Anda di halaman 1dari 4

INSTITUT PENDIDIKAN GURU KAMPUS PENDIDIKAN TEKNIK

KOMPLEKS PENDIDIKAN NILAI


BANDAR ENSTEK, 71760 NILAI
NEGERI SEMBILAN

PENULISAN JURNAL REFLEKTIF MINGGUAN

Minggu Praktikum :3
Tarikh : 17 Ogos 2018
Tajuk Jurnal : Ketidakcekapan Guru Mentadbir BBB/BBM Menjejaskan Kualiti
Pembelajaran

1. Isu yang Difokuskan:


Berdasarkan isu yang dibangkitkan pada minggu lalu, antara punca yang dirasakan
mengundang kepada ketidakfahaman murid terhadap konsep Matematik adalah disebabkan
kurangnya penggunaan BBM/BBB yang konkrit dalam kelas. Namun yang demikian,
penggunaan BBM/BBB juga kadang-kala mengundang masalah dan cenderung untuk menjadi
punca ketidakfahaman murid terhadap konsep Matematik.

2. Analisis Isu yang Difokuskan (Punca dan Kesan Isu):


Berpandukan masalah yang dinyatakan, saya dapati bahawa penggunaan BBM/BBB
dalam pengajaran konsep Matematik amat penting dan memberi kesan yang baik. Namun
yang demikian, suatu masalah yang sering timbul dalam usaha menerapkan penggunaan
BBM/BBB di dalam pdp adalah ketidakcekapan guru dalam mentadbir BBM/BBB tersebut
menyebabkan fungsinya yang sebenar tidak tercapai dan kadangkala boleh menyebabkan
kekeliruan yang lebih teruk terhadap murid dan guru itu sendiri. Hal ini terjadi kepada diri saya
sendiri ketika saya mencuba untuk melaksanakan pdp Matematik Tahun 5 menggunakan
bahan bantu belajar yang konkrit iaitu kad perbandingan cm-mm. Hal ini kerana, saya tidak
mampu menggunakan bahasa yang tepat dalam memberikan penjelasan di samping
kurangnya penguasaan konsep yang diajar oleh saya sendiri. Oleh yang demikian, hal tersebut
telah menyebabkan saya tersalah dalam memilih kosa kata yang tepat dalam menerangkan
konsep yang diajar. Di samping itu, langkah-langkah yang dijalankan semasa menggunakan
kad perbandingan tersebut juga agak kucar-kacir menyebabkan matlamat pengajaran tidak
dapat dicapai dengan sempurna.
3. Kajian Lampau Terhadap Isu:
Faizah (2017) dalam artikelnya yang bertajuk Bahan Bantu Mengajar (BBM) dalam
Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Daerah
Pontian menyebutkan bahawa tahap kesediaan guru dalam melaksanakan sesuatu BBM
akan terjejas jika guru kekurangan kemahiran dan pengetahuan. Hal ini bermaksud, sekiranya
guru tidak menguasai kandungan pelajaran yang ingin diajar serta kemahiran-kemahiran yang
terlibat akan menjejaskan kebolehan guru untuk mentadbir BBM tersebut. Dalam erti kata lain,
kesempurnaan penggunaan BBM amata dipengaruhi oleh latihan guru untuk memantapkan
kemahiran mentadbir BBM tersebut serta meningkatkan kualiti pengetahuan yang ada pada
guru. Hal ini disokong oleh Mat Som (2005) yang menyatakan kemampuan dan keupayaan
guru dalam melaksanakan BBM dan menangani cabaran-cabaran tugas yang berkaitan
dengannya memerlukan pengetahuan dan kemahiran guru untuk membuat justifikasi.

4. Cadangan dan Idea Penyelesaian Masalah:


Berdasarkan kepada analisis yang telah saya lakukan terhadap isu yang telah
dikenalpasti, saya mencadangkan beberapa alternatif bagi menyelesaikan masalah tersebut,
antaranya ialah:
i. Guru perlu memantapkan penguasaan konsep Matematik yang ingin diajar dengan
memperbanyakkan sumber bacaan dan rujukan yang berkaitan.
ii. Guru perlu berlatih dan membiasakan diri untuk menggunakan BBM/BBB tersebut
agar langkah-langkah penggunaannya dapat dilaksanakan dengan cekap dan
sempurna semasa pdp dalam kelas.
iii. Guru perlu membuat penambahbaikan terhadap BBM/BBB sekiranya didapati terdapat
kekurangan padanya.

5. Tempoh Masa Penyelesaian:


1 minggu

6. Tindakan Susulan:
Antara perkara yang akan saya laksanakan sebelum pdp akan datang adalah berlatih
untuk menggunakan BBM/BBB tersebut. Hal ini supaya saya tidak kekok untuk mentadbirnya
ketika berada dalam kelas. Di samping itu, saya juga perlu memperbanyakkan bacaan dan
rujukan saya tentang konsep Matematik yang akan diajar supaya saya dapat mengenalpasti
perkara atau konsep utama yang ingin dicapai dan aspek-aspek utama yang memerlukan
penekanan semasa pdp.
7. Tarikh Tindakan Susulan Dilaksanakan:
27 Ogos 2018

8. Keberkesanan Langkah yang Dicadangkan:


Berdasarkan tindakan-tindakan yang telah dicadangkan, beberapa daripadanya telah
saya laksanakan namun masih belum mencapai tahap yang maksima. Antara perkara yang
perlu dilakukan sebelum mengajar untuk memastikan BBM/BBB yang disediakan sesuai dan
bermanfaat untuk pdp adalah, saya perlu menguasai konsep Matematik yang berkaitan
dengan topik serta BBM/BBB tersebut. Sebagai contoh, untuk mengajar topik pendaraban
panjang, saya telah memahami konsep darab itu sendiri iaitu pendaraban adalah proses
penambahan yang dijalankan secara berulang-ulang.
Selain itu, saya juga telah menerapkan kefahaman terhadap murid tentang hubungan
antara unit-unit panjang misalnya 1 cm bersamaan 10 mm. Dengan menguasai konsep
Matematik yang berkaitan dengan topik yang tersebut, saya dapat mengenal pasti kata kunci
yang penting seperti pendaraban adalah penambahan berulang-ulang dan 10 bahagian
milimeter bersamaan 1 bahagian sentimeter. Seterusnya, saya telah menekankan perkara
tersebut semasa penghasilan BBM/BBB dan semasa mentadbirnya. Penekanan terhadap
kata-kunci tersebut telah membantu saya untuk mentadbir BBM/BBB dengan lebih cekap,
efektif dan berfokus untuk membantu kefahaman murid.
Selain itu, saya juga telah berlatih untuk menggunakan BBM/BBB tersebut sebelum
pdp bermula. Saya dapati melalui latihan awal ini, keyakinan saya dalam mentadbir BBM/BBB
tersebut lebih tinggi dan saya dapat memahami kaedah penggunaannya dengan lebih baik.
Di samping itu, latihan awal ini juga amat membantu saya untuk sentiasa mengingati kata
kunci atau aspek penting yang amat perlu untuk diberikan penekanan semasa mentadbir
BBM/BBB yang disediakan. Dengan itu, saya tidak mudah tersasar daripada perancangan
yang telah ditetapkan semasa merancang aktiviti pdp serta semasa melaksanakan pdp
menggunakan BBM/BBB.

9. Kesimpulan / Refleksi :
Sebagai kesimpulan, saya merasakan bahawa setiap BBM/BBB yang dihasilkan perlu
dicuba terlebih dahulu sebelum memulakan pdp di kelas sebagai latihan awal bagi
memantapkan strategi penggunaannya. Latihan awal tersebut bukan sahaja bertujuan
sebagai latihan untuk membantu guru membiasakan diri dengan BBM/BBB tersebut, bahkan
dapat membantu guru mengenalpasti kelemahan yang ada padanya seterusnya membuat
penambahbaikan yang diperlukan.
Selain itu, pengetahuan konsep dan kemahiran Matematik guru juga perlu
dimantapkan melalui pembacaan dan rujukan dari pelbagai sumber yang bersesuaian. Hal
tersebut supaya guru dapat menguasai perkara konsep Matematik yang berkaitan seterusnya
mengenalpasti aspek yang perlu ditekankan dalam topik agar pengajaran guru lebih berfokus
dan berupaya memberi kefahaman yang lebih baik kepada murid. Justeru, adalah amat
penting untuk guru memantapkan pengetahuan konsep serta kemahiran Matematik bagi
membantunya untuk memanipulasikan BBM/BBB dengan cara yang tepat dan sesuai dengan
kefahaman murid.

10. Rujukan:

Faizah Ja'apar. (2017). Bahan Bantu Mengajar (BBM) dalam Pengajaran dan Pembelajaran
(P&P) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Daerah Pontian. Retrieved from
http://eprints.uthm.edu.my/9573/1/FAIZAH_JA%E2%80%99APAR.pdf

Mat Som H. (2005). Guru dan Pelaksanaan Inovasi Kurikulum: Sorotan dan Perbincangan.
Masalah Pendidikan Jilid 27. Universiti Malaya.

Anda mungkin juga menyukai