Anda di halaman 1dari 13

KONSEP ASAS ILMU DALAM ISLAM

KONSEP ASAS ILMU DALAM ISLAM


Oleh ; Mohd Zailani b Ridzwan

PENDAHULUAN

Kedatangan Islam membawa gesaan menuntut, menyebar dan memuliakan ilmu. Wahyu yang
pertama iaitu ayat 1-5 surah Al-‘Alaq dengan jelas mewajibkan pencarian ilmu.

“Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian


makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhanmu
Yang Maha Pemurah,Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, Dia
mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya”.

Manifestasi wahyu pertama iaitu kalimah Iqra’ yang diturunkan kepada manusia jelas
meletakkan kepentingan ilmu dalam kehidupan manusia. Islam memerintahkan umatnya
untuk mencari ilmu agar boleh mengambil tempat sewajarnya sebagai khalifah Allah dan
pemimpin di muka bumi ini. Ilmu sangat dipentingkan oleh umat Islam sehingga terdapat
lebih kurang 800 rujukan yang berkaitan dengan ilmu di dalam al-Quran (Sulaiman Nordin ,
2008). Oleh itu agama Islam ini dapatlah dikatakan sebagai tertegak atas dasar ilmu atau
pengetahuan. Tanpa ilmu dan pengetahuan kita tidak akan dapat mengenal Khaliq dan
seterusnya tidak dapat berbakti kepadaNya. Perkataan “ilmu” disebut kira-kira 750 kali dalam
Al-Quran melalui pelbagai bentuk (Syed Muhammad Dawilah,1993). Orang yang berilmu
diberikan pujian dan dipandang mulia di sisi Islam. Hal ini dapat kita lihat melalui banyak
ayat Al-Quran antaranya,

Firman Allah s.w.t dalam Surah al-Zumar ayat 9

“Katakanlah: Adakah sama orang yang berilmu dengan orang yang tidak berilmu”.

Firman Allah s.w.t dalam Surah al-Baqarah ayat 269

“Allah memberikan hikmah (ilmu pengetahuan) kepada sesiapa yang dikehendakiNya


dan orang-orang yang diberikan ilmu pengetahuan bererti ia telah diberikan kebaikan
yang banyak”.

FirmanNya lagi dalam surah Surah al-Faatir ayat 28

“ Sesungguhnya orang yang takut kepada Allah ialah orang yang berilmu”.

DEFINISI ILMU

Dari segi bahasa ilmu berasal daripada Bahasa Arab iaitu “ Alima ( ‫ ) علم‬, ya’lamu ( ‫) يعلم‬,
‘ilman ( ‫) علما‬, ‘alimun ( ‫ ” ) عالم‬manakala dalam Bahasa Inggeris iaitu “ Science ”. Dari segi
istilah pula Imam Al-Ghazali mendefinisikan ilmu sebagai hakikat semua benda. Beliau juga
mengatakan ilmu yang paling sempurna ialah ilmu yang dimiliki oleh Allah s.w.t.
Ibnu Khaldun mendefinisikan ilmu sebagai sesuatu yang dapat dipelajari oleh manusia sama
ada menggunakan akal fikiran, pancaindera, pengalaman-pengalaman, mahupun dengan
pertolongan wahyu Ilahi.

S.M. Naquib Al-Attas (2007) mendefinisikan ilmu sebagai ketibaan sesuatu makna ke dalam
jiwa seseorang hasil daripada maklumat atau ketibaan oleh hati tentang makna sesuatu. Ilmu
merupakan suatu sistem yang menghasilkan kebenaran dan salah satu daripada usaha
manusia untuk memperadabkan dirinya (memajukan tingkat kehidupan manusia daripada
aspek jasmani
dan rohani (al-Attas, 2007)

Qadi Abd Jabbar mendefinisikan ilmu sebagai suatu kepercayaan yang memuaskan jiwa ,
bahawa objek yang dipercayai itu adalah menepati perkara yang sebenarnya menurut realiti
yang berlaku.
Prof Dr. Othman Bakar mendefinisikan ilmu sebagai kalimah Allah yang pengertiannya amat
luas, hanya Allah sahaja yang mengetahui.

Ilmu lahir dan berkembang atas asas tertentu. Ia dihubungkan dengan teori dan asal usul ilmu
yang disebut sebagai epistemologi. Epistemologi sesuatu ilmu mempunyai landasan dan
tapak tertentu. Darinya ilmu terbina, berkembang dan membentuk perspektif atau tasawwur
seseorang tentang sesuatu.(Sidek Baba, 2011)

DEFINISI ILMU MENURUT PERSPEKTIF BARAT DAN ISLAM

Perspektif Islam : Suatu himpunan pengetahuan manusia hasil usaha pemahaman manusia
yang lengkap merangkumi semua aspek, struktur, sistem, hukum-hukum yang berkaitan
dengan sesuatu yang dikaji dan diselidiki sehingga dapat memberi keyakinan di hati untuk
mengamalkannya dengan benar dan ilmu tidak hanya terbatas pada dapatan empirik
sahaja. Epistemologi ilmu Islam berdiri atas asas sumber naqliyyah iaitu wahyu dan tidak
menolak faktor akliah yang berasaskan penyuburan akal dan perkembangan
pemikiran. Diibaratkan sebagai pokok juga, akar tunjang bagi pokok itu ialah akidah. Akar-
akar yang lain dirujuk sebagai ibadah, akhlak, syariah dan lain-lain. Akar tunjang yang
mantap dan subur bagi menumbuhkan batang, dahan-dahan, ranting-ranting, daun, bunga dan
buah adalah hasil kekuatan akidah yang jelas, membentuk pandangan alam atau tasawwur
yang lebih sepadu dan fitrah sifatnya (Sedek Baba, 2011). Epistemologi ilmu dalam Islam
terbentuk dalam acuan yang sepadu. Ilmu fardu ain seperti akidah, ibadah, akhlak, syariah
dan lain-lain menjadi tunjang dan membentuk gandingan dengan ilmu fardu kifayah seperti
sains, teknologi dan ilmu-ilmu kemanusiaan. Dr. Maurice Bucaille menemui titik persamaan
yang amat menarik antara sains moden dan al-Quran itu sendiri. Menurut Dr. Zakir Naik
terdapat hampir 2000 ayat tentang sains sahaja dalam al-Quran( Zainudin Hashim,
2010). Ilmu-ilmu akal ialah ilmu yang berkaitan bidang sains, sastera, matematik, astronomi
dan seumpamanya yang dipelajari dan difahami berdasarkan keupayaan pancaindera dan
pemahaman akal. Ia tidak bersandarkan kepada nubuwwah atau wahyu. Bagaimanapun,
dalam Islam, pemahaman dan huraian ilmu-ilmu tersebut adalah berdasarkan kepada
metafizika Islam atau prinsip-prinsip yang berasaskan tauhid, kerana tauhid adalah penentu
segala-galanya dalam Islam 9Uthman El-Muhammady, 2011). Sains empirikal atau sains
pasti seperti matematik dan fizik bagi Islam adalah suatu ilmu yang boleh menghubungkan
alam ghaib dengan alam nyata. Dengan mengguna simbol-simbol matematik, kita dapat
menterjemahkan peraturan-peraturan yang disediakan di alam zahir oleh Allah s.w.t dalam
bentuk yang boleh difahami oleh manusia. Rahsia-rahsia yang terdapat di alam zahir boleh
dimanafaatkan untuk kepentingan manusia sambil memberi tanda-tanda bagi kebesaran dan
kebijaksanaan Allah s.w.t. Oleh itu ulama yang benar-benar alim dalam Islam diisyaratkan
baginya sebagai orang yang takut kepada Allah s.w.t.( Sulaiman Nordin, 2008)

Perspektif Barat : Ilmu adalah pengetahuan yang dapat diperolehi melalui pengalaman ,
perolehan maklumat secara dapatan empirik dan bagaimana manusia memikirkan tentang
sesuatu melalui kaedah tertentu. Barat hanya menerima ilmu melalui perkara yang dapat
diukur, dibuktikan dalam makmal sahaja. Mereka menolak perkara-perkara ghaib seperti
akhirat, syurga, neraka dan seumpamanya kerana perkara tersebut tidak dapat dibuktikan
secara empirik dan saintifik. Dalam sejarah kebudayaan Barat, sikap keras gereja terhadap
aktiviti keilmuan mencetuskan kepada kelahiran sekularisme dan pemisahan aspek-aspek
duniawi daripada aspek teologi. Epistemologi ilmu Barat sekular atau
moden tidak menjadikan agama sebagai tapak atau landasannya. Manusia jika diibaratkan
seperti sebatang pokok apabila akar yang menyuburkan dahan, ranting, daun dan buah adalah
berasaskan rasionalisme, saintisme, humanisme, liberalisme dan modernisme Barat maka
kesannya amat merbahaya kepada akidah. Akar tunjang yang berasaskan rasionalisme
semata-mata menghasilkan bunga dan buah pemikiran yang sifatnya sekular berasaskan
fakta, data dan dapatan hasil ujikaji dan pemerhatian yang menggunakan akal dan
pancaindera semata-mata. Nilai, etika dan estetika dilihat sebagai nisbi dan sifatnya normatif
atau berubah-ubah dalam kegunaan dan pemakaiannya (Sidek baba, 2011). Fahaman sekular
yang menunjangi ilmu barat membawa maksud ‘kekinian’ atau kontemporari yang dirujuk
dari bahasa Latin sebagai saeculum. Fahaman ‘kekinian’ ini menolak faktor-faktor kesilaman
yang merujuk kepada agama, falsafah dan tamadun yang berasaskan nilai dan etika. Ilmu-
ilmu moden yang bersifat ilmu-ilmu kemanusiaan sama ada sosiologi, antropologi, psikologi
mahupun ekonomi dan pengurusan mengambil faktor empiris sebagai landasan
perkembangannya. Manusia dan benda dilihat sebagai alat. Ia tidak dilihat sebagai suatu
proses penciptaan dan pengembangannya berlaku secara kebetulan (by accident) dan
tertaaluk kepada pengaruh persekitaran dan juga fenomena. Sebarang faktor agama untuk
dijadikan hujah empiris tertolak kerana dianggap sebagai dogma iaitu tidak mempunyai asas
pembuktian secara saintifik. Konsep dan pendekatan saintifik masih berlegar sekitar benda-
benda wujud dan maujud tetapi tidak ada asas-asas yang dikatakan wujud dalam
ghaibiyyat(Sidek Baba, 2011).

PEMBAHAGIAN ILMU DALAM ISLAM

Menurut Imam Al-Ghazali ilmu dibahagikan kepada dua kategori besar iaitu Ilmu Fardu Ain
dan Ilmu Fardu Kifayah. Ilmu Fardu Ain adalah ilmu yang berkaitan dengan ajaran agama
yang asas dan perlu dikuasai bagi setiap hamba Allah, ilmu fardhu ain yang berdasarkan
kepada al-Quran dan al-Sunnah juga dikenali sebagai ilmu wahyu, ilmu ini yang wajib
dipelajari oleh setiap orang Islam. Contohnya ilmu yang berkaitan aqidah, ibadah, syariat dan
ajaran akhlak.
Manakala ilmu Fardu Kifayah adalah ilmu yang berkaitan dengan urusan keduniaan yang
perlu bagi umat Islam, Ilmu ini yang diperolehi melalui akal manusia dan ia perlu untuk
kesempurnaan hidup manusia. Kewajipan menuntut ilmu ini hanya terbatas ke atas
segolongan manusia sahaja. Contoh ilmu fardhu kifayah ialah ilmu kemasyarakatan, ilmu
sains tabii , sains fizik , Sains gunaan , ekonomi , pentadbiran an sebagainya (Syed Muhamad
Dawilah Al-Edrus ,1999).

Pembahagian lain Imam Al-Ghazali membahagi ilmu kepada dua bahagian. Pertama ilmu
Syariah iaitu ilmu yang diperolehi daripada nabi atau rasul bukan melalui akal, ujikaji dan
sebagainya. Semua ilmu syariah adalah sahih. Kedua ilmu ghair syariah iaitu ilmu
keduniaan dan dibahagikan kepada 3 hukum terpuji ( mahmudah ) seperti perubatan,
ekonomi dan seumpamanya, dikeji ( mazmumah ) seperti ilmu sihir, tangkal, nujum, ramalan
dan seumpanya. , harus ( mubah ) seperti ilmu kesusasteraan, sejarah dan sebagainya (Syed
Muhamad Dawilah Al-Edrus ,1999).

Ibnu Khaldun pula membahagikan ilmu kepada dua bahagian iaitu Ilmu Naqliah ( al-Quran
dan al-Sunnah ) dan Ilmu Aqliah. Ilmu Naqliah terbahagi kepada dua kategori iaitu ilmu
bersumberkan syariat ( wahyu ) seperti al-Quran dan al-Sunnah dan Ilmu bukan
bersumberkan wahyu seperti Ilmu Hadis, Ilmu Usul Fiqh, Ilmu Fiqh, Ilmu Kalam dan Ilmu
Tasawuf. Ilmu Aqliah pula adalah hasil daripada akal dan pemikiran manusia yang
berhubung rapat dengan kemajuan dan peradaban manusia. Ilmu Aqliah terbahagi kepada
empat kategori iaitu Ilmu Logik ( Mantiq ), Ilmu Fizik , Ilmu Metafizik ( Perkara Ghaib ) dan
Ilmu Pembelajaran (Haron Din, 1985)

TUJUAN UTAMA ILMU ISLAM

Dalam Islam ilmu yang wajib dipelajari mempunyai beberapa tujuan iaitu Pertama : tujuan
ilmu adalah untuk mengenal pencipta . Firman Allah swt dalam Surah al-Jumuah
ayat 2 yang bermaksud

”Dialah yang mengutus kepada kaum yang buta huruf seorang Rasul di antara mereka,
yang membacakan ayat-ayatNya kepada mereka, menyucikan mereka dan
mengajarkan mereka Kitab dan hikmah (Al Sunnah). dan Sesungguhnya mereka
sebelumnya benar-benar dalam kesesatan yang nyata”.

Tujuan utama ilmu ialah untuk mengenal Allah s.w.t. dan manusia dibekalkan dengan akal
yang mempunyai keupayaan yang amat dahsyat. Untuk mengenal Allah s.w.t tidaklah perlu
untuk menggunakan akal yang tinggi. Akal sentiasa menghubungkan segala pengetahuannya
dengan kebesaran dan keagungan Allah s.w.t. Kewajipan manusia untuk mengenal Allah
s.w.t melalui ilmu yang benar dengan menggunakan akal dan pancaindera yang
dianugerahkan oleh Allah s.w.t.

Kedua : menghubungkan Ilmu Dengan Allah s.w.t. Menghubungkan kembali ilmu itu
dengan penciptaNya kerana ilmu datang dari Allah s.w.t. kerana Allah s.w.t bersifat dengan
maha mengetahui, tiada suatupun yang terlindung daripada pengetahuanNya dan manusia
tidak boleh lupa bahawa Allah s.w.t. yang menciptakan manusia dan mengajar kepada
manusia yang pertama iaitu Nabi Adam a.s beberapa ilmu. Kita wajib menghubungkan ilmu
dengan Allah s.w.t (Yang bersifat ’Aliman) agar tidak tersesat jalan.

Ketiga ; Mencapai Kebenaran. Mencari ilmu adalah untuk sampai kepada kebenaran (al-
Haqq) dan keyakinan (al-Yaqin) dan melalui ilmu segala kepalsuan dan kebatilan dapat
dihapuskan. Ilmu juga mampu mengeluarkan seseorang daripada keraguan kepada
keyakinan. Kebenaran yang mutlak dan pasti adalah daripada Allah s.w.t.

Keempat : Berilmu dan Beramal. Berilmu sahaja tidak memadai kerana tuntutan ke atas ilmu
ialah melaksanakan kefahaman dan roh ilmu itu sendiri. Orang yang berilmu tetapi tidak
beramal dengan ilmunya merupakan suatu kekejian dan Orang yang berilmu tetapi tidak
beramal mendapat celaan dan ancaman dari Allah s.w.t.
Kelima : Membentuk Kerohanian. Al-Quran seringkali menjelaskan bahawa ilmu dapat
membentuk kerohanian seseorang yang akan menyebabkan rasa takut kepada Allah s.w.t.
Ilmu yang mengabaikan nilai-nilai kerohanian akan tempang kerana manusia bukan terbina
daripada unsur jasmani semata-mata bahkan dilengkapkan dengan unsur rohani. Kebahagiaan
hidup selalunya dirujuk kepada kebahagian rohani iaitu ketegangan jiwa.

SIFAT ILMU DALAM ISLAM

Ilmu bersifat Rabbaniyyah dimana Ilmu dalam Islam bersumberkan dari Allah s.w.t. dan ia
bersifat Rabbaniyyah atau ketuhanan. Manakala Al-Quran dan al-Sunnah menjadi sumber
ilmu yang utama. Rabbani juga meliputi dari segi penggunaan ilmu itu sendiri. Ilmu
digunakan untuk kebaikan manusia dan alam seluruhnya. Apabila ilmu tidak dikaitkan
dengan Allah s.w.t, manusia akan menjadi takbur dengan kelebihan yang ada padanya.
Matlamat ilmu adalah untuk mendapatkan keredhaan Allah s.w.t.

Ilmu bersifat terbuka dimana sumber untuk memperolehi ilmu adalah sentiasa terbuka dan
tidak terbatas kepada al-Quran dan al-Sunnah sahaja. Islam memberikan kebebasan kepada
manusia untuk mengambil ilmu dari sumber yang benar sama ada melalui kajian,
pemerhatian dan seumpamanya. Walau bagaimanapun, hasil atau dapatan dari sumber yang
bertentangan dengan kenyataan al-Quran dan al-Sunnah adalah ditolak. Sumber ilmu tidak
semestinya daripada orang Islam sahaja bahkan Islam menggalakkan umatnya untuk
mengambil ilmu dari siapa sahaja asalkan tidak bercanggah dengan al-Quran dan al-Sunnah.

Ilmu bersifat syumul. Islam menerima dan mengiktiraf semua ilmu yang bermanfaat. Ilmu
dalam islam bersifat syumul atau menyeluruh. Islam meletakkan ilmu agama dan dunia
adalah sama penting. Islam amat menekankan ilmu fardu kifayah disamping ilmu fardu ain.
Tanpa ilmu fardu kifayah , ilmu fardu ain tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna.

ADAB-ADAB MENUNTUT ILMU

Setiap muslim wajib mengikhlaskan niat menuntut ilmu kerana Allah. Rasulullah s.a.w
pernah memberi amaran bahawa Allah akan menyediakan tempat di dalam neraka bagi
mereka yang menuntut ilmu untuk kesenangan dunia semata-mata tanpa memikirkan
maslahat Islam dan umatnya. Orang yang benar-benar ikhlas dalam menuntut ilmu sahaja
yang mampu memiliki sifat-sifat terpuji. Firman Allah s.w.t :(Surah al Baqarah : 235)

“Dan ketahuilah bahawa Allah mengetahui apa yang tersemat dalam hatimu maka
takutlah kepadaNya dan ketahuilah bahawa Allah Maha Pengampun lagi Maha
Penyayang.”

Ingatlah bahawa setiap orang akan binasa melainkan orang yang berilmu, setiap orang yang
berilmu akan binasa melainkan orang yang beramal dan setiap orang yang beramal akan
binasa melainkan orang yang benar-benar ikhlas.

Umat Isla hendaklah tekun , tawakal dan sentiasa bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu
tanpa mengira keadaan dan masa. Menghindari perasaan malas dan mudah jemu dengan
bahan-bahan ilmiah. Mewujudkan suasana sekeliling terutama di rumah dengan budaya ilmu
dan bukan sebaliknya. Mencontohi ulama’-ulama’ silam yang mana mereka belajar dalam
keadaan susah. Sentiasalah bertawakkal kepada Allah s.w.t dalam menuntut ilmu. Tawakkal
yang dilakukan mestilah mencukupi syaratnya iaitu berusaha, tekun, yakin, tidak mudah
putus asa dan menyerah natijah ataupun keputusan kepada Allah s.w.t sepenuh hati. Selain
itu umat islam hendaklah tekun berusaha mencari majlis ilmu. Sabda Nabi SAW yang
diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a. , katanya : Rasulullah s.a.w. bersabda :

“ Jika kamu melalui taman syurga , maka berhentilah kamu ”. Para sahabat bertanya
: “ Ya Rasulullah , apakah taman syurga itu ? Beliau menjawab: “Majlis-majlis Ilmu”.
(Hadith riwayat Al- Tabrani )

Menjauhi Maksiat dan umat islam mestilah menghidupkan budaya amar ma’ruf dan nahi
mungkar dalam diri dan suasana sekeliling. Ilmu itu adalah nur yang suci yang mana ia tidak
dapat kita perolehi jika diri kita sentiasa disaluti dengan najis-najis dosa. Cubalah sedaya
yang mungkin di dalam menghindari kehendak nafsu kita dengan menutup segala jalan
menuju ke arahnya. Jangan terlalu mengambil mudah terhadap perkara maksiat yang boleh
menjerumuskan kita kepada maksiat yang lebih besar.

Menjauhi Pertengkaran Dan Perbantahan Perkara ini perlu dijauhkan kerana ia tidak
mendatangkan kebaikan. Amalan ini juga menjadikan hati keras, mewariskan kedengkian dan
menyebabkan kemarahan. Pendapat boleh dikemukakan dengan cara berhikmah dan soal
diterima orang atau sebaliknya adalah perkara lain. Firman Allah s.w.t dam Surah al-Ankabut
: 46)
”Janganlah kamu membantah Ahli Kitab itu melainkan dengan cara yang paling
baik”.

Untuk mencari ilmu hendaklah memilih teman yang soleh. Pilihlah teman yang mampu
membawa kita ke arah kebaikan. Hidupkan budaya nasihat menasihati antara satu sama lain
di dalam menuntut ilmu. Luqman Al-Hakim pernah berpesan kepada anaknya supaya sentiasa
bersama orang alim dan soleh serta menghadiri majlis ilmu kerana apabila Allah s.w.t
menurunkan keberkatan kita turut sama memperolehinya. Orang soleh akan menasihati kita
ke arah kebaikan serta menegur kita apabila berlakunya kesilapan dan kesalahan. Rasulullah
s.a.w. pernah berpesan kepada kita melalui hadis yang diriwayatkan oleh Imam Tarmizi dan
Abu Daud

”Seseorang itu mengikut agama sahabat temannya. Maka hendaklah seseorang itu
memerhati siapakah yang dijadikan teman.”

Ketika mencari ilmu hendaklah memperbanyakkan Zikrullah. Sentiasa solat lima waktu
secara berjemaah dan mengamalkan wirid serta doa selepas solat walaupun ringkas kerana
ulama’ sufi begitu menitik beratkan perkara wirid ini kerana ia boleh menghidupkan hati
yang mati dan ia juga boleh mendatangkan perasaan ingin memuhasabahkan diri dengan
amalan seharian. Tanpa wirid yang ma’thur selepas solat boleh menyebabkan
perasaan zikrullah agak berkurangan dan ia boleh mendatangkan perasaan memudahkan
segala kewajipan yang telah diperintahkan oleh Rabbul ‘Izzati. Jangan ajar diri kita
melengah-lengahkan solat lima waktu kerana ia akhirnya mampu membawa diri kita ke arah
mengabaikan solat. Bacalah al-Quran sekurang-kurangnya sehelai setiap hari kerana ia
merupakan penawar segala penyakit. Mengamalkan perkara sunnah dalam setiap gerak
kerja kita seharian akan sentiasa diberkati dan diredhai oleh Allah s.w.t dan makhlukNya.

Seterusnya adab mencari ilmu hendaklah menjaga kehormatan. Orang yang berilmu wajib
menjaga kehormatan diri sendiri dan juga orang lain. Menutup segala keaiban diri dan orang
lain akan membawa kepada keredhaan Allah s.w.t. Seseorang yang dicucuri dengan
keredhaan dan rahmat Allah s.w.t. sahaja yang mampu merasakan kebahagian di dalam
kehidupan seharian. Mereka yang jauh daripada rahmat Allah s.w.t., akan dipenuhi dengan
perkara yang kurang baik dan derita.

Doa dan keredhaan ibubapa juga adalah adab mencari ilmu. Sentiasa menjaga perasaan kedua
ibubapa kita dan menghormati mereka dalam perkara yang tidak menyalahi syariat Islam.
Sentiasa berhubung dengan mereka dan mengambil berat tentang keadaan keduanya serta
mendoakan kebahagian mereka di dunia dan akhirat. Sentiasa meminta agar mereka meredhai
kita dan mendoakan kejayaan kita. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud

”Keredhaan Allah s.w.t. bergantung kepada keredhaan ibubapa”


( Hadith riwayat Al Tarmizi )

Satu lagi adab utama ketika mencari ilmu ialah menghormati guru. Wajib menghormati guru
dan mematuhi segala arahannya selagi mana tidak menyalahi kehendak Islam. Patuh
kepadanya walaupun fikrah atau pendapat kita berbeza. Merendah diri terhadap guru
walaupun lebih muda dari segi umur. Sentiasa memuliakan dan menghormati orang yang
berilmu. Tidak meninggalkan majlis ilmu sebelum mendapat kebenaran dari guru. Beradab
dari segi cara duduk atau cara bercakap dalam majlis ilmu.

Beramal dengan segala ilmu yang diperolehi. Hendaklah mengamalkan segala ilmu yang
dipelajari sebaik mungkin. Sentiasa mengingatkan kita bahawa orang yang berilmu dan tidak
beramal dengan ilmunya akan dihumban ke dalam api neraka lebih dahulu daripada
penyembah berhala. Jadikanlah ilmu yang dipelajari sebagai benteng daripada terjerumus ke
kancah maksiat dan jadikanlah juga ia sebagai senjata di dalam mematahkan serangan musuh
Islam serta jadikankanlah ia sebagai ubat yang mujarab di dalam menyembuhkan penyakit
jahil dan batil di dalam masyarakat. Jangan jadikan ia sebagai barangan jualan untuk
mengejar kekayaan dunia yang sementara.

SUMBER ILMU

Sumber ilmu dalam islam terbahagi kepada empat sumber iaitu Wahyu, Akal, Indera dan
Intuisi WAHYU (AL-QURAN & AS-SUNNAH) :Wahyu terdiri daripada A-Quran dan As
Sunnah iaitu pemberitahuan Allah s.w.t kepada para rasulNya tentang segala petunjuk dan
pengetahuan yang dikehendakiNya secara luar biasa. Wahyu utama ialah Al-Quran. Al-
Quran adalah kalam Allah s.w.t. yang bermukjizat, diwahyukan kepada Nabi Muhammad
s.a.w melalui malaikat Jibril a.s, dalam Bahasa Arab, diriwayatkan secara mutawatir dan
membacanya adalah ibadah. Selain merupakan kitab petunjuk, al-Quran juga adalah kitab
yang mengandungi konsep-konsep asas ilmu seperti proses peciptaan manusia. Perincian
ilmu secara teknikalnya ditinggalkan oleh Allah s.w.t kepada manusia untuk memikirkannya
dengan menggunakan kekuatan akal. . Wahyu diibaratkan sebagai pokok juga, akar tunjang
bagi pokok itu ialah akidah. Akar-akar yang lain dirujuk sebagai ibadah, akhlak, syariah dan
lain-lain. Akar tunjang yang mantap dan subur bagi menumbuhkan batang, dahan-dahan,
ranting-ranting, daun, bunga dan buah adalah hasil kekuatan akidah yang jelas, membentuk
pandangan alam atau tasawwur yang lebih sepadu dan fitrah sifatnya (Sidek Baba , 2011).
Kelebihan Al-Quran ialah jaminan kekal dan terpeliharanya ayat-ayat al-Quran
Firman Allah s.w.t dalam Surah al Hijr ayat 9

“Sesungguhnya Kamilah (Allah) yang menurunkan al-Zikr ( al-Quran ) dan


sesungguhnya Kamilah yang memeliharanya”.

Seterusnya Allah s.w.t. dan Rasul memuji orang yang belajar dan mengajar al-Quran.
Membaca al-Quran adalah ibadah. Al-Quran merupakan sumber utama dalam pelbagai
bidang ilmu kerana kesahihannya contohnya Ilmu Sains ( proses kejadian manusia, kejadian
siang dan malam )
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud
“ Aku tinggalkan kepada kamu semua dua perkara, kamu tidak akan sesat selama
mana kamu berpegangdengan kedua-duanya iaitu kitabullah (al Quran ) dan sunnah
nabiNya”.
(Hadith riwayat Malek)

Al-Sunnah merupakan sumber kedua dalam perundangan Islam selepas al-Quran. Al-Sunnah
ialah sesuatu yang disandarkan kepada Nabi Muhammad s.a.w sama ada perkataan,
perbuatan, pengakuan dan sifat-sifatnya. Al-Sunnah juga banyak memperkatakan seluruh
bidang termasuk kesihatan, kemasyarakatan, akhlak dan lain-lain. Firman Allah s.w.t. dalam
Surah al Hasyr : 7 yang bermaksud;

“ Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah kepada kamu maka terimalah
serta amalkan, dan apa jua yang dilarangnya kamu melakukannya maka patuhilah
larangannya….”

AKAL : Menurut pandangan Islam akal adalah sumber ilmu yang memiliki kemampuan
terbatas. Ilmu-ilmu akal ialah ilmu yang berkaitan bidang sains, sastera, matematik,
astronomi dan seumpamanya yang dipelajari dan difahami berdasarkan keupayaan
pancaindera dan pemahaman akal. Ia tidak bersandarkan kepada nubuwwah atau
wahyu. Bagaimanapun, dalam Islam, pemahaman dan huraian ilmu-ilmu tersebut adalah
berdasarkan kepada metafizika Islam atau prinsip-prinsip yang berasaskan tauhid, kerana
tauhid adalah penentu segala-galanya dalam Islam (Uthman El-Muhammady, 2011). Antara
kelebihan akal ialah melihat dan menilai kebesaran Allah s.w.t.. Namun demikian akal adalah
terbatas dan tidak bersifat mutlak. Firman Allah s.w.t dalam Surah Ali Imran : 190 dan 191
yang bermaksud;

”Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan
siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal, 191(yaitu) orang-orang
yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadan berbaring dan
mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): "Ya Tuhan
kami, tiadalah Engkau menciptakan Ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, Maka
peliharalah kami dari siksa neraka”.

Sains empirikal atau sains pasti seperti matematik dan fizik bagi Islam adalah suatu ilmu
yang boleh menghubungkan alam ghaib dengan alam nyata. Dengan mengguna simbol-
simbol matematik, kita dapat menterjemahkan peraturan-peraturan yang disediakan di alam
zahir oleh Allah s.w.t dalam bentuk yang boleh difahami oleh manusia. Rahsia-rahsia yang
terdapat di alam zahir boleh dimanafaatkan untuk kepentingan manusia sambil memberi
tanda-tanda bagi kebesaran dan kebijaksanaan Allah s.w.t. Oleh itu ulama yang benar-benar
alim dalam Islam diisyaratkan baginya sebagai orang yang takut kepada Allah
s.w.t.(Sulaiman Nordin, 2008)
Asas inilah yang melahirkan sejumlah besar ilmuwan dan saintis Islam yang memulakan
tradisi ilmu dengan tradisi hafazan, tafsir, bahasa, falsafah, logik, muzik dan kemudian
menekuni bidang yang pelbagai seperti matematik, astrofizik, perubatan, sains dan teknologi
hingga akhirnya mampu menampilkan tamadun unggul selama lebih 600 tahun. Pencapaian
silam itu sudah tentu relevan dengan zamannya dan perkembangan sains dan teknologi hari
ini sudah tentu berbeza dengan apa yang berlaku pada masa yang lalu. Pencapaian silam
membuktikan terdapat roh integrasi yang perlu diteladani disamping sikap kreatif dan
reflektif yang tinggi supaya sains dan ‘the signs of the creator’ dapat didekati secara fikir dan
bijaksana (Sidek Baba, 2011). Golongan rasionalisme mengatakan bahawa hanya melalui
sumber akal sahajalah manusia dapat memperolehi pengetahuan bahkan pengetahuan akal
yang paling benar dan sahih.

INDERA : Indera ialah pengalaman pancaindera atau deria. Pengetahuan melalui


pancaindera dikenali sebagai pengetahuan aposteriori kerana ia datang selepas melalui
pengalaman terlebih dahulu. Pengetahuan pancaindera ialah semua pengetahuan yang
diperolehi manusia melalui kelima-lima pancainderanya iaitu mata, hidung, rasa ( kulit ),
telinga dan lidah. Menurut Imam Al-Ghazali ilmu melalui indera ialah usaha untuk
mendapatkan gambaran atau memerhati hakikat sesuatu benda. Indera terbahagi kepada dua
iaitu Indera Lahiriyah dan Indera Batiniyah.
Indera lahiriyah akan menyerap sifat lahiriyah objek tertentu kemudian akan meransang daya
rasional pula.Indera batin menghuraikan makna-makna di dalam objek itu.

INTUISI : Intuisi merupakan sumber ilmu dan deria keenam. Ia adalah ilmu yang diperolehi
melalui penghayatan secara langsung. Intuisi disama ertikan dengan naluri , ilham atau
bisikan hati. Imam Al-Ghazali menyatakan bahawa ilham adalah berupa cahaya yang jatuh di
atas nurani, bersih dan lembut. Tidak mungkin berlaku pemikiran akal atau perasaan tanpa
disentuh oleh intuisi .Bagi kalangan ahli sufi Islam, sumber intuisi mereka dikenali dengan
wijdan, diperolehi melalui pengalaman ”kasyaf” iaitu pembukaan alam ghaib oleh Allah
s.w.t. kepada individu yang terpilih. Intuisi yang datang itu diproses dan pemprosesan itulah
yang memungkinkan terjelmanya ilmu pengetahuan yang dibantu dengan akal dan
pancaindera.
Contoh : Kisah Saidina Umar dan tentera Islam. Ketika beliau sedang berkhutbah di Madinah
Umar nampak ada yang sedang berlaku ke atas tentera Islam yang sedang berjuang di Syria.
Bahkan beliau boleh memberi arahan kepada tentera di sana dan mereka mendengar dan
menurut arahannya. Kasyaf ini termasuk dalam karamah.

Wahyu merupakan sumber rujukan ilmu yang terutama dan tertinggi. Wahyu Allah
s.w.t.bersifat benar dan mutlak. Wahyu Allah s.w.t. meliputi semua bidang ilmu pengetahuan
antaranya Ilmu Ibadat , Ilmu Aqidah , Ilmu Muamalat , Ilmu Ekonomi , Ilmu Akhlak dan
lain-lain. Wahyu Allah s.w.t. sesuai digunakan dan diikuti pada semua keadaan, tempat, dan
masa. Sumber ilmu yang lain boleh diterima jika tidak bertentangan dengan sumber pertama
iaitu al-Quran dan al-Sunnah yang sahih. Islam mempunyai kelebihan yang paling besar. Ia
mengambil ilmu daripada semua penjuru termasuk wahyu yang merupakan ilmu pokok. Ilmu
yang yakin dan mutlak tidak pernah wujud dalam sistem pengajian Barat sekular. Semuanya
relatif termasuk nilai, akhlak dan teori sains. Kelemahan ini telah meresap ke dalam semua
pengajian Barat dari segi tafsiran yang dibuat bagi sesuatu fakta khasnya dalam bidang
sosiologi. Oleh itu, ia boleh menyebabkan sebahagian besar pengajiannya tidak mempunyai
asas yang kukuh sehingga menghasilkan banyak teori sesat yang apabila dilaksanakan dalam
bidang kehidupan harian praktikal masyarakat merosakkan, menyebabkan banyak kezaliman,
ketidak adilan, penderitaan, seperti yang telah dihasilkan oleh teori sosialisme (marxisme),
teori bangsa, teori nilai, teori sejarah, teori ekonomi dan teori psikologi Freud. Sebagai
contoh, lihat sahaja penderitaan jutaan mangsa di bawah rejim komunis di Soviet Rusia,
China, Kemboja dan Afrika. Dalam sistem kapitalis pula, berlaku konsep wang atau
pembangunan kebendaan menjadi matlamat kehidupan Sulaiman Nordin ( 2011)

SUMBER ILMU PADA PERSPEKTIF BARAT

Akal dianggap sebagai sumber ilmu yang tertinggi oleh itu barat berpegang kepada konsep
rasional sebagai ukuran dalam menerima atau menolak sesuatu ilmu. Sumber empirikal turut
menjadi landasan untuk membuktikan kebenaran. Hanya yang dapat dibuktikan
secaraRASIONAL dan EMPIRIKAL diterima sebagai sesuatu yang benar. Menurut
Sulaiman Nordin (2008) Barat mempunyai kekurangan yang besar kerana menafikan adanya
Allah s.w.t. Oleh itu Barat tidak berpegang kepada sebarang nilai mutlak, malah semua nilai
dianggap nisbi (relatif). Agama dianggap sebagai budaya yang dicipta oleh manusia.
Sebenarnya bukan semua agama atau ideologi dicipta oleh manusia. Ada agama (dari langit)
yang berasal dari Allah s.w.t yang suci daripada tambahan dan kekurangan.

NILAI ILMU

Persoalan aksiologi yang besar ialah menentukan sesuatu nilai pada ilmu. Pengaruh tamadun
dan semasa ( zaman )yang menentukan nilai sesuatu ilmu. Dalam Islam, keutamaan ilmu
adalah pada Ilmu Fardu Ain yang berhubung dengan pengetahuan agama yang asas seperti
akidah, syariah dan akhlak. Selepas ilmu Fardu Ain diikuti oleh ilmu Fardu Kifayah atau ilmu
keduniaan yang menyokong kepada pelaksanaan ilmu fardu ain.

Pada pandangan barat ilmu yang benar terbatas kepada pengetahuan mengenai alam zahir.
Hanya pendekatan rasionalisme dan empirisme diterima sebagai kaedah memperolehi ilmu.
Akal tidak mungkin mencapai ilmu yang yakin mengenai alam transedental , kepercayaan
mengenai hakikat-hakikat bersifat transedental hanya diterima sebagai teori atau hipotesis
yang tidak dapat diyakini kebenarannya dan kenisbian ilmu.

Ilmu hendaklah menjadi budaya. Budaya ilmu ialah kewujudan suatu keadaan setiap lapisan
masyarakat melibatkan diri secara langsung atau tidak langsung dengan kegiatan-kegiatan
keilmuan pada setiap kesempatan. Keadaan di mana segala tindakan manusia baik pada tahap
individu atau masyarakat, ditentu dan diputus serta dilaksana berdasarkan ilmu pengetahuan.
(Wan Mohd Nor, 2003)

HIERARKI ILMU

Dalam menentukan hierarki ilmu, terdapat perbezaan ketara antara Islam dan Barat.
Perbezaan ini disebabkan berbeza dari segi penekanan dan susunannya. Barat meletakkan
sumber dari akal dan pengalaman indera pada tahap teratas, lebih tinggi dari sumber wahyu.
Ini kerana falsafah kebendaan mereka yang hanya menerima ilmu dari sumber empirik sahaja
iaitu indera dan akal.
Islam meletakkan sumber wahyu sebagai hierarki yang paling atas atau utama.
Menurut Islam secara tertibnya hierarki ilmu dapat disusun seperti berikut :

i. Ilmu wahyu iaitu al-Quran dan al-Sunnah


ii. Ilmu indera
iii. Ilmu akal
iv. Ilmu intuisi (kasyaf)

Menurut Imam Al-Ghazali ilmu memiliki sifatnya. Sifat ilmu terbahagi kepada tiga ialah Imu
yang terpuji ( Mahmudah ) seperti perubatan, ekonomi, dan seumpamanya. Ilmu yang dikeji (
Mazmumah ) seperti ilmu sihir, tangkal, nujum, ramalan dan seumpamanya. Ilmu yang
Harus ( Mubah ) seperti ilmu kesusasteraan, sejarah dan sebagainya.

Orang yang berilmu mempunyai kedudukan yang tersendiri. Kedudukan orang yang berilmu
dilihat dalam dua aspek iaitu Orang berilmu yang terpuji dan orang berilmu yang dikeji.
Orang berilmu yang terpuji ialah Ilmuan yang terpuji adalah orang yang berfungsi atau
menunaikan tanggungjawab terhadap diri dan masyarakatnya. Mempunyai tanggungjawab
moral yang menyentuh nilai-nilai dasar seperti keikhlasan, kebenaran, kejujuran, amanah,
kegigihan dan seumpamanya. Allah s.w.t mengangkat martabat orang yang berilmu.
Sebagaimana firmanNya dalam Surah al-Mujadalah : 11 bermaksud

”Wahai orang-orang yang beriman, Apabila diminta kepada kamu memberi lapang
dari tempat duduk kamu (untuk orang lain), maka lapangkanlah seboleh-bolehnya,
supaya Allah melapangkan (serba-serbinya) untuk kamu. Dan apabila diminta kamu
bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman
di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan
kamu) - beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya
tentang apa yang kamu lakukan."

Manakala orang berilmu yang dikeji ialah Ilmu tidak semestinya membentuk peribadi ilmuan
tersebut tetapi ilmuan tersebut hendaklah berkelakuan selari dengan ilmunya. Orang berilmu
yang dikeji apabila amalannya tidak selari dengan ilmunya. Orang berilmu juga dikeji apabila
ia lari daripada tanggungjawab sosial dan agama. Dalam tradisi keilmuan Islam, golongan
ilmuan yang tidak bertanggungjawab terhadap ilmunya dan tidak berfungsi dengan
sepatutnya dikenali sebagai ulama al-Su’ atau ulama jahat. Antara ciri-ciri ulama al-Su’ ialah
mementingkan dunia, tidak mengamalkan ilmunya, menyembunyikan ilmunya, bersifat
riya’dengan ilmunya.

Kepentingan Ilmu Pengetahuan kepada setiap Individu ialah orang yang berilmu akan
mempunyai akhlak yang baik, dipandang mulia dan menjadi sumber rujukan, disayangi Allah
dan rasul. Membentuk individu yang berkeperibadian mulia .Dalam masyarakat pula akan
memupuk perpaduan di kalangan masyarakat. Membentuk masyarakat yang harmoni dan
aman sentosa. Melahirkan generasi yang kreatif dan inovatif. Melahirkan masyarakat yang
berwawasan dan berilmu. Untuk Negara pula membentuk sebuah negara yang setanding di
mata dunia, dihormati oleh negara luar dan dipandang mulia. memenuhi wawasan negara
untuk melahirkan individu yang berjaya. Pembangunan dan kemajuan dapat dijalankan
dengan sempurna.

KESIMPULAN

Ilmu adalah suatu anugerah Allah s.w.t. yang agung kepada manusia sejak Nabi Adam a.s
lagi. Dengan ilmu manusia bukan sahaja mampu untuk memahami sesuatu yang tidak mereka
fahami sebelumnya bahkan mereka tahu menggunakan sesuatu yang dianugerahkan kepada
mereka. Dengan ilmu pengetahuan juga manusia dapat mengenali Allah s.w.t. yang mencipta
seluruh makhluk di muka bumi ini. Ilmu adalah bersepadu , tidak terpisah dari agama , nilai
moral dan akhlak. Pemisahan akan menyebabkan ilmu hilang manfaatnya dan membawa
kesengsaraan kepada manusia. Oleh itu, antara agenda besar umat Islam kini ialah
pengislaman ilmu iaitu mengembalikan ilmu itu kepada Penciptanya. Sesungguhnya dari
Allah s.w.t. ilmu itu datang dan menjadi kewajipan kita untuk menghubungkan kembali ilmu
itu kepada PenciptaNya. Islam adalah suatu sistem (cara hidup) yang sempurna, menyeluruh
dan lengkap merangkumi aspek-aspek sosial, ekonomi, pendidikan, politik, pentadbiran,
falsafah, sastera, kebudayaan, ilmu sains dan sebagainya. Dalam Islam, berfikir secara
objektif dan membuat penyelidikan secara saintifik adalah amat dituntut. Sesungguhnya,
pengkajian dan pemikiran secara saintifik atas alam tabii adalah satu cara dalam Islam untuk
mengenal Allah s.w.t sebagai pencipta seluruh alam. Melalui sistem pendidikan ilmu yang
sepadu (integrated knowledge) pengkajian sains boleh menerapkan sifat tafakkur, berfikir
secara mendalam dan kritis serta melahirkan manusia yang beriman. Sebagai orang Islam
yang terlibat dalam usaha mempelajari, mengajar, mengembangkan atau menyebarkan ilmu
pengetahuan sama ada dalam bidang agama, ilmu kemanusiaan, ilmu kemasyarakatan , sains
tabi’i dan lain-lain, kita harus bertanya diri kita secara jujur adakah ilmu pengetahuan serta
kepakaran kita membawa kepada komitmen yang mendalam terhadap akidah, syariah dan
akhlak Islam di samping mendorong kita ke arah peningkatan amal salih dan kebaikan. Ada
kemungkinan teori-teori, andaian, falsafah, pendekatan, rumusan, ideologi, paradigma atau
pandangan yang kita pegang atau sampaikan kepada orang lain boleh menyebabkan
pengasingan (alienation) atau terpesong dari tuntutan Allah dan Rasul dalam bentuk akidah,
syariah dan akhlak. Sebagai hamba Allah yang dikurniakan sedikit ilmu pengetahuan maka
sewajarnyalah kita menggunakan ilmu tersebut untuk membangun diri, masyarakat dan alam
sekitar bersesuaian dan bertepatan dengan kehendak serta tuntutan Allah s.w.t.

Anda mungkin juga menyukai