
 Buah Serang -Satu-satunya pelajaran menyerang di dalam Silat Cekak yang
melibatkan teknik cekak menyerang, cekak menangkap.
 Buah Umum – Mempelajari keseluruhan teknik mempertahankan diri dan serangan
untuk digunakan secara amali. Di peringkat ini juga para penunut akan diajar cara –
cara untuk menyerang dan juga aplikasinya.

Pada peringkat tamat ini juga para penuntut akan diajar cara-cara untuk menangkis serangan-
serangan dari seni beladiri yang lain dan juga serangan-serangan bersenjata.

SENJATA RASMI
PARANG LADING

Seperti silat – silat lain, senjata rasmi bagi Silat Cekak Pusaka hanafi adalah Parang Lading yang
kebiasaannya tidak dijumpai di mana – mana tempat lain kecuali di negeri Kedah Darulaman.

Parang ini digunakan secara meluas oleh para penduduk terutamanya para petani di negeri
tersebut untuk melakukan kerja – kerja harian. Oleh kerana kaitan Parang Lading ini dengan
penduduk Kedah amat kuat, penggunaan Parang Lading didalam silat ini secara tidak langsung
menjadi bukti bahawa silat ini berasal dari negeri Kedah.

Ada kisah yang mengatakan bahawa pada suatu masa dahulu, Parang Lading telah digunakan
sebagai anugerah kepada panglima kerajaan negeri Kedah. Parang Lading tersebut dikenali
sebagai Parang Lading berambu.

Sebagai suatu senjata, sudah tentu rupabentuk Parang Lading yang digunakan oleh pengamal
Silat Cekak Pusaka Hanafi mempunyai perbezaan yang ketara berbanding Parang Lading biasa.
Antaranya adalah Parang Lading yang ada dalam silat ini mempunyai ukuran tertentu yang
membolehkan ianya sesuai dengan si pemakainya. Ukurannya adalah seperti berikut:

1. Panjang parang ini adalah sama dengan jarak dari telinga kiri ke mata kanan atau dari
telinga kanan ke mata kiri sipemakai. Falsafahnya: Apa yang terlihat dan terdengar pasti
kena.
2. Lebar parang di sebelah hulu adalah sama dengan lebar kuku ibu jari si pemakai
3. Lebar di sebelah hujung parang adalah sama dengan panjang ibu jari pemakai.
4. Panjang mata parang pula adalah sama dengan jarak diantara dua mata si pemakai.
5. Hulu parang ini mengambil bentuk tapak kijang dan diperbuat dari tanduk kerbau betina.

Lentik Parang Lading dalam Silat Cekak Pusaka Hanafi juga juga berbeza dengan mengambil
lentik Pelepah Kelapa berbanding lentik Pelepah Pisang yang biasa dijumpai.

Pengamal Silat Cekak Pusaka Hanafi menggunakan Parang Lading semata – mata untuk
mempertahankan diri dari serangan pelbagai senjata kecuali senjata api. Ia diletakkan dalam
keadaan matanya tersorok dibelakang tangan pengamal atau pun tersorok di dalam lengan baju
seperti diamalkan oleh panglima – panglima Silat Cekak suatu masa dahulu. Teknik penggunaan
Parang Lading ini tidak jauh bezanya dengan kaedah – kaedah Silat Cekak Pusaka Hanafi yang
sedia ada. Ia berfungsi lebih kepada merosakkan “prasarana” musuh daripada membunuhnya
dengan serta – merta.

Sungguhpun demikian, Parang Lading ini hanya dianugerahkan oleh YM Guru Utama kepada
orang-orang yang telah mencapai satu peringkat tertentu serta terbukti kesetiaannya kepada
persatuan. Selalunya mereka yang mendapat anugerah ini adalah mereka yang telah bergiat aktif
di dalam persatuan selama lebih dari 10 tahun.

Pada kebiasaannya apabila seseorang itu dianugerahkan senjata ini, ukuran penerima parang itu
akan diambil sendiri oleh Guru Utama dan beliau sendiri akan menempahnya bagi memastikan
cara pembuatan senjata tersebut adalah menurut spesifikasi dan kualiti yang dikehendaki. Bagi
mereka yang arif dalam bidang pembuatan senjata akan memahami bahawa proses pembuatan
senjata Parang Lading seperti yang dikehendaki oleh Silat Cekak ini adalah amat rumit dan
mengambil masa yang lama. Adalah menjadi satu kepelikan jika mendengar seseorang itu boleh
membuat Parang Lading yang benar – benar sesuai dengan hanya mengetahui ukuran.

WALI JANTAN
Wali Jantan merupakan satu lagi senjata yang digunakan dalam Silat Cekak selain Parang
Lading.

Seperti juga Parang Lading, Wali Jantan beasal dari bumi Kedah Darulaman. Boleh dikatakan
tiada negari lain yang mempunyai senjata seperti ini.

Penggunaan Wali Jantan adalah berbeza dengan Parang Lading. Parang Lading digunakan
khusus untuk mempertahankan diri manakala Wali Jantan pula boleh digunakan untuk
menyerang dan juga bertahan.

Antara kelebihan Wali Jantan ialah penggunanya dapat menyerang tepat sasaran walaupun di
dalam keadaan yang gelap gelita. Selain itu matanya juga cukup berbisa.

Mata wali jantan berbeza dengan mata pisau, iaitu mata tajamnya menghala ke atas dan
muncungnya tirus dan tidak mempunyai bentuk seperti mata pisau biasa (labu pisau).

Wali Jantan dibuat dengan menggunakan petua – petua tertentu bagi memastikan ianya beberapa
kelebihan yang memanfaakan penggunanya. Antaranya, ia dibuat berdasarkan ukuran tertentu
penggunanya bagi memastikan keadaan dimana Wali Jantan itu digunakan untuk menikam
penggunanya (senjata makan tuan). Selain daripada itu, terdapat juga bahan – bahan tertentu
yang diletakkan kedalam Wali Jantan bagi menambah bisa (rahsia). Pembuatan Wali Jantan juga
perlu diakhiri pada hari yang sama ianya dimulakan. Misalnya, jikalau Wali Jantan tersebut
dibuat bermula pada hari selasa, maka ia juga perlu diakhiri pada hari selasa juga.

Dari segi penggunaan, Wali Jantan akan dikeluarkan sekali bersama sarungnya apabila
penggunanya bersiap sedia untuk bertarung. Apabila pertarungan sebenar berlaku, pengguna
Wali Jantan akan menjentik sarungnya keluar sejurus sebelum mula bertikam.

Wali Jantan adalah merupakan salah satu anugerah Guru Utama kepada anak – anak muridnya.
Tidak semua pengamal Silat Cekak mendapat senjata ini secara automatik. Selalunya mereka
yang mendapat senjata ini adalah mereka yang dipilih oleh Guru Utama sahaja berdasarkan
kriteria yang tertentu.

Pantang Larang

Terdapat 5 pantang larang didalam Silat Cekak Pusaka Hanafi iaitu :

1. Tidak boleh derhaka kepada guru.


2. Tidak boleh derhaka kepada ibu.
3. Tidak boleh derhaka kepada bapa.
4. Tidak boleh bergaduh sesama ahli.
5. Tidak boleh mencaci silat melayu asli yang lain.
Untuk keahlian dan pendaftaran ahli baru,sila berhubung dengan negeri atau kelas latihan Silat
Cekak Pusaka Hanafi yang berhampiran.Untuk keterangan lanjut sila ke page hubungi kami dan
hubungi nombor yang tertera.

Anda mungkin juga menyukai