Anda di halaman 1dari 13

PANDUAN PENENTUAN MAKANAN HALAL MENURUT PANDANGAN

ULAMA SERTA KESANNYA TERHADAP IKS MUSLIM DI MALAYSIA

Oleh:
AZMAN AB RAHMAN
PENSYARAH FAKULTI SYARIAH DAN UNDANG-UNDANG
KOLEJ UNIVERSITI ISLAM MALAYSIA

ABSTRAK

Makanan merupakan di antara perkara yang penting yang dititik beratkan oleh Islam
terhadap umat Islam. Dewasa ini kita dapat melihat dan mendengar pelbagai isu yang
berkaitan dengan pemakanan. Di antara isu pemakanan yang sentiasa menjadi perbualan
antara masyarakat di Malaysia adalah pembongkaran pemprosesan sosej yang
bersalutkan usus khinzir. Pembongkaran ini telah membuka mata masyarakat tentang
berapa pentingnya pengetahuan tentang sumber pemakanan yang dimakan selama ini.
Pihak–pihak tertentu seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Persatuan Pengguna
Islam Malaysia, Kementerian Hal Ehwal dalam Negeri serta pihak yang berkenaan telah
mengambil inisiatif bagi memastikan makanan, ubat-ubatan, kosmetik yang digunakan
oleh masyarakat Islam di Malaysia benar-benar halal dan dibenarkan oleh Syarak. Kertas
kerja ini bertujuan untuk menghuraikan isu pemakanan menurut perspektif Islam di
samping panduan penentuan makanan halal menurut pandangan ulama. Penjelasan ini
amat penting kerana ianya akan memberi kesan terhadap hala tuju perkembangan Industri
Kecil Sederhana Muslim di Malaysia. Diharapkan kertas kerja ini dapat menjelaskan
sedikit sebanyak kedudukan hukum makanan halal dan haram yang terdapat di Malaysia
dan menjadi panduan kepada pihak-pihak tertentu dalam menentukan kehalalan satu-satu
produk itu.

DEFINISI MAKANAN
Menurut istilah bahasa Arab makanan diistilahkan sebagai at’imat iaitu jamak kepada
to’am yang bermaksud merasai sesuatu sama ada manis, pahit, masam, masin dan
sebagainya. (Che Wan Jasimah Wan Mohamed Radzi 2000). Manakala menurut Kamus
Dewan makanan didefinisikan sebagai apa sahaja yang boleh dimakan seperti nasi, roti
dan lain-lain (Kamus Dewan 2002).

Makan juga boleh diertikan sebagai memamah atau mengunyah sesuatu benda yang
bukan berbentuk cecair.Secara umumnya, makan pada kebiasaannya ditujukan kepada
perbuatan memakan makanan yang berketul, berbiji, berbuku, yang boleh dikunyah
seperti nasi, roti, buah-buahan dan seumpamanya.(Mohamed Jusuh 1986)

1
Menurut definisi ilmu sains makanan boleh didefinisikan sebagai apa sahaja sama ada
pepejal, cecair atau di antara kedua-duanya yang mempunyai komposisi kimia yang
tersendiri dan apabila dimakan ia akan menjalankan beberapa tugas seperti menyediakan
bahan-bahan untuk tumbesaran, memelihara dan membina tisu-tisu badan dan
sebagainya. (Krause dan Mahan 1972)

DEFINISI MAKANAN HALAL

Terdapat beberapa garis panduan untuk menentukan definisi makanan halal ia adalah
seperti berikut:

a)Bukanlah terdiri daripada atau terkandung di dalamnya apa-apa bahagian atau benda
dari binatang yang orang Islam dilarang oleh hukum syarak memakannya atau yang tidak
disembelih mengikut hukum syarak.

b)Tidaklah terkandung di dalamnya apa-apa benda yang dihukum sebagai najis mengikut
hukum syarak.

c)Tidaklah disedia, diproses atau di kilang dengan menggunakan apa-apa alat yang tidak
bebas dari benda-benda najis mengikut hukum syarak.

d) Tidaklah dalam masa menyedia, memproses atau menyimpannya itu bersentuhan atau
berdekatan dengan apa-apa makanan yang tidak memenuhi kehendak garis panduan a, b,
dan atau apa-apa benda yang dihukum sebagai najis mengikut hukum syarak.
(http://jaipp.penang.gov.my/jaipp/garis_panduan_makanan.htm.)

PRINSIP MAKANAN HALAL DAN HARAM

Terdapat tiga prinsip untuk menentukan halal atau haramnya makanan mengikut ayat 145
dalam surah al-An’am, ayat 157 dalam surah A’araf dan ayat 4 dalam surah al-Maidah
seperti berikut: (Zulkifli Mohamed al-Bakri 2005)

2
Prinsip Pertama:

Semua binatang yang dianggap elok oleh orang arab semasa hidup senang, dan pada
zaman Rasullullah S.A.W Halal.

Berdasarkan prinsip tersebut antara binatang yang halal ialah:

1- Semua jenis ikan yang hidup di dalam laut walau apapun namanya. Hal yang
demikian kerana binatang tersebut dianggap elok oleh orang arab,
2- Binatang ternakan iaitu unta, lembu, biri-biri, kambing, seladang, kijang, arnab
dan lain-lain yang dianggap elok oleh orang arab yang kemudiannya diakui halal
oleh syarak.

Prinsip Kedua:

Semua binatang buas yang mempunyai taring yang kuat untuk menangkap mangsa adalah
haram.

Binatang tersebut seperti anjing, babi, serigala, beruang, kucing, gajah, singa, harimau
bintang dan seumpamanya. Manakala burung yang haram dimakan ialah yang
mempunyai kuku yang kuat dan boleh melukakan seperti burung helang dan burung
rajawali.

Prinsip ketiga:

Semua jenis binatang yang sunat dibunuh adalah haram dimakan.

Binatang tersebut seperti ular, kala jengking, gagak, tikus dan semua binatang yang
memudharatkan.

PANDANGAN ULAMA TERHADAP PENENTUAN MAKANAN HALAL

Ulama banyak membincangkan isu pemakanan berdasarkan surah al-Maidah ayat 3 yang
menyebut tentang binatang-binatang yang diharamkan secara terperinci dengan
menetapkan 10 jenis binatang yang haram. Ayat ini menjadi panduan dalam menentukan

3
kehalalan sesuatu makanan dan produk disamping ayat-ayat lain yang hanya
menjelaskannya secara umum yang menetapkan 4 jenis binatang yang haram.

Allah berfirman dalam surah al-Maidah ayat 3:

‫ﺨ ِﻨ َﻘ ُﺔ وَا ْﻟ َﻤ ْﻮﻗُﻮ َذ ُة‬


َ ‫ﺨ ْﻨﺰِﻳ ِﺮ َوﻣَﺎ ُأ ِهﻞﱠ ِﻟ َﻐ ْﻴ ِﺮ اﻟﱠﻠ ِﻪ ِﺑ ِﻪ وَا ْﻟ ُﻤ ْﻨ‬
ِ ‫ﺤ ُﻢ ا ْﻟ‬
ْ ‫ﻋَﻠ ْﻴ ُﻜ ُﻢ ا ْﻟ َﻤ ْﻴ َﺘ ُﺔ وَاﻟﺪﱠ ُم َو َﻟ‬
َ ‫ﺖ‬ْ ‫ﺣ ِّﺮ َﻣ‬ ُ
‫ﺴﻤُﻮا‬ ِ ‫ﺴ َﺘ ْﻘ‬
ْ ‫ن َﺗ‬
ْ ‫ﺐ َوَأ‬ ِ ‫ﺼ‬ ُ ‫ﻋﻠَﻰ اﻟ ﱡﻨ‬ َ ‫ﺢ‬ َ ‫ﺤ ُﺔ وَﻣَﺎ َأ َآ َﻞ اﻟﺴﱠ ُﺒ ُﻊ إِﻻ ﻣَﺎ َذ ﱠآ ْﻴ ُﺘ ْﻢ وَﻣَﺎ ُذ ِﺑ‬ َ ‫وَا ْﻟ ُﻤ َﺘ َﺮ ِّد َﻳ ُﺔ وَاﻟ ﱠﻨﻄِﻴ‬
‫ن ا ْﻟ َﻴ ْﻮ َم‬ِ ‫ﺸ ْﻮ‬َ ‫ﺧ‬
ْ ‫ﺸ ْﻮ ُه ْﻢ وَا‬ َ ‫ﺨ‬ْ ‫ﻦ دِﻳﻨِ ُﻜ ْﻢ ﻓَﻼ َﺗ‬ ْ ‫ﻦ َآ َﻔﺮُوا ِﻣ‬ َ ‫ﺲ اﱠﻟﺬِﻳ‬ َ ‫ﻖ ا ْﻟ َﻴ ْﻮ َم َﻳ ِﺌ‬ ٌ‫ﺴ‬ ْ ِ‫ﺑِﺎﻷزْﻻ ِم َذ ِﻟ ُﻜ ْﻢ ﻓ‬
‫ﻄﺮﱠ ﻓِﻲ‬ ُ‫ﺿ‬ ْ ‫ﻦ ا‬ ِ ‫ﺖ َﻟ ُﻜ ُﻢ اﻹﺳْﻼ َم دِﻳﻨًﺎ َﻓ َﻤ‬ ُ ‫ﻋ َﻠ ْﻴ ُﻜ ْﻢ ِﻧ ْﻌ َﻤﺘِﻲ َو َرﺿِﻴ‬ َ ‫ﺖ‬ ُ ‫ﺖ َﻟ ُﻜ ْﻢ دِﻳﻨَ ُﻜ ْﻢ َوَأ ْﺗ َﻤ ْﻤ‬ ُ ‫َأ ْآ َﻤ ْﻠ‬
‫ن اﻟﱠﻠ َﻪ ﻏَﻔُﻮ ٌر رَﺣِﻴ ٌﻢ‬ ‫ﻒ ﻹ ْﺛ ٍﻢ َﻓ ِﺈ ﱠ‬
ٍ ‫ﻏ ْﻴ َﺮ ُﻣ َﺘﺠَﺎ ِﻧ‬ َ ‫ﺼ ٍﺔ‬
َ ‫ﺨ َﻤ‬ ْ ‫َﻣ‬

Yang bermaksud: Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak
disembelih) dan darah (yang keluar mengalir) dan daging babi (termasuk semuanya) dan
binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah dan yang mati tercekik,
dan yang mati dipukul dan yang mati jatuh dari tempat yang tinggi dan yang mati
ditanduk dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih
(sebelum habis nyawanya) dan yang disembelih atas nama berhala dan (diharamkan juga)
kamu merenung nasib dengan undi batang-batang anak panah. Yang demikian itu adalah
perbuatan fasik. Pada hari ini, orang-orang kafir telah putus asa (daripada memesongkan
kamu) dari agama kamu (setelah mereka melihat perkembangan Islam dan umatnya).
Sebab itu janganlah kamu takut dan gentar kepada mereka, sebaliknya hendaklah kamu
takut dan gentar kepadaKu. Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama
kamu dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu dan Aku telah redakan Islam itu
menjadi agama untuk kamu. Maka sesiapa yang terpaksa kerana kelaparan (memakan
benda-benda yang diharamkan) sedang ia tidak cenderung hendak melakukan dosa (maka
bolehlah dia memakannya), kerana sesungguhnya Allah maha Pengampun, lagi Maha
Mengasihani.

Ringkasnya: Secara umumnya binatang yang diharamkan untuk dimakan itu ada empat
jenis, dan secara terperincinya sebanyak sepuluh jenis iaitu: (Yusuf al-Qardhawi 1993
dan al-Ghazali 2000)

Makanan Pertama: Bangkai

Bangkai iaitu binatang yang mati dengan sendirinya tanpa ada suatu usaha manusia yang
memang sengaja disembelih atau dengan berburu.

4
Makanan Kedua: Darah Yang Mengalir

Ibnu Abbas pernah ditanya tentang limpa (thihal), maka jawab beliau: Makanlah! Orang-
orang kemudian berkata: Itu kan darah. Maka jawab Ibnu Abbas: Darah yang diharamkan
atas kamu hanyalah darah yang mengalir.

Makanan Ketiga: Daging Babi

Daging babi telah diharamkan kerana makanan babi itu yang kotor-kotor dan najis. Maka
tepatlah apa yang ditegaskan Allah dalam firmannya yang bermaksud :

"Dan Allah mengharamkan atas mereka yang kotor-kotor." (al-A'raf: 156)

Makanan Keempat: Binatang Yang Disembelih Bukan kerana Allah

Binatang yang disembelih bukan kerana Allah, iaitu binatang yang disembelih dengan
menyebut nama selain Allah, misalnya nama berhala Kaum penyembah berhala
(watsaniyyin) dahulu apabila hendak menyembelih binatang, mereka menyebut nama-
nama berhala mereka seperti Laata dan Uzza. Ini bererti suatu taqarrub kepada selain
Allah dan menyembah kepada selain asma' Allah yang Maha Besar.

Jadi sebab (illah) diharamkannya binatang yang disembelih bukan kerana Allah di sini
ialah semata-mata illah agama, dengan tujuan untuk melindungi aqidah tauhid,dan
kemurnian aqidah.

Kesimpulannya hanya empat jenis binatang dan makanan sahaja yang disebutkan di atas
tetapi diperincikan dalam surah al-Maidah ayat 3 dengan ditambah enam jenis lagi yang
menjadikan jumlah keseluruhannya adalah 10 jenis seperti dibawah:

Makanan Kelima:Al-Munkhaniqah

Al-Munkhaniqah iaitu binatang yang mati kerana dicekik, baik dengan cara menghimpit
leher binatang tersebut ataupun meletakkan kepala binatang pada tempat yang sempit dan
sebagainya sehingga binatang tersebut mati.

5
Makanan Keenam: Al-Mauqudzah

Al-Mauqudzah iaitu binatang yang mati kerana dipukul dengan tongkat dan sebagainya.

Makanan Ketujuh: Al-Mutaraddiyah

Al-Mutaraddiyah iaitu binatang yang jatuh dari tempat yang tinggi sehingga mati. Yang
seperti ini ialah binatang yang jatuh dalam perigi.

Makanan Kelapan: An-Nathihah

An-Nathihah iaitu binatang yang ditanduk oleh binatang lain sehingga mati.

Makanan Kesembilan: Maa akalas sabu

Maa akalas sabu iaitu binatang yang diterkam oleh binatang buas dengan dimakan
sebahagian dagingnya sehingga mati.

Sesudah menyebutkan lima jenis binatang dan makanan dari bilangan 5 sampai bilangan
9 ini kemudian Allah menyatakan "Kecuali binatang yang kamu sembelih," yakni apabila
binatang-binatang tersebut kamu dapati masih hidup, maka sembelihlah. Oleh itu,
binatang-binatang tersebut menjadi halal sekiranya ia disembelih.

Makanan kesepuluh: Binatang yang Disembelih Untuk Berhala

Binatang yang disembelih untuk berhala (maa dzubiha alan nusub). Nushub sama dengan
Manshub ertinya: yang ditegakkan. Maksudnya iaitu berhala atau batu yang ditegakkan
sebagai tanda suatu penyembahan selain Allah. Orang-orang jahiliah biasanya
menyembelih binatang untuk dihadiahkan kepada berhala-berhala tersebut dengan
maksud bertaqarrub kepada Tuhannya.Binatang-binatang yang disembelih untuk maksud
di atas termasuk salah satu daripada jenis penyembelihan yang dilakukan bukan kerana
Allah.

6
Ulama berselisih pendapat tentang keharusan penyembelihan, adakah halal binatang
–binatang ini (bilangan 5 sehingga 9) yang hukumnya seperti bangkai? (al-Sabuni
1999 dan al-Sais t.t)

Pendapat yang masyhur daripada mazhab Shafie dan Mazhab Hanafi, sekiranya binatang
itu ada menunjukkan tanda-tanda masih lagi hidup seperti pergerakan kaki dan
seumpamanya kemudian disembelih, maka sembelihan itu adalah halal.

Sebahagian daripada pengikut mazhab Hanafi dan Shafie, mereka mensyaratkan bahawa
binatang itu hendaklah dalam keadaan hayat mustaqirrah. Diriwayatkan daripada Malik
sekiranya binatang tersebut lebih hampir kepada mati, maka tidak diharuskan
penyembelihan tersebut dan sembelihan itu tidak halal dimakan.

Kesimpulannya, ulama semua bersetuju bahawa semua binatang yang disebutkan di atas
adalah haram dimakan, walau bagaimanapun mereka berselisih pendapat tentang 5 jenis
binatang iaitu Al-Munkhaniqah, Al-Mauqudzah, Al-Mutaraddiyah, An-Nathihah dan Maa
akalas sabu. Sebahagian berpendapat selagi mana binatang tersebut menunjukkan tanda-
tanda hidup maka diharuskan menyembelihnya dan halal dimakan, manakala pendapat
lain pula mengatakan walaupun binatang itu ada menunjukkan tanda-tanda hidup tetapi
lebih hampir kepada mati maka tidak diharuskan menyembelihnya dan tidak halal di
makan.

GARIS PANDUAN MAKANAN HALAL DI MALAYSIA

Di Malaysia pihak yang memainkan peranan terbesar dalam menentukan kehalalan


sesuatu makanan, minuman dan barangan gunaan orang Islam adalah Jabatan Kemajuan
Islam Malaysia (JAKIM). Pihak Jakim ada menyediakan garis panduan berkaitan dengan
pemakanan berdasarkan sumber al-Quran dan pandangan ulama terhadapnya. Matlamat
garis panduan ini adalah untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada pengusaha,
usahawan Muslim dan orang awam yang merangkumi penyediaan, pemprosesan,
penyimpanan, pembungkusan, pengendalian dan pengangkutan bagi makanan, minuman
dan barang gunaan Islam.

7
http://www.halaljakim.gov.my/corporate.php?ID=80&parent_id=79

Sumber Bahan Makanan Dan Minuman

Sumber utama makanan dan minuman manusia adalah dari haiwan, tumbuh-tumbuhan,
bahan semulajadi, bahan kimia dan mikro-organisma yang mana ada di antaranya yang
dihalalkan dan ada yang diharamkan. Garis panduan tersebut adalah berdasarkan
pembahagian di bawah:

1.0 Haiwan
Haiwan boleh dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu Haiwan Darat dan Haiwan Air.
Semua Haiwan Darat halal dimakan kecuali haiwan yang tidak disembelih mengikut
hukum syarak, babi, anjing, haiwan yang mempunyai taring atau gading yang digunakan
untuk membunuh iaitu haiwan-haiwan buas seperti harimau, beruang, gajah, badak
sumbu, kucing dan seumpamanya, burung yang mempunyai kuku pencakar, paruh tajam,
makan menyambar (burung pemangsa) seperti burung helang, burung hantu dan
seumpamanya. Selain daripada itu haiwan-haiwan yang disyariatkan oleh Islam untuk
dibunuh seperti tikus, kala jengking, burung gagak, lipan, ular dan seumpamanya, haiwan
yang dilarang oleh Islam membunuhnya seperti semut, lebah, burung belatuk, burung
hud-hud dan labah-labah.

Haiwan yang dipandang jijik (keji) oleh umum seperti kutu, lalat, ulat dan seumpamanya,
haiwan yang hidup di darat dan di air (dua alam) seperti katak, buaya, penyu, anjing laut
dan seumpamanya dan semua jenis haiwan dan tumbuh-tumbuhan yang dihasilkan oleh
bioteknologi DNA adalah halal kecuali yang berasal dari haiwan yang lahir dari salah
satu keturunan dari babi atau anjing juga adalah haram dimakan.

Haiwan Air ialah haiwan yang boleh hidup secara hakikinya di dalam air sahaja. Ianya
adalah halal dan boleh dimakan kecuali yang beracun, memabukkan dan membahayakan
kesihatan manusia.

8
2.0 Tumbuh-tumbuhan
Semua jenis tumbuh-tumbuhan dan hasilnya adalah halal dimakan kecuali yang berbisa,
beracun, memabukkan, membahayakan kesihatan manusia serta yang dihasilkan oleh
bioteknologi DNA yang bersumberkan dari bahan yang haram.

3.0 Minuman
Semua air adalah halal diminum kecuali yang beracun, memabukkan dan membahayakan
kesihatan manusia dan bercampur dengan benda-benda najis.

4.0 Bahan Semulajadi


Semua bahan semulajadi seperti air, mineral dan lain-lain adalah halal kecuali yang
bercampur dengan najis, beracun, memabukkan dan membahayakan kesihatan.

5.0 Bahan Kimia


Semua bahan kimia adalah halal kecuali yang bercampur dengan najis, beracun,
memabukkan dan membahayakan kesihatan.

6.0 Bahan Tambah

Bahan Tambah (Food Additives) seperti penstabil, pengemulsi, pewarna dan


seumpamanya adalah halal kecuali yang dihasilkan dari sumber haiwan atau tumbuh-
tumbuhan yang diharamkan oleh hukum syarak.

Secara keseluruhan, apa yang dapat dirumuskan disini bahawa ulama telah menentukan
garis panduan makanan halal itu berdasarkan ayat-ayat yang terdapat di dalam al-Quran.
Berdasarkan kepada ayat-ayat tersebut juga pihak Jakim telah memperincikan garis
panduan tersebut untuk mengelakkan kesangsian masyarakat terhadap kehalalan dan
keharaman sesuatu produk itu.

KESAN TERHADAP IKS MUSLIM DI MALAYSIA


Para pengusaha, peniaga dan usahawan Muslim harus mengetahui semua aspek yang
berkaitan dengan pemakanan halal dalam mengembangkan Industri Kecil Sederhana di
Malaysia. Di antara kesan-kesan yang boleh dirumuskan dalam memastikan kemajuan

9
Industri Kecil Sederhana di Malaysia khususnya dan Negara luar amnya adalah seperti
berikut:
1- Pengetahuan mendalam tentang pandangan ulama mengenai pemakanan halal dan
haram memberi kesan yang besar terhadap perkembangan IKS di Malaysia. Ini
adalah kerana sekiranya para usahawan Muslim yang mengendalikan urusan
pemakanan halal ini mengetahui secara terperinci tentang kehalalan dan
keharaman sesuatu pemakanan itu, ia dengan secara sendirinya dapat
menyakinkan para pelanggan dan pembeli Muslim untuk membeli produk yang
dikeluarkan oleh Industri Kecil Sederhana Muslim. Perkembangan ini secara tidak
langsung telah memberi kesan kepada peningkatan pasaran dan pengeluaran
disebabkan permintaan yang agak tinggi daripada pelanggan di Malaysia.
2- Ekoran daripada kesan yang pertama, ia bukan sahaja mendatangkan faedah
kepada negara kita malahan secara perlahan-lahan ia telah menyebabkan produk
IKS Muslim di Malaysia dikenali oleh Negara luar terutama Negara Islam Luar.
Terdapat beberapa Negara luar seperti Dubai, Doha, dan sebagainya yang
berminat dengan produk IKS Muslim yang dikeluarkan oleh Malaysia disebabkan
keyakinan mereka terhadap kehalalan sesuatu produk itu. Ini secara tidak
langsung telah memberikan kesan yang positif terhadap kemajuan ekonomi
Negara kita disebabkan permintaan yang tinggi dari Negara luar disamping
memperkenalkan dan mempromosikan produk IKS Muslim Malaysia di luar
Negara.
3- Para usahawan Muslim yang mengendalikan Industri Kecil Sederhana haruslah
bersama-sama berganding bahu dan bekerjasama dalam menghasilkan sesuatu
produk. Sebagai contoh para usahawan Muslim hendaklah mempunyai sistem
rangkaian kerja Muslim bermula daripada penyediaan bahan mentah,
pemprosesan, penyimpanan, pembungkusan, pengendalian dan pengangkutan
bagi produk yang ingin dihasilkan samada makanan, minuman dan barang gunaan
Islam. Sekiranya sistem ini dapat dijalankan dengan sepenuhnya sudah tentu ia
dapat menyakinkan lagi para pembeli dan pelanggan untuk membeli barangan
yang akan dihasilkan dan dikeluarkan oleh IKS Muslim nanti.

10
4- Terdapat banyak perniagaan Industri Kecil Sederhana yang mempunyai pasaran
dan permintaan tinggi dikalangan masyarakat Islam terutama jenis-jenis produk
makanan yang pada kebiasaannya dikuasai oleh golongan bukan Islam seperti
perniagaan kek, roti, biskut dan seumpamanya. Jika diperhatikan makanan seperti
ini sentiasa dibeli oleh masyarakat Islam dan ia juga merupakan salah satu
makanan asasi masyarakat Islam di Malaysia. Kadang-kadang timbul perasaan
was-was dikalangan pembeli tentang kehalalan jenis-jenis makanan sebagaimana
yang disebutkan tadi, namun kita tidak mempunyai pilihan dan terpaksa
membelinya. Inilah masa yang amat sesesuai yang perlu difikirkan oleh peniaga
Muslim agar mengorak langkah ke hadapan supaya membuka syarikat atau
perniagaan makanan seperti roti, biskut, kek dan sebagainya untuk menjadi
alternatif kepada umat Islam ketika membeli. Dengan pengetahuan tentang
konsep halal haram dan diserapkan perlaksanaannya didalam menghasilkan
sesuatu produk makanan itu, sudah pasti Industri Kecil Sederhana Muslim akan
berkembang maju dan mendapat sambutan yang mengalakkan dikalangan umat
Islam di Malaysia.

PENUTUP

Islam mempunyai garis panduan dan peraturan dalam semua aspek kehidupan
termasuklah perkara yang berkaitan dengan pemakanan halal dan haram. Semua garis
panduan itu telah dijelaskan di dalam al-Quran dan as-Sunnah dan diperincikan dengan
pandangan-pandangan ulama dan cendikiawan. Namun begitu masih terdapat ramai
dikalangan masyarakat dan pengusaha Muslim yang mengambil mudah dan tidak
mengambil berat tentang soal halal haram ini. Sebagaimana hadis yang telah
diriwayatkan oleh Imam Bukhari; dari Abu Hurairah katanya: Rasullullah S.A.W
bersabda: “ Pada suatu masa akan tiba yang mana manusia-manusianya tidak lagi
memperdulikan dari mana memperoleh sumber kehidupannya, apakah dari sumber halal
atau dari sumber haram”. Hadis ini jelas menunjukkan bahawa adakah kita sebagai salah
seorang usahawan dan pelanggan Muslim termasuk dalam golongan sebagaimana yang

11
disebutkan dalam hadis yang tidak mengendahkan hukum syarak dalam urusan
pemakanan dan pembelian sesuatu produk.

Dalam hal ini, kita sebagai usahawan dan pelanggan Muslim haruslah bersama
membendung masalah halal haram di Malaysia, disarankan agar semua pengusaha
Muslim diberikan kesedaran betapa pentingnya memahami konsep halal haram dalam
urusan perniagaan terutama dalam sektor Industri Kecil Sederhana samada yang
melibatkan pemakanan, minuman dan barang gunaan Islam. Keperihatinan semua pihak
dalam perkara ini akan dapat menyelamatkan umat Islam daripada terjerumus dengan
sumber makanan yang tidak dihalalkan oleh Islam, ini dikuatkan lagi dengan hadis dari
Jabir katanya: “ Rasulullah S.A.W bersabda: “ Tidak akan masuk syurga daging yang
tumbuh dari hasil yang haram, setiap daging yang tumbuh dari hasil yang haram, maka
api nerakalah yang sesuai menjadi tempat tinggalnya”.

RUJUKAN

Al-Quran al-Karim

Al-Ghazali. 2000. Halal dan Haram dalam Islam. Kuala Lumpur: Jasmin Enterprise.

Al-Sabuni,Muhamad Ali. 1999. Tafsir ayat al-ahkam min al-Quran.Beirut: Dar al-Quran
al-Karim.

Al-Sais, Muhamad Ali. t.t. Tafsir ayat al-ahkam.

Che Wan Jasimah Wan Mohamed Radzi. 2000. Konsep Kesihatan Melalui Pemakanan.
Kuala Lumpur: Utusan Publications.

Krause, M.V. Mahan, L.K. 1972. Food, Nutrition and Diet Theraphy. Philapedia.

Kamus Dewan. 2002. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mohamed Jusuh. 1986. Prinsip Utama Makanan dan Minuman Dalam Islam.Kuala
Lumpur. Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri.

Yusuf al-Qardhawi. 1995. Halal dan Haram dalam Islam. Singapura. Pustaka Islamiyah
PTE LTD.

Zulkifli Mohamed al-Bakri. 2005. Hukum Makan Katak dan Berubat Denganya.
Selangor: Darul Fuqaha Enterprise.

12
http://jaipp.penang.gov.my/jaipp/garis_panduan_makanan.htm

http://www.halaljakim.gov.my/corporate.php?ID=80&parent_id=79

13

Anda mungkin juga menyukai