Anda di halaman 1dari 8

EDUP 2043 – PENGURUSAN BILIK DARJAH DAN TINGKAH LAKU

Tugasan 2: Kajian Kes (Individu)

A seorang murid yang sangat pendiam. Dia sangat jarang bercakap dan selalu
tidak menyiapkan kerja yang diberikan. Guru-guru selalu bertanya dan cuba
menasihati A. Terdapat juga guru yang hilang sabar dan marah serta
mendenda A. Namun apa sahaja tindakan guru, A hanya akan mendiamkan diri
dan hanya akan duduk di tempatnya.

Berdasarkan kes di atas, secara individu, anda dikehendaki melaksanakan kajian kes dan
penganalisisan kes dilaporkan dalam bentuk penulisan kajian kes.

1
EDUP 2043 – PENGURUSAN BILIK DARJAH DAN TINGKAH LAKU

A. Mengenal pasti jenis tingkah laku bermasalah yang berlaku di dalam bilik darjah
atau di sekolah.

Tingkah laku seseorang merangkumi segala perlakuan seseorang sama ada baik ataupun
tidak memuaskan. Pertuturan, pemilihan bahasa, cara perhubungan dengan orang lain, daya
tahan, pengurusan emosi, kerajinan dan tanggungjawab menunjukkan perlakuan seseorang
itu.

Manakala, tingkah laku bermasalah merujuk kepada perlakuan yang tidak diterima
oleh sesebuah masyarakat dari segi sosial. Perlakuan tersebut mungkin melanggar peraturan
undang-undang, etika atau kepercayaan agama sesuatu masyarakat. Tingkah laku
bermasalah juga bermaksud perlakuan yang tidak sesuai dalam situasi tertentu. Tingkah laku
bermasalah di dalam bilik darjah akan mengganggu pembelajaran murid-murid dan boleh
menjejaskan perkembangan kognitif mereka. Murid-murid lain akan mendapat kesukaran
untuk menumpukan perhatian jika salah seorang daripada mereka bersifat disruptif.

Masalah tingkah laku agak subjektif kerana dilihat sebagai masalah seseorang
individu dan mungkin bukan masalah bagi individu lain. Oleh yang demikian, guru perlu
menggunakan kebijaksanaannya dalam membuat penilaian terhadap tingkah laku murid
sebelum mengkategorikannya sebagai masalah.

Senarai tingkah laku bermasalah yang biasa ditunjukkan oleh murid dalam bilik darjah
termasuk kurang memberikan perhatian, hiperaktif, pendiam, sensitif, apati, melengah-
lengahkan kerja, gemar bercakap, mengganggu rakan, membuli, berbohong, menipu,
menimbulkan kekecohan di dalam bilik darjah, kurang sopan, mencuri, merosakkan harta
benda, mudah marah dan agresif.

Berdasarkan kes di atas, jenis tingkah laku bermasalah yang berlaku dalam bilik darjah
tersebut adalah jenis pendiam. Sebagai seorang pendiam, murid ini tidak melibatkan diri
dalam aktiviti perbincangan kelas, tidak menyumbangkan idea atau bertukar pandangan. Dia
lebih selesa duduk seorang diri dan hanya memerhati sekeliling atau berkhayal.

2
EDUP 2043 – PENGURUSAN BILIK DARJAH DAN TINGKAH LAKU

B. Membincangkan secara teoritikal halangan-halangan dalam menguruskan disiplin


dan tingkah laku bermasalah.

Pengurusan masalah disiplin dan tingkah laku bermasalah memerlukan komitmen dan guru
yang terlatih harus berupaya menyelesaikan masalah yang timbul. Tetapi kadangkala wujud
halangan dalam pengurusan masalah disiplin dan tingkah laku bermasalah dalam kalangan
murid. Halangan ini mungkin daripada guru itu sendiri, rakan sebaya, sekolah, ibu bapa dan
masyarakat persekitaran.

Sikap dan tingkah laku guru boleh menghindarkan satu penyelesaian terhadap
masalah disiplin dan tingkah laku bermasalah dalam kalangan murid. Pengurusan disiplin
secara berkesan memerlukan guru bersikap tenang, tidak beremosi dan tidak ada prejudis
terhadap kanak-kanak. Guru yang bersikap tenang semasa murid menunjukkan masalah di
dalam bilik darjah berupaya menunjukkan respons yang wajar, mengurus dan mengawal
emosi beliau serta membuat keputusan yang terbaik tanpa bersikap diskriminasi.

Murid juga akan menunjukkan respons yang positif jika dia beranggapan guru
mengambil berat dan bersikap adil terhadapnya. Sebaliknya, respons guru yang bersifat sinis,
terlampau marah ataupun tidak mengambil peduli terhadap masalah tingkah laku yang
ditunjukkan oleh murid tidak membantu malah murid tersebut mungkin akan memberontak,
berdendam atau terus berdiam diri kerana takut tetapi tingkah laku bermasalahnya tidak
mendapat perhatian yang sepatutnya daripada guru. Murid tersebut juga mungkin berdiam
diri untuk mengelakkan kemarahan ataupun mungkin meneruskan tingkah lakunya sebagai
bantahan terhadap respons guru tadi.

Selain itu, sikap guru yang tidak mengambil berat atau tidak mengendahkan masalah
yang timbul di dalam bilik darjah sememangnya menjadi satu halangan dalam pengurusan
masalah disiplin dan tingkah laku bermasalah. Guru yang tidak peduli boleh menyebabkan
masalah berlarutan. Oleh yang demikian, murid di dalam kelas beliau tidak akan belajar
bahawa satu-satu tingkah laku itu dianggap kurang sopan, disruptif ataupun destruktif.

Guru baharu yang tidak berpengalaman dan kurang pengetahuan tentang hal
berkaitan dengan psikologi murid atau kepelbagaian budaya juga boleh menjadi satu
halangan dalam pengurusan disiplin murid. Realitinya, guru perlu berupaya mengenal pasti
tingkah laku yang perlu ditegur dan tingkah laku yang boleh diabaikan. Guru tidak perlu
bertindak balas ke atas semua masalah disiplin yang dilihatnya di dalam bilik darjah.

3
EDUP 2043 – PENGURUSAN BILIK DARJAH DAN TINGKAH LAKU

Pengetahuan yang baik berkaitan dengan psikologi kanak-kanak boleh membantu


guru mengenal pasti ciri-ciri masalah yang diperhatikan beliau dalam kalangan muridnya.
Pengetahuan ini juga boleh melengkapkan guru dengan kemahiran yang perlu ada bagi guru
untuk mengatasi masalah tingkah laku muridnya dengan berkesan.

Selain itu, guru juga perlu kompeten budaya, khususnya di Malaysia di mana murid di
dalam bilik darjah mungkin terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama. Sebagai contohnya,
kanak-kanak berkeperluan khas dan kanak-kanak yang berlatarbelakangkan sosioekonomi
yang rendah khususnya, mungkin tidak pernah mempunyai pengalaman bergaul atau
berinteraksi dengan kanak-kanak daripada agama dan bangsa lain apabila mereka
memulakan zaman pesekolahan. Oleh yang demikian, sekiranya guru tidak dapat membantu
menyokong perbezaan ini, kanak-kanak tersebut mungkin akan menghadapi masalah dalam
menyesuaikan diri dengan rakan-rakan di sekolah.

Pengaruh rakan sebaya boleh menjadi satu halangan kepada guru dalam usaha beliau
untuk mengurus masalah disiplin di dalam bilik darjah. Ada sesetengah murid menunjukkan
tingkah laku kurang baik di dalam bilik darjah disebabkan oleh beberapa faktor. Antaranya,
mereka dicabar oleh rakan, mahukan penerimaan oleh rakannya atau semata-mata untuk
menakutkan murid lain dan dia ingin dilihat sebagai orang yang berkuasa dalam kalangan
rakan-rakannya. Selain itu, ada juga murid-murid yang menunjukkan tingkah lakunya yang
kurang disenangi ini kerana ia merupakan trend yang telah dipelajari oleh mereka melalui
media massa atau media sosial.

Selain itu, ibu bapa juga kadangkala boleh menjadi satu halangan dalam pengurusan
masalah disiplin dan tingkah laku bermasalah. Sesetengah ibu bapa mempersoalkan langkah-
langkah menangani masalah disiplin sekolah walaupun mereka sedar bahawa sesuatu
masalah ditimbulkan oleh anak mereka sendiri. Malah ada segelintir ibu bapa tidak berpuas
hati terhadap hukuman yang diberikan kepada anak mereka.

Ibu bapa yang terlalu sibuk tidak mempunyai masa untuk bekerjasama dengan guru
bagi membantu anak mereka yang bermasalah. Ada juga ibu bapa yang menunjukkan teladan
yang kurang sesuai di rumah, misalnya mendera anaknya. Guru akan menghadapi kekangan
dalam membantu kanak-kanak daripada latar belakang sedemikian khususnya kerana ibu
bapa mempengaruhi tingkah laku kanak-kanak ini.

4
EDUP 2043 – PENGURUSAN BILIK DARJAH DAN TINGKAH LAKU

C. Menganalisis dan memberi justifikasi tindakan guru biasa sebagai guru


pembimbing dalam menguruskan tingkah laku bermasalah. Analisis anda haruslah
melibatkan jenis model pengurusan disiplin serta jenis intervensi yang telah
digunakan.

Terdapat banyak Model Pengurusan Disiplin yang telah dicadangkan oleh ahli-ahli psikologi
tingkah laku, para pendidik dan ahli-ahli akademik. Tujuh jenis model pengurusan disiplin
seperti yang Model Modifikasi Tingkah Laku oleh B. F. Skinner, Model Disiplin Asertif oleh Lee
Canter, Model Akibat Logikal oleh Rudolf Dreikurs, Model Pengurusan Kelompok oleh Jacob
S. Kounin, Model Pengurusan Disiplin Thomas Gordon, Model Beyond Discipline Alfie Kohn
dan Model Terapi Realiti oleh William Glasser.

Jenis model pengurusan disiplin yang digunakan ialah Model Modifikasi Tingkah Laku
B. F. Skinner. Burrhus Frederic Skinner (1904-1990) memperoleh Ijazah Kedoktoran dari
Universiti Harvard pada tahun 1931 dalam bidang psikologi. Beliau banyak menerbitkan artikel
dan buku berdasarkan kajian-kajian beliau terhadap tingkah laku manusia. Beliau mendapati
bahawa tingkah laku manusia banyak dipengaruhi oleh apa-apa yang berlaku sebaik sahaja
sesuatu tingkah laku ditunjukkan. Beliau tidak mengkaji secara langsung tentang tingkah laku
murid di dalam bilik darjah tetapi pengikut-pengikutnya telah mengaplikasi konsep modifikasi
tingkah laku ke dalam pengajaran di dalam bilik darjah, perkembangan kanak-kanak dan
hubungan sosial antara individu.

Model Modifikasi Tingkah Laku menggunakan prinsip peneguhan. Pendekatan ini


menjurus kepada elemen-elemen luaran untuk mempengaruhi tingkah laku murid. Elemen-
elemen luaran ini berupa peneguhan-peneguhan yang menjadi rangsangan untuk
meningkatkan tingkah laku yang diingini. Terdapat dua jenis peneguhan, iaitu peneguhan
positif dan peneguhan negatif.

Peneguhan positif berlaku apabila rangsangan diberikan seperti hadiah, pujian,


markah merit dan sebagainya. Peneguhan ini bertujuan meningkatkan tingkah laku murid
yang diingini, manakala peneguhan negatif berlaku apabila rangsangan seperti majalah,
komik dikeluarkan supaya murid-murid kembali menunjukkan tingkah laku yang diingini.
Sebagai contoh, murid yang menunjukkan tingkah laku yang baik seperti tidak berbuat bising,
melakukan kerja rumah dengan baik dan menyiapkan tugasan tepat masanya akan diberikan
ganjaran (peneguhan positif).

Untuk peneguhan negatif, sebagai contoh, berlaku situasi seorang guru sedang
mengajar manakala murid leka membaca komik di belakang. Oleh itu, guru bertindak

5
EDUP 2043 – PENGURUSAN BILIK DARJAH DAN TINGKAH LAKU

merampas komik tersebut dengan harapan supaya murid kembali menumpukan perhatian
kepada pengajaran guru. Komik tersebut bertidak sebagai rangsangan yang tidak diingini.
Guru melakukan peneguhan negatif apabila mengeluarkan rangsangan yang tidak diingini.
Apabila rangsangan dikeluarkan, guru dapat meningkatkan kembali tingkah laku murid yang
dingini, iaitu memberikan perhatian semasa guru sedang mengajar.

Oleh yang demikian, dapat dirumuskan bahawa peneguhan positif atau negatif
digunakan untuk meneguhkan atau meningkatkan tingkah laku yang diingini. Peneguhan
berbeza dengan dendaan, iaitu denda hanya menghukum tingkah laku yang salah atau tidak
diingini. Dendaan ialah tindakan yang diambil untuk mengurangkan tingkah laku yang tidak
diingini, manakala peneguhan negatif ialah tindakan yang diambil untuk meningkatkan tingkah
laku yang diingini.

Terdapat beberapa jenis intervensi dalam menangani tingkah laku bermasalah.


Pengurusan bilik darjah dan tingkah laku yang berkesan akan berjaya mengawal tingkah laku
bermasalah daripada mengganggu keberkesanan dan kelancaran aktiviti di dalam bilik darjah.
Masalah-masalah tingkah laku dapat dikurangkan sekiranya guru mempunyai langkah-
langkah intervensi untuk mengawal masalah tersebut sebelum menjadi lebih serius. Antara
bentuk intervensi adalah seperti Teknik Modifikasi Tingkah Laku, Kemahiran-kemahiran asas
Bimbingan dan Kaunseling, Terapi bermain, Terapi seni, Terapi muzik dan Terapi bercerita.

6
EDUP 2043 – PENGURUSAN BILIK DARJAH DAN TINGKAH LAKU

D. Cadangan intervensi yang dapat digunakan bagi menangani kes tersebut.

Cadangan intervensi yang dapat digunakan bagi menangani kes tersebut ialah Teknik
Modifikasi Tingkah Laku. Intervensi ini merupakan salah satu intervensi boleh digunakan oleh
guru dalam menguruskan disiplin di dalam bilik darjah. Teknik Modifikasi Tingkah Laku
menggunakan prinsip peneguhan. Dalam teori peneguhan, tingkah laku murid-murid
ditentukan oleh akibat yang bakal diterima selepas tingkah laku ditunjukkan. Tingkah laku ini
akan dipelajari oleh murid-murid berdasarkan akibat atau peneguhan tersebut. Murid akan
mempelajari tingkah laku yang diterima atau yang tidak diterima berdasarkan respons yang
diperoleh daripada persekitaran. Oleh itu, akibat memainkan peranan penting dalam
menguatkan atau melemahkan tingkah laku yang akan ditunjukkan pada masa akan datang.

Secara keseluruhan, prinsip peneguhan menyatakan bahawa tingkah laku dipengaruhi


oleh akibat selepas tingkah laku ditunjukkan. Tingkah laku boleh dibentuk, dikekalkan,
diteguhkan atau dilemahkan berdasarkan akibat yang diberikan. Teknik Modifikasi Tingkah
Laku bertindak berdasarkan tingkah laku yang diberikan ganjaran akan diulangi, manakala
tingkah laku yang tidak diberikan ganjaran akan lupus. Mengikut kajian, peneguhan positif
(ganjaran) adalah lebih berkesan berbanding dengan dendaan. Maka, guru digalakkan
menggunakan peneguhan positif dalam memodifikasikan tingkah laku kanak-kanak di dalam
bilik darjah seperti kes di atas.

7
EDUP 2043 – PENGURUSAN BILIK DARJAH DAN TINGKAH LAKU

RUJUKAN

Haliza Hamzah dan Joy Nesamalar Samuel. Pengurusan Bilik Darjah dan Tingkah Laku.
Edisi Kedua. (Edisi Kedua). Oxford Fajar Bakti Sdn.Bhd.

Shera Nabila. (2013, November 4). Penilaian Kendaliansekolah Rendah. Retrieved from
https://www.scribd.com/doc/181314350/pksr

Zeliha, Tay Liang Eng, Nor Faralisa. Tingkah Laku Bermasalah Psikologi Tingkah Laku.
Retrieved from http://sidmaswk.com.my/article00004.aspx

Rozmarsitah. (2014, April 7). Pengurusan Masalah Disiplin Bilik Darjah. Retrieved from
https://www.slideshare.net/Rozmarsitah/pengurusan-masalah-disiplin-bilik-darjah

Anda mungkin juga menyukai