Anda di halaman 1dari 4

3.0.

Penulisan Akademik
Bagi tugasan perancangan Rancangan Pengajaran Slot (RPS), saya telah memilih
tajuk Adab Makan dan Minum. Saya memilih tajuk berkenaan supaya murid-murid
sedar kepentingan adab ketika makan dan minum. Perkembangan seseorang individu
sebenarnya bergantung pada pemakanannya. Oleh itu, penting bagi setiap individu
untuk menjaga adab makan dan minum bagi menjamin perkembangan yang sihat
tanpa sebarang penyakit. Syariah Islam telah menjelaskan garis panduan
mengaturkan adab atau peraturan makan yang seharusnya dipatuhi oleh setiap umat
islam yang berada di atas muka bumi ini. Sesungguhnya telah dinyatakan dalam Al-
Quran dan Al-Sunnah bahawa terlalu buruk dan keji jika manusia tidak menjaga
tatatertib semasa makan. Misalnya, makan terlalu gelojoh, makan makanan
kepunyaan orang lain tanpa meminta izin. Sebaliknya umat islam diwajibkan makan
dengan bertatatertib sebagai contoh makan dengan sopan, mengucapkan kata syukur
kepada yang maha Esa dan lain-lain lagi. Pelbagai aktiviti telah saya rangka di dalam
RPS supaya murid dapat memahami dan mengaplikasikan adab makan dan minum
dalam kehidupan seharian.

Saya mulakan RPS dengan bacaan doa belajar di dalam kelas. Hal ini
bertujuan melatih sifat khusyuk dan tawaduk dalam diri murid-murid sebelum
mempelajari ilmu Allah. Seterusnya, saya mulakan aktiviti pembelajaran dengan set
induksi. Oleh sebab tajuk yang dipilih ialah adab makan dan minum, guru harus
memakai pakaian tukang masak profesional bagi menarik perhatian murid. Di samping
itu, guru turut membawa 5 buah bakul yang terisi makanan. Bakul tersebut perlu
ditutup bagi meningkatkan rasa ingin tahu dalam diri murid-murid. Guru akan meminta
murid meneka objek yang terdapat di dalam bakul yang dibawa. Murid-murid akan
lebih bersemangat apabila mengetahui terdapat banyak makanan di dalam bakul-
bakul tersebut. Guru harus menegaskan kepada murid-murid bahawa makanan hanya
boleh dimakan selepas sesi pengajaran dan pembelajaran selesai. Dengan ini,
mudahlah bagi guru untuk mengawal kelas manakala murid-murid juga akan lebih
gembira dan bersemangat. Kemudian, guru akan memulakan kelas dengan
menerangkan tajuk yang akan dipelajari iaitu adab makan dan minum.

Seterusnya, sewaktu langkah 1, guru akan menayangkan dua klip video yang
berkaitan dengan adab makan dan minum. Satu video menunjukkan individu yang
mengamalkan adab ketika makan manakala satu lagi video menunjukkan sikap
individu yang mengabaikan adab ketika makan. Video ini perlu diperhatikan dan
dihayati oleh murid-murid. Kemudian, murid-murid perlu membanding beza amalan
kedua-dua yang terdapat di dala video tersebut. Aktiviti ini dapat membantu
perkembangan kognitif seseorang murid. Menurut teori pembelajaran kognitif,
pembelajaran merupakan satu proses pembentukan struktur kognitif dan perwakilan
minda yang aktif. Pembelajaran kognitif menekankan cara belajar seperti pemikiran
celik akal, kaedah penyelesaian masalah, penemuan, kategori pembelajaran dan
resepsi. Teori ini menekankan kepada proses mental kanak-kanak. Teori ini juga
berasaskan prinsip pembelajaran kognitif yang menerangkan bagaimana pelajar
menerima, memproses, menyimpan dan mencari maklumat dalam memori (Ertmer &
Newby 1993). Dalam masa yang sama, selaras dengan sub tema dalam RPS, guru
akan menerangkan adab makan yang diamalkan oleh Rasulullah supaya akhlak-
akhlak murni yang ditunjukkan oleh baginda Nabi Muhammad menjadi ikutan dan
teladan bagi murid-murid dan menjauhi akhlak buruk ketika makan, sebelum makan
dan selepas makan.

Di samping itu, saya turut merancang aktiviti menghafal doa sebelum dan
selepas makan dalam Langkah 2. Hal ini bertujuan supaya murid-murid dapat
membaca dan mengamalkan doa tersebut setiap kali sebelum makan dan selepas
makan. Dalam sesi ini, guru juga menggunakan klip video sebagai bahan bantu
mengajar. Murid-murid akan mendengar doa daripada klip video dan cuba menghafal
buat pertama kali. Kemudian guru akan membimbing murid-murid membaca doa
tersebut dengan teknik pengulangan sebanyak 5 kali. Perubahan yang positif akan
dicapai setelah berlakunya proses pengajaran dan pembelajaran yang memberi
impak kepada pengukuhan pengetahuan dalam memori. Aktiviti ini dirangka
berdasarkan Teori Behaviorisme. Golongan behaviorisme beranggapan bahawa ilmu
diperoleh melalui proses pengulangan dan dikuasai melalui rangsangan dan gerak
balas. Golongan ini mementingkan pengukuhan dalam pembelajaran. Dalam konteks
pengajaran dan pembelajaran, teori ini menegaskan latihan dan latih tubi pola. Di
samping itu, setiap murid akan mendapat satu penanda buku yang bertulis doa
sebelum dan selepas makan. Penanda buku ini boleh dijadikan rujukan sekiranya
murid-murid lupa doa yang telah dipelajari. Oleh itu, murid-murid sentiasa mempunyai
rujukan dan tidak akan hilang pedoman.

Guru akan membantu murid-murid menghafal dengan memberikan peneguhan


kepada mereka. Peneguhan ialah perkara yang dilakukan untuk menggalakkan
sesuatu perlakuan itu diulangi. Menurut Rachlin (1991), tujuan pengukuhan diberikan
adalah untuk memuaskan kehendak individu serta membantu untuk mengurangkan
tekanan dan merangsang otak. Skinner membahagikan pengukuhan kepada dua jenis,
iaitu peneguhan positif dan peneguhan negatif. Peneguhan positif ialah memberikan
sesuatu ganjaran setelah perlakuan itu ditunjukkan, yang menyebabkan perlakuan itu
diulangi atau diperkuatkan lagi. Dalam bilik darjah, peneguhan positif ini diberikan
sebagai salah satu bentuk motivasi dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran.
Contoh-contoh peneguhan positif yang boleh diberikan dalam bilik darjah ialah seperti
memberikan kata-kata pujian selepas pelajar melakukan sesuatu kerja atau menjawab
soalan, memberikan senyuman, menepuk bahu pelajar, memberi hadiah dan
sebagainya. Peneguhan positif yang diberikan oleh guru dapat mendorong pelajar
menghasilkan kerja yang bermutu tinggi. Peneguhan yang diberi juga mestilah jelas
dan bersistematik. Hanya tingkah laku yang spesifik sahaja yang perlu diberi
peneguhan. Guru mestilah ikhlas ketika memberi peneguhan. Menurut Brophy (1981),
ciri-ciri pujian (peneguhan positif) yang memberi kesan ialah memuji secara ikhlas,
memuji dengan cepat, memuji tanpa pilih kasih, memuji usaha dan cuba jaya, memuji
tingkah laku yang spesifik memuji jawapan atau respons yang spontan.

Seterusnya, saya juga turut menyediakan aktiviti penyelesaian masalah


kepada murid-murid seperti langkah 3. Dalam aktiviti ini, guru akan menyediakan
beberapa kad bergambar manakala murid-murid perlu membezakan dan
mengklasifikasikan antara adab makan dan minum ataupun sebaliknya. Guru mestilah
membahagikan pelajar secara adil dengan memastikan terdapat pelajar yang bijak,
sederhana dan lemah dalam sesuatu kumpulan. Hal ini bertujuan mewujudkan
pembelajaran koperatif dalam kalangan mereka di mana pelajar yang bijak dapat
membantu rakan sekumpulan yang lain. Aktiviti ini berkaitan dengan Teori
Pembelajaran Kohler. Menurut Wolfgang Kohler, teori ini membincangkan kebolehan
mental yang mendorong manusia mempersepsikan perkaitan unsur-unsur dalam
persekitaran secara tiba-tiba demi menolongnya menyelesaikan masalah yang
sedang dihadapi. Teori beliau ini melibatkan aspek persepsi dan struktur pemikiran
untuk penyelesaian masalah dengan menggunakan celik akal. Dengan menggunakan
celik akal, murid boleh memikirkan tentang alternatif-alternatif yang lain lalu
memikirkan struktur dan persepsi yang baru. Bagi tajuk adab makan dan minum, guru
boleh membimbing pelajar untuk menggunakan persepsi mereka bagi
menghubungkaitkan amalan-amalan individu dalam persekitaran dengan adab yang
dipelajari. Guru juga harus menggunakan contoh-contoh khusus yang berkaitan untuk
membimbing pelajar supaya menggunakan celik akal mereka, demi mendapat
kesimpulan atau generalisasi yang tepat terhadap sesuatu topik yang dipelajari seperti
adan makan dan minum.
Pada peringkat terakhir proses P&P, guru akan memberi peluang kepada
murid-murid untuk mengajukan sebarang soalan berkaitan tajuk adab makan dan
minum. Hal ini bertujuan untuk memastikan murid-murid dapat menghilangkan segala
keraguan atau masalah untuk memahami topik yang dipelajari sekiranya wujud. Guru
perlu bersedia berkongsi maklumat dan idea-idea yang bernas kepada murid-murid.
Kemudian, guru dan murid-murid bolehlah meraikan jamuan yang telah dibawa oleh
guru sebagai set induksi pada hari tersebut. Secara tidak langsung, aktiviti jamuan ini
bertindak sebagai peneguhan positif kepada murid-murid agar lebih bersemangat dan
bermotivasi bagi meneruskan pembelajaran mereka pada masa akan datang. Murid-
murid akan berasa lebih dihargai dan nilai kasih sayang dapat dipupuk sesama mereka.
Semasa jamuan diadakan, semua murid diminta mengaplikasikan doa makan dan
adab ketika makan seperti yang telah dipelajari pada hari tersebut.

Anda mungkin juga menyukai