Anda di halaman 1dari 14

1

KEDUDUKAN POLITIK DALAM ISLAM


Oleh
Razaleigh Muhamat @ Kawangit

Abstrak
Elemen politik seringkali disalah tafsirkan sebagai satu elemen yang membawa kepada
perpecahan sesuatu kesatuan. Di dalam Islam elemen ini adalah satu elemen penting yang
membentuk ajaran Islam yang akhirnya tersebar luas keseluruh dunia. Penelitian secara
kepustakaan ini bertujuan melihat konsep, ciri dan perlaksanaan politik dalam Islam. Penelitian
ini juga mendapati bahawa elemen politik dalam Islam adalah asas kepada kesinambungan
pemerintahan Islam

Kata kunci: Politik Islam, Kepimpinan, Sosial, Dakwah, Islam

PENDAHULUAN

Seseorang muslim yang bergiat dalam politik sepatutnya menyandarkan urusan politiknya
dengan batasan syariat dan sesekali tidak boleh melampauinya dengan alasan feqah semasa.
Politik yang indah adalah politik yang didasarkan kepada tuntutan syarak. Bahkan, sudah sekian
maklum bahawa politik tidak dapat dipisahkan daripada agama. Semua orang sudah mengetahui
tentang perkara ini termasuklah para ulama feqah dan masyarakat Islam keseluruhanya. Ia adalah
langkah yang paling utama dalam melaksanakan hukum-hukum Allah SWT ke atas manusia
samada kepada golongan pemerintah atau golongan yang diperintah.
Dalam Islam, politik merupakan suatu tatacara yang mempunyai matlamat terbesar dalam
kehidupan. Matlamat itu ialah mencapai keredhaan Allah SWT. Jika keseluruh kehidupan ini
adalah demi keredhaan Allah SWT maka tiada lagi orang yang mengatakan bahawa ‘matlamat
yang tertentu menghalalkan semua perkara’. Kata-kata seumpama ini sebenarnya adalah politik
kotor yang digunakan oleh orang yang tidak beriman dan tidak mengendahkan tentang syariat
Allah SWT. Sedangkan menurut Islam, matlamat yang satu itu (mencapai keredhaan Allah)
semestinya selari dengan cara yang di kehendakinya tanpa bercanggahan dengan setiap
pemerintah dan larangan-larangan Allah (Muhammad Abdel Qadir. 2000. 72)

POLITIK

Perkataan politik biasanya disebut orang dengan Tatanegara. Ilmu Tatanegara ialah satu ilmu
yang membahas dan menyusun cara-cara yang diperlukan untuk membentuk organisasi
kehidupan masyarakat dalam negara. Walau bagaimanapun pengertian politik lebih luas daripada
Tatanegara. Perkataan politik berasal dari bahasa Yunani “Polis” yang bererti “Negara”. Mula-
mula ia diertikan segala sesuatu yang berhubung dengan negara. Kemudian ia digunakan sebagai
kata benda untuk menamakan praktik memerintah dan kebijaksanaan memerintah dan
selanjutnya ditambah dengan pengertian lain, iaitu seni atau kemampuan untuk memerintah
(Abdul Ghani Azmi, 1999). Adapun asal usul perkataan “politik”, berasal dari bahasa Yunani
“Politikus” atau bahasa Latin “Politica”. Pemakaian kata ini yang pertama kali dalam abad ke 5
S.M. Asal perkataannya ialah dari “Polis” bererti “Negara Kota”. Di masa itu, negara Yunani
purbakala menganggap dunia ini hanya seluas daerah negerinya dan memusatkan masyarakat
2

dan negara mereka kepada ibu kotanya, kota Athens. Kemudian, ssetelah Athens bergabung
dengan kota-kota Sparta, Thesallia, Corynthe untuk mempertahankan dirii dari serangan luar dan
perkataan “Polis” masih tetap dipakai untuk pemerintahan yang sudah luas wilayahnya.

DALIL POLITIK DALAM ISLAM

Rasulullah SAW sendiri menggunakan kata politik (siyasah) dalam sabdanya: “Adalah Bani
Israil, mereka diurusi (siyasah) urusannya oleh para Nabi (tasusuhumul anbiya). Ketika seorang
nabi wafat, nabi yang lain datang menggantinya. Tidak ada nabi setelahku, namun akan ada
banyak para khalifah.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).
Jelaslah bahawa politik atau siyasah itu adalah menguruskan urusan masyarakat.
Rasulullah SAW bersabda: “sesiapa saja yang bangun di pagi hari dan dia hanya
memperhatikan urusan dunianya, maka orang tersebut tidak berguna apa-apa disisi Allah; dan
barang siapa yang tidak memperhatikan urusan kaum Muslimim, maka dia tidak termasuk
golongan mereka (iaitu kaum muslim).” (Hadis Riwayat Thabrani)

POLITIK PADA PANDANGAN HUKAMA’

Para ahli falsafah islam seperti Abi Nasr Al farabi (339H) telah menghasilkan beberapa buku
yang masyhur antaranya Risalah as Siasah dan Al Fusul al Madaniyyah. Sesetengah pengkaji
menggelarkan beliau sebagai ‘ bapa falsafah politik Islam’ kerana perbincangannya yang meluas
dalam hal politik.
Selepas beliau, datang pula Abu Ali Ibnu Sina (428H), ahli falsafah agung yang terkesan
dengan pemikiran Al farabi. Cumanya beliau tidak memberi tumpuan khusus dalam isu politik
sebagaimana juga perihalnya dalam tajuk-tajuk lain. Perbincangannya tentang politik tidak hanya
berlegar di kalangan pemegang kekuasaan sahaja, bahkan meliputi semua orang walau apa
kedudukannya dalam masyarakat. Ahli falsafah akhlak terkenal iaitu Ibnu Maskawaih yang
melalui kitab falsafah akhlaknya, Tahzibul Akhlaq wa Tathirul A’raq, kami melihatnya
bersumberkan agama Islam seperti katanya mengenai kerajaan :
“Dan orang yang menjalankan tugas sunnah ini dan tugas – tugas syara’ yang lain sehingga
tidak hilang daripada kedudukan asalnya adalah al imam. Kerja imam adalah kerja seorang
raja. Orang–orang terdahulu tidak menamakan seseorang itu sebagai raja melainkan orang
yang menjaga ugama dan bersedia melaksanakan martabat, arahan dan larangannya. Adapun
orang yang mengelak daripada menjaganya, dia hanya dinamakan penjarah (mutaghallib) yang
tiada keahlian untuk diberi nama raja/pemerintah (al malik). Ini adalah kerana agama
merupakan undang–undang ilahi yang mendorong manusia dengan pilihan sendiri ke arah
kebahagiaan yang tinggi. Raja adalah penjaga undang-undang ilahi yang menjaga manusia.”
Politik di sisi ahli falsafah sosial, Ibni Khaldun. Sayugia di sini kami menengahkan
pandangan seorang ahli falsafah sosial, bahkan hakikatnya, beliaulah pengasas ilmu sosial,
sebagai mana dinyatakan di dalam buku muqaddimahnya, iaitu Abdul Rahman Ibnu Khaldun
(808H) katanya :
“Sebabnya adalah kerana mereka dengan sebab sifat liar mereka itu menjadikan mereka satu
umat yang cukup payah untuk saling tunduk sesama mereka dengan sebab kebengisan dan
kebencian, jauh himmah dan saling merebut kuasa. Maka sukar sekali ditemui penyatuan hati
mereka.”
3

Apabila datang ugama dengan nubuwwah (kenabian) dan wilayah Allah, ia mencabut
sifat buruk itu dari diri mereka. Hilanglah sifat takabbur dan berebut kuasa. Dengan itu menjadi
mudahlah ketundukan dan penyatuan mereka. Semua itu disebabkan ajaran ugama yang menolak
sifat bengis dan benci, dengki dan saling berebut. Ibnu Khaldun juga menulis satu fasal khas
yang menegaskan bahawa dakwah diniyyah telah menambahkan lagi kekuatan negara ke atas
kekuatan asabiyyah yangs sedia ada. Katanya, (Sebabnya – sebagaimana telah disebut – adalah
kerana acuan ugama tersebut telah menghilangkan sifat suka berebut dan saling berdengki yang
wujud di kalangan ahli asabiyyah, lalu melorongkan tujuan kepada kebenaran. Apabila terjadi
pencerahan itu pada diri mereka, maka tiada lagi penghalang kerana arah tuju adalah satu dan
tuntutan adalah sama di antara mereka. Golongan kuffar masa itu pula yang turut merebut
kerajaan (sekalipun mereka lebih ramai), tujuan mereka bercanggah-canggah dalam kebatilan.
Mereka takut mati. Maka mereka tidak terlawan umat Islam sekalipun mereka lebih ramai.
Mereka kalah dan dipercepatkan lagi kekalahan itu dengan sebab kemewahan hidup mereka
sebagaimana kami telah sebutkan sebelum ini.
Ini sebagaimana terjadi dalam kemenangan - kemenangan yang dicapai di awal Islam.
Jumlah tentera Islam di dalam perang Al Qadisiyah dan Yarmuk adalah sekitar 30,000 lebih
dalam setiap satunya. Manakala jumlah tentera Parsi di Al Qadisiyyah adalah lebih 120,000
orang dan tentera Hercules di Yarmuk pula adalah 400,000 orang (menurut Al Waqidi). Umat
Arab tidak kalah dengan jumlah besar itu bahkan mereka mengalahkan musuh dalam peperangan
tersebut.
Ibnu Khaldun memberi tumpuan kepada perihal siasah semasa – tidak sebagaimana Plato
dan Al Farabi – dan beliau berusaha menyelongkar hukum semulajadi (sunnah alam) yang
menghukum umat dan masyarakat seluruhnya. Beliau adalah bapa ‘pembangunan politik’
ataupun disebut ilmu sosio politik. Beliau, dengan pengiktirafan orang barat sendiri adalah
oarang pertama yang menulis mengenai ilmu ini

PANDANGAN SARJANA BARAT TENTANG POLITIK.

Di atas dasar ini maka terdapat dua pendapat yang dapat dikemukakan dalam penulisan ini
tentang ilmu politik.

a) Prof Barents umpamanya yang menyatakan bahawa sukar untuk memberi definisi politik,
tetapi terdapat dalam bukunya penafsiran yang ringkas tentang maksud politik: “Ilmu
politik ialah ilmu mempelajari kehidupan negara”
b) Prof Mr W Zevenbergen dalam bukunya “Formele Encyclopaedia der Rechts” membuat
definisi yang hampir sama : “Politik ialah organisasi tentang kehidupan bersama dalam
negara”
c) Zoeklicht encyclopaedia menyatakan bahawa politik ialah:-
“politik ialah pengetahuan yang menyelidiki tentang kewajipan dan tujuan memerintah , serta
mencari jalan yang sebaik mungkin untuk mencapai tujuan itu”
d) Benedotte Croce berpendapat politik sama ertinya dengan negara’ ialah:- “menyelesaikan
segala soal-soal tentang perasaan, adat kebiasaan dan undang-undang yang mengatur
dan tindakan-tindakan manusia, tegasnya segala badan pembimbing asas dan undang-
undang yang telah ditubuhkan”

Perkataan politik dalam pandangan sarjana Arab


4

a) Mohd Kurdi Ali dalam bukunya “Aqwaluna wa Af’aluna” menyatakan bahawa ilmu
politik adalah termasuk ilmu yang paling sulit, tetapi amat penting oleh manusia.
“Keperluan bangsa-bangsa kepada politik, sama dengan keperluan manusia kepada air dan
hawa nafsu”.
b) Muhammad Rusjdi misalnya mengemukakan pendapatnya:-
“Politik ialah ilmu pengetahuan tentang jabatan-jabatan dalam negara dan tentang pimpinan
dalam masyarakat yang meliputi segala urusannya”.

PANDANGAN ORIENTALIS BARAT TENTANG POLITIK ISLAM

Dr. V. Fitzgerald berkata : “Islam bukanlah semata agama (a religion), namun ia juga
merupakan sebuah politik (a political system). Meskipun pada dekad-dekad terkahir ada
beberapa kalangan dari umat Islam, yang mendakwa diri mereka sebagai kalangan ‘modernis’,
yang berusaha memisahkan kedua sisi itu, namun seluruh gagasan pemikiran Islam dibangun
diatas fundamental bahawa kedua sisi itu saling bergandingan dengan selaras, yang tidak boleh
dipisahkan antara satu sama lain”.
Prof. C. A. Nallino berkata: “Muhammad telah membangun dalam waktu bersamaan :
agama (a religion) dan negara (a state). Dan batas-batas wilayah negara yang ia bangun itu
terus terjaga sepanjang hayatnya”.
Dr. Schacht berkata: “Islam lebih dari sekadar agama, ia juga mencerminkan teori-teori
perundangan dan politik. Dalam ungkapan yang lebih sederhana, ia merupakan sistem
peradaban yang lengkap, yang mencakupi agama dan negara secara bersamaan”.
Prof. R. Strothmann berkata: “Islam adalah suatu fenomena agama dan politik, kerana
pembangunnya adalah seorang Nabi, yang juga seorang politik yang bijaksana atau
negarawan”. Manakala Prof D. B. Macdonald berkata: “ Di sini (di Madinah) dibangunkan
negara Islam yang pertama, dan diletakkan prinsip-prinsip utama dalam undang-undang
Islam”.
Sir. T. Arnold berkata : “ Adalah Nabi, pada waktu yang sama, seorang ketua agama dan
ketua negara. Prof. Gibb berkata : “ dengan demikian, jelaslah bahawa Islam bukan sekadar
kepercayaan agama individual, namun ia memungkinkan berdirinya suatu masyarakat yang
bebas. Ia mempunyai cara tersendiri dalam sistem pemerintahan, perundangan dan institusi.”

KONSEP POLITIK

Siasah dalam Bahasa Inggeris adalah ‘ politic’ tetapi perkataan ini diterangkan dalam kamus-
kamus Bahasa Parsi yang membawa pengertian terhadap kerja-kerja atau kegiatan untuk
penipuan atau pemalsuan. Sebenarnya pengertian ini tidak berbeza dengan pengertian politik
yang dibawa oleh seorang sarjana Itali iaitu Machievelli. Tujuan politik ialah mencari kuasa, dan
kuasa pula digunakan kepada sesuatu ideology. Untuk mendapatkan kuasa, ianya boleh melalui
pelbagai cara samada melalui cara penipuan dan cara memfitnah.
Aliran politik di zaman ini nampaknya mengunakan cara seperti itu untuk mendapatkan
kuasa. Sebenarnya politik seperti ini amat bertentangan sama sekali dengan politik acuan Islam.
pengertian siasah dan konsepnya dalam Islam sangat berbeza dengan pengertian dan konsep
yang digunakan oleh orang bukan Islam terutamanya pihak barat. Dalam kata lain, siasah ialah
5

mengurus dan mengendalikan urusan-urusan masyarakat untuk memperbaiki keadaan sesebuah


negeri demi menjamin perpaduan dan kepentingan kepada semua masyarakat.
Dalam sebuah kitab karangan seorang sarjana agung Islam menerangkan bahawa siasah
itu mempunyai pelbagai bidang iaitu siasah ekonomi, siasah madaniyyah dan siasah
jasmaniyyah. Manakala dalam kitab “Akhlak Nasiriy” menerangkan bahawa siasah yang mulia
itu tergambar dalam konsep ‘Imamah’ yang mana bertujuan mencari dan melaksanakan
kesempurnaan dan kebahagiaan kepada semua makhluk.

Para cendikiawan Islam dalam perbahasan mereka telah membahagikan hikmah dari segi
ilmiyah dan aqliyyah kepada dua bahagian:-

a) Hikmah dari segi teori yang berperanan untuk mengetahui keadaan dan kedudukan
sebenar bagi perkara-perkara yang mengiktu kemampuan manusia
b) Hikmah dari segi praktikal. Hikmah ini dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu :-
i) Membina atau membangun peribadi dengan ilmu akhlak.
ii) Mengurus dan mentadbir negara dan masyarakat.
iii) Mengurus serta mentadbirkan negara dan masyarakat.
Pengertian konsep-konsep tersebut tidak syak lagi adalah bertentangan dengan logik dan
keadaan politik pada masa kini. Ini kerana mereka pada hakikatnya tidak begitu mementingkan
kepentingan masyarakat dan juga perpaduan dalam masyarakat serta kesejahteraan mereka,
bahkan politik mereka kebanyakannya berdasarkan kepada pemalsuan, pengkhianatan, gila kuasa
pecah amanah, menekan golongan miskin dan sebagainya.
Konsep dan pengertian politik yang telah disebutkan di atas ianya sangat dititik beratkan
oleh para pemikir, para reformis serta sarjana Islam yang jujur kepada masyarakat yang mana
dianggap sebagai perkara mutlak dalam kehidupan manusia. Apabila dibaca sejarah perjalanan
para nabi yang tersirat dalam al-Quran, maka ternyata dengan terangnya bagaimana para rasul
Allah SWT memberi perhatian yang utama kepada politik yang bersih itu (Muhammad Naqqib.
1986. 1).

SISTEM POLITIK

Politik boleh ditakrifkan sebagai suatu seni memerintah dan mengendalikan negara dengan
memelihara kemerdekaan, kebebasan, kehormatan, dan kemuliaan manusia tanpa campur tangan
dalam urusan negara lain. Politik yang wujud dalam sesebuah negara adalah kegiatan yang
menjadikan manusia menjalani hidup yang sempurna dan dapat mengelakkan dari berlaku
kerosakkan dan kemusnahan. Namun begitu, terdapat pendapat-pendapat yang mengatakan
bahawa politik adalah sistem pemerintahan sebuah negara.
Politik juga bukan sahaja merangkumi segala urusan di dalam sesebuah negara itu sahaja,
malah ia turut merangkumi aspek urusan dengan negara luar. Hubung jalin yang erat seperti ini
dapat mengukuhkan kedudukan politk sesebuah negara itu dengan negara yang lain. Ia turut
membantu meningkatkan kadar pertumbuhan dari segi sosial, ekonomi dan lain-lain.
Bagaimanapun, sistem pemerintahan yang adil juga turut menjadi faktor kejayaan sistem
politik sesebuah negara. Selain itu juga, politik menjelaskan tentang bagaimana pemerintahan
dan pentadbiran sesebuah negara itu dilakukan oleh seorang pemimpin yang telah dipilih oleh
rakyat. Kewujudan pemerintah dan pemimpin amat diperlukan dalam kehidupan manusia. Ini
adalah kerana sekiranya sesebuah negara itu tidak mempunyai pemerintah dan pemimpin, maka
6

rakyat tidak akan patuh dan peka dengan segala dasar perlembagaan dan undang-undang yang
telah ditetapkan. Ia sejajar dengan agama Islam yang meletakkan politik sebagai elemen yang
dapat memberi kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat.

Agama Islam merupakan sebuah agama yang mencakupi semua aspek kehidupan. Oleh
sebab itu, sangkaan dan anggapan yang mengatakan bahawa agama Islam adalah agama yang
tidak mempunyai hubungkait secara langsung dengan politik dan negara adala suatu yang
meleset sama sekali. Terdapat juga pendapat dan anggapan yang menyatakan bahawa unutuk
menjaga kesucian agama, politik harus dipisahkan dari agama dan perlu menjauhkan ulama-
ulama dengan politik. Amat jelaslah di sini bahawa agama Islam tidak boleh menguruskan hal-
hal yang berkaitan dengan pentadbiran dan pemerintahan negara. Selain itu, ia menjelaskan
bahawa para ilmuan dan ulama diabaikan dengan kehadiran pemimpin yang tidak mempunyai
pengetahuan agama dan mereka yang mampu untuk menguruskannya. Isu ini seolah-olah telah
memperkecilkan agama Islam dan mempertikaikan keagungan al-Quran yang telah mengajar
umat Islam untuk beragama secara sempurna iaitu semua aspek yang merangkumi ruang lingkup
kehidupan manusia.

TUJUAN POLITIK MENURUT ISLAM

Sistem politik ialah untuk membangunkan sebuah sistem pemerintahan dan kenegaraan yang
berdiri diatas dasar untuk melaksanakan seluruh hukum syariat Islam. Manakala tujuan utamanya
adalah untuk menegakkan sebuah negara Islam atau pun Daulah Islamiah. Dengan adanya
pemerintahan yang berteraskan syariah, maka tetegaklah Ad-Din dan berterusanlah segala urusan
manusia menurut tuntuan Ad-Din tersebut.
Para Fuqaha Islam telah menggariskan beberapa bperkara penting sebagai tujuan kepada
sistem politik dalam islam.
1- Sistem politik adalah untuk memelihara keimanan menurut prinsip- prinsip yang telah
disepakati oleh ulama’ salaf daripada kalangan umat Islam.
2- Ianya juga adalah untuk melaksanakan proses pengadilan di kalangan rakyat dan
menyelesaikan masalah dikalangan orang-orang yang berselisih.
3- Politik juga bertujuan untuk menjaga keamanan daerah-daerah Islam agar manusia dapat
hidup dalam keadaan aman dan damai serta melaksanakan hukuman-hukuman yang
ditetapkan syara’ demi melindungi hak-hak manusia.
4- Sistem politik juga bertujuan untuk menjaga perbatasan negara dengan pelbagai
persenjataan bagi menghadapi kemungkinan serangan pihak luar.
5- Selain itu, mengendalikan urusan pengutipan cukai, zakat,wakaf dan sedekah
sebagaimana yang ditetapkan oleh syara’.
6- Politik diperlukan untuk mengatur anggaran belanjawan dan perbelanjaan daripada
perbendaharaan negara agar tidak digunakan secara boros
7- Ia juga bertujuan untuk mengangkat pegawai-pegawai yang cekap dan jujur bagi
mengawal kekayaan negara dan menguruskan hal ehwal pentadbiran negara.

PEMIKIRAN POLITIK DALAM ISLAM

Islam merupakan agama yang paling kaya dengan pemikiran politik. Pemikiran politik Islam
bermula dari masalah etika politik, falsafah politik, agama, hukum sehinggalah tatacara
7

kenegaraan. Namun begitu, kebiasaan pemikiran politik bermula pada pemikiran tentang
hubungan agama dan negara.
Boleh dikatakan pemikiran para pemikir Islam yang menginginkan pemisahan Islam dan
politik sebagai pemikiran politik Islam dan pemikiran yang menghendaki penyatuan Islam dan
politik sebagai pemikiran Islam politik. Ini kerana, ketika sejak Revolusi Perancis agama
Kristian Relatif telah selesai membahas hubungan gereja dan negara iaitu bahawa gereja harus
terpisah dari negara. Namun begitu, Islam masih lagi tetap pada persoalan yang satu iaitu
penyatuan Islam dan politk sejak zaman Nabi hingga zaman kini.

TIDAK ADA PEMISAHAN AGAMA DAN POLITIK

Sepertimana yang telah diketahui, pihak sekular telah memisahkan poilitik daripada agama dan
memisahkan agama dengan negara. Mereka juga turut, mempopularkan istilah tidak ada agama
dalam negara dan tidak ada negara dalam agama. Jika dikaitkan dengan agama, politik bererti
keadilan bagi rakyat, pemberian hak yang sama, membantu rakyat yang tertindas dan
menghukum pesalah-pesalah, mengambil hak rakyat lemah daripada yang kuat, memberikan
kesempatan yang sama, fakir miskin, perantau-perantau dan yang terpenting adalah untuk
memenuhi hak rakyat. Kehadiran agama dalam politik tidak seperti anggapan mereka yang
materialistik dan sekularis. Mereka memandang negatif terhadap politik itu sendiri, terutama
terhadap agama.
Bagi agama Islam yang benar, jika ia masuk ke dalam dunia politik, ia akan memberikan
pengaruh positif dan mengarahkan kepada kebaikan, menunnjukkan jalan yang benar dan
menghindarkan daripada kesesatan dan kesalahan. Agama tidak akan menerima segala bentuk
kekerasan dan kezaliman dan tidak akan menindas terhadap orang bawahan. Jika agama masuk
ke dalam politik, ia akan berusaha keras untuk mencapai tujuan manusia yang paling utama iaitu
mengesakan Allah, membersihkan hati, mengagungkan rohani, menciptakan umat yang
istiqomah sekali gus merealisasikan tujuan Allah dalam menciptakan manusia supaya menjadi
khalifah di muka bumi.
Menjauhkan politik daripada agama sama dengan menjauhkan politik daripada unsur-
unsur pembentuk kebaikan dan penolakan kejahatan, menjauhkan daripada pendorong kebaikan
dan ketakwaan, serta membiarkan politik penuh dengan dosa dan permusuhan. Tetapi sebaliknya
mengaitkan politik dengan agama bererti membantu negara dalam memperbesar kekuatan iman
dan piskologi agar dapat melayani rakyat atau masyarakatnya.

KEPENTINGAN POLITIK DALAM ISLAM

Politik Islam dan kewajipan berpolitik secara Islam adalah ditegakkan dengan ayat-ayat Al-
Quran, sunnah Rasulullah SAW, sunnah para sahabat, ijma, qias dan fakta-fakta sejarah. Ia tidak
akan diingkari melainkan oleh orang yang buta matanya, buta mata hatinya dan buta akalnya.
Allah memerintahkan supaya syariatNya ditegakkan dikalangan manusia. Ia
memerintahkan jihad, menegakkan amar ma’ruf nahi mungkar dan pelbagai lagi urusan agama
yang tidak boleh dilakukan secara persendirian. Oleh yang demikian, hukum menegakkan negara
Islam dan menerapkan corak kepimpinan Islam bagi menjamin pelaksanaan perintah Allah itu
adalah wajib hukumnya. Seperti mana kaedah yang digunakan:

“sesuatu yang tidak sempurna kewajipan melainkan dia, maka adanya dia adalah wajib”
8

Jadi, menegakkan Negara Islam itu wajib hukumnya bagi menjamin pelaksanaan syariat
Allah. Dan jika negara itu tidak dapat ditegakkan melainkan dengan bantuan seluruh ummah
dengan membentuk parti sebagai wadah perjuangan untuk menegakkan daulah Islamiyyah itu,
maka pembentukan parti Islam itu wajib pula hukumnya dan umat Islam hanya wajib dan boleh
berjuang dalam parti Islam itu sahaja, tidak boleh dengan parti yang bukan Islam.
Menyedari hakikat inilah di mana-mana umat Islam berada, terutamanya di negara-
negara kaum muslimin parti-parti Islam ditubuhkan, dan mereka berjuang dengan parti-parti
Islam tersebut untuk mencapai keredhaan Allah, walaupun mereka ditentang, difitnah, dicaci dan
dizalimi oleh musuh-musuh Islam yang terdiri daripada orang-orang kafir bahkan dengan orang
Islam sendiri.
Politik adalah sebahagian daripada pokok ajaran Islam yang syumul itu. Dengan
politiklah umat Islam telah berjaya mencapai kegemilangan pada zamannya, dan tanpa
kekuasaan politik jugalah umat Islam menjadi hancur berkecai dan dihina dikalangan umat
manusia. Tidak ada dalam ajaran Islam pemisahan antara agama dan negara, antara masjid dan
parlimen. Fahaman pemisahan antara masjid dan Negara, antara agama dan politik adalah ajaran
dari konsep politik sekular yang dibawa masuk oleh penjajah-penjajah kufar ke negara-negara
Islam.
Sejak Islam diturunkan ke dunia ini sampailah ia memasuki daerah-daerah di Asia,
Eropah, Afrika dan lain-lainnya, ajaran pemisahan antara agama dan politik, atau agama dan
Negara tidak pernah wujud. Ianya wujud setelah daerah-daerah tersebut dijajah oleh penjajah-
penjajah yang beragama Kristian.

Oleh yang demikian, barangsiapa yang menolak penyatuan antara agama dan Negara atau
antara masjid dan parlimen ataupun antara agama dan politik adalah sangat jauh terpesong dari
ajaran Islam yang sebenarnya dan orang-orang tersebut wajiblah segera bertaubat dan kembali
kepada ajaran Islam sebenarnya.

POLITIK DAN NEGARA ISLAM

Membincangkan tentang politik membuatkan kita tidak boleh tidak untuk lari dari membicarakan
tentang Negara Islam. Ini kerana politik itulah yang memainkan peranan penting dalam
menentukan hala tuju pentadbiran sesebuah Negara. Negara Islam adalah Negara yang terbentuk
berasakan acuan Al-Quran dan Sunnah. Sumber ini bukan sahaja berfungsi sebagai pembimbing
Negara yang dapat memberikan keadilan kepada rakyat, malah ia juga diibaratkan sebagai
tembok besi yang dapat menyelamatkan Negara itu daripada sebarang bahaya dan bencana.
Besi adalah lambang kekuatan dan keunggulan. Besi itu seolah-olah mencerminkan dasar
pemerintahan Islam yang mempunyai tenaga yang kuat malah dapat menjamin keamanan,
kemakmuran dan keadilan sejagat. Namun semua itu mestilah dengan syarat iaitu prinsip-prinsip
Islam seperti yang disarankan oleh Al-quran dan Sunnah perlu dilakukan dengan sepenuhnya.
Pencapaian keadilan dan kemakmuran adalah dijamin oleh al-Quran jika umat Islam daripada
setiap lapisan masyarakat samada pemerintah atau rakyat berjuang secara bersatupadu untuk
menggalakkan kebajikan dan menghapuskan kemungkaran.
Sesungguhnya al-Quran memberi jaminan segala bentuk eksploitasi, penindasan dan
kekejaman tidak akan berlaku kerana Negara Islam bebas dari kemungkaran. Konsep amar
ma’ruf nahi mungkar yang dilaksanakan oleh sesebuah Negara Islam adalah merangkumi bidang
9

politik, pentadbiran, pendidikan, kemasyarakatan, kebudayaan dan sebagainya. Dengan konsep


ini, segala bentuk kemungkaran akan boleh diatasi dan dihindari.
Negara Islam juga disifatkan sebagai Negara kebajikan. Malah setiap bidang kehidupan
manusia mestilah digerakkan dengan nilai-nilai akhlak daripada al-Quran. Islam adalah sangat
berbeza dengan mana-mana sistem yang ada di muka bumi ini kerana ia menjamin hak
kebebasan individu dan rakyat, malah dalam masa yang sama juga memelihara hak masyarakat.
Dalam erti kata yang lain, hak individu dan masyarakat dijamin dan selari antara satu sama lain.
Ini amat bertepatan sekali dengan fitrah semulajadi manusia kerana ia telah direncanakan
sedemikian rupa oleh Allah SWT
Hakikatnya Negara Islam mempunyai prinsip tersendiri yang berpegang teguh kepada
ajaran-ajaran yang telah ditetapkan oleh al-Quran. Setiap daya usaha dan aktiviti dalam Negara
Islam diarahkan untuk memenuhi prinsip tersebut. Individu yang telah diberikan amanah untuk
memimpin Negara mestilah individu yang paling arif dan matang dengan prinsip dan ajaran
tersebut iaitu hukum-hukum Allah.

PERBEZAAN POLITIK ISLAM DAN POLITIK BUKAN ISLAM

Dalam buku Fikih Politik Menurut Imam Hasan Al-Banna, Dr. Muhammad Abdul Qadir Abu
Faris menulis: “Jadi politik itu terbagi menjadi dua, politik syar’i (politik Islam) dan politik non
syar’i (politik non Islam). Politik syar’i bererti upaya membawa semua manusia kepada
pandangan syar’i dan khilafah (sistem pemerintahan Islam) yang berfungsi untuk menjaga
agama (Islam) dan urusan dunia. Manakala politik non syar’i atau politik versi manusia adalah
politik yang membawa manusia kepada pandangan manusia yang diterjemahkan kepada
undang-undang ciptaan manusia dan hukum lainnya sebagai pengganti bagi syari’at Islam dan
bertentangan dengan Islam. Politik seperti ini menolak politik syar’i kerana merupakan politik
yang tidak memiliki agama. Sedangkan politik yang tidak memiliki agama adalah politik
jahiliyah.”
Semenjak tahun 1924 umat Islam tidak lagi hidup di bawah naungan sistem Islam dalam
kehidupan bermasyarakat dan bernegaranya. Bahkan di berbagai penjuru dunia Islam
dideklarasikan berdirinya negara-negara dengan konsep nation-state (negara-kebangsaan).
Mulailah kaum muslimin mengekor kepada negara-negara kafir yang mengkotak-kotakkan
manusia berdasarkan keanekaragaman suku dan bangsa. Sebelumnya ketika Khilafah Islamiyyah
masih tegak ummat Islam hanya memahami manusia berdasarkan pembagian yang Allah
gambarkan di dalam al-Quran, iaitu manusia beriman (Al-Mu’minun) dan manusia kafir (Al-
Kafirun).
Sebuah masyarakat Islam berbeda samasekali dari masyarakat Jahiliyyah. Masyarakat
Islam berdiri di atas dasar aqidah La Ilaha Illa Allah, keyakinan bahawa hanya Allah sajalah
satu-satunya tempat memuja, memuji, memohon pertolongan, menyerahkan kepatuhan dan
kesetiaan. Penghambaan kepada Allah bukan tercermin dalam urusan ibadah belaka. Tetapi ia
juga tercermin dalam aspek nilai-nilai moral serta hukum-hukum peribadi mahupun sosial yang
berlaku dalam kehidupan seharian.
Manakala sebuah masyarakat Jahiliyyah berdiri di atas dasar bahawa sesama manusia
suka untuk dipuji, dipuja, diminta pertolongannya, diserahkan kepatuhan dan kesetiaan
kepadanya. Oleh kerana di dalam masyarakat seperti ini akan selalu hadir para thaghut, iaitu
pihak yang sedikit saja memperoleh kekuasaan lalu berlaku perkara yang melampaui batas
sehingga menuntut ketaatan dari para rakyat dan pengikut dibawahnya.
10

Dalam sejarah kemanusiaan Allah telah mngabadikan di dalam Al-Qur’an gambaran


perkara yang paling ideal iaitu Fir’aun. Fir’aun telah berlaku sombong sehingga dirinya menjadi
begitu bongkak dihadapan rakyat Mesir yang dipimpinnya dengan kalimat: ”Akulah tuhan
kalian yang Maha Mulia.” Politik Islam adalah politik syar’i. Ia merupakan politik yang
berlandaskan konsep aqidah Islamiyyah, iaitu La Ilaha Illa Allah, keyakinan bahawa hanya Allah
sajalah satu-satunya tempat memuja, memuji, memohon pertolongan, menyerahkan kepatuhan
dan kesetiaan sepenuhnya. Politik Islam pasti akan mendidik masyarakat untuk membentuk diri
menjadi masyarakat Islam.
Manakala politik jahiliyyah merupakan politik yang tidak syar’i. Politik jahiliyyah akan
menghasilkan sebuah masyarakat jahiliyyah lengkap dengan suburnya perkara thaghut di
dalamnya. Politik seperti ini akan menyebabkan manusia tidak sedar bahawa mereka telah
menghambakan diri kepada sesama manusia. Oleh yang demikian, marilah dengan penuh
kesabaran kita meniti kembali jalan perjuangan Nabi SAW dan para sahabat ketika mereka masih
tertindas di kota Mekkah sebelum berhijrah ke Madinah. Marilah kita pelajari kembali
bagaimana Nabi SAW dan para sahabat berjuang tanpa sedikitpun berfikir untuk berkompromi
dengan sistem jahiliyyah dan para thaghutnya ketika mereka masih lemah sekalipun. Sebab
mereka hanya mempunyai satu cita-cita, iaitu mengembalikan hati manusia ke dalam pangkuan
aqidah kalimat tauhid di mana manusia diajak untuk hanya menghamba kepada Allah dan tunduk
kepada syariatNya. Nabi SAW dan para sahabat tidak pernah sejenakpun bertoleransi dengan
aqidah kemusyrikan dan tunduk kepada sistem jahiliyyah yang berlaku, walaupun risikonya
mereka terpaksa mengalami berbagai ujian, tekanan, penyiksaan, penindasan bahkan
pembunuhan.
Bagaimana kita perlu memahami bahwa Politik Islam adalah tidak sama dengan Politik
Jahiliyyah. Berbeza antara satu sama lain dalam hal landasan keyakinannya, semangatnya,
fikrah-ideologinya, sistem pembentukannya, budayanya, tingkah-laku para pelakunya. Yang
jelas, keduanya sangat berbeza secara fundamental dalam hal siapa yang dijadikan pusat
kesetiaan, penghambaan dan kebergantungan. Politik Islam sejak hari pertama telah
mendasarkan dirinya sebagai sebuah projek mega untuk membebasan manusia dari
penghambaan sesama manusia untuk hanya menghamba kepada Allah semata-mata Sedangkan
Politik Jahiliyyah menjadikan sesama manusia sebagai tempat menyerahkan ketaatan dan
kebergantungan sehingga suburlah di dalamnya para karut.

KEDUDUKAN POLITIK DALAM ISLAM

Terdapat beberapa istilah dalam Al-Quran yang mengisyaratkan kepada makna politik. Antara
istilah tersebut ialah khilafa (al-baqarah:30, yunus:14 ) hizb ( al-maidah: 56 ) syura (al-
syura:38) al-mulk (yusuf: 101) dan bermacam-macam jenis lagi istilah. Istilah-istilah inilah yang
menunjukkan kepada manusia mengenai prinsip kuasa, pemerintahan atau urusan pentadbiran.
Hadith Nabi yang menunjukkan kepada konsep politik ialah antaranya sabda Rasulullah SAW
yang bermaksud: “setiap kamu adalah pemimpin dan kamu akan dipertanggungjawab
terhadapnya.
Para ahli Sains Politik Islam menggunakan istilah “siyasah” ketika membincangkan
mengenai politik. Contohnya penggunaan perkataan siyasah didalam kitabnya iaitu siyasah al-
syar’iyyah fi islah al-ra’i wa al-ra’iyyah. Manakala seorang lagi tokoh ulama Islam dalam bidang
politik iaitu Imam al-Mawardi dengan kitab al-ahkam al-sultaniyyah. Dalam buku tersebut, al-
Mawardi telah menjelaskan dengan baik garapan mengenai konsep dan fungsi khalifah dengan
11

menggunakan perkataan siyasah iaitu hirasatu al-din wa siyasatu al-dunya bihi. Penggunaan
istilah siyasah yang merujuk kepada politik ini adalah selaras dengan apa yang digunakan dalam
perkamusan arab.
Berdasarkan dalil al-Quran dan hadith serta pandangan ulama’ seperti yang dikemukakan
di atas, politik mempunyai tempat yang istimewa dalam Islam. Islam tidak memisahkan soal
keduniaan dan keagamaan dengan politik. Malah politik dianggap sebagai ‘wasilah’ atau jalan
yang boleh membawa kepada maksud tercapai matlamat memartabatkan agama.
Ibn Taimiyyah dalam bab khusus mengenai wujub ittiqaz al-imarah dalam kitab al-
Siyasah al-Syariyyah (1986) membuat kesimpulan tentang kepentingan institusi politik dalam
Islam. Beliau mengulas bahawa ‘kuasa’ (dalam politik) dan ‘harta’ tujuan-tujuannya adalah
untuk mengekatkan diri kita kepada Allah SWT. Ianya lebih dikenali sebagai fisabilillah. Dengan
itu, menurut Ibn Taimiyyah lagi, ‘kuasa’ dan ‘harta’ mempunyai matlamat untuk mewujudkan
kebaikan kepada agama dan dunia atau dengan perkataan lain adalah untuk menjamin
kemaslahatan agama dan dunia. Menurut seorang lagi tokoh ulama terkemuka Islam dalam
bidang sains politik iaitu al-Mawardi, beliau juga telah menekankan tentang kepentingan kuasa
politik digunakan untuk memartabatkan agama Islam dan ungkapan hirasatun al-din wa
siyasatun al-dunya bihi oleh al-Mawardi dalam kitab Ahkam Sultaniyyah ditujukan kepada orang
yang berkuasa.

ISLAM AGAMA DAN POLITIK

Pandangan yang mengatakan agama tidak boleh dicampurkan dengan politik adalah golongan
sekular, suatu fahaman yang memisahkan politik dengan agama. Pandangan ini tidak terpakai
dalam Islam. Ia mungkin tepat bagi agama-agama lain yang mengira bahawa agama adalah
urusan spiritual, mengenai peribadatan antara makhluk dengan Tuhan yang menciptanya saja.
Fikiran itu menyimpang dari maksud Islam sebagai agama dan peradaban yang
sempurna. Tidak lengkap Islam sebagai sebuah agama jika tidak ada sistem pentadbiran dan cara
hidupnya. Dan politik itu sendiri akan hanyut jika ia tidak dikawal dan dipandu oleh ajaran
agama. Pandangan yang memisahkan politik dan agama dalam Islam ini bukan sekadar
menguasai fikiran dan kepercayaan orang politik yang rata-rata mendapat pendidikan barat,
tetapi ia juga mengongkong fikiran setengah badan dakwah dalam dan luar negeri. Setengah
kalangan pendakwah tidak menggunakan bahasa jangan dicampur adukkan Islam dengan politik
atau politik mesti dipisahkan dari agama, tetapi mereka menggunakan bahasa, mana ada politik
dalam Islam.
Politik itu adalah sains bagi mengatur kehidupan dan bernegara. Dunia dan negara itu
diwujudkan adalah untuk kegunaan manusia dan untuk ditadbirkan oleh manusia. Telah wujud
jin sebelum manusia yang menduduki bumi tetapi ia tidak ditugaskan untuk mentadbir alam. Ia
wujud untuk mengabdikan diri kepada Allah saja. Demikian juga kewujudan malaikat untuk
beribadat dan menjalankan perintah Allah semata-mata. Tetapi penciptaan manusia bermula
dengan Adam adalah untuk mengabdikan diri kepada Allah dan menjadi khalifah Allah di alam
bumi. Kerja khalifah itu adalah kerja politik. Keseluruhan para anbia menjalankan dua fungsi itu.
Ada nabi memimpin umat tanpa menjadi pemerintah tetapi ada nabi menjadi raja dan pemerintah
seperti Nabi Daud a.s, Nabi Sulaiman, Nabi Yusuf dan Nabi Ayub. Manakala nabi terakhir
Rasulullah saw adalah imam dalam semua bidang baik dalam peribadatan dan urusan
kenegaraan. Al-Quran yang diturunkan bagi menjadi panduan manusia dan jin itu mengandungi
urusan peribadatan dan urusan pimpinan serta pentadbiran. Ayat 2 surah al Baqarah bermaksud:
12

“ Inilah kitab ( Al-Quran ) tidak ragu lagi adalah panduan bagi orang yang bertaqwa”. Sesiapa
yang tidak berpandu kepada al-Quran bukan orang yang taqwa. Ikrar dalam doa Iftitah di awal
solat iaitu ‘solatku, ibadatku, hidupku dan matiku adalah kerana Allah seru sekalian alam’. Dari
ikrar ini disebutkan ibadat dan kehidupan itu disekalikan. Apakah yang terpenting dalam hidup
selain dari politik yang menjadi alat kepada pentadbiran?

PENUTUP

Sebagai kesimpulan bahawa sumber kedaulatan dan kekuatan dalam kerajaan Islam bukannya
kehendak pemerintah dan bukannya kehendak rakyat. Ianya adalah hak Allah taala semata-mata.
Allah taalalah yang menciptakan perlembagaan umat Islam yang bersifat abadi dan manusia
tidak berkuasa mengubah apa yang telah sempurna daripada Allah. Firman Allah,
maksudnya: "Sesungguhnya yang menetapkan hukum itu hanyalah hak Allah" Al-Quran adalah
kitab Allah dan perlembagaan orang Islam. As-sunnah pula adalah nota penjelasan kepada
perlembagaan itu. Perlembagaan itulah yang membatasi kekuasaan kerajaan. Kekuasaan
pemerintah dan kekuasaan rakyat semuanya kembali kepada kekuasaan Allah taala. Sesiapa yang
mencari petunjuk yang lain dari Allah adalah sesat.

RUJUKAN

Ab. Aziz Yusof & Ahmad Bashir Aziz. 2008. Pengurusan Perniagaan Islam: Konsep Isu &
Pelaksanaan. Kedah: Universiti Utara Malaysia.
Abu ‘Urwah. 2001. Sistem-Sistem Islam: Satu Analisis Perbandingan. Kuala Lumpur:
Pustaka Salam.
Ahmad Ibrahim Abu Sin. 1991. Al-Idarah fi Islam. Dlm. Terj. Abd. Rashid Ngah & Jusoh
Kadir. Pengurusan Dalam Islam. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Ahmad Redzuwan Mohd Yunus. 2001. Demokrasi dan Kepimpinan Islam Satu
Perbandingan. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.
Amir Husin Mohd. Nor. 2005. Etika Politik Menurut Pandangan Sayyid Qutb . Dlm. Zulkiple
Abd Ghani & Mohd. Syukri Yeoh Abdullah (pnyt.). Dakwah dan Etika Politik di
Malaysia, hlm 70-83. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.
Andek Masnah Andek Kelawa. 2005. Penglibatan Politik Wanita Islam Malaysia:Hukum,
Nilai Dan Etika. Dlm. Zulkiple Abd Ghani & Mohd. Syukri Yeoh Abdullah (pnyt.).
Dakwah dan Etika Politik di Malaysia. Kuala Lumpur: Utusan Publications &
Distributors Sdn.Bhd.
__________. 2001. Kepimpinan Wanita Dalam Islam, Kedudukannya Dalam Syariah.
Selangor: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.
Azman Che Omar. 2001. Pengurusan di Malaysia dari Perspektif Islam. Selangor: Dewan
Bahasa dan Pustaka.
Abu al-Ala al- Maududi. 1967. Islamic Law And Constitution. Lahore: Islamic Publication
Abd al- Wahab Khallaf. 1977. Al- Siyasah Al- Syariyyah Wa Nizam Al Daulah. Qahirah: al-
Mukhtar al-Islami
13

Abdul Rahman Mahmod, Jaffary Awang, Zakaria Stapa. 2009. Survival Politik Muslim Malaysia.
Universiti Kebangsaan Malaysia: Bangi Selangor.
Abdul Aziz bin Saikh Ma’atok. 2003. Teori dan Amalan Politik Dalam Islam. Tesis Ijazah
Sarjana, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Abdul Karim Zaidan. 1978. Umat Dan Negara Dalam Islam. terj. Kuwait: Internasional Islamic
Federation of student Organisation
Abdul Monir Yaacob & Suzalie Mohamad (penyt). 2002. Etika dan Budaya Berpolitik dari
Perspektif Islam. Kuala Lumpur: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).
Ahmad Atiyatullah. t.th. Qamus Al-Siyasi. Qahirah: Dar al- Nahdah Al- Misriyyah.
Ahmad Ibrahim Abu Sin. 1991. Pengurusan dalam Islam. Ter. Abd Rashid Ngah & Jusoh Kadir.
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
Ahmad Redzuwan Mohd Yunus. 2001. Demokrasi dan Kepimpinan: Suatu Perbandingan. Kuala
Lumpur: Percetakan Cergas (M) Sdn. Bhd.
Abdul Ghani Azmi Bin Haji Idris. 1999. Bagaimana Islam Berpolitik Dan Memerintah. Kuala
Lumpur: Al- Hidayah Publisher:
Abul A’la Al-Maududi. 1993. Hukum Dan Konstitusi Sistem Politik Islam. Bandung:
Penerbit Mizan Khazanah Ilmu-Ilmu Islam
Ahmad Syafie Maarif. 1999. Islam dan Politi: Upaya Membingkai Peradaban. Indonesia:
Pustaka Dinamika
Abdullah Gymnastiar. 2004. Amanah Manajemen Qolbu Untuk Kepemimpinan. Bandung : MQ
Publishing.
Amran Kasimin. 1985. Saudara Baru Cina di Wilayah dan Selangor. Bangi: Universiti
Kebangsaan Malaysia.
Abbas Mahmoud Al-Akkad. 1979. Kedermawanan Khalifah Usman bin ‘Affan. Jakarta
: Bulan Bintang.
Abdullah Al-Qari bin Hj. Salleh. 1983. Detik Perang Saudara dan Penyebaran Islam Zaman
Kulafa’ Ar-Rasyidin. Kelantan : Pustaka Asa.
Abdul Latif Talib. 2010. Novel Sejarah Islam:Khalifah –Khalifah Yang Benar Abu Bakar, Umar,
Uthman, Ali. Batu Caves Selangor: PTS Litera Utama
Al-Baladhuri, Ahmad bin Yahya bin Jabir. 1936. Asnab al-Ashraf. vol 5. Jeruselam:The
University Press
Ahmad Amin. 1993. Islam Dari Masa Ke Masa. Bandung : PT. Remaja Rodas Karya
Afzal Iqbal. 2000. Diplomasi Islam. Terjemahan Samson Rahman. Jakarta: PustakaAl-Kautsar
Anwar Zainal Abidin & Wan Kamal Mujani. 1999. Sirat al-Rasul dan Khulafa’al-Rashidun.
Bangi: Pusat Pengajian Jarak Jauh, UKM .
Audah Ali. 2003. Ali Bin Abi Thalib Sampai Kepada Hasan Dan Husain. Bogor : PT. Pustaka
litera Antar Nusa
Asmaday Idris, Dzurizah Ibrahim & Rahminah Muharam. 2003. Isu-Isu Sains Sosial Dari
Perspektif Islam. Social Sciences Issues From The Islamic Perspective Kota Kinabalu
Sabah, Universiti Malaysia Sabah.
Burhanundin Abdullah. 1999. Faktor-Faktor Kelemahan Dan Krisis Kepimpinan Dalam
Politik. Dlm. Zulkiple Abd Ghani & Ahmad Redzuwan Mohd Yunus (pnyt.).
Kepimpinan Dakwah dan Politik Islam. Bangi: Jabatan Dakwah dan Kepimpinan
UKM
Dusuki Hj. Ahmad. 1974. Ikhtisar Perkembangan Islam. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan
Pustaka.
14

Hussain Othman (pnys.). 2007. Islam dan Pembangunan Masyarakat. Johor: Penerbit
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.
Ibn Khaldun, abd al-Rahman bin Khaldun. 1981/1401H. Muqaddimah Ibn Khaldun. Beirut:
Maktabah al-Ma’arif.
__________. 1981. Muqaddimah Ibn Khaldun. Beirut: Dar Al-Ma’rifah.
Ibn Taimiyyah, Taqiuddin. 1969. Al- Siyasah Al-Syariyyah Fi Islah Al- Ra’i Wa Al-Ra’iyyah.
Beirut: Dar al-fikr
al- Jazairi, Syaikh Abdul Malik Ramadhan. 2002. Pandangan Tajam Terhadap Politik . Antara
Haq dan Batil. Terj. Abu Ihsan al-Atsari. Solo: Pustaka Imam Bukhari.
Kamus Dewan. 1993. Ed. Baru. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Al-Khuli, al-Bahi. 1981. Sikap Wanita Islam Kini. Terj. Mohd Yusof Ahmad. Kuala
Lumpur: Yayasan Dakwah Islam Malaysia.
Al-Kharbutuli, Hassan. 1969. Al-Islam wa al-Khilafah. Beirut:Dar Beirut.
Mohd Izani Mohd Zain. 2005. Islam Dan Demokrasi: Cabaran Politik Muslim
Kontemporari Di Malaysia. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.
Mustafa Haji Daud. 1996. Etika Pengurusan. Kuala Lumpur: Utusan Publication & Distributors
Sdn. Bhd.
Al- Mawardi, al-Basri, Abu al- Hassan bin Muhammad bin Habib. 1966. Al-Ahkam Al-
Sultaniyyah. Mesir: Mustafa Al-Bab Al-Halabi.
Muhammad Abdel Qadir Abu Faris. 2000. Pemerintahan Negara Islam Yang Sebenar. Kuala
Lumpur: Jasmin Enterprise,
Mumtaz Ahmad. 1986. Masalah-Masalah Teori Politik Islam. Terj. Ena Hadi & Ilyas
Hasan(pnyt.). Bandung: Penerbit Mizan.
Nakhaei Ahmad. 1998. Kepimpinan Ilmu, Wanita Perlu Layakkan Diri”. Muslimah. Sept.
Omardin Ashaari. 2008. Sistem Politik Dalam Islam. Yayasan Dakwah Islamiyah Malaysia :
Kuala Lumpur.
Osman Khalid. 1984. Politik dan Pentadbiran Di Dalam Islam. Kuala Lumpur: Percetakan
Sentosa
Salim Ali al- Bahansawi. Terj. Mustolah Maufur. 1996. Wawasan Sistem Politik Islam. Jakarta:
Pustaka al-Kautsar
Sheikh Muhammad Naqyib Rahbah. terj. Al-Ustaz Hassan Salleh. 1986. Sistem Politik Dalam
al-Quran. Pustaka al-Alami,
W. Arnold, Thomas. 1967. The Caliphate. London: Routledge and Kegan Paul.
Yusuf al-Qaradhawy. Terj. Ibnu Sham. 2010. Agama dan Politik : Wawasan Ideal dan
Menyanggah Kekeliruan Pemikiran Sekular-Liberal. Kuala Lumpur: Alam Raya
Enterprise
Yatim Badri. Sejarah Peradaban Islam Dirasah islamiyah II. Jakarta :PT Raja Grafindo Persada
Zafir al-Qasimi. 1980. Nizam Al-Hukm Fi Al-Syariah Wa Al-Tarikh Al-Islami. Ed. Ke 3. Beirut:
Dar al- Nafatis
Zahazan Mohamed (pngr.). 2008. Sistem Politik Islam : Menurut Pandangan Al-Quran, Al-
Hadis dan Pendapat Ulama Salaf. Kuala Lumpur: Telaga Biru Sdn. Bhd.
Zulkiple Abd.Ghani & Mohd Syukri Yeoh Abdullah. 2005. Dakwah Dan Etika Politik di
Malaysia. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Anda mungkin juga menyukai