Anda di halaman 1dari 2

TEKS UCAPAN GB 

HARI ANUGERAH CEMERLANG 2014

Bismillahirrahmanirrahim..
Assalamualaikum Warrahmatullahi Wabarakatuh..

Terima Kasih Saudari Pengacara Majlis,


Yang Berbahagia Encik Musa B. Ismail (Ketua Unit Teknik & Vokasional merangkap Ketua Unit
Akademik) PPD Hulu Langat,
Yang Berusaha, Pengerusi JKKK, Pengerusi JKKP,Imam Masjid Rinching Hilir,
Naib Yang Dipertua PIBG SKRH serta Ahli-ahli Jawatankuasa PIBG,
Barisan Guru-guru Penolong Kanan, Guru-guru SKRH, Pelajar-pelajar yang diraikan
dan seterusnya ibu bapa serta para hadirin yang saya muliakan.

Izinkan saya melafaz dan menzahirkan rasa kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia
dan inayahNya maka kita dapat berkumpul dalam dewan yang indah ini bagi melaksanakan satu lagi agenda
pendidikan yang diatur oleh
pihak pengurusan sekolah. Ucapan syabas dan tahniah kepada Jawatankuasa Pengelola Majlis ini yang
tentunya telah berusaha dengan gigih supaya majlis ini berjalan dengan lancar dan teratur. Kita sedar,
majlis seumpama ini amat perlu dijalankan untuk memberi makna kepada kehidupan anak-anak yang bakal
mewarisi masa depan negara.

Para hadirin yang dirahmati Allah sekalian,

Saban tahun, pihak sekolah tidak pernah lupa mengadakan majlis untuk meraikan kejayaan cemerlang
pelajar-pelajar dalam bidang kurikulum mahupun kokurikulum. Malahan bagi saya, majlis ini diadakan
khusus untuk meraikan para ibu bapa yang sentiasa meletakkan kecemerlangan dan kejayaan anak-anak
sebagai agenda pertama dalam kehidupan mereka. Jadi pada kesempatan ini saya bagi pihak sekolah ingin
merakamkan ucapan tahniah dan syabas bukan sahaja kepada para pelajar yang bakal menerima anugerah
malahan ibu bapa juga para guru yang menjadi nadi atau tulang belakang sehingga membuahkan kejayaan
untuk mereka.

Sebenarnya, kejayaan seorang pelajar tidak hanya terletak pada usaha dan kesungguhan yang dimainkan
oleh guru semata-mata. Kita sedar, bahawa guru-guru di peringkat sekolah rendah perlu harus ‘Memberi’,
agar para pelajar bersedia untuk ‘Menerima’. Selain insan yang ibarat lilin yang membakar diri ini, ibu
bapa juga perlu sentiasa memainkan peranan penting untuk mencorakkan masa depan anak-anak mereka.
Malahan tuan-tuan dan puan-puan, pada saya yang paling utama kejayaan adalah terletak pada diri para
pelajar itu sendiri, agar sentiasa mempunyai komitmen dan motivasi diri yang tinggi sekiranya ingin
mengecapi kecemerlangan. 

Sesungguhnya kita harus sedar bahawa dalam usaha menuju ke puncak, banyak laluan sukar yang perlu
ditempuhi. Pepatah Melayu selalu mengingatkan kita, “Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan”, “Hendak
seribu daya, tak hendak seribu dalih”, “Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.” Oleh itu
para hadirin sekalian, marilah kita sama-sama berganding bahu untuk mencipta kejayaan demi kejayaan
buat anak-anak kita. Pada saya, kejayaan anak-anak tuan-tuan dan puan-puan merupakan satu anugerah
kepada pihak sekolah dan ganjaran buat tuan-tuan dan puan-puan sebagai ibu bapa mereka.

Para hadirin yang dirahmati Allah sekalian,

Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua penerima
anugerah pada hari ini. Saya sangat berharap agar kecemerlangan yang ditunjukkan oleh para penerima
akan menjadi pemangkin untuk para pelajar mempertingkatkan mutu pencapaian mereka dalam bidang
akademik dan bukan akademik pada masa hadapan. Anugerah yang diberikan pada hari ini merupakan
penghargaan pihak sekolah kepada para pelajar yang telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam
pembelajaran pada tahun ini. Tahap pencapaian yang ditunjukkan sudah tentu boleh menjadi contoh serta
ikutan kepada para pelajar lain untuk meningkatkan pencapaian akademik mereka pada masa akan datang.

Para hadirin yang dirahmati Allah sekalian,

Saya pasti bahawa seluruh warga dewan pada hari ini sedar, bahawa pelajar-pelajar yang kita raikan hari
ini merupakan waris yang bakal mendukung impian dan harapan Negara. Untuk itu, saya menyeru kepada
hadirin sekalian agar dapat sama-sama berganding bahu meningkatkan kualiti hidup sihat dalam kalangan
anak-anak. Sihat yang dimaksudkan bukan hanya tertumpu kepada kesihatan tubuh badan malahan
kesihatan minda supaya harapan dan impian tuan-tuan dan puan-puan akan direalisasikan sama seperti
harapan dan impian seperti mana yang telah termaktub dalam Falsafah Pendidikan Negara. Maka saya
ingin menyeru kepada diri saya dan tuan-tuan dan puan-puan sekalian, marilah kita saling bergandingan
bagi memastikan para penerima anugerah ini bakal menjadi sebahagian warna-warna kegembiraan Negara
pada masa hadapan dan bukan merupakan secalit warna kehancuran atas kealpaan dan kelekaan kita.
Insya’Allah.

Akhir kata, sekali lagi saya merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada semua penerima anugerah dan
juga syabas kepada semua warga kerja yang bertungkus-lumus menjayakan Hari Anugerah Cemerlang dan
Graduasi 2014 Sekolah Kebangsaan Rinching Hilir  pada hari ini.

Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warrahmatullahi Wabarakatuh.


Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai