Anda di halaman 1dari 18

PERUBAHAN KELUARGA & KESANNYA

Perubahan keluarga dibincangkan dalam dua bahagian, bahagian pertama meneliti


faktor yang membawa atau mempengaruhi perubahan keluarga, dan bahagian
kedua, bidang utama perubahan keluarga tersebut. Dalam perbincangan ini saya
merujuk kepada perubahan yang berlaku pada institusi keluarga Melayu dengan
menurunkan contoh-contoh berkaitan dengannya.
Faktor Perubahan Keluarga
Seperti yang saya nyatakan pada awal tadi, perbincangan tentang perubahan
keluarga ini mengambil premis bahawa proses pembaharuan dalam masyarakat
akan membawa kesan kepada sistem-sistem masyarakat yang merupakan
komponen masyarakat tersebut. Di sini saya melihat proses pembaharuan
(pemodenan) yang berlaku dalam masyarakat Melayu dan kesannya ke atas sistem
keluarga. Proses pembaharuan itu merangkumi bidang yang luas, terpenting dalam
konteks ini seperti yang saya katakan adalah pembangunan ekonomi termasuk
perindustrian, perbandaran, dan perkembangan pendidikan.
(i) Pembangunan Ekonomi
Perubahan keluarga mempunyai hubungan rapat dengan dasar dan strategi
pembangunan ekonomi negara, baik di sektor bandar maupun di luar bandar.
Pembukaan rancangan tanah (Felda) yang menempatkan beribu-ribu petani di
tanah rancangan, misalnya membawa kepada perpindahan keluarga, dan
perpindahan ini adalah perpindahan tetap kerana mereka yang menerokai tanah
rancangan itu tidak akan pulang lagi untuk tinggal bersama keluarga di kampung
asal. Selain itu, perkembangan teknologi moden di sektor pertanian juga
menjejaskan organisasi tenaga kerja di peringkat keluarga. Pada satu masa dulu
tenaga kerja keluarga, termasuk tenaga isteri dan anak-anak digemblingkan dalam
proses pengeluaraan, dan hasilnya adalah dikira sebagai hasil bersama. Kini,
keluarga Melayu luar bandar tidak lagi menjadi unit pengeluaran ekonomi.
Sebahagian besar daripada anggota keluarga (khususnya anak-anak) tidak lagi
menjalankan pekerjaan di sektor tradisi, dan masing-masing pula mempunyai
pendapatan sendiri yang tidak lagi dikongsi bersama.
Dasar ekonomi negara (contohnya DEB) yang menggalakkan penglibatan orang
Melayu dalam ekonomi moden (di bandar) juga membawa implikasi yang sama
dengan apa yang dibincangkan di atas. Dasar ini dengan secara sedar dilancarkan
untuk mengalih pelibatan orang Melayu supaya tidak terus mewarisi pekerjaan
tradisi mereka di luar bandar. Anak-anak yang berpendidikan dari satu keluarga,
dan yang mendapat latihan untuk mengisi pelbagai peluang pekerjaan di sektor

moden tersebut akan akhirnya menjalankan pekerjaan yang begitu rancam


bentuknya. Kediaman mereka juga begitu tersebar (disperse) antara satu sama lain.
Kesannya adalah sama seperti yang dibincangakan di atas, iaitu kelunturan sistem
keluarga dilihat dari segi perpaduan keluarga yang terjejas, ketidaksamaan
kedudukan sosio-ekonomi, kerenggangan hubungan kekeluargaan dan amalan
kekeluargaan yang berbeza-beza.
Pelibatan penduduk Melayu di sektor moden dihubungkan dengan proses
perindustrian. Saya mengambil pendirian bahawa proses perindustrian itu adalah
proses perubahan ekonomi tradisi dari yang bercorak pertanian (agricultural)
kepada ekonomi moden yang bercorak bukan-pertanian (non-agricultural). Kegiatan
ekonomi bukan-pertanian itu tidak semata-mata berthabit dengan aktiviti
perindustrian per se tetapi merangkumi segala kegiatan bukan-pertanian yang
terdapat di sektor moden, khususnya di bandar. Ini termasuk segala kegiatan dalam
bidang pembuatan (manufacturing) perniagaan (commercial), perkhidmatan
(services), pengangkutan (transport), dan lain-lain kegiatan sokongan yang terdapat
di sector moden tersebut (Nel Anderson, 1963)
Kegiatan ekonomi di sektor moden ini memerlukan kemahiran, kecekapan dan
persediaan khusus dari segi teknik, rutin, dan falsafah yang selaras dengan
tuntutan ekonomi moden tersebut. Kecekapan dan kemahiran serta perkara yang
berkaitan ini tidak dapat dibekalkan oleh institusi keluarga. Ini berbeza dengan
kegiatan ekonomi primary iaitu pertanian, perikanan dan perhutanan yang tidak
memerlukan pembelajaran khusus selain ibu bapa melatih secara informal anakanak mereka dengan keamahiran asas bagi mewarisi pekerjaan di sektor ekonomi
tradisi berkenaan.
Dalam konteks memenuhi tuntutan ekonomi moden, institusi keluarga terpaksa
menyerahkan fungsi utamanya khususnya fungsi ekonomi dan pendidikan kepada
agensi luar keluarga. Walaupun pencapaian (ekonomi) pada umumnya telah
meningkat akibat proses pembezaan struktur (structural differentiation), tetapi
akibatnya institusi keluarga itu telah menjadi terpinggir, dan tidak lagi produktif dari
segi ekonomi (non-productive economic unit). Bagi keluarga yang tidak mampu
menyediakan segala kemudahan kepada anak-anak untuk melengkapkan diri
dengan tuntutan ekonomi perindustrian moden (disebabkan terperangkap dalam
kemiskinan dan kejahilan), akan berdepan dengan situasi di mana anak-anak
mereka juga menjadi golongan yang terpinggir dalam arena pembangunan yang
menjanjikan pelbagai faedah dan kekayaan itu. Kejayaan dalam peperiksaan STPM
misalnya belum lagi menjaminkan tempat di IPTA kerana persaingan atas dasar
merit. Hasrat untuk meneruskan pengajian di IPTS juga tidak tercapai kerana kos
pengajian yang tinggi. Akibatnya, wujud keadaan serakberai bukan sahaja di
peringkat macro (masyarakat) seperti pengangguran, jenayah dsb., tetapi lebih
buruk di peringkat micro (keluarga). Kes-kes penyalagunaan dadah yang meruncing
di kalangan remaja Melayu (termasuk di kawasan luar bandar, misalnya di

rancangan tanah Felda) sebahagiannya berpunca daripada perkembangan yang


berlaku ini.
(ii) Perbandaran
Perbandaran dilihat dari tiga aspek utama iaitu: penghijrahan ke bandar, pertukaran
pekerjaan dari pertanian kepada bukan-pertanian (telah dibincangakan di atas), dan
mengamalkan cara hidup bandar. Ketiga proses ini berlaku secara serentak dan
saling bertautan antara satu sama lain.
Perpindahan ke bandar melibatkan pergerakan penduduk dari kawasan luar bandar
ke bandar. Dalam perkembangan masa kini pergerakan penduduk dari luar bandar
ke bandar adalah bermotifkan ekonomi. Kegiatan ekonomi perindustrian di sektor
bandar menjanjikan pulangan ekonomi yang tinggi (5 kali ganda), lantaran itu
menjadi tarikan kepada penduduk miskin di luar bandar untuk mengubah nasib diri
mereka di bandar. Namun demikian, jika datang ke bandar dengan hanya berbekal
pengetahuan dan kemahiran yang minima, maka kekayaan yang dimimpi itu akan
tinggal mimpi sahaja. Ini yang berlaku di kebanyakan negara membangun termasuk
Malaysia, di mana kadar penghijrahan ke bandar yang tinggi akan menyebabkan
berlakunya perpindahan kemiskinan dari luar bandar ke bandar. Manifestsinya ialah
dengan wujudnya kawasan setinggan dan kawasan perumahan sesak dan tak
bermutu. Kawasan seperti ini menjadi tempat membiaknya jenayah, penagihan
dadah, dan pelbagai kegiatan anti-sosial.
Kediaman di bandar yang sempit dari ruang (misalnya, unit rumah pangsa satubilik) ditambah dengan kekurangan prasarana dan kemudahan asas, mewujudkan
tekanan kepada keluarga. Ini membawa kepada pelbagai kepincangan dan
ketegangan dalam kehidupan keluarga terutama yang melibatkan remaja,
contohnya kewujudan gejala sosial seperti budaya lepak, berpoya-poya, salahlaku
seksual, penyalahgunaan dadah, dll.
Bandar mempunyai struktur sosial yang berbeza dengan luar bandar.
Ketidakseragaman dari segi penduduk, agama, cara hidup, indifference masyarakat
dan jiran, darjah individualisma yang tinggi, persaingan, perpaduan yang longgar,
perhubungan sosial bercorak segmental dan sementara, dll., mengakibatkan
masyarakat dan keluarga bandaran terumbang ambing melayari hidup mengikut
nafsu-nafsi masing-masing. Tanpa sistem sokongan daripada mana-mana pihak
secara ikhlas dan khusus, terutamanya dari sanak saudara dan kaum keluarga
menjadikan keluarga tersebut lemah dan mudah terancam (vulnerable) oleh faktor
luaran yang tidak menentu sifatnya itu. Walaupun masyarakat Melayu bandaran
cuba mempertahankan ciri-ciri kehidupan luar bandar dengan menghidupkan
amalan tradisi seperti gotong royong, menganjurkan majlis agama, mengadakan
rumah terbuka pada hari raya dll, amalan-amalan ini lebih bersifat formal selaras
dengan corak kehidupan bandaran moden yang tidak bersasaskan cara hidup
keMelayuan. Orang Melayu di tengah medan kosmopolitan yang tidak

bertunjangkan cara hidup Melayu akan mudah bertukar sifat dan amalan
kekeluargaannya. Tidak kurang amalan ini bercanggah dengan ketetapan agama
(Islam) dan budaya Melayu. Ini termasuk pergaulan bebas antara lelaki dan
perempuan, bersekedudukan tanpa nikah, pemilihan pasangan sejenis, sumbang
mahram, berpakaian menjolok mata, menggunakan bahasa percakapan yang kasar,
tidak menghormati orang tua, dll. Sikap masyarakat bandaran yang tidak mahu
menjaga tepi kain orang, berserta dengan kawalan sosial sekunder (secondary
social control) yang tidak efektif, dan dengan terdapat banyak cara dan tempat
untuk berselindung dari pengetahuan umum, menyebabkan amalan negatif dan
gejala sosial bercambah dan membiak di bandar.
Petikan Akhbar
KUALA LUMPUR: Kebanyakan rakyat negara ini hilang dara atau teruna menjelang
usia 22 tahun, sebelum kebanyakan mereka melangkah ke gerbang perkahwinan.
Secara keseluruhan, kebanyakan rakyat Malaysia mengadakan hubungan seks
sebelum kahwin, kata Profesor Madya Dr Lekhraj Rampal dari Universiti Putra
Malaysia, yang tahun lepas mengetuai satu kajian risiko perlakuan yang boleh
membawa kepada jangkitan HIV. Kajian itu mendapati 75 peratus atau 14,121
daripada 18,805 responden yang ditemui adalah aktif seks, di samping
menunjukkan 8.4 peratus pernah mengadakan hubungan seks ketika berusia 15
tahun.Bagi mereka yang berusia 16 hingga 18 tahun, 34 peratus mengaku
mempunyai pengalaman seks. Apa yang dapat dikatakan, kebanyakan rakyat
Malaysia tidak mahu membicangkan pengalaman seksual mereka, walaupun
masyarakat sudah agak terbuka berhubung perkara ini, katanya.Kajian itu turut
mendedahkan bahawa 22 peratus responden mendapatkan perkhidmatan seks
daripada aktiviti pelacuran atau gemar bertukar pasangan yang meliputi tidur
semalaman, sepanjang tempoh 12 bulan kajian berkenaan. (Berita Minggu 31 Julai
2005)
(iii) Perkembangan Pendidikan.
Perkembangan pendidikan, khususnya pendidikan sekular membawa beberapa
implikasi (positif dan juga negatif) kepada keluarga. Seperti yang telah dinyatakan
di atas, sektor ekonomi moden memerlukan tenaga kerja yang mahir dan
berkebolehan dalam bidang industri, perdagangan, komersial, perkhidmatan,
perubatan, dan sebagainya. Kesanya ialah anak-anak akan meninggalkan keluarga
induk mereka untuk memasuki pusat pengajian tinggi sama ada di dalam tau di luar
negara. Malah, ada yang meninggalkan keluarga sejak berumur 12 tahun apabila
memasuki sekolah asrama penuh, dan seterusnya insitusi pengajian tinggi. Apabila
bekerja, mereka tidak juga tinggal berdekatan dengan keluarga. Tempat tinggal
mereka bertaburan di merata tempat, ada yang dekat dan tidak pula yang
berjauhan dari keluarga. Lantarannya, hubungan kekeluargaan akan menjadi
renggang, dan dalam banyak kes dan keadaan, ada di kalangan sanak saudara
dekat (misalnya di kalangan sepupu) yang tidak mengenali antara satu sama lain.

Anak-anak yang terpelajar ini tidak lagi mewarisi pekerjaan tradisi ibu bapa mereka.
Mobiliti inter-generasi (inter-generational mobility) akan berlaku apabila pekerjaan
mereka itu mendatangkan pendapatan berlipat gali ganda banyaknya daripada
pendapatan ibu bapa. Sehubung dengan itu profesyen di kalangan anak-anak juga
berbeza antara satu sama lain, bergantung kepada tahap pencapaian pendidikan
mereka. Ada yang menjawat jawatan bertaraf tinggi, dan ada pula yang sebaliknya.
Ada yang hidup mewah dan kaya raya, dan ada pula yang hidup miskin. Ada yang
tinggal di banglo besar dengan segala kemudahan, dan ada pula yang menjadi
penghuni kawasan setinggan. Sedikit sebanyak karenggangan perhubungan akan
berlaku di antara adik beradik seibu sebapa ini berpunca daripada perbezaan taraf
kedudukan dan gaya hidup antara mereka. Sebagai ibu bapa pula, mereka akan
mengalir air mata melihat anak-anak mereka, yang pada satu masa dulu bergaul
mesra serta menghadapi senang susah bersama, akan akhirnya mempunyai nasib
yang berbeza, kerana kasih sayang ibu bapa terhadap anak-anak itu semuanya
sama.
Pendidikan membuka minda, menjana perkembangan intelek, dan merombak
fahaman dan sikap lama. Generasi muda yang mendapat pendidikan sekular
mempunyai orientasi nilai yang agak berbeza daripada apa yang didokong oleh
generasi tua, dengan demikian mereka mempunyai pandangan dan sikap yang juga
berbeza. Di sini akan wujud kesenjangan generasi atau generation gap.
Kesenjangan generasi yang wujud antara dua generasi (iaitu generasi ibu bapa dan
anak) atau antara tiga generasi (iaitu generasi datuk/nenek, generasi ibu bapa, dan
generasi cucu) pada keadaan dan aspek tertentu membawa kepada amalan
kehidupan keluarga yang berbeza (contohnya, dalam perkara berkaitan dengan
memilih pasangan hidup, kediaman selepas berkahwin, proses sosialisasi dan
didikan anak-anak, peranan kahwinan, dsb). Malah, kesenjangan generasi ini tidak
kurang membawa kepada pergeseran dan konflik keluarga. Gejala sosial seperti lari
dari rumah, berlepak, berpoya dan menghabiskan masa dengan teman
sebaya/setara (peer group), dll., adalah antara manifestasi kesenjangan yang
dimaksudkan.
Bidang Perubahan Keluarga
Perubahan keluarga berlaku dalam empat bidang utama: (i) bentuk keluarga, (ii)
fungsi keluarga, (iii) peranan kahwinan (conjugal roles), dan (iv) perhubungan
kekeluargaan. Ada aspek-aspek tertentu dalam perbincangan di bahagian ini yang
berkaitan rapat dengan perbincangan tentang faktor perubahan keluarga di atas.
Seperti yang dinyatakan, pada umumnya saya merujuk kepada orang Melayu dan
institusi keluarga Melayu.
(i) Bentuk Keluarga
Ditinjau dari segi bentuk, kelaziman keluarga yang wujud pada masa ini dan
merupakan bentuk yang popular terutama di bandar-bandar adalah keluarga asas

(nuclear family) dianggotai oleh pasangan suami isteri serta anak-anak mereka.
Satu kajian oleh Pusat Penyelidikan Pembangunan Wanita (KANITA) Universiti Sains
Malaysia (USM) ke atas 5,000 wanita seluruh negara mendapati 92.7 peratus
keluarga adalah keluarga asas. Majoriti keluarga yang ditemu bual lebih memberi
keutamaan membentuk keluarga asas yang bersaiz kecil berbanding keluarga besar
(extended family)[ http://jkm.selangor.gov.my/artikel1.htm].
Oleh kerana tiada kehadiran orang lain seperti datuk atau nenek dalam keluarga
atau kehadiran mereka hanya sementara sahaja, maka keluarga asas ini lebih
berdikari sifatnya. Kestabilan keluarga banyak bergantung kepada sejauhmana
wujudnya kesafahaman dan kesesuaian hubungan kahwinan antara pasangan
suami isteri. Ini pula bergantung kepada sejauhmana pula perasaan cinta dan
kasih sayang antara mereka masih wujud dan masih dipertahankan. Keluarga asas
sedemikian disebut keluarga asas kahwinan (conjugal nuclear family).
Dari satu segi, keluarga asas kahwinan ini adalah baik dan popular kerana
pasangan suami isteri bebas mengatur kehidupan keluarga mereka sendiri tanpa
dipengaruhi dan diganggui oleh sistem keluarga luas (ibu bapa), tetapi di sudut lain
ia dianggap rapuh (fragile) dan mudah runtuh kerana tidak mempunyai sistem
sokongan daripada keluarga luas. Kes keganasan rumahtangga, pengabaian isteri
dan anak-anak, deraan isteri, deraan suami (dari segi mental terutamanya), deraan
anak-anak, dan kes-kes perceraian adalah antara contoh yang menunjukan keadaan
serak berai (disorganization) serta kerapuhan sistem keluarga asas kahwinan ini.
Berkurangnya sistem sokongan daripada keluarga luas sebahagian besarnya
berpunca daripada cara keluarga itu dibentuk. Pada masa ini kebanyakan keluarga
dibentuk atas dasar pilihan sendiri yang lahir daripada pertemuan dan perkenalan
muda mudi semasa belajar, atau semasa mereka bekerja. Campur tangan ibu
bapa dalam pemilihan jodoh adalah minima, kalau ada pun dalam urusan
peminangan dan perkahwinan sahaja yang dilakukan mengikut ketetapan adat. Bagi
yang bekerja, wang hantaran dan keperluan-keperluan lain, disediakan sendiri
tanpa bergantung kepada ibu bapa. Kadang-kadang wang hantaran itu dikumpul
bersama oleh pasangan yang akan berkahwin tersebut.
Selain itu, perkahwinan muda mudi kini lebih mementingkan kesesuaian
perhubungan antara dua individu sahaja dan tidak sangat mementingkan
kesesuaian perhubungan antara dua kelompok keluarga, iaitu ibu bapa dari keduadua belah pihak. Oleh kerana bebas mencari jodoh sendiri, faktor-faktor seperti
ikatan kekeluargaan, latar belakang keluarga, kedudukan ekonomi dan taraf sosial
keluarga, kawasan kediaman dan negeri, agama dan lain-lain bukan lagi menjadi
pertimbangan utama dalam pemilihan jodoh. Akibatnya, tidak atau kurang wujud
kesesuaian dan kerjasama antara kelompok keluarga tersebut. Pasangan yang
berkahwin itu menghadapi tekanan dan juga masalah, khususnya yang berkaitan
dengan keharmonian perhubungan mertua-menantu dan juga dalam perhubungan
sesama besan. Konflik kahwinan (conjugal conflict), jika timbul, terutama sekali

pada peringkat awal perkahwinan tidak dapat dibendung atau ditenteramkan oleh
pihak ketiga (dengan menyediakan sistem sokongan yang diperlukan). Ini
meupakan salah satu faktor yang membawa kepada serakberai keluarga (family
diorganization) yang dinyatakan.
Oleh kerana mengambil masa yang agak panjang untuk melengkapkan diri dengan
kemahiran serta kepakaran yang diperlukan bagi memenuhi tuntutan pekerjaan di
sektor moden, sebahagian besar daripada keluarga masa kini dibentuk oleh
pasangan yang matang dan agak berumur. Dari satu segi, ini merupakan sesuatu
yang baik kerana pasangan itu dapat menghadapi alam rumah tangga dengan lebih
bersedia baik dari segi material atau pun dari segi emosi. Akan tetapi, dari sudut
yang lain pula, didapati keluarga yang dibentuk oleh pasangan yang telah
berumur, terutama bagi isteri tidak dapat menjalankan fungsi pembiakan
(procreative function) dengan berkesan kerana isteri yang telah melewati had umur
tertentu (35 tahun) tidak lagi digalakkan untuk mengandung dan melahirkan anak.
Pasangan yang lewat berkahwin juga terpaksa menanggung beban penjagaan dan
pendidikan anak-anak hingga pada peringkat mereka bergelar warga emas. Pada
peringkat umur sebegini, mereka kurang tenaga dan upaya untuk membendung
anak-anak yang masih muda dan mentah itu daripada terjebak dalam gejala sosial
yang dinyatakan di atas.
(ii) Fungsi Keluarga
Akibat pembezaan struktur (structural differentiation), kebanyakan daripada fungsi
keluarga moden telah diambilalih atau diserahkan kepada bebeberapa agensi luar
keluarga. Dengan pelucutan fungsi ini, keutuhan keluarga moden (termasuk
keluarga Melayu moden) telah terjejas. Untuk syarahan ini saya hanya
menumpukan perhatian kepada dua fungsi utama keluarga, iaitu fungsi ekonomi,
dan fungsi pendidikan. Saya berpendapat kedua-dua fungsi ini ada kaitan rapat
dengan topik perbincangan.
Seperti telah disebutkan, dalam keadaan yang berubah, keluarga tidak lagi
bertindak sebagai satu unit ekonomi (baik di peringkat pengeluaran atau di
peringkat penggunaan). Oleh kerana wujudnya pelbagaian kegiatan ekonomi
(diversification of economic activities) anggota keluarga tidak lagi terlibat dalam
pekerjaaan yang sama. Pendapatan yang diterima daripada pekerjaan yang
dilakukan itu juga berbeza. Ini membawa kepada keadaan di mana keluarga tidak
lagi dapat menggemblengkan semua tenaga anggotanya dalam proses
pengeluaran, dan juga tidak lagi dapat menyatukan semua hasil dan juga
pendapatan untuk dikongsi bersama. Kini suami dan isteri tidak boleh saling bantu
dalam pekerjaan, begitu juga tenaga anak-anak tidak boleh digunakan dalam
proses pengeluaran tersebut. Justeru itu, sesiapa sahaja yang tidak dapat
menyumbangkan tenaga dalam pekerjaan atau tidak dapat menghasilkan
pendapatan, dianggap sebagai tanggungan (liabilities). Jika ramai tanggungan,
maka lebih berat yang perlu dipikul oleh keluarga. Dalam konteks ini, didapati

keluarga yang kecil (dari segi saiz keanggotaan dan bilangan anak) yang tidak
membebankan dari segi ekonomi adalah menjadi bentuk yang popular.
Akibat daripada menjalankan pekerjaan yang berbagai-bagai atau tidak terlibat
dalam pekerjaan yang sama, maka perasaan harap mengharap serta bantu
membantu di kalangan anggota keluarga, kian berkurangan. Malah, ada yang
begitu berkira hingga timbulnya amalan, bapa berhutang dengan anak (dan
sebaliknya) atau suami berhutang dengan isteri (dan sebaliknya). Jadi, tidak hairan
jika kita selalu dengar bahawa pergeseran keluarga dan konflik rumah tangga
sering berpunca dari keadaan yang disebutkan ini.
Apabila isteri turut terlibat dalam pasaran buruh di luar keluarga, maka tugas
ekonomi beliau dalam lingkungan keluarga akan terabai. Bagi yang mampu, tugas
itu diserahkan kepada orang lain untuk menjalankannya, misalnya dengan
mengambil pembantu rumah. Oleh kerana tugas mengurus rumah tangga ini secara
tradisinya dihubungkan dengan kaum wanita, maka isteri kerjaya terpaksa juga
menjalankan tugas ini apabila pulang dari kerja. Walau pun dalam keadaan tertentu
suami turut membantu, tetapi bebannya lebih berat dipikul oleh isteri. (Hoffman,
1963).
Jika pun isteri tidak terlibat dalam pasaran buruh, tugas domestik beliau adalah juga
berat. Disebabkan tinggal terpisah daripada sanak saudara, keluarga asas kahwinan
(conjugal nuclear family) tidak mudah atau tidak mungkin mendapat bantuan
tenaga dalam urusan rumah tangga seperti yang lazim berlaku dalam sistem
keluarga luas. Jika tidak mampu dari segi kewangan untuk mengambil pembantu,
seluruh tugas urusan rumah tangga diserahkan kepada isteri tersebut. Beban yang
ditanggung serta tekanan yang dihadapi oleh isteri berkenaan akan dizahirkan
melalui berbagai-bagai cara membantah seperti pengabaian tugas sebagai isteri
dan ibu, deraan ke atas anak-anak, atau, dalam keadaan ekstrim, melalui
perceraian.
Petikan Akhbar:
Ikatan keluarga Kian rapuh Peningkatan kes perceraian yang berlaku di negara ini
dikhuatiri akan menjadi ikutan kepada pasangan yang baru mendirikan rumah
tangga.Jumlah kes perceraian dilaporkan meningkat seratus peratus setiap tahun
disebabkan kegagalan pasangan memahami keperluan institusi keluarga yang
sebenar. Pada masa ini seramai 100,000 pasangan Islam dan 60,000 pasangan
bukan Islam mendirikan rumah tangga setiap tahun.Daripada jumlah itu sebanyak
1,000 hingga 3,000 kes perceraian dilaporkan setiap tahun meliputi pelbagai latar
belakang kaum dan agama. Permasalahan tersebut turut menarik perhatian
Setiausaha Parlimen Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Beliau bimbang jika suatu hari nanti perceraian dianggap sebagai satu aliran atau
trend yang menjadi ikutan pasangan yang baru berumah tangga. Katanya,
sesetengah pasangan menjadikan perceraian sebagai jalan keluar untuk lari

daripada masalah rumah tangga, bukannya berusaha untuk menyelesaikan


masalah tersebut. Perkembangan ini jelas mencerminkan bahawa ikatan
kekeluargaan di kalangan masyarakat kita semakin rapuh mungkin kerana ibu bapa
masing-masing sibuk bekerja, katanya. Beliau berkata, cara hidup yang semakin
mementingkan kebendaan banyak mengubah maksud keluarga itu sendiri.Ini
katanya, termasuk isu penceraian yang seolah-olah tidak membawa sebarang
makna kepada pasangan yang berumah tangga. Nilai-nilai kekeluargaan yang ada
kini semakin berubah. Kalau dulu payah sangat kita hendak lihat orang bercerai,
kini kita akan dengar seolah-olah ia bukan perkara penting dalam hidup, katanya
ketika merasmikan pameran Wadah Keluargaku 05, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
(Utusan Malaysia 12 Ogos 2005)
Selain fungsi ekonomi, keluarga masa kini juga tidak dapat menjalankan fungsi
pendidikan dan sosialisasi seperti keadaan tradisi. Pendidikan yang dimaksudkan di
sini bukanlah pendidikan formal sepertimana diajar di sekolah, tetapi sesuatu yang
bercorak progresif melibatkan seluruh proses sosialisasi. Dalam soal ini
kepentingan parenting tidak dapat dipertikaikan bagi perkembangan fizikal,
intelek, emosi dan juga perkembangan sosial seseorang kanak-kanak (Popenoe,
1967). Anak-anak yang dididik dengan sempurna oleh ibu bapa, bukan sahaja
akan menjadi anggota masyarakat yang berguna, tetapi akan mempunyai ikatan
emosi dan sentimen yang kuat terhadap ibu bapa mereka.
Apabila kedua-dua ibu bapa berkerja, mereka terpaksa bergantung kepada agensiagensi seperti baby-sitter, dan pembantu rumah untuk menjaga dan mendidik
anak. Ini tidak akan menjaminkan yang anak-anak itu terdidik mengikut kemahuan
ibu bapa. Nilai-nilai (budaya) yang didokong oleh keluarga tidak dapat
diperturunkan kepada anak-anak tersebut. Keadaan seperti ini jika berterusan
bukan sahaja akan merenggangkan hubungan antara ibu bapa dan anak-anak
hingga menjejaskan perasaan kasih sayang antara mereka, tetapi juga akan
menggugat keutuhan keluarga itu sendiri. Dalam sistem keluarga luas, perkaraperkara ini dapat dikurangkan atau sedikit sebanyak dapat dielakkan kerana
anggota keluarga yang lain misalnya datuk, nenek, ibu saudara dan sebagainya
turut membantu menjaga atau mengasuh anak-anak semasa ibu bapa mereka
keluar berkerja.
(iii) Peranan Kahwinan
Peranan kahwinan (conjugal roles) adalah peranan yang dijalankan oleh pasangan
suami isteri. Lazimnya pembahagian peranan kahwinan ini dibuat atas dasar
gender, lelaki menjalankan peranan instrumental sebagai pencari nafkah keluarga,
dan wanita pula menjalankan peranan ekspresif sebagai pengurus rumahtangga.
Namun demikian, dalam keadaan yang berubah ekoran daripada proses pemodenan
(terutama perkembangan pendidikan) ramai wanita turut terlibat dalam pasaran
buruh menjalankan peranan di luar keluarga yang pada satu masa dulu menjadi
monopoli kaum lelaki. Di Malaysia, pelibatan kaum wanita, termasuk wanita Melayu

menjadi kian meluas dan peratusannya kian meningkat dari setahun ke setahun.
Wanita Melayu hari ini terlibat dalam berbagai-bagai pekerjaan terutamanya dalam
bidang pendidikan dan perkhidmatan.
Kemasukan wanita ke dalam pasaran buruh di luar keluarga bukan sahaja
membawa perubahan kepada struktur keluarga, tetapi juga kepada seluruh operasi
keluarga tersebut. Dari segi struktur, wujud keluarga kerjaya-duaan (dual career
family) yang memperlihatkan ciri/keadaan khusus seperti berikut:
Tugas mencari nafkah keluarga adalah menjadi tanggung jawab bersama dan bukan
lagi terletak di tangan suami.
Isteri mempunyai autoriti yang sama banyak dalam membuat keputusan penting
mengenai keluarga.
Sikap dominasi suami ke atas isteri berkurangan.
Isteri tidak lagi bergantung seluruhnya dari segi ekonomi kepada suami.
Wujud bibit-bibit persaingan antara pasangan suami-isteri.
Kajian di kalangan kelas menengah di Amerika menunjukkan apabila suami isteri
terlalu menumpukan perhatian kepada pekerjaan masing-masing dan tidak
mempunyai kesempatan yang lebih untuk bersama keluarga, kerenggangan
hubungan yang membawa kepada hakisan cinta antara mereka akan berlaku.
Kadar percerain meningkat apabila terdapat persaingan antara pasangan suami
isteri dalam bidang pekerjaan dan juga apabila golongan wanita merasai diri
mereka boleh berdikari tanpa bergantung kepada suami. (Talcott Parsons,1977).
Pada hakikatnya, kaum wanita yang bekerja berada dalam dilemma, ditarik oleh
dua kepentingan yang berbeza, di satu pihak oleh kepentingan keluarga dan di
pihak lain pula oleh kepentingan kerjaya. Terdapat tiga opsyen bagi wanita di sini:
(i) berkahwin, (ii) bekerja, dan (iii) berkahwin sekaligus bekerja. Dalam keadaan
normal, wanita tidak boleh menjadi superhuman, terutama bagi mereka yang
memilih opsyen ketiga. Mereka menghadapi, bukan sahaja tekanan fizikal, malah
juga tekanan mental sepertimana dikatakan oleh Rapoport (1976), the attempt to
combine motherhood with paid employment presents women with intense overload
dilemmas and conflicts of loyalty and commitment and may involve considerable
physical and mental stress.
Keadaan ini juga berpunca daripada psychological lag seperti yang dikemukakan
oleh Rapoport & Rapoport (1972) yang mengatakan perubahan peranan kahwinan
antara lelaki dan perempuan adalah tidak seimbang. Walaupun peranan wanita
telah berubah daripada sektor rumahtangga ke sektor pekerjaan dengan pesat,
tetapi perubahan peranan lelaki dari sektor pekerjaan ke sektor rumahtangga
secara relatifnya adalah lebih lambat berlaku. Contohnya, hingga kini dalam
masyarakat Malaysia, kita masih belum atau kurang mendengar lelaki menjadi

house-husband, walaupun fenomina ini telah wujud di Barat. Masyarakat dan


budaya Melayu khususnya masih tidak dapat menerima hakikat bahawa lelaki harus
ke dapur, mengurus rumahtangga dan mendidik anak, sedangkan isterinya keluar
bekerja. Kalau ini berlaku, dikatakan Barat sudah beralih ke Timur, alamatnya
dunia akan cepat kiamat. Bukan itu sahaja, malah keluarga simetrikal (symmetrical
family) di mana suami dan isteri berkongsi sumber dan tenaga dalam urusan
rumahtangga termasuk memasak, mendidik anak dan sebagainya (Young &
Willmott, 1975) masih belum wujud dengan meluas. Atas asas inilah didapati ramai
wanita Melayu yang berhenti kerja atau memilih untuk bersara lebih awal apabila
berdepan dengan tuntutan keluarga yang mendesak. Tidak kurang pula yang
memilih untuk terus hidup membujang kerana ingin menumpukan perhatian
sepenuhnya kepada kerjaya
Saya tidak mengatakan bahawa perubahan peranan kahwinan ini sesuatu yang
distruktif bagi kehidupan keluarga. Banyak faedah yang diperolehi apabila keduadua pasangan suami isteri bekerja, terutamanya dari segi peningkatan kedudukan
ekonomi keluarga. Apa yang menjadi isu ialah soal urusan rumahtangga dan didikan
anak-anak. Kita sering dengar anak-anak yang diletak di bawah jagaan pembantu
rumah akan didera, malah akan dilarikan oleh pembantu tersebut. Kita sering juga
dengar bahawa ada remaja terlibat dalam kegiatan salahlaku seksual di rumah
mereka sendiri atas ketiadaan ibu bapa, dan sering juga kita dengar yang suami
merogol pembantu rumah, malah merogol anak sendiri kerana isterinya tiada di
rumah. Kejadian seperti ini sebahagiannya berpunca daripada perubahan peranan
kahwinan yang dimaksudkan.
Petikan Akhbar:
PADANG BESAR: For the past year, a 13-year-old boy has been getting his friends to
come over to his house to watch pornographic movies when his mother was at
work. Then on several occasions, he would allegedly sodomise, molest or perform
oral sex on his victims, one as young as six. During that period, the Form One
student from a Felda settlement in Chuping also allegedly molested two sisters after
inviting them to his house to watch cartoon shows. Padang Besar deputy OCPD said
the boy had been inviting a group of six boys, aged between six and 13, to watch
blue films since September last year. The deputy OCPD said the boys friends would
come over to his house between 3pm and 6pm when his mother was at work and
his siblings were at tuition classes. His father had passed away. He said the
teenagers exploits were uncovered last Friday when the six-year-old boy told his
stepbrother that the suspect had main belakang. The deputy OCPD said the
teenager was arrested after a police report was lodged. The eldest of the six
victims, a 13-year-old boy, was also detained for allegedly sodomising the suspect.
He said one of the victims, a 12-year-old, supplied the pornographic VCDs which
belonged to his father. The suspect told police that it was fun to do what he did with
the boys. He said since there was nothing much to do, he enjoyed passing his time
this way, he added. (The Star, Wednesday September 21, 2005)

(iv) Perhubungan Kekeluargaan


Perhubungan kekeluargaan sebagai sebahagian daripada perhubungan sosial
adalah berlandaskan sistem jangkaan yang diterima dan dikongsi bersama oleh
anggota masyarakat. Pola perhubungan yang mengikuti atau yang menepati sistem
jangkaan ini akan membawa kepada kehormonian dan kestabilan dalam masyarakat
dan juga dalam keluarga. Kelemahan fungsi pendidikan keluarga berserta dengan
pendedahan kepada pengaruh persekitaran menyebabkan berlakunya kepincangan
dalam perhubungan. Dalam konteks perubahan dan pemodenan kini, terdapat
anak-anak yang tidak menghormati ibu bapa dan orang tua, menggunakan bahasa
kasar dalam perhubungan dengan mereka, mengabaikan tanggungjawab
kekeluargaan, dll. Perhubungan antara suami isteri juga ada yang tidak menepati
sistem yang berlandaskan adab dan tatasusila Melayu. Kes isteri mendominasi
suami, isteri mendera suami, dan isteri tidak menghormati suami dsb., bukan lagi
satu perkara baru, malah terlalu kerap berlaku.
Perhubungan antara kaum keluarga dan sanak saudara, lebih-lebih lagi antara kaum
keluarga dekat (close relatives) yang pada satu ketika agak mesra dan intim telah
banyak terjejas. Kediaman yang berjauhan, kedudukan sosio-ekonomi yang
berbeza, sikap tidak mahu mengganggu atau diganggui, semuanya membawa
kepada kelonggaran perhubungan. Ikatan emosi dan sentimen yang kuat serta
perhubungan yang mesra di kalangan anggota keluarga hanya dapat bertahan
selagi mereka tinggal berdekatan antara satu sama lain, atau di bawah satu
bumbung. Apabila berjauhan dan apabila terlalu sibuk dengan tugas masingmasing, maka ikatan emosi dan sentimen itu juga menjadi kendur dan luntur.
Kadang-kadang saudara dekat atau close relatives tidak dijemput dalam upacara
perkahwinan, kematian pun tidak diberitahu. Jika dijemput atau diberitahu
sekalipun, ada yang tidak pergi. Bagi saya, pepatah Melayu yang berbunyi, dekat
bau tahi, jauh bau bunga tidak lagi dapat dipakai sekarang. Apa yang berlaku,
iailah out of sigt out of mind.
Perhubungan keluarga kini banyak berlandaskan faktor kebendaan, khususnya
wang. Seperti komoditi yang lain, pada masa ini kasih sayang, kuasa, pengaruh
lebih-lebih lagi cinta boleh dibeli dengan wang. Jadi jika ada orang berkata, ada duit
apa disayang tak ada duit abang melayang itu memang tepat dan benar. Selain itu
konflik keluarga dalam bentuk pergeseran suami isteri, perceraian, pergaduhan adik
beradik, pilih kasih, dll. juga banyak berpunca daripada faktor kebendaan ini. Saya
kira tidak kurang pula yang berlaku pada diri dan keluarga kita sendiri.
KES KEPINCANGAN KELUARGA & MASYARAKAT (Laporan Akhbar Julai Oktober
2005)
Berikut diperturunkan beberapa kes kepincangan masyarakat dan keluarga Melayu
yang saya petik daripada akhbar tempatan semenjak beberapa bulan yang lalu
hingga kini. Ini termasuk kes sumbang mahram, pembuangan bayi, deraan, lari dari

rumah, poligami dan perceraian, rogol dan mencabul kehormatan, khalwat,


kenakalan juvana, penyalahgunaan dadah dan HIV, dan lain-lain. Saya rasa
kebanyakan daripada kes-kes ini masih lagi jelas dalam ingatan kita semua.
(i) Kes Sumbang Mahram/Rogol oleh Keluarga Dekat
Seorang anggota tentera dari Markas Staf Stesen Pulau Pinang, Kem Batu Feringghi
dihukum penjara tujuh tahun dan sebatan tiga kali selepas didapati bersalah kerana
cuba merogol anak saudaranya yang berusia 21 tahun. (Utusan Malaysia, 1 Julai
2005)
Anak menjadi mangsa nafsu ayah sejak di bangku sekolah rendah pengakuan
seorang pelajar IPT (Berita Harian, 22 Julai 2005)
Seorang bekas banduan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Klang atas
tuduhan merogol anak kandungnya yang berusia kira-kira lapan tahun pada 1
September 2005. Sebelum itu tertuduh juga telah dipenjarakan atas kesalahan
merogol anak tirinya. (Berita Harian, 10 September 2005)
Raped by father and brother girl reports to police after 5 year abuse. Investigation
by Kota Star district police showed the father had been raping her three times a
week when she was 12. He committed the acts while his wife was away or asleep. In
an unrelated case another Form Five girl also from the same village who is about
four months pregnant lodged a report against her uncle for raping her on numerous
occassions over the past two years (New Straits Times, 4 Oktober 2005)
(ii) Kes Deraan
Seorang bayi meninggal dunia dipercayai didera pembantu rumahnya warga
Indonesia (Berita Minggu, 3 Julai 2005)
Seorang ibu muda berusia 20 tahun yang menukar pengakuannya kepada bersalah
atas tuduhan mendera anaknya sehingga mati, pada tahun 2004 dijatuhi hukuman
penjara satu tahun oleh Mahkamah Sesyen Klang (Harian Metro, 27 Ogos 2005)
(iii) Kes Keganasan, Bunuh & Ugutan Bunuh
Seorang peniaga nasi lemak mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kuala
Lumpur atas tuduhan melakukan ugutan bunuh terhadap ibunya (Utusan Malaysia
20 September 2005)
Jururawat kanan 36tahun, dari Alai Melaka yang dipercayai dipukul bekas suaminya
hingga koma, meninggal dunia selepas diberi alat sokongan hayat di Wad High
Depency, Hospital Melaka (Berita Minggu 9 Oktober 2005)
(iv) Kes Poligami & Perceraian

Seorang lelaki 30 tahun, berkata menyedari dia menghidap kanser tulang di


bahagian lutut kaki kanannya, isterinya mengambil keputusan meminta cerai dalam
tempoh seminggu saja selepas majlis akad nikah dilangsungkan (Berita Harian, 29
Julai 2005)
Seorang anggota tentera, disimbah asid oleh isterinya gara-gara hasrat untuk
berpoligami (Utusan Malaysia, 9 Ogos 2005)
Sekurang-kurangnya 10 orang kenamaan berstatus Tan Sri dan Datuk di negara ini
pernah bernikah di selatan Thailand dalam tempoh dua tahun sejak 2003.
Kebanyakan mereka bernikah bagi tujuan poligami dan mengelak daripada
pengetahuan isteri pertama. (Utusan Malysia, 9 Ogos 2005)
Seorang suami, 28 tahun didakwa membunuh isterinya, 24 tahun dengan menikam
dan menetak mangsa menggunakan pisau rambo apabila mangsa dikatakan
menuntut cerai (9 Ogos 2005)
A lorry driver, angry with his two wives for fighting over him, took weed killer in
front of them (The Star, 10 Ogos 2005)
Seorang lelaki bersama isteri keduanya telah membakar surat nikah mereka dengan
sengaja, semata-mata untuk merahsiakan perkahwinan tersebut daripada isteri
pertamanya. Kini, apabila beliau menghadapi masalah dengan isteri keduanya,
lelaki tersebut memohon pula agar pernikahan tersebut diisytiharkan tidak sah
sebagai jalan penyelesaian keluar baginya (Sisters in Islam, 10 Ogos 2005)
Seorang lelaki, 44 tahun mengaku di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur
bahawa dia ada melafazkan talak melalui telefon dengan perkataan bermaksud
untuk bercerai dengan isterinya. Beliau berkata dia berbuat demikian selepas tidak
tahan dengan desakan isterinya, yang meminta untuk dilepaskan (cerai) [Harian
Metro, 27 Ogos 2005]
Seorang suami yang berang dengan tindakan isterinya melarikan diri dari rumah
selepas mengetahui dia berkahwin lain, dikatakan bertindak melanggar mangsa
dengan kereta di kawasan perumahan mereka di Jerantut, Pahang (Utusan Malaysia,
29 Ogos 205)
(iv) Kes Lari Dari Rumah
Setiap hari, 15 rakyat Malaysia dilaporkan hilang dengan sebahagian besarnya
adalah gadis remaja berusia di antara 14 hingga 21 tahun. Sebilangan besar
mereka yang dilaporkan hilang sejak 2003 adalah kaum Melayu iaitu seramai 7,766
orang, diikuti Cina (1,872 orang), India (1,659 orang) dan 821 orang daripada lainlain kaum. (Berita Minggu, 3 Julai 2005)
(iv) Kes Buang Bayi

Sepasang suami isteri yang sedang menoreh di kebun getah mereka di Kampung
Paya Kerchut, Pendang Kedah terkejut apabila menemui bayi perempuan yang
masih bernyawa tetapi tidak menangis di kawasan itu. (Berita Harian 7 Julai 2005)
Seorang pelajar tingkatan tiga sebuah sekolah menengah agama di Kuala Pilah
telah melahirkan seorang bayi lelaki di dalam tandas sekolah tersebut (Utusan
Malaysia 12 Julai 2005)
Seorang bayi perempuan dipercayai baru lahir ditemui dalam sebuah beg di dalam
tandas lelaki oleh seorang ahli jawatankuasa Masjid Darul Ihsan, Kubang Rotan, Alor
Setar. (31 Julai 2005)
A four-day-old baby-girl was found abandoned at a roadside stall near the KTM
quarters, Seremban with a note pleading for Good Samaritans to care for her (The
Star, 31 Ogos 2005)
Mayat bayi lelaki dipercayai baru dilahirkan ditemui seorang penduduk kampung
yang menangkap ikan di Sungai Kuala Pari dekat Kampung Seri Kinta di sini,
semalam. Bayi yang masih bertali pusat berserta uri ditemui terapung dan
terlentang dipercayai baru beberapa jam dicampakkan ke dalam sungai berkenaan
(Berita Minggu 14 September 2005)
Mayat seorang bayi ditemui dengan keadaan tertiarap di dalam tong sampah dekat
Taman Pauh Indah, Bukit Mertajam (Berita Minggu 4 Oktober 2005)
(v) Kes Kenakalan Remaja
Sebuah bas sekolah yang diletakkan di Persiaran Putra, Kuah Langkawi hangus
dijilat api setelah dipercayai dibakar oleh sekumpulan pelajar berusia 9, 10 dan 11
tahun (Utusan Malaysia, 3 September 2005)
Mengikut perangkaan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (YPJM), dalam tempoh
tujuh bulan pertama tahun 2005, kanak-kanak terbabit dalam 27 kes rogol, bunuh
(tiga), keganasan yang menyebabkan kecederaan parah (76), kesalahan
menyebabkan kecederaan ringan (33), samun berkumpulan (dua), samun
bersenjata api (satu) dan 10 kes samun tanpa senjata api. Selain itu, 246 kes
membabitkan curi kenderaan, curi malam hari (112), curi siang hari (29), ragut (18)
dan 188 kes jenayah lain. Dalam tempoh sama tahun 2004 pula, enam
membabitkan kes bunuh, rogol (25), keganasan yang menyebabkan kecederaan
parah (110), kesalahan menyebabkan kecederaan ringan (61), samun berkumpulan
(tujuh), samun bersenjata api (dua) dan 19 kes samun tanpa senjata api. (Berita
Harian 6 Sept. 2005)
Seorang murid berusia 12 tahun di Kampung Pinang Tunggal, Jalan Klang Lama, di
sini, ditahan polis untuk kali ketujuh kerana memecah masuk dan mencuri di
sebuah pejabat. Budak itu mengaku terjebak dengan jenayah sejak berusia
sembilan tahun (Berita Harian 6 Sept. 2005)

(vi) Kes Dadah & HIV


42,068 orang Melayu adalah pembawa HIV kebanyakan membabitkan belia
berumur antara 15 dan 40 tahun (Berita Minggu, 3 Julai 2005)
Mengikut statistik, sebanyak 6,648 penagih baru dan 7,915 penagih berulang
dilaporkan pada enam bulan pertama tahun 2005 (Utusan Malaysia, 26 Julai 2005).
Dalam tempoh lima tahun sejak 1999, purata penagih baru dikesan di negara ini
ialah 17,174 orang setahun atau 1,431 orang sebulan atau 47 orang sehari dan dua
orang sejam (PEMADAM, 5 Ogos 2005)
Lebih 70 peratus keluarga penagih dadah di negara ini enggan menerima kembali
anak mereka yang telah menjalani rawatan pemulihan manakala 60 peratus tidak
mahu menuntut jenazah anak yang meninggal dunia akibat HIV/AIDS di pusat
serenti (Utusan Malaysia 28 September 2005)
(vii) Kes Rogol Gadis Bawah Umur (Umum)
Seorang operator pengeluaran yang menghadapi tuduhan merogol gadis bawah
umur yang baru sebulan dikenalinya dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari
ini dengan ikat jamin RM2,000 (Utusan Malaysia, 1 Julai 2005)
The Sarawak Education Department is awaiting a detailed report from a school over
the sex romps a student there was alleged to have had with four teachers and an
office boy (The Star, 29 Julai 2005).
Seorang nelayan dari Perupok berusia 59 tahun didapati bersalah merogol seorang
budak perempuan berusia 11 tahun tujuh bulan sehingga menyebabkan mangsa
mengandung (Utusan Malaysia, 1 Ogos 2005)
Seorang warga emas, 69 tahun dituduh mencabul kehormatan dua beradik berumur
9 tahun 5 bulan dan 7 tahun 2 bulan yang diletakkan di bawah jagaan isterinya
(Utusan Malaysia, 15 Ogos 2005)
Seorang gadis berumur 10 tahun telah dirogol oleh beberapa lelaki dan dibunuh di
Tanjung Kupang, Gelang Patah, Johor (Berita Harian, 17 Januari 2004)
Seorang peneroka, 36 tahun yang `tidak tahan melihat gadis bawah umur
menjemur kain lalu merogolnya, dihukum penjara tujuh tahun dan tiga sebatan oleh
Mahkamah Sesyen, Kuantan, selepas didapati bersalah melakukan kesalahan itu
(Harian Metro, 27 Ogos 2005)
Seorang guru lelaki yang bertugas di sebuah sekolah rendah di Sekuau, kira-kira 40
kilometer dari Sibu ditahan di sebuah rumah di Jalan Sentosa di sini, selepas polis
menerima laporan bahawa beliau merogol tujuh muridnya berusia antara 10 dan 12
tahun, sejak tahun 2004. (Berita Harian, 6 September 2005)

KESIMPULAN
Arus perubahan [ganas] sepertimana berlaku di Barat yang membawa kepada
keadaan di mana ada pihak menganggap bahawa insitusi keluarga itu telahpun
berkubur atau telah mati (a dead institution) dengan amalan-amalan bersifat antikeluarga seperti bersekedudukan tanpa nikah, hubungan seks sebelum kahwin (premarital sex), pemilihan pasangan/perkahwinan sejenis (gay/lesbian marriage),
menghalalkan pengguguran, menerima pelacuran sebagai satu profesyen yang sah,
memberi hak sepenuh kepada anak luar nikah, dll., semuanya menimbulkan kesan
ngeri lagi menakutkan. Ada yang berpendapat, keadaan yang wujud dalam
masyarakat Barat hari ini adalah imej masyarakat Melayu (Malaysia) pada masamasa akan datang. Alasannya ialah kita kini sedang menuju ke arah perubahan
(dalam bidang ekonomi, pendidikan, teknologi, dll) serta mengambil atau
mempraktikkan strategi pembangunan yang sama seperti negara Barat. Lantaran
itu kita akan menerima kesan perubahan yang sama, dan masyarakat kita akan
akhirnya menjadi seolah-olah replica masyarakat Barat. Atas andaian yang sama
juga, jika insitusi keluarga di Barat dikatakan telah berkubur atau mati, maka
institusi keluarga Melayu (Malaysia) juga akan menerima nasib yang sama.
Dalam era globalisasi dan teknologi maklumat kini arus perubahan itu begitu kuat
melanda kita semua (mungkin boleh disamakan dengan sunami) yang membawa
pelbagai implikasi dalam kehidupan masyarakat. Haba keruntuhan sistem keluarga
dalam masyarakat kita telah terasa, dan bahangnya kian menjadi hangat. Soalnya
adakah kes kepincangan keluarga yang mengisi dada akhbar hampir setiap hari itu
sebagai kes-kes yang terpisah (isolated cases) ataupun sebagai tip of the iceberg.
Dari beberapa perangkaan yang ditunjukkan di atas, saya rasa pendapat yang
kedua ada asas-asas kebenarannya.
Tindakan badan-badan kerajaan dan bukan-kerajaan, Jabatan Agama Islam Negeri,
sekolah, ibu bapa, PIBG, dan lain-lain agensi kemasyarakatan termasuk orang
perseorangan yang peka tentang akibat negatif perubahan, dan yang masih
sayangkan sistem kehidupan timur termasuk kehidupan keluarga yang penuh
dengan nilai-nilai murni seperti cinta, kasih saying, hormat menghormati, dll.,
semuanya akan mewujudkan benteng bagi menyekat sunami sosial dan budaya
yang sedang dan akan terus melanda itu. Cuma kekhuatiran saya ialah, ada badanbadan yang saya sebutkan itu tidak begitu gigih dan serius melaksanakan
tanggungjawab sosial yang diberikan. Ini kerana kita masih berada dalam comfort
zone dan nasi kita masih belum menjadi bubur.
RUJUKAN
Bott, E. 1971, Family and Social Network. Tavistock Publications. London.
Elliot, F.R. 1986. The Family: Change or Continuity? Macmillan Education Ltd.
London.

Harris, C.C. (ed). 1970. Readings in Urban Kinship in Urban Society. Pergamon
Press Ltd. Oxford.
Hong, E. (ed). 1983. Malaysian Women: Problems and Issues. Consumers
Association of Penang.
Leslie, G. 1973. The Family in Social Context. Oxford University Press. New York.
Lupri (ed). 1973. The Changing Position of Women in the Family and Society.
International Studies in Sociology and Social Anthropology. E.J. Brill. Leiden.
Rapoport, R. 1971. Dual Career Families. Penguin Books. Baltimore

Anda mungkin juga menyukai