Anda di halaman 1dari 2

Tajuk: Ulasan Kritis tentang Empat Karya Pensejarahan Malaysia

Pensejarahan dapat ditakrifkan sebagai hasil karya atau penulisan yang ditulis oleh
sejarawan (Muhd. Yusof Ibrahim & Mahayuddin Yahaya, 1988). Dalam penulisan ini, empat
karya pensejarahan iaitu Misa Melayu, Hikayat Abdullah, Tuhfat An-Nafis dan Sejarah
Melayu akan diulas keunikannya dalam beberapa aspek iaitu pembinaan jati diri bangsa,
pembentukan masyarakat, pemikiran, peranan wanita dan pendidikan.

Sejarawan yang mengkaji dan menulis tentang sesuatu zaman, masyarakat dan
peristiwa dalam karya penulisannya, secara tidak langsung akan menggambarkan jati diri
masyarakat dalam garis masa penceritaannya. Dalam karya Misa Melayu, Raja Chulan telah
memaparkan jati diri masyarakat yang berketurunan Jawa di Perak (Teuku Iskandar, 1965).
Hal ini dapat dilihat pada nama lima bersaudara kerabat diraja Perak iaitu Raja Raden, Raja
Galoh, Raja Inu, Raha Daha dan Raja Bisnu yang mempunyai persamaan dengan nama-
nama tokoh utama dalam cerita panji Jawa (Jelani Harun, 2013) [1].

Selain itu, karya pensejarahan juga memberi gambaran yang lebih jelas tentang
pembentukan masyarakat masa lampau. Sebagai contoh, Abdullah Munsyi yang hidup pada
zaman perubahan, dari zaman feudal ke zaman pemerintahan kolonial, telah
menggambarkan masyarakat Melayu yang masih cuba untuk mengekalkan diri mereka
dengan kehidupan lama dan sikap prasangka masyarakat terhadap Inggeris dalam
karyanya, Hikayat Abdullah (Kassim Ahmad, 2004). Pada pandangan masyarakat tempatan
masa tersebut, mengubah kehidupan lama mereka kepada kehidupan baru yang
diperkenalkan oleh Inggeris adalah salah dari segi agama dan pegangan (Syed Ismail Syed
Mustapa & Meor Aris Meor Hamzah, 2016) [2].

Penulisan keempat-empat karya pensejarahan ini juga unik kerana ianya ditulis
mengikut pemikiran penulisnya. Penulisan karya Tuhfat al-Nafis banyak menjelaskan
tentang sebab musabab berlakunya sesuatu peristiwa disebabkan pemikiran Raja Ali Haji
yang secara umumnya boleh dianggap mendahului sejarawan yang lain dalam memberi
keterangan yang memberi tumpuan kepada sebab musabab suatu peristiwa itu berlaku
(Arba’iyah Mohd. Noor & Mohd. Hanafi Ibrahim, 2015). Contohnya, beliau menjelaskan
bahawa tertegaknya kerajaan Riau bukan semata-mata kerana kekuatan fizikal orang Bugis,
akan tetapi disebabkan aspek agama yang menjadi tunggak utama kejayaan mereka
(Arba’iyah Mohd Noor, 2014) [3].

Seterusnya, salah satu aspek yang lazim dibincangkan dalam karya pensejarahan
adalah peranan wanita. Contohnya, dalam Sejarah Melayu, tindakan Tun Fatimah yang
menggugurkan kandungannya menjadi punca Sultan Mahmud Syah menerima putera yang
dilahirkan olehnya, Raja Ali sebagai pengganti baginda (Monique, 2010) [4]. Tindakan Tun
Fatimah telah memberi kesan yang besar kepada sejarah Kesultanan Melayu Melaka
kerana disebabkan tindakan tersebut, Sultan Mahmud telah mengetepikan Raja Mudzafar,
putera sulung baginda dan melantik Raja Ali sebagai pengganti baginda (Jelani Harun,
2013).

Aspek pendidikan juga merupakan aspek yang banyak disentuh dalam karya-karya
pensejarahan. Sejarah Melayu banyak memerihalkan bagaimana Melaka muncul sebagai
pusat pendidikan Islam terkemuka di alam Melayu dengan kehadiran ulama-ulama dari
Tanah Arab seperti Maulana Abu Bakar [5]. Tuhfat An-Nafis pula menceritakan kerajaan
Riau-Lingga yang memiliki budaya ilmu yang luar biasa dan tradisi agama yang cukup kuat
disebabkan para pembesar kerajaan tersebut yang sangat mencintai ilmu pengetahuan
(Khalif Muammar A. Harris, 2011). Oleh itu, berdasarkan dua karya tersebut, dapat kita
ketahui pendidikan di alam Melayu sememangnya sudah berkembang pesat dengan adanya
para ilmuan-ilmuan.

Kesimpulannya, keempat-empat karya pensejarahan ini sememangnya mempunyai


keunikannya yang tersendiri. Karya-karya ini perlulah terus dipelihara dan dijadikan panduan
agar kesan seni, ilmu, falsafah, budaya dan sosial yang ditinggalkan tidak menjadi sia-sia
serta dapat membantu generasi akan datang mendalami sejarah Malaysia.

Anda mungkin juga menyukai