Anda di halaman 1dari 5

Pengenalan

Teori Pembelajaran Kognitif menekankan kepada proses mental dalaman iaitu


maklumat yang diterima diproses melalui pemilihan, perbandingan dan penyatuan dengan
maklumat lain yang sedia ada dalam ingatan. Terdapat beberapa tokoh yang mengkaji Teori
Pembelajaran Kognitif antaranya ialah Piaget, Bruner, Ausubel dan Kohler. Mereka
berpendapat bahawa pembelajaran bukanlah hanya melibatkan hubungan antara rangsangan
dan gerak balas, namun pembelajaran juga melibatkan proses pemikiran yang kompleks.
Pembelajaran adalah perubahan persepsi dan pemahaman yang tidak selalu berbentuk tingkah
laku yang boleh diperhatikan dari seseorang individu.

Justeru itu, guru perlulah memahami teori ini supaya dapat mengaplikasikan dalam
pembelajaran abad ke-21. Pada zaman globalisasi abad ke-21 ini, keperluan pembelajaran
adalah sudah berbeza dari zaman dahulu. Pembelajaran abad ke-21 adalah satu pembelajaran
yang lebih menekankan keperluan pelajar dan bukanlah hanya untuk mematuhi kurikulum
pendidikan yang ditetapkan oleh pendidikan negara sahaja namun lebih kepada kemahiran
berfikir aras tinggi. Menurut Simon Cassidy (2004), perkembangan ilmu pendidikan telah
menghasilkan pembelajaran baru iaitu kaedah pembelajaran yang baru dan model pengajaran
yang baru di mana kedua-duanya diperlukan oleh masyarakat. Walau bagaimanapun, teori-
teori pembelajaran yang dikaji oleh tokoh-tokoh terdahulu masih digunakan sebagai panduan
dalam proses pengajaran dan pembelajaran abad ke-21. Persoalannya, apakah implikasi teori
pembelajaran kognitif terhadap amalan pedagogi abad ke-21 ini?

1
Implikasi Teori Pembelajaran Kognitif Terhadap Amalan Pedagogi Abad Ke-21

Implikasi teori pembelajaran kognitif dalam pembelajaran abad ke-21 adalah


menekankan tentang pembelajaran berpusatkan pelajar. Pembelajaran berpusatkan pelajar
adalah pelajar itu sendiri memainkan peranan dalam proses pembelajaran. Guru adalah
sebagai fasilitator yang membantu dan membimbing pelajar. Menurut Mayers dan Jones
(1993), pembelajaran berpusatkan pelajar yang dijalankan dengan baik akan memberikan
kesan terhadap penguasaan isi pelajaran yang lebih mendalam dan bermakna. Dalam teori
pembelajaran kognitif Ausubel ditekankan bahawa seseorang individu berusaha untuk
mencari hukum belajar yang bermakna. Menurut Ausubel (2002), terdapat dua jenis
pembelajaran iaitu pembelajaran bermakna di mana maklumat baru dihubungkan dengan
struktur pengertian yang sudah dimiliki oleh seseorang yang sedang belajar dan pembelajaran
hafalan iaitu seseorang individu berusaha menerima dan menguasai pelajaran yang
disampaikan oleh guru. Sebagai contohnya, guru Pendidikan Seni telah memberikan satu
pelajaran tentang membuat kolaj dan mengarahkan pelajar untuk menjalankan satu aktiviti
penghasilan kolaj. Melalui aktiviti yang dijalankan, pelajar akan menghubungkan maklumat
yang dimiliki dengan maklumat baru yang diterokai semasa aktiviti dijalankan untuk
menghasilkan kolaj. Pelajar akan berusaha untuk menerima dan menguasai kemahiran itu.
Hal ini menunjukkan bahawa pelajar mengaplikasikan kemahiran kognitif mereka untuk
meningkatkan penguasaan pembelajaran yang mendalam dan bermakna.

Seterusnya, pembelajaran aktif juga mempunyai implikasi teori pembelajaran


kognitif. Pembelajaran aktif adalah merupakan salah satu strategi pembelajaran abad ke-21
iaitu pembelajaran yang memberikan kesempatan kepada pelajar untuk aktif mencipta konsep
dan makna tersendiri melalui aktiviti yang dijalankan. Guru tidak hanya menyampaikan
pelajaran secara pasif tetapi melaksanakan pelbagai aktiviti yang aktif yang memberi peluang
kepada pelajar untuk meneroka sendiri supaya dapat membina kefahaman dengan lebih
mendalam. Justeru itu, teori pembelajaran kognitif dapat dilihat dalam pembelajaran aktif
contohnya seorang guru Sains telah menjalankan satu eksperimen tentang pelajaran yang
dijalankan. Dalam pelaksanaan eksperimen, guru memberi peluang kepada pelajar untuk
memerhati, menghidu, memegang dan meneroka supaya dapat mengaplikasikan dalam proses
penyelesaian masalah. Pelajar membentuk konsep dengan mengasingkan benda mengikut
ciri-ciri persamaan dan perbezaan. Bruner (1966), menegaskan bahawa pembelajaran berlaku
secara penemuan iaitu seseorang itu mengolah apa yang diketahui kepada satu konsep yang
baru seperti menyelesaikan masalah harian.
2
Selain itu, implikasi teori pembelajaran kognitif dalam pedagogi abad ke-21 adalah
dalam Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT). KBAT ialah satu kemahiran yang
melibatkan intelek yang tinggi. KBAT juga mengaplikasikan pemikiran secara kritis, logik
dan kreatif. Bagi melaksanakan strategi pembelajaran ini, guru perlu menjalankan aktiviti
pembelajaran mengikut peringkat perkembangan kanak-kanak supaya dapat menghasilkan
pembelajaran yang bermakna. Sebagai contohnya, proses pembelajaran murid prasekolah
adalah lebih kepada bermain serta cenderung kepada pengetahuan asas tentang kemahiran
4M iaitu membaca, menulis, mengira dan menaakul. Mengikut Piaget (2000), dalam teori
pembelajaran kognitif, empat tahap perkembangan kognitif dapat memberi gambaran kepada
guru supaya isi pelajaran yang disampaikan dalam proses pengajaran dan pembelajaran
mestilah mengikut peringkat perkembangan kanak-kanak. Hal ini kerana, pengetahuan dan
kebolehan kanak-kanak berbeza mengikut umur ataupun tahap masing-masing. Jelaslah,
untuk melaksanakan pengajaran yang mengaplikasikan KBAT, guru perlu menyampaikan
dan menyusun isi-isi pelajaran mengikut peringkat perkembangan kanak-kanak.

Di samping itu, implikasi teori pembelajaran kognitif terhadap pembelajaran abad ke-
21 adalah dalam pembelajaran berasaskan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK).
Pembelajaran berasaskan TMK adalah dengan menggunakan kemudahan multimedia dalam
proses pengajaran dan pembelajaran. Penggunaan TMK dalam proses pengajaran dan
pembelajaran adalah bertujuan untuk meningkatkan keberkesanan dan kecekapan proses
pengajaran dan pembelajaran. Mayers (2002), menjelaskan bahawa otak tidak mentafsir
perkataan, gambar dan maklumat dalam persembahan multimedia tetapi maklumat-maklumat
dipilih dan disusun untuk menghasilkan satu konsep yang baru. Justeru, hal ini menunjukkan
bahawa semasa proses pembelajaran yang menggunakan TMK, pelajar mengaplikasikan
kemahiran kognitif mereka untuk memahami pelajaran. Melalui penggunaan TMK juga,
pelajar dapat menerima pelajaran dengan lebih efektif dan dapat menyusun atur maklumat
mengikut kepentingan. Sebagai contohnya, seorang pelajar tidak hanya memahami perkataan
sahaja dalam persembahan multimedia yang dipaparkan tetapi pelajar itu menyusun
perkataan dan gambar dalam pemikiran mereka secara berurutan untuk menghasilkan
maklumat yang baru dan pelajaran yang bermakna.

3
Penutup

Kesimpulannya, jelaslah bahawa teori pembelajaran kognitif adalah penting untuk


diaplikasikan dalam setiap strategi pembelajaran atau pedagogi abad ke-21. Hal ini kerana,
setiap individu adalah berbeza mengikut kebolehan dan kemahiran masing-masing. Teori
pembelajaran ini dapat memberi panduan kepada guru dan ibu bapa tentang perkembangan
yang dilalui antara seorang kanak-kanak. Oleh itu, seorang guru perlulah berusaha untuk
memahami dan menghayati teori pembelajaran kognitif supaya dapat mengaplikasikan dalam
proses pengajaran dan pembelajaran pada abad ke-21 agar dapat mencapai hasrat Falsafah
Pendidikan Kebangsaan.

4
Rujukan

Trilling, B., & Fadel, C. (2009). 21st century skills: Learning for life in our times. John Wiley
& Sons.

Beetham, H., & Sharpe, R. (2013). Rethinking pedagogy for a digital age: Designing for 21st
century learning. routledge.

Cassidy*, S. (2004). Learning styles: An overview of theories, models, and


measures. Educational psychology, 24(4), 419-444.

Meyers, C., & Jones, T. B. (1993). Promoting Active Learning. Strategies for the College
Classroom. Jossey-Bass Inc., Publishers, 350 Sansome Street, San Francisco, CA
94104.

Ausubel, D. P. (2002). Theory and problems of adolescent development. iUniverse.

Bruner, J. S. (1966). Toward a theory of instruction (Vol. 59). Harvard University Press.

Piaget, J. (2000). Piaget’s theory of cognitive development. Childhood cognitive


development: The essential readings, 33-47.

Mayer, R. E. (2002). Multimedia learning. Psychology of learning and motivation, 41, 85-
139.

Mayer, R. E. (2009). Multimedia Learning. Cambridge University Press.

Anda mungkin juga menyukai