Anda di halaman 1dari 6

Perjuangan Dato’ Maharaja Lela

1.0 PENGENALAN

Tanah Melayu merupakan kawasan yang strategik yang berada di tengah-tengah jalan
perdagangan antara timur dan barat. Sumber alam semula jadinya yang melimpah ruah
seperti rempah, bijih timah dan hasil-hasil hutan menarik minat kuasa asing dari Eropah
untuk menguasainya. Penjajahan di Tanah Melayu bermula apabila Portugis menakluki
Melaka pada 1511 sehingga 1641, Belanda pada tahun 1641 sehingga 1824, British 1824
sehingga 1957 dan Jepun 1941 sehingga 1945 (Hasnah Hussin & Mardiana Nordin, 2007).
Sejak kejatuhan kerajaan Melaka, negeri-negeri di Tanah Melayu telah beberapa kali
ditawan dan dijajah oleh kuasa asing seperti Portugis, Belanda, British dan Jepun (Johdi
Salleh, 2007). Rakyat negara ini sentiasa berjuang dalam usaha untuk menghalau penjajah
dan memerdekakan Tanah Melayu. Rakyat Tanah Melayu sanggup berjuang dan berkorban
nyawa untuk membebaskan tanah air dari kuasa penjajah. Keadaan ini dapat dilihat apabila
pejuang tempatan bangkit menentang penjajah. Ini menunjukan lahirnya semangat
nasionalisme di kalangan masyarakat tempatan dan penentangan terhadap penjajah untuk
menuntut kemerdekaan. Antara tokoh yang bangkit menentang penjajah adalah Dato’
Maharaja Lela.

2.0 PUNCA DAN SEBAB PENENTANGAN

Dato’ Maharaja Lela (Orang Besar Berlapan Perak) merupakan penghulu di Pasir Salak.
Perjanjian Pangkor pada 20 Januari 1874 telah meletakkan J.W.W. Birch sebagai Residen
British yang pertama di Perak (Mohd. Isa Othman, 2002). Sistem Residen ini tidak mendapat
kerjasama daripada Sultan Abdullah dan pembesar Melayu yang lain disebabkan oleh sikap
Birch sendiri. Ketidakpuasan terhadap sistem Residen dan sikap peribadi J. W. W. Birch
telah membawa kepada komplot antara pembesar Melayu untuk membunuhnya. Hal ini
kerana, residen Briritish berkuasa penuh untuk melantik hakim, penghulu, dan mengurus
kutipan cukai. Selain itu, Birch juga telah memperkenalkan perubahan secara radikal yang
bercanggah dengan nilai-nilai dan adat resam tempatan serta amalan tradisi para pembesar
Melayu. Peraturan baru ini juga secara tidak lansung telah menggugat kekuasaan sultan
dan kedudukan pembesar.

1
Pembaharuan-pembaharuan yang dilaksanakan oleh Birch telah menjejaskan
kepentingan sultan dan pembesar sama ada dari segi politik, ekonomi mahupun sosial
sehingga tercetusnya penentangan. Antara pembaharuan dari aspek ekonomi yang
diperkenalkan oleh Birch ialah apabila sultan dan pembesar dilarang memungut cukai
seperti sebelumnya. Arahan ini menjejaskan pendapatan sultan dan pembesar kerana Birch
tidak membayar ganti rugi akibat penghapusan keistimewaan tersebut. Dalam masyarakat
tradisional Melayu, cukai adalah penting bagi sultan dan pembesar-pembesar kerana
kutipan cukai adalah sumber pendapatan mereka pada ketika itu. Kemarahan Sultan
Abdullah bertambah apabila Birch membatalkan hak pajakan kuala Sungai Perak selama 10
tahun antara Sultan Abdullah dengan saudagar Lee Cheng Tee dari singapura dengan
bayaran $2 6000 setahun (Winstedt, R.O., 1992). Sebaliknya, Birch telah menawarkan
semula pajakan tersebut kepada Lee Cheng Tee dengan kadar yang lebih tinggi, iaitu $6
000 sebulan. Tindakan Birch bukan sahaja mendapat tentangan sultan dan pembesar, tetapi
juga gabenor dan pedagang-pedagang Negeri-negeri Selat kerana bertentangan dengan
arahan. Selain itu, Birch juga telah memperkenalkan beberapa cukai baharu seperticukai
padi, cukai atap, cukai perahu, cukai senjata dan permit menjalankan kegiatan memotong
kayu. Pembaharuan ini telah membebankan rakyat tempatan. J. W. W. Birch juga telah
memperkenalkan undang-undang untuk mengenakan denda ke atas pemungut cukai haram
dan melantik hakim dan penghulu bagi mengawasi pemungut cukai haram ini.

Di samping itu, jika dilihat dari aspek politik, sultan dan pembesar kehilangan kuasa
kerana semua urusan pentadbiran dijalankan atas arahan Birch. Keadaan ini menunjukkan
Residen lebih berkuasa dari sultan. Sultan Abdullah yang menganggap kehadiran Birch
sebagai penasihat mendapati Birch bukan menasihatinya tetapi mengeluarkan arahan-
arahan yang perlu dipatuhi oleh mereka. Morgan W. S. (1947), menyatakan Sultan Abdullah
yang tidak berpuas hati dengan tindakan Birch telah menulis surat kepada Gabenor Negeri-
Negeri Selat, iaitu Sir Andrew Clarke untuk meminta kuasa Residen dihadkan ataupun
ditukar. Jawapan yang diterima amat mengecewakan Sultan Abdullah kerana bukan sahaja
suratnya tidak mendapat layanan, malah Andrew Clarke telah arahkan bahawa hubungan
antara sultan dan pembesar dengan Gabenor mesti dibuat melalui Residen. Keadaan ini
menunjukkan bahawa Residen lebih berkuasa dari Sultan. Selain itu, Sultan dan pembesar
dilarang menjatuhkan hukuman mati, lebih-lebih lagi kepada orang-orang Melayu. Arahan ini
mendapat bantahan sultan dan pembesar-pembesar kerana ini menjejaskan kekuasaan dan

2
kewibawaan mereka serta kuasa tradisional. Kerajaan British telah mengarahkan bahawa
hukuman hanya boleh dijatuhkan oleh hakim-hakim yang dilantik oleh British.

Seterusnya, pembaharuan dari aspek sosial pula adalah apabila Birch telah campur
tangan dalam adat resam orang Melayu. Beliau cuba menghapuskan sistem perhambaan
yang merupakan adat tradisional orang Melayu. Dalam masyarakat Melayu tradisional,
perhambaan merupakan lambang status yang menentukan kekuasaan dan kewibawaan
sultan dan pembesar dari segi politik, ekonomi dan sosial. Birch memberi perlindungan
kepada hamba-hamba yang lari daripada tuannya. Zulhilmi Paidi dan Rohani Abdul Ghani.
(2003) menyatakan bahawa hubungan Sultan Abdullah dan Birch bertambah runcing apabila
Birch enggan memulangkan dua orang hamba perempuan Sultan Abdullah yang melarikan
diri ke kediaman Birch pada Oktober 1875. Kemarahan Sultan terhadap tindakan Birch
bukan sahaja kerana mereka menjadi tuan kepada hamba tetapi kerana tindakan Birch
bertentangan dengan syarat Perjanjian Pangkor yang berkaitan dengan adat resam orang
Melayu. Kelemahan Birch juga merupakan faktor yang menyebabkan tercetusnya
penetangan. Birch tidak dapat bertutur dalam Bahasa Melayu serta tidak memahami dan
menghormati adat resam orang Melayu. Birch merupakan seorang yang degil dan tidak
berganjak dari kemahuannya. Beliau tidak berdiplomasi dan tidak bertolak-ansur. Birch
mahu melaksanakan pembaharuan secara tergesa-gesa tanpa memikirkan kepentingan
sultan dan pembesar. Kelemahan peribadi Birch dapat dilihat apabila Sultan Abdullah serta
pembesar-pembesar mengunjungi kediamannya untuk mendapatkan ganti rugi akibat
penghapusan beberapa keistimewaan. Birch dengan biadap menegaskan ganti rugi akan
dibayar sekiranya sultan dan pembesar berhenti memungut cukai di kawasan masing-
masing. Kelemahan peribadi Birch lebih menyerlah apabila beliau membakar rumah Raja
Ngah dan Tengku Panglima Besar kerana mereka terus memungut cukai walaupun ditegah
oleh Birch.

3.0 KESAN DAN AKIBAT PENENTANGAN

Kesan daripada semua pembaharuan dan campur tangan Birch menyebabkan


kemarahan Sultan Abdullah dan pembesar-pembesar sampai kemuncaknya menjelang akhir
tahun 1875 dan keputusan diambil untuk membunuh Birch. Abdullah Zakaria Ghazali (1979)
menyatakan pada 20 Julai 1875, satu perjumpaan telah diadakan di Durian Sebatang yang
dihadiri oleh pembesar-pembesar Perak atau wakilnya kecuali Raja Yusof. Mesyuarat ini
telah di pengerusikan oleh Sultan Abdullah sendiri. Sultan Abdullah dan Raja Ismail telah

3
menghantar senjata kepada Dato Maharajalela dan beliau telah mengarahkan supaya
Pandak Indut dan Seputum membunuh Birch. Selepas beberapa hari dari peristiwa
perjumpaan di Durian Sebatang, hubungan Sultan Abdullah dengan British menjadi genting
apabila Birch telah mengugut untuk menurunkan takhta sultan jika baginda enggan
menyerahkan hak memungut cukai kepadanya. Akhirnya Sultan Abdullah terpaksa
menandatangani pengisytiharan penyerahan hak memungut cukai kepada British pada 24
Julai 1875. Birch ditugaskan untuk mengumumkan perubahan sistem pentadbiran tersebut
(Ismail Hussein, A. Aziz Deraman & Abd. Rahman Al-Ahmadi, 1993).

Birch akhirnya telah berjaya dibunuh di Pasir Salak pada 12 November 1875. British telah
menyerang Pasir Salak pada 15 November 1875 kerana bertindak balas terhadap
pembunuhan Birch (Zainal Abidin Abdul Wahid et. al., 1996). Dato Maharaja Lela, Dato
Sagor, Pak Indut dan Sepuntum digantung di Matang pada Januari 1879. Sultan Abdullah
dan Raja Ngah Ibrahim didapati bersubahat dan dibuang negeri ke Pulau Seychelles (Abu
Talib Ahmad, 2005). Perang Perak ini akhirnya berkesudahan dengan kemenangan British.
Kemenangan ini membolehkan British meneruskan sistem Residen dan memajukan
ekonomi Perak tanpa halangan.

4.0 RASIONAL TERHADAP TINDAKAN DATO’ MAHARAJA LELA

Dato’ Maharaja Lela bertindak sedemikian kerana kekayaan tanah air telah di bolot oleh
penjajah dan penduduknya pula di tindas. Kesemua kekayaan dan hasil daripada sumber
tanah air telah dirampas. Demi mengembalikan maruah bangsa dan kedaulatan negara,
Dato’ Maharaja Lela telah berjuang bersama-sama rakyat tempatan untuk menentang
penjajah, tetapi Bristish telah menggunakan tipu helah, kekuatan tentera dan
menguatkuasakan undang-undang untuk melumpuhkan perjuangan mereka. Walaupun
perjuangan mereka gagal, namum semangat dan keberanian mereka dan menjadi inspirasi
kepada pejuang seterusnya untuk kekal menjadi bangsa yang bermaruah dan negara yang
berdaulat.

Selain itu, tindakan para pembesar dan sultan juga amat wajar kerana Birch telah
bertindak melakukan campur tangan dalam adat resam Melayu. Perkara yang melibatkan
adat resam dan agama perlulah dipelihara sebaiknya. Hal ini kerana adat resam itu

4
melambang warisan dan identiti sesuatu bangsa. Malah, Dato’ Maharaja Lela bertindak
untuk bangkit menentang J. W. W. Birch kerana beliau dan pembesar tempatan lain
kehilangan kuasa dan pengaruh. Mereka hilang pengaruh terhadap kawasan dan anak buah
mereka. Perkara ini menyebabkan kedaulatan dan kewibawaan seseorang hilang. Hal ini
kerana seseorang pemerintah mestilah mempunyai kawasan sendiri yang diperintah dan
mempunyai pengikut yang taat setia. Sekiranya mereka kehilangan pengaruh dan kuasa,
taraf mereka secara tidak lansung seperti rakyat biasa.

Akhir sekali, tindakan Dato’ Maharaja Lela ini wajar kerana beliau mentaati perintah
sultan. Sultan merupakan individu yang paling berkuasa dan perlu ditaati. Justeru, sifat taat
yang ditunjukkan oleh Dato’ Maharaja Lela ini membuktikan kecintaan dan
penghormatannya terhadap Sultan Abdullah walaupun tindakan yang perlu dilakukan akan
memberi impak negatif kepada dirinya. Semangat cinta akan tanah air juga menjadi salah
satu faktor kepada penentangan Dato’ Maharaja Lela.

5.0 KESIMPULAN

Secara keseluruhannya, zaman penjajahan kuasa asing di Tanah Melayu khususnya


British mendapat tentangan yang hebat daripada penduduk tempatan. Segala pembaharuan
yang dilakukan oleh British telah menimbulkan perasaan tidak puas hati di kalangan
penduduk tempatan. Oleh yang demikian, ini menimbulkan satu kesedaran dan semangat
nasionalisme di kalangan rakyat untuk membebaskan Tanah Melayu dari cengkaman kuasa
asing. Walau bagaimanapun, penentangan yang dilakukan oleh penduduk tempatan tidak
dapat menandingi kekuatan pihak British. Tetapi rakyat tempatan tidak berputus asa untuk
menghalau British dengan pelbagai usaha khususnya dalam meningkatkan kesedaran dan
semangat nasionalisme di kalangan penduduk Tanah Melayu sehinggalah akhirnya Tanah
Melayu mencapai kemerdekaan.

5
6

Anda mungkin juga menyukai