Anda di halaman 1dari 8

Jurnal Pendidikan Bil 1 (2) 2014

MOTIVASI KENDIRI MENURUT PERSPEKTIF ISLAM: PERANANNYA DALAM


MENINGKATKAN PROFESIONALISME KEGURUAN

Oleh ;
Tengku Elmi Azlina Binti Tengku Muda, Zetty Nurzuliana Binti Rashed
dan Shahidan Binti Ahmad

ABSTRAK

Motivasi Kendiri merupakan salah satu komponen yang membentuk kecerdasan emosi manusia
sebagaimana yang terkandung dalam Model Kecerdasan Emosi Goleman-Noriah (2005).
Motivasi kendiri yang tinggi dalam diri seorang pendidik memudahkannya untuk mencapai
matlamat dalam kerjaya yang diceburinya. Selain daripada itu, motivasi kendiri juga akan
membentuk sikap kreatif dan sentiasa merebut segala peluang yang boleh meningkatkan lagi
profesionalisme dalam bidang keguruan.Oleh yang demikian kertas kerja ini akan
membincangkan mengenai empat aspek yang terkandung dalam komponen motivasi kendiri
iaitu dorongan pencapaian, komitmen, inisiatif, optimis dan minat yang mempunyai peranan
dalam meningkatkan profesionalisme keguruan. Perbincangan kertas kerja ini juga memberi
fokus aspek motivasi kendiri dari perspektif Islam.

Kata kunci ; Motivasi, Islam & Keguruan

PENGENALAN

Kecemerlangan seorang guru bukan hanya bergantung kepada kecemerlangan akademik semata-
mata. Menurut Goleman (1995), hanya 20% kecemerlangan individu bergantung kepada
kecemerlangan kecerdasan intelek (IQ) manakala baki 80% adalah berdasarkan kepada tahap
kecerdasan emosi (EQ) yang dimilikinya. Dengan lain perkataan, kecerdasan intelek (IQ)
hanyalah sebagai laluan untuk mendapatkan tempat dalam pekerjaan. Selebihnya dari segi
bagaimana berhadapan dengan situasi dalam pekerjaan dan sejauhmana keharmonian
perhubungan dalam organisasi bergantung kepada tahap kecerdasan emosi yang dimilikinya.
Motivasi Kendiri yang tinggi merupakan sebahagian daripada tahap kecerdasan emosi yang perlu
dimiliki oleh seorang pendidik. Menurut Goleman (1998) Motivasi kendiri ialah kecenderungan
emosi yang membimbing atau memudahkan seseorang untuk mencapai sesuatu matlamat.
Kecekapan ini merupakan penggerak dalam memperbetul persepsi dan membentuk tindakan
seseorang. Pekerjaan yang terhasil kesan daripada motivasi kendiri yang tinggi akan melahirkan
kepuasan dalaman. Individu yang melakukan tugas untuk mencapai kepuasan dalaman akan
menikmati keceriaan, kegembiraan dan berminat sepanjang melaksanakan tugas tersebut.
Ganjaran yang paling berharga bagi individu yang mempunyai motivasi kendiri yang tinggi
ialah cabaran dan rangsangan yang kreatif dalam pekerjaan tersebut dan peluang untuk
membolehkannya terus belajar. Individu ini juga akan merasa bermaruah kerana berjaya
melaksanakan sesuatu tugas hingga selesai, bekerjasama dan membantu atau mengajar orang lain
dalam pekerjaan.

34
Jurnal Pendidikan Bil 1 (2) 2014

Motivasi kendiri adalah penting kerana dalam dunia kerjaya perguruan, banyak cabaran yang
terpaksa ditempuhi. Cabaran ini adakala berjaya dilalui dengan mudah tetapi adakalanya amat
sukar untuk ditempuhi sehingga menganggu prestasi dalam perkhidmatan seseorang pendidik.
Kajian literatur banyak membuktikan bagaimana seorang guru mengalami tekanan dan
penurunan dalam prestasi kerja dan lebih membimbangkan lagi apabila sesetengahnya mula
memasang niat untuk berhenti kerja bagi mencari kerjaya yang bersesuaian dengan dirinya.
Menurut Barling (1990), stress dilihat sebagai penurunan kepada kualiti kerja dan keinginan
untuk meninggalkan pekerjaan. Sapora Sipon (2010) turut menyatakan bahawa cabaran yang
tidak dapat ditangani oleh guru akan menyumbang kepada stress yang tinggi. Stress dalam
kalangan guru akan menjadi halangan kepada produktiviti kerja yang baik dan memberi kesan
kepada fizikal dan psikologikal guru. Oleh yang demikian jelaslah menunjukkan bahawa tanpa
motivasi kendiri yang tinggi seseorang pendidik amat sukar untuk melalui pelbagai cabaran
dalam kerjaya.

ISU-ISU DALAM KERJAYA PERGURUAN

Profesion perguruan adalah profesion yang tidak mempunyai pembahagian masa yang jelas
antara masa bekerja dan masa tidak bekerja. Menurut Noriah (1994) keadaan sedemikian boleh
mewujudkan tekanan kepada guru-guru. Selye (1969) menyatakan bahawa tekanan yang
berpanjangan boleh membawa kepada gangguan emosi di tahap yang berbeza-beza daripada
tahap rendah hingga ke tahap serius. Ini akan mewujudkan emosi yang pelbagai seperti bosan,
lesu, marah, kecewa dan benci (Muchinsky, 1997). Noriah (1994) juga turut menyatakan bahawa
tugas guru merupakan tugas yang kompleks dan mencabar. Mereka bukan sahaja perlu mengajar,
malah perlu melakukan kerja-kerja pengkeranian dan pentadbiran, menjalankan aktiviti
kokurikulum dan juga melibatkan diri secara aktif dalam Persatuan Ibu-Bapa dan Guru (Noriah
1994). Melihat kepada situasi tersebut ianya akan memberi kesan terhadap penururunan tahap
motivasi guru dalam pekerjaannya sekiranya tidak diambil langkah-langkah untuk
membendungnya.

Kajian-kajian literatur banyak membuktikan terdapat penurunan dari aspek kepuasan kerja akibat
kurangnya motivasi kendiri yang wujud dalam diri. Menurut Sapora Sipon (2009) masalah
kepuasan kerja guru perlu ditangani kerana ia boleh menjadi satu ancaman dalam bidang
pendidikan. Banyak kajian yang menunjukkan guru seringkali gagal dalam menikmati kepuasan
kerja yang tinggi (Ezdiani Awg 2004; Narimah 2003;Nor Amrah 2002; Lim 2002). Rasa tidak
puas hati pekerja akan menyumbang kepada penurunan kualiti kehidupan guru (Chua & Adi
Fahrudin, 2002), kesejahteraan pekerja ( Romano & Wahlstrom 2000), dan seterusnya memberi
kesan terhadap tahap profesionalisme guru (Sapora & Justina 2002). Kajian-kajian Betoret
(2006), (Philip (1999), Tan (2002) dan Sim (2002) jelas membuktikan bahawa guru mengalami
kepuasan kerja yang rendah. Simpton-simpton kepuasan kerja boleh dilahirkan dalam bentuk
tingkahlaku seperti tidak hadir bekerja, sering merungut dan pulang awal. Kajian Ahmad Jawahir
(2009) ke atas Guru Khas Matapelajaran Pendidikan Islam juga mendapati bahawa majoriti
responden (71.2%) menyatakan tahap kepuasan mereka sederhana, 28.8% menyatakan kepuasan
mereka tinggi dan tiada seorangpun yang memiliki kepuasan rendah.

Berdasarkan dapatan kajian oleh pengkaji-pengkaji sebelum ini berkaitan dengan situasi yang
dialami oleh guru-guru jelas menunjukkan bahawa guru-guru mempunyai permasalahan dalam
menangani cabaran dalam kerjaya perguruan. Kajian oleh Syed Sofian (2010) juga menunjukkan
bahawa terdapat hubungan yang signifikan antara tekanan kerja keatas niat berhenti kerja. Hal

35
Jurnal Pendidikan Bil 1 (2) 2014

ini membuktikan bahawa pentingnya kepuasan dalam kerjaya bagi mengelakkan berlakunya
hasrat untuk berhenti kerja dalam kerjaya perguruan.

KEPENTINGAN MOTIVASI KENDIRI DALAM MENINGKATKAN


PROFESIONALISME KEGURUAN

Motivasi kendiri amat penting kerana ianya diibaratkan sebagai pemangkin untuk pembangunan
diri secara spiritual bagi merealisasikan harapan dan cita-cita yang dibina. Motivasi kendiri perlu
dipupuk dan ianya tidak datang sendiri. Memupuk motivasi kendiri secara berterusan akan
menjadikan motivasi kerja semakin meningkat dan akhirnya menjadikan pekerjaan sebagai
sesuatu yang bermakna dalam kehidupan (Friedlandler, 1966). Motivasi kerja juga penting
untuk membentuk sikap yang positif dan peningkatan prestasi dalam kerjaya ( Hung-Wen Lee &
Ching-Hsiang Liu 2009; Wijono 1997). Kemahiran dalam motivasi kendiri mengandungi lima
aspek utama yang perlu dimiliki oleh guru sekaligus membantu guru meningkatkan
profesionalisme keguruan. Lima aspek tersebut ialah dorongan pencapaian, komitmen, inisiatif,
optimis dan minat ( Goleman (1995) dan Noriah (2005). Penerangan mengenai kepentingan
aspek tersebut dalam meningkatkan profesionalisme keguruan adalah seperti berikut:-

a. Dorongan Pencapaian

Dorongan pencapaian merupakan kemahiran individu yang berorientasikan penghasilan


(McCllelland 1993). Guru yang mempunyai dorongan pencapaian yang tinggi akan sentiasa
mempunyai semangat untuk mencapai sesuatu matlamat atau kecemerlangan yang piawai dalam
kerjaya yang diceburinya. Dalam meletak sasaran matlamat yang mencabar, mereka bersedia
mengambil risiko yang telah dipertimbangkan sebelumnya (Noriah 2005). Mereka juga sentiasa
menimba pelbagai maklumat untuk mengurangkan ketidaktentuan dan mencari jalan untuk
membuat sesuatu dengan lebih baik. Mereka sentiasa terdorong untuk mempelajari cara-cara
yang dapat meningkatkan prestasi diri. Oleh itu mereka sangat menghargai respon daripada “ top
performers” tentang cara yang digunakan untuk mencapai prestasi terbaik mereka.

Dalam kerjaya perguruan, dorongan pencapaian yang menjadi keutamaan adalah merealisasikan
matlamat pendidikan negara dan meningkatkan ilmu pengetahuan dalam segala bidang. Guru
perlu meletakkan matlamat untuk memberi fokus kepada pemerolehan kemahiran dan
ketrampilan di samping keperluan menerapkan nilai-nilai murni dalam kalangan pelajar sekolah.
Guru juga perlu bertanggungjawab untuk memperbaiki segala kelemahan dan kekurangan di
kalangan pelajar sama ada dari aspek mental mahupun moral. Dengan adanya matlamat yang
dijadikan fokus utama, perjalanan karier seseorang pendidik menjadi lebih terarah dan sekaligus
mencapai kecemerlangan dalam perkhidmatan. Terhasilnya kecemerlangan memberi kesan
terhadap peningkatan tahap motivasi kendiri seorang pendidik terhadap kerjaya yang dipilih.
Dorongan pencapaian juga menjadi pemangkin kepada pemupukan budaya kerja cemerlang.
Usaha pemupukan budaya kerja cemerlang ditentukan oleh tahap motivasi dan matlamat yang
ada dalam diri. Seorang pendidik perlu melihat sejauhmana mereka merasa perlu melakukan
kerjanya dengan cemerlang dan merasa gembira dengan segala tindakan yang telah dilakukan
serta persekitaran kerjanya. Islam juga amat menekankan amalan budaya kerja cemerlang
sebagai tuntutan kecemerlangan dalam kerjaya melalui sifat kompetitif. Penegasan terhadap nilai
terkandung dalam Firman Allah yang bermaksud

“Dan bagi tiap-tiap umat ada kiblatnya yang ia mengadap kepadanya.Maka berlumba-
lumbalah kamu dalam berbuat kebajikan.Di mana sahaja kamu berada pasti Allah akan

36
Jurnal Pendidikan Bil 1 (2) 2014

mengumpulkan kamu sekalian pada hari kiamat. Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa
atas segala sesuatu”.
al-Baqarah:148

Konsep kompetitif dalam Islam bukan sekadar dalam urusan melaksanakan kebaikan atau
mengurus tetapi juga kompetitif dalam melakukan urusan koreksi atau pembaikian atas
kesilapan.Dalam konteks keimanan, ia bererti bertaubat. Hal ini dapat difahami melalui perintah
Allah s.w.t dalam Surah al-Hadid:21 sebagaimana berikut:

“Berlumba-lumbalah kamu menuju keampunan dari Tuhanmu dan syurga yang luas
seluas langit dan bumi, disediakan untuk orang-orang yang beriman kepada Allah dan
Rasul-rasulNya. Itulah kurniaan Allah yang dianugerahkan kepada sesiapa yang
dikehendakinya, dan Allah itu mempunyai kurniaan yang besar”.
Surah al-Hadid:21

Melalui perbincangan diatas jelaslah menunjukkan bahawa melalui dorongan pencapaian yang
wujud dalam diri, seseorang pendidik lebih memahami 1) apakah matlamat utama yang perlu
dicapai dalam kerjayanya, 2) apakah langkah yang perlu diambil untuk mencapainya, 3) adakah
setiap urusan kerja yang dilakukan berlandaskan jalan Allah, 4) apakah kekurangan diri yang
perlu diperbaiki demi kecemerlangan kerjaya dan lain-lain lagi. Pemahaman yang mendalam
berkaitan aspek tersebut membolehkan seseorang pendidik sentiasa membuat penilaian terhadap
diri dan berusaha untuk mencapai matlamat kerjaya yang diimpikan.

b. Komitmen Kerja

Komitmen menggambarkan kebolehan mensejajarkan matlamat diri dengan matlamat organisasi.


Individu yang mempunyai komitmen yang tinggi akan bersedia membuat pengorbanan demi
mencapai matlamat organisasi yang lebih besar. Mereka dapat menggunakan nilai-nilai utama
kumpulan dalam membuat keputusan dan menjelaskan pilihan serta aktif meneroka peluang-
peluang untuk mencapai misi kumpulan. Individu yang mempunyai komitmen yang tinggi dalam
sesebuah organisasi akan menikmati rasa kepunyaan kepada organisasi yang disertainya
(Goleman 1998). Individu yang telah terangsang dengan matlamat yang dikongsi bersama,
biasanya mempunyai iltizam yang lebih tinggi berbanding dengan insentif kewangan. Individu
ini juga mengetahui pengertian nilai kerja, memiliki keprihatinan, kesetiaan dan sedia memberi
komitmen spontan tanpa berbelah bagi demi kejayaan organisasi.

Dalam kerjaya perguruan, komitmen terhadap kerjaya adalah bergantung kepada sejauhmana
seseorang guru itu melaksanakan tugasannya dalam mendidik dengan bersungguh-sungguh dan
berdedikasi atau bekerja seolah-olah organisasi itu miliknya sendiri. Dalam konteks mendidik
pelajar juga, seseorang guru tidak mengamalkan sikap sambil lewa dalam mendidik dan
menganggap tanggungjawab mendidik pelajar bagaikan mendidik anak sendiri.

Komitmen sebenarnya mempunyai kaitan dengan kepuasan kerja. Namun demikian seseorang
yang komited pada kerja tidak semestinya seseorang yang berpuas hati terhadap kerjayanya. Ada
kemungkinan ketidakpuasan hati itu lahir daripada sistem ganjaran yang tidak memuaskan, dasar
pembuatan keputusan yang tidak menyeluruh dan sebagainya. Oleh yang demikian, langkah
tertentu perlu diambil bagi mengatasi permasalahan ketidakpuasan kerja agar keseronokan dalam
bekerja dapat dicapai sekaligus meningkatkan lagi tahap komitmen terhadap tugas. Kajian
Noorhafeza Herliani Adey & Ferlis Hj. Bahari (2010) terhadap kepuasan kerja dan hubungannya

37
Jurnal Pendidikan Bil 1 (2) 2014

terhadap komitmen terhadap organisasi menunjukkan bahawa terdapat hubungan yang signifikan
antara kepuasan kerja dan komitmen organisasi. Kekuatan elemen komited sehingga membentuk
budaya kerja ini juga boleh dinilai melalui sabda baginda yang lain yang bermaksud:

“Wahai segenap manusia, hendaklah beramal soleh sesuai dengan kemampuan kamu,
sesungguhnya Allah s. w. t tidak akan jemu sehingga kamu merasa jemu. Amal yang
paling dicintai Allah itu ialah amal yang dikerjakan secara rutin dan terus-menerus
walaupun sedikit'.

Perkataan itqan dalam hadith pertama, dimaksudkan sebagai komited, tekun, dedikasi dan
berterusan. Dalam al-Quran, Allah s.w.t menyebut dalam Surah al-Insyirah :7 yang bermaksud,

“Dan apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal soleh), maka
bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal soleh yang lain)”

Dengan itu, perlulah disedari bahawa budaya kerja cemerlang bukanlah suatu warisan turun-
temurun, ia bergantung kepada komitmen kerja setiap penjawat awam pada setiap peringkat
perkhidmatan. Komitmen pula tidak akan lahir secara kekal jika pengurus organisasi tidak
mengusahakan pelbagai bentuk motivasi staf, latihan, persekitaran yang kondusif termasuklah
perkhidmatan kaunseling daripada semasa ke semasa. Oleh itu, adalah penting untuk mengenal
pasti ukuran penilaian bagi budaya kerja cemerlang dan beriltizam serta memperkukuhkan
kerjasama yang kental untuk mencapainya secara holistik.

c) Inisiatif

Inisiatif ialah sifat seseorang yang mempamerkan sikap proaktif dan bersedia merebut peluang.
Individu yang memiliki sifat ini biasanya melaksanakan tugas melangkaui matlamat yang
diperlukan dan diharapkan daripada mereka. Inidividu ini juga akan melalui dan melenturkan
peraturan (apabila perlu) demi menyelesaikan sesuatu pekerjaan. Berupaya mengembeling
rakan-rakan dan sumber-sumber lain dalam melaksanakan sesuatu tugas dengan cara tersendiri.
Individu sedemikian akan terus berusaha sehingga cita-cita yang diimpikannya tercapai. Mereka
dapat menggerakkan individu lain menerusi daya usaha yang luar biasa. Individu yang
mempunyai inisiatif yang tinggi beranggapan bahawa apabila dia mengetahui sesuatu yang
diingini dan dapat melihat kebolehlaksanaannya, dia dapat merangka langkah-langkah untuk
melaksanakannya (Noriah 2005). Seterusnya hanya ketekunan dan ketabahan yang akan
menentukan pencapaian. Walaupun inisiatif merupakan amalan terpuji, individu perlu
menyeimbangi sifat ini dengan kesedaran sosial bagi mengelakkan kesan-kesan negatif yang
tidak bertujuan. Dalam kerjaya perguruan, sifat inisiatif yang tinggi amat penting dalam mencari
teknik dan kaedah baru bagi meningkatkan lagi tahap keberkesanan pengajaran dan
pembelajaran. Sifat inisiatif juga bukan sahaja difokuskan kepada diri sendiri tetapi turut
berkongsi ilmu dengan rakan sejawat yang lain.

Sifat inisiatif juga turut digalakkan dalam Islam. Perkataan inisiatif yang sesuai diletakkan
dalam konteks Islam ialah ‘ihtiati’. Dalam bidang ilmu dan pendidikan istilah revolosi ilmu
sangat sesuai untuk digunapakai. Ia juga dinamakan revolusi pemikiran. Al-Quran dan
Assunnah merupakan teras Ilmu Islam telah mencetuskan Ilmu Sains yang menggunakan
prinsip-prinsip rasional, eksperimen dan emperikal. Kesepaduan Ilmu ini sebenarnya hendaklah
diambil kesempatan oleh guru-guru muslim dalam meningkatkan profesionalisme keguruannya
(Tajul Arifin et all.2002). Guru-guru yang mempunyai inisiatif ini akan sentiasa memikirkan dan

38
Jurnal Pendidikan Bil 1 (2) 2014

mencuba pendekatan atau kaedah mengajar yang baru supaya proses pengajaran dan
pembelajaran menjadi lebih menarik dan berkesan. Sehubungan dengan itu setiap guru perlu
menguasai ilmu pedagogi dalam melaksanakan kehendak-kehendak kurikulum. Dalam
perspektif Islam, betapa perlunya kita memanfaatkan penggunaan akal yang dikurniakan Allah
untuk mencari kepelbagaian inisiatif. Justeru guru yang bermotivasi akan menggunakan akal
anugerah Allah ini untuk memikirkan jalan-jalan yang boleh diterokai dalam meningkatkan
profesionalisma mereka sesuai dengan maksud firman Allah:

berfikirlah kamu wahai orang-orang yang mempunyai akal fikiran”


al-Hasyr: 59:2

Di samping itu, Islam melihat jauh kehadapan dari sudut imbuhan dan balasan bilamana
seseorang guru yang mempunyai iman itu melaksanakan tugas dengan memikirkan inisiatif-
inisiatif yang boleh membantu berkembangnya ilmu dan pendidikan. Sudah tentu apa yang
dicari dari sudut agamanya ialah keberkatan pekerjaan itu sendiri. Oleh sebab itu, dalam
melaksanakan tugas ini, imbuhan duniawi tidak perlu difikirkan sangat sebaliknya imbuhan
akhirat dan keberkatan itu yang dicarinya. Bilamana ada keberkatan dalam pekerjaan maka
hasilnya juga akan menjadi lebih baik dan sempurna.

d. Optimis

Optimis dikaitkan dengan ciri individu yang beristiqamah dalam mencapai cita-cita walaupun
terdapat halangan dan masalah. Cara seseorang individu menginterpretasikan halangan adalah
berkaitan dengan sifat optimistik. Individu yang optimistik melihat dari sudut “harapan untuk
berjaya” dan bukan dari sudut “ kemungkinan untuk gagal”. Mereka melihat masalah atau
halangan terhadap pekerjaan sebagai cabaran yang boleh diatasi dan bukan kelemahan peribadi.
Mereka berpendapat bahawa kesilapan adalah harta ke arah peluang memperbaiki diri. Setiap
cabaran yang dihadapi akan disambut dengan hati yang terbuka dan ketentuan bahawa kejayaan
sentiasa ada jika seseorang ingin berusaha ( Noriah, 2005)
Islam sentiasa memandang positif dan optimis terhadap manusia. Justeru itu, manusia diberikan
kemuliaan oleh S.W.T. Oleh sebab itu Islam memandang manusia itu makhluk yang suci,
dilahirkan dalam keadaan suci dan mampu untuk bertindak dan berfikir dalam keadaan yang
penuh kesucian.

“Dan sesungguhnya telah Kami muliakan anak-anak Adam, Kami angkut mereka di
daratan dan di lautan, Kami beri mereka rezeki dari yang baik-baik dan Kami
lebihkan mereka dengan kelebihan yang sempurna atas kebanyakan makhluk yang
telah kami ciptakan.”
Al Isra’: 70

Salah satu contoh aplikasi pandangan positif dan optimis Islam tentang manusia adalah
penyebutan hati (qalbu) dengan istilah ‘nurani’. Dari perspektif Islam, guru-guru yang
mempunyai hati yang mulia dan kebijaksanaan akal yang baik akan sentiasa optimis terhadap
apa yang ingin dilaksanakannya. Sehubungan dengan itu, keimanan merupakan asas kepada
penerapan nilai-nilai budaya kerja yang baik dan optimistik (Fathiyyah,2012) Keimanan
berfungsi sebagai instrumen yang menyeimbangkan dua dimensi iaitu rohani dan jasmani agar
manusia khususnya guru cenderung menerima nilai yang baik untuk diamalkan.

39
Jurnal Pendidikan Bil 1 (2) 2014

Keimanan juga adalah senjata yang mampu mengubah individu menjadi insan baharu yang
sanggup melakukan lonjakan perubahan pada dirinya (Fathiyyah. 2012). Oleh sebab itu apabila
kita melihat sejarah, Sayidina Umar al Khattab boleh meninggalkan semua amalan jahiliahnya
setelah beliau memeluk Islam dan beliau sentiasa optimis dalam melaksanakan tuntutan agama
yang dianutinya itu. Dalam konteks keguruan pula seharusnya seseorang guru yang mempunyai
akal yang sempurna, hati yang baik, iman yang kukuh akan sentiasa optimis terhadap bidang
tugasnya sebagai guru bahkan sentiasa berusaha meningkatkan tahap profesionalismanya ke
arah yang lebih baik.

e. Minat

Minat adalah kecenderungan yang mendalam terhadap sesuatu yang menarik perhatian
seseorang. Minat timbul hasil daripada interaksi antara individu, persekitaran dan rangsangan
yang wujud dalam persekitaran tersebut. Jika rangsangan yang wujud kekal lama, maka minat
yang terbina akan kekal secara berterusan. Minat timbul melalui rangsangan berbentuk ektrinsik,
namun jika minat tersebut berterusan ia akan menjadi sesuatu yang intrinsik. Individu yang
mempunyai minat yang mendalam terhadap sesuatu tugas akan kekal lebih lama dalam
menjalankan tugas tersebut. Individu tersebut juga akan melakukan sesuatu tugas sehingga
selesai dan mereka sangat menyayangi tugas yang diberikan( Noriah, 2005)

Tidak dapat dinafikan bahawa minat merupakan antara faktor utama seseorang guru itu dapat
meningkatkan tahap profesionalismanya. Minat yang disusuli dengan motivasi diri akan
menjadikan seseorang itu akan sentiasa gembira dan ceria dengan tugas yang dilaksanakannya.
Dalam erti kata yang lain seseorang itu akan lebih positif dalam tindakannya. Dalam sebuah
hadis baginda Rasululullah s.a.w ada berpesan kepada kita

“sesungguhnya Allah menyukai kerja seseorang itu yang apabila dia melakukan dia
lakukan dengan tekun dan bersungguh-sungguh”.
(riwayat Abu Daud)

Menurut hadis ini, apabila seseorang Muslim suka membuat sesuatu pekerjaan dengan tekun
sehingga selesai dan sempurna pekerjaannya, maka dia termasuk dalam kategori manusia yang
disukai oleh Allah s.w.t. Pekerjaan yang dilakukan dengan tekun dan bersungguh-sungguh
biasanya datang dari minat yang mendalam terhadap kerja yang dilakukan. Minat yang ada ini
lebih terserlah apabila seseorang guru yang beriman itu merasakan dan beranggapan bahawa
melaksanakan tugas itu adalah amanah yang mesti dilaksanakan. Justeru dalam melaksanakan
tugasan ini seseorang guru yang mempunyai tahap profesionalisma yang tinggi tidak akan lupa
untuk mempraktikkan nilai-nilai murni yang ada dalam Islam. Pelaksanaan nilai-nilai Islam
dalam bertugas adalah perlu. Ini adalah kerana banyak gejala krisis etika telah melanda negara-
negara maju lain di dunia dewasa ini (Mohd Yusof. 1998)

KESIMPULAN

Berdasarkan perbincangan di atas, jelaslah menunjukkan bahawa aspek dalam motivasi kendiri (
komponen kecerdasan emosi) yang terdiri daripada dorongan pencapaian, komitmen, inisiatif,
optimis dan minat dapat meningkatkan tahap kepuasan kerja guru sekali gus meningkatkan tahap
profesionalisme keguruan. Banyak permasalahan berlaku dalam kalangan guru akibat

40
Jurnal Pendidikan Bil 1 (2) 2014

ketidakpuasan hati dalam pekerjaan. Ini mengakibatkan berlakunya penurunan produktiviti


kerja.

Lima aspek motivasi kendiri tersebut bukan sahaja dipersetujui oleh mana-mana forum ilmu dan
pembacaan, malah Islam sendiri memberi penekanan kepada umatnya agar meletakkan matlamat
dalam segala hal yang dilakukan, melaksanakan tanggungjawab yang diberi secara bersungguh-
sungguh dan penuh kejujuran dan sentiasa mencari inisiatif dalam meningkatkan lagi
pengetahuan dalam bidang yang diceburi. Oleh yang demikian, sebagai pendidik yang cemerlang
bukan sahaja cemerlang IQ nya malah cemerlang dalam aspek kecerdasan emosi (EQ). Tahap
motivasi kendiri yang tinggi adalah sebahagian daripada kemahiran dalam kecerdasan emosi
yang boleh membantu meningkatkan keberkesanan perkhidmatan dalam perguruan.

RUJUKAN

Fathiyah Mohd Fakhruddin. (2012), Guru Dalam Pengajaran Pendidikan Islam Peranan dan
Cabaran. Serdang: Universiti Putra Malaysia.
Goleman, D.1996. Emotional Intelligence: Why it can matter more than IQ.London: Bloomsbury
Publishing.
Goleman,D.1998.Working with emotional intelligence. New York: Bantam Books.
Goleman,D.1995. Emotional intelligence. New York: Bantam Books.
Goleman,D.1999.Working with emotional intelligence. New York: Bantam Books
Mohd Yusof Othman. (1998). Membangun Insan Berkualiti. Selangor: Utusan Melayu Berhad.
Noriah Mohd Ishak, Siti Rahayah Ariffin & Syed Najmuddin Syed Hassan.2003. Kepintaran
emosi Dan hubungannya dengan nilai kerja. Jurnal Teknologi 39 (E): 75-82.
Noorhafeza Herliani Adey & Ferlis Hj. Bahari.2010. Hubungan antara kecerdasan emosi,
kepuasan kerja dan komitmen terhadap organisasi. Jurnal Kemanusiaan bil.16, Dis 2010
Syed Sofian Syed Salim. 2010. Kesan kecerdasan emosi ke atas tekanan kerja, kepuasan,
penglibatan bekerja serta niat berhenti kerja di kalangan guru. Tesis Dr.Fal. Fakulti Sains
Sosial Dan Kemanusiaan: Universiti Kebangsaan Malaysia.
Sapora sipon (2010) stress kerja guru , punca, kesan dan strategi daya tindak. Prosiding seminar
profesion perguruan
http://ddms.usim.edu.my/bitstream/handle/123456789/2742/Stres%20Kerja%20Guru%20%20Pu
nca,%20Kesan%20dan%20Strategi%20Daya%20Tindak.pdf?sequence=1
Tajul Ariffin & Noraini Dan. (2002). Pendidikan dan pembangunan manusia: pendekatan
bersepadu. Selangor: Penerbit As-Syabab Media.

41

Anda mungkin juga menyukai