Anda di halaman 1dari 4

Komunikasi boleh didefinisikan sebagai perhubungan secara langsung atau dengan perantaraan surat,

radio, telefon dan lain-lain (Kamus Dewan, 2007). Jika ditinjau secara lebih lanjut, definisi komunikasi ini
tidak akan lari daripada enam komponen utama iaitu penyampai, penerima, medium perantaraan,
maklumat, maklum balas dan gangguan. Abdul Mua’ti (2006) pula mendefiinisikan komunikasi sebagai
satu proses pemindahan makna yang terdapat dalam maklumat , idea atau perasaan melalui
penggunaan simbol sama ada berbentuk lisan, bahasa badan, tulisan, visual atau simbol lain daripada
pihak penerima dengan harapan akan menghasilkan maklum balas atau respon yang dihajati.
Komunikasi berkesan atau komunikasi efektif pula boleh didefinisikan sebagai komunikasi yang dapat
menyampaikan maklumat dengan jelas daripada penyampai kepada penerima dalam usaha mencapai
matlamat organisasi.

Menurut Abdullah dan Ainon (2003), komunikasi berkesan mempunyai lima ciri khusus iaitu:

(1) Kefahaman terhadap maklumat,

(2) Keseronokan semasa menyampaikan maklumat,

(3) Pengaruh ke atas sikap, nilai dan kepercayaan disebabkan oleh maklumat yang ingin disampaikan,

(4) Perhubungan yang bertambah baik dan

(5) Adanya tindakan yang menyusuli.

Pengetua dan guru besar merupakan peneraju utama yang membentuk pasukan bekerja di sekolah.
Salah satu faktor utama yang menjadi penyumbang kepada pembentukan budaya kerja yang dinamik
adalah melalui kemahiran menyampai dan menerima maklumat secara positif yang spesifiknya
diistilahkan sebagai kemahiran berkomunikasi. Kajian daripada pakar-pakar psikologi dan pakar-pakar
komunikasi mendapati kemahiran berkomunikasi memainkan peranan sangat penting di dalam
kehidupan manusia (Abdullah & Ainon, 2005). Menurut Abrams (1986), dalam kehidupan seharian
jumlah komunikasi yang dilakukan oleh individu terdiri daripada mendengar (45 peratus), bercakap (30
peratus), membaca (16 peratus) dan menulis (9 peratus). Komunikasi bukan sahaja melibatkan
percakapan dan penulisan tetapi juga pembacaan dan proses mendengar (Zawiyah, 2009). Oleh itu
komunikasi adalah aktiviti utama yang berlaku dalam sesebuah organisasi. Berjaya atau gagal sesebuah
organisasi mencapai visi dan misi yang ditetapkan banyak bergantung kepada pasukan kerja yang berada
dalam sesebuah organisasi itu. Salah satu alat untuk mewujudkan pasukan kerja yang dinamik dan
efektif adalah melalui komunikasi yang berkesan.

Pengetua atau Guru Besar sebagai pemimpin di sekolah banyak bergantung kepada aspek komunikasi
bagi membawa misi untuk kejayaan sekolahnya. Gaya kepimpinan pengetua yang pelbagai menjurus
kepada corak komunikasinya sama ada bersifat 'laissez-faire', demokratik, ataupun autokratik.
Komunikasi ialah sebahagian yang amat penting dalam sesebuah organisasi sekolah. Kecekapan dan
kejayaan sekolah bergantung kepada sistem komunikasi yang digunakannya oleh mereka. Dalam sistem
komunikasi terdapat banyak halangannya. Sebagai seseorang Pengetua atau Guru Besar yang efisien,
beliau dapat mengesan halangan-halangan tersebut dan memperbaiki sistem perhubungan di
sekolahnya. Pendapat ini dapat disokong dengan hujah Tunku Ismail bin Tunku Md Jewa (1978), ‘The key
to the success of the large school depended on good internal and external communication and it was
the duty of the principal to keep them in order. In addition to the formal pattern of communication, the
informal communication among the staff was also important'.

Oleh itu dapat dirumuskan bahawa komunikasi berkesan adalah proses dua hala melalui penghantaran
mesej yang betul, diterima dan difahami oleh orang lain. Bagi menjadikan komunikasi itu berkesan
adalah penting untuk memahami bagaimana manusia berinteraksi dan menginterpretasikan sesuatu
mesej. Kebolehan guru besar atau pengetua menyampaikan maklumat dengan berkesan serta tidak
mengelirukan akan membangkitkan dorongan bekerja yang tinggi, mampu mengelakkan konflik dan
salah faham serta membangkitkan perasaan saling mempercayai antara satu sama lain. Guru dan staf
sokongan pasti jelas dengan peranan dan tugas yang perlu dilaksanakan oleh mereka secara individu
atau berkumpulan. Mereka juga akan dapat berinteraksi dengan sangat baik antara satu sama lain
kerana maklumat yang disalurkan adalah maklumat yang sama, tepat dan jelas. Kajian Ariffin dan
Robiah (2002) ke atas pengetua dan guru-guru di daerah Hulu Langat Selangor mendapati terdapat
empat bentuk komunikasi yang kerap diamalkan oleh pengetua iaitu penerangan kerja, maklum balas,
ekspresi positif dan penglibatan. Pola amalan komunikasi sedemikian memberi impak yang positif
kepada guru kerana unsur tekanan tidak wujud terhadap guru. Pengetua terlebih dahulu memberi
penerangan berhubung apa yang perlu guru lakukan, memberitahu apabila berpuas hati dengan tugas
yang dijalankan, berbual mesra dengan mereka dan selalu mempertimbangkan pendapat guru. Reaksi
positif dalam komunikasi ini mampu membentuk pasukan kerja yang dinamik dalam usaha sekolah
mencapai matlamat yang telah ditetapkan oleh guru besar atau pengetuanya. Pasukan kerja yang
dinamik ini merupakan pasukan kerja yang mempunyai tenaga dan kekuatan serta mampu membuat
penyesuaian dalam usaha memajukan sekolah. Pasukan kerja yang dinamik ini boleh didefinisikan
sebagai satu pasukan yang bertenaga dan berkekuatan serta mampu membuat penyesuaian,
pembaharuan dan kemajuan.

Kesimpulannya faktor jarak, masa, bahasa, sistem dan peraturan yang wujud di sekolah seharusnya
diteliti oleh pentadbir sekolah dalam usaha mewujudkan komunikasi berkesan. Jika gangguan di atas
dapat ditangani dengan baik, subordinat di sekolah tidak akan kabur dan tidak akan keliru dengan
maklumat yang disampaikan. Hal ini akan dapat mewujudkan keseragaman dalam kefahaman terhadap
maklumat yang disampaikan. Justeru itu mereka akan dapat bekerjasama membentuk pasukan kerja
yang dinamik kerana semua tindakan yang dilaksanakan adalah berasaskan kepada kefahaman yang
sama. Setiap hari, guru besar atau pengetua akan berkomunikasi dengan subordinatnya sama ada guru
atau staf sokongan sekolah. Oleh itu, aspek penyaluran maklumat yang berkualiti serta pembinaan
hubungan dua hala dalam proses komunikasi seharusnya diberi perhatian serius (Rina Ilyana, 2004).
Tambahan juga, kefahaman dan kemahiran untuk berkomunikasi dengan berkesan akan membantu
mereka untuk membentuk kumpulan kerja yang dinamik. Kumpulan kerja ini akan mampu memacu
setiap aktiviti yang dijalankan oleh sekolah ke arah hala tuju yang sama. Seterusnya, sekolah akan
berada pada landasan untuk menjadi sekolah yang cemerlang.

Rujukan

Ab. Aziz Yusof. 2003. Komunikasi untuk pengurus. Siri Pengurusan dan Pentadbiran Utusan. Kuala
Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Abdullah Hassan & Ainon Mohd. 2003. Komunikasi untuk pemimpin. Bentong: PTS Publications &
Distributor Sdn. Bhd.

Al. Ramaiah. 1999. Kepimpinan pendidikan – cabaran masa kini.Petaling Jaya: IBS Buku Sdn. Bhd.

Abrams. K.S. 1986. Communication at work: listening, speaking, writing and reading. New Jersey:
Prentice Hall Inc.

Ariffin Ba’ada & Robiah Sidin. 2002. Komunikasi pengetua-guru: satu analisis. Jurnal Teknologi. 37(E):71-
79

Chek Mat . 2007. Kemahiran Memimpin. Kuala Lumpur. Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Gurnam Kaur Sidhu, Gurcharan Singh Sandhu, Kamaruzaman Moidunny & Ranjit Kaur Sidhu. 2005.
Penilaian tahap kecekapan (PTK) kompetensi umum (teras dan profesional). Shah Alam: Penerbit Fajar
Bakti Sdn. Bhd.

Institut Aminuddin Baki. 2002. Nota ringkas fasa asas program kelayakan profesional kepengetuaan
kebangsaan (NPQH). Genting Highlands: Institut Aminuddin Baki.

Kamus Dewan. 2007. Edisi ke-4. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mohd Foad Sakdan. 2005. Pengurusan konflik. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Norman Affendi Mohd Noh & Kamaruzaman Moidunny. 2010. Penilaian tahap kecekapan kompetensi
umum/generik (teras dan profesional). Shah Alam: Mahir Holdings.

Rina Ilyana Zainal. 2004. Amalan komunikasi berkesan di kalangan usahawan tempatan. Jurnal
Teknologi. 37 (E):5-12.

Wan Izuddin . 1991. Strategi Membina Pasukan Berkesan . Kuala Lumpur .Nurin Enterprise.

Zawiyah Mohammad Yusof . 2009. Kemahiran Komunikasi. Kuala Lumpur . Dewan Bahasa dan Pustaka.

Saya bersetuju dengan pendapat saudari bahawa untuk mencapai komunikasi yang berkesan pengetua
mesti memberikan peluang kepada guru-guru untuk mengemukakan pendapat serta pandangannya,
selain daripada itu , pengetua perlu menyampaikan matlamat atau mesej bukan hanya dalam forum
formal namun menggalakkan pertemuan non formal atau tidak resmi agar lebih erat kekeluargaan dan
situasi lebih baik. pengetua juga boleh menggunakan teknologi ict untuk medapat maklumat yang lebih
baik. semoga semakin ramai pengetua yang mengamalkan ini agar banyak sekolah mencapai
kecemerlangan kerana guru-guru merasa dihargai dan boleh meningkatkan kerjanya.

Anda mungkin juga menyukai