Anda di halaman 1dari 10

Bahagian 1

1.1 Pengenalan

Perkembangan kanak-kanak bermula seawal bayi dan tahap perkembangan mereka


adalah berbeza mengikut umur perkembangan. Kanak-kanak yang mengalami perkembangan
yang normal biasanya mudah diurus oleh ibu-bapa. Namun terdapat juga kanak-kanak yang
tidak menunjukkan tantrum semasa perkembangan mereka seawal usia dua tahun. Walaupun
tantrum boleh mengecewakan mana-mana ibu bapa kerana kurangnya kemahiran mereka
menangani situasi ini, namun sebenarnya ibu-bapa tidak perlu khuatir kerana tantrum adalah
perkara yang normal dalam perkembangan kanak-kanak.

Tantrum adalah perkara biasa semasa tahun kedua perkembangan kanak-kanak,


terutamanya apabila kemahiran bahasa kanak-kanak mula berkembang (Cluxton-keller,
2014). Memandangkan masih terdapat kanak-kanak yang belum dapat mengatakan apa yang
mereka mahu, merasa, atau memerlukan, maka pengalaman ini menyebabkan kanak-kanak
merasa kecewa dan menyebabkan mereka tertekan dan seterusnya menyebabkan tantrum di
kalangan kanak-kanak berlaku. Namun begitu apabila kemahiran bahasa kanak-kanak
bertambah baik, maka kecenderungan tantrums akan menurun (Fetsch & Jacobson, 2013).

Tantrum merupakan satu cara bagaimana kanak-kanak meluahkan atau menunjukkan


rasa kekecewaan mereka kepada ibu bapa mereka (Broder, 2013). Ini disebabkan ibu-bapa
tidak atau kurang memahami apa yang anak mereka kehendaki sehingga menyebabkan
tantrum ini berlaku. Tantrum bisanya berlaku di kalangan kanak-kanak lelaki dan perempuan
yang berumur di antara umur 2 hingga 3 tahun (Fetsch & Jacobson, 2013). Sesetengah kanak-
kanak mungkin sering mengamuk, namun begitu ada juga kanak-kanak yang jarang
memilikinya. Tantrum boleh berlaku apabila anak-anak letih, lapar, atau tidak selesa. Mereka
boleh mengalami krisis kerana mereka tidak boleh mendapatkan sesuatu (seperti mainan)
daripada ibu-bapa mereka dan juga sekiranya mereka tidak dapat melakukan apa yang
mereka mahu (Broder, 2013). Belajar untuk menangani kekecewaan merupakan salah satu
kemahiran yang diperoleh oleh kanak-kanak dari masa ke semasa. Ibu bapa tidak seharusnya
melihat keadaan tantrum ini sebagai bencana sebaliknya berusaha untuk merawat tantrum
sebagai satu peluang bagi mereka meandapatkan pendidikan keibubapaan.
1.2 Teori-Teori Perkembangan Afek, Emosi dan Rangsangan

1.2.1 Teori Perkembangan Kanak-Kanak Jean Piaget

Antara teori yang berpengaruh dalam membicarakan perkembangan moral dan tingkah laku
kanak-kanak adalah daripada Jean Piaget (Zakaria, Ahmad Munawir, & Noranizah, 2012).
Jean Piaget meletakkan perkembangan kanak-kanak kepada empat tahap yang berbeza iaitu:

1) Tahap deria motor (0-2 tahun)

2) Tahap Pra-operasi (2-7 tahun)

3) Tahap pra-operasi konkrit (7-11 Tahun)

4) Tahap formal (12 tahun dan ke atas)

Dalam konteks berkaitan tajuk yang dibincangkan, ia hanya melibatkan tahap pra-
operasi yang mana perkembangan kanak-kanak yang terlibat bermula seawal dua hingga tiga
tahun. Pada tahap perkembangan pra-operasi ini, Piaget menyatakan bahawa penggunaan
bahasa merupakan perkembangan yang sangat penting pada tahap ini (Piaget, 1983).
Sekiranya kanak-kanak tidak dapat mengekspresikan kehendak mereka melalui bahasa maka,
tantrum ini akan berlaku kerana apa yang dikehendaki oleh mereka tidak difahami oleh ibu-
bapa mereka (Syeda Dishari, 2015).

Menurut Piaget juga, pada tahap perkembangan ini, kanak-kanak mempunyai


pemikiran egosentrik yang memberi maksud bahawa apa yang dilihat oleh mereka secara
keseluruhannya hanyalah dari perspektif mereka sahaja (Piaget, 1983). Ini menyebabkan apa
yang mereka kehendaki perlu ditunaikan dan sekiranya kehendak tersebut tidak dapat
ditunaikan maka, kanak-kanak akan merasa kecewa dan marah dan seterusnya menyebabkan
tantrum berlaku (Fetsch & Jacobson, 2013). Menurut Jean Piaget juga, pada tahap ini kanak-
kanak mula membina konsep tentang persekitaran mereka seawal 2 tahun. Piaget menyatakan
bahawa pada peringkat 2 hingga 4 tahun kanak-kanak berada pada tahap pro-konseptual di
mana pada tahap ini mereka tidak dapat menyusun penerangan yang ada dalam pemikiran
mereka memandangkan mereka belum dapat menguasai kemahiran bahasa sepenuhnya
(Piaget, 1983). Ini menyebabkan keadaan tantrum berlaku apabila apa yang mereka ingin
sampaikan kepada ibu-bapa mereka tidak dapat difahami.
1.2.2 Teori Behaviorisme Ivan Pavlov

Teori-teori tingkah laku perkembangan kanak-kanak memberi tumpuan kepada bagaimana


interaksi dan rangsangan terhadap alam sekitar dapat mempengaruhi tingkah laku dan teori-
teori ini adalah berdasarkan kepada teori klasik oleh salah seorang ahli teori Behaviorisme
iaitu Ivan Petrovich Pavlov. Beliau menyatakan bahawa pembelajaran adalah satu proses
pelaziman, di mana hubungan di antara rangsangan luaran dan tindak balas individu boleh
dibina untuk menghasilkan perubahan tingkah laku kanak-kanak yang konsisten. Teori ini
adalah berkaitan dengan tingkah laku yang dapat dilihat. Perkembangan kanak-kanak
dianggap sebagai reaksi terhadap ganjaran, rangsangan, dan peneguhan. Menurut beliau lagi,
pembelajaran kanak-kanak hanya bermula apabila berlakunya tindak balas terhadap
rangsangan luar yang diberikan (Pavlov, 2013). Sekiranya terdapat motivasi ekstrinsik sama
ada positif atau negatif, proses pembelajaran kanak-kanak tersebut akan berlaku secara
berterusan dan akhirnya akan kekal apabila perubahan tingkah laku dapat dibentuk dan
dikekalkan. Dorongan kepada kanak-kanak boleh mewujudkan tingkah laku tertentu
berdasarkan kepada pengalaman yang dialami melalui interaksi serta persekitaran.

Dalam konteks perbincangan tajuk ini, tingkah laku kanak-kanak boleh dipengaruhi
oleh tindak balas ibu bapa terhadap mereka. Kanak-kanak yang berumur dua tahun masih
kurang mahir dalam penggunaan bahasa dan apabila rangsangan atau tindak balas yang
diberikan oleh ibu-bapa mereka adalah positif di mana ibu bapa tahu bagaimana untuk
menangani apa yang dikehendaki oleh anak mereka, maka kanak-kanak akan dapat mengawal
emosi mereka dan seterusnya membentuk sikap positif dalam diri mereka (Cluxton-keller,
2014). Sebaliknya pula bagi kanak-kanak yang menerima rangsangan negatif daripada ibu
bapa mereka apabila kehendak mereka tidak difahami oleh ibu bapa mereka, maka emosi
kanak-kanak akan terjejas dan menyebabkan mereka menjadi marah dan kecewa dan
akhirnya menyebabkan tantrum berlaku. Ini berlaku kerana kanak-kanak memberi tindak
balas terhadap ibu bapa mereka seperti mana ibu bapa mereka memberi rangsangan terhadap
kanak-kanak (Norly, 2010). Maka adalah sangat penting bagi ibu-bapa mendapatkan
pendidikan berkaitan keibubapaan supaya mereka dapat menangani masalah tingkah laku
kanak-kanak yang bermasalah seperti tantrum ini.
Bahagian 2

2.1 Faktor yang Mempengaruhi Tingkah Laku Kanak-Kanak

Terdapat pelbagai faktor yang mempengaruhi tingkah laku kanak-kanak. Di antaranya adalah
faktor diri sendiri, keluarga, persekitaran, rakan sebaya, faktor sekolah dan guru. Antara
masalah tingkah laku yang sering dialami oleh kanak-kanak adalah tingkah laku ganas,
melawan atau ketidakpatuhan, terlalu bergantung pada orang lain serta bersikap pasif. Faktor
diri sendiri lebih merujuk kepada faktor Biologi. faktor genetik yang dimaksudkan adalah
unit-unit baka yang diwarisi oleh ibu bapa kepada anak–anak yang terdapat di dalam
kromosom sel manusia, di mana kerosakan gen boleh membawa kepada masalah jiwa.
Walaupun pembentukan genetik kanak-kanak mempunyai pengaruh terhadap betapa kuatnya
seorang kanak-kanak boleh terjejas terhadap faktor persekitaran dan pengalaman, namun
demikian, pengaruh persekitaran dapat membentuk sama ada genetik tersebuat dapat
dihidupkan atau dimatikan (The National Academies, 2015). Selain faktor biologi, faktor lain
yang disebabkan oleh diri sendiri adalah faktor psikodinamik di mana kanak-kanak
mengalami konflik diri disebabkan oleh tekanan persekitaran yang akhirnya membawa ke
arah sikap murung, hiperaktif dan kesedihan.

Faktor keluarga iaitu ibu-bapa merupakan faktor awal dalam pembentukan peribadi
kanak-kanak. Ibu bapa memainkan peranan penting dalam mencorakkan pendidikan anak-
anak dan membentuk asas-asas perkembangan diri seseorang anak (Zakaria et al., 2012).
Kanak-kanak yang tinggal dalam keluarga yang selalu dan mudah menunjukkan ekspresi
emosi kemungkinan membina pemahaman dengan makna yang berbeza tentang emosi
berbanding dengan kanak-kanak yang dibesarkan dalam keluarga yang mempercayai bahawa
emosi itu perlu dikawal dengan baik (Norly, 2010). Ibu-bapa yang mendidik anak dengan
cara yang positif akan menghasilkan anak-anak yang bersikap positif serta mempunyai nilai
afektif yang tinggi. Manakala kanak-kanak yang dibesarkan dalam keluarga yang bermasalah
di mana ibu-bapa mempunyai masalah sosioekonomi misalnya akan menyebabkan kanak-
kanak dibesarkan dalam persekitaran kurang perhatian ibu-bapa dan akhirnya menyebabkan
kanak-kanak ini menunjukkan sikap negatif dan agresif di sekolah dan seterusnya
menyebabkan mereka mempunyai nilai afektif yang rendah. Status sosioekonomi ibu bapa
(pendapatan, kekayaan atau harta benda, pekerjaan dan pendidikan) memberi kesan dalam
bentuk pembangunan kanak-kanak (Norly, 2010).
Faktor persekitaran juga dapat mempengaruhi tingkah laku kanak-kanak. Faktor-
faktor persekitaran sosial boleh mempengaruhi atau menjadi sumber pembelajaran kepada
proses pembentukan tingkah laku kanak-kanak (Zakaria et al., 2012). Menurut teori tingkah
laku oleh Ivan Pavlov, kanak-kanak akan memberi tindak balas terhadap rangsangan yang
diterima daripada persekitaran. Sekiranya rangsangan yang diterima adalah positif maka,
tindak balas yang diberikan juga adalah positif. Sebaliknya jika rangsangan negatif yang
diterima oleh kanak-kanak adalah negatif maka tindak balas yang diberikan oleh kanak-kanak
juga adalah negatif . Dalam perkembangan emosi kanak-kanak, faktor persekitaran ini dikira
amat penting dalam pembangunan afektif kanak-kanak.

Faktor yang seterusnya yang boleh mempengaruhi tingkah laku kanak-kanak adalah
rakan sebaya. Interaksi di antara rakan sebaya akan dapat mempengaruhi perkembangan
tingkah laku kanak-kanak sama ada positif atau negatif bergantung kepada sikap yang
ditunjukkan oleh rakan sebaya tersebut. Menurut Piaget (1983), moral kanak-kanak lebih
berkembang berdasarkan interaksi kanak-kanak dengan rakan-rakan mereka berbanding
interaksi dengan ibu bapa mereka. Pada peringkat prasekolah misalnya, kanak-kanak sudah
mula belajar bergaul dengan rakan-rakan sebaya. Pergaulan di antara rakan sebaya akan
memberi impak yang besar kepada tingkah laku kanak-kanak (The National Academies,
2015). Sekiranya rakan sebaya menunjukkan nilai dan sikap positif maka kanak-kanak
tersebut akan menjadikan rakan sebaya tersebut sebagai contoh atau model untuk ditiru.
Namun begitu sekiranya kanak-kanak tersebut mempunyai rakan sebaya yang menunjukkan
sikap negatif dan agresif maka tidak mustahil kanak-kanak tersebut akan menjadi seperti
rakan sebayanya kerana menerima rangsangan negatif daripada pergaulan sosial.

Faktor sekolah dan guru juga memainkan peranan yang penting dalam pembentukan
tingkah laku kanak-kanak. Persekitaran sekolah yang kondusif, bersih dan kemas misalnya
akan menyebabkan kanak-kanak berasa selesa dan akan mudah menerima pembelajaran.
Namun begitu, sekiranya persekitaran sekolah adalah tidak kondusif, di mana kanak-kanak
mudah merasa tidak selesa, panas, sempit dengan ruang pembelajaran misalnya akan
menyebabkan kanak-kanak sukar menerima pembelajaran dan akan menunjukkan tingkah
laku negatif seperti marah dan bising sebagai salah satu cara mengekspresikan rasa
ketidakpuasan hati mereka terhadap keadaan persekitaran yang dialami. Guru juga
memainkan peranan penting dalam pembentukan tingkah laku kanak-kanak. Sekiranya guru
menunjukkan contoh yang baik kepada kanak-kanak, maka kanak-kanak tersebut akan
menjadikan guru tersebut sebagai ‘role model’ bagi kanak-kanak tersebut membentuk tingkah
laku positif (Shukri & Teh, 2017). Sebaliknya, guru yang suka menunjukkan sikap negatif
seperti suka memarahi dan mendenda kanak-kanak misalnya akan menyebabkan kanak-kanak
mencontohi sikap guru tersebut dan seterusnya membentuk tingkah laku yang negatif seperti
marah, memberontak dan sebagainya.

Dapat disimpulkan di sini bahawa faktor-faktor yang dinyatakan di atas adalah sangat
penting dalam pembentukan tingkah laku kanak-kanak. Kanak-kanak yang membesar dalam
persekitaran yang positif akan membentuk tingkah laku yang baik dan positif manakala
kanak-kanak yang membesar dalam persekitaran yang negatif akan menyebabkan mereka
membentuk tingkah laku yang negatif yang akhirnya akan membawa kepada masalah
perilaku kanak-kanak. Bagi mengelakkan masalah-masalah ini daripada berlaku, ibu-bapa
khususnya harus memainkan peranan yang positif dalam membentuk tingkah laku kanak-
kanak. Guru-guru juga perlu sentiasa menunjukkan sikap dan nilai yang positif agar dapat
membentuk sikap dan tingkah laku yang positif dalam kalangan kanak-kanak.

2.2 Cara bagi Membangunkan Perkembangan Afektif Kanak-Kanak Prasekolah

Transisi kanak-kanak dari pendidikan di rumah ke pendidikan di prasekolah


menimbulkan perubahan kepada emosi kanak-kanak (Shukri & Teh, 2017). Terdapat pelbagai
cara yang boleh dilakukan oleh guru untuk membangunkan perkembangan afektif kanak-
kanak prasekolah. Di antaranya adalah dengan mengajar kanak-kanak prasekolah dengan
tingkah laku yang baik melalui tindakan atau teladan. Sebagai contoh, guru mengajar kanak-
kanak mengucapkan terima kasih apabila diberikan sesuatu atau apabila diberi pujian.
Ucapan terima kasih pula haruslah diucapkan dengan nada yang lemah lembut.

Selain daripada itu, antara cara lain yang boleh dilakukan bagi membangunkan
perkembangan afektif kanak-kanak adalah dengan tidak menjerit kepada kanak-kanak semasa
sesi pengajaran dan pembelajaran kerana kanak-kanak akan menganggap bahawa menjerit
dan marah adalah salah satu cara yang baik bagi mendapatkan apa yang dikehendaki.
Misalnya guru menjerit kepada kanak-kanak untuk meminta sesuatu daripadanya seperti
buku, maka kanak-kanak akan melihat ia sebagai salah satu cara untuk mendapatkan apa
yang dikehendaki. Maka seorang guru perlu mengelakkan diri dari melakukan perbuatan
menjerit atau marah semasa dalam proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.

Mengikut kepada teori Behaviorisme pula, sesuatu tingkah laku kanak-kanak akan
dipengaruhi oleh rangsangan luaran yang diberikan. Kesan daripada rangsangan tersebut akan
mempengaruhi kebarangkalian sama ada tingkah laku tersebut akan diulangi atau tidak.
Sekiranya tingkah laku tersebut diikuti oleh kesan yang baik, maka kebarangkalian untuk
tingkah laku tersebut diulang adalah tinggi (Pavlov, 2013). Dari perspektif perkembangan
afektif kanak-kanak prasekolah, guru-guru prasekolah boleh melaksanakan satu bentuk
rangsangan yang dikenali sebagai peneguhan. Terdapat dua jenis peneguhan iaitu peneguhan
positif dan peneguhan negatif. Dari segi peneguhan positif, seseorang guru boleh
memberikan ganjaran kepada kanak-kanak apabila mereka menunjukkan perlakuan positif
yang diulangi. Apabila perlakuan positif tersebut diulangi makan ia akan menjadi satu
tingkah laku yang telah diperkuatkan oleh kanak-kanak tersebut (Cluxton-keller, 2014).
Sebagai contoh apabila kanak-kanak mengucapkan terima kasih setelah diajar dan kanak-
kanak tersebut mengulangi ucapan terima kasih dalam situasi yang berbeza, maka tingkah
laku baik tersebut diberikan ganjaran oleh guru tersebut, bukan setakat pujian tetapi ganjaran
berbentuk hadiah yang disukai seperti memberi alat tulis dan pelekat bergambar sebagai
contoh. Antara lain juga adalah dengan juga dengan menggalakkan tingkah laku yang ingin
dilihat oleh guru seperti guru ingin melihat kanak-kanak tersebut belajar untuk makan sendiri.
Dalam situasi ini, guru-guru perlu memberi rangsangan atau peneguhan yang baik seperti
menggalakkan kanak-kanak tersebut untuk makan sendiri dengan memberi pujian. Terdapat
pelbagai jenis peneguhan yang boleh dilaksanakan oleh guru prasekolah dalam membentuk
tingkah laku positif kanak-kanak di antaranya adalah peneguhan konkrit yang melibatkan
hadiah, makanan dan alat permainan. Selain itu adalah peneguhan sosial yang berbentuk
pujian, senyuman dan perhatian. Peneguhan aktiviti pula melibatkan peneguhan dengan cara
melaksanakan aktiviti sekiranya tingkah laku positif dapat dilihat seperti kanak-kanak
dibenarkan bermain, menonton televisyen dan berkelah serta melakukan lawatan misalnya.

Peneguhan negatif pula adalah satu bentuk rangsangan yang tidak menyenangkan atau
menyakitkan yang dihapuskan setelah sesuatu tingkah laku ditunjukkan. Sebagai contoh
seseorang guru akan berhenti berleter kepada kanak-kanak apabila mereka berhenti membuat
bising atau berlari di sekeliling kelas yang mana tingkah laku ini merupakan satu bentuk
gangguan kepada persekitaran pembelajaran. Walau bagaimanapun, peneguhan negatif ini
hanya perlu dilaksanakan sekiranya peneguhan positif gagal dilaksanakan. Ini mungkin
disebabkan faktor latar belakang sosioekonomi kanak-kanak yang sudah biasa dibesarkan
dalam persekitaran kekeluargaan yang bermasalah menyebabkan guru gagal menerapkan
nilai afektif melalui peneguhan positif. Sebagai contoh, kanak-kanak yang dibesarkan dalam
keluarga berpendapatan rendah yang mana ibu-bapa mereka sukar dalam memenuhi
keperluan kanak-kanak, hidup dalam situasi tertekan serta sentiasa risau, menyebabkan
mereka selalu menggunakan pendekatan hukuman kepada anak-anak mereka serta
melaksanakan gaya autoritarian serta kurang memberi sokongan dalam pembangunan anak-
anak mereka menyebabkan kanak-kanak mempunyai masalah tingkah laku (Norly, 2010).

Selain daripada itu, guru juga perlu memainkan peranan dalam memotivasikan kanak-
kanak. Ini akan dapat membantu meningkatkan perkembangan afektif mereka. Sebagai
contoh, guru memotivasikan kanak-kanak untuk melakukan sesuatu yang bermoral bagi
mengelakkan hukuman (Zakaria et al., 2012). Selain daripada itu kanak-kanak perlu diajar
mengenai peraturan dan undang-undang yang perlu mereka ikuti terutamanya apabila mereka
melakukan sesuatu yang menyeronokkan seperti bermain. Pada peringkat ini, kanak-kanak
perlu menyedari kepentingan orang lain yang walaupun keseronokan tersebut melibatkan diri
kanak-kanak tersebut. Dengan adanya peraturan dan undang-undang yang dibentuk oleh guru
ini, maka kanak-kanak akan belajar untuk tidak mementingkan diri sendiri dan secara tidak
langsung akan mendidik mereka untuk mempunyai sikap bekerjasama dalam satu kumpulan.
Ini merupakan satu cara yang berkesan dalam membantu kanak-kanak prasekolah
membangunkan perkembangan afektif mereka.

Dapat disimpulkan secara keseluruhannya bahawa peringkat awal kanak-kanak adalah


satu peringkat perkembangan yang sangat penting di mana pada peringkat ini, tingkah laku
kanak-kanak sudah boleh dibentuk. Adalah sangat jelas bahawa perkembangan moral dalam
kalangan kanak-kanak prasekolah adalah berdasarkan pada prinsip yang universal yang
dikembangkan melalui pelbagai tahap yang tidak hanya bergantung pada keadaan individu itu
dibesarkan tetapi juga disebabkan oleh faktor-faktor persekitaran yang lain (Richard dan
Carol 2000). Pembentukan tingkah laku kanak-kanak akan dapat mencorakkan keperibadian
mereka apabila mereka menjadi dewasa nanti. Justeru, langkah awal perlu dilakukan oleh ibu
bapa dan guru untuk membantu kanak-kanak membuat penyesuaian tingkah laku agar mereka
dapat berkembang secara normal (Shukri & Teh, 2017).

(2,504 patah perkataan)


Rujukan

Broder, L. (2013). Individual Differences in Toddlers ’ Temper Tantrums : The Role of


Language and Self- Regulation.

Cluxton-keller, F. (2014). Characteristics of in Preschoolers with Disruptive Behavior,


(January). https://doi.org/10.3928/02793695-20140110-02

Fetsch, R. J., & Jacobson, B. (2013). Children ’ s Anger and Tantrums, (10), 13–15.

Norly, J. (2010). TINGKAH LAKU EMOSI KANAK-KANAK, (November), 8–10.

Shukri, K., & Teh, M. (2017). TAHAP PENYESUAIAN TINGKAH LAKU KANAK-
KANAK TADIKA YAYASAN ISLAM TERENGGANU ( Level of Children
Behavioural Adjustment Terengganu Islamic Foundation Kindergarten ) ( Level of
Children Behavioural Adjustment Terengganu Islamic Foundation Kindergarten ),
(June).

Pavlov, I. P., & Anrep, G. V. (2003). Conditioned reflexes. Courier Corporation.

Piaget, J. (1983). Piaget's theory. P. Mussen (ed). Handbook of Child Psychology. 4th
edition. Vol. 1. New York: Wiley.

Richard Fabes & Carol Lynn Martin. 2000. Exploring Child Development: Transactions and
Transformations. United States of America: Allyn & Bacon A Pearson Education
Company.

Syeda Dishari, B. (2015). Piaget’s Pre-operational Stage in Children: A Comparative Study,


(August).

The National Academies, S. E. M. (2015). Child Development and Early Learning: A


Foundation for Professional Knowledge and Competencies.

Zakaria, S., Ahmad Munawir, I., & Noranizah, Y. (2012). ( Social Environmental Factors and
Their Relation to Identity Formation ), 155–172.

Anda mungkin juga menyukai