Anda di halaman 1dari 10

BOOK REVIEW

“PENDIDIKAN DI MALAYSIA: SEJARAH, SISTEM DAN FALSAFAH”

NO. TAJUK MUKA SURAT


1 Maklumat Bibliografi dan Latar Belakang 3
2 Pengenalan : 3
2.1 Pernyataan bagi tujuan buku dikeluarkan 3
2.2 Pernyataan mengenai penulis 4
2.3 Perletakan buku di dalam konteks 4
2.4 Kenyataan mengenai genre buku dan 5
kepentingan berpotensi
3 Penilaian Keseluruhan 5
4 Ringkasan Permulaan Buku 6
5 Penerangan Lanjut tentang Buku 7
6 Tanggapan Menyeluruh dan Cadangan 9
7 Rujukan 9
8 Lampiran 10

1
1. Maklumat bibliografi dan Latar belakang

Maklumat bibliografi buku ini adalah seperti berikut :

Sufean Hussin, Cetakan Kedua, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, Pendidikan Di
Malaysia: Sejarah, Sistem dan Falsafah, 1993. 554 muka surat. ISBN 9836230475. RM 25.00.

Buku ini dicetak oleh Percetakan Dewan Bahasa dan Pustaka, Lot 1037, Mukim Perindustrian
PKNS, Ampang/Hulu Kelang, Selangor dengan muka taip teks Times New Roman dengan saiz
teks 10 ataupun 12 poin.

2. Pengenalan:
2.1 Pernyataan bagi tujuan buku dikeluarkan.

Buku Pendidikan di Malaysia: Sejarah, Sistem dan Falsafah, Edisi Kedua merupakan buku
rujukan bagi para pendidik, khususnya bakal guru di maktab perguruan dan di universiti
tempatan. Edisi kedua buku ini tidak bersifat konservatif dan bukan sahaja mendominasikan
aspek pensejarahan dan perkembangan sistem pendidikan secara deskriptif bahkan juga
mengupas isu sosial, ekonomi, politik, budaya, pendidikan dan pentadbiran. Oleh itu, buku ini
mempunyai objektif membangkitkan kesedaran dan kepekaan para pendidik terhadap idealisme
dan matlamat pendidikan serta isu yang berkaitan dengan dasar pembangunan sistem pendidikan
di Malaysia.

Buku ini juga memberi pendedahan tentang hal ehwal perkembangan semasa
sistem pendidikan Malaysia agar bakal pendidik mempunyai pemikiran yang kritikal untuk
melihat pelbagai aspek yang mempengaruhi pembangunan, kemajuan dan mutu sistem
pendidikan negara. Melalui pengetahuan dan kesedaran tersebut, diharapkan bakal guru lebih
peka terhadap pencapaian matlamat, falsafah, objektif, dasar pendidikan serta isu dan masalah
semasa sistem pendidikan Malaysia. Penulis amat yakin bahawa penulisan tersebut bukan sahaja
ditulis bagi mengisi keperluan akademik ini tetapi juga bagi mengisi keperluan pembaca umum,
khususnya para pendidik serta golongan yang terlibat dalam organisasi pendidikan. Penulis

2
mengharapkan agar buku tersebut menjadi bahan rujukan dan bacaan yang berguna bagi
kalangan yang berusaha membangunkan dan mempertingkatkan mutu pendidikan negara.

2.2 Pernyataan mengenai penulis buku.

Sufean Hussin dilahirkan pada tahun 1956 dan mendapat pendidikan awal dan menengah di
Masjid Tanah, Melaka di antara tahun 1963 hingga 1975. Setelah mendapat ijazah B. Sc. Ed. dari
Universiti Malaya pada tahun 1981, beliau berkhidmat sebagai guru sekolah menengah dan
sebagai tutor di Fakulti Pendidikan Universiti Malaya dari tahun 1985 hingga 1987 serta
mendapat ijazah Master of Education. Semasa buku ini diterbitkan, beliau berkhidmat sebagai
pensyarah bagi kursus Pendidikan di Malaysia, Pentadbiran Sekolah dan Pengajian Nilai dalam
Kurikulum. Kini, beliau berkhidmat sebagai Profesor di Jabatan Pengurusan, Perancangan dan
Dasar Pendidikan, Universiti Malaya serta Felo Penyelidik Kanan di Fakulti Pendidikan
Universiti Malaya. Beliau juga telah menerbitkan secara meluas mengenai aspek pengurusan
pendidikan terutamanya dasar pendidikan dan kurikulum sekolah. Selain daripada buku ini,
beliau banyak menulis buku-buku berkaitan dasar pendidikan serta kurikulum sekolah antaranya
Metodologi Penyelidikan dalam Pendidikan (2016), Pengajaran Matematik KBSR: Strategi
Membina Kemahiran (1992) dan Pengajaran Nilai Dalam Kurikulum (1995).

2.3 Perletakan buku di dalam konteks

Buku ini pertama kali diterbitkan pada tahun 1993, walau bagaimanapun, buku ini telah diulang
cetak pada tahun 1996 serta penerbitan edisi kedua pada tahun 2004 dan seterusnya diulang cetak
pada tahun 2008. Permintaan tinggi terhadap buku ini menunjukkan aspek pendidikan di
Malaysia amat penting dalam mempelajari dan memahami sejarah, dasar dan falsafah pendidikan
negara. Buku ini penting untuk guru, bakal guru serta pelajar institusi pengajian tinggi dalam
mempelajari sejarah serta perkembangan sistem pendidikan di Malaysia dan seterusnya lebih
peka kepada pencapaian matlamat, falsafah, objektif dan dasar pendidikan semasa.

3
2.4 Kenyataan mengenai genre buku dan kepentingan berpotensi.

Buku ini bergenre falsafah. Buku ini menceritakan bagaimana sistem pendidikan di Malaysia
mula diperkenalkan dan berkembang menjadi satu sistem yang sempurna dan bersepadu melalui
pembinaan falsafah pendidikan negara. Buku ini memberikan penerangan lengkap mengenai
pengetahuan dan isu-isu pendidikan serta perbahasan terhadap haluan dan penujuan sistem
pendidikan secara mikro dan makro. Selain itu, buku ini telah memuatkan aktiviti untuk kelas
tutorial serta soalan latihan dalam membantu memperkukuh pengetahuan dan kefahaman para
pelajar agar mereka akan lebih mudah melihat perspektif dan konteks sesuatu perkara yang
berlaku dengan lebih jelas.

3. Penilaian keseluruhan

Setelah membaca keseluruhan buku ini, saya merasakan bahawa buku ini sangat sesuai untuk
warga pendidik dalam mendidik pelajar serta menentukan hala tuju sekolah masing-masing.
Buku ini telah memberikan penerangan lengkap mengenai falsafah pendidikan serta
perkembangannya dalam konteks keperluan semasa negara mengikut acuan kebangsaan. Penulis
telah menerangkan bahawa kurikulum yang digubal adalah berdasarkan falsafah pendidikan
kebangsaan demi memastikan pembangunan insan melalui konsep pendidikan bersepadu dapat
diterapkan. Selain itu, buku ini juga telah meneroka tentang sistem organisasi pentadbiran
pendidikan yang merupakan tunjang dalam mengurus tadbir institusi pendidikan terutamanya
dalam menentukan hala tuju dan matlamat institusi berkenaan. Pada setiap tahap pendidikan juga
penulis mengupas tentang sejarah dan falsafah pendidikan dengan jelas terutamanya proses
perkembangan bidang ini sehingga terhasil suatu kurikulum yang berkesan dan menyeluruh.

Saya juga berpendapat bahawa penulisan buku ini sangat mudah untuk difahami dan
sangat praktikal. Secara keseluruhan, buku ini telah memberi tumpuan kepada kaedah untuk
menghasilkan idea dan menterjemahkannya melalui kaedah pengajaran dan pembelajaran
berdasarkan kehendak falsafah pendidikan negara. Kepelbagaian kaum, bangsa dan agama juga
merupakan elemen yang unik dalam menggubal kurikulum yang sesuai serta pembangunan dan

4
peningkatan mutu pendidikan negara. Aspek pembangunan nilai yang ditonjolkan juga
mencerminkan mutu pendidikan negara berada pada landasan yang tepat kerana bukan hanya
diukur pada pencapaian dalam peperiksaan tetapi juga pada pencapaian hasrat falsafah, matlamat
dan objektif pendidikan.

4. Ringkasan Permulaan Buku

Buku ini mempunyai empat belas bab yang secara umumnya berteraskan tiga bahagian utama.
Bahagian pertama buku ini ialah bahagian perkembangan, dasar dan falsafah pendidikan. Bab
pertama buku ini hanya melibatkan bahagian perkembangan iaitu Sejarah Perkembangan
Pendidikan di Malaysia (1600 – 1990). Bab ini menerangkan tentang sejarah awal pendidikan di
Tanah Melayu yang bersifat non formal sehinggalah ke era pembangunan dan pengukuhan
sistem pendidikan di Malaysia bagi mencapai hasrat pendidikan yang berkualiti dan kemajuan
dalam bidang ekonomi dan sosial. Di dalam bab ini juga menceritakan tentang bagaimana
pembangunan bidang pendidikan di negara ini yang pada awalnya berdasarkan pertimbangan
kepada faktor politik, sosial, ekonomi, geografi dan agama. Selain itu, dasar dan amalan
pendidikan di zaman kolonial Inggeris pula berkait dengan motif kapitalisme serta
menggalakkan polarisasi kaum dan tidak mempunyai matlamat khusus.

Bab satu ini menjadi mukaddimah bagi perbincangan panjang lebar berkaitan
pembentukan satu sistem persekolahan yang bercorak kebangsaan dan bersepadu yang dimulai
oleh Laporan Barnes (1951), Laporan Razak (1956) dan Laporan Rahman Talib (1960)
sehinggalah penggubalan Dasar Pendidikan Kebangsaan serta Akta Pelajaran 1961. Harapan
setelah menguasai dan memahami bab 1 ini, kita perlu sedar bahawa usaha-usaha kerajaan dalam
bidang pendidikan ini adalah untuk mencapai matlamat integrasi nasional, pembentukan budaya
nasional dan untuk membangunkan sumber tenaga manusia untuk kemajuan sosioekonomi.

5
5. Penerangan lanjut tentang buku

Bab dua dan tiga buku ini juga menerangkan bahagian pertama iaitu melibatkan dasar dan
falsafah pendidikan. Bab dua ini membincangkan secara khusus dasar-dasar pendidikan yang
menjadi teras dan amalan sistem pendidikan negara ini. Dasar-dasar pendidikan negara secara
umumnya digubal di peringkat pusat atau jawatankuasa supaya sistem pendidikan tersebut
berjalan secara serentak, menyeluruh dan seragam dalam menjelmakan idealisme, falsafah,
matlamat dan objektif pendidikan negara. Dasar Pendidikan Kebangsaan yang digubal tersebut
amat relevan dan jelas mengambilkira pelbagai aspek seperti falsafah pendidikan, Rukunegara,
moral, pembangunan sumber tenaga manusia, perpaduan sosial dan pembangunan negara.

Bab tiga pula berkenaan falsafah dan matlamat pendidikan Malaysia yang bertujuan
untuk memberi kefahaman secara menyeluruh tentang orientasi sistem pendidikan serta
hubungan dan keselarasan di antara komponen-komponen di dalam sistem pendidikan. Suatu
kupasan yang menarik berkaitan falsafah pendidikan negara dalam menentukan matlamat, dasar
dan amalan sistem pendidikan khususnya dalam pembangunan insan dalam semua aspek. Selain
itu, isu-isu yang berkaitan dengan kurikulum dalam usaha mencapai hasrat falsafah pendidikan
juga turut dibincangkan.

Seterusnya bahagian kedua buku ini adalah berkaitan sistem, organisasi dan peringkat
pendidikan formal. Bahagian ini terdapat dalam Bab empat hingga Bab sepuluh. Bab empat
umpamanya membincangkan tentang sistem dan organisasi pentadbiran pendidikan formal di
Malaysia khususnya struktur organisasi pentadbiran pendidikan dari peringkat sekolah sehingga
peringkat pusat termasuk juga pentadbiran universiti dan maktab. Struktur organisasi pentadbiran
pendidikan ini amat wajar untuk diteliti terutamanya dalam menentukan kepimpinan dan
keberkesanan organisasi pendidikan tersebut. Manakala Bab lima dan Bab enam pula
membincangkan tentang pendidikan rendah dan pendidikan menengah. Tahap pendidikan ini
amat penting khususnya dalam melihat uasaha meningkatkan mutu kurikulum melalui
Pelaksanaan KBSR dan KBSM.

Seterusnya, Bab tujuh adalah berkenaan pendidikan guru dalam perubahan masyarakat.
Penulis telah berjaya mengupas dengan baik berkaitan falsafah, matlamat dan objektif
pendidikan guru serta jenis dan kurikulum pendidikan yang disediakan di peringkat maktab dan
6
universiti. Begitu juga dengan Bab lapan iaitu peranan pendidikan bukan formal yang juga turut
memainkan peranan penting dalam pembangunan sumber tenaga manusia dan pembangunan luar
bandar serta berperanan sebagai pendidikan seumur hidup.

Bahagian ini juga turut mengupas peranan pendidikan khas dalam Bab sembilan yang
dikhususkan untuk kanak-kanak dalam golongan yang cacat atau tidak normal serta golongan
yang prihatin kepada golongan yang cacat tersebut. Seterus Bab sepuluh pula berkaitan
pendidikan tinggi. Pendidikan tinggi merupakan pendidikan lepas menengah yang bercorak
khusus, bersifat penguasaan akademik, mengembangkan kemahiran intelek dan kemahiran kerja.
Oleh itu, perkembangan pendidikan tinggi ini secara amnya dikaitkan dengan pendekatan
pembangunan tenaga kerja bagi pembangunan ekonomi. Secara keseluruhannya, bahagian kedua
ini telah menyediakan pelbagai kupasan menarik berkaitan matlamat kurikulum pendidikan
negara yang telah dirangka berdasarkan falsafah pendidikan negara serta keberkesananya dalam
pembangunan insan yang seimbang.

Bahagian ketiga buku ini pula merupakan bahagian aliran perkembangan pendidikan
termasuk pendidikan awal kanak-kanak serta isu-isu pendidikan masa kini. Bahagian ini termuat
dalam Bab sebelas hingga Bab empat belas. Bab sebelas umpamanya telah membincangkan
secara terperinci tentang pendidikan awal kanak-kanak terutamanya perkembangan pendidikan
prasekolah di Malaysia. Bab dua belas dan Bab tiga belas merupakan bab yang amat menarik
perhatian saya tentang profesionalisme guru dan pendidikan pembangunan negara. Sebagai
warga pendidik kita seharusnya sedar akan tanggungjawab yang dipikul kerana kitalah agen
perubahan dan yang paling hampir dengan pelajar. Kemenjadian pelajar adalah amanah yang
amat besar untuk dilaksanakan sebaik mungkin dalam melahirkan dan mencorakkan pemimpim
masa hadapan.

Bab empat belas iaitu bab terakhir pula sebagai penutup dan penulis telah
membangkitkan beberapa isu untuk renungan bersama tentang perkembangan dan usaha dalam
sistem pendidikan. Penulis mencadangkan bahawa pembelajaran nilai-nilai murni yang berkaitan
moral, norma dan keagamaan perlu diterapkan memandangkan bahawa generasi muda sekarang
terdedah kepada media massa yang amat berpengaruh serta banyak menimbulkan konflik
berkaitan agama dan budaya. Walaupun kemodenan dan pembangunan ekonomi serta bangsa
merupakan hasrat utama, namun ianya tidak mengorbakan nilai-nilai tatasusila dan peradaban
7
hidup. Saya turut bersetuju dengan penulis bahawa nilai-nilai yang tidak selari dengan budaya
dan kehendak agama kita perlu disingkirkan daripada sistem nilai yang sedia ada. Secara
keseluruhannya, buku ini masih lagi relevan untuk dijadikan bahan rujukan utama kerana
mempunyai banyak maklumat terutamanya perkembangan pendidikan di Malaysia.

6. Tanggapan menyeluruh dan cadangan

Setelah selasai membaca buku ini, saya merasakan banyak pengetahuan baru yang saya perolehi.
Buku ini membangkitkan kesedaran dan kepekaan kepada saya terhadap idealisme dan matlamat
pendidikan serta isu yang berkaitan dengan dasar pembangunan dan sistem pendidikan di
Malaysia. Sebagai warga pendidik juga, buku ini telah memberi pendedahan tentang hal ehwal
perkembangan semasa sistem pendidikan Malaysia supaya kami mempunyai pemikiran yang
kritikal untuk melihat pelbagai aspek yang mempengaruhi pembangunan, kemajuan dan mutu
sistem pendidikan negara.

Justeru saya mencadangkan agar buku ini wajib dibaca oleh semua warga pendidik untuk
menambah input mengenai pembangunan kurikulum dan sistem Pendidikan di Malaysia.
Peranan pendidik amat penting khususnya dalam pembangunan insan berdasarkan konsep
Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Oleh itu, kaedah pengajaran yang sesuai amat diperlukan
dalam memastikan objektifnya tercapai. Selain itu, buku ini juga wajar dimiliki oleh pelajar-
pelajar yang akan mengikuti ijazah perguruan kelak. Konsep dan falsafah pendidikan yang
digubal perlu diteliti dan dihayati dengan jelas dalam mewujudkan golongan pendidik yang
professional.

7. Rujukan

Sufean Hussin. (1996). “Pendidikan di Malaysia: Sejarah, Sistem dan Falsafah”. Kuala Lumpur :
Dewan Bahasa dan Pustaka.

8
8. Lampiran

9
10

Anda mungkin juga menyukai