Kajian ini bertujuan untuk melihat persepsi ibu bapa dan murid Tahun 4 dan 5 tentang pembelajaran
abad ke 21 yang telah mula dilaksanakan secara rintis oleh Kementerian Pelajaran Malaysia mulai
tahun 2015. Kajian ini bertujuan untuk mengkaji pandangan ibu bapa murid Tahun 4 dan 5 terhadap
pengetahuan mereka berkaitan proses pembelajaran abad 21 yang dilaksanakan dan penglibatan
mereka di dalam penyediaan kemudahan asas kepada proses pembelajaran abad ke 21 serta
sokongan ibubapa terhadap pembelajaran murid. Kajian ini juga bertujuan ingin melihat apakah reaksi
murid Tahun 4 dan 5 terhadap proses pembelajaran yang dilaksanakan di dalam bilik darjah
merangkumi susun atur bilik darjah dan teknik pembelajaran yang digunakan dalam pengajaran dan
pembelajaran yang digunakan guru. Sampel kajian ini terdiri dari 60 orang ibu bapa dan 6 orang murid
Tahun 4 dan 5 di sebuah sekolah rendah iaitu di Sekolah Kebangsaan Senggarang di daerah Batu
Pahat Johor. Penyelidik menggunakan perisian SPSS 19.0 (Statistical Package for the Social Sciences)
bagi menganalisis data yang diperolehi dari kajian ke atas ibubapa, manakala data protokol temu bual
murid Tahun 4 dan 5 akan dianalisis menggunakan analisis domain. Hasil kajian mendapati kesemua
ibubapa mengetahui tentang pembelajaran abad 21 dan menyokong proses pembelajaran yang
dilaksanakan ke atas anak-anak mereka samada di sekolah ataupun di rumah. Ini ditunjukkan oleh nilai
skor min yang diperolehi adalah 4.00 bagi pengetahuan ibubapa terhadap pembelajaran abad ke 21,
nilai skor min 3.84 bagi sokongan ibubapa kepada pembelajaran murid di sekolah dan nilai skor min
4.11 bagi sokongan ibubapa terhadap murid. Hasil kajian terhadap murid juga mendapati mereka
merasa seronok dengan kaedah dan suasana pembelajaran abad ke 21 di samping bersetuju bahawa
ibubapa memberi sokongan dan bantuan terhadap pembelajaran mereka di sekolah dan di rumah.
Pendahuluan
Berdasarkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, salah satu
penambahbaikan serta pendekatan baru yang akan dan sedang dilaksanakan oleh
pihak Kementerian Pelajaran Malaysia adalah untuk melengkapkan setiap murid di
negara ini dengan segala kemahiran baru yang diperlukan oleh mereka bagi
mendepani cabaran dan merebut peluang di dalam abad 21 (PPPM, 2013a). Untuk itu
bagi mencapai matlamat tersebut, Kementerian Pelajaran Malaysia akan menyemak
kurikulum pendidikan dengan menerap dan membangunkan pelbagai kemahiran abad
ke 21 seperti pemikiran kritis dan kreatif, kemahiran menyelesaikan masalah,
kemahiran berkomunikasi, kemahiran berkolaborasi, kemahiran kehidupan dan
kerjaya, kemahiran belajar dan inovasi, kemahiran teknologi maklumat dan
komunikasi serta kemahiran menguasai subjek teras di sekolah (Siti Faizzatul Aqmal
dan Razali, 2011). Selain daripada itu kerajaan juga berusaha menaik taraf
kemudahan pendidikan yang meliputi pembinaan infrastruktur bangunan dan
penyediaan bilik-bilik khas seperti kelengkapan bilik pandang dengar, makmal
komputer dan penyediaan bengkel kemahiran. Bilik darjah juga perlu disusun atur
semula bagi membolehkan pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan secara
lebih berkesan (PPPM, 2013a).
Pelaksanaan pembelajaran abad ke 21 di sekolah-sekolah memerlukan
kolaborasi tiga pihak iaitu kepimpinan sekolah guru dan ibubapa (Norhashimah dan
Amir Shahuki, 2015). Mengikut mereka, pemimpin sekolah mestilah berperanan
menyebarkan misi dan visi sekolah kepada semua guru, kakitangan sekolah, murid
dan ibubapa. Ia boleh dilaksanakan secara formal dan tidak formal samada melalui
ucapan semasa perhimpunan, mesyuarat dan perjumpaan-perjumpaan yang
dilaksanakan bersama guru dan ibubapa. Di pihak guru pula pengetahuan mengenai
isi kandungan mata pelajaran yang diajar, pengetahuan pedagogi, pengetahuan guru
tentang pelajar dan psikologi pembelajaran, kemahiran kaunseling dan penggunaan
teknologi terkini perlu dititik beratkan kerana ia akan mempengaruhi ketrampilan dan
kebolehan guru di dalam pelaksanaan pembelajaran abad ke 21(Farah Farisha,
2013). Selain daripada pihak sekolah, peranan ibubapa juga amat penting. Kerjasama
yang wujud di antara ibubapa dan pihak sekolah akan memberi banyak faedah dan
kebaikan kepada murid (M. Al Muz-Zammil dan Sow Kuan, 2011). Bagaimana pun
peranan ibubapa hanya banyak dimainkan dan diberi ruang melalui Persatuan
Ibubapa Guru yang ditubuhkan di sekolah (BPPDP, 2003, Zainon dan Ahmad, 2008,
M. Al Muz-Zammil dan Sow Kuan, 2011). Menurut Ahmad Zahidi dan Mariani (2007)
pula sekolah dan masyarakat yang merujuk kepada penglibatan ibubapa dengan
sekolah sebenarnya tidak dapat dipisahkan kerana mereka mempunyai kepentingan
bersama. Inilah juga yang menyebabkan Kementerian Pelajaran Malaysia melalui
keputusan jawatankuasa mengkaji taraf pelajaran di sekolah-sekolah pada tahun
1982 telah memutuskan bahawa antara aspek penting di dalam meningkatkan taraf
pelajaran di Malaysia adalah melalui kerjasama di antara masyarakat dan sekolah
(Sufean dalam Ahmad Zahidi dan Mariani, 2007) dan melalui penubuhan Persatuan
Ibubapa Guru di dalam Akta pendidikan 1996 (BPPDP, 2003) keadaan ini boleh
direalisasikan.
Antara peranan yang boleh dimainkan oleh ibubapa melalui PIBG ini adalah
dengan menyertai aktiviti-aktiviti sekolah seperti aktiviti keceriaan sekolah,
kokurikulum, program kerohanian dan program motivasi (BPPDP, 2003).
Bagaimanapun mengikut M. Al Muz-Zammil dan Sow Kuan (2011), peranan utama
ibubapa di dalam PIBG sebenarnya adalah bagi membantu murid-murid belajar
dengan baik di sekolah. Inilah juga yang cuba dan sedang dilaksanakan oleh
Kementerian Pelajaran Malaysia dengan cuba mengoptimumkan penyertaan ibubapa
di dalam pembelajaran abad ke 21. Antaranya adalah dengan menubuhkan Kelab
Sokongan Ibubapa (KISB) yang melaluinya ibubapa diberi ruang dan peluang untuk
bersama-sama pihak sekolah membantu dan menyokong proses pembelajaran anak
mereka di sekolah. Melalui KISB ini komunikasi ibubapa, murid dan sekolah akan
dapat dipereratkan dan ini memudahkan ibubapa sendiri memperolehi maklumat
berkaitan pembelajaran anak-anak mereka selain memberi peluang untuk mereka
menyokong tugas guru mengajar murid atau anak-anak mereka di sekolah dan
melaksanakan tugas membimbing anak-anak di rumah (Kementerian Pelajaran
Malaysia, 2013b).
Pembelajaran Abad Ke 21
Berdasarkan apa yang dijelaskan oleh Trilling dan Fadel (2009) dalam Kuntari (2013)
menyatakan bahawa asas kepada pembelajaran abad ke 21 memerlukan murid
menguasai tiga bentuk pengetahuan iaitu (1) life and career skills, (2) learning and
innovations skills dan (3) information, media and technology skills. Mengikut Trilling
dan Fadel (2009), komponen pertama yang menyatakan bahawa murid perlu
menguasai kemahiran hidup dan kerjaya merujuk kepada kemampuan yang perlu
diperolehi dan dikuasai oleh mereka melalui proses pembelajaran. Ianya adalah
seperti murid mesti mampu mengadapatasi perubahan dan mempunyai kebolehan
belajar secara kumpulan, mampu mengatur dan mengelola pembelajaran kendiri,
mempunyai kebolehan berkomunikasi secara efektif dengan pelabagai bentuk
kumpulan, mampu mengelola projek dan menghasilkan produk dan mampu memimpin
kumpulan. Dalam aspek kemahiran belajar dan inovasi pula, beliau menyatakan
bahawa murid perlu berfikir secara kritis dan kreatif dalam menyelesaikan pelbagai
masalah dan membuat keputusan, mampu berkomunikasi dan bekerjasama dengan
baik di dalam kumpulan dan mempunyai kreativiti dan inovasi dalam melaksanakan
tugas yang diberikan. Dalam aspek kemahiran teknologi, media dan inovasi pula,
murid diharap mampu memperolehi maklumat, menilai maklumat, mengurus dan
menggunakan maklumat secara efektif untuk meyelesai masalah, Murid juga dalam
konteks ini diharap mampu memilih dan menggunakan media yang sesuai dalam
proses komunikasi di antara mereka serta mampu menganalisis segala maklumat
yang diterima. Mengikut Trilling dan Fadel (2009) juga kesemua aspek ini haruslah
menjadi asas kepada pembelajaran abad 21 dengan penyediaan persekitaran
pembelajaran yang kondusif, mewujudkan pembangunan professional terutama di
kalangan guru dan pengurusan sekolah, kurikulum dan pengajaran yang sesuai serta
standard dan penilaian yang tepat dan sesuai.
Berdasarkan apa yang dinyatakan oleh Trilling dan Fadel (2009), pembelajaran
abad ke 21 di Malaysia juga memperlihatkan ciri dan bentuk yang hampir serupa.
Berdasarkan apa yang dinyatakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia
(Kementerian Pelajaran Malaysia, 2015a, 2015b; Mohd Ariffin, 2015) ciri-ciri murid
yang ingin dilahirkan adalah seperti berpengetahuan, mempunyai kemahiran berfikir
kritis, mempunyai kemahiran dwibahasa, kemahiran kepimpinan, etika dan kerohanian
mempunyai identiti nasional. Dalam aspek pengetahuan seseorang murid tersebut
harus bijak menyoal, sentiasa dahagakan ilmu dan mempunyai perasaan ingin tahu.
Murid dari aspek kemahiran berfikir mestilah mampu berfikir sendiri bagi
menyelesaikan masalah, mampu menjana idea, berfikir kritis dan berinisiatif. Di dalam
aspek kemahiran dwibahasa murid diharap mampu meguasai kemahiran literasi dan
berkomunikasi dengan baik manakala aspek kemahiran kepimpinan membolehkan
murid mempunyai kebolehan mampu mengambil risiko, tidak berputus asa, berani
mencuba dan berani membuat perubahan. Dari sudut etika pula pembelajaran abad
ke 21 membolehkan murid berkeperbadian dan integriti yang tinggi, mampu bekerja
dengan orang lain dan fleksibel. Akhir sekali ciri murid yang ingin dilahirkan melalui
pembelajaran abad ke 21 adalah murid mempunyai identiti nasional iaitu sentiasa
merasa bangga menjadi rakyat Malaysia. Untuk mencapai hasrat tersebut, guru yang
merupakan pemangkin utama kepada kejayaan pelaksanaan pembelajaran abad ke
21 juga mestilah mempunyai ciri-ciri yang sesuai yang antaranya adalah menguasai
subjek pembelajaran, mahir dan berketrampilan di dalam pedagogi, memahami
perkembangan murid, memahami psikologi pembelajaran, memiliki kemahiran
kaunseling dan mahir menggunakan teknologi terkini. Pembangunan professional pula
merujuk kepada pembelajaran guru secara kolaboratif meliputi aktiviti seperti dialog
reflektif, perkongsian amalan, fokus secara kolektif terhadap pembelajaran murid,
kolaboratif dan norma dan nilai yang dikongsi bersama. Di samping itu persekitaran
pembelajaran yang merujuk kepada prasarana pembelajaran juga perlu
dipertingkatkan sesuai dengan keperluan pembelajaran seperti papan putih, bahan
rujukan, peralatan teknologi maklumat dan susun atur bilik darjah. Akhirnya
pembelajaran abad ke 21 juga memerlukan standard penilaian yang autentik dengan
pendekatan saintifik (Kuntari, 2013) yang merujuk kepada penilaian berasasaskan
kompetensi atau kebolehan, penilaian berasaskan hasil di samping mengukur
kompetensi sikap, ketrampilan dan pengetahuan berasaskan proses, penilaian
berasaskan elemen subjek dan penilaian hasil pembelajaran. Selain daripada itu
penggunaan portfolio murid perlu dijadikan salah satu instrumen utama kepada
penilaian.
Penyataan Masalah
Walaupun pelbagai peranan boleh dimainkan oleh para ibubapa bersama dengan
pihak sekolah melalui PIBG, berdasarkan kajian oleh M. Al Muz-Zammil dan Sow
Kuan (2011) juga mendapati ada beberapa kekangan yang menyebabkan ibubapa
kurang menyertai aktiviti PIBG di sekolah antaranya (1) tidak ada masa dan sibuk
dengan kerja seharian, (2) isteri atau suami saya tidak mahu turut serta dalam aktiviti
PIBG, (3) tidak mahu bersuara di dalam mesyuarat, (4) kurang minat terhadap
masalah sekolah dan (5) segan untuk mengeluarkan pendapat semasa mesyuarat.
Kajian oleh Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan (2003), pula
mendapati penyertaan aktiviti yang berkaitan kurikulum dan kewangan kurang
mendapat sambutan daripada ibubapa. Mengikut Ahmad Zabidi dan Mariani (2007)
perhubungan ibubapa dengan sekolah masih lagi renggang. Ibubapa dilihat hanya
terlibat dengan pihak sekolah berkaitan aktiviti gotong royong dan mengutip derma
tetapi kurang melibatkan diri di dalam aktiviti yang berkaitan pembelajaran anak-anak
mereka.
Justeru itu, kajian ini dijalankan adalah untuk melihat sejauhmana pengetahuan
dan sokongan ibubapa terhadap pembelajaran abad 21 yang dilaksanakan ke atas
anak-anak mereka di dalam bilik darjah.
Objektif Kajian
1. Mengenal pasti tahap pengetahuan ibubapa terhadap proses pembelajaran abad
ke 21 yang telah dilaksanakan ke atas anak-anak mereka di dalam Tahun 4 dan 5.
2. Mengenal pasti tahap sokongan ibubapa terhadap pembelajaran anak-anak
mereka di sekolah dalam pembelajaran abad ke 21.
3. Mengenal pasti tahap sokongan ibubapa terhadap anak-anak mereka di dalam
pembelajaran abad ke 21.
4. Menilai persepsi murid-murid Tahun 4 dan 5 terhadap proses pembelajaran abad
ke 21 yang dilaksanakan ke atas mereka di sekolah.
Kepentingan Kajian
kajian ini penting berdasarkan pembelajaran abad ke 21 adalah satu proses
pembelajaran yang mula dilaksanakan secara rintis oleh pihak Kementerian Pelajaran
Malaysia ke atas pelajar Tahun 4 mulai tahun 2015. Oleh itu kajian ini ingin melihat
sejauhmana kefahaman dan penglibatan ibubapa murid yang dilibatkan di dalam
pembelajaran abad ke 21.
Batasan Kajian
Kajian yang dijalankan hanya terbatas kepada ibubapa murid dan murid-murid Tahun
4 dan 5 di Sekolah Kebangsaan Senggarang, Rengit, Batu Pahat, Johor sahaja yang
mengikuti pembelajaran abad ke 21 kerana kekangan masa. Walau bagaimana pun ia
boleh diguna pakai di tempat-tempat yang lain berdasarkan kepada persamaan yang
ada pada sekolah yang melaksanakan proses pembelajaran abad ke 21. Kajian ini
juga hanya terbatas kepada skop pandangan ibu bapa murid Tahun 4 dan 5 terhadap
pengetahuan mereka tentang pembelajaran abad ke 21, sokongan mereka terhadap
pembelajaran anak mereka di sekolah dan sokongan ibubapa terhadap murid. Pekara
lain seperti kurikulum, pedagogi dan pengajaran guru tidak dikaji di dalam kajian ini.
Metodologi Kajian
Penyelidik akan menjelaskan beberapa pekara mengenai kaedah penyelidikan yang
digunakan bagi kajian ini. Ianya adalah reka bentuk kajian, tempat kajian, sampel,
instrumen, soalan rintis, item-item soalan serta analisis data yang digunakan.
Rekabentuk Kajian
Reka bentuk kajian ini adalah dalam bentuk tinjauan. Oleh itu bagi mengumpul data
dan maklumat yang berkaitan, kaedah soal selidik digunakan.
Tempat Kajian
Tempat kajian dilakukan adalah di Sekolah Kebangsaan Senggarang iaitu salah
sebuah sekolah kebangsaan di daerah Batu Pahat yang dikehendaki melaksanakan
proses pembelajaran abad ke 21.
Sampel Kajian
Sampel kajian adalah terdiri daripada 60 orang ibubapa yang anak-anak mereka
berada di Tahun 4 dan 5 di sekolah berkenaan. Kaedah persampelan rawak berlapis
digunakan bagi memperolehi responden kajian yang terdiri daripada ibubapa yang
anak-anak mereka bersekolah di dalam Tahun 4 dan Tahun 5.
Instrumen Kajian
Instrumen kajian adalah melalui soal selidik yang disediakan sendiri oleh pengkaji
dengan mengadaptasi soal selidik sarana ibubapa yang telah digunakan oleh
Kementerian Pelajaran Malaysia (2013b) kepada semua ibubapa murid. Soal selidik
ini adalah terbahagi kepada dua bahagian. Bahagian A mengandungi latar belakang
responden dan bahagian B adalah persoalan yang ingin dikaji. Selain daripada soal
selidik berkenaan, pengkaji juga akan menggunakan protokol temu bual ke atas 6
orang peserta kajian yang terdiri daripada 3 orang murid Tahun 4 dan 3 orang murid
Tahun 5.
Kajian Rintis
Bagi mengesahkan isi kandungan dan kebolehpercayaan instrumen soal selidik,
pengkaji telah melakukan kajian rintis ke atas 30 orang responden ibubapa dari
sekolah berkenaan yang anak-anak mereka juga terlibat di dalam proses
pembelajaran abad ke 21. Hasil daripada kajian rintis tersebut menunjukkan hampir
semua soalan yang dijawab oleh responden kajian mempunyai kebolehpercayaan
yang tinggi iaitu Alpha Croanbach di antara 0.856 hingga ke 0.907.
Keputusan Kajian
Di dalam bahagian ini, keputusan yang diperolehi dibincangkan berdasarkan maklum
balas yang diterima daripada kesemua responden yang terlibat di dalam kajian ini.
Data kajian yang diperolehi melalui instrumen soal selidik dianalisis menggunakan
program SPSS 19.0. Nilai frekuensi, peratus dan min bagi setiap item akan dilihat dan
dianalisa. Begitu juga bagi mendapatkan tahap pengetahuan ibubapa tentang
pembelajaran abad ke 21, tahap sokongan ibubapa kepada pembelajaran murid di
sekolah dan sokongan ibubapa terhadap murid, nilai min bagi setiap item dan
kumpulan item tersebut akan dianalisa dan dinyatakan.
Jadual 6 dan 7 menunjukan nilai skor min bagi tahap sokongan ibubapa
terhadap murid yang berkaitan dengan penyertaan ibubapa di dalam membantu
pembelajaran anak-anak mereka di rumah. Analisis mendapati ibubapa murid Tahun 5
sangat menyokong pembelajaran anak mereka iaitu dengan nilai skor min 4.23
berbanding ibubapa murid Tahun 4 iaitu dengan nilai skor min 3.99. Berdasarkan
Jadual 6 pula, nilai skor min terendah adalah bagi item ‘saya membelikan ipad untuk
keperluan pembelajaran abad ke 21 anak saya di sekolah’ yang datangnya daripada
responden ibubapa Tahun 4 manakala item dengan nilai skor min tertinggi adalah
4.50 yang berkaitan dengan ‘saya sentiasa mengambil tahu tentang aktiviti
pembelajaran anak saya di rumah’. Bagi item ini nilai skor min tertinggi datangnya
daripada kalangan ibubapa Tahun 5.
Kajian ini juga melihat apakah pandangan murid-murid Tahun 4 dan 5 dalam
proses pembelajaran abad ke 21. Berdasarkan temu bual yang dijalankan oleh
pengkaji terhadap 3 orang murid Tahun 4 dan 3 orang murid Tahun 5 kesemua
mereka juga memberikan maklumat yang positif berkaitan pembelajaran abad ke 21.
Kajian mendapati kesemua murid Tahun 4 dan 5 menyatakan mereka merasa
seronok, teruja dengan pembelajaran yang dilaksanakan guru pada masa kini.
Seorang murid Tahun 5 menyatakan;
Semua murid yang ditemu bual juga ditanya tentang perbezaan antara cara
pembelajaran yang pernah diikuti dahulu berbanding cara pembelajaran sekarang,
murid Tahun 5 lebih jelas di dalam memberi pandangan dengan menyatakan;
“ ...beza dulu dengan sekarang, dulu pakai buku…sekarang pakai kertas
mahjong, cari maklumat dalam komputer…”
Murid juga ditanya tentang adakah perlu menggunakan ipad di dalam bilik
darjah, kesemua murid yang ditemu bual menyatakan perlu kerana ia digunakan
untuk mencari maklumat, bagaimana pun mereka berpendapat, ia tidak terlalu kerap
digunakan guru. Berkaitan sokongan dan dorongan ibubapa di dalam pembelajaran
murid kesemua murid juga menyatakan ibubapa mereka memberikan dorongan dan
pertolongan di dalam pembelajaran mereka.
“..beri…bantu buat kerja rumah, kalau ada tak faham ayah tolong…”
(murid Tahun 5)
Kesimpulan
Berdasarkan analisis yang telah dijalankan didapati kebanyakan ibubapa sangat
memahami tentang pembelajaran anak-anak mereka dan sentiasa memberi sokongan
kepada pihak sekolah samada dalam bentuk tenaga, kewangan dan idea di dalam
menentukan kejayaan pembelajaran abad ke 21. Mereka juga memberi sokongan
yang tinggi kepada proses pembelajaran anak-anak mereka di rumah. Di pihak murid-
murid, didapati kebanyakan mereka yang di temu bual menunjukkan reaksi positif di
dalam mengikuti proses pembelajaran abad ke 21 di dalam bilik darjah. Mereka rasa
lebih bersemangat, seronok dan selesa belajar di sekolah.
Oleh itu pihak sekolah harus sentiasa memberikan peluang dan ruang yang
seluas-luasnya kepada ibubapa murid bagi membolehkan persepakatan antara
mereka dan pihak sekolah akan terus dapat dikekalkan dan dipertingkatkan. Ini
kerana berdasarkan beberapa kajian lampau, adalah sesuatu yang sukar untuk
diwujudkan hubungan di antara ibubapa dengan pihak sekolah terutama berkaitan
pembelajaran anak mereka di sekolah dan di dalam bilik darjah.
BIBLIOGRAFI
Ahmad Zabidi Abdul Razak & Mariani Md Nor (2007) Model Hubungan Sekolah dan
Komuniti Bagi peningkatan Proses Pengajaran dan Pembelajaran: Satu
Cadangan. Jurnal Masalah Pendidikan 2007. Jilid 30 (1)
Chua Yan Piaw (2008) Kaedah dan Statistik Penyelidikan: Buku 3 Asas Statistik
Penyelidikan. McGraw Hill (Malaysia) dn. Bhd. Kuala Lumpur
Chua Yan Piaw (2012) Kaedah dan Statistik Penyelidikan: Buku 2 Asas Statistik
Penyelidikan. McGraw Hill (Malaysia) dn. Bhd. Kuala Lumpur.
M, Al Muz-Zammil Yasin & Moong Sow Kuan (2010) Peranan Ibubapa Dalam
Persatuan Ibubapa dan Guru-Guru (PIBG) Sekolah Jenis Kebangsaan Cina di
Kuala Lumpur
Mohd Ariffin Abdul Latif (2015) Pembelajaran Abad Ke 21. Pejabat Pendidikan Daerah
Batu Pahat. Batu Pahat
Noor Hashimah & Amir Shaukhi (2015) Peranan Pemimpin Dalam Menyediakan
Pendidikan Abad Ke 21: Gaya Kepimpinan Pengetua Dalam Menjayakan
Penyediaan Pendidikan Abad Ke 21.
Zainon Omar & Ahmad Esa (2008) Persepsi Guru Terhadap Hubungan Pihak
Sekolah Dengan Ibubapa: Proposal. Kertas kerja Seminar Kebangsaan
Pengurusan Pendidikan PKPG. UTHM