Anda di halaman 1dari 2

Baru-baru ini tempat tinggal anda telah dilanda banjir kilat.

Tulis pengalaman anda semasa membantu mangsa-mangsa banjir kilat tersebut.

Contoh jawapan.

Minggu lepas, tempat tinggal saya telah dilanda banjir kilat. Pada hari tersebut, hujan telah turun
dengan lebatnya menyebabkan air sungai melimpah sehingga menyebabkan banjir kilat. Sewaktu
kejadian, kami sekeluarga sedang menonton rancangan televisyen kegemaran saya. Khuatir banjir
akan menjadi lebih buruk, ibu menyuruh kami segera berkemas agar kami boleh berpindah dengan
segera sekiranya keadaan memerlukan. Ibu menyuruh kami "sediakan payung sebelum hujan" supaya
sekiranya diarahkan berpindah, kami telah bersiap sedia.

Jangkaan ibu memang tepat. Air sungai di hulu telah meningkat dengan mendadak. Pihak
berkuasa telah mengarahkan semua penduduk bersiap sedia untuk dipindahkan sekiranya banjir
bertambah buruk. Pusat pemindahan juga telah dibuka iaitu di sekolah yang berhampiran dengan
tempat tinggal kami kerana kedudukan sekolah tersebut yang tinggi serta tidak ditenggelami air.

Sedang sibuk kami berkemas, tiba-tiba terdengar suara orang menjerit meminta tolong. Setelah
diamati, bunyi itu datangnya dari jiran sebelah rumah kami yang dihuni oleh Mak Cik Timah dan
anaknya Ramli yang cacat kakinya. Tanpa berlengah, saya dan abang saya segera ke rumah Mak Cik
Timah. Setibanya di rumah Mak Cik Timah, kami lihat Ramli terbaring di atas katil sambil mengerang
kesakitan. Rupanya dia terjatuh dan patah kakinya semasa cuba menolong ibunya berkemas.

Abang segera menelefon ambulan untuk meminta bantuan. Dengan sedikit pengalaman dan ilmu
yang saya pelajari semasa di Persatuan Bulan Sabit Merah, sedaya upaya saya cuba menolong Ramli.
Tidak sia-sia saya menyertai Persatuan Bulan Sabit Merah kerana di waktu kecemasan begini, segala
ilmu yang saya pelajari dapat digunakan untuk membantu orang lain. Saya dan abang juga sedaya
upaya mententeramkan Ramli dan Mak Cik Timah kerana kedua-duanya berasa panik dan tertekan.

Sementara menunggu kedatangan ambulan, saya dan abang juga membantu Mak Cik Timah
mengemaskan dokumen-dokumen penting yang perlu dibawa semasa pemindahan nanti. Mak Cik
Timah tidak berhenti-henti memuji kami serta mengucapkan ribuan terima kasih atas pertolongan
yang kami hulurkan. Sikap ringan tulang kami membantu mereka menyebabkan Mak Cik Timah rasa
cukup terharu. Bagi kami itu hanyalah sebahagian dari rasa tanggungjawab sebagai jiran yang perlu
saling bantu membantu bila memerlukan bak kata pepatah "yang berat sama dipikul, yang ringan
sama dijinjing".

Walau agak penat dan basah kuyup kerana terpaksa mengharungi hujan dan juga banjir, kami
merasa amat puas kerana dapat membantu Mak Cik Timah dan anaknya. Hilang penat kami bila
melihat Mak Cik Timah dan Ramli juga telah bersedia untuk dipindahkan ke pusat pemindahan.
Senyuman dan puji-pujian yang Mak Cik Timah hamburkan membuatkan kami rasa amat berbesar
hati. Memang tidak sia-sia pertolongan yang kami hulurkan kepada mereka.

(378 patah perkataan)

Anda mungkin juga menyukai