Anda di halaman 1dari 8

Teknik Penyoalan dalam Proses Pengajaran dan Pembelajaran..

Teknik soal jawab merupakan teknik yang paling lama dan paling popular digunakan
dalam bidang pendidikan. Pemilihan teknik ini dalam pengajaran dan pembelajaran
dapat melahirkan interaksi antara guru dan pelajar secara berkesan. Di samping itu,
ia dapat dijadikan teras kepada pembinaan konsep-konsep, kesanggupan memberi
pernyataan dan melahirkan perasaan, penglibatan dan percaya diri sendiri di kalangan
pelajar. Teknik ini dilaksanakan dengan cara guru mengemukakan soalan-soalan yang
berkaitan dengan isi pelajaran dan pelajar dikehendaki memberi tindak balas yang
sewajarnya. Kejayaan penggunaan teknik ini dalam pengajaran dan pembelajaran
bergantung kepada kebolehan guru untuk menguasai teknik menyoal.

Menyoal atau bersoal jawab sering menimbulkan masalah kepada pelajar-pelajar


sama ada dalam kelas KBSR ataupun KBSM. Apabila pelajar ditanya sama ada
mereka mempunyai soalan atau tidak, mereka akan berdiam diri atau memberitahu
tidak mempunyai soalan. Adakah benar pelajar-pelajar tidak mempunyai soalan untuk
ditanya tidaklah dapat dipastikan. Namun satu soalan yang boleh ditimbulkan di sini
ialah adakah guru telah mengajar kemahiran menyoal kepada pelajar-pelajar di dalam
kelas? Salah satu perkara yang penting ketika berkomunikasi ialah aktiviti bertanya
dan menyoal. Kemahiran bertanya dan menyoal bukan sekadar untuk kita
mendapatkan sesuatu maklumat tetapi dapat membantu kita membina iklim
komunikasi yang positif dan memupuk sikap saling memahami dan bekerjasama.

Secara umumnya teknik menyoal merupakan teknik yang penting dalam aktiviti
pengajaran guru kerana hampir kesemua proses pengajaran dan pembelajaran
melibatkan teknik penyoalan. Contohnya dalam gambarajah berikut:
Tujuan penggunaan Teknik Penyoalan

Soalan-soalan boleh digunakan untuk melihat keupayaan pelajar memahami sesuatu


blok informasi, untuk mengalih perhatian pelajar daripada satu fakta kepada satu fakta
yang lain, untuk menegaskan kepentingan isi dengan memberikan penekanan
kepadanya, untuk mengarah pelajar ke hala yang betul dan sebagainya. Walau
bagaimanapun, penggunaannya yang paling bernilai adalah untuk mencerna
pemikiran. Ini kerana soalan-soalan dikemukakan untuk menganalisis, mensintesis
dan menilai kemahiran dan menyediakan latihan untuk pelajar berkomunikasi. Tujuan
utama penggunaan teknik penyoalan dalam pengajaran dan pembelajaran ialah:

i. Untuk mengesan pengetahuan berbahasa pelajar.

ii. Untuk menggalakkan pelajar berfikir secara kreatif, inovatif, logik dan juga kritis.

iii. Untuk mendorong pelajar menyusun dan menghuraikan bahan yang diajar.

Teknik soal jawab dianggap teknik terpenting dalam pengajaran dan pembelajaran
kerana soalan yang terancang dan bermutu dapat membantu menajamkan pemikiran
pelajar di samping dapat mewujudkan iklim pembelajaran yang lebih dinamik dan
berkesan.

Prinsip-Prinsip Panduan Penyoalan

Bagi memastikan kelancaran pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas, guru


perlulah menyediakan soalan-soalan yang dapat mengasah pemikiran kreatif di
kalangan pelajar. Berikut ini merupakan ciri-ciri teknik penyoalan yang sesuai
digunakan bagi memungkinkan kejayaan teknik ini dalam aktiviti pengajaran dan
pembelajaran.

i. Soalan-soalan yang hendak dikemukakan hendaklah dirancang

ii. Soalan-soalan hendaklah bersesuaian dengan peringkat kebolehan pelajar


iii. Aras soalan hendaklah tidak terlalu senang dan tidak pula terlalu sukar

iv. Perkataan atau istilah yang hendak digunakan haruslah boleh difahami oleh pelajar

v. Beri peluang kepada pelajar untuk memikirkan jawapan

vi. Kemukakan soalan kepada seluruh kelas dan elakkan daripada mengemukakan
soalan kepada murid tertentu sahaja.

vii. Kemukakan soalan terlebih dahulu sebelum menentukan nama murid.

viii. Bentuk soalan hendaklah berubah-ubah untuk menarik perhatian murid.

ix. Tentukan bahawa soalan itu dapat didengar dengan jelas oleh pelajar seluruh kelas

x. Soalan yang dibentuk harus mampu mendorong pelajar untuk berfikir

xi. Elakkan soalan yang mengandungi jawapan di dalamnya

xii. Soalan hendaklah ringkas dan jelas.

Ciri-ciri Soalan yang Sesuai Digunakan

Soalan-soalan yang diolah perlulah bersifat pelbagai. Sifat semula jadi soalan yang
boleh dipelbagaikan bertujuan untuk memastikan tindak balas yang berbeza di
kalangan pelajar. Satu cara yang konvenien untuk mengkategorikan soalan ialah
dengan melihat frekuensi penggunaannya mengikut tahap domain kognitif. Ini
bermakna soalan-soalan harus dapat dikategorikan dengan baik. Umpamanya:

i. Pengetahuan

Soalan-soalan berbentuk pengetahuan merupakan soalan yang dapat mencerna


ingatan mudah. Kategori soalan jenis ini perlulah dipilih oleh guru terutamanya ketika
menyampaikan tajuk, topik atau idea baru kepada pelajar.

ii. Pemahaman
Setelah didedahkan dengan sesuatu konsep dan pengetahuan, guru seharusnya
menyoal soalan-soalan yang berbentuk pemahaman. Ini bermakna aktiviti pengajaran
dan pembelajaran akan berlangsung dalam dimensi memahami atau kegiatan
memaham.

iii. Aplikasi

Seterusnya ciri-ciri soalan yang berikut ini melibatkan penggunaan informasi yang
diberikan kepada pelajar. Soalan-soalan aplikasi bertujuan untuk membantu pelajar
menggunakan pengetahuan menerusi informasi-informasi yang disalurkan semasa
aktiviti pengajaran dan pembelajaran.

iv. Analisis

Ciri-ciri soalan analisis ialah soalan bentuk ini berfungsi untuk memisahkan idea. Pada
peringkat yang lebih tinggi, pelajar akan dikemukakan dengan soalan-soalan
menganalisis dan guru perlulah berhati-hati agar pelajar dapat mengikuti isi
pembelajaran dan menggunakan semua kemahiran yang diterapkan kepada mereka.

v. Sintesis

Soalan sintesis merupakan soalan-soalan yang boleh membantu pelajar mencantum


dan mewujudkan suatu idea baru menerusi maklumat awal yang didedahkan kepada
mereka. Kemahiran ini juga menghendaki kemahiran yang tinggi di mana guru dapat
membimbing pelajar sehingga mereka mampu mensintesis maklumat.

vi. Menilai
Pada peringkat yang paling tinggi, soalan berbentuk menilai akan diberikan kepada
pelajar. Menilai bermakna pelajar harus dapat membuat dan juga mempertahankan
justifikasi mereka.

Kategori-kategori Soalan lain

Terdapat juga cara lain untuk mengkategorikan soalan. Ia boleh dilakukan menurut
fungsinya yang utama, umpamanya:

i. Soalan-soalan mengikut urutan (First-Order Question)

Soalan bentuk ini adalah soalan mudah yang biasa digunakan. Soalan ini dikatakan
mengikut urutan kerana ia mengikut urutan pendedahan maklumat yang diberikan
dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran.

ii. Soalan-soalan mencungkil

Soalan-soalan mencungkil merupakan jenis soalan yang dapat mencungkil


pengetahuan pelajar secara beransur-ansur. Teknik ini juga menghendaki guru untuk
menghasilkan soalan-soalan yang kreatif serta jelas dan mudah agar pelajar tidak
berasa bosan.

iii. Soalan-soalan terbuka

Soalan-soalan terbuka merupakan bentuk soalan bebas yang berupaya menilai


keupayaan dan pengetahuan pelajar. Di samping itu pelajar juga boleh menyoal guru
sebaliknya bagi tujuan mendapatkan kepastian dan penjelasan lebih lanjut. Tindak
balas seperti ini adalah sesuatu yang diharapkan agar guru dapat mengenal pasti
kedudukan pemahaman pelajar.
iv. soalan-soalan bercapah

Soalan-soalan bercapah merupakan soalan yang mampu menjana pemikiran secara


meluas. Soalan-soalan yang subjektif akan membantu pelajar meluaskan skop
pemikiran dan ini sangat penting bagi mereka.

Kesan Kemahiran Penyoalan dan Pengajaran dan Pembelajaran

Terdapat banyak kesan teknik penyoalan dalam pengajaran dan pembelajaran. Di


antaranya ialah seperti yang berikut:

i. Murid bertambah aktif

Menambahkan minat pelajar dan mengelakkan mereka daripada berasa jemu. Ia juga
akan dapat menguji pengetahuan sedia ada pelajar.

ii. Dapat mengenalpasti masalah pelajar

Sekiranya pelajar tidak dapat menguasai sesuatu topik pelajaran, dia akan sukar atau
tidak dapat menjawab soalan yang dikemukakan. Oleh itu, guru akan dapat
mengenalpasti masalah pelajar.

iii. Mengeratkan hubungan antara guru dan pelajar.

Menerusi teknik ini, hubungan guru dan murid akan lebih erat dan pelajar lebih
bersedia dan berkeyakinan menghadapi sesuatu ujian.
iv. Membantu pelajar

Teknik penyoalan juga akan dapat membantu pelajar menjangkakan soalan-soalan


yang mungkin atau menjangkakan tajuk-tajuk penting dalam peperiksaan. Ini
membolehkan mereka untuk mengulangkaji topik-topik berkenaan.

Peranan Guru

Apabila kita bercakap tentang teknik mengajar, kita sebenarnya menumpukan


perhatian kepada pencapaian guru yang mengajar, iaitu cara tertentu yang
dilakukannya dengan menggunakan kemudahan bahan pengajaran serta langkah
yang diamalkannya. Seorang guru menjadi tumpuan pelajar kerana dia sendiri akan
bertanggungjawab bagi menentukan kejayaan atau kegagalan sesuatu pengajaran
dan pembelajaran yang dirancangkannya.

Dalam teknik penyoalan, pengajaran dan pembelajaran yang menggunakan


kemahiran ini sangat mementingkan peranan guru. Peranan guru amat penting untuk
menentukan proses teknik ini dapat dijalankan dengan lancar dan berkesan.
Kemahiran guru untuk mempelbagaikan teknik soalan akan dapat membantu proses
pengajaran dan pembelajaran terlaksana dengan baik dan berkesan.

Teknik soal jawab yang baik merupakan aspek penting dalam pengajaran dan
pembelajaran kerana soalan yang terancang dan bermutu dapat membantu
menajamkan pemikiran pelajar di samping dapat mewujudkan iklim pembelajaran
yang lebih dinamik dan berkesan.
Kesimpulan

Kemahiran menyoal dalam kaedah pengajaran dan pembelajaran merupakan antara


suatu perkara yang penting dalam menguasai ilmu pengetahuan. Dalam bilik darjah,
setiap pelajar akan mengemukan soalan kepada guru bertujuan untuk memahami
setiap konsep yang disampaikan oleh guru semasa didalam kelas. Melalui teknik
penyoalan ini, guru akan menerangkan isi-isi penting agar pelajar dapat memahami
serta membolehkan pelajar meningkatkan pemikiran mereka ke tahap yang lebih
tinggi. Melalui teknik penyoalan ini pelbagai ilmu dapat dikuasai oleh setiap pelajar
sama ada di peringkat pra sekolah, sekolah rendah, sekolah menegah mahupun di
IPT-IPT. Melalui teknik seperti ini juga dapat membantu pelajar supaya bergiat secara
aktif dalam menguasai bidang ilmu dengan lebih giat lagi. Guru juga perlulah
mengemukakan soalan kepada pelajar agar pelajar dapat berfikir mengenai topik yang
dipelajari supaya mereka dapat memahami dengan mudah dan berkesan. Oleh itu
kemahiran menyoal dalam pengajaran dan pembelajaran amat penting dapat bidang
pendidikan.

Anda mungkin juga menyukai