Anda di halaman 1dari 8

KBAT keperluan pendidikan abad 21

Pengajaran dan pembelajaran abad ke-21 mempunyai ciri-ciri yang berbeza dengan pendidikan masa
lampau.
Jika suatu ketika dahulu, komunikasi dua hala antara guru dan murid-murid sudah memadai, namun
tahap pendidikan masa kini menuntut kemahiran berfikir di luar kotak, kehendak jawapan pula
memerlukan cara berfikir aras tinggi.
Justeru, dalam memenuhi tujuan itu, kerajaan melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013
2025 telah memperkenalkan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) untuk melahirkan golongan murid
yang produktif tinggi, mahir dalam komunikasi, serta penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi
(ICT).
Transformasi pendidikan kepada KBAT adalah sesuai dengan keadaan semasa kerana guru-guru juga
berhadapan dengan murid-murid yang jauh berbeza dengan murid-murid masa lalu.
Murid-murid kini lebih terdedah dengan maklumat yang diperoleh daripada pelbagai sumber dan
mempunyai kecenderungan untuk mengetahui dan bertanya dengan lebih mendalam.
Penerapan KBAT dalam pendidikan menggunakan pendekatan menyeluruh dan sistematik yang
merangkumi tujuh elemen, terdiri daripada tiga elemen utama iaitu kurikulum, pentaksiran dan pedagogi
serta empat elemen sokongan seperti kokurikulum, sokongan komuniti dan swasta, sumber dan bina
upaya.
Ikuti pandangan guru-guru dalam menjayakan tuntutan pendidikan negara ke arah melahirkan murid
dan pelajar yang mempunyai kemahiran pemikiran kritis, kreatif, dan inovatif.
roses pembelajaran di sekolah bukan sekadar interaksi di antara guru dan pelajar. Seharusnya
pemahaman itu perlu melibatkan proses berfikir.
Bagaimanapun, boleh dikatakan kebanyakan pelajar sebenarnya menghafal atau rote learning dalam
pembelajaran.
Ini boleh dikategorikan sebagai kemahiran berfikir aras rendah. Sebagai contoh kemahiran ini hanya
memerlukan murid menghafal dan mengingat kembali fakta atau maklumat yang disampaikan oleh
guru.
Ini terjadi kerana masa kini orang memandang kepada berapakah bilangan A yang diperoleh.
Bukan kepada sejauh manakah kita memahami atau mendapatkan input dalam proses pembelajaran.
Sehinggakan di penghujung harinya, keputusan cemerlang itu hanyalah sekadar nilai sekeping kertas
kosong.
Justeru itu, dalam usaha mampu bersaing sebaris dengan negara termaju, sistem pendidikan negara
perlu berupaya melahirkan generasi muda berpengetahuan, mampu berfikir secara kritis dan kreatif
serta berupaya berkomunikasi dengan berkesan pada peringkat global.
Maka, aplikasi Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) diperkenalkan dalam Pelan Pembangunan
Pendidikan 2013-2025.
Aplikasi KBAT melibatkan kemahiran intelek yang tinggi. Ia memerlukan seseorang itu berfikir sebelum
membuat penjelasan dengan menganalisis, menilai, menjana idea, pilihan membuat keputusan,
menyelesaikan masalah dan membuat perancangan.
Pembelajaran bukan lagi satu arah Menurut Mohamad Khamidon Sadi, 47, perlaksanaan KBAT itu
dapat diaplikasikan sekiranya guru diberikan persediaan yang rapi ke arah itu.
Secara umumnya semua guru telah pun disediakan dengan ilmu KBAT sejak dalam pengajian
pendidikan.
Kerana KBAT lebih terarah menterjemahkan konsep pendidikan dalam taksonomi bloom iaitu
merangkumi pembelajaran dari aras rendah ke aras tinggi iaitu pelajar mampu mengingat, memahami,
mengaplikasikan, analisa, membuat penilaian dan menghasilkan produk/menyelesaikan masalah,
katanya.
Beliau yang sudah mengajar selama 24 tahun di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 16
Shah Alam itu menjelaskan pendidik perlu bersedia dari segi mental dan fizikal, di samping prasarana
yang sesuai dan kondusif bagi menterjemahkan KBAT dalam pembelajaran.
Namun masih terlalu banyak kekangan dan kelemahan yang agak ketara dalam memastikan
perlaksanaan berjalan dengan baik dalam membentuk kemenjadian diri pelajar. Seperti yang terdapat
dalam enam aspirasi pelajar dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM).
Bagaimanapun, dengan adanya KBAT pembelajaran menjadi lebih aktif dan menyeronokkan.Tidak lagi
spoon feeding atau satu arah. Mereka dilihat menjadi lebih pro aktif, kreatif dan masa sama sikap malu
di dalam kelas semakin berkurangan kerana pelajar diberi pendedahan untuk bercakap dan memberi
pendapat sama rata, jelasnya.
Namun hakikat yang perlu diterima ialah ketidakjelasan terhadap KBAT itu sendiri, sokongan dari segi
prasarana di dalam bilik darjah, perbezaan tahap pelajar yang sangat ketara, kekangan kewangan dan
sokongan ibu bapa di rumah sering kali menjadi batas bagi pelaksanaan KBAT secara menyeluruh.
Sementara, kejayaan pencapaian peratusan dalam peperiksaan utama sekolah seperti Pentaksiran
Tingkatan Tiga (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sesebuah sekolah yang sering digemburkan
pihak tertentu juga sebenarnya sedikit sebanyak masih lagi membantutkan usaha KBAT.
Kerana ia tetap menyebabkan exam oriented masih dikekalkan dan justeru, pelajar dan guru akan
lebih tertumpu untuk mengejar silibus berbanding perlaksanaan pembelajaran secara lebih terbuka,
ujarnya.
Mampu membuat keputusan sendiri Pada masa yang sama guru Pendidikan Jasmani dan Kesihatan,
Jaffry Jaafar, 32, berpendapat soalan berbentuk objektif yang digunakan sebelum ini menyebabkan
murid yang lemah akan memilih secara rawak serta tidak membaca soalan yang diberikan.
"Ini menyebabkan murid menjawab sambil lewa dan siap menjawab kertas soalan tidak sampai lima
minit. Melalui format baru kertas soalan berdasarkan KBAT, murid perlu menulis serta berfikir untuk
mendapatkan jawapan.

Pelajar yang lemah tidak ada pilihan lain untuk menjawab soalan," katanya.Ujarnya, setiap murid
mempunyai tahap pemikiran berbeza. Kepelbagaian soalan dapat membantu murid memahami sesuatu
perkara dengan mudah.

"Kesan positif melalui KBAT, murid yakin memberi pendapat dan mampu membuat keputusan sendiri.
Kita boleh lihat dahulu murid dapat keputusan cemerlang 10A, belum tentu akan dapat pekerjaan yang
memerlukan kemahiran.
Melalui pendekatan KBAT, elemen aplikasi dan mencipta dapat membantu murid proaktif serta berdaya
saing dengan orang sekeliling.
"Pelaksanaan KBAT tidak mudah. KBAT memerlukan inisiatif pelajar itu sendiri untuk berubah daripada
pemikiran biasa kepada pemikiran yang kritis," jelasnya.
Pelaksanaan KBAT juga diteruskan pada peringkat pra sekolah menggunakan pendekatan pengajaran
dan pembelajaran yang kreatif dan inovatif.
Guru Pra Sekolah, Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Peel, Kuala Lumpur, Tuan Maizura Tuan Mat
berkata, untuk murid-murid peringkat pra sekolah, teknik mengajar mesti diselitkan dengan elemen
seronok, belajar sambil bermain satu kemestian, unsur permainan juga diterapkan menggunakan
pendekatan bertema menggunakan alatan sukan, alat muzik, dan alat permainan tradisional.
"Bermain adalah pengalaman penting murid kerana mereka berpeluang belajar dalam suasana bebas,
selamat, gembira dan bermakna," katanya.
Dalam meningkatkan bina upaya KBAT secara berterusan, guru juga menggunakan pendekatan
tersendiri.
"Di dalam kelas saya menggunakan teknik menyelesaikan masalah contohnya mengadakan aktiviti
melibatkan nombor, perkataan teka-teki silang kata yang sesuai dengan tahap mereka, hasilnya mereka
mula meneroka, memahami dan dapat mempelajari masalah yang timbul," katanya.
Tambah Tuan Maizura, dalam menimbulkan mood seronok juga, dia mengaplikasikan penggunaan
teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam pembelajaran.
"Selalunya saya guna bahan maujud dalam pengajaran agar murid boleh sentuh, lihat dan rasa. Jika
ada keperluan, disertakan juga tayangkan video, cd, slide show."Usaha meningkatkan KBAT juga
adalah melalui guru yang sentiasa perlu kreatif dalam merancang aktiviti. Salah satu daripadanya
menyediakan suasana pembelajaran yang menarik, selesa dan sesuai, kelas dihias dengan warna ceria
dan bersih," katanya.

ISU-ISU YANG TERDAPAT DALAM KEMAHIRAN BERFIKIR ARAS TINGGI (KBAT).


Apa itu Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) ?
Kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) boleh didefinisikan sebagai potensi untuk menggunakan
pengetahuan, kemahiran dan nilai untuk berfikir dan membuat pertimbangan.Onosko & Newmann (1994)
mentakrifkan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) sebagai penggunaan potensi minda untuk menangani
cabaran baru. Bagi Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), mereka mendefinisikan kemahiran berfikir
aras tinggi (KBAT) sebagai keupayaan untuk mengadaptasikan pengetahuan, kemahiran dan nilai dalam
membuat penaakulan dan refleksi bagi menyelesaikan masalah, membuat keputusan, berinovasi, dan
berupaya mencipta sesuatu. Kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) merupakan suatu kemahiran yang
menggalakkan seseorang individu terutama sekali murid untuk berfikir di luar kotak pemikiran mereka
dengan memberikan pendapat atau idea mereka tersendiri berdasarkan hasil bacaan atau pengalaman.
Soalan-soalan kemahiran aras tinggi merujuk kepada empat aras tertinggi dalam taksonomi bloom
iaitu mengaplikasi, menganalisis, menilai dan mereka cipta. Aras mengapliksi merupakan aras ketiga dan
aras soalan ini merupakan jenis soalan yang mengaplikasikan pengetahuan kepada situasi dan
pengalaman baru. Aras keempat bagi taksonomi bloom ialah menganalisis. Soalan pada aras ini
merupakan soalan jenis di mana murid boleh mengekstrak keluar idea-idea penting dan menentukan
sama ada idea-idea tersebut berkaitan antara satu sama lain. Aras kelima bagi taksonomi bloom adalah
aras menilai di mana murid diminta untuk membuat pertimbangan dan penilaian untuk membuat
kesimpulan dan aras keenam yakni mereka cipta merupakan aras yang menggabungkan maklumat untuk
mencipta sesuatu yang baru. Soalan-soalan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) dikaitkan dengan
taksonomi bloom kerana soalan tersebut memerlukan murid untuk mengaplikasikan, menganalisis,
menilai dan mereka cipta sesuatu maklumat daripada menyatakan semula fakta. Kenyataan ini juga
disokong oleh Dr Ismail Zain (2014) dalam Utusan Online di mana beliau menyatakan bahawa kemahiran
belajar abad ke-21 diterapkan melalui aktiviti-aktiviti yang memerlukan murid berfikir, merancang,
berbincang, menilai, mereka cipta dan membuat keputusan berkitarkan taksonomi bloom.

Apakah faktor-faktor KBAT diperkenalkan?


Terdapat beberapa faktor kemahiran berfikir aras tinggi diperkenalkan namun di sini, hanya dua
faktor yang akan dibincangkan. Pertama, pencapaian Trend in International Mathematics and Science
Study (TIMSS) dan Program for International Student Assessment (PISA) yang kurang
memberangsangkan. Penglibatan Malaysia dalam Trend in International Mathematics and Science
Study (TIMSS) dan Program for International Student Assessment (PISA) bertujuan mendapat maklum
balas berkaitan pendidikan sains dan matematik kebangsaan bagi meningkatkan mutu pelaksanaan
pendidikan sains dan matematik namun pencapaian Malaysia di dalam Trend in International
Mathematics and Science Study (TIMSS) dan Program for International Student Assessment (PISA) di
bawah skor purata menyebabkan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) menggunakan soalan
kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) bagi meningkatkan pencapaian subjek sains dan matematik
dalam Trend in International Mathematics and Science Study (TIMSS) dan Program for International
Student Assessment (PISA) menjelang 2015. Hal ini kerana lebih kurang 60% soalan aplikasi dan
penaakulan yang melibatkan kemahiran aras tinggi terkandung di dalam soalan Trend in International
Mathematics and Science Study (TIMSS) dan Program for International Student Assessment (PISA). Ini
telah membuktikan bahawa murid sekolah di Malaysia lemah dalam menjawab soalan yang
memerlukan kemahiran berfikir aras tinggi berdasarkan pencapaian Malaysia dalam Trend in
International Mathematics and Science Study (TIMSS) dan Program for International Student
Assessment (PISA). Faktor kedua kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) diperkenalkan ialah untuk
meningkatkan kualiti pendidikan bertaraf antarabangsa. Bagi melaksanakan Pelan Pembangunan
Pendidikan 2013-2015, kementerian telah merombak semula peperiksaan dan pentaksiran untuk
meningkatkan tumpuan terhadap kemahiran berfikir aras tinggi kepada murid. Maka, aras soalan
kemahiran berfikir diperkenalkan kepada murid supaya menggalakkan mereka menyelesaikan sesuatu
masalah dengan mengaplikasikan, menganalisis, menilai dan mensintesiskan sesuatu maklumat
sebagai jawapan daripada hanya menyatakan fakta tersebut. Selain itu, murid juga perlu membiasakan
diri mereka dengan soalan kemahiran aras tinggi kerana soalan-soalan ini dapat mengukur sejauh
mana pemikiran murid. Apabila murid sudah membiasakan diri mereka dengan soalan kemahiran
berfikiran aras tinggi, maka mereka akan mudah menjawab soalan tersebut berbanding dengan
keadaan sekarang di mana murid hanya disoal dengan soalan yang berada di aras rendah. Kenyataan
ini juga telah disokong oleh Stein dan Lake (1996) yang menyatakan bahawa jika kita mahu melihat
murid boleh berfikir, mempertimbangkan dan menyelesaikan masalah maka soalan-soalan kemahiran
berfikir aras tinggi perlu diperkenalkan.
Apakah isu berbangkit yang melemahkan proses KBAT di Malaysia?
1. Isu daripada guru.
Sebagai seorang pendidik, guru mempelbagaikan kaedah pengajaran supaya murid tertarik
kepada pengajaran seterusnya dapat melaksanakan sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang
berkesan. Apabila dikaji semula, guru masih menggunakan kaedah tradisional dalam pengajaran mereka.
Penggunaan kaedah tradisional dalam pengajaran merupakan satu kaedah yang berpusatkan guru di
mana guru akan memberikan penerangan dan maklumat manakala murid hanya mendengar penjelasan
daripada guru. Guru yang menggunakan kaedah ini biasanya akan memberi ilmu yang berbentuk nota
supaya murid mudah menghafal maklumat yang diberi. Melalui kaedah tradisional, murid tidak dapat
berbincang bersama rakan-rakan mereka mengenai sub topik yang diajar malah mereka juga tidak
digalakkan untuk memberikan pandangan mereka semasa pengajaran berlangsung. Maka, murid akan
bergantung sepenuhnya kepada guru terhadap pembelajaran mereka seperti murid menyalin nota yang
dituliskan oleh guru di papan tulis tanpa membuat nota tambahan sendiri, murid hanya melakukan
tugasan yang diberikan oleh guru dan tidak membuat latihan tambahan dengan usaha sendiri dan murid
hanya membaca nota atau bab tertentu apabila guru memberi tajuk yang memasuki peperiksaan. Rosli
(1998) turut menyatakan amalan biasa di bilik darjah masih bersifatkan tradisional iaitu guru masih
menggunakan sebahagian besar masa pengajaran dan pembelajaran (PdP) untuk bercakap dan
memberi penerangan manakala penglibatan murid hanya didapati apabila menjawab soalan.
Seterusnya aras soalan daripada guru juga memainkan peranan penting dalam meningkatkan
kemahiran berfikir aras tinggi pelajar. Aras soalan guru dapat dibahagikan kepada dua bahagian. Pertama,
teknik penyoalan guru di dalam kelas. Salah satu tujuan kaedah menyoal guru di dalam kelas ialah untuk
menilai pembelajaran dan kemajuan murid serta untuk meneroka pandangan alternatif murid. Namun,
guru yang sering mengemukakan soalan berada di aras rendah kepada murid sama ada soalan tersebut
dikemukakan secara lisan mahupun bertulis. Soalan pada aras rendah ini tidak menggalakkan murid
untuk berfikir kerana murid hanya perlu menyatakan fakta bagi menjawab soalan tersebut dan soalan
aras ini juga tidak menggalakkan murid untuk berfikir di luar kotak pemikiran mereka. Kenyataan ini juga
disokong oleh Rajendran (2001) di mana hasil kajian beliau mendapati hampir 90% soalan yang
dikemukakan oleh guru melibatkan kemahiran berfikir aras rendah manakala 10% lagi adalah soalan yang
melibat kemahiran berfikir aras tinggi. Kedua ialah respons jawapan guru kepada soalan murid. Respond
jawapan guru terhadap soalan yang diberikan oleh murid dapat meningkatkan kemahiran berfikir aras
tinggi mereka. Hal ini kerana guru memberikan responds jawapan yang positif akan menjadikan murid
terus tertanya-tanya dan mereka akan berusaha untuk mencari maklumat tersebut sampai mereka
peroleh. Jawapan positif yang diberikan oleh guru bermaksud jawapan yang tidak mematikan soalan
penyoal. Menurut Robert Sternberg, terdapat tujuh aras dalam memberikan respons guru kepada
persoalan murid. Aras pertama ialah singkirkan jawapan murid di mana pada aras ini guru memberikan
respons yang dapat mematikan persoalan murid. Aras kedua ialah menyatakan semula persoalan murid
sebagai respons. Aras yang berikutnya ialah guru mengaku tidak tahu atau hanya memberikan maklumat
kepada murid. Aras keempat ialah guru memberi respons dengan memberikan galakan kepada murid
untuk mendapatkan jawapan daripada pihak yang boleh memberikan maklumat seperti internet.
Seterusnya, pada yang kelima, guru menggalakkan sumbang sara atau menyuarakan pertimbangan
untuk kemungkinan jawapan alternatif. Pada aras yang keenam pula, guru menggalakkan murid untuk
mempertimbangkan jawapan alternatif dan kaedah untuk menilai kemungkinan jawapan tersebut dan di
aras yang ketujuh dalam memberi respons ialah guru menggalakkan murid untuk mempertimbangkan
pelbagai kemungkinan jawapan alternatif ditambah dengan kaedah pembuktian serta mengambil
tindakan susulan untuk menilai jawapan tersebut.
Guru yang mementingkan pengajaran berlandaskan peperiksaan menyebabkan murid tidak
berpeluang untuk menguasai kemahiran berfikir aras tinggi. Guru hanya mementingkan pencapaian
cemerlang murid dalam peperiksaan sehinggakan mereka hanya memfokuskan soalan-soalan
peperiksaan kepada murid. Ini dapat dibuktikan dengan suasana di sekolah terutama sekali kepada murid
yang bakal menghadapi peperiksaan awam yakni bagi tingkatan tiga dan tingkatan lima, guru akan
mencuba untuk menghabiskan topik bagi setiap subjek sekurang-kurangnya dua bulan sebelum
peperiksaan tiba. Ini kerana guru dapat memberikan banyak set soalan yang diperoleh daripada pelbagai
sumber kepada murid dan guru akan menyuruh murid untuk menyelesaikan soalan tersebut. Soalan yang
terlampau banyak diberikan guru menyebabkan murid hanya tertumpu untuk menjawab soalan untuk
peperiksaan dan kebanyakan soalan tersebut kurang mengandungi soalan kemahiran berfikir aras tinggi.
Selain itu, pemberian soalan juga menyebabkan murid dapat mengagak dan menghafal soalan serta
jawapan yang bakal mereka hadapi ketika peperiksaan sebenar. Maka, benarlah kajian Pushpalatha
(2006) yang menyatakan bahawa terdapat sebilangan guru memberi pendapat bahawa mengajar murid
menguasai maklumat untuk peperiksaan dan mengembangkan daya pemikiran adalah dua matlamat
yang berbeza.
Rajendran (2001) telah membuat kajian mengenai kesediaan guru dalam mengendalikan proses
pengajaran dan pembelajaran melalui pengajaran kemahiran berfikir aras tinggi. Melalui menjayakan
kajian ini, beliau telah mengambil sampel daripada guru yang mengajar subjek bahasa Melayu dan
bahasa Inggeris di sebuah daerah. Dalam kajian ini, beliau telah membahagikan kepada tiga aspek
penting dalam mengkaji kesediaan guru dalam pengajaran dan pembelajaran menggunakan kemahiran
berfikir. Tiga aspek tersebut ialah pengetahuan, kemahiran padagogi dan faktor yang mempengaruhi
persepsi guru tentang ilmu kemahiran dan sikap. Melalui aspek pengetahuan didapati guru lebih yakin
dari segi ilmu pengetahuan yang mereka miliki untuk mengajar berbanding mengenai pengajaran
menggunakan kemahiran berfikir aras tinggi. Melalui kajian Rajendran (2001), beliau mendapati guru
lebih mengetahui untuk merancang pengajaran secara biasa di dalam kelas berbanding mengajar
menggunakan kemahiran berfikir aras tinggi. Hasil kajian juga menunjukkan guru lebih yakin dari segi
kemahiran pedagogi yang mereka miliki untuk mengajar subjek di dalam kelas seperti biasa berbanding
kemahiran padagogi untuk mengajar pengajaran melalui kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT). Ini
dibuktikan daripada dapatan kajian yang menunjukkan skor min bagi item kemahiran padagogi bagi
pengajaran bahasa Melayu adalah lebih tinggi berbanding dengan skor min bagi kemahiran berfikir aras
tinggi (KBAT). Kemahiran padagogi yang dinilai meliputi aspek merancang untuk mengajar, kebolehan
untuk menggunakan pelbagai strategi dan teknik, menggunakan bahan sumber pengajaran dan
pembelajaran dan menilai kemajuan murid. Faktor yang mempengaruhi persepsi guru mengenai ilmu
kemahiran dan sikap menunjukkan guru masih tidak yakin untuk mengajar kemahiran berfikir aras tinggi
(KBAT) dalam pengajaran. Hal ini kerana guru tidak yakin untuk mengajar dalam kemahiran berfikir aras
tinggi (KBAT) walaupun mereka telah menghadiri kursus mengenai kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT).
Sikap guru yang tidak yakin ini terbukti apabila guru masih menggunakan kaedah tradisional semasa
pengajaran berlangsung. Selain itu, guru juga berpendapat mereka mempunyai kesukaran dalam
menyediakan soalan untuk menghadapi peperiksaan dalam masa yang sama menyediakan soalan untuk
kemahiran berfikir. Ini kerana cara pengajaran untuk peperiksaan awam adalah berlainan berbanding
pengajaran kemahiran berfikir membuatkan mereka terpaksa memikirkan dua kaedah yang berbeza jika
kemahiran berfikir perlu dilaksanakan dan ini membebankan guru.

2. Isu kepada murid.


Rajendran (2001) ada menyebut guru memerlukan murid yang aktif bagi melaksanakan kemahiran
berfikir di dalam kelas. Murid yang pasif tidak dapat menjayakan kemahiran berfikir semasa proses
pengajaran dan pembelajaran berlangsung kerana murid yang pasif biasanya tidak akan mengeluarkan
idea mereka semasa perbincangan dan mereka lebih cenderung untuk mendengar pendapat orang lain.
Walaupun membentuk perbincangan berkumpulan bersama rakan, murid pasif masih diam dan hanya
menyetujui cadangan rakan mereka dan ini bagaikan merujuk kembali kepada pengajaran menggunakan
kaedah tradisional. Pelajar pasif juga lebih cenderung untuk menghafal nota yang diberi.
Kesediaan murid dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) menggunakan kemahiran berfikir
merupakan salah satu isu terhadap kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) kerana murid jarang
diketengahkan dalam menjawab soalan kemahiran berfikir oleh guru. Apabila murid diminta untuk
menyelesaikan soalan berbentuk kemahiran tinggi, biasanya mereka akan meninggalkan soalan tersebut
tanpa jawapan kerana struktur soalan kemahiran tinggi yang berantai dan berayat membuat murid malas
untuk membaca apatah lagi untuk berfikir. Jika soalan kemahiran tinggi dilaksanakan sebagai
peperiksaan maka keputusan yang diperoleh murid amat mengecewakan. Ini dapat dibuktikan daripada
pencapaian Malaysia dalam Trend in International Mathematics and Science Study (TIMSS) dan Program
for International Student Assessment (PISA) di mana sejak Malaysia berada di bawah skor purata selepas
daripada tahun 2003.
Menurut Yahya Othman daripada Wan Hasnah (1997) menyatakan bahawa satu kajian telah
dijalankan di mana terdapat kelemahan dalam kalangan guru pelatih dalam aspek kefahaman dan
kemampuan mereka dalam menggunakan unsur kemahiran berfikir aras tinggi (KBKK) dalam pengajaran
dan pembelajaran (PdP) di dalam bilik darjah. Guru akan merasakan tidak yakin untuk menggunakan
kemahiran tersebut dalam pengajaran kerana lemah dalam aspek kefahaman serta kemampuan dalam
kemahiran mereka. Apabila guru merasa tidak yakin dalam pengajaran mereka maka padagogi dan
rancangan pengajaran yang mereka sediakan untuk menarik minat murid tidak akan berjaya. Hal ini
kerana cara penyampaian guru yang kelihatan was-was membuatkan murid berasa tidak yakin terhadap
pengajaran guru di samping itu guru terlampau memikirkan cara pengajaran mereka sama ada
pengajaran yang diberikan meninggalkan kesan kepada murid ataupun tidak. Ini boleh menyebabkan
murid tidak dapat memahami pengajaran yang diberikan oleh guru seterusnya murid tidak akan berminat
mengenai pengajaran yang menggunakan kaedah kemahiran berfikir dalam pengajaran.
Selain itu, pemikiran murid yang merasakan soalan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) tidak
penting dalam pelajaran mereka merupakan salah satu isu. Struktur soalan kemahiran berfikir aras tinggi
(KBAT) adalah berlainan berbanding soalan-soalan yang sering ditanya dalam peperiksaan awam di
mana struktur soalan kemahiran berfikir lebih tertumpu pada soalan bukan rutin dan cara persembahan
soalan tersebut adalah berayat. Pemikiran murid terlalu menumpukan pengajaran yang berpusatkan
peperiksaan menyebabkan mereka tidak mengendahkan soalan kemahiran berfikir kerana soalan
kemahiran berfikir kurang diterapkan dalam peperiksaan awam malah sikap mereka yang malas untuk
berfikir bagi menjawab soalan kemahiran berfikir kerana soalan tersebut dikatakan susah untuk
diselesaikan. Faktor masa juga memainkan peranan dalam pengabaian murid terhadap soalan kemahiran
berfikir ini. Murid yang bakal menghadapi peperiksaan awam khasnya akan menumpukan perhatian
mereka kepada pembelajaran dan antara salah satu langkah mereka ialah murid akan mencuba untuk
menjawab pelbagai jenis soalan peperiksaan yang diperoleh daripada pelbagai sumber. Murid
kekurangan masa mencukupi untuk menjawab soalan kemahiran tinggi kerana mereka terpaksa
membahagikan masa untuk mengulang kaji pelajaran yang terdahulu di samping mereka terpaksa
menjawab soalan peperiksaan bagi mendapatkan skor yang terbaik.

3. Isu terhadap pelaksanaan pentaksiran kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) dalam
peperiksaan pusat.
Pentaksiran sekolah di Malaysia menilai semua aspek kehidupan terutamanya dalam pengajaran
dan pembelajaran, kepimpinan sekolah dan penumpuan kepada peningkatan prestasi sekolah.
Peningkatan kualiti soalan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) dalam penilaian akan menjadi kritikal
dan bukan sahaja bergantung dengan peratusan sahaja kerana soalan kemahiran berfikir aras tinggi
(KBAT) dalam penilaian di Malaysia perlu penambahbaikan dalam beberapa bidang. Hal ini kerana soalan
kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) sering berulang-ulang dan arahan sama setiap tahun, soalan
kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) juga dibuat secara terhad dan menggunakan rangsangan asas,
soalan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) mengikut struktur yang ditetapkan dan biasa membimbing
murid ke arah jawapan dan kebanyakannya soalan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) terhad kepada
kata arah berimpak rendah. Oleh itu, terdapat lima ciri utama melakukan penambahbaikan dalam soalan
kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) iaitu rangsangan, pemikiran berlapis, kandungan bukan rutin, situasi
sebenar dan tidak berulang.
Bagi ciri pertama iaitu rangsangan, guru boleh menggunakan stimulus secara ekstensif untuk
menjana kemahiran inferens dan penaakulan kritis dalam soalan kemahiran berfikir. Ini bermaksud guru
perlu membuat soalan yang boleh memberi dorongan kepada murid untuk membuat kesimpulan
berdasarkan soalan tersebut di mana guru boleh meletakan soalan jenis bercerita, gambar rajah, graf
mahupun petikan supaya murid boleh berimaginasi dan berfikir untuk menjawab soalan tersebut.
Ciri seterusnya ialah pemikiran berlapis di mana guru perlu mentaksir soalan kemahiran berfikir
mengikut pelbagai aras pemikiran dalam domain kognitif untuk memberi impak yang besar kepada soalan.
Domain kognitif yang dicadangkan ialah domain kongnitif taksonomi bloom di mana guru perlu
menumpukan empat yang tertinggi dalam domain kognitif taksonomi bloom. Empat domain tersebut ialah
mengaplikasi, menganalisis, menilai dan mencipta. Penumpuan tertumpu pada empat domain ini kerana
doamain tersebut akan menghasilkan soalan yang boleh membuatkan murid untuk berfikir jika
dibandingkan pada soalan yang berada di aras rendah di mana murid hanya perlu menyatakan jawapan
sahaja.
Ciri yang ketiga ialah konteks yang baharu. Ciri ini merujuk kepada situasi baharu yang tidak lazim
kepada murid di mana guru boleh membuat soalan yang mempunyai pelbagai jalan penyelesaian dan
tidak tertumpu pada satu jawapan sahaja. Erti kata lain, guru boleh menggunakan soalan rutin dalam
kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT). Apabila guru memberikan soalan rutin, murid tidak perlu
menggunakan kemahiran berfikir aras tinggi kerana operasi atau soalan yang dikemukakan adalah jelas
dan biasanya jawapan yang diperlukan berkonsepkan fakta sahaja. Jika dibandingkan dengan soalan
bukan rutin, terdapat pelbagai manfaat yang akan diperoleh oleh murid antaranya soalan bukan rutin
memerlukan tahap pemikiran pada aras tinggi dan jawapan dan prosedur yang perlu digunakan oleh
murid tidak serta-merta jelas. Selain itu, soalan rutin ini menggalakkan murid untuk memikir lebih daripada
satu strategi untuk menyelesaikan soalan.
Ciri yang keempat ialah situasi sebenar dalam kehidupan sebenar. Melalui ciri ini, guru boleh
mencabar murid untuk menyelesaikan suatu masalah kehidupan sebenar sebagai contoh mengira luar
suatu bilik atau mengukur panjang pagar. Murid juga dapat membayangkan soalan tersebut berdasarkan
kehidupan seharian mereka dan melalui soalan ini, mereka dapat mengaplikasikan teknik jawapan
mereka dalam kehidupan seharian. Ciri yang terakhir dalam soalan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT)
ialah item yang tidak berulang di mana item yang pelbagai pada setiap tahun melangkaui bahan buku
teks bagi mewujudkan situasi baru. Apabila soalan yang dikemukakan sering kali berulang, murid
kebanyakannya akan mengingati ciri soalan tersebut dan seterusnya mereka akan cuba untuk menghafal
ciri jawapan tersebut.

Anda mungkin juga menyukai