Anda di halaman 1dari 5

“Keselamatan Di Jalan Raya Tanggungjawab Bersama”

Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, Yang berusaha Puan Guru Besar, Guru-guru, para hakim yang arif
lagi bijaksana dan rakan-rakan yag dikasihi sekalian. Selamat Sejahtera saya ucapkan. Berdirinya saya di
sini adalah untuk menyampaikan syarahan yang bertajuk “Keselamatan di jalan raya tanggungjawab
bersama”.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Seperti yang kita sedia maklum, sejak kebelakangan ini, kes kemalangan di jalan raya semakin menjadi-
jadi. Hal ini semakin serius, terutamanya pada musim perayaan. Perkara ini mungkin sekali berlaku
kerana sikap pengguna jalan raya yang mementingkan diri sendiri. Pemandu yang tidak sabar untuk
sampai ke destinasi yang dituju dengan segera memungkinkan mereka melanggar undang-undang yang
telah ditetapkan seperti memandu melebihi had laju.

Selain itu, sikap kurang sopan pengguna jalan raya menyumbangkan pertambahan kes kemalangan di
jalan raya. Sikap ini termasuklah menggunakan telefon bimbit ketika memandu, berhenti di bahu jalan
sesuka hati tanpa sebab-sebab kecemasan, dan tidak menghormati pemandu lain seperti berlumba di atas
jalan raya. Hal ini menyusahkan diri sendiri dan orang lain juga.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Keselamatan di jalan raya merupakan tanggungjawab kita bersama. Kita tidak boleh mengikut perasaan
semasa menggunakan jalan raya. Jalan raya bukanlah tempat untuk menunjukkan kehebatan diri atau
tempat untuk bermaharajalela. Hal ini demikian kerana terdapat ribuan pengguna lain yang turut
menggunakan jalan raya. Kita tidak boleh mementingkan diri sendiri sehingga mengabaikan hak orang
lain. Hal ini akan mengakibatkan pelbagai masalah bukan sahaja kepada diri sendiri, malahan kepada
pengguna jalan raya yang lain.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Untuk menjadikan jalan raya sebagai tempat yang selamat digunakan, kita sebagai pengguna
jalan raya juga boleh memainkan peranan yang penting. Hal ini adalah dengan mematuhi undang-undang
jalan raya yang telah ditetapkan, mematuhi lampu isyarat, dan tidak menggunakan telefon bimbit semasa
memandu.

Selain itu, sikap mementingkan diri sendiri juga mestilah dikikis. Walaupun kita ingin sampai ke destinasi
yang dituju dengan segera, namun kita tidak harus mengetepikan perasaan dan hak pengguna jalan raya
yang lain, seperti memotong kenderaan lain sesuka hati. Selain menyusahkan orang lain, hal ini dapat
membawa kemudaratan kepada diri sendiri,

Akhir sekali, ingatlah bahawa keselamatan di jalan raya terletak di tangan semua pengguna jalan raya.
Undang-undang harus dipatuhi bukan diingkari. Jika diingkari, padah yang akan diganti. Oleh hal yang
demikian, kita mestilah bersama-sama memastikan jalan raya sentiasa selamat dan kemalangan tidak akan
berlaku. Patuhilah slogan “Berhati-hati di jalan raya” dan “Pandu cermat jiwa selamat”.

Sekian terima kasih.


“Cara-Cara Memupuk Minat Membaca Dalam Kalangan Kanak-Kanak”.

“Yang Dihormati Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berusaha Puan Guru Besar, barisan panel hakim
yang adil lagi menegakkan kebenaran, guru-guru dan rakan-rakan. Selamat sejahtera saya
ucapkan. Tajuk syarahan yang akan saya sampaikan pada hari ini ialah “Cara-cara memupuk
minat membaca dalam kalangan kanak-kanak”.

Hadirin yang dihormati,

Kanak-kanak seperti kain putih. Terpulanglah kepada cara didikan ibu bapa untuk membentuk
anak mereka. Jika ibu bapa ingin melihat anak mereka minat membaca buku, maka biasakanlah
diri mereka dengan buku-buku. Ibu bapa mestilah memperuntukkan sejumlah wang pada setiap
bulan untuk membeli buku bagi anak-anak mereka. Penuhkanlah bilik mereka dengan pelbagai
jenis buku. Ibu bapa juga boleh membawa anak-anak mereka ke kedai buku atau ke pameran
buku jika berkesempatan.

Selain itu, ibu bapa dan anggota keluarga yang lain juga perlu menjadi contoh kepada
anak mereka dalam semua perkara. Jika anggota sesebuah keluarga suka membaca buku, maka
tidak hairanlah jika anak mereka juga akan suka membaca buku. Ibu bapa mestilah
mengurangkan hobu lain dan serlahkan minat membaca buku atau majalah agar anak-anak
meneladani tabiat suka membaca buku yang ditonjolkan oleh ibu bapa.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Bagi ibu bapa yang prihatin terhadap perkara ini, mereka bolehlah mengambil inisiatif
untuk menanam minat membaca pelabagai bahan bacaan dalam kalangan anak mereka. Bacakan
buku untuk anak mereka sebelum mereka tidur. Hal ini demikian kerana anak-anak akan dapat
menyimpan perkara terakhir sebelum mereka tidur.

Selain itu, ibu bapa atau orang yang terdekat boleh member hadiah atau pujian kepada
kanak-kanak sebagai galakan. Hal ini akan merangsang minat kanak-kanak untuk membaca
dengan lebih kerap lagi. Hadiah yang diberi semasa menyambut keramaian seperti hari jadi juga
mestilah berupa buku yang menjadi idaman atau kegemaran anak-anak.

Sebelum saya mengundur diri, saya ingin memetik satu pepatah yang berbunyi ‘jika
hendak melentur buluh, biarlah daripada rebungmya”.

Sekian, terima kasih.


“Berjimat-Cermat Amalan Mulia”

Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, Yang berusaha Puan Guru Besar, guru-guru, para hakim
yang arif lagi bijaksana dan rakan-rakan yag dikasihi sekalian. Selamat Sejahtera saya ucapkan.
Berdirinya saya di sini adalah untuk menyampaikan syarahan yang bertajuk “Berjimat-Cermat
Amalan Mulia”

Amalan berjimat-cermat harus dipupuk sejak dari kecil lagi. Berjimat-cermat bermaksud
menggunakan apa yang kita miliki untuk perkara-perkara yang perlu sahaja tanpa pembaziran.

Hadirin sekalian,
Banyak faedahnya apabila kita berjimat-cermat. Antara faedahnya ialah kita boleh menyimpan
atau menabung wang untuk tujuan yang lebih penting. Wang itu nanti boleh digunakan untuk
perkara yang lebih berfaedah seperti membeli buku-buku latihan dan sebagainya lagi.

Selain itu, sikap berjimat-cermat akan menyebabkan seseorang sentiasa berfikir panjang
sebelum membeli sesuatu barangan. Sikap seperti ini boleh mengurangkan kesilapan membeli
sesuatu barangan yang kurang perlu sehingga akhirnya barangan tersebut terbuang begitu
sahaja. Ini tentu merugikan kita.

Berjimat-cermat juga mengelakkan seseorang daripada terjebak dengan masalah hutang. Orang
yang berbelanja dengan boros biasanya tidak berfikir panjang untuk berbelanja sehingga
mereka sanggup berhutang. Ini menyebabkan mereka terjerat dengan masalah hutang hingga
menyusahkan diri mereka sendiri.

Hadirin sekalian,
Berjimat-cermat juga bermakna kita dapat memanfaatkan masa dengan sebaik mungkin.
Sebagai contoh, mengisi masa lapang dengan bersukan akan menjadikan tubuh kita sihat dan
cergas. Ini dapat mengelakkan kita daripada selalu berulang-alik ke klinik atau hospital akibat
daripada masalah kesihatan. Hal yang demikian tentu akan membazirkan masa dan wang untuk
mendapatkan rawatan.

Di samping itu, amalan berjimat-cermat juga menjadikan seseorang itu berdisplin tinggi. Mereka
sentiasa mengambil berat tentang penjimatan dan kecermatan. Misalnya, mereka akan sentiasa
menutup kembali barangan elektrik seperti kipas, pendingin hawa dan sebagainya selepas
digunakan. Ini akan mengelakkan mereka daripada membayar bil elektrik yang tinggi.

Kesimpulannya, kita perlu sentiasa berusaha bagi memastikan amalan berjimat-cermat menjadi
budaya hidup kita. Amalan ini pasti akan menguntungkan kita serta mengelakkan kita ditimpa
pelbagai masalah.

Sekian, terima kasih


”Faedah Bersukan”.

Yang Dihormati Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berusaha Puan Guru Besar ,
Guru-guru, barisan hakim yang arif lagi bijaksana serta rakan-rakan
sekalian. Salam sejahtera saya ucapkan. Tajuk syarahan saya pada pagi ini
ialah ”Faedah Bersukan”.

Hadirin yang dikasihi,

Sukan terdiri daripada aktiviti fizikal yang dilakukan untuk pelbagai tujuan
untuk pertandingan, keseronokan, pembangunan, kemahiran,
kecemerlangan, dan sebagainya. Perbezaan tujuan inilah yang membezakan
sifat sesuatu sukan itu.

Bersukan penting untuk kesihatan tubuh badan kita. Jika bersukan, tubuh
kita sentiasa cergas manakala minda pula menjadi cerdas. Keadaan ini
pastinya dapat meningkatkan pretasi murid. Sebahagian penyakit kronik hari
ini seperti sakit jantung, diabetes, obesiti sudah mula dialami oleh remaja-
remaja dan peringkat awal kanak-kanak. Justeru fenomena ini tidak sihat dan
merupakan amalan hasil daripada cara hidup yang tidak sihat. Apabila
seseorang murid aktif di luar kelas maka di dalam kelas juga murid akan aktif
berinteraksi dengan guru di dalam kelas bersama rakan-rakan yang lain di
dalam bidang akademik.

Selain itu sukan juga berupaya memupuk semangat positif. Antaranya


semangat juang, semangat sepasukan, serta semangat kesukanan.
Pemupukan ini akan membentuk jati diri murid itu sendiri. Murid-murid akan
lebih berkeyakinan dengan diri sendiri dan seterusnya membentuk suasana
yang positif.

Hadirin yang dihormati,

Di samping itu, bersukan memupuk perpaduan dalam karangan masyarakat.


Apatah lagi Malaysia, percampuran pelbagai kaum dalam bidang sukan akan
membentuk warga yang harmoni. Melalui sukan lah kita dapat kenal-
mengenali antara satu sama lain dan bersaing secara sihat. Apabila
perpaduan daripada berbilang kaum dapat dilaksanakan maka kemajuan
sesebuah itu dapat dicapai.

Selain itu sukan akan meningkatkan imej murid di mata masyarakat. Murid
yang berbakat dalam bidang sukan diberi layanan istimewa. Lebih-lebih lagi
sukan kini menjadi sebahagian daripada kerjaya. Sebagai contoh pemain
bola sepak seperti Shafik Rahim, Nicol Ann David pemain sukan skuasy
negara, Lee Chong Wei pemain badminton negara dan ramai lagi. Dengan
menjadikan sukan sebagai kerjaya, maka ia akan dapat menyara kehidupan
kita di hari tua kelak dengan syarat melakukan tabungan wang.
Justeru, jadikan sukan amalan sepanjang hayat. Jika murid sihat, produktiviti
negara akan meningkat.

Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai