Anda di halaman 1dari 9

PENULISAN ILMIAH

PENGENALAN

“Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan meneliti semula data berkaitan dengan isu
keciciran murid di negara ini.” Begitulah kenyataan KPM tentang isu keciciran murid yang
telah dikeluarkan oleh Berita Harian pada 19 Julai 2022 tahun ini. Melalui uji kaji yang
dijalankan, antara faktor berlakunya isu keciciran murid ini disebabkan oleh kemiskinan,
sistem pendidikan yang berteraskan peperiksaan dan hilang minat murid untuk belajar.

Ini kerana kelompok murid yang memulakan pendidikan rasmi Tahun Satu pada
2020, iaitu ketika pandemik mula menular di negara ini, merupakan golongan paling berisiko
mengalami kehilangan pembelajaran atau learning loss, sementelah mereka akan memasuki
Tahun Tiga pada Mac nanti. Kegagalan murid menguasai dengan baik tiga kemahiran asas -
membaca, menulis dan mengira (3M) akan memberi kesan kepada pembelajaran mereka di
peringkat tinggi dan seterusnya ketinggalan sekiranya tiada langkah intervensi diambil.

Tuntutan kehidupan dan kos sara hidup yang meningkat menyebabkan pelajar
sekarang tidak berminat untuk belajar tetapi memilih untuk berhenti sekolah dan menolong
ibu bapa mereka mencari pendapatan sampingan. Disebabkan keadaan yang mendesak
dengan harga barangan runcit yang meningkat menyebabkan mereka tidak mampu sekaligus
mengambil tidak endah tentang pelajaran anak mereka.

Selain itu, penularan wabak covid-19 yang terlalu lama melanda seluruh negara juga
dikira sebagai faktor isu keciciran murid ini berlaku. Disebabkan wabak ini, ramai ibu bapa
yang telah diberhentikan kerja berikutan pengurangkan penularan wabak COVID-19. Isu
pengangguran dikalangan orang dewasa pula menyebabkan anak muda ini tidak mahu
meneruskan pelajaran mereka kerana keadaan yang sempit untuk meneruskan kehidupan.

Sesi persekolahan di negara ini melibatkan 198 hari persekolahan secara bersemuka
dalam setahun, namun penularan pandemik COVID-19 memaksa kerajaan menutup sekolah
di bawah Perintah Kawalan Pergerakan dan melaksanakan PdPR, yang menurut pakar
mempunyai cabaran tersendiri, baik kepada pelajar, guru mahupun ibu bapa. Terdapat
beberapa cabaran pembelajaran secara atas talian.
CABARAN PEMBELAJARAN ATAS TALIAN

i. Ketiadaan Peranti

Dari bahagian ibubapa, mereka harus menyediakan telefon bimbit atau tablet
untuk sesi PdPR dimana tidak semua ibubapa mampu menyediakan peranti tersebut
untuk anak-anak mereka. Lebih- lebih lagi ibu bapa dikawasan luar bandar. Harus
difikirkan juga tentang bilangan anak, masa, dan penglibatan ibubapa sekiranya
ibubapa bekerja. Tidak semua ibu bapa berkemampuan membeli peranti untuk semua
anak yang bersekolah. Oleh itu, anak-anak mereka perlu berkongsi peranti secara
bergilir-gilir untuk menyertai kelas atas talian. Kesukaran ini menyebabkan langkah
mudah diambil dengan ketidakhadiran murid dalam sesi PdPR. Ia menyebabkan ada
pelajar ketinggalan dalam pembelajaran.

Menaiktaraf internet bukan suatu yang rumit untuk mereka yang


berkemampuan tetapi ia menjadi satu masalah kepada keluarga yang tidak stabil dari
segi kewangan. Talian internet yang sangat lemah akan lebih menyukarkan pelajar
untuk mengakses maklumat yang diberikan oleh guru. Perubahan mendadak sistem
pendidikan di Malaysia menyebabkan landskap pembelajaran berubah kepada
pembelajaran maya yang memperlihatkan kepentingan rangkaian jalur lebar.

Namun demikian, lokasi tempat tinggal yang berada di kawasan terpencil


khususnya kawasan kampung dan pedalaman menyebabkan pelajar mengalami
gangguan capaian Internet. Rangkaian mudah alih yang lemah menyebabkan
segelintir pelajar tidak pernah dapat mengikuti kelas secara dalam talian sejak
permulaan PdPR malahan ada dalam kalangan pelajar yang hampir dibuang kelas
kerana kegagalan untuk menyertai kelas yang dijalankan oleh guru.

ii. Sikap Pelajar

Seperti sedia maklum, sekiranya kelas secara bersemuka pun ramai murid
kurang memberi tumpuan ketika sesi pembelajaran, inikan pula ketika pembelajaran
atas talian. Walaupun terdapat pelbagai kaedah yang dinyatakan, pembelajaran secara
dalam talian atau pembelajaran maya menjadi keutamaan untuk meneruskan sesi
akademik di rumah dan pendidikan maya melalui platform dalam talian lebih mudah
diakses tanpa mengira lokasi dan keberadaan seseorang, namun demikian, hal ini
telah menimbulkan isu dari segi pembabitan pelajar dalam sesi PdP yang dijalankan
iaitu keciciran pelajar yang berlaku disebabkan akses prasarana digital dan capaian
Internet yang terbatas bahkan melangkaui kecekapan guru dalam mengendalikan sesi
PdPR.

Kesannya, sesi pembelajaran terganggu dan murid tidak dapat memahami


sepenuhnya kandungan mata pelajaran yang disampaikan. Prestasi akademik murid
terganggu malahan menyebabkan tekanan perasaan yang menjejaskan emosi dan
kesihatan mental mereka.

iii. Kemahiran Guru

Senario keciciran ini bukan hanya disebabkan keterbatasan prasarana digital


dan akses komputer, bahkan menjangkaui kecekapan guru untuk mengendalikan sesi
PdPR.

Berbekalkan pengalaman mengendalikan kelas secara fizikal berkapasiti 35


hingga 45 murid, guru terus mengaplikasikan pendekatan sama ketika pengendalian
sesi pembelajaran dalam talian yang akhirnya menjadi sesi penerangan, menyalin
nota, latihan dalam buku teks atau membaca nota serta menonton video. Interaksi ini
secara tidak langsung memberi kesan terhadap minat dan motivasi murid untuk fokus
serta kekal mengikuti sesi PdPR.

Selain itu, sepertimana yang kita tahu, tidak semua warga pendidik di
Malaysia mahir dalam bidang teknologi kerana ada dalam kalangan mereka sudah
berusia dan tidak terdedah dengan teknologi digital masa kini. Ini adalah salah satu
cabaran pembelajaran atas talian yang perlu dihadapi oleh guru-guru untuk
melaksanakannya kerana ia mengambil masa yang agak lama bagi guru yang kurang
mahir dengan aplikasi atas talian untuk menyediakan bahan mengajar yang lengkap
dan mampu menarik perhatian para pelajar.

Namun begitu, kesungguhan dan rasa tanggungjawab para guru di Malaysia


ini harus dipuji kerana mereka tetap berusaha untuk belajar cara menggunakan
aplikasi digital yang ada semata-mata untuk menyampaikan ilmu kepada para pelajar.

iv. Penglibatan Ibu Bapa


Antara cabaran-cabaran yang sering diperkatakan ialah kurangnya kesedaran
ibu bapa tentang kepentingan pendidikan. Mereka lebih suka anak-anak mereka
bekerja berbanding meneruskan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.
Terdapat juga segelintir ibu bapa membiarkan saja anak-anak mereka ponteng sekolah
kerana mereka berpendapat bahawa ilmu tidaklah begitu penting. Bagi mereka ilmu
yang dipelajari di sekolah hanya membazirkan wang mereka tanpa memberikan
keuntungan kepada mereka.

Dalam pada itu, terdapat juga ibu bapa yang cuba untuk membantu dalam sesi
pengajaran anak, tetapi ibu bapa tidak didedahkan dengan PdPR, bagaimana tatacara
pengendaliannya sedangkan ibu bapa adalah pihak yang paling penting dirumah untuk
mengajar anak mereka dalam memastikan kelancaran PdPR. Ibu bapa juga tidak
diberi panduan sewajarnya bagi memastikan pelaksanaan itu difahami dengan teliti.

Ibu bapa tanpa pengetahuan khusus kepada kurikulum dan strategi pengajaran
digesa untuk membantu guru serta pihak sekolah dalam membimbing anak tanpa
adanya khidmat sokongan kepada mereka untuk mengendalikan sesi PdPR ini.

v. Suasana Yang Kurang Kondusif

Keluarga yang memiliki rumah yang selesa pasti tidak akan merasai masalah
ini. Lain pula bagi golongan yang tinggal di rumah yang sempit dan perlu berkongsi
bilik bersama adik-beradik yang lain sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan
Bersyarat (PKPB).  Hal ini pasti menjadi antara cabaran pembelajaran atas talian buat
mereka, tambah-tambah pelajar yang akan menghadapi peperiksaan besar seperti
SPM. Suasana riuh di rumah, ruang belajar yang tidak selesa akan menyebabkan
mereka sukar untuk memberi tumpuan ketika sesi e-pembelajaran dijalankan.

Selain itu, dikatakan ada juga segelintir ibu bapa seolah-olah tidak memahami
dan memberi tugasan rumah ketika anak perlu menyertai kelas atas talian. Jika dibiar
berlarutan, anak-anak ini pasti akan berasa tertekan dan tidak lagi berminat untuk
belajar.

KPM tidak harus terlepas pandang soal ini kerana kesan learning loss bukan
dapat dilihat sekarang, berikutan tiada sistem peperiksaan umum untuk mengetahui
kesan keseluruhan di seluruh negara disebabkan pemansuhan UPSR (Ujian
Pencapaian Sekolah Rendah), PT3 (Pentaksiran Tingkatan 3), dan akan hanya
diketahui semasa pelajar menduduki SPM atau ketika di alam pekerjaan.

PENDEKATAN / LANGKAH MENGATASI

Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah membuka semula sekolah pada 1 Mac
2021 tahun lalu. Dengan bermulanya pembukaan sekolah, KPM seharusnya memastikan
kelangsungan pembelajaran ditambahbaik serta diteruskan untuk mengatasi masalah murid
yang tercicir. Terdapat beberapa perkara yang boleh dilakukan oleh KPM bagi membina
sistem pendidikan lebih fleksibel dan berkesan tidak kira dari pelbagai aspek.

KPM perlu memberi keutamaan untuk merapatkan jurang pembelajaran bagi


menangani isu keciciran murid disebabkan oleh pelbagai faktor termasuk latar belakang
socio-ekonomi keluarga, tempat tinggal di pedalaman selain memastikan kebajikan sosial,
emosi murid, guru dan kakitangan sekolah.

Bagi memantapkan lagi pembelajaran dalam mengatasi terdapat keciciran terhadap murid,
KPM perlu mengambil inisiatif menguruskan krisis pendidikan dengan pemantauan
berterusan di peringkat pelajar, guru dan sekolah.

i. Latar belakang pelajar

Langkah yang perlu diambil untuk pelajar begini ialah kembalikan mereka ke
sekolah. Pihak berwajib atau NGO boleh pergi kerumah mereka sambil melawat
keluarga dan memujuk mereka untuk meneruskan pelajaran dan menekankan yang
pelajaran amat penting terutama pada masa hadapan. Selain itu kenalpasti masalah
keluarga tersebut dan memberi bantuan yang sewajarnya. Contohnya seperti duit
tambang dan belanja ke sekolah. Tidak lupa juga kepada keluarga tersebut supaya
dapat berfungsi dengan baik.

Selalunya mereka dari golongan B40 yang tidak berkemampuan ini sukar
untuk mendapatkan maklumat atau ilmu kerana keadaan ekonomi keluarga yang
tidak baik. Selain daripada faktor kewangan, kekurangan kemudahan seperti
perpustakaan juga merupakan cabaran bagi pelajar miskin. Oleh itu KPM dan
pihak – pihak tertentu haruslah mengambil kira untuk menyediakan perpustakaan
samada perpustakaan mini atau perpustakaan bergerak untuk merapatkan jurang
Pendidikan.
ii. Pelbagaikan cara pengajaran guru

Terdapat cara yang berbeza untuk guru melibatkan pelajar semasa proses
pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah, dan salah satunya adalah
dengan menggunakan kaedah pengajaran yang menyeronokkan. Penggunaan
bahan bantu mengajar seperti carta, gambar, dan graf dapat menjelaskan konsep
yang diperkenalkan oleh guru (Mohammad Aziz & Shah Mohamed, 2014).

Selain itu pembelajaran yang menggunakan komputer, game, aplikasi telefon


bimbit sudah tentu membawa kelainan kepada suasana pembelajaran di dalam
kelas. Memang tidak dapat dinafikan penggunaan teknologi terkini merupakan
salah satu ciri penting bagi guru abad ke 21. Selain daripada murid yang memang
mahir dengan penggunaan gajet dan pelbagai alatan elektronik lain maka guru
juga perlu seiring dalam menggunakan kelebihan ini untuk menarik minat pelajar
untuk belajar.

Selain itu, guru perlu peka dengan keadaan murid semasa sesi pengajaran.
Contohnya, ketika guru memberi penerangan tentang sesuatu pelajaran, dilihat
murid mengerutkan dahi atau murid kelihatan keliru atau hilang minat, itu adalah
masa yang sesuai untuk guru berhenti seketika dan memberi maklum balas yang
lebih jelas kepada pelajar. Walaupun guru itu berpengalaman dan sentiasa
menggunakan kaedah yang menarik, tetapi guru harus ambil maklum tentang
kepelbagaian pelajar dan tahap penerimaan mereka.

iii. Infrastruktur sekolah

Isu kesesakan dalam bilik darjah dengan sesetengah sekolah terpaksa


meletakkan lebih 40 murid di dalam sebuah kelas memburukkan lagi
permasalahan 3M ini kerana guru sukar memberi perhatian yang mencukupi
terhadap setiap murid. Jumlah yang sesuai ialah 20 hingga 25 murid. Langkah
intervensi KPM dalam menangani isu keciciran pembelajaran ini juga perlu
memastikan bilangan murid kelas intervensi membaca, menulis dan mengira tidak
terlalu sesak kerana ini akan menggugat keberkesanan pengajaran. 
Isu kelas terlalu ramai murid sudah lama dan kritikal. KPM perlu buat sesuatu
untuk menyelesaikannya, apatah lagi jumlah murid tidak dapat membaca diunjur
bertambah akibat daripada gangguan pembelajaran semasa pandemik. 

Kerajaan harus mewujudkan kelas yang mencukupi dengan bilangan pelajar


yang bertambah, bukan dengan menyumbat pelajar dengan ramai dalam satu –
satu kelas. Ini akan mengakibatkan ketidak kondusifan kelas dan cenderung untuk
terjadi kebisingan, tidak fokus semasa P&P dan sebagainya. Pelbagai faktor harus
diambil kira untuk mengelakkan berlakunya isu keciciran pelajar.

Seterusnya, sekolah dan guru harus mengambil langkah inisiatif dan bersatu
hati untuk mewujudkan kelas tambahan untuk mereka yang tertinggal dalam
pelajaran dan kurang berkemampuan. Bukan itu sahaja, pengajaran juga bukan
tertumpu hanya di dalam kelas, tetapi guru boleh mengenalkan cara pembelajaran
dengan alam sekitar untuk menarik perhatian murid. Pihak KPM terutamanya,
harus cakna dengan perkara ini dan dapat memberikan insentif kepada guru-guru
yang terlibat. Ini akan memotivasikan guru sekaligus merasa lebih gembira dan
terbuka untuk melakukan kerja tambahan demi mendidik anak bangsa.

Sekiranya berlaku lagi perkara yang tidak diingini pada masa akan datang, KPM
seharusnya sudah bersedia dengan pelbagai kemungkinan. Seperti contoh, ketika pandemik
melanda dalam masa yang agak lama, beberapa perkara harus diambil serius demi
mewujudkan keseimbangan dari semua aspek terutama dalam isu Pendidikan.

Pertama, Manual PdPR 2.0 perlu dikemas kini dan diperincikan merangkumi
pelaksanaan PdPR sistematik dan terancang baik menerusi pembelajaran dalam talian
mahupun luar talian.

Kedua, pembelajaran dalam talian seharusnya memberi fokus kepada konsep dan
prinsip yang perlu disampaikan serta difahami semua murid. Masa pembelajaran selebihnya
adalah untuk lebih memberi fokus kepada penerokaan pemahaman murid menerusi aktiviti
perbincangan, kajian, eksperimen atau sumbang saran dan pembentangan projek.

Ketiga, tingkatkan kemahiran seni pengajaran pedagogi dalam talian kepada semua
guru. Seperti contoh, guru mampu mengubah kaedah pengajaran mengikut kefahaman murid.
Guru juga boleh menyesuaikan gaya pembelajaran kepada murid yang berbeza.
Keempat, dapatkan perkongsian tip daripada guru yang tular di media sosial
bagaimana menarik minat murid untuk fokus dan faham mengenai isi kandungan
dibentangkan.

K elima, peranan media konvensional seperti akhbar dan televisyen tidak boleh
dinafikan. Televisyen misalnya boleh dicapai di mana sahaja yang perlu digunakan guru
sebagai medium pembelajaran, manakala akhbar bercetak juga menyedia pelbagai modul
sebagai sisipan pembelajaran dihasilkan guru pakar atau ahli akademik.

Sebenarnya, gabungan media digital dengan kaedah tradisional mampu menjadi


platform penting kepada semua guru untuk melaksanakan PdPR secara formal dan tidak
formal, namun ia memerlukan sokongan pelbagai pihak khususnya ibu bapa untuk
menjayakannya.

KESIMPULAN

Justeru, pelbagai langkah telah diambil oleh semua pihak terutamanya guru, sekolah,
kementerian mahupun kerajaan dalam membendung penularan masalah ini. Antaranya adalah
tingkatkan kesedaran ibu bapa, motivasi dan minat pelajar serta mempelbagaikan gaya
pengajaran untuk menarik minat pelajar supaya tidak tercicir. Tidak ketinggalan juga
insfastruktur sekolah yang diubah juga mampu mengurangkan risiko keciciran murid ini.

Keseluruhannya, sistem pendidikan negara kita mengalami perubahan kepada


pendekatan yang lebih bertepatan dengan keperluan setempat. Perubahan ini memberi kesan
langsung terhadap perkembangan pendidikan yang selaras dengan era globalisasi
yang melibatkan semua peringkat sekolah seperti sekolah rendah, menengah dan juga
institusi tinggi. Apa yang pasti, jurang Pendidikan masih berlaku dan akan dapat dikurangkan
dengan penyediaan asas secara berterusan dan pada masa yang sama, kementerian perlu
merancang untuk melonjak sistem pendidikan ke tahap yang lebih tinggi supaya masalah
ini dapat diatasi.

Bantuan persekolahan yang disediakan oleh KPM juga mampu memenuhi matlamat


dalam memastikan semua sekolah dan murid mempunyai peluang dan keupayaan yang
sama untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang kurikulum dan aktiviti kokurikulum. Di
samping itu, kejayaan dalam merapatkan jurang pendidikan boleh dicapai melalui usaha
dan komitmen berterusan daripada semua pihak, terutamanya pegawai pelaksana, ibu bapa,
guru dan juga pelajar. Tambahan pula, bukan sahaja isu P&P tetapi juga dalam aspek
kebajikan dan keperluan sosial murid terutamanya di kawasan pedalaman.

Anda mungkin juga menyukai