Anda di halaman 1dari 3

ADAB KETIKA BERSUKAN

1. PENDAHULUAN

Membuat sesuatu aktiviti yang menyihatkan tubuh badan adalah digalakkan di dalam
Islam. Islam amat menitikberatkan soal kesejahteraan badan dan akal fikiran.

Apabila badan sihat, maka akal pun akan berfungsi dengan cergas. Oleh itu aktiviti
bersukan sangatlah penting dalam menjana tenaga harian.

Malah dalam sebuah hadis ada menyebut bahawa Allah sangat menyukai mukmin yang
kuat.
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Orang mukmin yang kuat lebih baik dan
disukai oleh Allah daripada orang mukmin yang lemah”. (Riwayat Muslim)

Oleh demikian jelas bahawa kita dituntut untuk menjadi mukmin yang kuat dan
bertenaga, kerana mukmin yang bertenaga sudah pasti mampu bekerja dengan lebih
baik dan meneruskan dakwah tanpa lemah.

2. ADAB BERPAKAIAN

Dalam kita bersukan, aspek pemakaian juga sangatlah penting. Sebagai individu
mukmin yang sentiasa beriman kepada Allah dan juga RasulNya, sudah tentu kita perlu
menjaga adab pemakaian.

Allah berfirman:

Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat


pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan
mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang
zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung
kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka
melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-
anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi
saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang
perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang
gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan,
atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang auratperempuan; dan janganlah
mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari
perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang
yang beriman, supaya kamu berjaya.
(Surah an-Nuur:31)

Jelas pada ayat ini bahawa kita disuruh untuk menutup aurat dalam apa jua keadaan
sekalipun.

Apakah pakaian yang dibenarkan dalam bersukan? Ia perlulah menutup aurat, tidak
ketat, dan tidak mengghairahkan.Adab pemakaian ini terpakai kepada semua orang
termasuk lelaki dan perempuan.

Oleh itu, peliharalah cara kita berpakaian dalam bersukan. Kerana bukan sahaja kita
akan perolehi dosa, malah kita juga akan membuat orang lain juga akan dapat dosa.
3. AWASI LIDAH DAN MULUT

Selain menutup aurat, adab lain yang perlu kita jaga ialah lidah. Sering kali kita
melihat ada pasukan-pasukan yang suka membuat provokasi yang boleh mencetuskan
api permusuhan.

Bukankah kita sebagai individu mukmin perlu menunjukkan akhlak yang baik?
Peranan kita sebagai muslim adalah membawa imej Islam dalam seluruh aspek
kehidupan.

Apabila kita menunjukkan sikap yang negatif, maka sudah tentu imej Islam akan
menjadi buruk.
Oleh itu,kita kena sentiasa ingat bahawa kita bersukan bukan sahaja membawa imej
tempat kerja, malah kita juga membawa imej kita sebagai muslim.

Masalah bagi lidah ini ialah apabila terdapat segelintir pemain atau invidu yang suka
mencarut, berkata-kata yang boleh mencetuskan ketegangan, dan pada akhirnya akan
wujud permusuhan.

Oleh itu, marilah kita kembali kepada tujuan asal kita mengadakan sukan iaitu untuk
mengeratkan hubungan silaturrahim, menenangkan fikiran, menyihatkan tubuh badan,
mencungkil bakat yang ada serta berkenal-kenalan antara satu sama lain.

Allah berfirman:

Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan
perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya
kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain).
Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di
antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha
Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).
(Surah al-Hujuurat: 13)

Jelas pada ayat ini bahawa kita diciptakan adalah untuk berkenal-kenal antara satu
sama lain. Oleh yang demikian, jadikanlah aktiviti bersukan ini sebagai pentas untuk
kita kenal antara satu sama lain.

4. PERCAMPURAN LELAKI DAN PEREMPUAN

Selain adab lidah, kita juga perlu menjaga diri kita agar tidak bersentuh-sentuhan
dengan bukan mahram(Bersentuhan antara lelaki dan perempuan)

Sukan yang kita sertai perlulah kita elakkan dari berlakunya sentuh menyentuh kerana
Islam amat menitikberatkan soal dosa bersentuhan dengan bukan mahram
(Bersentuhan antara lelaki dan perempuan).

Kadang-kadang ada sukan yang bercampur lelaki dan perempuan. Oleh itu, cuba
elakkan dari berlakunya pelanggaran atau bersentuhan kerana Islam mementingkan
aspek akhlak.
MENJAGA KEBERSIHAN

Selain kita bersukan, aspek kebersihan tempat bersukan juga kita perlu jaga. Apakah
wajar bagi kita untuk mengotorkan tempat bersukan dengan alasan akan ada orang
lain yang akan membersihkannya?

Itu bukanlah ciri-ciri seorang muslim. Islam sangat pentingkan kebersihan. Bukan
sekadar kebersihan diri, malah kebersihan di tempat di mana kita berada.

Oleh itu, pastikan bekas-bekas makan minum kita, dimasukkan di tong sampah.

Ingatlah, kita ini muslim. Maka akhlak itu mencerminkan siapa kita. Jika akhlak tidak
terjaga, maka kita adalah individu muslim yang buruk sikapnya.

JAGA WAKTU SOLAT

Dan yang terakhir ialah adab menjaga waktu solat. Sebagai individu muslim, waktu
solat perlu dijaga.

Selain menyihatkan tubuh badan melalui aktiviti bersukan, kita juga perlu
menyihatkan iman kita. Apa gunanya sihat tubuh badan, tetapi iman tidak sihat.

Oleh itu, jaga waktu solat, jangan sampai terlepas waktu. Kita tidak mahu Allah murka
kita kerana kita tidak menjaga solat hanya dek kerna kita terlalu seronok bersukan.

PENUTUP

Bersukanlah seperti seorang muslim di mana tujuan bersukan itu adalah untuk
menyihatkan tubuh badan, menyihatkan iman, mempamerkan akhlak yang soleh dan
solehah, dan membina ukhuwah di antara kita.

Berusahalah untuk meraih pahala ketika bersukan dan cuba kurangkan dosa dengan
mengawal tingkah laku yang tidak sihat dan negatif.

“Dari Allah Kita Datang Kepada Allah Jualah Kita Dikembalikan Kelak”

Wallahualam

“SELAMAT BERSUKAN! SELAMAT BERJUANG !

SEMOGA KITA BERJAYA MENJADI JUARA”

SKSP !!!BOLEH !!!!! BOLEH!!!! BOLEH!!!!

Disediakan oleh:
Panitia Pendidikan Jasmani Dan Kesihatan
SK Seri Perlis

Anda mungkin juga menyukai