Anda di halaman 1dari 20

Gagasan Negara Islam dalam Baldatun Thoiyyibatun Warabbun Ghafuur Dari Perspektif

Sastera Islam1

Norhayati Ab.Rahman

Universiti Malaya

yati@um.edu.my

Pendahuluan
Konsep Negara Islam

Pemahaman terhadap konsep negara Islam dapat dilihat daripada apa yang telah ditakrifkan oleh
para ulama, yang maksudnya cukup luas. Terdapat beberapa pandangan yang memaksimumkan
ciri-ciri dan skop negara Islam dan terdapat juga pandangan yang mengecilkan dan
meminimumkan skopnya. Namun itu tidak bermakna umat Islam boleh bertelagah dan bergaduh
untuk mengklasifikasikan negara mereka adalah negara Islam yang tulin atau pun sebaliknya. Hal
ini adalah kerana umat Islam melalui pakar-pakar agama mempunyai cara untuk mentarjih2
manamana pendapat yang mereka rasa sesuai dengan konteks negara masing-masing. Apa yang
pasti, selagi definisi negara Islam ini bukan ijmak maka ia tetap dikira sebagai masalah al-
ijtihadiyyah.

Menurut Ibn Hajar, negara Islam atau “al-Dawlah al-Islāmiyyah” itu berasaskan kepada tiga
komponen penting iaitu, pertama, tanah yang didiami oleh umat Islam pada asalnya dan dipimpin
oleh seorang yang beragama Islam. Kedua, tanah yang dibuka oleh umat Islam melalui peperangan
atau persefahaman. Pada asalnya tanah itu didiami oleh orang kafir, selepas kemenangan umat
Islam dalam peperangan, golongan yang dikira sebagai penduduk asal sebelum ini sanggup dan
bersetuju untuk membayar al-Jizyah kepada umat Islam bagi membolehkan mereka terus tinggal
di tanah yang dibuka itu tadi. Ketiga, negara yang didiami oleh umat Islam dan kemudiannya
negara tersebut telah dijajah oleh orang-orang kafir. Sekiranya terdapat pada mana-mana negara

1
Kertas kerja akan dibentangkan dalam Seminar Internasional Sastra Melayu Islami (SISMI), pada28-30 September,
2017, di Masjid Abdul Rahman bin Auf, Kuala Lumpur, anjuran NUMERA Malaysia.
2
Dari sudut etimologi ‘tarjih’ bermaksud ‘menguatkan’. Konsep tarjih muncul ketika terjadinya pertentangan secara
lahir antara satu dalil dengan dalil lainnya, yang setaraf dan tidak dapat diselesaikan dengan cara al-jamu‘u wat-
taufik. Lihat Totok Jumantoro dan Samsul Munir, 2005, Kamus Ilmu Ushul Fiqh, Bandung: Al-Maarif. hlm. 32.

1
di muka bumi ini salah satu daripada tiga komponen di atas maka ia boleh dikategorikan sebagai
negara Islam (Mohd. Izhar Ariff Mohd. Hashim, 2010:58). Ibn Qayyim pula berpendapat,
kebanyakan para ulama antaranya Abu Yusuf mentakrifkan negara Islam sebagai sebuah negara
yang didiami oleh majoriti umat Islam dan seterusnya undang-undang Islam dijalankan, sekiranya
undang-undang Islam tidak dijalankan maka negara tersebut bukanlah sebuah negara Islam. Apa
yang dimaksudkam dengan undang-undang Islam ialah semua tuntutan dan kewajipan yang
dituntut oleh Islam seperti kewajipan solat, puasa, zakat dan seumpamanya.

Al-Shawkani (1985: 575) berpendapat, sebuah Negara Islam dapat dikenali jika semua arahan dan
larangan syariat Islam dapat dilaksanakan dengan berleluasa, manakala golongan non-Muslim
yang berada di dalam negara itu tidak mampu melaksanakan urusan keagamaan mereka kecuali
dengan izin pemimpin tertinggi negara. Al-Sharkhasi (1989: 81) pula telah mengambil pendapat
Abu Hanifah yang mengklasifikasikan negara Islam sebagai sebuah negara yang umat Islam di
dalamnya merasa aman untuk beribadah kepada Allah SWT dan melakukan semua aktiviti-aktiviti
keagamaan yang berkaitan dengan Islam. Jika sebaliknya di mana umat Islam tidak merasa aman
untuk melakukan ibadah dan aktiviti-aktiviti agama Islam maka negara tersebut tidak boleh
dinamakan sebagai negara Islam bahkan ia dikategorikan sebagai negara al-Harbi (Negara Kafir).
Pendapat ini dipersetujui oleh ramai para ulama, antaranya Muhammad Abu Zahrah, Yusuf al-
Qardawi, al-Zuhayli (1998), Ibn Abidin (1966) menyatakan bahawa sebuah negara kafir akan
berubah menjadi negara Islam sekiranya tertegaknya hukum-hukum Islam di dalamnya seperti
kebebasan menunaikan ibadat solat lima waktu, solat Jumaat, hari raya dan sebagainya. Kesemua
perkara tersebut dapat dilaksanakan oleh umat Islam dengan bebas dan aman. Sebuah negara boleh
dinisbahkan kepada pengaruh, penguasaan dan orang yang menerajui negara tersebut. Sekiranya
sebuah negara itu dipengaruhi dan dipimpin oleh orang Islam, maka negara tersebut adalah Negara
Islam.

Sebuah negara akan diiktiraf sebagai negara Islam jika ia dikuasai oleh undang-undang Islam.
Sekiranya negara tersebut dikuasai oleh undang-undang kafir maka ia tidak boleh diiktiraf sebagai
sebuah negara Islam yang tulin. Al-Nabahānī (1980) telah mewajibkan di dalam negara Islam dua
perkara, iaitu perlaksanaan undang-undang Islam seperti hudud, seterusnya keamanan harus dapat
dirasai oleh semua umat Islam dan ahl al-Dhimmah yang berada di dalam negara tersebut.

2
Sekiranya salah satu daripada dua perkara di atas tidak dapat dilaksanakan atau kedua-duanya
sekali maka negara tersebut tidak boleh dinamakan sebagai negara Islam.

Novel Baldatun Thoiyyibatun Warabbun Ghafuur (2011)

Baldatun Thoiyyibatun Warabbun Ghafuur (2011) adalah novel karya Pelita Di Dalam Kaca atau
nama sebenarnya Kamaluddin Endol, yang merupakan penerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia
(HSPM 2010/2011). Kalimat Baldatun Thoiyyibatun Warabbun Ghafuur yang menjadi judul
novel ini merupakan istilah atau frasa yang diambil daripada firman Allâh SWT ketika merujuk
kepada Negeri Saba’ yang pada waktu itu cukup indah dan subur alamnya, dengan penduduk yang
selalu bersyukur atas nikmat yang mereka terima. Dalam kitab suci al-Quran, Allâh Azza wa Jalla
berfirman:

‫سبَإ َكانَ لَقَد‬ ِ ‫ق ِمن ُكلُوا ۖ َو ِش َمال يَ ِمين َعن َجنَّت‬


َ ‫َان ۖ آيَة َمس َكنِ ِهم فِي ِل‬ ِ ‫طيِبَة بَلدَة ۚ لَهُ َواش ُك ُروا َربِ ُكم ِرز‬
َ ‫َغفُور َو َرب‬

Yang bermaksud, “Sungguh bagi Kaum Saba’ ada tanda-tanda (kebesaran Rabb) di kediaman
mereka, iaitu dua buah kebun di sebelah kanan dan di sebelah kiri. Kepada mereka dipesan,
“Makanlah daripada rezeki yang dianugerahi Tuhanmu dan bersyukurlah kepada-Nya!’. Baldatun
thayyibatun wa rabbun ghafûr” (Saba’/34:15).

Dalam konteks ayat di atas Allah menyebut Negeri Saba’ sebagai baldatun thayyibatun wa rabbun
ghafûr. Secara harfiah kalimat tersebut bermaksud “Negeri yang baik dengan Rabb Yang Maha
Pengampun”. Dengan kalimat yang singkat ini, menjelmakan makna yang padat dan berupaya
mewakili semua kebaikan yang dahulunya ada pada contoh Negeri Saba’ tersebut. Ini
memandangkan “negeri yang baik” dapat mencakupi seluruh kebaikan alamnya dan “Rabb Yang
Maha Pengampun” dapat mencakupi seluruh kebaikan perilaku penduduknya, sehingga
mendatangkan inayah keampunan daripada Allâh SWT Tuhan alam semesta.

Dari sudut yang lain, makna Baldatun thayyibatun ialah merujuk kepada “Ini negeri yang baik,
kerana banyaknya pohon-pohon dan bagus buah-buahannya”. Terdapat huraian tentang kebaikan
Negeri Saba’ yang menyebut bahawa: “Di daerah mereka, sama sekali tidak pernah terlihat ada
nyamuk, lalat, kutu, kala jengking, dan ular. Apabila seseorang masuk ke dalam dua tamannya,
dan meletakkan bakul di atas kepalanya, maka pada saat keluar, bakul tersebut akan penuh dengan
beraneka buah-buahan, padahal ia tidak memetiknya dengan tangannya” (Tafsir ath-Thabari,

3
19/247). Ibnu Katsîr Rahimahullah pula mengatakan: “Para ahli tafsir yang lain menyatakan,
dahulu di negeri mereka sama sekali tidak ada lalat, nyamuk, kutu, dan hewan-hewan yang berbisa.
Hal itu kerana cuaca yang baik, alam yang sihat, dan penjagaan dari Allâh, agar mereka
mentauhidkan-Nya dan beribadah kepada-Nya” (Tafsir Ibnu Katsîr, 6/507).

Novel Baldatun Thoiyyibatun Warabbun Ghafuur ini menujah akal budi pembaca melalui
sudut pandangan seorang lelaki Australia bernama Dr. Lleyton Hewitt yang berkunjung ke
Malaysia, yang lebih dikenali sebagai ‘Kota Cahaya’ atas undangan sahabat yang dikenalinya
melalui internet, iaitu Tengku Kamal Izzuddin Syah. Kedatangan dan keberadaan beliau di
Malaysia selama hanya 10 hari telah memberi kefahaman dan penghayatan yang sangat bermakna
kepada dirinya sebagai ‘saudara baharu’ dalam Islam. Di Dr. Lleyton Hewitt menyaksikan
bagaimana keperkasaan dan kesyumulan sebuah negara yang ditadbir mengikut ajaran Islam.
Beliau diperlihatkan bagaimana Islam sebagai ‘the way of life’ dalam kehidupan bernegara,
melalui teori dan praktikal kehidupan daripada peringkat pucuk pimpinan sehinggalah kepada
rakyat jelata. Dengan berlatar belakangkan zaman tahun 2020, Malaysia dicitrakan sebagai sebuah
negara Baldatun Thoiyyibatun Warabbun Ghafuur, sekali gus novel ini menyampaikan gagasan
negara Islam. Melalui novel ini, pengarang memperkenalkan Kota Cahaya sebagai “Madinah
Kedua”, iaitu sebuah negara yang diurustadbir dengan hikmah dan kebijaksanaan cahaya-Nya. Hal
ini menarik perhatian Dr. Lleyton yang juga seorang pengkaji tentang sejarah kebangkitan kuasa-
kuasa besar yang menjadi bangsa terkemuka sejak ribuan tahun dahulu, termasuk juga kebangkitan
bangsa-bangsa Eropah moden, Jepun dan Korea. Dr. Lleyton diperkenalkan di peringkat awal
cerita ini sebagai seorang ‘pencari kebenaran’yang telah mengembara ke pelbagai simpang-
simpang kepercayaan dan agama, tetapi akhirnya merumuskan bahawa cahaya kebenaran hanya
ada satu saja dan bersumber daripada Zat Yang Satu, iaitu Allah Yang Maha Esa (2011:15-16).
Bertolak daripada situlah beliau berada di Kota Cahaya, dalam usaha untuk memperolehi
kefahaman yang lebih mantap dan jitu tentang konsep negara Islam yang dipaktikkan di Malaysia
pada ketika itu. Selama 10 hari berada di negara ini, beliau berpeluang mengikuti pelbagai aktiviti
kehidupan yang melibatkan rakyat dan para pembesar atau pemimpin utama Kota Cahaya, dalam
usaha pengarang untuk menyerlahkan model sebuah negara Islam melalui sudut pandangan watak
utamanya, Dr.Lleyton Hewitt.

4
Sastera Islam pula merujuk kepada karya-karya yang mengutamakan prinsip-prinsip utama,
iaitu pertama, karya hendaklah mendorong pembaca kea rah melakukan amar makruf dan nahi
mungkar. Kedua, karya hendaklah bertujuan untuk menegakkan ajaran Allah, iaitu watak-watak
utamanya adalah orang yang beriman dan beramal soleh, manakala watak antagonisnya ialah
orang-orang jahat yang durjana. Ketiga, karya hendaklah mendorong lahirnya masyarakat yang
adil dan makmur, yang di dalamnya berlaku hukum dan ajaran Allah. Keempat, karya hendaklah
memberi pesan dan kesan yang jelas bahawa tiada hak bagi orang jahat. Dengan memanfaatkan
semua prinsip-prinsip tersebut, dapatlah sesebuah karya itu dikategorikan sebagai karya sastera
Islam.

1. Pemimpin dan Kepimpinan

Bagi pengarang novel Baldatun Thayyibatun Warabbun Ghafûur ini, perencanaan untuk
mewujudkan sebuah model negara Islam, harus bermula dengan aspek yang cukup penting dalam
pembinaan dan pentadbiran sesebuah negara, iaitu soal pemilihan pemimpin negara. Melalui
naratif yang dijalin di dalam novel ini, pemikiran pengarang dalam aspek pemilihan pemimpin
dapat ditelusuri melalui penerangan watak Tengku Kamal Izzuddin Syah kepada Dr. Lleyton yang
dalam beberapa segmen. Beliau menegaskan bahawa memilih barisan kepimpinan negara adalah
tugas yang tersangat penting, kerana nasib bangsa dan negara, terutama kehidupan beragama
terletak di bahu kepimpinan memandangkan mereka berada di barisan hadapan. Menurut
pengarang, dalam sesebuah masyarakat yang telah sakit, punah dan bobrok, masyarakat yang telah
rosak dan hilang hala tuju, keputusan pilihanraya tetap tidak memberikan ruang kemenangan
kepada pemimpin-pemimpin yang baik. Pemimpin-pemimpin yang terpilih biasanya adalah orang-
orang yang serasi dengan selera masyarakat yang rosak tersebut. Inilah kelemahan dalam sistem
demokrasi dan kelemahan ini terus berpanjangan, saling tarik-menarik hingga akhirnya menjadi
kusut – menjadi benang kusut yang tidak terungkai, lalu menjadi badi dan petaka kepada jatidiri
umat Melayu dan Islam, dalam hampir setiap dimensi kehidupan. Inilah bencana! (2011:28).

Melalui keterangan di atas, pengarang berhasrat untuk menunjukkan kelemahan sistem demokrasi
dalam pemilihan pemimpin, dengan menyatakan pemilihan tersebut bukan saja bertentangan
dengan kaedah yang dianjurkan oleh Islam, malah menimbulkan implikasi buruk kepada
pembentukan pemerintahan dalam sesebuah negara. Melalui perbincangan Tengku Kamal
Izzuddin Syah dengan Dr. Lleyton, pengarang menjelaskan pemikirannya bahawa, dalam soal

5
memilih seseorang pemimpin, lebih-lebih lagi peneraju kepimpinan negara, Islam sebenarnya
tidak membuka ruang wewenang kepada semua lapisan masyarakat – terutama orang yang jahat
pekertinya, sama ada dia seorang penjenayah, atau penagih dadah, penzina dan penggemar
maksiat, orang-orang yang rosak akhlaknya, orang-orang yang suka kepada pesta-pestaan dan
tidak menginginkan kehidupan bermaruah, adil, aman dan bahagia, menjadi orang-orang yang
diberi hak dan kuasa untuk memilih kepimpinan negara (2011:27). Melalui perincian dalam
petikan di atas ini, didapati pengarang ingin menegaskan pandangannya bahawa sistem demokrasi
telah ‘dipaksakan’ oleh Barat kepada umat Islam yang baru merdeka, dan memberi impak ketara
kepada dasar ‘pecah dan perintah’ (divide and role) kepada umat Islam. Sehubungan itu, umat
Islam terus berbalahan, bercakaran dan terperangkap dalam sistem kepartian serta berlakunya
perbalahan dalam kempen-kempen pilihanraya. Fenomena ini dilihat sebagai satu tragedi bagi
bumi Melayu yang berlangsung lebih setengah abad, yang telah mencetus permusuhan dan
kebencian yang tidak berkesudahan. Sedangkan umat muslimin adalah umat yang satu – satu
kalimah tauhid, satu kitab, satu kiblat dan bahkan bersaudara! Inilah yang cuba diperlihatkan oleh
pengarang, tentang bagaimana demokrasi Barat membawa bencana kepada umat Melayu dan
kaum muslimin seluruhnya.

Jika disemak dari perspektif Islam, ternyata bahawa al-Quran dan Hadis sebagai pedoman
hidup umat Islam, sudah mengatur sejak awal tentang bagaimana untuk memilih dan menjadi
seorang pemimpin. Menurut Shihab (2002), terdapat dua perkara yang harus difahami tentang
hakikat kepemimpinan. Pertama, kepemimpinan bukan sekadar kontrak sosial antara pemimpin
dengan masyarakatnya, tetapi merupakan ikatan perjanjian antara pemimpin dengan Allah SWT3.
Kepemimpinan adalah amanah, titipan Allah SWT, bukan sesuatu yang diminta-minta atau
diperebutkan. Hal ini kerana kepemimpinan melahirkan kekuasaan dan wewenang yang berfungsi
semata-mata untuk memudahkan dalam menjalankan tanggung jawab melayani rakyat. Semakin
tinggi kekuasaan dipegang oleh seseorang, maka seharusnya semakin meningkatkan pelayanannya
kepada masyarakat. Bukan sebaliknya, menggunakan kuasa sebagai peluang untuk
memperkayakan diri, bertindak zalim dan sewenang-wenang. Ditegaskan bahawa balasan dan

3
Lihat Surah Al-Baqarah, ayat 124, bermaksud "Dan ingatlah ketika Ibrahim diuji Tuhannya dengan beberapa kalimat
perintah dan larangan (amanat), lalu Ibrahim melaksanakannya dengan baik. Allah berfirman: Sesungguhnya Aku
angkat engkau menjadi imam (pemimpin) bagi manusia. Ibrahim bertanya: Dan dari keturunanku juga (dijadikan
pemimpin)? Allah SWT menjawab: Tetapi orang-orang yang aniaya tiada mendapat perjanjian-Ku ini".

6
upah sebenar bagi seorang pemimpin hanya daripada Allah SWT di akhirat kelak, bukan kekayaan
dan kemewahan di dunia. Oleh kerana itu, ketika sahabat Nabi Muhammad SAW, Abu Dzarr,
meminta suatu jawatan, baginda bersabda: "Kamu lemah, dan ini adalah amanah sekaligus dapat
menjadi sebab kenistaan dan penyesalan di hari kemudian (bila disia-siakan)".(H. R. Bukhari
Muslim). Sikap yang sama juga ditunjukkan oleh baginda ketika seseorang meminta jawatan
kepada baginda dengan berkata: "Ya Rasulullah, berilah kepada kami jawatan pada salah satu
bagian yang diberikan Allah kepadamu”. Maka jawab baginda Rasulullah SAW, "Demi Allah,
Kami tidak mengangkat seseorang pada suatu jawatan kepada orang yang menginginkan atau
bercita-cita pada jawatan itu" (H. R. Bukhari Muslim). Keterangan berdasarkan sumber utama
dalam Islam di atas, jelas menunjukkan aspek pemilihan pemimpin yang digagaskan oleh
pengarang melalui novel beliau, merupakan cita-cita murni untuk menjadikan negara Kota Cahaya
sebagai sebuah negara berstatus Baldatun Thayyibatun Warabbun Ghafûur sebagaimana judulnya.

Kedua, yang diketengahkan pengarang melalui novel ini ialah aspek kepemimpinan. Ditegaskan
oleh pengarang bahawa kepimpinan itu menuntut keadilan (sekali gus menentang penganiayaan,
penindasan dan pilih kasih). Keadilan itu pula harus dirasakan oleh semua pihak dan golongan.
Antara bentuknya adalah dengan mengambil keputusan yang adil antara dua pihak yang berselisih,
mengurus dan melayani semua lapisan masyarakat tanpa memandang agama, etnis, budaya, dan
latar belakang.4 Hal ini selaras pula dengan pandangan yang dikemukakan oleh Hafidhuddin
(2003) tentang dua pengertian pemimpin menurut Islam yang harus dipahami. Pertama, pemimpin
bererti umara yang juga disebut sebaga ulul amri.5 Kedua, pemimpin sering juga disebut khadimul
ummah (pelayan umat). Menurut istilah itu, seorang pemimpin harus menempatkan diri pada posisi
sebagai pelayan masyarakat, bukan minta dilayani. Dengan demikian, hakikat pemimpin sejati
adalah seorang pemimpin yang sanggup dan bersedia menjalankan amanat Allah SWT untuk
mengurus dan melayani umat atau masyarakat.

4
Lihat Surah Shad, ayat 26, bermaksud, "Wahai Daud, sesungguhnya Kami telah menjadikan engkau khalifah di
muka bumi, maka hukumlah antara manusia dengan keadilan dan janganlah engkau turut hawa nafsu, nanti ia
menyesatkan engkau dari jalan (agama) Allah".
5
Lihat Surah An-Nisa, ayat 59, bermaksud, "Hai orang-orang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul (Nya), dan
ulil amri di antara kamu". Dalam ayat tersebut dikatakan bahawa ulil amri, umara atau penguasa adalah orang yang
mendapat amanah untuk mengurus urusan orang lain. Dengan kata lain, pemimpin itu adalah orang yang mendapat
amanah untuk mengurus urusan rakyat. Jika ada pemimpin yang tidak mahu mengurus kepentingan rakyat, maka ia
bukanlah pemimpin (yang sesungguhnya).

7
Berdasarkan novel Baldatun Thayyibatun Warabbun Ghafûur yang dikaji, didapati
pemikiran pengarang yang menegaskan bahawa prinsip keadilan itu tidak wujud dalam sesebuah
negara yang mengamalkan sistem demokrasi. Antara lain disebut contohnya, iaitu parti pemerintah
tidak akan memberi keadilan kepada parti pembangkang yang menjadi lawan kepada
pemerintahannya. Mereka tidak diberikan ruang dan peluang untuk menjelaskan secara bebas dan
terbuka mengenai dasar dan idea inovatif untuk diketengahkan kepada rakyat. Mereka kehilangan
hak mempromosi idea kerana semua saluran media dimonopoli sepenuhnya oleh pemerintah.
Lebih memburukkan lagi, kempen secara terbuka dan rapat umum dilarang sama sekali. Bagi
pengarang, situasi ini menunjukkan bahawa prinsip-prinsip keadilan telah tidak terlaksana dalam
proses demokrasi di negara-negara berkenaan. Situasi ini pula menimbulkan rasa tidak berpuas
hati, sekali gus menyalakan api permusuhan dan perbalahan yang berpanjangan.

Melalui novel ini, pengarang memperlihatkan corak pemerintahan berdasarkan kaedah


Islam dengan memperlihatkan bagaimana kelompok umara bersama-sama dengan kelompok
ulama dalam pentadbiran Kota Cahaya. Malah dalam konteks tersebut, pengarang memperlihatkan
bagaimana “Anggota Majlis Syura sendiri selalui menghadiri kuliah atau ceramah Tok Alim Besar,
seorang alim tasawuf yang istimewa, memberi huraian yang berlapis, implisit dan mempesonakan
mengenai Islam. (2011:91). Gambaran tentang kerjasama antara golongan umara dan ulama
diperlihatkan sebagai satu kemestian dalam sesebuah negara Islam, malah imej umara itu sendiri
perlu dilihat mempunyai persamaan dengan imej seorang ulama. Misalnya, digambarkan tentang
Khatib yang menjadi imam kepada solat Jumaat di Masjid Kota Cahaya iu sendiri merupakan
pemimpin number tiga dalam barisan kepimpinan negara ini (2011:69). Gambaran ini
menunjukkan bahawa, dalam sesebuah negara Islam pemimpin itu bukan sahaja menjadi ‘imam’
dalam pentadbiran negara, malah berupaya juga menjadi imam dalam solat jumaat atau solat-solat
lain yang disertai oleh rakyatnya.

Dalam konteks naratif ini, pengarang memperlihatkan imej Tuanku Iskandar Zulkarnain
Syah, iaitu Duli Yang di-Pertuan, pemerintah atau khalifah yang memerintah Malaysia, yang
dipilih melalui mufakat, sejurus selepas kebangkitan panji-panji tauhid. Baginda digambarkan
sebagai seorang yang kaya pengalaman melalui paparan berikut; “seorang manusia berjiwa kental,
bersemangat pejuang dan pahlawan, dan pernah hidup sebagai buruh, nelayan, pekerja upahan dan
berbagai-bagai kerja di peringkat bawahan pada zaman mudanya dahulu – sebelum dia berusaha

8
gigih melanjutkan pelajaran ke university setelah diterima menceburi kerjaya tentera.” (2011:318-
319). Selain memiliki latar belakang yang rencam, baginda sendiri adalah pakar dalam bidang
tasawuf yang dipaparkan melalui perbincangannya tentang ilmu tersebut dengan Dr. Lleyton
Hewit. Penguasaan ilmu agamanya sangat dihormati oleh sarjana peradaban dari Australia itu,
selain mendapat pujian daripada rakyatnya sendiri. Kepimpinannya juga dihormati oleh segenap
lapisan masyarakat di negara ini, kerana sifatnya yang mudah didekati dan bergaul dengan sesiapa
sahaja tanpa mengira kedudukan. Misalnya, hal ini diperihalkan pengarang melalui perbualan
antara seorang pemandu taxi yang dinaiki oleh Dr. Lleyton Hewit, yang menyebut seperti berikut:

“Pemimpin-peminpin negara, macam mana? Baguskah?


“Woo! Itu nombor satu punya!”
“Kenapa?”
“Sangat baik. Semua orang suka. Taka da sombong punya. Mahu jumpa pun
senang. Awak tahu? Kadang-kadang pergi pasar pun boleh jumpa! Dan boleh
cakap..” (2011:241).
Dalam soal keadilan pula, pengarang memaparkan bagaimana proses mempraktikkan keadilan
berdasarkan tuntutan syariat. Sehubungan dengan itu, melalui novel ini pengarang memperlihatkan
contoh proses pembicaraan dan pengadilan yang berlaku terhadap satu kes ‘bunuh tanpa niat’.
Proses tersebut berlangsung di Balai Rakyat, Kampung Bantal, Ulu Tembeling, Pahang, di mana
dua orang tertuduh, iaitu Akob Lebai Uda dan Sahak Awang Ter dituduh membunuh Mat Basir
bin Kalib, suami Cik Gayah binti Uda Derus. Pembicaraan kes tersebut diperdengarkan di hadapan
Tok Imam Han, Tok Penghulu Malik (Dato Penghulu Lembah Tembeling), dan Tok Empat Kenon
(Tok empat Kampung Bukit Mat Daling), iaitu yang merupakan penegak keadilan pada barisan
paling hadapan dalam Kerajaan Duli Yang di-Pertuan, dengan turut dibantu oleh anggota polis dan
disaksikan oleh orang-orang kampong. Perbicaraan dimulakan dengan Tok Penghulu Malek
memberi salam dan doa dengan harapan Allah membantu mereka menegakkan keadilan yang
saksama, sebelum pertuduhan dibacakan. Setelah proses mengangkat sumpah dan memberi
keterangan oleh semua pihak, perbicaraan tersebut memutuskan bahawa si mati, Mat Basir bin
Kalib, terbunuh dengan tidak ada niat untuk membunuhnya, tetapi terbunuh disebabkan kecuaian
pihak tertuduh, iaitu Akob Lebai Uda dan Sahak Awang Ter, yang telah disahkan sendiri oleh
pihak polis. Sebelum keputusan perbicaraan diumumkan, peluang telah diberikan kepada kedua-
dua pihak keluarga terbabit untuk mengemukakan sebarang bantahan, pandangan atau

9
kemusykilan. Pada akhir pembicaraan tersebut, tertuduh telah dilepaskan daripada hukuman
qisas6, tetapi dihukum mengikut hukuman diat7, kerana pihak keluarga si mati enggan menuntut
apa-apa dan menganggapnya sebagai suratan takdir. Justeru pemuafakatan telah ditetapkan dan
diputuskan oleh pihak ‘hakim’ bahawa pesalah perlu menanggung pembiayaan hidup dan
persekolahan semua anak-anak mangsa sehingga mereka tamat persekolahan. Denda tersebut telah
dipersetujui oleh pesalah dan keluarganya, yang telah ditandatangani oleh kedua-dua pihak, dan
perkembangannya akan dipantau oleh pihak berwajib. Dalam konteks ini, pengarang ingin
menegaskan bahawa mahkamah Islam bukan untuk mendera dan menyeksa manusia dengan
pelbagai hukuman yang membebankan fizikal, emosi dan mental, tetapi merupakan proses kea rah
mendidik pesalah untuk kembali ke pangkal jalan dan membina hubungan silaturrahim antara
mereka yang bersengketa, hingga seterusnya yang sangat utama ialah mencapai keredaan Allah
Azzawajjalla (2011:205).

2. Kedaulatan Bangsa Melayu

Perlembagaan Malaysia melalui Artikel 153 telah memberi tanggungjawab kepada Yang di-
Pertuan Agong menjaga hak keistimewaan orang Melayu dan penduduk asal Malaysia, secara
kumpulannya dirujuk sebagai Bumiputera. Artikel mengspesifikkan bagaimana kerajaan pusat
melindungi kepentingan kumpulan-kumpulan ini dengan mendirikan kuota kemasukan ke dalam
perkhidmatan awam, biasiswa dan pendidikan awam. Ia juga biasanya dianggap sebagai

6
Hukum qisas merujuk kepada hukuman yang telah ditentukan batasnya, yang menjadi hak perorangan (si korban
dan walinya). Pembunuhan yang dilakukan dengan sengaja wajib diqisas (pelakunya dikena hukum mati ). Dasar
hukum disyariatkan qisas adalah Surah al- Baqarah, Ayat 178 berikut:

‫ب آ َمنُوا الَّذِينََ أَيُّ َها َيا‬ ََ َِ‫ع َل ْي ُك َُم ُكت‬


َ ‫اص‬
َُ ‫ص‬ َ ‫ن ِباأل ْنثَى األ ْنثَى ََو ِب ْال َع ْب َِد َو ْال َع ْب َُد ِب ْال ُح َِر ْال ُح َُّر ْالقَتْلَى فِي ْال ِق‬
َْ ‫ِي فَ َم‬ ُ ُ‫ن لَ َه‬
ََ ‫عف‬ َ ‫سانَ ِإلَ ْي َِه أَ َداءَ ََو ِب ْال َم ْع ُروفَِ فَا ِت َباع‬
َْ ِ‫ش ْيءَ أَخِ ي َِه م‬ َ ْ‫ِبإِح‬
ََ‫ن ت َْخفِيفَ ذَلِك‬ َْ ِ‫ن َو َرحْ َمةَ َر ِب ُك َْم م‬ َِ ‫عذَابَ فَلَ َهُ ذَلِكََ َب ْع ََد ا ْعت َ َدى فَ َم‬
َ ‫ِيم‬
َ ‫ل‬ َ ‫أ‬ (١٧٨)
Bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu qisas dalam kes pembunuhan, orang merdeka
dengan orang merdeka, hamba dengan hamba, dan wanita dengan wanita. Maka barang siapa yang mendapat
kemaafan daripada saudaranya akan sesuatu, maka hendaklah ia mengikut secara yang baik (ma’ruf), dan
membayarkan (diat) kepada saudaranya itu dengan baik-baik. Demikian itu adalah suatu keringanan daripada
Tuhanmu dan suatu rahmat-Nya. Barang siapa yang aniaya sesudah itu, maka baginya seksa yang sangat pedih.

7
Diat ialah harta yang wajib dibayar atau diberi oleh penjenayah kepada mangsa atau keluarganya sebagai ganti rugi
atau pampasan disebabkan jenayah yang dilakukan. Hukuman diat boleh dikenakan ke atas jenayah yang tidah boleh
dijatuhi hukuman qisas atas sebab mangsa atau keluargnya memaafkan penjenayah atau penjenayah hilang anggota
yang akan diqisas. Lihat Nik Azis Nik Pa dan Noraini Idris, 2008. Perjuangan Memperkasakan Pendidikan di Malaysia:
Pengalaman 50 Tahun Merdeka. Kuala Lumpur: Utusan Publications. hlm. 376.

10
sebahagian daripada sosial kontrak, dan biasanya dikatakan sebagai pertahanan legal bagi
ketuanan Melayu — kepercayaan orang Melayu bahawa mereka adalah penduduk asal Malaysia8.

Melalui novel Baldatun Thayyibatun Warabbun Ghafûur, pengarang mengangkat kedudukan


bangsa Melayu dengan mengembalikan kedaulatan bangsa Melayu-Islam dengan sifat kerohanian
orang-orang Melayu, apabila dasar-dasar Islam dilaksanakan melalui sistem Syura Duli Yang di-
Pertuan. Akhirnya dalam dekad beberapa tahun menjelang 2020, terbentuknya tamadun
kerohanian. Menurut pengarang, inilah jasa bangsa Melayu yang sangat besar kepada bangsa
Malaysia. Sekali gus dasar tersebut berjaya menarik perhatian ramai non-muslim kepada Islam,
seperti yang dijelaskan oleh saudara baru, Ahmad Burhan Tee yang mengaku “melalui dasar-dasar
yang diperkenalkan, saya dapat merasai dan mengalaminya sendiri betapa indahnya Islam – lalu
membuka hidayah kepada saya, Mubarak Hambali dan sesungguhnya ramai sekali dari kalangan
generasi muda seperti kami untuk memeluk agama Islam” (2011:103). Justeru, bagi pengarang
novel ini meski betapa maju atau semoden mana sekali pun, haruslah tetap memartabat dan
mendaulatkan bangsa Melayu sebagai penduduk asal negara ini, tanpa mengetepikan kepentingan
dan keadilan bagi kaum-kaum lain.

Kedaulatan bangsa Melayu diperteguhkan juga oleh Bahasa Melayu yang dipaparkan sejak
lebih daripada satu alaf telah memiliki martabat sebagai bahasa besar. Sejak abad ke-7 Masihi,
bahasa Melayu telah menjadi bahasa kerajaan, bahasa perdagangan, bahasa pengajian agama dan
lingua franca bagi rantau Kepulauan Melayu di bawah kerajaan Sriwijaya. Pada zaman kesultanan
Melayu dari sekitar abad ke-13 hingga abad ke-19, bahasa Melayu mencapai puncak kegemilangan
sebagai bahasa tamadun Melayu baharu, dengan menjadi bahasa pentadbiran, bahasa diplomasi,
bahasa undang-undang, bahasa ilmu dan falsafah, bahasa perdagangan, bahasa ketatanegaraan dan
bahasa sastera tinggi. Melalui novel ini, pengarang memperkenalkan Tanah Melayu sebagai
sebuah negara yang memartabatkan Bahasa Melayu, suatu suasana yang tidak berlaku pada hari
ini. Kesedaran tersebut turut meresap ke jiwa Dr. Lleyton ketika buat pertama kali beliau
menjejakkan kaki ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Ketibaannya disambut oleh
pegawai Imigresen berbangsa Cina tetapi bertutur Bahasa Melayu, iaitu Ahmad Burhan Tee.
Perkenalan sejenak dengan pegawai imigresen tersebut membekas dalam di hatinya, dan kemudian

8
Lihat Perlembagaan Malaysia dalam laman
www.kptg.gov.my/sites/default/files/article/perlembagaanpersekutuan.pdf

11
mereka sering bertemu lagi dalam usaha Dr. Llyeton untuk lebih mengenali negara ini. Gambaran
tentang penggunaan Bahasa Melayu juga turut dikesan dalam contoh petikan berikut;

“Dulu cakap Melayu tak berapa penting”, Encik Lee berkata lagi seolah-olah
mahu menutup kelemahan dirinya. “Orang Melayu sendiri pun suka bercakap
Inggeris. Orang Cina dan India juga. Sekarang Bahasa Inggeris tak penting lagi.
Semua orang mesti cakap Melayu – di mana-mana pun. Di pejabat, di bank, di
pasaraya, di sekolah. Semua tempatlah..”(2011:237).
Selain memartabatkan Bahasa Melayu, aspek yang turut ditekankan dalam konteks negara Islam
ini ialah pelestarian adat9 yang tidak bertentangan dengan syariat. Dalam konteks ini ternyata
pengarang tidak menolak adat dalam kehidupan. Namun adat atau segala perbuatan atau pekerjaan
tersebut hendaknya mengikut aturan adat dan agama, dan kedua-duanya pula tidak boleh
bertentangan antara satu sama lain. Ini selaras dengan ungkapan Melayu yang menyebut, “Adat
bersendi syarak, syarak bersendi kitabullah” yang menjelaskan bahawa dalam setiap aktiviti
kehidupan sehari-hari manusia, haruslah berdasarkan atas tuntunan dan syariat agama. Antara
lain, melalui novel ini pengarang menunjukkan bagaimana adat istiadat perkahwinan Melayu
Pahang10 turun temurun masih mengambil tempat penting dalam majlis perkahwinan antara
Syarifah Munirah Saadah dengan pasangannya, Qamarul Yosigawa yang berlangsung di Ulu
Tembeling.

Gambaran pelestarian adat juga dipaparkan dalam bidang perhotelan, dengan


menggambarkan Malaysia sebagai sebuah sebuah negara maju dengan pertumbuhan hotel moden,
antaranya hotel setinggi 104 tingkat yang dikunjungi Dr. Lleyton. Lebih membanggakan,
kemodenan struktur hotel tersebut adalah berasaskan konsep adat dan budaya Melayu dengan
segala tata tertib kesopanan budaya. Malah seluruh sistem operasi hotel adalah berasaskan citarasa

9
Adat memberi takrif kepada seluruh kompleks hubungan itu sama ada dalam erti kewujudan sesuatu, menjadi asas
ukuran baik-buruk, menjadi peraturan hidup masyarakat, mahupun tata cara perbuatan individu dan penubuhan
serta perjalanan satu-satu kelompok institusi. Adat Melayu diamalkan dalam satu wilayah kebudayaan Melayu (the
malay culture area) dan berkembang bersama-sama dengan seluruh proses peradaban dan ketamadunan Melayu.
Selepas kedatangan Barat ke alam Melayu, perkataan adat lebih sering disinonimkan sebagai ’budaya’ atau
’kebudayaan’. Lihat Norhayati Ab.Rahman dalam “Adat dan Adat Istiadat dalam Teks Sastera Sejarah sebagai Elemen
Peneguhan Kekuasaan Raja Melayu” dlm Hashim Ismail (ed.), 2010, Tinta di Dada Naskhah. Kuala Lumpur: Penerbit
Universiti Malaya.
10
Antara contoh adat istiadat dalam perkahwinan Melayu Pahang yang digambarkan dalam novel ini termasuklah
adat mandi sampat (mandi pengantin), majlis khatan beramai-ramai, dan majlis doa selamat serta kesyukuran
(2011:124).

12
Melayu, termasuk dengan hidangan masakannya11. Meskipun baru hampir dua tahun beroperasi,
ternyata hotel tersebut telah mendapat sambutan yang sangat membanggakan, terutama daripada
pengunjung dari negara-negara di Timur Tengah. Dalam konteks ini, pengarang menyampaikan
pemikirannya bahawa walau setinggi mana pun kemajuan telah dicapai oleh bangsa Melayu, adat,
jati diri dan tradisi wajar dipertahankan, selagi ia tidak bertentangan dengan syariat.

Selaras dengan negara Baldatun Thayyibatun Warabbun Ghafûur, pengarang turut


melukiskan gambaran kehidupan sosial masyarakat di Kota Cahaya, yang memaparkan indeks
kejadian jenayah yang sangat rendah atau berkurangan, lantaran taraf ekonomi hidup rakyat telah
meningkat. Dalam soal ini, pengarang berpendapat kejadian jenayah turut disumbangkan oleh
kesusahan hidup. Apabila taraf hidup telah meningkat dan tiada lagi orang susah, secara tidak
langsung kejadian jenayah akan turut menurun. Malah kaum wanita juga tidak ‘wajib’ lagi bekerja
dengan alasan untuk membantu ekonomi keluarga, kerana pendapatan suami sudah mencukupi
untuk menanggung seluruh ahli keluarga tanggungannya. Misalnya seperti yang dikemukakan
pengarang melalui petikan ini:

“Sekarang di Malaysia, gaji pekerja lelaki atau gaji minima bagi setiap
pekerja melebihi batas keperluan keluarga. Ditambah pula dengan pelbagai jenis
elaun, imbuhan kerja lebih masa, bonus, gaji tiga belas bulan dan tiada cukai
pendapatan individu!”
“Bagaimana dengan wanita yang memegang jawatan dalam bidang-
bidang kritikal?”, Dr. Lleyton Hewitt bertanya pula.
“Jadual bekerja anjal disediakan!” (2011:215).
Selain itu, bagi rakyat yang miskin atau jatuh miskin atas sebab-sebab tertentu, yang mereka akan
dibantu oleh pihak pemerintah sehingga dapat menjalani kehidupan seperti orang lain juga. Mereka
akan ditawarkan penghidupan baharu di bawah Dasar Kebajikan dan Keadilan Ilahi. Contohnya
seperti yang dialami oleh Pak Long Biguh dan Mak Long Lijah di Ulu Tembeling, orang yang
paling miskin di Lembah Tembeling. Mereka mengalami tragedi demi tragedi dalam kehidupan
sehingga suami-isteri tersebut jatuh miskin. Walau bagaimana pun, nasib mereka terbela oleh
pihak pemerintah, seperti yang diakui sendiri oleh Pak Long seperti berikut; Kerajaan Duli Yang

11
Dr. Lleyton agak kepenatan sekarang. Sebentar tadi dia terlelap setelah selesai menikmati juadah tengahari yang
dipesan untuk dihantar ke bilik. Lauk gulai lemak ikan patin sungai campur rebung, goreng pucuk paku campur kicap,
sambal tempoyak ulam kerdas dan petai – selera yang dinikmati dengan penuh lazat di Ulu Tembeling, serta daging
bakar cicah air asam menyebabkan Dr. Lleyton tidur kekenyangan campur keletihan (2011:225)

13
di-Pertuan adalah kerajaan untuk rakyat yang miskin! Kerajaan untuk orang-orang miskin seperti
Pak Long dan Mak Long…” (2011:170). Malah diberitahu juga bahawa pemimpin number dua
sendiri pernah datang menemuinya. Dalam konteks ini, pengarang berhasrat untuk memaparkan
sifat dan sikap keprihatinan pemimpin terhadap rakyat, sekali gus melakar imej negara ini sebagai
sebagai sebuah negara kebajikan.

Selain itu, dari segi sosial juga diperlihatkan pengarang tentang sekumpulan anak-anak muda yang
ditemui oleh Dr. Lleyton sedang bersiar-siar di taman. Segelintir mereka adalah petugas secara
sukarela dalam membanteras gejala sosial seperti maksiat oleh anak-anak muda. Justeru itu,
kejadian maksiat hampir sukar ditemui di kawasan taman tersebut meskipun terdapat pasangan
anak muda yang bersiar-siar bersama.

Daripada paparan pengarang tersebut, jelas mencerminkan hasrat, cita-cita murni dan tinggi
pengarang untuk melihat bangsa Melayu didaulatkan dengan pelbagai cara dalam acuan negara
Islam. Hasrat pendaulatan bangsa tersebut diungkapkan melalui pelbagai kaedah, termasuklah
melalui pemartabatan Bahasa Melayu, pelestarian adat dan adat istiadat, mengangkat bidang ilmu
dalam kehidupan seharian, memiliki status kehidupan dan ekonomi yang baik dan sebagainya.
Dengan pencapaian dalam semua aspek kehidupan tersebut, pengarang yakin bahawa Malaysia
akan menjadi sebuah negara Islam yang terbaik dan bakal menjadi model kepada negara-negara
lain, khususnya negara Islam.

3. Sistem Pendidikan

Pendidikan merupakan aset utama dalam perlaksanaan pembangunan sesebuah negara. Falsafah
pendidikan negara bertekad untuk melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu, bertanggungjawab
dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian
dan kemakmuran masyarakat dan negara, juga jelas menunjukkan peranan dan kepentingan
pendidikan itu sendiri dalam konteks yang lebih terperinci. Maka, dengan adanya pendidikan, akan
mampu mengubah nasib diri seseorang bergantung dengan tahap pendidikan yang diterimanya.
Ilmu yang diperolehi dengan secara langsung atau pun tidak langsung akan mampu memberi
perubahan dalam kehidupan seseorang, sekali gus membawa diri jauh daripada kelompok
kemiskinan dan hidup tanpa arah tujuan. Walau bagaimana pun, menerusi novel ini pengarang
mengkritik tradisi pendidikan Barat telah menyebarkan konsep ilmu yang tidak selari dengan

14
pandangan Islam. Menurut pandangan pengarang, dalam pendidikan Barat autoriti ilmu seolah-
olah hanya dimonopoli oleh mereka yang lepasan universiti, dan mereka yang tidak melalui
pendidikan formal dianggap sebagai tidak berilmu. Sedangkan menurut pengarang (dijelmakan
melalui watak Ahmad Burhan Tee), Allah menganugerahi ilmu kepada sesiapa sahaja di antara
hamba-hamba yang dikehendaki-Nya. Tidak semestinya melalui pendidikan di universiti atau
melalui pendidikan formal semata-mata. Bagi pengarang, ini merupakan kekeliruan yang dicipta
dan diserapkan oleh sekularisme dalam sistem pendidikan islam, sehingga ukuran kebijaksanaan,
ketinggian ilmu, bahkan kealiman diukur oleh manusia semata-mata berdasarkan pencapaian
dalam pendidikan formal – melalui peperiksaan khususnya. (2011:94-95). Sebagai contoh watak
Tok Alim, yang tidak memiliki kelulusan formal dalam bidang agama, tetapi pengetahuannya
dalam bidang tasawuf sangat mengkagumkan dan menjadi tokoh tempat rujukan rakyat dan
pemimpin. Di samping itu, matlamat sistem pendidikan ditegaskan dengan jelas, iaitu “untuk
menghasilkan insan soleh yang cemerlang, atau dengan makna lain menghasilkan mukmin sejati
adalah visi, misi dan matlamat yang paling utama dalam pendidikan di Malaysia sekarang. Inilah
piagam pelanggan golongan pengurus pendidikan dan guru-guru” (2011:138). Sehubungan dengan
itu, mana-mana pengaruh yang tidak diizinkan, sama ada dalam bentuk agama, pemikiran,
ideologi, isme dan cara hidup yang bertentangan dengan Islam tidak akan dibawa ke dalam sistem
pendidikan.

Selain itu, pengarang novel ini juga mengetengahkan tentang bencana yang menimpa sistem
pendidikan agama di negara ini akibat sekularisme dalam agama, sehingga lahirnya para ilmuan
islam yang sombong dengan ketinggian ilmu mereka. Pada masa yang sama mereka sibuk dengan
urusan dunia (2011:95). Kesannya, kepimpinan dan gaya hidup mereka melahirkan generasi
pelajar agama yang tidak belajar agama untuk untuk mencari reda Allah, tetapi mencari dunia dan
reda manusia12. Pada pengarang para ilmuan macam inilah yang membunuh roh agama sehingga
umat Melayu pada waktu sebelum ini umpama tubuh yang tidak bermaya. Demikian kritikan yang
dilemparkan pengarang terhadap pendidikan agama yang wujud pada hari ini, yang kemudiannya

12
Rasulullah SAW bersabda, “Janganlah engkau mempelajari ilmu pengetahuan untuk bersombong-sombong
dengan sesame berilmu, untuk bertengkar dengan orang berfikiran lemah dan untuk menarik perhatian ramai
kepadamu. Barang siapa berbuat demikian, maka dia dalam neraka (Ghazali, Ihya Ulumiddin, Jilid 1, hal 233.)

15
telah dibubarkan digubalkan sistem pendidikan yang mematuhi syariat Islam sepenuhnya dalam
novel yang dibicarakan ini.

4. Pembinaan negara bangsa melalui intergrasi Islam

Negara bangsa merupakan satu proses bagi melahirkan bangsa baru, iaitu sebuah negara yang
mempunyai kedaulatan di mana semua rakyatnya disatukan oleh ikatan-ikatan seperti bahasa,
budaya, nilai-nilai dan lain-lain yang membentuk bangsanya. Matlamat utama pembinaan
bangsa adalah bertujuan untuk melahirkan perasaan taat setia dan perpaduan terhadap sesuatu
pertubuhan (bangsa) itu. Selain itu, konsep negara bangsa merupakan gabungan tiga komponen
utama, iaitu negara, individu dan bangsa, selain daripada tiga syarat utama (Zulhilmi Paidi
dan Rohani Abdul Ghani (2003: 35-36). Syarat-syarat yang ditegaskan tersebut ialah; pertama,
kehidupan masyarakat dalam negara tersebut bersatu padu tanpa berlaku sebarang pemisahan
atau diskriminasi. Masyarakat tidak dibezakan atas dasar perkauman atau sebab perbezaan
kepercayaan, bahasa, kebudayaan, jenis pekerjaan, penempatan atau apa jua sebab yang boleh
membawa kepada perpecahan. Kedua, penduduk dan rakyat negara itu juga mestilah
berkongsi pegangan kepada suatu ideologi yang sama dan, ketiga, penduduk juga harus
mempunyai kepercayaan dan keyakinan sepenuhnya terhadap sistem pemerintahan dan undang-
undang negara. Ketiga-tiga syarat ini menjadi teras kepada proses pembinaan sesebuah negara
bangsa.

Berdasarkan keseluruhan naratif Baldatun Thayyibatun Warabbun Ghafûur, dapat dikesan hasrat
dan cita-cita pengarang untuk mewujudkan dan memartabatkan Malaysia sebagai sebuah negara
bangsa. Namun apa yang ditegaskan dalam konteks novel ini bukanlah berasaskan intergrasi
nasional, seperti yang digagaskan oleh negara pada hari ini, sebaliknya merupakan intergrasi Islam
seperti yang dipaparkan pengarang dalam contoh petikan ini;

“Kamu semua walaupun berlainan bangsa, saya lihat Nampak begitu akrab
sekali – boleh bergaul mesra, boleh bergurau senda”, Dr. Lleyton Hewitt
memberi pujian. Dia sebenarnya amat gembira dengan suasana itu.”
“Intergrasi nasional”, jawab Muhammad Iqbal sambal tersenyum.
“Bukan! Bukan intergrasi nasional! Tapi intergrasi Islam”, bantah
Muhammad Hadif Chin“ (2011:246).

16
“Akidah adalah asas perpaduan! Berlainan akidah pula adalah asas
perpecahan dan perbalahan. Maksudnya hanya akidah Islamiah yang boleh
mengintergrasikan manusia pelbagai bangsa dan budaya. Sebab itulah usaha
perpaduan sukan, budaya, hiburan, Bahasa dan berbagai-bagai aktiviti social
tetap gagal kerana prinsip akidah telah menetapkan; “engkau dengan agama
engkau, kami dengan agama kami” (2011:248).

Walaupun begitu, ia bukan bermakna kaum-kaum dan agama lain tidak mendapat hak dan keadilan
dalam naratif ini, kerana pengarang turut memaparkan beberapa segmen tentang kehidupan dan
pergaulan antara orang Islam dengan orang bukan Islam dalam novel ini. Pengarang memaparkan
kesedaran bahawa kaum Cina dan India khususnya, telah begitu lama saling berasimilasi di negara
ini, bahkan sejak abad ke-16 dahulu. Sehubungan dengan itu, dipaparkan wujudnya konsep kedai
makan yang menggabungkan masakan Melayu-Cina, iaitu “Warung Malaicin” yang telah
diperkenalkan dan tumbuh merata-rata di seluruh tanah air dengan sambutan hangat daripada
semua kaum di negara ini. Dengan gambaran tersebut, pengarang berhasrat untuk memperlihatkan
bahawa pentadbiran Islam tidak menafikan hak bagi orang bukan Islam, malah mereka hidup
dalam aman dan harmoni dalam sebuah negara yang ditadbir oleh pemimpin Islam, seperti yang
diperlihatkan menerusi pemerintahan di Kota Cahaya.

Penutup

Berdasarkan perbincangan di atas, jelas menunjukkan usaha pengarang untuk


memanfaatkan penulisan novel Baldatun Thoiyyibatun Warabbun Ghafuur bagi tujuan
menyampaikan hakikat bahawa Islam adalah agama yang syumul dan menyeluruh daripada semua
aspek kehidupan dunia dan akhirat. Pembicaraan tentang aspek pemimpin dan kepimpinan,
kedaulatan bangsa Melayu, sistem pendidikan dan pembinaan negara bangsa berasaskan intergrasi
Islam didapati selaras dengan dua prinsip penting bagi sesebuah negara, iaitu pertama,
menegakkan keadilan dan keamanan dalam pentadbiran negara. Pelaksanaan pemerintahan dan
kehidupan berpaksikan syariat Islam dalam novel ini pula selaras dengan prinsip kedua bagi
sesebuah negara, iaitu melaksanakan ibadah yang telah disyariatkan oleh Islam secara terbuka
tanpa rasa takut atau terancam.

Kedua-dua prinsip negara Islam yang diaplikasi dalam naratif ini, secara langsung pula
berhubungkait dengan prinsip-prinsip utama sastera Islam, iaitu pertama, karya hendaklah

17
mendorong pembaca melakukan amar makruf dan nahi mungkar. Kedua, karya hendaklah
bertujuan untuk menegakkan ajaran Allah, iaitu watak-watak utamanya adalah orang yang beriman
dan beramal soleh, manakala watak antagonisnya ialah orang-orang jahat yang durjana. Ketiga,
karya hendaklah mendorong lahirnya masyarakat yang adil dan makmur, yang di dalamnya
berlaku hukum dan ajaran Allah. Keempat, karya hendaklah memberi pesan dan kesan yang jelas
bahawa tiada hak bagi orang jahat. Berdasarkan penulisan Baldatun Thoiyyibatun Warabbun
Ghafuur oleh Pelita Di Dalam Kaca, baik dalam aspek pemimpin dan kepimpinan, kedaulatan
bangsa Melayu, sistem pendidikan dan aspek pembinaan negara bangsa berasaskan intergrasi
Islam seperti yang dibincangkan, jelas menunjukkan pengarang menganjurkan prinsip-prinsip
sastera Islam yang disebutkan di atas. Oleh itu, novel ini secara terang-terangan didapati telah
menggagaskan model negara Islam sebagai contoh, yang secara tidak langsung telah mengaplikasi
prinsip-prinsip penulisan karya sastera Islam. Pada umumnya gagasan yang dikemukakan
pengarang menerusi novel ini, didapati sangat ideal dan mendekati kesempurnaan, namun
hakikatnya sukar untuk dilaksanakan dalam konteks realiti di negara ini. Wallahu’alam.

18
RUJUKAN

Abd Rahim, Rahimin Affandi. (2003). Adakah Malaysia sebuah negara Islam? Jurnal YADIM. Ed.
5. Kula Lumpur: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia.

Ahmad bin Ibrahim. (1995). Prinsip-prinsip Perlembagaan Islam dalam Perlembagaan Malaysia.
Kuala Lumpur: IKIM.

JGD – Journal of Governance and Development 68 Vol.6, 2010 (53 - 68)

Al-Zuhayli, Wahbah. (1998). Tafsir al-Munir. Syria: Dar al-Fikr. Dimasq.

El-Muhammadi, Abdul Halim. (1998). Undang-undang Jenayah dalam Islam dan Enakmen
Negeri-negeri. Selangor: Fakulti Undang-Undang, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Ghazali. (1981). Ihya Ilumiddin atau Mengembangkan Ilmu-Ilmu Agama Jilid 1-8 (Terj. Ismail
Yakub), Singapura: Pustaka Nasional.

………., (1400H). Terjemahan Lengkap Kitab Minhajul Abidin (Jalan Bagi Ahli Ibadat), Bogor:
Majlis Ta’lim Al-Ihya.

Hamid Jusoh. (1992). Kedudukan Undang-undang Islam dalam perlembagaan Malaysia: Suatu
rujukan khas terhadap kes-kes konversi dalam undang-undang keluarga. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.

Mohd Izhar Ariff Mohd Hashim, Alias Azhar. (2010). “Prinsip dan Model Negara Islam:
Defininasi dan Aplikasinya di Malaysia” dlm Journal of Governance and Development Vol.6.

Mohd Rumaizuddin Ghazali. (2005). Islam dan demokrasi di Malaysia. Selangor: Tradisi Ilmu
Sdn. Bhd.

Muhammad Abd al-Qadir. (1986). Al-Nizam al-siasi fi al-islam. Jordan: Dar al-Furqān.

Nik Azis Nik Pa, Noraini Idris. (2008). Perjuangan Memperkasakan Pendidikan di Malaysia:
Pengalaman 50 Tahun Merdeka. Kuala Lumpur: Utusan Publications.

Nordin Mardiana. (2011). Pengajian Malaysia. Universiti Malaysia Kelantan: Kota Bharu.

Norhayati Ab.Rahman. (2010). “Adat dan Adat Istiadat dalam Teks Sastera Sejarah sebagai
Elemen Peneguhan Kekuasaan Raja Melayu” dlm Hashim Ismail (ed.), Tinta di Dada Naskhah.
Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.

Pelita di Dalam Kaca. (2011). Baldatun Thoiyyibatun Warabbun Ghafuur. Kuantan: Pustaka
Kanzun Mahfiyyan.

19
Perlembagaan Malaysia dalam laman
www.kptg.gov.my/sites/default/files/article/perlembagaanpersekutuan.pdf

Prof. Dr. H. Mahmud Yunus. (1979). Tafsir Quran Al-Karim. Djakarta: P.T. Hidakarya Agung.

Totok Jumantoro, Samsul Munir Amin. (2005). Kamus Ilmu Ushul Fiqh. Jakarta:Amzah.

Wan Mohd bin Wan Daud. (2001). Kontroversi negara sekular dan negara Islam: Satu
penyelesaian dalam al-hikkmah. No.20. Bil.3. Kuala Lumpur.

Zulhilmi Paidi, Rohani Abdul Ghani. (2003). Pendidikan Negara Bangsa. Kuantan: PTS
Publications & Distributor Sdn. Bhd.

20

Anda mungkin juga menyukai