Anda di halaman 1dari 10

10 Peranan Wajib Ibu Bapa Membantu Anak

Menjelang Peperiksaan
Ibu bapa memainkan perananan penting dalam membantu anak menghadapi peperiksaan

Setiap kali menjelang peperiksaan, ibu bapa biasanya lebih bimbang berbanding anak-anak.
Kebimbangan ini lebih ketara di pihak ibu berbanding bapa.

Ibulah yang lebih gemuruh dan risau. Bapa pula biasanya lebih tenang dan terkawal perasaannya.

Jangan pula kerana tekanan yang kita rasakan dan harapan yang kita letakkan pada seorang anak,
membuatkan kita kelam kabut sehingga lupa apa yang sepatutnya dilakukan di saat menjelang
peperiksaan.

Salah pendekatan kita maka anak yang menerima akibatnya kelak hingga tanpa disedari
menjejaskan prestasi peperiksaannya.

Sebab itulah kita sebagai ibu bapa mesti tahu persediaan yang perlu dilakukan bagi membantu
kecemerlangan anak-anak menjelang peperiksaan.

Berikutan musim peperiksaan yang makin menghampiri, artikel kali ini yang dirujuk daripada
buku teknik memotivasikan anak – Dr. Tengku Asmadi, saya ingin berkongsi dengan ibu bapa
semua mengenai peranan yang wajib dibuat oleh semua ibu bapa untuk membantu anak
menjelang peperiksaan.

1. Fahami Tekanan yang Dihadapi oleh Anak

Bukan sahaja ibu bapa yang bimbang, anak-anak juga sebenarnya bimbang. Mungkin ada di
antara mereka tidak menunjukkan kebimbangan tetapi ia dapat dilihat daripada segi perubahan
sikap dan tingkah laku mereka.

Ada anak-anak yang rungsing lalu tidak berselera makan tetapi ada juga yang menjadi terlalu
kuat makan. Ada yang tidak boleh tidur tetapi ada pula yang semakin banyak tidurnya.

Ada yang murung, marah-marah, sensitive dan sebagainya. Sememangnya perasaan bimbang
menyebabkan berlakunya perubahan sikap dan tingkah laku ini.

Sebagai ibu bapa , kita mesti peka terhadap perubahan ini dan cuba sedaya upaya mengurangkan
tekanan itu dengan lebih memahami mereka.

Nyatakan kepada mereka dengan jelas, apa yang kita harapkan daripada mereka hanyalah
melakukan yang terbaik mengikut kemampuan diri mereka.
Nyatakan juga kepada mereka bahawa kecemerlangan akademik bukan hanya satu-satunya
syarat bagi mereka hidup cemerlang di dunia Allah ini.

Ramai mereka yang gagal dalam pelajaran tetapi dapat hidup senang dan berjaya dalam bidang
sukan, nyanyian, muzik, seni, lakonan, perniagaan dan lain-lain.

Apabila tinggal beberapa hari lagi menjelang peperiksaan, elakkan daripada menyuruh mereka
menjawab terlalu banyak soalan-soalan yang tidak diketahui penyelesaiannya kerana ini dapat
membuatkan mereka rasa tidak bersedia.

Keyakinan diri tergugat dan ini menjejaskan prestasi ketika menjawab soalan-soalan yang
mereka sedia ketahui.

Adalah lebih baik ibu bapa diam tanpa memberi sebarang komen apabila didapati perasaan anak
terlalu tertekan sehingga ada ketikanya dia memberontak lalu meluahkan perasaannya dengan
mengatakan dia pasti gagal.

Perhatikan sahaja gelagat anak kerana biasanya luahan perasaan itu bukanlah perasaan yang
sebenar. Dia tidak bermaksudkan apa-apa dengan kata-katanya. Ia sekadar melepaskan perasaan.
Itu sahaja. Oleh itu biarkan anak itu seketika.

Selepas itu ajak anak melakukan aktiviti yang menyeronokkan tanpa perlu keluar dari rumah.
Misalnya adakan masa menonton cerita jenaka seketika. Berhibur dan bergelak ketawalah
sekeluarga.

Ini dapat mengendurkan perasaan tegang dalam diri anak dan dia kini bersedia belajar semula.

Waktu ini, tanamkan keyakinan dalam diri mereka semula. Rancang bersama jadual ulang kaji
mereka dan cuba mudah-mudahkan setiap langkah yang mahu diambil.

2. Tingkatkan Keyakinan Diri Anak

Keyakinan diri yang tidak mantap sering menghantui jiwa anak-anak.

Ada diantara mereka memang sudah membuat ulang kaji sejak awal lagi tetapi tetap tiada
keyakinan diri.

Sebagai ibu bapa, kita perlu tahu keyakinan itu datangnya daripada persediaan. Semakin bersedia
anak kita maka semakin yakinlah dia.

Persediaan ini pula bukanlah sekadar membaca, menghafal dan menyediakan nota semata-mata.
Persediaan ini mestilah merangkumi aspek menerima (input) dan mengeluarkan (output)
maklumat.

Proses mendapat maklumat termasuklah membaca, membuat nota ringkas, menghafal, bertanya,
dan mengetahui teknik menjawab soalan-soalan.
Proses mengeluarkan maklumat pula adalah menjawab soalan-soalan seperti membuat latihan,
latih tubi dan simulasi dengan menggunakan segala pengetahuan yang diperolehi dalam proses
mendapat maklumat itu tadi.

Galakkan anak menjawab sebanyak mungkin soalan agar mendapat mengalaman. Lebihkan latih
tubi bagi mana-mana topik yang agak lemah ataupun bentuk soalan yang kurang dikuasai.

Seterusnya perhebatkan simulasi dengan menjawab soalan-soalan tahun lepas serta soalan-soalan
ramalan mengikut mengikut masa yang ditetapkan.

Lakukan proses simulasi ini seolah-olah dia benar-benar berada dalam dewan peperiksaan yang
sebenar.

3. Dorong anak secara Positif

Ibu bapa perlu selalu memberikan harapan kepada anak dengan melontarkan kata-kata yang
positif. Apakah kata-kata positif?

Kata-kata positif adalah kata-kata yang apabila diucapkan menghasilkan gambaran minda yang
juga positif.

Contohnya:

 Bukan “Jangan buang masa” tetapi ucapkan “Manfaatkan masa”


 Bukan “Jangan berputus asa” tetapi ucapkan “Berusahalah dengan lebih gigih lagi”
ataupun “Mak percaya adik pasti BOLEH!”
 Bukan “Jangan kelam kabut” tetapi ucapkan “Bawa bertenang.”

Malah banyak lagi contoh-contoh yang dapat diberikan.

4. Kerjasama Sepenuhnya

Apabila anak akan menduduki peperiksaan penting, maka keseluruhan ahli keluarga yang ada
dalam rumah perlu memberikan kerjasama sepenuhnya.

Antaranya menghormati waktu ulangkaji anak itu dengan setiap ahli keluarga menjadikan waktu
itu sebagai waktu belajar.

Misalnya ibu bapa dapat memanfaatkan waktu itu bagi membaca bahan-bahan bacaan yang
berfaedah. Adik kecil pula diberi kertas dan pensel untuk bagi menconteng. Begitulah juga
dengan ahli keluarga yang lain-lain.

Pastikan tiada seorang pun ahli keluarga yang menonton TV, mendengar radio, sembang-
sembang kosong, bermain-main dan sebagainya, sedangkan ada anak yang sedang bertungkus
lumus menghadapi pelajarannya.
Dengan cara ini anak akan dapat merasakan perjuangannya dihargai.

5. Kurangkan aktiviti Luar

Elakkan daripada terlalu banyak membuang masa dengan aktiviti diluar seperti keluar membeli-
belah, makan di luar, balik kampong, menziarahi keluarga dan sebagainya. Ingatlah bahawa
setiap minit amat berharga kepada anak.

Oleh itu pastikan setiap aktiviti yang dirancang menyumbang kepada persediaannya menghadapi
peperiksaan sama ada persediaan mental, emosi, fizikal ataupun rohani anak-anak.

Tambahan pula, kekerapan berada diluar rumah hanya hanya mendedahkan mereka pada perkara
yang tidak diingini sama ada daripada segi kesihatan ataupun keselamatan.

6. Elakkan Anak daripada Tidur Lewat

Ada anak yang suka belajar sehingga lewat malam bagi menghabiskan ulang kaji mereka. Jangan
biarkan keadaan seperti ini berlarutan.

Pastikan anak masuk tidur awal dan bangun awal. Galakkan mereka membuat sedikit ulang kaji
pada waktu awal pagi walaupun hanya 20 ataupun 30 minit. Pada waktu ini, fikiran mereka
tenang, emosi belum terganggu dan suasana pula nyaman.

Banyak maklumat yang dibaca ketika ini mudah diingati bagi tempoh masa yang lebih lama.

7. Berikan anak Pelepasan Tugas Harian.

Berikan anak layanan istimewa setiap kali menjelangnya peperiksaan.

Bebaskan dia daripada melakukan tugas harian yang sememangnya menjadi rutin seperti
mengemas bilik, menolong emak di dapur, membersih halaman rumah, mencuci pakaian dan
sebagainya.

Agihkan sementara tugas-tugas ini kepada orang lain seperti kakak, abang, adik ataupun ibu bapa
sendiri.

Dengan cara ini, anak yang akan menduduki peperiksaan dapat merasakan seluruh ahli keluarga
benar-benar mahu melihat dia cemerlang.

Dia akan timbul rasa bersalah sekiranya waktu yang diperuntukkan untuk belajar tidak
dimanfaatkan sebaik-baiknya, sedangkan semua orang memberikan kerjasama.

Dia juga akan mengharapkan suasana peperiksaan seperti ini akan datang lagi kerana seronok
mendapat pelepasan tugas.
Anak-anak yang lain pula tidak ada sebab untuk cemburu kerana apabila tiba masa mereka,
mereka juga akan dilayan dengan cara yang serupa.

8. Nyatakan Ganjaran dengan Jelas

Jangan biarkan anak kita berteka teki mengenai ganjaran yang bakal dia terima sekiranya dia
memperoleh keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan. Nyatakan dengan jelas bentuk
ganjaran yang mahu diberikan kepadanya.

Jika ia berbentuk kebendaan maka nyatakan dengan jelas apakah bendanya itu. Tunjukkan
gambar mengenai apa yang mahu diberikan kepadanya.

Jika ia berbentuk suatu percutian, beritahu destinasi yang ingin dilawati nanti. Dapatkan risalah,
cerita, serta gambar-gambar mengenai destinasi itu dan tunjukkan padanya. Jika ia dalam bentuk
duit, nyatakan dengan jelas mengenai jumlahnya.

Namun dalam soal bab duit ini ibu bapa perlu bertindak bijak. Sebabnya, jika kita beritahu
kepada anak, “Kakak, setiap A yang kakak dapat dalam PMR, nanti ayah akan berikan RM50”,
maka ia mungkin memerangkap kita kembali.

Apabila anak tahu dia lemah dalam subjek bahasa Inggeris maka dia tidak meletakkan
kesungguhan bagi mendapat A kerana dia berfikir, jika dia mendapat 7A pun jumlahnya adalah
RM350. Masih banyak lagi.

Oleh itu kita perlu meletakkan syarat dengan jelas dengan berkata, “Kakak, jika kakak mendapat
8A dalam PMR maka setiap A itu nilainya ayah berikan RM50. Tetapi jika bukan 8A maka
setiap A nilai itu ayah berikan RM30 sahaja.”

Dengan cara ini, anak-anak dapat menghitung sendiri, jika dapat 7A nilainya hanya RM210
sahaja berbanding RM400 bagi 8A. Perbezaan yang ketara ini secara tidak langsung mendorong
anak berusaha mendapat 8A.

Ganjaran yang kabur atau samar-samar tidak dapat merangsang jiwa.

Misalnya elakkan daripada berkata, “Jika abang cemerlang dalam SPM, maka emak bawa abang
melancong”. Sebaliknya kita perlu berkata, “Jika abang cemerlang dalam SPM, emak pasti bawa
abang ke Beijing.”

Pastikan apa jua ganjaran yang mahu diberikan mampu kita tunaikan. Jika tidak, anak mungkin
hilang kepercayaan kepada kita sebagai ibu bapa dan selepas itu, janji kita tidak anak dipercayai
lagi.

Berikan juga ganjaran kepada usahanya, bukan sekadar hasil ataupun pencapaiannya sahaja.
Jika kita tahu anak sudah berusaha bersungguh-sungguh bagi mencapai kejayaan namun
keputusan peperiksaan tidak seperti yang dijangkakan, maka berikanlah dia sesuatu bagi
menghargai penat lelahnya itu.

Ini menunjukkan yang kita memang mengambil berat dan prihatin kepadanya.

Dengan cara ini, anak akan menjadi lebih bersemangat untuk berusaha dengan lebih gigih pada
masa akan datang.

9. Ambil Cuti

Inilah masanya bagi ibu bapa memberikan dorongan yang tidak berbelah bahagi kepada anak
yang akan menduduki peperiksaan.

Ambil cuti beberapa hari dan usahakan menghantar sendiri anak ke sekolah pada hari
peperiksaan itu. Sepanjang perjalanan, terus berikan kata perangsang dan nasihat kepadanya.

Ingatkan anak sekali lagi, kita tidak pentingkan apa sekalipun hasil yang dia peroleh, yang
penting dia memberikan usaha yang terbaik.

Apa sahaja keputusannya, kita terima dan bersyukur.

10. Banyakkan Berdoa dan Solat Hajat.

Tidak ada suatu yang lebih bermakna bagi seseorang anak ketika menduduki peperiksaan selain
daripada doa dan restu daripada ibu bapanya.

Inilah masanya kita meluangkan lebih banyak masa berdoa baginya supaya dipermudahkan
urusan anak menjawab setiap soalan, diberikan ketenangan dan diterangkan hati.

Berdoalah dengan suara yang jelas supaya didengar oleh anak dan biarlah dia aminkan doa kita
itu. Biar anak menyedari yang kita sering membuat solat hajat dan berdoa baginya. Dengan cara
ini, mereka lebih menghargainya.

Biasanya apabila menjelang peperiksaan, anak-anak tidur lewat daripada biasa kerana
mengulangkaji pelajaran. Jika ibu bapa menjenguk bilik anak seketika dan maklumkan padanya
yang kita mahu solat hajat sekarang, perasaannya anak pasti terharu dan ini memperkuatkan lagi
azamnya untuk berjaya.

Yakinlah Tuhan akan memdengar doa ibu bapa yang ikhlas. Berdoalah walaupuan pencapaian
anak kita pada ketika itu masih kurang memberangsangkan.

Sesuatu yang dirasakan mustahil bagi kita sebenarnya tidak mustahil bagi Tuhan. InsyaaAllah,
bila kita letakkan kepercayaan kepada Allah, Allah akan memudahkan segala usaha kita.
Penutup: Dorong Mereka Menghadapi Peperiksaan Dengan
Tenang
Ibu bapa perlu mendorong dan memotivasikan anak untuk belajar tetapi bukan memaksa anak
untuk berjaya.

Sekiranya ibu bapa memaksa anak untuk WAJIB mendapat hasil yang cemerlang, maka si anak
berasa dibebani. Anak belajar bukan kerana kewajipan tetapi kerana ketakutan.

Oleh itu berikanlah anak keyakinan. Berikan nasihat dengan penuh kasih sayang. Tunjukkan
keprihatinan dan sentiasalah memberi komitmen untuk membantunya. Yang paling penting,
jangan lupa memohon kepada Allah agar anak dikurniakan kecemerlangan dan terang hati.

1. Semak jadual

Menyemak jadual peperiksaan penting bagi menentukan masa cukup untuk belajar, khususnya
pada saat-saat akhir ini. Latihan mesti diteruskan mengikut kertas peperiksaan yang akhir
diduduki terlebih dulu. Ini kerana apabila tiba hari peperiksaan, calon akan belajar subjek yang
akan diuji pada hari pertama peperiksaan.

Jika melakukan demikian, bermakna anda telah membuat persiapan yang menyeluruh dan tidak
ada subjek tertinggal atau tidak dipelajari.

2. Kunci peperiksaan

Apakah kunci kepada peperiksaan? Peperiksaan menuntut calon membuat banyak latihan dan
ulang kaji bagi mengingati pelajaran lalu, selain mengelak diri daripada lupa fakta ketika
menjawab soalan.

Oleh itu, anda jangan jemu untuk terus membuat ulang kaji, terutama menggunakan kertas
peperiksaan tahun terdahulu atau soalan seiras. Langkah itu akan membiasakan anda dengan
soalan standard, di samping membolehkan ingatan anda kekal dan berpanjangan.

3. Tentukan keutamaan

Belajar pada saat-saat akhir juga perlu mengutamakan mata pelajaran atau kemahiran yang masih
belum atau kurang dikuasai. dalam hal ini, jangan sekali-kali belajar subjek yang anda sukai saja,
sebaliknya merangkumi semua.
Ini kerana setiap peperiksaan akan membabitkan semua subjek dipelajari di sekolah, bukannya
berdasarkan minat seseorang calon.

4. Banyak mengingat dan membuat kaitan

Mengingat adalah satu perkara penting yang mesti dilakukan calon dalam menghadapi
peperiksaan. Pelbagai cara boleh anda digunakan untuk mengingat, antaranya belajar berulang
kali mengenai sesuatu kemahiran.

Apa-apa pun cara digunakan, terpulang kepada anda, asalkan ia dapat membantu mengingat dan
membuat kaitan apabila diperlukan.

5. Merancang persiapan peperiksaan

Ada tiga perkara yang mesti diamalkan calon bagi menentukan kejayaan cemerlang dalam
peperiksaan.

a. Pertama, sebelum peperiksaan khususnya dalam tempoh beberapa minggu ini, kuat dan
tingkatkan usaha serta semangat dengan belajar secara berterusan.

Selain di sekolah dan rumah, anda seharusnya mengambil peluang memanfaatkan masa yang
ada, tidak kira di mana saja berada dengan membaca nota ringkas yang disediakan sebelum ini.
Ini akan membantu anda mengingati semula apa yang telah dipelajari.

Dalam pada itu, kesihatan diri jangan diabaikan. Walaupun bersemangat untuk menduduki
peperiksaan, janganlah keterlaluan hingga lupa makan dan minum. Ini kerana keadaan itu boleh
menyebabkan anda jatuh sakit.

Tidur hendaklah mencukupi supaya anda sentiasa selesa dan dapat memberi tumpuan terhadap
pelajaran sama ada ketika di sekolah mahupun sewaktu belajar sendiri di rumah. Kesihatan tubuh
badan yang baik amat perlu, apatah lagi akan menduduki peperiksaan.

Buat seketika, lupakan dulu perkara-perkara lain yang anda minat, sebaliknya manfaat masa
yang ada dengan mengulang kaji pelajaran. Ini kerana semua perkara itu boleh dilakukan
kemudian berbanding peperiksaan yang kata orang sekali seumur hidup. Jangan lepaskan
peluang keemasan itu.

Begitu juga dengan pengambilan makanan, seharusnya ia seimbang. Dalam masa beberapa hari
ini juga, anda seharusnya makan makanan yang berzat dan boleh membantu mengembang dan
mencergaskan minda anda.

Setelah segala persiapan diri sudah dilakukan, anda perlu pastikan keperluan peperiksaan yang
lain tidak dilupakan, antaranya peralatan menulis khususnya pensel 2B, pemadam dan penajam
pensel, jika tidak sediakan beberapa batang pensel. Pastikan peralatan ini disediakan lebih awal
dan tidak lupa dibawa pada hari peperiksaan.
Sebaiknya tidurlah lebih awal pada malam hari peperiksaan. Langkah itu perlu supaya anda
berasa segar dan dapat menghadapi kertas peperiksaan dengan tenang tanpa sebarang masalah.

b. Kedua, pada hari peperiksaan. Bangun dan pergi ke sekolah atau dewan peperiksaan lebih
awal, bagaimanapun pastikan anda bersarapan terlebih dulu. Jika anda bangun lewat, bukan saja
tidak sempat bersarapan, malah akan tergesa-gesa ke sekolah.

Ingat, perbuatan tergesa-gesa menjanjikan pelbagai masalah, antaranya membuatkan anda panik
lalu tidak dapat menumpukan terhadap peperiksaan.

Sebelum itu, jangan lupa bersalaman dengan ibu bapa dan minta mereka mendoakan kita dapat
menjawab soalan dengan jayanya.

Ketika berada dalam dewan peperiksaan, anda hendaklah dalam keadaan tenang dan anggaplah
peperiksaan itu sebagai perkara biasa. Untuk menenangkan diri jika menggelabah, anda tariklah
nafas panjang-panjang. Langkah itu membantu jantung anda mendapat bekalan oksigen yang
mencukupi, sekali gus menghilangkan rasa gugup dan bimbang.

Apabila menjawab soalan, sekali lagi anda perlu tenang. Setelah diberi kebenaran oleh pengawas
peperiksaan, jawablah soalan yang anda fikir mudah dulu. Jangan guna masa terlalu banyak
untuk menjawab soalan sukar itu, sebaliknya terus selesaikan soalan lebih mudah. Soalan susah
yang ditinggalkan sementara itu jangan diabaikan, tetapi dibuat kemudian.

Jika menjawab soalan objektif, ketelitian amat perlu. Menentukan pilihan jawapan yang tepat
amat penting. Pastikan jawapan yang kita pilih dalam kertas soalan sama dengan huruf pada
kertas jawapan. Seandainya tersalah tanda, padamkan betul-betul sehingga hilang tanda hitam
pensel

Walaupun sudah yakin jawapan yang diberi, baik bagi soalan objektif mahupun subjektif,
semakan sebelum kertas jawapan diserah kepada pengawas peperiksaan adalah perlu dalam
memastikan semuanya betul dan sudah dijawab. Oleh itu, peruntukkan sedikit masa untuk tujuan
semakan terakhir.

Pembahagian masa yang betul amat perlu ketika menjawab soalan. Gunakan masa yang
diperuntukkan dengan berkesan. Jangan sekali-kali alpa atau khayal sewaktu menjawab kerana
langkah itu akan merugikan anda.

c. Ketiga, selepas peperiksaan. Setelah menduduki sesuatu kertas peperiksaan, anda tidak
digalakkan berbincang dulu dengan rakan atau sesiapa mengenainya. Ini perlu bagi mengelakkan
perasaan kecewa jika didapati jawapan anda terpesong atau salah.

Jika ini berlaku, anda mungkin hilang semangat atau fikiran terganggu ketika menjawab kertas
soalan berikutnya. Sebaiknya, bincang kertas soalan itu setelah peperiksaan berakhir.

Langkah terbaik, beri tumpuan penuh untuk menjawab soalan, bukannya menyemak jawapan.
6. Elakkan terbabit dengan situasi yang boleh mengganggu perasaan

Menjelang peperiksaan, pelbagai dugaan mungkin dihadapi. Oleh itu, anda seharusnya sentiasa
bersedia menghadapi apa saja dugaan yang boleh mengganggu perasaan. Selepas menunaikan
solat lima waktu, berdoalah supaya Allah SWT tenangkan perasaan dan dapat fokuskan tumpuan
terhadap peperiksaan.

7. Berdoa dan bertawakal

Sering kali kita was-was ataupun tidak yakin dengan apa yang dilakukan. Dalam hal
peperiksaan, anda tidak seharusnya kurang yakin dengan kemampuan diri jika sudah membuat
persiapan rapi sejak awal lagi. Sepatutnya kita berdoa dan tawakal kepada Allah SWT kerana
usaha itu adalah senjata terakhir bukan saja untuk membina keyakinan diri, malah mencapai
kejayaan.

Itulah di antara tip-tip yang boleh digunakan oleh pelajar sebagai panduan persedian dan
meghadapi peperiksaan tidak lama lagi. Di harap dengan panduan tip-tip di atas, pelajar-pelajar
akan berkeyakinan dan membuat persiapan yang cukup untuk menghadapi ujian itu nanti.

Jadi, bagaimana persediaan anda sekarang ? Adakah anda sudah benar-benar bersedia ??
Jomm…Mai kongsi bersama cikgu..he he he…

Anda mungkin juga menyukai