Anda di halaman 1dari 3

Contoh dari macam Cerita Pelipur Lara:

Hikayat si Miskin
Maharaja Angkasa Indera Dewa atau Betara Angkasa Indera Dewa turun dari Kayangan ke
dunia bersama isterinya tanpa kebenaran Betara Guru, lantas disumpah menjadi sepasang
suami isteri yang miskin melarat. Sebaik mendekati balai Istana Maharaja Indera Dewa di
negeri Anta Beranta kerana ingin mengadap baginda, mereka dihalau dengan kayu dan batu.
Terpaksa tinggal di pinggir hutan serta mencari sisa makanan dari timbunan sampah.
Menemui sebiji ketupat basi dan sebuku tebu sebagai mengalas perut. Setiap hari apabila
mereka mencari rezeki di mana- mana, nasib yang serupa menimpa, dihalau. Semua orang
memanggil mereka Si Miskin.

Sebenarnya ketupat dan buku tebu itu ialah putera dan puteri Betara Karma Jaya yang turun
ke dunia dalam bentuk demikian setelah dipuja oleh baginda, terjatuh ke dalam timbunan
sampah.

Isteri Maharaja Angkasa Indera Dewa, Dewi Rencana hamil dan Maharaja Angkasa Indera
Dewa menjadi semakin gusar dengan nasib mereka dan isterinya yang mengidam buah
mempelam di taman Maharaja Indera Dewa. Perubahan sikap orang ramai terhadapnya
menyebabkan ia mendapat banyak makanan dan buah –buahan. Namun, isterinya hanya
idamkan buah mempelam di taman Maharaja Indera Dewa itu juga. Amat menghairankan
apabila raja tersebut dengan senang hati memberi setangkai mempelam, kemudian pula sebiji
nangka idaman isterinya.

Isteri Si Miskin melahirkan seorang anak lelaki yang terlalu elok rupanya, dinamakan
Marakarma. Dia membawa keluarganya berpindah ke suatu tempat. Sedang ia menggali
lubang untuk mendirikan tiang, ia bertemu harta karun; tajau berisi penuh kepingan emas.
Dapatlah ia membeli segala keperluannya; kaus, payung, pedang, otar –otar, keris, pelana
kuda, tongkat dan kain.

Ia pulang ke rumah lalu mandi berlimau. Kemudian dipangku anaknya sampai menyeru
sekira anaknya keturunan dewa, hendaklah terjadi kota istana selengkapnya di dalam hutan
itu. Takdir Allah, zahirlah sebuah Negara kota yang serba lengkap dengan segala menteri,
hulubalang, rakyat dan raja –raja jajahan takluknya. Si Miskin menjadi raja bergelar
Maharaja Indera Angkasa dan, isterinya bergelar Tuan Puteri Ratna Dewa dan Negara ciptaan
itu bernama Puspa Sari. Baginda memperoleh seorang puteri pula, dinamakan Nila Kesuma.
Maharaja Indera Dewa, raja Anta Beranta dengki dengan apa dimiliki oleh Maharaja Indera
Angkasa, lalu menghasut ahli nukum supaya menyatakan kedua –dua anakdanya bakal
membawa kecelakaan. Mempercayainya, Maharaja Indera Angkasa lantas menghalau mereka
daripada istananya. Hanya berbekalkan tujuh biji ketupat, sebentuk cincin dan sebiji gemala,
kanak –kanak dua beradik menuju ke hutan.

Tuan Puteri Cahaya Khairani yang jelita itu telah diculik oleh raksasa. Ayahandanya,
Maharaja Malai Kisna memerintahkan segala rakyat bala tentera mencari disegenap pelusuk
negeri mereka, Mercu Indera namun gagal. Adinda Puteri Chaya Khairani, Raja Bujangga
Indera berangkat ke Tasik Indera Samudera, tempat bermain segala anak dara dewa,
mambang, pari dan jin untuk bertemasya sambil bertanya khabar kekandanya itu.
Tiga hari selepas Marakarma meninggalkan Puspa Sari, negeri itu hangus terbakar. Rakyat
bertempiaran lari. Tinggallah ayahanda dan bondanya menjadi Si Miskin semula. Barulah
disedari dirinya termakan fitnah. Marakarma turut tiba di Tasik Samudera Indera dan sempat
berkenalan dengan segala anak raja dan mambang seperti Raja Makardi, Raja Cendera Lela,
Raja Dikar Agas Peri dan lain –lain termasuklah Raja Bujangga Indera, adinda Puteri Cahaya
Khairani. Sebelum pulang, mereka semua memberi ilmu kesaktian kepada Marakarma. Satu
kejadian malang telah memisahkan mereka berdua apabila Marakarma memasuki kebun
jagung orang kerana mencari api untuk membakar burung yang ditangkap. Marakarma
disangka pencuri, dibelasah sehingga pengsan. Disangka mati, pekebun itu mengikat
Marakarma dan dibuang ke laut. Raja Mengindera Sari, putera Maharaja Puspa Indera dari
negeri Pelinggam Cahaya berburu di hutan telah menemui Puteri Nila Kesuma, dibawa
pulang dan dipelihara dengan penuh kemuliaan oleh ayahanda dan bonda. Dinamakan Puteri
Mayang Mengurai. Meningkat remaja, Puteri Mayang Mengurai amat jelita dan Raja
Mengindera Sari menaruh hati terhadap saudara angkatnya itu. Mereka akhirnya dijodohkan.

Marakarma dihanyutkan arus terdampar di pantai berhampiran dengan gua kediaman raksasa
yang menculik Puteri Cahaya Khairani. Raksasa keluar mencari makan selama tiga bulan
barulah kembali semula bertanya Puteri Cahaya Khairani sama ada hati puteri itu cukup besar
untuk dimakan. Dengan helah mereka berdua raksasa suami isteri terbunuh; nyanyian raksasa
menyebabkan segala binatang di hutan bertempiaran jauh daripada kediaman raksasa.
Terpaksalah ia pergi jauh untuk menangkap mangsanya. Marakarma menggali lubang dan
menanam ranjau. Sampah dihimpun disambung dengan tali sumbu dibakar. Tiga hari
kemudian, raksasa melihat api semarak di kediamannya menerpa balik lalu jatuh ke dalam
lubang beranjau.

Marakarma dan Puteri Cahaya Khairani menumpang sebuah kapal seorang saudagar menuju
ke negeri Pelinggam Cahaya. Puteri Cahaya yang jelita dan harta raksasa yang dibawa
bersama menyebabkan Marakarma ditolak oleh nakhoda jatuh ke laut. Puteri Cahaya
Khairani dikurung dan dilindung oleh jurumudi. Marakarma ditelan oleh ikan yu dibawa
terdampar dekat kapal berkenaan. Burung helang meminta Nenek Kebayan membelah ikan
yu dengan daun padi, lalu keluarlah Marakarma. Baginda akhirnya mengetahui bahawa Puteri
Mayang Mengurai, isteri Raja Mengindera itu saudaranya dan Puteri Cahaya Khairani pula
ditangan nakhoda. Nenek Kebayan menjual gubahan bunga kepada Puteri Cahaya Khairani
untuk membuka rahsia di mana suaminya, Marakarma berada. Satu jamuan diadakan oleh
raja untuk meraikan saudagar dan ‘isteri’ yang berakhir dengan tertangkap nakhoda apabila
Marakarma muncul dengan penuh kelengkapan kerana kesaktiannya. Puteri Cahaya Khairani
kembali ke pangkuannya. Terjadilah pertemuan menyayat hati antara sesama mereka dua
beradik; Marakarma dan Puteri Mayang Mengurai (Puteri Nila Kesuma).

Baginda pulang ke negeri Puspa Sari dan mendapati telah ghaib. Menemui ayah dan bonda
semula sebagai ‘Si Miskin’. Puspa Sari dicipta semula dengan hikmatnya. Isteri, adinda yang
bersama suaminya dibawa menemui ayah binda di Puspa Sari.

Musuh tradisi, Maharaja Indera Dewa dari Anta Beranta menyerang Puspa Sari. Tercetuslah
perang besarayng mempamerkan berbagai kesaktian. Marakarma menyeru hadir rakan –
rakannya tujuh anak jin yang ditemui di Tasik Samudera Indera dahulu. Semuanya hadir
membantu perang tanding ini. Maharaja Indera Dewa ditewaskan tetapi meminta nyawa
Puteri Nila Cahaya. Antara rakan yang membantu ialah Raja Bujangga Dewa, saudara Puteri
Cahaya Khairani. Raja Bujangga Dewa dikahwinkan dengan Puteri Nila Cahaya dan
memerintah negeri Anta Beranta. Marakarma menjadi raja negeri mertuanya Mercu Indera
sementara Mengindera Sari pula memerintah negeri asalnya, Pelinggam Cahaya.
Cerita Jenaka
Bodoh-sial (Lebai Malang)

Lebai Malang tidak dapat membuat keputusan yang betul bila beliau dijemput menghadiri
kenduri orang mati, khatam Quran dan kenduri Maulud. Dia terlewat sampai untuk dua
kenduri. Pada kenduri ketiga dia diberi lempeng untuk bekalan pulang. Dalam perjalanan
pulang dia teringatkan nira kabungnya. Ditinggalkan bungkus lempeng di bawah pokok dan
terus memanjat sigai. Lempeng dibawa lari oleh anjing. Semasa kejar mengejar dengan
anjing, bajunya habis hilang dan dia pulang berbogel ke rumah. Dalam kisah Lebai Malang,
perkara-perkara malang yang berlaku pun menimbulkan unsur kelucuannya. Kejenakaan
mengenai Lebai Malang digambarkan dalam gurindam:—
“Ayohai nasib fakir miskin
Dapat sedekah sebungkus lempeng
Habis hilang baju dan kain
Penganan habis dibaham anjing
Penat bekerja tidak terkira
Ke sana ke mari tersera-sera
Punah golok bersama nira
Pulang ke rumah mendapat mara.”
(Lihat m.s. 58 Cerita jenaka oleh R.O. Winstedt dan A.J. Sturrock.)

Anda mungkin juga menyukai