Anda di halaman 1dari 10

BAB 8

HUBUNGAN ETNIK KE ARAH


MASYARAKAT BERINTEGRASI

OBJEKTIF BAB

Selepas mengikuti bab ini, anda seharusnya boleh:


1. Memahami situasi masyarakat majmuk di negara Malaysia.
2. Mengenalpasti konsep-konsep tertentu dalam usaha membina
masyarakat berintegrasi.
3. Mengetahui peranan yang perlu dilaksanakan oleh organisasi
tertentu untuk merealisasikan kewujudan masyarakat berintegrasi
di Malaysia

8.1 PENGENALAN

Negara Malaysia yang pernah suatu masa dahulu, diberi gelaran sebagai
sebuah negara plural society kerana mempunyai penduduk etnik yang
pelbagai kini telah menjadi contoh ikutan kepada masyarakat dunia dari
segi pengurusan dan pembangunan dalam konteks mewujudkan
perpaduan dan keharmonian kaum. Ramai wakil dari luar baik Barat
mahupun Timur datang ke negara ini untuk melihat, mengkaji dan
seterusnya mempelajari kejayaan Malaysia dalam menangani isu-isu yang
berkaitan dengan hubungan etnik.

Sebenarnya jika dilihat dan diteliti, kejayaan Malaysia yang mampu


menguruskan hubungan etnik ini bukanlah terjadi secara kebetulan atau
terjadi dengan sendiri. Sebaliknya ia adalah hasil daripada kerjasama
semua pihak sama ada dari pihak pemerintah atau pemimpin mahupun
rakyat atau warga negara biasa Malaysia. Kesemua mereka memainkan
peranan penting dalam usaha mewujudkan perpaduan dalam kehidupan
bermasyarakat. Namun begitu, ketika kita sedang menikmati
keharmonian dalam perhubungan kaum, kita juga perlu berwaspada dan
memberi perhatian yang sewajarnya bahawa negara ini masih mempunyai
cabaran-cabaran dan halangan-halangan yang perlu diatasi dari semasa ke
semasa bagi memelihara dan memperkukuhkan lagi perpaduan
dikalangan masyarakat dan seterusnya mewujudkan masyarakat
berintegrasi seperti yang diinginkan oleh semua pihak.

113
Antara cabaran atau halangan yang sedang dihadapi adalah dari segi
penduduknya yang berbilang kaum yang sudah pasti juga berbeza dalam
aspek keagamaan, budaya dan adat resam, bentuk geografi Malaysia yang
terpisah dua; iaitu Malaysia Barat dan Timur serta cabaran dalam konteks
sejarah. Menyedari kewujudan cabaran ini, kerajaan berusaha
menyelesaikan isu-isu berbangkit tersebut dengan beberapa tindakan pro-
aktif seperti penyediaan dasar-dasar kerajaan, pembentukan sistem
perundangan yang berkaitan, pembinaan ideologi tertentu yang bertujuan
untuk mengelak sesuatu yang buruk berlaku seperti mana yang pernah
dirakamkan oleh sejarah ketika terjadinya tragedi berdarah Peristiwa 13
Mei suatu masa dahulu.

Justeru di dalam bab ini, perbincangan akan tertumpu kepada


kedudukkan Malaysia sebagai sebuah negara majmuk, definisi konsep-
konsep yang berkaitan dengan pembentukan masyarakat berintegrasi,
isu-isu yang menyelubungi permasalahan dalam hubungan etnik dan
seterusnya melihat kepada peranan organisasi tertentu untuk
mempertahankan konsep masyarakat berintegrasi di negara ini.

8.2 KEMAJMUKAN MALAYSIA: PENGENALAN RINGKAS

Masyarakat Semenanjung Malaysia khasnya dan Malaysia amnya selalu


dianggap sebagai sebuah masyarakat majmuk atau masyarakat berbilang
kaum (Muhammad Idris Salleh et al., 1994). Ini dapat dibuktikan melalui
statistik yang dikeluarkan pada tahun 2000, di mana 65.1 peratus
penduduknya terdiri daripada bangsa Melayu dan Bumiputera, 26 peratus
adalah bangsa Cina dan selebihnya sebanyak 7.7 peratus terdiri daripada
kaum India (Mardiana Nordin dan Hasnah Hussiin, 2004).

Ketiga-tiga etnik yang dinyatakan di atas mengamalkan kebudayaan, adat


resam, agama dan bahasa masing-masing. Setiap etnik mempunyai
keperibadian budaya yang tersendiri yang masih dikekalkan hingga kini
(Tan Chee Yee, 1993). Namun mereka masih dapat disatukan dalam satu
ikatan kerakyatan dan hidup di bawah satu bentuk pemerintahan
demokrasi raja berperlembagaan dengan satu cara hidup yang
dipersetujui bersama.

Selain daripada tiga etnik terbesar tadi iaitu Melayu, Cina dan India,
Malaysia juga mempunyai suku kaum lain seperti Serani, Orang Asli di
Semenanjung, Bajau, Kadazan dan Murut di Sabah dan Kedayan,
Melanau dan Iban di Sarawak. Dari segi agama pula, masyarakat Malaysia
menganut agama seperti Islam, Hindu, Kristian, Buddha, Konfucious,
Taois, Animisme dan lain-lain (Kasim Ahmad, 1986).

114
Justeru, melihat kepada kepelbagaian ini, maka satu tindakan yang
bersungguh-sungguh perlu dilaksanakan untuk mengelak perkara yang
tidak diingini daripada berlaku. Malaysia bertuah kerana mempunyai
rakyat yang menghargai keamanan, kemakmuran dan benci kepada
permusuhan dan persengketaan. Banyak program yang diwujudkan oleh
pihak pemerintah disambut dengan baik oleh rakyat dalam usaha semua
pihak mewujudkan keharmonian di kalangan warganya.

8.3 DEFINISI KONSEP

Dalam usaha mencapai matlamat untuk mewujudkan satu bentuk


hubungan etnik yang mesra dan jitu di Malaysia, Jabatan Perpaduan
Negara yang bertanggungjawab secara khusus dalam isu ini telah
memberikan definisi terhadap beberapa buah konsep yang berkaitan
dengannya seperti:

8.3.1 Perpaduan Negara

Perpaduan negara ialah satu keadaan di mana rakyat dari pelbagai


kumpulan etnik, agama dan wilayah hidup dengan aman sebagai satu
bangsa yang bersatu dengan memberi komitmen yang penuh kepada
identiti kebangsaan berlandaskan kepada Perlembagaan Persekutuan dan
Rukunegara (Ainon Kuntom, 2000).

8.3.2 Integrasi Nasional

Integrasi atau lebih mesra dengan integrasi nasional boleh diertikan


sebagai satu proses dinamik untuk merapatkan masyarakat negeri-negeri
dalam Malaysia bagi membentuk satu bangsa Malaysia yang mempunyai
identiti sendiri berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun
Negara. Menurut Dr. Sarjit Singh Gill (2006) integrasi nasional
merupakan satu proses untuk merapatkan masyarakat dalam Malaysia,
khususnya antara negeri di Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan
Sarawak di Malaysia Timur.

8.3.3 Integrasi Wilayah

Integrasi wilayah boleh dianggap sebagai satu konsep persefahaman


antara rakyat tanpa mengira wilayah atau kawasan asal mereka. Dalam
konteks Malaysia, wilayah boleh diertikan sebagai kawasan yang meliputi
entiti geografi serta sempadan politik iaitu wilayah yang dikenali sebagai
Persekutuan Malaysia.

Berdasarkan kepada tiga definisi di atas, perpaduan negara boleh dirujuk


sebagai satu keadaan sosial di mana rakyat dari pelbagai kumpulan etnik,

115
agama dan wilayah hidup secara berinteraksi antara satu dengan lain
dengan aman damai sebagai satu bangsa yang bersatu, berkongsi masa
depan dan memberi komitmen yang sepenuhnya kepada prinsip-prinsip
yang ada dalam Perlembagaan dan Rukun Negara.

Dalam usaha mencapai matlamat perpaduan negara ini, kerajaan


menggunakan konsep integrasi yang mampu merapatkan dan seterusnya
dalam satu jangka masa yang panjang menyatukan identiti bangsa sebagai
identiti sepunya bagi semua rakyat negara ini. Melalui konsep integrasi,
nilai-nilai kaum pribumi yang mewarisi negara ini dijadikan sebagai teras.
Manakala pada masa yang sama, ciri-ciri unik bagi satu-satu kumpulan
masyarakat dalam negara ini akan dikekalkan. Pada dasarnya konsep ini
telahpun dijalin mesra oleh Perlembagaan Persekutuan dan diikat kuat
oleh Rukun Negara (Ainon Haji Kuntom, 2000).

SOALAN DALAM TEKS

1. Jelaskan maksud perpaduan negara.


2. Apakah yang anda faham mengenai integrasi
nasional?
3. Apakah yang dimaksudkan dengan ‘plural society’?
A. Masyarakat yang merujuk kepada kaum
bumiputera.
B. Masyarakat yang berbilang kaum dan
keturunan.
C. Masyarakat yang berasal dari satu rumpun.
D. Masyarakat yang terdiri daripada beberapa
kumpulan asing.

Semak jawapan anda di akhir bab ini.

8.4 ISU-ISU HUBUNGAN ETNIK DI MALAYSIA

Kemajmukan di Malaysia boleh dilihat melalui kewujudan pelbagai


kumpulan etnik yang membentuk masyarakatnya. Ianya didahului dengan
kewujudan tiga etnik besar iaitu Melayu, China dan India. Pembahagian
etnik ini dapat dilihat pula dengan jelas dari segi perbezaan bahasa,
agama, kesetiaan politik, pekerjaan, pengasingan kediaman (terutama di
bandar-bandar) dan aspek-aspek lain dalam kehidupan bermasyarakat.

116
Perbezaan dalam aspek-aspek di atas dirumitkan lagi oleh
ketidaksamarataan dalam pembangunan ekonomi, perbezaan
pengezonan penduduk terutama dalam konteks bandar-desa dan
ketidaksamarataan yang ketara dalam agihan pendapatan dan pola
pemilikan yang mana kesemuanya mampu membawa implikasi etnik.
Seterusnya keadaan kemajmukan ini menjadi bertambah serius dengan
wujudnya kurang kesedaran kelas dan semangat kebangsaan (Aiken et
al., 1994: 22).

Selepas melihat kepelbagaian dalam kemajmukan ini, masalah yang paling


serius yang mungkin dihadapi oleh negara kita adalah konflik perkauman
iaitu dari segi matlamat sosioekonomi negara dan seluruh kesejahteraan
penduduk. Berdasarkan hakikat ini maka matlamat sosioekonomi utama
yang dianjurkan oleh kerajaan adalah untuk mencapai perpaduan nasional
melalui matlamat serampang dua mata iaitu menghapuskan kemiskinan
tanpa mengira bangsa dan menyusun semula masyarakat untuk
menghapuskan pengenalan bangsa melalui fungsi ekonomi.

8.5 KE ARAH MASYARAKAT BERINTEGRASI: PERANAN


ORGANISASI

Perbincangan mengenai hubungan etnik di peringkat negara memerlukan


kita mengenal tabie unsur-unsur yang menjadikan wujudnya sebuah
negara. Selain daripada wujudnya perlembagaan yang menjadi panduan
semua rakyat dalam negara dan menjadi lembaga kepada negara,
sesebuah negara itu terbentuk dengan adanya hubungan yang baik di
antara pelbagai masyarakat. Sebagai contoh, bagaimanakah kita hendak
memastikan adanya hubungan masyarakat yang baik di antara dua
wilayah yang terpisah seperti yang berlaku antara masyarakat
Semenanjung Malaysia dengan jiran-jiran dari Sabah dan Sarawak di
sebelah Malaysia Timur. Persoalan ini memerlukan pemikiran dan
tindakan bijak dari semua pihak (Abdul Latif Samian, 20005: 127).

Begitu juga dalam konteks masyarakat yang biasanya akan terbentuk


apabila adanya hubungan kejiranan yang baik antara beberapa keluarga
tanpa mengira latar belakang keetnikan mereka. Manakala keluarga pula
terbina apabila adanya hubungan yang baik antara beberapa individu
yang seterusnya seharusnya menjadi ejen integrasi peringkat diri sendiri,
keluarga, jiran, masyarakat dan negara. Menerusi merekalah budaya
hubungan etnik yang sihat boleh dibentuk, budaya yang berpaksikan
wawasan yang dikongsi bersama, disokong oleh media yang positif dan
kewujudan serta pelaksanaan dasar-dasar kesederhanaan yang membawa
kepada keseimbangan (Abdul Latif Samian, 2005: 128).

117
Justeru, selepas melihat dan menyedari cabaran-cabaran yang dihadapi
oleh masyarakat majmuk di dalam negara, maka usaha-usaha gigih perlu
dilakukan oleh semua pihak untuk mengelak peristiwa negatif daripada
muncul dalam kehidupan masyarakat dan pada masa yang sama mampu
memupuk semangat perpaduan dan integrasi kaum. Pemimpin mahupun
rakyat, kedua-duanya mempunyai tanggungjawab besar untuk
merealisasikan impian untuk melihat negara ini berterusan berada dalam
keadaan aman dan damai (Zulhilmi Paidi dan Rohani Abdul Ghani,
2003).

8.5.1 Pemimpin dan Kerajaan

Pemimpin dan kerajaan perlu memainkan peranan penting dalam proses


menyubur, membentuk dan mengukuhkan konsep masyarakat
berintegrasi dikalangan rakyat kerana mereka yang dipilih dan dibentuk
hari ini memikul amanah yang diharapkan oleh rakyat yang menyokong
mereka dalam pilihanraya. Pemimpin sebagi contoh perlu ada apa yang
dipanggil sebagai political will iaitu ada niat untuk menginstitusikan
integrasi nasional. Melalui keinginan tersebut, ianya beralih kepada
kemahuan dan kesukaan yang membawa kepada wujudnya aktiviti yang
disengajakan dalam membentuk pelan tindakan yang berkesan. Justeru
atas kesedaran itu, kepimpinan dalam kerajaan hari ini mewujudkan
pelbagai dasar, rancangan dan kempen ke arah pembentukan integrasi
nasional. Antara dasar yang boleh kita lihat adalah Dasar Ekonomi Baru
(DEB), Dasar Pendidikan, Dasar Kebudayaan Kebangsaan, Dasar
Pembangunan Nasional, Dasar Wawasan Negara, Dasar Sosial Negara
dan banyak lagi yang mana kesemuanya mesti dilaksanakan dengan betul,
ikhlas dan bersungguh-sungguh jika ingin melihat pembentukan
masyarakat berintegrasi ini berjaya.

Dalam persoalan sosio-ekonomi sebagai contoh, keadaan dan kedudukan


fizikal masyarakat perlu diperbetulkan agar ia menjadi lebih seimbang
yang mana akan mempermudahkan jalinan kerjasama. Begitu juga dalam
aspek pendidikan, kerajaan perlu menyerapkan pembelajaran kontrak
sosial dalam kurikulum di semua peringkat pengajian yang menekankan
persoalan kesejarahan khususnnya persetujuan yang telah dicapai semasa
tuntutan kemerdekaan sebagaimana semangat yang termaktub dalam
perlembagaan sekarang (Mohamad Zaini Abu Bakar, 2005: 85).
Kesedaran tentang aspek kesejarahan ini penting, agar generasi muda
Malaysia mengetahui apa yang sedang dilalui oleh mereka pada hari ini
adalah hasil daripada perbincangan tokoh-tokoh terdahulu yang mewakili
suara semua golongan etnik di Malaysia dengan hasrat yang satu iaitu
untuk mewujudkan keselesaan dan kesaksamaan secara bersama.

118
Kerajaan seterusnya perlu bersedia untuk menghadapi segala rintangan
yang mungkin wujud dari golongan tertentu yang mungkin tidak berpuas
hati atau ingin melihat keamanan dan keharmonian tidak wujud dalam
negara. Kerajaan seharusnya tidak bertolak ansur dengan kumpulan atau
individu yang cuba untuk mengkucar-kacirkan keharmonian yang telah
sedia ada. Perkara yang paling mustahak adalah keamanan yang sedia ada
ini perlu dikekalkan dan diberi penambahbaikan dari semasa ke semasa,
agar kekurangan yang wujud dan menjadi faktor ketidakpuasasan hati
sesetengah pihak itu dapat diatasi. Oleh itu, mewujudkan undang-undang
tertentu bagi membendung kemungkinan berlakunya anasir-anasir negatif
dalam konteks hubungan kaum di negara kita amat perlu sebagai langkah
berjaga-jaga. Antara undang-undang yang telah diwujudkan adalah
Kanun Keseksaan di bawah seksyen 298A(1) yang menjelaskan bahawa
menjadi satu kesalahan kepada sesiapa yang menyebabkan keadaan yang
tidak harmoni, perpecahan atau perasaan kegusaran, benci atau sakit hati
atas alasan-alasan keagamaan. Akta Hasutan pula menyatakan bahawa
menjadi kesalahan jika menyebut perkataan-perkataan yang boleh
membawa kepada perpecahan. Selain itu, Akta Percetakan juga
diwujudkan antara lainnya bertujuan untuk mencegah kelakuan
melakukan percetakan perkataan yang menyebabkan perpecahan.

Kerajaan juga perlu mengambil berat mengenai kaedah penyampaian


dasar-dasar ini kepada golongan sasaran. Ini kerana kaedah yang betul
dalam penyampaian akan memberi kesan yang baik kepada bakal
penerima dasar-dasar yang hendak disampaikan. Dalam konteks ini,
kerajaan telahpun mempunyai jabatan yang khusus untuk menjayakan
hasrat murni ini iaitu Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional
(JPNIN) yang telah diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPN).
Melalui JPNIN ini, kerajaan berhasrat memelihara, meningkat dan
mengukuhkan perpaduan rakyat dan integrasi nasional selaras dengan
dasar-dasar kerajaan yang berlandaskan Perlembagaan Persekutuan dan
Rukun Negara. Pada masa sama jabatan ini juga dapat berfungsi untuk
memantau dan menilai kebekesanan program-program perhubungan
etnik yang dianjurkan kerajaan dan juga pihak masyarakat (Mohamad
Zaini Abu Bakar, 2005: 85).

8.5.2 Rakyat

Tanggungjawab masyarakat dalam proses untuk mewujudkan masyarakat


berintegrasi di negara ini bolehlah dimulakan dengan cuba sedaya upaya
untuk memahami identiti bangsa yang pelbagai dengan menekankan
semangat muhibbah, hormat menghormati bekerjasama dan bertoleransi.
Pemahaman terhadap identiti bangsa sesuatu kelompok masyarakat
boleh berlaku melalui interaksi sosial dan jalinan hubungan etnik yang
berpanjangan dalam kalangan anggota komuniti tanpa sebarang perasaan

119
negatif. Justeru, masyarakat terutamanya komuniti belianya perlu
mengambil perhatian untuk mempelajari dan memahami identiti bangsa
masyarakat yang pelbagai dalam usaha membentuk masyarakat
berintegrasi yang lebih erat dan berkekalan (Dr. Sarjit Singh Hill, 2006).

Seterusnya, semangat patriotisme yang tinggi perlu ada dalam diri setiap
masyarakat yang mengaku sayang dan cintakan negara Malaysia ini.
Setiap rakyat terutama generasi muda harus memupuk dan memelihara
semangat perpaduan yang telah didukung sekian lama. Apa yang lebih
penting lagi adalah mereka perlu sedar kekuatan yang dimiliki oleh rakyat
dan perasaan cinta dan sayang kepada negara dapat dijadikan benteng
pertahanan yang kukuh bagi menangkis sebarang ancaman luar.

Masyarakat juga perlu memberi sokongan kepada setiap perancangan


yang dikemukakan oleh kerajaan dalam usaha untuk membentuk
masyarakat berintegrasi di negara ini. Ini kerana sokongan yang jitu akan
memudahkan dan mempercepatkan proses pembentukan integrasi
nasional di kalangan rakyat pelbagai kaum. Jika setiap rakyat sentiasa
berfikiran positif maka tidak sukar untuk merealisasikan impian semua
pihak untuk mewujudkan dan mengekalkan keharmonian dan keamanan
yang menjadi teras dalam sesebuah negara multi-etnik seperti Malaysia
ini.

Justeru program-program yang dianjurkan untuk kebaikan rakyat seperti


Rukun Tetangga (RT), Kuiz Bina Bangsa, Debat Perpaduan, Kempen
Kibar Jalur Gemilang, Pertandingan Lagu Patriotik dan sebagainya perlu
diberi respon yang sewajarnya. Sokongan terhadap program yang
dianjurkan ini akan mempercepatkan proses pengukuhan perpaduan
kaum dan pembentukan masyarakat berintegrasi di Malaysia. Berikut
merupakan beberapa contoh program kerajaan yang mendapat sambutan
daripada rakyat.

(a) Rukun tetangga

Rukun Tetangga (RT) memainkan peranan penting dalam sesebuah


komuniti bukan sahaja sebagai saluran mengeratkan perpaduan di
kalangan penduduk berbilang kaum dan agama tetapi juga mampu
menjadi agen perubahan dan kemajuan masyarakat setempat.

Penubuhan sektor Rukun Tetangga (RT) yang diasaskan sekitar tahun


1970-an juga berfungsi membendung serta membantu pihak berkuasa
membenteras jenayah dan gejala sosial terutama dalam kawasan
perumahan atau kejiranan. Malah skim rondaan sukarelawan (SRS) yang
membabitkan anggota Rukun Tetangga yang diwujudkan sejak tiga tahun

120
dahulu amat berkesan mengurangkan jenayah dan meningkatkan
kesejahteraan hidup bermasyarakat di sesuatu tempat
(http://www.jpnin.gov.my).

(b) Kempen Kibar Jalur Gemilang

Dalam konteks negara Malaysia, rakyat digalakkan supaya mengibarkan


Jalur Gemilang terutamanya ketika berlangsungnya sambutan bulan
kemerdekaan sekitar bulan Ogos dan September setiap tahun. Ini kerana
dalam kedua-dua bulan ini berlakunya dua peristiwa penting dalam
sejarah pembinaan negara bangsa Malaysia. Rakyat di negara ini
menyambut 31 Ogos dan 16 September setiap tahun sebagai tarikh ulang
tahun kemerdekaan dan pembentukan negara Malaysia.

Rakyat tidak kira latar belakang bangsanya digalakkan supaya mengibar


Jalur Gemilang pada tempat kediaman masing-masing sebagai tanda
patriotik dan cintakan kepada negara. Selain itu, setiap rakyat juga
digalakkan supaya mengibarkan bendera Jalur Gemilang di kenderaan
masing-masing sebagai tanda memberi sokongan kepada kempen yang
dilancarkan oleh kerajaan untuk memupuk semangat cintakan negara dan
seterusnya membina perpaduan sesama kaum. Melalui aktiviti-aktiviti
sebegini, sekurang-kurangnya, rakyat mengetahui bahawa negara
telahpun mencapai kemerdekaan dan bebas daripada anasir penjajahan.

8.5.3 Media

Menurut Mohamad Zaini Abu Bakar (2005: 84), pihak media perlu
bertindak memaparkan program yang dapat memupuk perpaduan etnik.
Mereka boleh menjadi ejen yang dapat merapatkan hubungan antara
kerajaan dan rakyat. Media boleh mendedahkan kepada semua
masyarakat akan kepentingan menjaga sensitiviti setiap etnik supaya
keharmonian hubungan etnik dapat dikekalkan secara berterusan.
Justeru, media arus perdana sama ada dalam bentuk media elektronik
mahupun cetak yang mendapat tempat dikalangan masyarakat harus
memperuntukkan ruang yang strategik bagi mempromosikan agenda
perpaduan ini.

Tayangan-tayangan berbentuk drama kemasyarakatan yang menyerapkan


unsur-unsur kekeluargaan, melibatkan semua etnik dan berjiwa Malaysia
perlu diberi keutamaan jika mahukan masyarakat berintegrasi dan
perpaduan terbina. Selain itu, iklan-iklan, kempen-kempen bersifat
perpaduan dan integrasi kaum yang diadakan perlu diberi pendedahan
dan diwar-warkan agar mesejnya sampai kepada semua pihak.

121
SOALAN DALAM TEKS 8.2

4. Jelaskan peranan yang boleh dimainkan oleh Rukun


Tetangga dalam masyarakat?
5. Jalur Gemilang merupakan bendera kebangsaan
negara Malaysia
Betul/Salah
6. Jabatan Perpaduan Nasional dan Integrasi Nasional
berperanan mempuk dan membina perpaduan
Nasional peringkat Kebangsaan.
Betul/Salah
7. Apakah peranan yang boleh dimainkan oleh pihak
media dalam memupuk perpaduan kaum dan
integrasi nasional?

Semak jawapan anda di akhir bab ini.

8.6 KESIMPULAN

Proses pemupukan perpaduan dan integrasi nasional memainkan


peranan yang amat penting dalam pembentukan sesebuah negara lebih-
lebih lagi dalam sesebuah negara yang berbilang kaum, agama, bahasa,
budaya dan sebagainya seperti Malaysia. Kerajaan telah mengambil
pendekatan yang melibatkan pelbagai dimensi bagi menjayakan proses
ini. Banyak perancangan, program dan aktiviti juga telah dan sedang
dilaksanakan oleh kerajaan berhubung dengan perkara ini.

Walau bagaimanapun, kejayaan dalam segala perancangan program dan


aktiviti yang dilaksanakan oleh kerajaan terletak di tangan setiap
rakyatnya. Sekiranya soal perpaduan dan integriti ini tidak diberi
perhatian serius, maka hasrat murni ke arah perpaduan mungkin
terbantut. Penglibatan dan penyertaan mereka amatlah penting bagi
merealisasikan pembentukan rakyat Malaysia yang bersatupadu dan
mempunyai satu masa depan yang sama. Tidak ada negara di dunia ini
yang tidak ada masalah hubungan etnik, cuma persoalannnya adalah
bagaimanakah caranya untuk menguruskannya dengan mengambil kira
realiti negara tersebut sebagai asas-asas kepada setiap pertimbangan.

122

Anda mungkin juga menyukai