Anda di halaman 1dari 13

BAB 1: Konsep Etika

Setelah selesai Bab ini, anda akan dapat:


a) Menjelaskan maksud ‘etika’
b) Membezakan antara etika normatif & etika deskriptif
c) Membahas antara etika mutlak dan etika relatif
d) Menghuraikan fungsi etika kerja profesional

2.1 Mukadimah
2.2 Apakah etika?
2.3 Etika normatif dan etika deskriptif
2.4 Perbahasa etika mutlak dan etika relatif
2.5 Etika kerja profesional

Rujukan

1
2.1 Mukadimah

Bab ini membincangkan konsep etika dengan merujuk kepada pernyataan deskriptif dan
pernyataan normatif; etika mutlak dan etika relatif dan fungsi etika kerja profesional, Juga
dibincangkan ialah amalan tidak beretika dalam kalangan ahli profesional.

2.2 Apakah Etika?

Kerap kita mendengar pernyataan-pernyataan berikut:

 “Tingkah laku guru kaunseling itu tidak beretika”.


 “Peniaga itu melanggar segala etika perniagaan”.
 “Peguam itu berkelakuan mengikut etika guaman”.

Senario 1: Anda mengenali seorang rakan sekerja yang


sering membawa pulang alat tulis pejabat untuk
penggunaan peribadi. Apakah yang patut anda lakukan?
Adakah anda akan memberitahu pihak pengurusan atau
berdiam diri sahaja? Apakah yang patut anda lakukan?
Adakah pilihan anda ini beretika?

Senario 2: Anda terdengar jiran anda


mendera anaknya dan tanda-tanda seperti
lebam dan luka di lengannya jelas kelihatan.
Adakah anda akan melaporkan perkara ini
kepada pihak yang berkenaan? Apakah yang
patut anda lakukan? Adakah pilihan anda ini
beretika?

2
Senario 3: Sebagai seorang ejen
hartanah, anda sentiasa di bawah
tekanan untuk mencapai sasaran
jualan dan pengurus anda meminta
anda menggunakan kaedah tertentu
seperti memberi “insentif khas”
kepada pelanggan anda dengan
menggunakan wang syarikat. Apakah
yang patut anda lakukan? Adakah
pilihan anda ini beretika?

Bincang bersama pelajar lain tentang ketiga-tiga senario di atas.


a) Apakah pilihan anda?
b) Beri justifikasi pilihan anda adalah beretika.

Etika mempunyai pelbagai maksud yang mungkin membawa makna tertentu bagi orang yang
berlainan. Bagi sesetengah orang, etika merujuk kepada pematuhan undang-undang secara
umumnya dan bagi sesetengah orang lain pula, etika merujuk kepada pematuhan kepada
norma-norma sosial.

Adakah etika berkaitan dengan:


 Perasaan tertentu?
 Kepercayaan agama?
 Undang-undang?
 Norma sosial?

Di dalam bab ini, anda mendalam konsep etika dan mempelajari apa yang dimaksudkan
dengan etika dan juga sebaliknya.

Apakah yang dimaksudkan dengan “etika” dan mengapakah


sesuatu amalan atau tindakan dianggap sebagai beretika atau
tidak beretika? Perkataan ‘etika’ dipinjam daripada perkataan
Bahasa Inggeris ‘ethics’ yang berasal daripada bahasa Latin
ethice dan perkataan Greek ethicos. Etika merupakan garis

3
panduan yang memandu manusia dalam pemikiran, kelakuan dan perbuatan serta
menjadi rujukan dalam menentukan nilai perlakuan benar, salah, baik buruk negatif
mahupun positif.

Peranan Etika

 Etika mempengaruhi kehidupan manusia.


 Etika memberi manusia orientasi bagaimana ia menjalani hidupnya melalui
rangkaian tindakan seharian.
 Etika membantu manusia untuk mengambil sikap dan bertindak secara tepat dalam
menjalani hidup ini.
 Etika membantu manusia untuk membuat keputusan tentang tindakan yang perlu
dilakukan
 Etika dapat diterapkan dalam segala aspek kehidupan manusia
 Etika menjadi cermin kepada kelakuan-kelakuan pelaku yang boleh diterima atau
tidak boleh diterima.

Etika juga merupakan satu set peraturan tingkah laku atau undang-undang yang digubal
bersama oleh ahli masyarakat. Tujuan kod-kod etika yang digubal bersama ini adalah
bertujuan sebagai garis panduan kepada tingkah laku sesuatu kumpulan untuk mengawal,
menjamin dan melindungi tingkah laku yang bermoral dalam kumpulan tersebut, misalnya
etika keguruan, etika guaman, etika perniagaan dan sebagainya.

2.3 Etika Deskriptif dan Etika Normatif

Etika adalah salah satu cabang utama falsafah yang membicarakan tentang apakah yang
baik dan apakah yang buruk, apakah yang benar dan apakah yang salah, dan apakah
yang dikehendaki dengan tanggungjawab moral (moral responsibilities) dan kewajipan moral
(moral obligation). Lazimnya, ahli falsafah menumpu kepada mengkaji etika deskriptif dan
etika normatif.

4
1. Etika Deskriptif (Descriptive Ethics) adalah pengkajian tentang kepercayaan,
pendapat dan sikap individu atau sekumpulan manusia tentang tindakan mereka. Ia
adalah deskripsi tentang tingkah laku moral manusia yang dianuti, dapat ditemui
atau dilihat dalam kehidupan seharian mereka. Hal-hal yang berkaitan dengan adat
istiadat, kebiasaan dan andaian baik dan buruknya sesuatu perkara dapat dilihat.
Sesuatu tindakan oleh individu atau sekumpulan manusia diperhatikan sahaja tanpa
membuat apa jua penilaian sama ada ia betul atau salah. Dengan perkataan lain, etika
deskriptif menyatukan bentuk atau ciri-ciri sesuatu sistem moral yang ada tanpa
membuat penilaian, pengadilan dan keputusan terhadap sistem tersebut

Contohnya:

 Individu dalam masyarakat itu menjaga orang tua dengan baik.


 Tidak ada halangan pengguguran bayi dilakukan dalam masyarakat itu.
 Penduduk di situ tidak merotan anak-anak mereka kerana salah laku.

2. Etika Normatif (Normative Ethics) adalah pengkajian tentang sikap dan kelakuan
yang harus diamalkan oleh manusia dalam kehidupan seharian. Etika normatif
dibincangkan dan dibahaskan. Ini berbeza dengan etika deskriptif di mana sesuatu
peristiwa yang terjadi hanya diperihalkan atau ditonton sahaja tanpa membahas baik-
buruknya. Etika normatif melibatkan individu membahas peristiwa atau tingkah laku
manusia dalam sesuatu masyarakat. Penilaian baik dan buruk mengenai tindakan
individu atau kelompok masyarakat selalunya dikaitkan dengan norma. Dalam
pembahasan etika normative, ahli-ahli memberikan hujah atau argumen yang
menerangkan mengapa suatu tingkah laku dianggap baik atau buruk berdasarkan
norma-norma masyarakat. Penilaian hendaklah objektif yang mempertimbangkan
keseluruhan keadaan.

Lihat pernyataan yang berikut serta ulasan tentang perbezaan antara pernyataan normatif
dan deskriptif :

a) Lukisan itu sangat cantik. (pernyataan normatif yang melibatkan soal estetika)
b) Manusia memerlukan tiga keperluan yang asas. (pernyataan deskriptif yang
melibatkan fakta atau empirikal)
c) Mengikut agama, adalah berdosa jika kita berbohong. (pernyataan normatif yang
melibatkan soal agama)

5
d) Menanggalkan kasut di luar sebelum masuk ke dalam rumah adalah amalan budaya
Malaysia. (pernyataan normatif yang melibatkan soal adat/tradisi yang diamalkan
dalam budaya Malaysia.
e) Menurut undang-undang jalan raya, dia patut berhenti apabila lampu isyarat
bertanda merah (pernyataan normatif yang melibatkan soal undang-undang)
f) Dia patut berhenti apabila lampu isyarat bertanda merah kerana kegagalan
melakukannya akan membahayakan nyawa diri dan pengguna jalan raya yang lain
(pernyataan normatif yang melibatkan moral atau etika)

[sumber: KONSEP ASAS DALAM PENDIDIKAN MORAL, Chang Lee Hoon, Fakulti
Pendidikan, Universiti Malaya]

Daripada contoh pernyataan di atas maka boleh dikatakan bahawa terdapat pernyataan yang
berbentuk normatif dan berbentuk deskriptif. Terdapat pernyataan normatif yang melibatkan
soal moral atau etika iaitu pernyataan ‘f’ sahaja, manakala pernyataan lain adalah pernyataan
deskriptif atau pernyataan normatif yang tidak melibatkan soal moral atau etika.

Dalam Pendidikan Moral, tumpuan hendaklah berfokus kepada pernyataan normatif yang
melibatkan pertimbangan nilai atau etika. Ianya berbeza dengan pernyataan normatif yang
tidak melibatkan soal moral dan pernyataan deskriptif yang tidak bersifat normatif. Namun
begitu, terdapat pernyataan normatif yang melibatkan soal bukan moral iaitu agama
(pernyataan ‘c’), undang-undang (pernyataan ‘e’), estetika (pernyataan ‘a’) dan adat/tradisi
(pernyataan ‘d’) tetapi ada kaitan dengan moral. Contohnya kepatuhan kepada undang-
undang ada kaitan dengan moral juga kerana ia menjamin hak individu hidup secara selamat
dan bebas.

a) Bincangkan perbezaan antara etika deskriptifdan etika normatif.


Sokong jawapan anda dengan memberi contoh yang relevan.
b) Nyatakan jenis penyataan normatif yang harus diberi penekanan
dalam pendidikan moral.

6
2.4 Perbahasan tentang Etika Mutlak dan Etika Relatif

Hingga hari, masih terjadi perbahasan pandangan tentang etika mutlak (absolute ethics) dan
tetika relatif (relative ethics). Para kumpulan kefahaman etika mutlak telah membentangkan
pelbagai hujah bahawa semua etika adalah etika mutlak manakala kumpulan kefahaman
etika relatif telah menyampaikan hujah-hujah membantah pegangan ini.
Etika Mutlak
Etika Mutlak (dalam Bahasa Inggeris disebut Absolute Ethics) bermakna bahawa sesuatu
etika itu bersifat absolut atau sejagat (universal). Ia menekankan bahawa sesuatu prinsip
moral itu sejagat, iaitu untuk siapa sahaja dan di mana sahaja. Prinsip berkenaan tidak
boleh ditawar-menawar atau dirunding. Juga prinsip tersebut tidak tergantung pada
keadaan atau situasi yang membuatnya dapat berubah pada keadaan dan waktu tertentu.
Contohnya, membunuh adalah salah; mengedar dadah adalah salah; mencuri adalah suatu
kesalahan; menerima atau memberi rasuah adalah salah; memperkosa adalah perbuatan yang
keji dan tidak bermoral; mengambil hak orang lain adalah perbuatan yang tidak bermoral.

Etika mutlak berhubung rapat dengan moraliti seorang individu atau manusia. Etika mutlak
menjadi norma atau peraturan sesuatu masyarakat dan bersifat memaksa dengan tidak
memilih bulu, darjat, kemampuan, situasi, keadaan, taraf sosioekonomi seseorang. Etika
mutlak dijadikan pedoman hidup dan tatacara bersosialisasi dengan manusia lain, alam,
haiwan dan tumbuhan untuk kelestarian masyarakat.

Etika mutlak yang nyata ialah kepercayaan agama seseorang atau sekumpulan manusia.
Agama juga bersifat sejagat atau universal namun mutlak kerana apa yang diyakini harus
dipatuhi dan dilaksanakan; dan tidak dapat bertolak-ansur atau diabaikan kerana segala
berhubung dengan Tuhan. Berikut ini adalah contoh-contoh etika mutlak:

Contoh #1:
Seorang pegawai kerajaan terlibat dengan rasuah dan ganjaran wang yang
diterima digunakan untuk memenuhi keinginannya dengan membeli
barang-barang mewah. Perbuatan pegawai itu yang tidak beretika sambil
menyalahi undang-undang telah merugikan rakyat.

Contoh #2:
Seorang perempuan ditangkap di KLIA kerana menyeludup syabu ke
Malaysia dan akan dihukum gantung jika didapati bersalah.

Contoh #3:
Mencuri adalah salah.

 Seorang ahli politik dihukum penjara selama 18 kerana mencuri 20


juta ringgit.

7
 Seorang pengangur dihukum penjara selama 18 bulan kerana
mencuri sepasang kasut Nike.

Etika Relatif
Relatif bermakna bergantung pada sesuatu. Etika Relatif (dalam Bahasa Inggeris dipanggil
Relative Ethics atau Situational Ethics) bertentangan dengan etika mutlak. Mereka yang
berpegang kepada konsep etika relatif menyokong pendirian mereka bahawa etika mutlak
tidak wujud dalam kehidupan seharian masyarakat. Norma-norma moral umum kerap
bergantung pada situasi atau keadaan dalam kehidupan seharian manusia. Tokoh terkenal
yang menyokong etika relatif seperti Joseph Fletcher (1967) menolak konsep norma
masyarakat yang mutlak kerana ia tertakluk kepada situasi dalam kehidupan seharian yang
tidak pernah sama. Contohnya, beliau menyokong eutanasia (seorang pesakit yang meminta
pihak perubatan membunuhnya) dan pengguguran (abortion). Amalan-amalan ini tidak
universal dan tertakluk kepada situasi atau keadaan, ia dibenarkan. Eutanasia dibenarkan di
Netherlands dan Switzerland tetapi dilarang di Amerika Syarikat dan Malaysia.

Contoh #1: Sesiapa yang membunuh manusia dihukum mati oleh


mahkamah. Tetapi dalam kehidupan seharian, sesetengah individu
yang didapati membunuh oleh mahkamah mungkin dipenjarakan
selama 20 tahun. Dalam keadaan lain terdapat kes di mana seseorang
yang membunuh dilepaskan sama sekali kerana individu berkenaan
tidak berniat membunuh.

Contoh #2: Perhambaan ialah contoh baik etika relatif. Nilai seorang
manusia ditentukan oleh keutamaan sosial, pengalaman, emosi dan
peraturan yang membawa manfaat yang paling penting.

Shomali (2001) telah memberi definisi yang agak tepat iaitu, “relativisme etika adalah
pandangan bahawa tidak ada prinsip moral yang benar secara sejagat (atau universal),
kebenaran semua prinsip moral bersifat relatif tertakluk kepada budaya atau pilihan
individu”. Menurutnya, ini bermakna tidak ada satu senarai etika mutlak dan secara
logiknya jika tidak ada etika mutlak, maka tidak ada Tuhan yang memberi etika mutlak.

Ini bertentangan dengan kepercayaan pelbagai agama yang mewajibkan berbagai-bagai-bagai


etika atau moral mutlak seperti sembahyang, saling menghormati sesama manusia, berzina
adalah salah, mencuri melanggar etika dan sebagainya. Dengan perkataan lain, etika relatif
mengecualikan keagamaan yang berdasarkan etika mutlak dan menyangkal nilai mutlak
kepercayaan kebanyakan agama. Dalam relativisme etika, benar dan salah tidak mutlak dan

8
harus ditentukan dalam masyarakat dengan kombinasi pemerhatian, logik, pengalaman
dan emosi.

a) Bincangkan perbezaan antara etika mutlak dan etika relatif.


Sokong jawapan anda dengan memberi contoh yang relevan.
b) Berikan contoh-contoh lain etika relatif yang kita lihat wujud
dalam kehidupan seharian.

2.5 Etika Kerja Profesional

Etika kerja dapat disimpulkan sebagai panduan tingkah laku yang diikuti oleh manusia yang
mempunyai kaitan rapat dengan kehidupan seharian. Hubungan etika kerja profesional
(profesional work ethics) dengan kehidupan manusia digunakan untuk mengawal tingkah
laku ahli professional dalam bentuk menyuruh melakukannya dan meninggalkan perkara
yang mendatangkan kesalahan sama ada di sisi undang-undang mahupun statusnya sebagai
profesional. Oleh itu, etika kerja profesional merupakan satu landasan kepada masyarakat
yang membolehkan teknokrat mengawal tingkah lakunya sendiri serta membolehkan
masyarakat mengawasi dan menilai setiap tindak tanduk mereka dari semasa ke semasa.

Etika seharusnya dipelajari dan diamalkan dalam kehidupan seharian kita. Keberkesanan
prinsip etika terletak pada individu itu sendiri. Tanpa disiplin diri dan kekuatan mental yang
tinggi seseorang itu tidak dapat mencapai tahap etika yang dikehendaki. Secara
kesimpulannya dapatlah kita simpulkan bahawa etika itu wujud dalam diri seseorang itu
dengan adanya disiplin dan kekuatan diri individu itu sendiri.

9
Fungsi Kod Etika Professional
Kod etika profesional adalah salah satu 'alat kawalan' sosial yang digunakan sebagai salah
satu panduan dalam mendisiplinkan diri ke arah yang lebih beretika. Secara umum kod etika
berfungsi sebagai :

 Inspirasi dan Panduan – Kod etika professional telah mengelaskan pelbagai tingkah
laku yang patut diamalkan dalam sesebuah organisasi atau jabatan tersebut. Kod ini
juga boleh dianggap sebagai landasan dalam menjalankan pelbagai kerja dengan lebih
teratur dan lebih baik. Dengan panduan dan peraturan amalan-amalan kerja, kod etika
boleh memandu dan mengingatkan ahli-ahli profesional mengenai keputusan yang
perlu diambil dan tingkah laku yang sepatutnya apabila berada di dalam sesuatu
keadaan.

 Pencegahan Dan Disiplin – Kod etika digunakan khususnya oleh badan-badan


profesional sebagai asas untuk menyiasat sebarang penyelewengan ahli-ahlinya
apabila terdapat sebarang aduan diterima. Aduan-aduan ini akan dapat mengurangkan
penyalahgunaan kuasa oleh mereka yang berkuasa dan berpangkat serta mempunyai
kedudukan tertentu dalam sesebuah organisasi atau jabatan. Selain itu ia juga dapat
mengelakkan penggunaan maklumat-maklumat rahsia syarikat atau jabatan untuk
kepentingan diri sendiri.

 Memelihara Maruah Profesion - Kod-kod etika memberi satu gambaran kepada


semua pihak tentang imej positif setiap profesion kerana setiap ahli terikat dengan
satu standard etika yang tinggi. Etika merupakan satu panduan kepada professional
untuk membina, meningkat dan mempertahankan integriti, kejujuran dan maruah
profesion masing-masing. Ini secara umumnya, setiap kod etika profesional
menjelaskan bahawa setiap ahlinya perlu menggunakan segala ilmu pengetahuan
yang dimilikinya untuk meningkatkan kesejahteraan manusia seluruhnya, jujur
kepada diri sendiri, majikan, masyarakat dan pelanggannya serta sentiasa berusaha
untuk meningkatkan pengetahuan untuk terus memberi perkhidmatan yang lebih
cemerlang dari semasa ke semasa.

 Memelihara Keharmonian – Kod etika menggariskan standard tingkah laku yang


harus dipatuhi dan diamalkan sepenuhnya supaya kepentingan semua pihak
terpelihara. Ini dapat mengelakkan daripada berlakunya pertembungan di antara
kepentingan diri dan kepentingan umum. Ini akhirnya menyebabkan pelbagai konflik
dan rasa tidak puas hati dalam kalangan pihak yang berkaitan. Setiap ahli profesional
dalam bidang masing-masing perlu mengiktiraf kehidupan, keselamatan, kesihatan
dan kebajikan setiap anggota masyarakatnya

10
 Sokongan – Jika seseorang didakwa atau diragui oleh pihak lain tentang apa yang
dilakukan, maka dia boleh menggunakan kod etika untuk menyokong tindakannya
dalam memberi sokongan akan apa yang telah dilakukan. Hendaklah ahli tersebut
yakin akan pekerjaan yang telah beliau lakukan tidak salah di sisi undang-undang dan
agama serta etika organisasi atau jabatan. Para professional hendaklah menolak
sebarang arahan majikan yang bertentangan dengan etika professional syarikat
berkenaan.

Ringkasnya, etika professional adalah untuk memberi inspirasi, galakan dan sokongan kepada
pengguna-pengguna teknologi dalam bidang kepakaran masing-masing. Etika profesional
lebih menumpukan kepada dimensi perlakuan yang positif sebagai panduan tingkah laku
yang paling sesuai untuk diamalkan oleh seseorang professional. Semua etika professional
yang diguna pakai diseluruh dunia dalam bidang-bidang seperti perubatan, guaman,
perniagaan, perakaunan, perguruan dan kejuruteraan mempunyai asas-asas etika yang sama.
Ini kerana tujuan etika dibentuk adalah digunakan untuk diri dan masyarakat amnya.

Amalan Tidak Beretika Dalam Kalangan Profesional


Ahli-ahli profesional dalam tugas-tugas seharian mereka
berurusan dengan pelbagai pihak. Tidak kira dengan siapa
mereka berurusan, ianya mempunyai implikasi undang-
undang yang luas. Namun begitu dari semasa ke semasa,
pelbagai jenayah kolar putih yang melibatkan ahli
profesional telah diketengahkan Ini menggambarkan
perbuatan-perbuatan yang tidak beretika di kalangan para
ahli profesional.
Kebanyakan daripada mereka ini beranggapan bahawa etika
adalah semata-mata untuk menyekat serta mengongkong kehidupan mereka. Mungkin pada
masa sekarang ini ramai yang beranggapan bahawa tidak perlu lagi etika dalam kerja mereka
kerana ianya akan menghadkan 'pergerakan' mereka dalam organisasi tersebut. Di bawah ini
adalah sebahagian contoh perbuatan tidak beretika tersebut:

a) Salah Guna Kuasa – Dewasa ini, banyak kes yang


kita dengar berhubung dengan salah guna kuasa oleh
sesetengah pihak. Jenayah ini berlaku demi menjaga
nama dan maruah seseorang itu dari dikenakan
tindakan undang-undang daripada jenayah yang telah dilakukan. Kuasa dan pangkat
juga digunakan untuk menjatuhkan seseorang. Ianya juga digunakan untuk menipu
dan memberi rasuah. Jikalau dilihat dari segi agama ia secara terang ditentang kerana
ianya dianggap tidak bermoral dan tidak berlaku adil kepada mereka lain. Mereka
yang terlibat dalam penyalahgunaan kuasa dianggap sebagai mementingkan diri
sendiri dan mengetepikan norma-norma masyarakat. Mereka juga menggunakan
kuasa untuk menyalah gunakan maklumat untuk tujuan memberi keuntungan kepada

11
keluarga dan rakan-rakan dalam pemberian kontrak atau dalam menguruskan
pinjaman atau subsidi.

b) Rasuah – Rasuah boleh ditafsirkan sebagai


"ganjaran atau imbuhan yang diperoleh
hasil daripada melakukan sesuatu kerja
yang tidak sepatutnya dilakukan". Rasuah
bukan sahaja boleh diberi atau diterima
dalam bentuk wang ringgit tetapi juga
dalam bentuk kebendaan. Rasuah adalah satu jenayah kolar putih. Hukuman yang
dikenakan bukan sahaja kepada penerima tetapi kepada pemberi dan juga saksi-
saksinya kerana mereka ini bersekongkol dalam melakukan jenayah tersebut.
Kegiatan seperti ini akan memberi implikasi dan tanggapan buruk oleh masyarakat
akan profesion seorang profesional yang dikira beretika dalam semua hal. Impak ini
juga akan dirasai oleh masyarakat keseluruhannya. Contohnya, jenayah ini akan
meningkatkan kos barangan dan perkhidmatan yang akhirnya memberi kesan kepada
pengguna. Bukan itu sahaja, rasuah juga akan menyebabkan barangan dan
perkhidmatan yang dipasarkan tidak memenuhi spesifikasi atau mutu yang
sepatutnya. Ini sekali gus menghapuskan persaingan terbuka dan sihat. Persaingan
terbuka ini amat penting dalam sistem ekonomi bebas kerana ianya akan
meningkatkan kualiti barangan dan perkhidmatan.

c) Penipuan – Penipuan dalam sesuatu profesion biasa


berlaku secara senyap dan tidak dapat dikesan. Ianya
berlaku dalam keadaan sedar dan mereka yang
bersekongkol dalam penipuan tersebut dan mereka tahu akan kesalahan yang telah
mereka lakukan. Penipuan mempunyai pelbagai tujuan. Penipuan dilakukan untuk
menyembunyikan kesalahan yang telah dilakukan daripada pengetahuan umum.
Terdapat pelbagai penipuan boleh dilakukan dan antaranya adalah pemalsuan
dokumen dan maklumat, pengeliruan dan pemalsuan pengiklanan dan lain-lain. Yang
biasa kita lihat adalah penipuan dalam pengiklanan barangan dan rumah kediaman.
Penipuan merendahkan integriti dan maruah seseorang itu di martabat masyarakat. Ini
akan menghakis kepercayaan rakyat kepada mereka yang terlibat.

Kesimpulan
Etika kerja diwujudkan untuk mengawal tingkah laku para profesional supaya mereka dapat
menggunakan segala pengetahuan, kepakaran dan kemahiran yang ada untuk kebaikan semua
pihak. Walau pun seorang profesional itu terikat dengan undang-undang dan kod etika
profesional, masih ramai di antara mereka yang melakukan amalan yang tidak sihat ini.
Selain perlaksanaan undang-undang, kesedaran individu itu adalah sangat penting kerana
ianya dianggap sebagai perisai utama daripada melakukan perkara-perkara yang tidak
beretika. Namun begitu, apa pun penyelewengan yang mereka lakukan adalah salah dan

12
bertentangan dengan agama, kod etika profesional dan undang-undang serta norma-norma
masyarakat amnya.

a) Apakah etika kerja profesional?


b) Nyatakan fungsi etika kerja profesional
c) Bincangkan amalan tidak beretika dalam kalangan ahli profesional.

RUJUKAN

Shomali, M. (2001), Ethical Relativism: An Analysis of the Foundations of Morality, London:


Islamic College for Advanced Studies Press.
Joseph Fletcher (1967). Moral Responsibility: Situation Ethics at Work, Westminster Press,
1967.
Chang Lee Hoon (2205). Konsep Asas dalam Pendidikan Moral. Fakulti Pendidikan,
Universiti Malaya.

Kementerian Pendidikan Malaysia in collaboration with UNESCO. Report on Regional


Seminar on the Teaching of Values and Ethics in Schools for Asia and the Pacific. Kuala
Lumpur, 25-29 September, 1995.

MacKinnon, B. (1995). Ethical theory and contemporary issues. Washington: Wadsworth


Publishing Co.

Nilai Dan Etika Dalam Perkhidmatan Awam, Institut Tadbiran Awam Negara, Kuala
Lumpur, 1991.

13

Anda mungkin juga menyukai